Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,608
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 14

BAB 14: “KARAM”

Haron membuka mata. Dia yang terlena di atas sofa selepas pulang berjemaah Subuh di masjid kini memandang program yang bersiaran di kaca televisyen di hadapannya. Berita TVRI memenuhi slot berita-berita luar negara saluran SBS Australia. Slot berita yang didahului berita dari YTN Korea, dan kemudiannya disusuli pula berita-berita dari TVB Hong Kong, NTV Moskow dan NHK Tokyo.

“Lima orang teroris yang mengakibatkan tewasnya sepuluh wisatawan dan kecederaan pulahan yang lain ketika serangan jam delapan sore kelmarin di Kedubes AS diburu militer Selandia Baru”, ucap si pembaca berita.

Aparat Pemerintah bagaimanapun telah memberi jaminan bahawa…”

Haron membetulkan duduknya. Berita dari tanah seberang ini memerlukannya menumpukan lebih perhatian untuk difahaminya. Mindanya ligat berfikir sambil bebola matanya masih terpaku melihat montaj yang ditonjolkan. Entah mengapa, rona keperangan rambut wantia penyampai berita yang berwarna mahogany brown bagai mengetuk kotak memorinya. Umpama ada wajah lain yang pernah dikenalinya, meskipun pencarian mental tidak membuahkan apa-apa.

Ah, kini dia mengerti. ‘Wisatawan’ adalah pelancong, ‘Kedubes’ itu bererti Kedutaan Besar, manakala ‘militer’ bermaksud tentera dan ‘Selandia Baru’ pula adalah New Zealand.

Dia tersenyum. Meski serumpun, bahasa warga Nusantara sedikit berbeza. Perbezaan yang kecil sebegini boleh membuktikan warganegara manakah si penutur, dan pastinya dia bukanlah dari tanah Si Garuda.

Haron berpaling ke belakang. Pak Bakti tidak kelihatan, namun Haron bagaikan terdengar suara orang sedang berbicara di dapur.

Haron lantas mengorak langkahnya ke ruangan di belakang rumah. Sah, Pak Bakti baru usai menjawab panggilan. Wajahnya sedikit serius. Di sebelah mereka pula ada Faizal yang sedang menikmati biskut kering yang dicicah kopi pekat.

“Siapa call, Pak Bakti?”, soal Faizal.

“Pejabat called dari West Island”, balas pak tua.

“Ada apa-apa ke? Semuanya OK? Muka Pak Bakti serius je?”, Haron memberanikan dirinya bertanya lanjut. Soalannya dijawab pak tua. Katanya, Haron ini, mungkin Haron harus membantunya kerja. Sambung Pak Bakti, ibu pejabat agensi pelancongan mengkhabarkan bahawa akan ada segerombolan besar pelancong yang akan tiba sebentar lagi.

Students, rasanya. Kalau tak silap, sepatutnya mereka datang minggu lalu tetapi ditundakan”, telahan pak tua. Haron mengangguk sebelum menanyakan bagaimana boleh dia membantu. Sememangnya, dia berasa rugi seandainya badannya yang sudah sihat tidak digunakan untuk berbuat apa-apa kerja. Sangka Haron, sekurang-kurangnya hari ini bolehlah dia membantu pak tua dalam memindahkan dan memunggah barang-barang pelancong.

“Bukan, hari ini, kamu kena bantu jadi pemandu pelancong!”, ucap Pak Bakti bersahaja.


Jawapannya memeranjatkan Haron. Ingin dibantahnya, dia segan. Haron kurang pasti dia berkesesuaian untuk membantu. Baharu benar dia pulau ini, apatah lagi dia bukanlah anak jati di sini.

Pak Bakti menerangkan bahawa Haron harus menjaga kelompok di dalam van pelancong yang lagi satu. Sambungnya, pemandu van yang lagi satu itu pekerja baharu, James Borne namanya. Pekerja sementara dari Tanah Besar Australia. Lagipun, bukan sahaja pak tua yakin kemampuan Haron, bahkan HQ juga berasa tugasan ini tidak terlalu berat buatnya.

Faizal menyampuk, “James Bond, macam dalam cerita perisik tu?”. Dia menyeringai melihat Haron yang masih kaget berdiri di sisi meja kecil.

“Bukan... Bukannya B-O-N-D, tapi B-O-R-N-E”, jawab Pak Bakti. “Tapi, HQ suruh panggil dia Jim atau JB sahaja”, sambungnya lanjut.

Faizal ketawa mengikik. “Alah,lebih kuranglah tu… Ala-ala Jason Bourne. Ini ikut plot movie yang mana satu? Identity, Supremacy, Ultimatum atau Legacy? Kalau yang third movie, best sikit jalan ceritanya”, selorohnya sambil mematahkan sekeping lagi biskut sebelum dicicah ke cawan.

Selorohnya tidak diendahkan kedua-dua insan yang lebih berumur darinya. Pak Bakti berpaling ke arah Haron dan menyuruhnya bersiap. Katanya, pakailah pakaian yang selesa kerana tugasan hari ini memerlukannya mengiringi mereka mengelilingi pulau. Perjalanan henti-henti di beberapa lokasi.

Sesudah memberi arahan, Pak Bakti terus menuju ke kamarnya. Dia ingin mandi dan bersolat Dhuha seketika. Masih ada kira-kira sejam setengah sebelum mereka tiba.

Melihat Pak Bakti yang telah meninggalkan ruangan dapur, Faizal mengusik Haron pula. Tuturnya, OKlah kalau Haron yang menemankan Pak Bakti, sebab tiada orang lain yang mampu. Ujarnya, dia akan ke tempat praktikalnya sebentar lagi, dan pekerja yang dahulu bersama pak tua, si Ash itu pula sudah bagai tidak mahu berkerja lagi.

Haron terdiam, dihadamnya kata-kata anak muda berusia di awal dua puluhan di hadapannya. Mindanya kini cuba mengingati sebanyak apa informasi yang telah dipelajarinya mengenai pulau sejak dia berada di sini.

Haron tersentak bila bahunya ditepuk.

“Abang Ron, abang tahu tak kalau nama si perisik James Bond di Nusantarakan jadi apa?”, soal Faizal. Haron menggeleng.

Sambil tersenyum Faizal menjawab sendiri teka-tekinya, “Jadi Yakob Sukuk”.

Haron blur. Dia tidak mengerti.

“Alah, Bond... Bond itukan dalam bahasa kita digelar Sukuk”, terang Faizal.

“Oh, habis tu James? Apa kena-mengenanya dengan Yakob?”.

Pemuda di hadapannya tergelak kecil. Sambungnya lagi, James itu asalnya dari transliterasi nama Ya'aqov. Dari istilah asal bahasa Hebrew, Ya’aqov bertukar menjadi Ιακωβος (Iakobos) di dalam bahasa Greek, dan kemudiannya menjadi Iacomus di dalam bahasa Vulgar Latin, sebelum akhirnya disadur menjadi James.

“Jadi, kalau ikut sebelah Nusantara, Ya’aqov itu ditukar menjadi Yakob”, tutur Faizal yang masih tersenyum.

“Oh, macam tu”, kata Haron yang mengangguk. Anggukan yang kosong.

“Abang bayangkan kalau movie kena dubbing sepenuhnya. Bila dia nak perkenalkan diri: ‘Nama saya Yakob.. Yakob Sukuk’. Lawak, kan?”. Terbahak-bahak dia ketawa dek jenakanya sendiri.

“Ehem”.

Deheman Pak Bakti yang kembali muncul ke dapur memberhentikan tawa si Faizal. Wajahnya sedikit basah, barangkali kesan wudhuk yang sempurna.

“Dah, dah, jangan main-main lagi. Itukan nama khas, nak diterjemah apa lagi?”, kata pak tua.


“Habis tu, artis dari Amerika Syarikat, 50 Cent itu kamu nak terjemah jadi apa? Nak kira sekali tukaran matawang?”, sambungnya tegas.

Faizal tergelak sakan. Balasnya, kalau akhbar berbahasa Ingeris tersohor di seberang pun boleh convert nama 50 Cent ke RM1.50, apa salahnya dia berbuat begitu. Faizal tersenyum sendiri mengingati kelucuan laporan akhbar bertarikh 20 April 2012. Kesilapan di halaman 51 ruangan berita dunia hiburan antarabangsa itu sedikit-sebanyak meledakkan alam maya, sehinggakan dia di pulau milik Australia ini turut mengetahuinya.

“Ish, banyak la kau!”, kata Haron sambil mencubit lengan Faizal.

Faizal yang masih sakan ketawa bangkit dari kerusi, menuju ke sinki. Seusai dicuci cawan dan tangannya, dia memohon diri untuk menuju ke tempat praktikalnya. Anak muda yang masih dibangku pengajian IPT tersebut kini menjalani latihan industri di sebuah syarikat rawatan air.

Sebelum meninggalkan dapur, Faizal berpaling ke arah Haron. Dipesannya agar jangan terlupa janji yang sudah dipateri. Haron mengangguk, dia juga amat teringin untuk mengikuti Faizal memancing di lagoon berhampiran Pulu Atas (South Island). Sudah acapkali didengarinya kisah Faizal menaiki bot ke sana dan mulai menangkap seusai solat Maghrib. Kisah mereka yang kadang-kadang turut menggunakan tombak dan jala, sebelum berehat seketika di pondok milik keluarganya di sana. Sambung Faizal lagi, umpan dari pelbagai jenis telah disediakan, ada ketam balong, octopus dan gong gong. Umpan-umpan yang diharap dapat menggoda kepiting rajungan (mud crab), ikan babi (trigger fish), ikan kakap kuning (sweet-lipped emperor) dan ikan mak keripuk (wress). Seloroh Faizal, jika Haron mahu, boleh juga cuba ditangkap ikan gerapu (rock cod) yang sedap dibuat sambal, meskipun susah untuk dibuang sisiknya. Katanya, mana tahu, entah-entah kakaknya, si Sayang sanggup buatkan untuk Abang Haron!

Sepemergian Faizal, cepat-cepat Haron bersiap. Beg sandang turut dicapainya, dimasukkan sun block dan sebotol air, buat menghidrat jasadnya kelak. Pak Bakti yang sudah menunggu di buggy terus memasukan gear dan pacuan mereka pun meluncur menuju jeti.

Tidak lama di jeti, kelihatan tibanya sebuah van pelancong. Kehadirannya melengkapi sebuah lagi van yang sediada diparkir Pak Bakti berhampiran jeti. Begitulah kebiasaannya, menanti ketibaan pelancong, setiap kali ibupejabat dari West Island menghubunginya.

Melihatkan kumpulan 20 orang pelajar dan dua guru pengiring menuruni feri yang sama, Pak Bakti menghidupkan enjin dan penghawa dingin van pelancong. Pak tua kemudiannya menyambut ketibaan mereka dan bersalaman dengan pekerja baharu agensi mereka.

"Hi, my name is James… James Borne, but call me Jim. By the way, it is spelled B-O-R-N-E, unlike that spy guy", ucapnya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Tangannya dijabat Haron yang masih gigih menahan senyuman apabila teringatkan jenaka si Faizal pagi tadi. Ah, dia harus serius. Tidak boleh senyum seorang diri, takut-takut nanti disangka tiga suku pula.

Haron menoleh apabila Pak Bakti memberi isyarat untuk mereka memulakan perjalanan melalui walkie talkie di sisi James. Rupa-rupanya, kelompok besar anak-anak kecil dan dua guru pengiring dari sebuah sekolah rendah di Jepun itu telah dibahagi samarata olehnya. Destinasi pertama: Home Island Museum. Itinerari perjalanan seterusnya melibatkan persinggahan sebentar di Turtle Beach di bahagian Utara pulau, pemanduan santai mengelilingi pulau dan makan lewat tengahari di Kafe Sahabat. Para pelancong kemudiannya akan memiliki waktu bebas selama kira-kira 2 jam sebelum berangkat pulang melalui feri di sebelah petang.

Haron yang sedikit gugup teringat pesan Pak Bakti. Katanya, tidak mengapa kerana Haron kini sudah mengenali penduduk-penduduk dan selok-belok jalan di pulau yang hanya seluas 0.93 kilometer persegi ini. Lagipun, ucap Pak Bakti, jangan risau, James akan memandu. Haron hanya perlu duduk di sisinya.

Haron menoleh ke arah guru pengiring dan anak-aak kecil di dalam van. Dengan lagak seorang krew udara, dia membuat isyarat agar dipasangkan tali keledar sebelum kenderaan bergerak. Kegugupan dan sempadan bahasa yang terwujud menyebabkan Haron mengurangkan penggunaan verbal dan melebihkan bahasa tubuh.

Selang beberapa ketika, kedua-dua van yang dinaiki telah tiba di muzium. James dan Pak Bakti menekan punat membolehkan pintu van masing-masing dibuka dan dengan perlahan, turunlah sekonyong-konyong isi perut. Tatkala Haron tekun memerhati setiap pelancong yang turun seraya membuat nota minda, mencongak agar tiada yang tertinggal, pandangannya diragut seorang kanak-kanak wanita yang mengaduh sakit. Insan berusia tujuh tahun itu terjatuh, barangkali kerana kakinya tersadung.

Itte”, ucapnya.

Haron lantas menghampirinya dan membantunya untuk kembali berdiri. Melihatkan lututnya yang sedikit tercalar, Haron bergegas memasuki van dan mencari kotak ubat first aid kit. Kotak yang wajib dimiliki setiap van pelancong, selain pemadam api bersaiz mini.

Anak kecil didukungnya ke bangku berhampiran. Kotak kecemasan dibukanya pantas, segala kelengkapan dikeluarkan untuk mencuci luka dan menampal plaster menutupinya. Muka anak kecil yang berkerut sedikit kemerahan. Mungkin menahan pedih bahana sapuan antiseptik dan rasa malu kecuaiannya tadi.

Are you OK? Daijoubuka?”, soal Haron penuh perihatin.

Un, daijoubu”, anggukan balas si anak kecil memaklumkan dia tidak apa-apa. Dia masih menunduk.

Haron masih kurang percaya. Disoalnya lagi, “Hontou desuka?Majide? You sure you are OK?”.

Soalan bertalu-talu pakcik yang perihatin membuatkan si anak kecil tersenyum. Wajahnya diangkat, matanya bertentang dengan Haron dan diangguk berulang-kali.

Bicara dan layanan Haron yang disaksikan guru-guru pengiring membuatkan salah seorang darinya berterimakasih kepadanya. Berulang-ulang dia membongkok memberi tanda hormat dan penghargaan. Bongkokan yang turut dibalas Haron.

"Eh? Anata wa nihongo ga wakarimasuka?", soal guru yang semacam tidak percaya Haron bisa berbahasa Jepun.

"Ie. Nihongo wa chottou wakarimasu", balas Haron, seraya dirapatkanya ibujari dan jari telunjuknya. Simbolik dia hanya mampu memahami sedikit-sedikit bahasa itu.

"Daigaku de nihongo benkyou desuka?", soal guru yang tadinya terkagum. Ingin benar ia mengetahui adakah Haron mempelajarinya semasa di universiti.

"No. But I watched a lot of anime", jawab Haron selamba.

"Naruto ka?".

"Watashi wa Naruto to GTO o mite", balas Haron, berkongsi bahawa siri animasi Naruto dan GTO-lah sumber utamanya mempelajari bahasa tersebut.

"Ah, naruhodo! Suggoi ne!", ucap lelaki yang berperanan sebagai guru pengiring, meluahkan rasa kagumnya. Guru wanita disamping mereka turut mengangguk sopan dan tersenyum. James yang menghuni kerusi berhampiran tekun mendengar perbualan antara Haron dan guru-guru. Ketelitiannya umpama mencatit nota minda.

Sememangnya Haron bisa berbicara bahasa itu. Kalau tidak, masakan mampu dibantunya penterjemahan dalam penulisan thesis pendudukan tentera Amerika di Okinawa. Dokumen setebal 130 muka berkenaan era pasca Perang Dunia Kedua yang kini tersimpan rapi di pustaka BSL, tempat simpanan sejak diserahkan di bulan Ogos 2002 ke Department of Politics. Hanya semata Haron tidak mengingati bagaimana dia mampu berbahasa itu di saat ini.

Sambung Haron, ini semua pengaruh rakan sebaya, sehingga ada yang memanggilya ‘Jiraiya’. Kata-katanya membuatkan dua insan berprofesion pendidik ini tergelak besar. Dalam sekelip mata, dinding pemisah runtuh ditala bicara. Kedua-dua guru terus memperkenalkan diri mereka dengan penuh bersopan. Guru lelaki yang tadinya menaiki van bersama James dan Haron memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Tani Yutaka, manakala temannya bernama Ms Nanako Fuyutsuki.

Cikgu Fuyutsuki memberitahu Haron bahawa sebenarnya kumpulan pelajar-pelajar sekolah rendah ini datang ke sini sebagai lawatan luar negara. Kata-katanya disampuk Cikgu Yutaka yang menerangkan dia juga sebenarnya amat teringin untuk berkunjung ke atoll, demi mempraktikkan Bahasa Indonesia yang dipelajarinya tatkala di universiti. Haron mengangguk, dalam hatinya, beruntung benar menjadi guru dan pelajar di negara yang matawang bernilai besar, hingga mampu berjalan ke luar negara. Andailah datangnya dari negara yang sebaliknya, mungkin school excursion akan setakat ke pulau bebas cukai yang jaraknya pun sekadar kurang dari 50 kilometer dari tanah besar.

Guru wanita mengusulkan kepada Haron agar memperkenalkan dirinya kepada anak-anak murid di dalam Bahasa Jepun. Katanya, sebagai ice breaker, barangkali mampu membuatkan si cilik menjadi lebih mesra dan selesa.

Haron angguk dan sambil tersenyum, dilaungkan kuat, "Minna-san, ohaiyo gozaimasu. Selamat pagi semua. Kokosushima e youkoso. Selamat datang ke Pulau Cocos Keeling”. Ucapannya membuatkan beberapa mulut kecil terlopong. Ramai yang tidak menyangka pakcik berkulit sawo matang ini mampu berbicara dalam bahasa mereka. Reaksi mereka membuatkan Haron terhibur.

Watashi wa Haron desu. Nama saya Haron. Yoroshiku onigaishimasu. It is a pleasure to meet you all", disambungnya lagi.

Bagaikan koir ensembel muzik terlatih, sapaanya disapa serentak kebanyakan si cilik di hadapannya, "Haron-san, ohaiyo gozaimasu". Disambungnya lagi dengan jawapan sopan yang ditemani bongkokan, "Douzo yoroshiku onegaishimasu".

Haron tersenyum dan sekali lagi dia membongkok balas hormat.

"Minna-san, ogenki desuka? Apa khabar semua?".

Dengan penuh keriangan, soalan Haron dijawab sorakan, "Genkidesu yo...!". Ada yang melambai-lambai tanda gembira. Tidak kurang juga yang membuat simbol peace. Fikir Haron, benarlah kata-kata si guru. Dia sudah mula memenangi hati mereka.

* * *

Petugas muzeum menyambut kedatangan mereka dengan penuh tertib. Satu-persatu ruang yang mempamerkan sejarah atoll dilawati. Penerangan yang berselang-seli antara Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu diberikan, disusuli ruang waktu buat sang guru-guru pengiring menterjemahkannya ke bahasa ibunda minda-minda yang masih hijau.

Antara ruangan yang menjadi tumpuan adalah mengenai sejarah karamnya SMS Emden, kapal perang kelas Dresen milik Tentera Laut Diraja Jerman. Kapal yang karam pada tahun 1914 itu merupakan sebahagian dari skuadron Jerman di Asia Timur. Ianya dilengkapi 10 laras senjata yang bersaiz sekitar 10.5 sentimeter, selain memiliki 2 tiub torpedo, menjadikan kapal di bawah kawalan nakhoda utama Karl von Muller ini sesuai untuk menyerang dan menawan kapal-kapal musuh di Lautan Hindi tatkala berlangsungnya Perang Dunia Pertama. Serangan mengejut mereka ke atas Pulau Pinang berjaya menenggelamkan 2 buah kapal perang milik Russia dan Perancis. Namun, riwayatnya tamat apabila diserang kapal perang HMAS Sydney milik Tentera Laut Australia, dengan 133 dari 376 krewnya terbunuh.

Haron tertarik mendengarkan ulasan si petugas. Katanya, bangsa yang tidak mengenal sejarahnya ialah bangsa yang pasti akan gagal! Lebih mengharukan apabila bangsa yang mendabik dada mengatakan mereka telah merdeka masih menelan bulat-bulat sejarah yang dibohongi penjajah. Sambungnya, masih ada yang berpegang kepada fakta mengarut berkaitan tumbangnya kerajaan di Nusantara di tangan Benggali Putih semata-mata kerana berpencak dan bertombak menentang musuh bermeriam dari arah laut. Dakwanya, mana mungkin kerajaan yang menjaga laluan perdagangan utama tidak memiliki sebarang meriam atau senjata! Tumbangnya kerana pertelingkahan dalaman dan pembelotan mereka yang dianggap teman. Kerakusan dan tiadanya identiti bersatu. Jadi, soal si petugas, mengapakah sejarah itu masih digelapkan? Haron mengangguk dalam diam. Namun dia terfikir, bagaimana pula tentang dirinya? Sejarah dan identiti dirinya sendiri tidak diketahui.

Lamunannya tersentak apabila Pak Bakti memanggil namanya. Kata pak tua, dalam setengah jam lagi, para pelancong harus meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Itinerari perjalanan harus dituruti kerana dikhuatiri anak-anak kecil akan kebosanan jika terlalu lama di satu tempat. Haron mengangguk dan melangkah ke arah Cikgu Yutaka.

* * *

Seusai mengelilingi pulau, gerombolan pelancong dibawa ke Kafe Sahabat. Seperti kebiasaan, pakej pelancongan yang disediakan agensi mereka turut memasukkan kunjungan ke kafe ini di dalam jadual. Peluang untuk para pelancong menikmati makanan unik dan berbual santai bersama warga tempatan. Fikir pemilik agensi, apa gunanya melancong ke tempat orang jika hanya terperap di hotel dan perut tidak diisi dengan juadah hidangan tempatan? Dia agak serius dalam memastikan makanan di kafe kekal authentic, kerana pengalamannya mengembara ke sebuah kampung tradisi yang menghidangkan irama bongai, cak lempong dan tumbuk kalang tercemar apabila restoren di sana lebih mengutamakan hidangan Western dan Siam berbanding masak lomak cili api. Memalukan!

Di kafe, Cikgu Yutaka dan Cikgu Fuyutsuki leka bersembang dengan Pak Bakti. Pelbagai kisah dan ciri-ciri hidup atoll ini mereka pelajari secara tidak rasmi. Kedua-dua guru ini yakin persekitaran kafe yang selamat, lebih-lebih lagi Haron kelihatan mesra melayan keletah anak-anak murid mereka. James pula duduk berkeseorangan di meja asing, sambil hanya menikmati minuman. Dia kelihatan semacam sibuk menulis sesuatu. Sesekali wajahnya diangkat memerhati persekitaran.

Haron dikelilingi tubuh-tubuh kecil yang meneliti masakan yang terhidang. Seorang darinya bertanya sambil menuding ke lauk-lauk di hadapannya, "Haron-san, kore, nani?". Sambil tersenyum, Haron menyantuni mereka. Jarinya ditunjukkan ke satu-persatu lauk yang yang terhidang, “Tamago, telur. Sakana, ikan. Toriniku, ayam. Unagi, belut”.

Si penanya cilik membuat muka. "Yadaiyo, unagi daikirai", menzahirkan rasa tidak mahu merasai belut. Haron ketawa kecil sambil menceduk lauk-lauk lain yang akan dikongsi bersama.

Sayang tersenyum melihat Haron melayan kerenah murid-murdi. Baginya, Haron kelihatan amat mesra dengan mereka. Jiwanya semakin tertarik, teringat pesanan emaknya, “Lelaki yang menyayangi budak-budak adalah lelaki yang baik. Murah rezeki, insya-Allah”.

Senyumannya makin melebar. Bunga rasa semakin mekar mengembang di kalbu.

Selesai menikmati makanan, anak-anak kecil berkumpul. Masing-masing mengeluarkan buku dan pensil warna. Dari jelingan Haron, dia melihat mereka tekun melukis dan menulis. Sangkanya, barangkali itu sebahagian dari budaya mereka membuat scrapbook di penghujung lawatan.

Haron kembali melabuhkan punggungnya di meja. Perbualannya bersama Pak Bakti dan guru-guru diteruskan. Masih ada setengah jam sebelum mereka akan berangkat ke jeti dan menaiki feri ke West Island.

Tiba-tiba, siku Haron dicuit seseorang. Cuitan jari yang halus menggelikannya, membuatkan Haron berpaling segera.

Kelihatan sehelai kertas bersaiz A3 dihulurkan kepadanya. Di atas kertas berukuran 297 mm x 420 mm tersebut terdapat suatu lukisan yang sangkanya kerjatangan berjemaah murid-murid. Haron meneliti lukisan itu, kelihatan imej seorang lelaki separa orang lidi, memegang tangan suatu imej yang barangkali seorang wanita sambil dikelilingi beberapa insan kecil yang membentuk bulatan.

Dare ga?”, soal Haron kepada si penghulur lukisan. Dia bertanyakan identiti ‘insan-insan’ di dalam lukisan yang disuakan dek gadis yang dirawatnya setelah jatuh pagi tadi.

Seraya menuding ke imej si lelaki, dia menjawab “Anata, Haron”.Ditunjukkinya pula imej-imej mereka yang membentuk bulatan. “Atashi no tomodachi desu”, ucap lanjut si gadis cilik, memaklumkan si penyoal bahawa yang mengelilingi itu adalah rakan-rakannya. Ianya sekaligus mengiyakan sangkaan Haron.

Haron mengangguk. Dia bertanya pula siapakah gerangan ‘wanita’ yang digenggam tangan dek ‘Haron’ di dalam lukisan? Gadis muda itu hanya tersipu-sipu malu dan berpaling pergi dengan muka yang sedikit kemerahan.

Dia yang baharu sahaja ingin mencari si kecil untuk berterimakasih menghentikan langkahnya apabila si guru-guru pengiring memaklumkan bahawa sudah tiba masanya untuk mereka bergerak ke jeti. Tangan-tangan mereka berjabatan, ucapan terima kasih penghargaan dan pengharapan selamat bertukar-ganti. Cikgu Tanaka dan Cikgu Fuyutsuki berjanji mereka akan kembali lagi ke pulau ini untuk percutian peribadi yang lebih lama kelak.

Haron kemudiannya menunduk, membolehkan tangannya dijabat anak-anak kecil. Kebanyakannya tersenyum seraya berterima kasih, “Arogatou gozaimasu, Haron-sensei”. Secara automatis dia telah dihargai sebagai guru oleh insan-insan cilik. Haron terharu.


Dia kemudiannya tersentak tatkala pipinya dikucup gadis kecil yang dirawatnya tadi. Kucupan yang membuatkannya terpinga-pinga.

Daisuki!”, ucap si gadis seraya meninggalkan sekeping kertas di tangannya, sebelum bergegas lari menaiki van.

“Wah, mok, mu ada pesaing!”, usik Faizal kepada kakaknya. Biarpun dia baharu pulang dari praktikal, tidak dilepaskannya peluang mengusik.

Haron membuka lipatan kertas di tangannya. Kelihatan beberapa tulisan yang kedapatan di dua bahagian berbeza. Di tengah-tengahnya, terdapat simbol ‘love’. Dahi Haron berkerut. Meski tahu berbahasa, dia kurang mahir membaca tulisan skrip bahasa itu, baik hiragana mahupun katakana, apatah lagi kanji. Haron lantas berpusing ke arah Cikgu Tanaka. Guru lelaki tersebut tergelak kecil membaca tulisan tersebut. Katanya, itu nota cinta.

Tatkala ditanya apa yang tertulis, si guru menerangkan, di satu penghujung, tertulis ‘HARON’, manakala di penjuru yang lagi satu, tertulis nama si gadis tersebut. Lantas Haron pun menanyakan nama milik si anak cilik. Cikgu Tanaka menjawab dan menerangkan nama si gadis.

Mendengarkan namanya, Haron sedikit terkejut. Meski ingatannya kabur, nama itu umpana pernah bertakhta di hatinya.

“Kate?”.

* * *

Langkah gadis pemilik rambut mahogany brown yang kelihatan ayu memakai yukata terhenti. Hatinya terhenti, umpama namanya dipanggil.

Dia hadir bersama teman-teman modeling ke Publika untuk menghadiri sambutan Bon Odori. Entah ke mana menghilangnya peragawati-peragawati yang lain, barangkali sibuk mencari expatriates yang kaya. Maklumlah, gaya hidup yang lebih terbuka dan hedonis, disertai pula tiket mudah kerakyatan negara yang punyai nilai matawang besar sememangnya mampu menggelapkan mata.

Di penjuru mata Kate,kelihatan seorang lelaki yang seperti kekasihnya dari belakang. Dia mempercepat langkah, dicapainya tangan si jejaka dari belakang.

"Aaron, don’t leave me!".

Kata-kata yang terpacul dari bibirnya membuatkan si jejaka berpaling. Jelas, bukan kekasihnya!

Kate pantas memohon maaf. Wajahnya yang kemerahan membuatkan gadis beryukata merah jambu kelihatan lebih menambat hati. Bebola mata jejaka di hadapannya terpaku melihat Kate yang ayu, lengkap bersandal kayu geta dan tas tangan kinchaku yang sedondon ronanya.

Seraya tersenyum dia berkata, "It's OK, I won’t leave. I'm not Aaron. I'm Zack.".

Kate berpaling dan mahu melangkah deras menjauhinya. Si jejaka yang masih ingin mencuba nasib langsung berbicara, “But hey, I can be Aaron...Or Adi. If you nak yang up sikit, I can also be Edward or Jacob. I can be whoever that you want...".

Si gadis tidak menghiraukannya. Langkah diteruskan sambil matanya menyoroti persekitaran. Suasana sambutan Bon Odori hambar tanpa buah hatinya. Mindanya kembali membongkar memori silam Aaron yang amat meminati beberapa karya dari tanah matahari terbit tersebut. Lagu “One more time” dan gelaran Jiraiya milik kekasihnya terus memomoki Kate.

Setibanya dia di hadapan sebuah kedai aiskrim, langkahnya terhenti apabila terdengar namanya sekali lagi dipanggil. Dia berpaling, oh, rupa-rupanya rakan seagensi peragaannya berada di dalam kedai itu. Di tangan sahabatnya yang beriya-iya melambai, terdapat sebuah kotak kecil.

“Kate, ni ha DVD yang you kept on searching”, ucap si sahabat seusai Kate menghuni kerusi di meja yang sama.

Tangan Kate menyambut kotak DVD yang dihulurkan. Matanya perlahan membaca tajuk dan sinopsis filem ‘Tsuki to Kyabetsu’, karya cinta sedih tahun 1996. Si gadis masih teringat, inilah yang telah bertahun-tahun dicari Aaron. Patutlah tidak ketemuan, tajuk yang dicarinya ‘One More Time, One More Chance’, amat jauh berbeza! Lagipun, filem ini sudah hampur 20 tahun usianya. Namun, Kate bermonolog sendirian, malam ini filem di tangannya pasti akan ditontoninya.

Dan dia berjanji, akan ditontoni filem itu buat kali yang ke berapa juta kali sekalipun, selagi Aaron mahu. Yang penting, batang tubuh yang hilang itu wajib muncul kembali.


* * *


Suasana amat ceria di Kafe Sahabat di pagi ini. Perhimpunan di hari Sabtu, 17 Mei 2014 ini disertai keseluruhan barisan pekerja dan pengurusan agensi pelancongan di atoll Cocos (Keeling) Islands. Skye,gadis yang kebiasaannya hanya menghubungi Pak Bakti melalui telefon turut hadir. Bahkan dialah insan yang bertanggungjawab mengadakan barbeque dan jamuan makan bersempena sambutan ulangtahun Syarikat dan ANZAC Day. Kafe ini dipilihnya kerana Pak Sayang mampu mnyediakan hidangan yang memenuhi tuntutan syarak.


Meskipun Haron masih belum berstatus pekerja tetap, dia tetap dijemput hadir. Syarikat menjemputnya sebagai menghargai kerjanya yang bagus tatkala menyambut kelompok pelancong dari sekolah rendah di Jepun beberapa minggu yang lalu. Kunjungan yang khabarnya menerima pujian menggunung dari anak-anak kecil dan pasanan guru pengiring.

Sambil menunggu daging dan udang-udang siap di-barbeque, Skye mengumumkan bahawa pihak pengurusan berbesar hati untuk mengadakan acara cabutan bertuah. Pelbagai hadiah menarik disediakan buat insan terpilih. Sambungnya lagi, buat julung-julung kalinya, tahun ini akan menyaksikan hadiah sebuah smartphone, yang dilengkapi pakej postpaid lengkap bersama data Internet yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat, selagimana si pemenang masih bekerja dengan mereka. Pengumumannya disambut sorakan gembira para hadirin.

Namun di sebalik kegembiran itu, ada beberapa insan yang sedikit pelik dengan kemurahan hati pada tahun ini. Skye turut berasa begitu, kerana kebiasaannya, tiada cabutan bertuah yang memberikan hadiah sekomprehensif ini. Tambahan pula, hadiah istimewa ini tiba-tiba ditambah di saat-saat akhir, bersama jemputan mengejut buat Haron. Segalanya hasil perbincangan enam mata antara The Boss (panggilan buat bos besarnya), Detektif Frank dan seorang insan misteri yang tidak pernah dilihat oleh Skye di atoll ini. Ah, Skye melontarkannya jauh dari fikiran. Padanya, sesiapa jua yang memenanginya memanglah insan yang paling istimewa.

Acara tersebut dimulakan. Cabutan demi cabutan dibuat, sehinggalah tibanya masa untuk hadiah smartphone beserta pakej, cabutan istimewa yang dibuat sendiri oleh The Boss. Tangannya diseluk ke dalam kotak yang berbalut, sebelum muncul kembali bersama satu kertas yang bergulung. Perlahan dibukanya, membuat si hadirin ternanti-nanti.

The winner is…”, sengaja The Boss memberhenti bicara, menambah suspens.

“Haron!”, ucap The Boss, disambut sorakan hadirin. Haron yang terpinga-pinga terus melangkah ke hadapan. Dijabatnya tangan The Boss seraya berterimakasih. Si pemberi hadiah tersenyum sambil mengucapkan, “Congratulations! I look forward to you working for us. Now, you cannot run, Haron. We can trace you so that you must come to work". Haron tersengih gembira. Sayang bersyukur, akhirnya dapat juga dia berkomunikasi secara terus dengan si jejaka. Kini dia harus menyusun helah agar Faizal mendapatkan nombor telefon Haron.

Tanpa disedari sesiapa, The Boss berpaling ke arah insan misteri yang mengangguk perlahan. Insan tersebut yang asalnya berdiri jauh di belakang meja-meja hadirin meneruskan langkahnya pergi menjauh. Akhirnya, tercapai juga misinya memastikan pergerakan dan komunikasi musafir bertattoo boleh berterusan dikesan. Helahnya yang dibantu Detektif Frank dan The Boss berjaya melepasi fasa pertama. Arahan dari ibupejabat kepada si detektif agar akur sepenuhnya kepada cadangan insan ini telahpun dituruti. Padanya, alangkah indahnya apa yang mampu dicapai dengan teknologi terkini. Lagipun, fikir si insan misteri, negaranya bukanlah bodoh.

* * *


Selang beberapa jam setelah Haron menerima hadiahnya, sebuah komputer di ibupejabat unit risikan di Canberra mula mencatat log lokasinya.

Time: 1730hrs(UTC +06:30)

Latitude: 12°06'56.1"S, Longitude: 96°53'38.8"E

Elevation: ±5 meters from sea level

Movement speed: ±1 meter per second

Sistem komputer ini akan berterusan merakam lokasi telefon tersebut bagi setiap 10 minit. Seandainya tiada pergerakan dikesan dalam 2 jam berturut-turut, satu notifikasi kecemasan akan diberi kepada Detektif Frank. Notifikasi yang akan disusuli dengan arahan pengesahan visual kedudukan Haron. Notifikasi yang sama akan turut diberikan seandainya Haron berada terlalu lama berhampiran jeti mahupun lapangan terbang,atau sekiranya movement speed menunjukkan peningkatan mendadak.

Pegawai yang menghadap skrin komputer terus membuka fail di sampingnya, sebuah senarai ejen di lapangan ditelitinya. Meskipun lokasi insan itu dapat dikesan melalui isyarat GPS, baginya, pengesahan bebola mata di darat tetap diperlukan. Bagi si pegawai, cabang HUMINT - Human Intelligence, iaitu maklumat yang dikumpul pemerhatian manusia tetap penting. Biarpun kemajuan di bidang GEOINT - Geospatial Intelligence(melalui satelit), SIGINT - SignalIntelligence (melalui pintasan komunikasi) dan MASINT - Measurement and Signal Intelligence (melalui radar) sudah jauh ke hadapan, tiada yang dapat menggantikan manusia. Namun, pendapatnya itu bukanlah sesuatu yang dipersetujui ramai rakan sekerjanya. Dakwa mereka, kepesatan teknologi membuatkan terhapusnya privasi. Siapa sangka, komputer yang dahulunya cuma mampu memperbetulkan ejaan, kini sudah mampu membuat pengecaman wajah, imbasan retina dan identifikasi suara. Lebih menggerunkan, gelagat pengguna teknologi dan gajet-gajet canggih juga tidak membantu. Tabiat gilakan berkongsi setiap butir maklumat peribadi, lokasi, emosi dan hinggakan cetakan cap jari semata-mata untuk embuka kuncian skrin sesentuh sebenarnya lebih mengecilkan skop privasi mereka. Tanpa disedari, mereka membuka peluang kepada sesiapa yang berkemahiran untuk mendapatkan akses terhadap maklumat yang tidak ternilai ini.

Pegawai itu terhenti seketika, fikirnya, mungkin telahan sahabat-sahabatnya itu ada benarnya. Jika ada applikasi atau game baharu yang pandai menarik minat, pasti akan ada jutaan yang sudi merelakan lokasi mereka berterusan dikesan, mungkin semata-mata mengejar raksasa digital di alam augmented reality. Sesuatu yang membolehkan mana-mana syarikat atau agensi perisikan mengesan dan mewujudkan logaritma bagi meramal tindakan dan lokasi insan tersebut di masa hadapan.

Ah, walau apapun, dia harus kembali fokus mengesan insan ini. Insan misteri harus berterusan dikesan, untuk memastikan dia tidak menghampiri mana-mana lokasi strategik. Lebih-lebih lagi, setahunya, sekitar 6 Oktober tahun ini, akan ada pertukaran Administrator atau Head of Government buat atoll tersebut. Dia juga harus berhati-hati, sekiranya operasi ini terbongkar, buruk padahnya. Meskipun insan ini bukanlah warganegara yang dilindungi perbatasan yang diwujudkan demi perlindungan privasi, si pegawai tetap harus berhati-hati.

Dia terus membuat sebuah panggilan ke seorang ejen di Home Island. Pengesahan visual on-site harus dilakukan untuk mentahkikkan bahawa Haron benar-benar berada di persimpangan Jalan Jukong dan Jalan Melati. Lokasi yang berada 330 meter dari pengkalan feri. Panggilanya disambut ejen di lapangan yang mengesahkan bahawa kedudukan itu benar.

Si pegawai berpuas hati. Sistem kendaliannya ternyata unggul. Ianya cukup maju untuk mengesan sebarang percubaan rooting atau pengubahsuaian telefon secara haram. Begitu juga dalam mengesan sebarang cubaan location spoofing atau penipuan data lokasi GPS. Kini, Haron bagai menjadi satu lagi haiwan dalam sangkar yang terkawal.




Sejarah ringkas Cocos (Keeling) Islands :

Sebelum1609 – gugusan kepulauan ini dipercayai digunakan para nelayan dari Nusantara

1609 –Kapten William Keeling temui Cocos Atoll ketika berlayar dari Pulau Jawa keEngland

1805 –James Horsburgh mula memetakan atolldan meletakkan nama Cocos-Keeling Islands

1825 –Kapten John Clunie-Ross singgah, mula menggali perigi dan menanam pokok-pokok

1826 –Alexander Hare (saudagar British) dan sekumpulan hambanya mendarat di HomeIsland

1901 –Kabel dasar laut dipasang ke Singapura dan Western Australia

1914 –Kapal SMS Emden milik Jerman menyerang. Ditewaskan kapal HMAS Sydney

1955 –Secara rasmi menjadi milik Australia, disahkan Akta Kepulauan Cocos (Keeling) 1955

1973 –Australia menjemput 24 perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melawat atoll

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi