Bab 4

NISAH menyandarkan basikalnya di tepi pokok rambutan sebaik sampai di rumah. Setelah itu dia berjalan laju memasuki rumah melalui pintu dapur.

“Hah! Ada pulak abang balik! Selalu tengah hari tak balik rumah,” tegurnya pada Akif yang sedang makan di meja makan.

“Abang bawa mak pergi klinik,” jawab Akif sambil membasuh tangan. Nisah meletakkan bekas plastik yang mengandungi kek di hadapan Akif.

“Makan kek durian ni! Kak Ros buatkan untuk abang! Nanti abang telefonlah dia, ucap terima kasih,” kata Nisah cuba mengajar abangnya.

“Kenapa pulak Ros buatkan abang kek setiap hari! Lama-lama nanti abang jadi mabuk.”

“Haah! Kalau abang dah mabuk cinta tak payahlah Nisah susah-susah nak berbasa-basi dengan Kak Ros tu! Nisah dah penat jadi orang perantara dan tukang makan kek!” sampuk Nisah sambil duduk di depan Akif.

“Pulak! Bila abang ada sebut mabuk cinta! Nisah jangan nak main-main dengan perkataan cinta ni! Esok kirim salam pada Ros, beritahu dia, abang dah ada kekasih hati! Faham?”kata Akif sambil melebarkan bibirnya.

“Tak payahlah membazir duit buat kek untuk abang tiap-tiap hari,” ujar Akif lagi.

“Kasihanlah pada Kak Ros,” balas Nisah sambil mencedok nasi ke dalam pinggannya.

“Tapi abang tipu! Abang mana ada kekasih hati! Nisah tengok abang asyik sibuk di pasar mini tu aje! Kalau ada kekasih pun, mahu makan hati! Abang ni tak ada masa langsung untuk layan buah hati,” komen Nisah pula.

“Asyik bekerja aje tak berhenti,”omelnya lagi.

“Sebab kasihanlah kena berterus terang dengan dia! Tak baik mainkan perasaan orang, tau tak?”soal Akif sambil menarik hidung Nisah dan menggoyang-goyangkannya berkali.

“Yang Nisah ni, kalau ia pun janganlah nak hala-halakan abang dengan gadis yang wayarnya dah hampir putus tu,” kata Akif sambil ketawa.

Dia sebenarnya bersimpati dengan gadis itu. Dengan nasib yang telah menimpanya. Ujian dan dugaan berat yang pernah melanda hidupnya, telah mencalarkan jiwa Rosnani sehingga dia menjadi nanar kadang-kadang.

“Ala, sampai hati abang kata Kak Ros tu begitu. Dia jadi begitu sebab tunangnya kahwin dengan orang lain. Kalau abang terima dia, wayarnya yang hampir putus tu, eloklah balik. Entah-entah sama kuatnya dengan tali yang mengikat kerbau kat bendang tu,” sampuk Nisah sambil ketawa gelihati.

Akif terdiam. Sebenarnya gadis itu menjadi sewel bukan sahaja kerana tunangan berkahwin dengan orang lain, namun biarlah hal itu menjadi rahsia dirinya.

“Nisah! Sudahlah! Jangan bersembang lagi. Cepat makan! Pergi mandi, solat,” arah Akif.

“Ala, tak sempatlah nak solat, bang,” jawab Nisah sambil melihat jam tangannya dan menyuap nasi ke mulut.

“Nisah qadalah waktu solat maghrib nanti,” katanya lagi sambil mengunyah nasi yang sedang memenuhi mulutnya.

“Amboi!” marah Akif sambil merenung adiknya yang sedang makan tergesa-gesa.

“Jangan nak mengada-ngada, Nisah! Tak mahu solat pulak! Tu, rezeki yang TUHAN bagi kepada Nisah, takkan tak tahu nak berterima kasih kepada-NYA?”leter Akif dengan suara kuat. Nisah tersedak-sedak sewaktu mendengar leteran abangnya itu.

“Urusan dunia Nisah terkejar-kejar, urusan dengan TUHAN Nisah nak tangguh-tangguh pulak,” tukas Akif. Menasihati adik bongsunya itu.

“Kalau dari muda ni Nisah tak latih hati Nisah untuk mengutamakan ALLAH melebihi segala-galanya, esok-esok bila semakin dewasa, semakin sibuk, semakin berjaya langsung Nisah lupakan TUHAN,”sambung Akif lagi.

“Ala... abang ni, selalu aje nak membebel. Nisah cakap main-main pun abang dah beri ceramah berjela! Nisah tahulah tanggungjawab Nisah sebagai orang Islam, bang,”jawab Nisah seolah-olah merajuk.

“Jangan menjawab!”Akif menjeling.

“Huh!” rengus Nisah. Wajahnya dimasamkan sejenak tanda protes.

“Makan tu elok-eloklah, Nisah.Nanti tercekik! Langsung tak payah pergi sekolah, kena ke hospital pulak,”leter Akif lagi dengan nada lirih. Nisah pun sudah menghabiskan nasinya di dalam pinggan.

“Cepat-cepat pergi mandi dan solat! Abang hantarkan Nisah ke sekolah. Dah lambat, kan?”soal Akif sambil melihat jam di dinding. Nisah mengangguk-angguk.

“Tau tak apa,” katanya.

Hati yang merajuk kerana dileteri terpujuk kembali. Dia minum air cepat-cepat setelah itu berlari naik ke biliknya.

“Tengok tu! Anak dara apalah ni, pinggan makan sendiri pun malas nak cuci. Ditinggalnya atas meja begitu aje. Nisah... Nisah,” rungut Akif. Dia membuka bekas plastik yang dibawa oleh Nisah tadi. Akif mengambil sepotong kek, menghalakan ke hidungnya dan mengembalikan semula ke dalam bekasnya.

‘Ros... Ros... buat apalah susah-susah nak buat kek ni hari-hari dan hantar ke rumah ni, hmm...”keluh Akif sambil meraba telefon bimbit dalam poket seluarnya.

“Helo,assalamualaikumRos, Abang Akif ni,”kata Akif sebaik sahaja Rosnani menjawab panggilan telefonnya.

“Abang dah makan ke kek yang Ros buat?”tanya Rosnani dengan perasaan teruja. Kembang hatinya kerana menerima panggilan daripada pemuda yang namanya telah disemadikan di sukma.

“Kenapa Ros susah-susah buatkan kek untuk abang setiap hari? Ros,mulai hari ini jangan buatkan kek untuk abang lagi, abang...”

Belum pun sempat Akif menghabiskan bicaranya Rosnani telah mematikan talian telefonnya tanpa pamitan. Akif termangu-mangu.

SEJAK tadi, Rosnanimundar-mandir di ruangan dapur rumahnya. Gelisahnya bukan main. Semua kerja yang dibuat seolah-olah tidak kena. Sekejap dia berdiri. Sekejap dia duduk di atas anak tangga.

“Hai! Ros! Telur tak mahu keluar ke?” soal emaknya yang sejak tadi asyik memerhatikan telatah anak daranya itu yang gelisah bagaikan ayam hendak bertelur. Mak Timah yang sedang menyiang pucuk paku di meja makan tidak melepas pandangannya daripada Rosnani yang agak pelik pada hari itu.

“Telur apanya, mak?”soal Rosnani semula. Dia bangun dan mengintai ke luar tingkap. Rawan hatinya kerana seharian tidak melihat wajah tampan pujaan hati.

“Intai siapa pulak tu Ros?”soal Mak Timah lagi sambil menjeling tajam.

“Apa ni mak? Semua yang Ros buat mak perhati? Apa yang tak kena?”tanya Rosnani sambil memuncungkan bibirnya.

“Memang semuanya tak kena! Yang kau gelisah macam ayam nak bertelur, terintai-intai macam pencuri sejak tadi, apa masalahnya?”Mencerlung mata Mak Timah melihat Rosnani yang menjeling kepadanya.

“Hari ni tak buat kek ke? Dah habis resipi dalam simpanan kamu?”sindir Mak Timah. Pelik juga hatinya kerana Rosnani seolah-olah melupakan kegemarannya sejak azali pada hari itu. Kegemaran mencuba resipi kek.

“Atau dah tak ada orang sudi nak makan?”sindirnya pula. Bibirnya menyungging senyuman melihat bibir Rosnani sudah mencebir.

“Kenapa mak ni? Sengaja nak rabakkan hati orang pulak! Kek yang Ros buat tu sedaplah mak! Semua orang suka makan.Tapi hari ini Ros tak ada mood nak buat kek! Sakit hati!” jawab Rosnani sambil memuncungkan bibirnya sekali lagi.

“Hai! Lain macam bunyinya tu Ros! Siapa yang cubit hati kamu? Bergaduh dengan buah hati pengarang jantung kamu ke? Atau dia dah campak semua kek yang kamu bagi pada dia setiap hari tudalam reban ayam?”sindir Mak Timah.

‘Lagi-lagi mak ni menyakitkan hati aku,’ marah Rosnani di dalam hati. ‘Mak tak tahu ke yang aku sedang gila cempera hendak menawan hati sidia tu, tapi sampai sekarang tak dapat-dapat lagi?’ Fikiran Rosnani bersoal jawab.

“Hah! Melengung pulak! Mari sini tolong mak siang pucuk paku ni! Biar hati yang sakit cepat baik,”ajak Mak Timah. Rosnani menyonsong kepada emaknya terus duduk di bangku di hadapan emaknya itu.

“Mak,nanti orang nak pergi kerja,” kata Rosnani dengan wajah tanpa emosi. Mukanya menunduk sambil tangannya sibuk mematah-matahkan pucuk paku di hadapannya. Pucuk paku yang sudah pendek-pendek dicampak-campaknya ke dalam besen plastik yang berada di hadapannya. Fikirnya, kalau berjauhan dari kampung itu mungkin teruna pujaan hati akan merinduinya. Pada waktu itu barulah tahu hati didatangi cinta ataupun tidak. Barulah si dia tercari-cari.

“Nak pergi kerja di mana?”tanya Mak Timah sambil bangun mengambil kelapa yang sudah dimesin oleh suaminya tadi. Mak Timah membiarkan Rosnani menyiang pucuk paku, manakala dia terus memerah santan.

“Prai,” jawab Rosnani singkat.

“Kamu nak kerja kilang?”soal Mak Timah.

Rosnani tidak menjawab. Sudah lama kawan-kawan sekampung yang bekerja kilang di Prai mengajaknya mengikut mereka.

“Apa salahnya Ros nak kerja kilang, mak! Nak jadi cikgu, pergi temuduga tak pernah lepas,” rungut Rosnani.

“Tak usah pergi. Nanti mak dan ayah sunyi, kalau kamu tak ada kat rumah ni,” beritahu Mak Timah.

“Alah! Orang duduk di kampung ni bukan boleh dapat apa-apa pun,” ungkap Rosnani sambil bangun dan menghantar besen pucuk paku yang sudah habis disiang ke dalam singki. Mendengar kata-kata Rosnani itu, Mak Timah melambakkan tawanya

“Berapa lamanya kau tahan menangungg rindunya, Ros. Jangan-jangan waktu pagi kau pergi, tak sempat sampai ke petang kau dah balik ke rumah,” sindir Mak Timah. Mak Timah faham sangat dengan perangai anak gadisnya itu yang seolah-olah mabuk cinta.

Selepas tunangannya ditangkap khalwat dengan gadis lain dan menikahi gadis itu, Mak Timah lihat perangai anak gadisnya sudah berubah. Mula-mula Rosnani asyik duduk termenung dan menangis sepanjang hari. Lama-lama Mak Timah perasan sangat yang anak gadisnya itu macam suka sangat kepada anak Pak Shukri dan Mak Esah yang berjiran selang tiga buah dari rumah mereka.

“Mak tu suka teka yang bukan-bukan! Tak ada siapa pun yang orang nak rindukan! Menyampah adalah,” balas Rosnani lalu mengambil santan yang sudah siap diperah oleh emaknya dan dimasukkan ke dalam periuk.

Rasa sakit hatinya kepada Akif masih tersisa. Dia rasa dirinya tidak dihargai. Penat-penat dia membuat kek namun Akif tergamak memberi amaran kepadanya pula. Tergores benar perasaannya. Lantaran itu dia tidak mahu melayan lelaki itu bercakap di telefon semalam, sedangkan keinginan hatinya mahukan yang sebaliknya.

“Assalamualaikum..”

Kedengaran suara memberi salam. Mak Timah dan Rosnani menoleh ke pintu serentak sambil menjawab salam. Berderau darah Rosnani. Meruap darahnya sehingga ke kepala apabila melihat siapa yang datang. Perasaan gemuruhnya tiba-tiba bertandang. Dadanya berdebar-debar. Hatinya jadi tidak keruan.

“MakTimah, ada buah nangka ni! Mak suruh saya hantarkan,” beritahu Akif sambil menghulurkan sebuah beg plastik besar kepada tangan Mak Timah yang menyambutnya.

“Terima kasih, Akif! Buat susah-susah aje,” jawab Mak Timah sambil tersenyum. Akif membalas senyuman itu dengan memaniskan wajahnya. Rosnani memandang Akif tanpa secebis senyuman di bibirnya.

“Hai Ros, tak nak pelawa abang masuk ke?”gurau Akif kepada Rosnani yang berpura-pura tidak melihatnya. Mempamerkan wajah poyo. Dia tahu gadis itu sedang merajuk dengannya.

Mungkin Rosnani menganggap dia tidak mahu menghargai kek pemberiannya. Permintaannya semalam sudah mengecilkan hati anak gadis itu. Dan dia berasa bersalah kerana telah mencalarkan hati anak gadis Mak Timah. Mak Timah dan keluarganya yang telah dianggap sebagai saudaranya sendiri.

“Masuklah, bang! Bukannya abang tak biasa datang ke rumah ni,” jawab Rosnani. Wajah yang muram tadi berubah ceria dengan perlahan. Mak Timah turut mendesak Akif yang masih tercegat di muka pintu.

“Duduklah, abang! Ros bancuhkan abang air,” pelawa Rosnani pula. Dia mula bergerak di ruangan dapur macam lipas kudung. Mengambil itu dan ini. Rosnani menundukkan mukanya apabila bertemu pandangan dengan emaknya. Mak Timah yang herot bibirnya menguntumkan senyuman memerli.

“Ros,kek durian semalam ada lagi?”soal Akif spontan sambil ketawa.

“Kek?Abang nak makan kek yang Ros buat? Ada... ada!” jawab Rosnani dengan suara teruja. Hatinya ternganga lapang. Cintanya berkembang mekar. Tambahan pula apabila Akif memandangnya dengan senyuman.

“Hari ini abang tak pergi kerja ke?”tanya Rosnani manja sambil menghidangkan teh dan kek untuk santapan pemuda itu. Mak Timah pula sibuk menghidangkan emping,bakisarapan pagi tadi.

“Jemput makan Akif,” pelawa Mak Timah sambil merapatkan lagi piring-piring hidangan kepada pemuda itu. Akif yang sudah sebati dengan keluarganya. Perhubungan rapat mereka dengan Akif serta keluarganya melebihi dari saudara sedarah sedaging sendiri.

“Hari ini abang tak kerja ke?”tanya Rosnani kembali kerana persoalannya tadi belum dijawab oleh Akif.

“Akif ni ada bisnes sendiri, Ros! Bukannya dia terikat dengan waktu kerja. Nak masuk kerja pukul 8.00 balik kerja pukul 5.00 petang,” jawab Mak Timah bagi pihak Akif yang tersenyum meleret.

“Bila-bila masa aje dia boleh pergi kerja! Tak ada siapa yang nak marah,” sambung Mak Timah lagi.

“Kerja sendiri pun kena ada jadual kerja jugak, Mak Timah! Kalau tidak bungkuslah bisnes saya. Hee... hee...” jawab Akif sambil ketawa.

“Pintu pasar mini tu aje yang saya buka pada pukul 9.30 pagi! Tapi saya kena masuk kerja lebih awal daripada itu! Kebiasaannya 8.30 pagi saya memang dah ada di dalam pasar mini tu! Menyusun barang-barang, membersihkan apa yang patut. Memeriksa barang-barang yang akan saya jual. Manalah tahu ada plastik-plastik pembalutnya koyak ke? Kotak-kotak atau tin-tin yang dah kemek ke! Maklumlah, pasar mini tu tempat orang ramai keluar masuk untuk beli barang-barang. Kadangkala ada jenis manusia yang tak bertanggungjawab Mak Timah! Mereka nak tengok isi dalam kotak, dibukanya salah satu kotak yang ada disitu, setelah itu mereka tinggalkan. Jika jadi membeli, mereka ambil kotak yang baru! Kotak yang dah dibuka mereka biarkan,” cerita Akif.

“Hal-hal yang begitu saya kena beri perhatian! Supaya tidak timbul kompelin atau aduan daripada pelanggan! Kalau pelanggan mendapati saya menjual barang-barang yang tidak ada kualiti pasti mereka akan lari ke kedai lain! Hmm... lama-lama habis pelanggan saya Mak Timah,” terang Akif.

“Ada yang berperangai begitu, Akif?”soal Mak Timah seolah-olah terkejut. Akif mengangguk.

“Betul, Mak Timah! Tetapi sejak saya pasang CCTV di pasar mini tu, dah berkuranganlah sikit masalah sebegitu,” terang Akif lalu mencapai cawan teh dan mencicip airnya perlahan.

“Sedap tak teh yang Ros buat, bang?”tanya Rosnani tiba-tiba sebaik melihat Akif habis meneguk tehnya senafas sahaja. Akif menyeringai kepadanya.

“Semua sedap, Ros! Air teh yang Ros buat sedap! Kek durian pun sedap! Emping yang Mak Timah buat pun sedap! Alhamdulillah,” puji Akif untuk mengambil hati kedua-dua orang wanita itu. Hati Rosnani kembang mekar bagaikan bunga raya yang sedang berbunga dan menghiasi halamannya.

“Ros bekalkan abang, nak tak?”tanya Rosnani sambil melentok-lentokkan kepalanya.

“Tak apalah Ros, tak payah susah-susah! Perut abang dah kenyang ni,” jawab Akif bersungguh-sungguh.

Dia sudah bangun dari kerusi untuk beredar dari rumah itu. Dia mahu cepat-cepat sampai ke pasar mininya. Mungkin Dayana akan datang ke pasar mininya pada hari itu.

Sudah seminggu dia menunggu gadis itu datang, namun Dayana tidak kunjung tiba. Akif bimbang kalau-kalau Dayana datang ke pasar mininya pada hari itu, dia pula tidak ada di sana. Dayana sudah berjanji akan datang ke pasar mininya untuk menghantar kerepek yang dipesan minggu lalu.

“Abang tak sudi ke? Sekejap aje Ros sediakan! Abang tunggulah. Tiga minit aje,”pujuk Rosnani.

“Tunggulah sekejap Akif! Nanti Akif boleh panjangkan sedekah Ros tu kepada budak-budak pekerja Akif di pasar mini tu! Ros, bekalkan emping untuk Akif sekali! Banyak mak buat tadi,”sampuk Mak Timah. Akif yang serba salah akhirnya terpaku di muka pintu.

“Nah bang! Dah siap pun,”kata Rosnani lalu menghulurkan beg yang terisi bekas-bekas plastik kepada Akif.

“Laa... Ros banyaknya ni! Flask tu isi apa pulak?”tanya Akif sambil menyambut beg.

“Dalam flask ada teh panas! Panas-panas baru sedap abang nak minum,”jawab Rosnani dengan senyuman manja. Dia terus berdiri rapat-rapat dengan pemuda itu. Aduhai... bahagianya rasa. Mak Timah mula menjeling tajam.

“Kau ajak aje Ros kerja di pasar mini tu, Akif! Jadi tukang bancuh teh,” perli Mak Timah sambil menjeling kepada anak gadisnya yang nampak tidak keruan pula apabila berdiri di sisi pemuda itu.

“Ha...ha... takut saya tak terbayar gajinya, Mak Timah!” seloroh Akif pula lalu bergerak menuju ke keretanya.

Rosnani terus mengekori pemuda itu. Saat itu hatinya seolah-olah sedang dimahkotai oleh mutiara cinta yang bergemerlapan sinarnya. Apatah lagi saat Akif melambai-lambaikan tangan kepadanya sebelum dia pergi, gadis itu merasakan yang cinta pemuda itu sudah menjadi miliknya.

“Jadi kau nak pergi kerja di Prai tu, Ros?”tanya Mak Timah tiba-tiba sambil mengherotkan bibirnya.

“Tak... tak jadi mak,”jawab Rosnani sambil melarikan pandangan daripada emaknya kerana dia tahu bibir emaknya sedang mengukir senyuman memerli.

Previous: Bab 3
Next: BLURB

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.