Bab 7

CAHAYA rembulan meredup senyap. Seluruh alam telah tertutup oleh awan hitam yang menggelapkan. Kegelisahan yang merangkul hatinyakerana mengenangkan peristiwa di hospital petang tadi bagaikan meragut kedamaian hati. Kamar hati Akif diusik resah. Walaupun Dayana kelihatan tenang, namun Akif faham gadis itu berasa tidak selesa dengan kenyataan yang dibuat oleh Nisah. Malam itu sebaik sahaja menutup premis niaganya Akif terus menghubungi telefon bimbit gadis itu.

“Helo, assalamualaikum,” jawab Dayana.

“Waalaikumussalam,” balas Akif. Lega mendengar suara lembut gadis itu. Setelah itu dia terdiam sejenak. Dia terasa gugup bagaikan tidak pernah berbicara dengan anak gadis.

“Akif...”panggil Dayana pula apabila tidak lagi mendengar suara pemuda itu.

“Ya... ya, Yana. Akif masih ada di sini,”jawab Akif gementar.

Sekali lagi kebisuan menakluki mereka berdua. Dayana menunggu dengan sabar bila saatnya pemuda itu akan meneruskan kata-katanya. Dia terasa segan pula dengan sikap Akif pada malam itu. Sedangkan sebelumnya pemuda itu begitu mesra dan ramah. Sewaktu mereka bertemu di pasar mininya beberapa minggu yang lalu, Akif mengambil kesempatan untuk bergurau dan mengusiknya beberapa kali. Sehingga dia jadi tersipu.

“Yanaa...”kata Akif.

Bicaranya terhenti lagi seolah-olah ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya.

“Teruskanlah,”jawab Dayana seolah-olah memberi dorongan kepada pemuda itu untuk meneruskan kata-katanya.

“Yana, Akif telefon ni kerana nak mintak maaf daripada Yana,” jelas Akif dengan suara yang agak gementar kerana pada waktu itu dadanya dipalu debar yang tidak menentu temponya.

“Akif nak mintak maaf?”tanya Dayana kehairanan. Dia pura-pura tidak mengerti sedangkan hatinya sudah dapat meneka perkara yang akan diluahkan oleh pemuda itu.

“Akif nak mintak maaf untuk apa, ya?”soalnya lagi untuk mendapatkan kepastian.

“Mak Akif ada ceritakan kepada Akif yang Nisah telah berkata sesuatu yang mungkin melukakan hati Yana,” jawab Akif.

“Oh, yang dia kata, kita dah bertunang tu ya?”soal Dayana kembali. Bibirnya melarik senyuman mengenangkan telatah Nisah.

“Hmm...hmm! Pasal itulah. Nisah tu memang nakal dan mulut becok. Yana jangan ambil hati dengan kata-katanya, ya!”sambung Akif lagi. Dayana ketawa kecil mendengar kata-kata Akif tentang adiknya itu.

“Nisah tu memang nakal sikit! Kadang-kadang Akif pun naik geram jugak,” adu Akif sambil ketawa.

“Tapi dia baik hati dan terlebih ramah serta mesra alam,” pujinya pula. Maklumlah adik perempuan seorang. Setelah meluahkan isihatinya yang terpendam sejak petang tadi, hati Akif terasa lapang kembali.

“Oh! Tak apa, Akif. Hal kecil aje! Lagipun tadi, Nisah dan beritahu hal yang sebenarnya pada Yana. Dia pun dah mintak maaf,”jawab Dayana dengan nada mesra.

“Betul ke ni, Yana tak berkecil hati?”soal Akif agak bimbang dan ragu.

“Betul, Akif! Sebesar kuman pun Yana tidak terasa hati,”jelas Yana lagi.

“Syukurlah kalau begitu, Yana. Akif ucapkan terima kasih banyak-banyak! Hmm... sebanyak bintang-bintang dilangit! Lepas mak cerita tadi, hati Akif risau sangat, Yana! Bimbang Yana tercalar perasaan dan merajuk,” balas Akif dengan panjang lebar.

“Kalau Yana merajuk, susahlah hati Akif! Nanti Yana tak mahu datang ke pasar mini lagi,” sambungnya lagi sambil tergelak sendiri. Entah mengapa, hatinya berasa cepat mesra dengan gadis itu. Sejak pertama kali bertemu dia terasa sesuatu. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk terus mengenali gadis itu dengan lebih akrab lagi.

“Tak apalah, Akif. Yana tidak berkecil hati walau secebis. Nisah tu, budak-budak lagi. Dia tak bermaksud untuk lukakan hati sesiapa pun. Akif jangan risau. Dan jangan marahkan Nisah tu. Dia sayangkan abang dia, dan tak mahu abangnya berada di dalam keadaan tidak selesa.” Begitulah jawapan Dayana dengan suaranya yang lembut dan bersahaja.

“Terima kasih, Yana. Lega hati Akif. Jika tidak, tak tidur malam jadinya,” balas Akif pula.“Silap haribulan, Akif termimpi-mimpi atau mengigau pulak nanti. Bawa kereta dalam tidur pergi cari Yana di rumah untuk mintak maaf..”

He...he... Akif ni, ada-ada aje! Kita lupakan perkara yang dah lepas tu, okey!”ujar Dayana pula.

Seterusnya mereka berbual agak lama, hampir sejam. Noktah perbualan itu, Akif bertanya sesuatu kepada Dayana. Persoalan terakhir daripada lelaki itu membuat Dayana tersenyum. Perasaannya bagai terapung.

MALAM yang semakin sunyi dan sepi, melarutkan kesedihan yang memercik di kalbunya sejak petang tadi. Alangkah pilu rasa hatinya. Kepedihan yang sedang dirasai seolah-olah mengulangi keperitan masa lalu. Sungguh sakit hatinya apabila mendengar kenyataan daripada Nisah tadi. Wajah Akif terus menjelma di rimba kenangan. Karisma yang dimiliki oleh pemuda itu, menyebabkan dia menaruhimpian setinggi bintang. Namun, apa yang terjadi pada hari ini menyebabkan perasaannya yang terpendam di jiwa, seolah-olah membakar seluruh rasa. Sekali lagi dia terhumban di lautan kecewa.

‘Aku tidak ingin dikecewakan lagi. Abang Akif...kenapa buat Ros begini?’ rintih Rosnani diiringi tangisan yang tertahan-tahan. Pedih sudah matanya kerana asyik menangis sejak petang tadi. Namun, menangis airmata darah sekalipun, pemuda yang menjadi idaman tidak mungkin berada di dalam dakapan.

Sambil teresak Rosnani terus mencapai diari yang menjadi kembarnya sejak kebelakangan ini. Dia ingin meluah rasa hatinya yang berduka. Namun begitu, hatinya terpanggil untuk membaca catatannya yang lalu. Dengan hati sedih, mata Rosnani terus menjamah tulisannya yang menghiasai lembaran diarinya itu.

Peristiwa yang tidak dapat aku lupakan.

Hari ini, sejarah hidupku nyaris terukir dengan lakaran hitam. Aku boleh menerima perencanaan TUHAN, jika Razif mencurangi serta mengkhianati cintaku dan menikahi gadis lain. Walau hatiku remuk luluh, namun tidaklah seremuk dan seluluh seperti hari ini.

Aku tidak menduga seorang lelaki tergamak memperlakukan aku begitu kerana cintanya kutolak. Dia ingin memperkosa dan meragut kesucian serta meranapkan mahkota kegadisanku.

Mujurlah TUHAN telah mengirimkan seseorang untuk menyelamatkan aku,jika tidak, kehidupanku akan terhumban ke jurang kesengsaraan.

Bayangan peristiwa ngeri itu terbayang di mata Rosnani menyebabkan hatinya diruntun hiba lantas titisan airmata yang mengalir di pipinya semakin laju.

‘Akif...’ bisiknya lantas mencapai pen yang terletak di atas meja. Batang pen dipegang kemas lalu dia mula mencoret luahan hatinya.

Lewat malam ini, ketika insan lain tidur lena, aku sering teringat padamu. Akif, engkaulah insan yang bertakhta di hatiku. Walau kita tidak pernah berbicara tentang cinta atau rindu, aku tetap mencintaimu.

Abang Akif, abanglah wira yang telah menyelamat Ros daripada lelaki durjana itu. Semenjak saat itulah bibit-bibit cinta mulai tersemai di hati Ros. Ros tidak tahu untuk mengatakannya kepada abang, namun terus menanti saat abang akan menerima cinta ini.

Abang Akif... percayalah. Budi yang abang taburkan buat Ros akan Ros balas dengan mengabdikan seluruh cinta, jiwa raga sepanjang hayat Ros untuk abang. Ros cinta abang sampai mati.

Jika Ros harus memilih untuk bernafas atau mencintai abang, maka akan Ros gunakan nafas terakhir untuk mengatakan Ros mencintai abang selamanya.”

Berkali-kali Rosnani membaca kembali tulisannya yang tercoret pada diari. Luka di hati masih abadi. Akhirnya dia terlelap sendiri dengan lelehan airmata.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.