Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,722
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 6

BAB 6: “BADAI”

Jam 5:52 petang (UTC+06:30), Ahad, 9 Mac 2014,  Pulau Selma (Home Island).

 

Kafe Sahabat sunyi di petang ini. Waktu Maghrib yang bakal menjelma sekitar 30 minit lagi dan awan gelap yang semakin memenuhi ufuk senja menjadikan suasana yang menggelap semakin sepi.

 

Tiupan angin kencang mengiringi shelf clouds bagai memberi tanda badai yang akan menyusul. Dedaun kering berterbangan dibawa bersama butiran pasir putih yang menghentam cermin-cermin dan struktur luar kafe berdinding kayu ini. Namun, di dalam kafe itu ada beberapa insan yang sedang asyik dalam dunia mereka.

 

Faizal menjenguk ke ruang utama kafe. Kepalanya yang dihulurkan dari belakang tabir tempat penyediaan makanan tidak dihiraukan kakaknya. Nyatalah bahawa kakaknya, gadis bernama Sayang sedang khusyuk menonton sesuatu di skrin komputer ribanya.

 

"Mu tengah nengok apa tu?", sapa si adik.

 

Kakaknya cuma menjeling. Sayang memusingkan sedikit skrin laptopnya dari diintai Faizal.

 

Lah, tengah tengok citer ‘PSIKO: Pencuri Hati’ lagi rupanya”, kata Faizal. Masih tiada reaksi dari Sayang.

 

"Mok, mu tak bosan ke? Balik-balik tengok citer yang sama?". Si adik mencuba nasib mengusik kakaknya. Panggilan ‘Mok’ singkatan ‘gemok’ adalah nama timangan yang diberinya buat si kakak. Panggilan yang langsung tidak mencerminkan fizikal sebenar Sayang.

 

“Ish, jangan kacaulah. Cerita best ni. Thriller yang dibintangi pelakon-pelakon hebat!”, balas kakaknya. Matanya masihmelekat pada skrin. Ada benarnya hujah Sayang, memang teraju utama memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik buat karya ini.

 

Faizal tumpang menonton seketika. Walaupun dia juga sudah beberapa kali menonton DVD ini, memang agak unik dan mendebarkan jalan ceritanya. Cerita bergenre psikologikal thriller yang dilakonkan hebat umpama lakonan Johnny Depp di dalam Secret Window. Satu kisah mengenai Sidi, penulis novel yang begitu obses menyelidiki seorang pembunuh bersiri. Keobsesan yang timbul semata-mata untuk menyuntik unsur realisma dalam karyanya. Amali terhebat prinsip ‘arts should imitate life’.

 

Sayang berpaling ke sebelah. Hembusan nafas Faizal yang bersinggahan ke bahu membuktikan adiknya juga meminati cerita ini. Mata Sayang kembali memfokus kepada skrin. Tidak diendahkannya Faizal dan langit yang makin menggelap.

 

Faizal merenung wajah serius kakaknya yang hanyut dalam penghayatan cerita. Dia tahu benar Sayang bukanlah peminat filem genre ini. Minatnya lebih kepada si lelaki, pelakon utama. Faizal pelik. Em, takdelah hensem sangat, getus hatinya. Namun kemudiannya dia tersedar, lelaki straight mana yang akan mengakui lelaki lain sebagai handsome?

 

Mok, suka sangat ke pelakon ni?”, soalnya pada Sayang.

 

“Mestilah, dia pandai berlakon”, tegas kakaknya. Sayang memang telah mengikuti karier seninya sejak menonton drama Cinta Tsunami.

 

Suasana hening seketika.

 

Mok, mu bila nak kahwin?”. Soalan cepumas Faizal memeranjatkannya.

 

Sayang menjeling tajam. Terasa janggal mengapa adiknya tiba-tiba bertanya begitu. "Apasal kamu tanya? Kamu nak nikah dah ke? Takut langkah bendul?".

 

Faizal tidak memberi reaksi. Dengan selamba dia menjawab "Bukanlah sekarang… Tapi, aku memang rasa-rasanya akan langkah jendul!".

 

"Eh, bendul la. Bendul!",balas Sayang.

 

"Yelah... Jendul, sebab dahimu luas sangat!", jawab adiknya selamba.

 

Sekali lagi Sayang menjeling. Dia memang tahu adiknya amat suka menyakatnya. Kalau tak disakat sekali sehari, macam tak sempurna kuota.

 

"Dahi luas ini tandanya bijak. Mu pun taknak dapat anak-anak buah boys comel yang bengap, kan?", soalnya pula selamba. Memang Sayang seorang yang bijak. Seorang gadis berkelulusan ijazah sarjana muda bidang perundangan. Namun, dia lebih gemar untuk membantu perniagaan keluarga.

 

"Eh, mana mu tahu anak pertamamu lelaki?  Pandai-pandai je kata comel!", bantah Faizal.

 

"Mestilah comel. Tengoklah Mommynya macamana", balas si kakak sambil tangannya menunjuk ke muka yang tersenyum dan badannya.

 

"A'ah. Comel. Kalau Mommynya gemuk macam panda, nak buat macamana, kan?", sindir Faizal.

 

"Paksu panda pun comel juga. Gebu. Hehehe..", balas Sayang seraya mencubit pipi adiknya yang bongsu. Pelajar tahun pertama jurusan kejuruteraan kimia itu kaget. Suatu tindakan yang tidak disangka dari kakaknya.

 

Faizal menarik muka masam. Mencuka.

 

"Eh, mu pasti ke ada orang nak dekat mu?", soal si adik.

 

"Ada je... aku je yang tak nak", balsanya selamba. Matanya kembali dialihkan pada skrin. Pembawaan watak Sidi terlalu menarik buatnya, lakonan yang hidup.

 

"Habis tu, kenapa mu taknak kat si Ash? Dia kan hybrid? Berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Nanti dapat la anak-anak comel".

 

"Ah, malas la aku. Tak matang. Muka jambu sangat. Level anak ikan je", tutur Sayang tanpa sedikit pun melarikan pandangan dari kisah Sidi.

 

"Tapi, Mok... ramai yang minat dia. Makcik-makcik pun ada gak yang minat. Mungkin untuk anak-anak mereka”, kata adiknya.

 

“Namanya pun ada unsur glamour. Lagipun, sesuailah, dia kulit cerah, mu gelap sikit. Kalau kacuk, dapat anak hitam putih, macam panda",sambungnya lagi.

 

"Kalau setakat nama macam hero Pokemon, takde maknalah", sahut Sayang.

 

"Ish, mu ni... Ramai tau gadis kampung ni yang nak jadi Pikachu untuk si Ash!", kata Faizal sambil ketawa. Rujukan Pokemon dek kakaknya tadi sedikit mencuit hatinya.

 

"Eloklah tu. Ada 6 biji bola, kan? Dapat 4, cukuplah quota. Ada 2 biji buat spare", balas kakaknya. Dia juga agak mahir bab permainan mengumpul raksasa digital itu.

 

"Habis tu, mu dah ada calon ke?". Faizal masih belum mahu mengalih topik.

 

"Kriteria dah ada. Orangnya je belum sampai sini...", sambut kakaknya. Sedikit tertekan dengan topik perbualan, Selalunya, makcik-makcik sahaja yang bertanya sebegitu, lebih-lebih lagi ketika kenduri atau di jamuan Hari Raya. Sayang berfikir, entah bilalah lelaki penambat hatinya akan muncul.

 

"Mu nak yang macamana?Kaya?", soal Faizal

 

"Kaya tu tak penting. Yang penting bijak, dan kreatif".

 

"Seorang penulis?", soal Faizal. Petang ini, dia bagai menggalas seketika tugas wartawan ruangan gosip. Tekaannya dibuat berdasarkan watak utama filem yang sedang terpapar di skrin laptop.

 

"Kalau dia boleh menulis, apa salahnya? Itu maksudnya, kreatif, sabar dan boleh fokus apa yang dia mahu", jelas si kakak.

 

"Lagi?"

 

"Seseorang yang berlainan dari yang ada di sini. Mungkin orang dari jauh? Yang didekatkan takdir buatku", kakaknya berkata. Tanpa disedari, dia makin terjerat dalam sesi siasatan adiknya.

 

"Maksudmu, ala-ala mamat dalam Tsunami Cinta?".

 

“Cinta Tsunami lah!”. Kakaknya cuma tersenyum.

 

"Tapi… Mok, tak rasa ke cerita tu macam mengeksploitasi kejadian yang sedih?", soalnya keras.

 

"Itu kebetulan. Bencana memang terjadi di mana-mana dan bila-bila masa. Mungkin kejadian tu cuma suatu yang dijadikan sandaran garapan asas karya. Bukannya betul-betul mengisahkan insan yang terlibat pun", jelas kakaknya.

 

"Lagipun, bukankah seni itu diinspirasikan realiti? Karya fiksyen terhebat pun masih bersandar pada cebisan fakta. Cabaran buat karyawan, jika garapannya memberi pengajaran, itu lebih baik". Faizal mengangguk. Fikirnya, kakaknya ini tiba-tiba berfalsafah pula. Atau berfalsampah?

 

"Apa lagi ciri-ciri yang perlu ada? Sado? Hensem?". Faizal meneka lagi dengan dua kriteria tipikal kegilaan wanita Melayu.

 

"Sado tidak penting. Aku bukannya besi yang nak diangkat tiap-tiap hari. Hensem pun tak penting. Masa berak, jadi tak hensem juga". Muka Faizal sedikit masam, analogi visual yang diberi kakaknya sedikit mengganggu.

 

"Yang penting comel. Gaya yang bersahaja. Sempoi. Tenang mataku melihat setiap hari". Kakaknya makin berani berkongsi ciri lelaki idaman.

 

"Kalau muka pecah rumah pun OK?", soalan seterusnya dilontarkan Faizal.

 

"Kalau hati baik, apasalahnya?".

 

"Yelahkan, mu pun bukannya cantik", adiknya selamba menguji lagi kesabaran Sayang. Namun, tiada reaksi dari kakaknya. Mungkin terlalu fokus pada filem yang dihadapnya.

 

Soalsiasat terhenti seketika. Faizal menjeling jam di dinding. Maghrib sudah kian hampir.

 

"Kalau boleh, biar yang pandai memasak", sambung kakaknya secara tiba-tiba.

 

"Kenapa?", Faizal menyoal, sedikit pelik dengan kriteria yang satu ini.

 

"Senang sikit. Boleh gilir-gilir masak!". Kakaknya ketawa besar.

 

"Ish... Patutlah makin gemuk. Dah la kuat makan. Malas pulak", bidas adiknya.

 

Kakaknya senyum sahaja. Bukannya Sayang tidak tahu memasak, cuma jarang-jarang. Itu pun kerana ibu mereka memang cekap memasak.

 

"Tapi, yang paling penting, mesti penyayang dan tahu hormati orang tua", tambah Sayang. Adiknya mengangguk. Setuju benar.

 

"Eh... mu taknak berdoa ke?"

 

"Kenapa pulak?". Sayang menoleh menatap wajah adiknya.

 

"Sekarang kan dah nak hujan? Orang kata, masa hujan adalah antara yang terbaik untuk berdoa", jelas Faizal.

 

Kakaknya melihat keluar, memang langit sudah semakin gelap. Berlapis-lapis gelapnya awan di langit. Sementelah pula sang mentari sedang mengundur diri ke ufuk Barat, makin gelaplah jadinya alam buana.

 

"Mungkin wajar juga aku berdoa. Mana tahu, cepat sikit muncul si dia?", getus hatinya.

 

Faizal cuma tersenyum melihat kakaknya yang mula mengelamun. "Yes, jerat mengena!", tawa riang persona nakal dalam diri si adik.

 

"Ish ish ish, bakpo masih beghehi nengok movie lagi nih?", terdengar suara garau bapa mereka. Kedua kakak dan adik terkejut.

 

"Dah... Dah… Tutup laptop tu. Cubo tera mu duo tengok luar. Dah gelap sengoti. Lekah tutup keda ni. Abah nok ko sojid. Dah nok ghorib dah ni!", arah si bapa. Seperti kebiasaan, Kafe Sahabat milik keluarga mereka akan ditutup sebentar di waktu Maghrib.

 

Bebola mata Faizal dan kakaknya terpaku melihat bapa mereka yang sedang menyarung sandalnya. Lengan baju Melayunya berlipat, sedikit basah hasil berwudhuk. Rutin biasa ke masjid lebih-lebih lagi di waktu malam. Sang bapa senyum sebentar apabila disapa PakBakti yang juga dalam perjalanan menuju destinasi sama. Seperti biasa, dua sahabat rapat ni melangkah beriringan, dengan masing-masingnya membawa payung, persediaan andainya hujan membasahi bumi.

 

Sayang cepat-cepat menutup komputer riba. Filem itu akan disambungnya selepas menunaikan tiga rakaat tuntutan agama. Faizal pula sedang leka mengunci pintu kedai. Lampu neon signage utama yang menghiasi kafe termasyhur di Home Island dinyalakannya.

 

"Faizal, nanti mu doa lah untuk aku. Manalah tahu, berkat doamu, cepat sikit makbul masa hujan-hujan ni?", kata Sayang.

 

"Boleh je", sahutnya pendek. Sayang tersenyum bahagia. Ternyata, adiknya yang manja ini memang baik.

 

"Tapi lah kan, untuk kes mu ni, aku rasa, berat sungguh". Adiknya berhenti seketika. Tersenyum, membuatkan Sayang ternanti bait-bait seterusnya.

 

"Bukan setakat kena doa masa hujan, kalau ada ribut badai baru makbul kot?", sahut adiknya sambil ketawa.

 

Sayang mencapai kotak tisu disebelahnya. Laju dilontar kepada adiknya. Faizal ketawa girang. Elakkannya mengundang beberapa barangan lain dijadikan projectile di udara mencari mangsa. Fungsi kedua yang normal dalam 'peperangan' mereka. Perang saudara. Aksi manja gurauan dua beradik bersambung semula.

 

Tanpa mereka ketahui, memang telah tertulis takdir suatu pertemuan yang tidak disangka. Namun apakah takdir jua akan menentukan perpisahan?

 

 

* * *

 

Telefon berdering tanpa henti di sebuah loji nuklear di utara semenanjung Korea. Seorang juruteknik menjawab panggilan, separa mengantuk, lebih-lebih lagi sudah sedikit lewat. Jam di dinding memaparkan waktu tempatan ialah 12:30 tengah malam, setengah jam di hadapan Malaysia. Han Mi Sug menyumpah, siapa pula mengganggunya di waktu begini, harap-harap bukan prank callr akan sekerja kerana tidak ramai yang mengetahui nombor telefon lokasi rahsia ini. Dia yang terpaksa bekerja syif malam amat keletihan kerana bertugas sejak pagi tadi. Ini semua bahana mulutnya yang gatal menawarkan diri buat menggantikan rakan yang mengambil cuti kecemasan kerana isterinya bersalin.

 

Juruteknik itu tersentak apabila si pemanggil menjeritkan arahan agar segera dimatikan kuasa di loji rahsia ini. Loji di aras bawah tanah ini terlibat dalam sebuah ‘program gelap’, iaitu pemprosesan semula fuel rods terpakai. Meskipun Han Mi Sug tidak mengetahui maklumat penuh dari segi teknikal mengenai bagaimana Plutonium boleh didapati dari Purex Process yang melibatkan asid nitrik dan Uranium-235, namun dia tahu loji ini suatu yang penting buat negaranya. Terlalu penting sehingga pernah didengarinya ura-ura bahawa kewujudannya dirahsiakan dari pengetahuan IAEA. Suatu fakta yang tidak diketahuinya secara sahih, sama juga seperti ancaman terkini ujian nuklear, hasil kawalan ketat rejim pemerintah ke atas akses kepada media.

 

Dia yang baru sahaja mulai bertugas sejak 3 bulan yang lalu berpaling mencari supervisor. Insan yang dicari sebenarnya sedang di dalam tandas, menunaikan hajat dek terlalu banyak makan bulgogi pedas santapan jam 8 malam tadi.

 

Han Mi Sug harus segera mencari supervisornya. Hanya ketuanya yang mengetahui prosedur lengkap mematikan kuasa loji dengan selamat.

 

Dalam kekalutan, dia merasa bagai ada sedikit gegaran. Dia berpaling memandang ke arah reaktor. Ada desingan yang kuat, disertai cahaya yang terang. Cahaya putih yang dilihatnya itu adalah cahaya terakhir yang memasuki bebola matanya sebelum seluruh tubuhnya hancur.

 

Tuut…tuut… tuut…”, talian terputus.

 

Si pembuat panggilan berpeluh dingin. Kim Haeg-Mugi, penasihat utama kajian tenaga nuklear bak cacing kepanasan, kerisauan yang teramat. Andailah data seismik dari jabatan kajitanah yang mengesan gempabumi itu benar, suatu tragedi boleh berlaku. Letupan yang akan menyebabkan melayangnya entah berapa ratus nyawa. Dia meletakkan gagang dan cuba mendail sekali lagi, namun tidak berhasil. Mindanya berlari kencang. Dia harus memaklumkan pos tentera terdekat dengan loji itu untuk memastikan adakah benar maklumat itu tidak sempat dihadam sepenuhnya oleh juruteknik loji nuklear tadi.

 

Sebuah satelit di orbit geosynchronous yang dilengkapi sensor inframerah dan kamera bersudut luas Schmidt telah mengesan letupan bawah tanah yang terhasil. Satelit seberat 2.4 tan yang sedang berada 36,000 kilometer di atas semenanjung Korea juga telah merakam dua kerlipan yang disertai radiasi. Baginya, itu adalah tanda sahih suatu letupan nuklear telah berlaku. Lokasi loji rahsia yang sentiasa dinafikan kewujudannya merumitkan lagi keadaan. Satelit menghantar isyarat kecemasan ke pusat kawalan di Bumi, maklumat yang serta-merta dikongsi, mengakibatkan semua negara yang berhampiran mengaktifkan sistem amaran keselamatan masing-masing. Ada yang telah menggerakkan aset ketenteraan di laut dan ada juga yang mengaktifkan tentera darat mereka. Ada pula yang terus menerbangkan jet-jet pejuang sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman.

 

Begitu juga yang berlaku di atas armada tentera laut milik USA. Kapal perang yang sedang berlabuh di Gulf of Thailand diarahkan bersedia untuk mengambil tindakan drastik, jika perlu. Pengesahan letupan disangkakan bahawa rejim penguji nuklear itu akhirnya telah melancarkan ujian senjata nuklear milik mereka.

 

Pegawai tertinggi di atas kapal terus membuat panggilan ke Washington. Isyarat dipancarkan melalui pelbagai gelombang. Kapal-kapal selam diarahkan muncul seketika untuk menerima transmisi dari negara masing-masing.

 

Suasana cemas juga hadir di limbungan dan perlabuhan milik Tentera Laut Rakyat Terbebas. Peningkatan aktiviti komunikasi dan kesiapsiagaan armada tentera milik USA menjadikan pembuat keputusan turus angkatan laut ini sedikit resah. Arahan diberikan agar aset-aset bernilai ini segera berlayar keluar dari dok. Andai benar peperangan akan menyusul, perbuatan menunggu di dok hanya saling tak tumpah bagaikan sitting ducks, menunggu maut.

 

Di serata dunia, hotlines antara kepala kerajaan menjadi sibuk. Talian terus antara kuasa-kuasa besar dunia menjadi aktif serta-merta. Setiap negara ingin memastikan penterjemah dan penganilisis terbaik bersedia untuk bertugas. Masing-masing ingin memastikan saluran diplomasi tetap dibuka.

 

Namun, badai di samudera dan angkasa umpama ada perancangan yang tersendiri.

 

* * *

 

Haji Gi Teug Han mengusap mukanya. Syukur, sempat juga dia menunaikan solat witir di lounge tadi. Kakinya diluruskan di termpat duduk. Kebanyakan penumpang sudah memasuki pesawat, ada yang sudah mula mengenakan tali pinggang keselamatan. Kelihatan beberapa pramugari sedang memeriksa kesemua bagasi telah selamat disimpan di ruangan di atas. Enjin dan turbin pesawat 747-6FF milik Coreo Airlines Regional Ilgagsu semakin panas. Penerbangan 4B 007 ke Incheon akan berlepas sebentar lagi.

 

Haji teringat dia harus menjaga wudhuknya kerana waktu Subuh yang bakal tiba akan luput sebelum sempat buatnya keluar dari perut pesawat. Buku notanya dibuka, ternyata Subuh di Seoul bermula sekitar 5:24 pagi dan tamat sejam setengah kemudian. Namun andai terbatal, dia ada bawa botol spray yang kosong. Boleh yang boleh diisi di lavatory, dan diguna untuk berwudhuk. Sesuatu yang dipelajarinya dari Jemaah haji dari Malaysia.

 

Hatinya sedikit kesal kerana tidak dapat menaiki pesawat milik negara yang kini bagai telah menjadi rumah keduanya. Pesawat yang sentiasa tersedia ruangan untuk mereka yang mahu bersolat. Ah, tidak mengapa, kali ini dia akan bersolat duduk di kerusinya sahaja. Buku notanya dibelek lagi. Insan berasal dari kejiranan Itaewon di Hannam-dong, daerah Yongsan yang terletak dalam kawasan metropolitan Seoul ini acap benar ke Malaysia. Tuntutan kerjanya sebagai pengimport makanan halal pasti membuatkan ahli-ahli majlis mesyuarat Masjid Utama Seoul yang berdekatan rumahnya menunggu berita baru hasil lawatan kali ini.

 

Aaron melabuhkan punggung kembali sepulangnya dari tandas. Dia tersenyum dan mengangguk tanda hormat melihat pakcik tua berkupiah yang menjadi teman perjalanannya. Biar pun bukanlah wanita muda yang seksi, sekurangnya, insan ini bukan anak kecil yang nakal. Kelegaan yang sama turut dikongsi si tua. Wudhuknya mungkin terjaga kali ini.

 

Puteri Hani menghampiri cockpit. Meski dia tahu gerangan bekas kekasih gelap yang meremukkan hatinya ada di sana, dia harus bersikap professional. Kerja dan hal personal dua perkara yang berbeza.

 

Daun pintu ditolak. Kedengaran gelaktawa si pilot yang sedang berguaru mesra dengan seorang pramugari muda. Hani menyumpah. Mesti si betina inilah teman baru si celaka. Mahu sahaja dirodoknya mereka berdua.

 

Hani memaklumkan bahawa anak-anak pesawat telah bersedia. Bekas kekasihnya hanya tersenyum. Mata Hani menjeling tajam pada pemilik tubuh yang mengiurkan, Ha-Nui. Terbayang di kepalanya scene tarik rambut yang boleh berlaku. Namun, dia tidak mahu berbuat apa-apa yang mampu memberi kepuasan dan meningkatkan keegoan si pilot.

 

Dia harus segera kembali ke ruangan penumpang.

 

Aaron membaca sebuah majalah yang diambil dari poket di hadapan tempat duduknya. Artikel mengenai kehidupan dan kegigihan anak muda yang mengejar taraf bintang di dunia hiburan Korea Selatan mengkagumnya. Dia teringat kunjungan kumpulan Wonder Girls yang dahulunya terkenal dengan lagu ‘Nobody’ sambil mengenakan baju kurung. Strategi marketing yang bijak mengambil kira sensitiviti tempatan. Aaron tersenyum, dia berimaginasi apa terjadi seandainya kumpulan 2NE1 pula membuat adaptasi ‘Come back home’ sebagai lagu Raya.

 

Imaginasinya terganggu dek bunyi kunyahan penumpang-penumpang. Khusyuk benar menikmati kacang bergaram. Aaron memang memiliki sedikit ciri-ciri obsessive compulsive disorder (OCD). Acapkali dia terbangun di tengah-tengah malam semata-mata untuk mencuci tangannya dan buat memeriksa samada pili air tertutup rapat. Dia memang membenci bunyi air yang menitik, atau bunyi-bunyi lain yang menjengkelkan, seperti bunyi orang mengunyah. Sindrom misophonia ini sememangnya sudah sebati dalam dirinya.

 

Melihat kelibat seorang pramugari yang menghampiri aislenya, Aaron terus menekan butang untuk mengambil perhatian. Si pramugari mendekati Aaron, dan mengangguk apabila mendengar permintaannya buat segelas minuman keras. Namun, langkahnya sedikit kaku terlihatkan pak tua berkupiah di sebelah Aaron.

 

Hati Hani mula bergoncang. Mungkin itu tanda dia harus mencari kerja lain. Saranan seorang ustaz yang pernah ditemui terngiang di telinganya. Kata si ustaz, pintu taubat sentiasa terbuka, Allah akan sentiasa memberi ingatan pada kita, jadi janganlah dibutakan mata.

 

Hani membuat keputusan. Kali ini, dia akan meminta rakan sejawatnya yang menghidangkan air kencing syaitan itu. Mahu tidak mahu, dia harus bersemuka dengan Yong Ha-Nui, pramugari muda yang bertugas di aisle yang sama dengannya. Insan yang pernah digelar si pilot secara berseloroh ‘Young Honey’, umpama mencabar Hani yang dahulu dipanggilnya manja ‘Honey’. Seloroh yang sebenarnya menggambarkan flirting mata nakal yang sering menjamah tubuh gadis itu. Hani menghela nafas panjang. Tak mampu menafikan bahawa si betina itu memang cantik. Wajahnya mirip gadis yang memiliki nama serupanya, gadis Korea yang berjaya mencapai kedudukan lima teratas Miss Universe 2007.

 

“Ku sangkakan jujurnya ‘honey to the bee’, tetapi sebenarnya, habis madu sepah dibuang”, getus hati Hani.

 

Aaron masih ternanti hidangannya. Dia melelapkan mata, cuba menangani fobianya untuk terbang apabila merasa pesawat sudah mula bergerak perlahan keluar dari parking bay. Dibetulkan duduknya. Terasa bagai ada yang mencucuk dari koceknya. Tangannya menyeluk dan mengeluarkan barangan itu

 

“Oh, keychain dari kasino Venetian di Macao”, bisiknya sendiri. Lokasi yang sama di pinggiran Barat Pearl River Delta, tempat dia mencacah badannya. Asalnya, ingin dicacahkan design yang serupa milik Chan Ho Nam. Namun dia sedar, meskipun hairstyle dan selalu ditirunya gaya mengorek telinga dengan ibu jari kanan sambil memegang rokok, dia bukan insan yang memiliki rakan-rakan seperti Pou-pan, Chicken, mahupun Tai Fai.

 

Tubuh pesawat mula bergegar. Pecutan semakin laju, cubaan aerofoil memaksimakan Magnus Effect agar dapat meluncur terbang meninggalkan KLIA. Aaron melelapkanmata, giginya diketap rapat.

 

* * *

 

Bunyi guruh berdentum-dentam yang disusuli kilat sabung-menyabung membuatkan Aaron terjaga. Terpisat-pisat dia mengesat matanya. Dia menoleh ke kanannya, kelihatan Haji Gi Teug Han sedang berdoa.

 

Tubuh pesawat bertalu-talu ditala alam yang sedang menyahcas. Lampu kelip-kelip berona biru di sayap kanan sedikit malap. Begitu juga lampu berwarna merah di sayap kiri. Barangkali, litar dalaman sedikit terganggu. Lampu-lampu ini menandakan right-of-way dan digunakan sebagai penanda visual di mana muncung dan bahagian mana belakang kapalterbang, konvensi yang menyerupai apa yang dimiliki kapal laut.

 

Aaron terdengar pengumuman mengejut dari juruterbang, memaklumkan akan ada sedikit ubahan pada laluan. Diversion yang akan mengakibatkan hentian sementara buat pengisian minyak tambahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. Beberapa penumpang mengeluh.

 

Pilot juga berjanji akan sentiasa mengemaskini maklumat terkini penerbangan. Katanya, ini semua disebabkan cuaca buruk yang mengejut. Penjelasan yang masih tidak mampu meredakan kemarahan dan kerisauan para penumpang. Ada soksek-soksek lanjut yang berteori sebenarnya semua ini untuk mengelakkan kawasan panas di Kepulauan Spratly. Teori yang kononnya disokong dakwaan tindakan agresif dan latihan ketenteraan di kawasan tuntutan bertindih.

 

Seperti biasa, ramai yang menjadi pakar mee segera.

 

Di dalam cockpit, si juruterbang dan pembantunya  sedang gigih memprogramkan laluan baru. Laluan yang akan membuatkan mereka terbang seketika di atas Laut Andaman, sebuah lautan yang sebenarnya adalah sebahagian dari Lautan Hindi. Si pembantu ingin membantah risiko tambahan ini, namun keseriusan wajah seniornya membuatkan hajatnya terbantut.

 

Kedua-dua pengendali pesawat membuat nota untuk menghubungi semua Air Traffic Controller (ATC) di sepanjang laluan baru. Mereka tahu sekurang-kurangnya pesawat ini harus mengidentifikasikan diri kepada ATC Bangkok, ATC Vientianne dan ATC Hanoi. Ini akan membantu mereka mendapatkan informasi bearing yang tepat, koridor utara, kelajuan dan ketinggian yang sesuai. ATC-ATC ini jua akan memberi maklumat terkini cuaca dan trafik udara. 


Namun, sayangnya, sistem komunikasi mereka sedikit terganggu. Hanya statik yang kedengaran.

 

Peluh dingin berhimpun di dahi juruterbang. Dia tidak mahu mengulangi kejadian pesawat yang ditembak jatuh semata kerana terkeluar dari laluan yang sepatutnya. Seandainya pesawat melintasi zon larangan terbang, bala akan menanti, seperti yang berlaku tiga dekad yang lalu di ruang udara Pulau Sakhalin. Dalam keadaan putusnya komunikasi, timbul di radar tentera bukanlah sesuatu yang teruk baginya, selagi tidak dilabel sebagai bogie yang tidak dikenali.

 

Dalam kekalutan itu, si juruterbang yakin pilihannya mengubah haluan adalah tepat. Dia yakin dia masih lagi di ruang udara antarabangsa. Keyakinan yang tiada bersandarkan apa-apa selain bebenang egonya.

 

Kelipan lampu di luar pesawat semakin malap. Gulungan awan gelap membataskan lagi identiti pengenalan pesawat komersial itu.

 

* * *


Kapten Pun Ba melihat ruang kiri dan kanan jet pejuang F-17C di bawah kawalannya. Dari dalam jet fighter bernilai 22 juta dolar Amerika itu, dia terlihat susuk tubuh sebuah pesawat lain. Bogies yang tidak dikenali dalam radarnya. Visual yang terhad dek cuaca buruk tidak mengizinkannya mengidentifikasi sebarang logo pada pesawat yang lebih besar itu.

 

Dia cuba menghubungi pusat kawalan. Tiada pengesahan yang diberikan. Dia nekad, dia harus mendekati pesawat itu. Siapa tahu, ia mungkin sebuah pesawat pengebom, sangkanya.

 

Kapten yang memang terkenal berdarah panas baran itu membuat keputusan untuk mendekati pesawat tersebut. Andainya pesawat itu tidak berpatah balik, jemarinya di picu akan dipetik, menghadiahkan buah tangan berapi bagi tetamu tidak diundang.

 

Tangannya menarik keras navigation stick di hadapannya. Meter yang menunjukkan altitud pesawatnya berubah mendadak. Kelajuan Mach 1.5 menyingkatkan ruang sekelip mata. Dia ingin merapati pesawat misteri itu secepat mungkin. Namun, dalam keghairahan menunjukkan kejantanannya, nyata dia tersalah anggar jarak antara kedua pesawat itu. Manouver mendaki vertikalnya tamat tiba-tiba.

 

Boom!

* * *

 

Pesawat 747-6FF menjunam laju. Sebahagian sayap kirinya terbang bersama jet pejuang F-17C yang muncul secara tiba-tiba. Pramugari yang tadinya baru mula menolak keluar troli untuk menghidang snek ringkas lewat malam terhuyung-hayang. Brek yang belum sempat ditekan menyebabkan jatuhnya tray makanan bersama botol-botol yang bergolek. Suasana di aisle, laluan di antara barisan kerusi semakin menjadi kelam-kabut. Para penumpang menjerit meminta tolong, bagaikan merekalah satu-satunya nyawa yang perlu diselamatkan. Meski ada pramugari yang cuba membantu, langkah mereka terhalang dek pakaian ketat yang menyalut tubuh.

 

Dari atas kepala para penumpang, corong-corong udara oksigen turun secara automatik. Penurunan mendadak ketinggian pesawat bakal mewujudkan perubahan tekanan di dalam kabin. Aaron menoleh melihat anak kecil yang mungkin baru terjaga. Anak yang keseorangan, entah di mana ibunya, Aaron tidak pasti. Dia yang tadinya sedang mengenggam jaket keselamatan yang dicapai dari bawah tempat duduknya segera melepaskan tali pinggangnya. Dia mahu membantu si anak kecil.

 

Dalam kekalutannya, dia terpijak jaket keselamatannya sendiri. Entah mengapa, barangkali dia kehilangan kawalan diri kerana garisan horizontal pesawat yang kini makin cenderung menjadi vertikal. Kepalanya terhantuk. Darah yang mengalir dari dahi menutupi mata kirinya. Segalanya bagai berputar buat Aaron.

 

Melihatkan Aaron yang terbaring, Haji Gi Teug Han merapatinya dengan segera. Dialihkan jaket biru milik Aaron yang terjatuh menghalang laluannya. Zip jaket yang terbuka mengakibatkan surah Yaasin di dalamnya tercicir. Haji segera mencapainya dan diselitkan ke dalam poket seluar Aaron. Jaket keselamatan yang tadinya tersarung ke tubuh, segera ditanggalkan Haji dan disarungkan pula kepada Aaron. Padanya, nyawa si anak muda yang seagama dengannya harus diselamatkan. Anak muda yang cuba menyelamatkan nyawa anak kecil, biarpun tidak kesampaian. Kini gilirannya pula menyelamatkan si anak muda ini, kerana yang tua harus berkorban.

 

Dalam keadaan separa sedar, Aaron menoleh ke wajah Haji yang masih kelihatan tenang.

 

Allahuakbar!”.

 

Itulah kalimah terakhir laungan Haji yang menjengah gegendang telinga Aaron, sebelum dia pengsan.

 

* * *

 

Rahman dan rakan-rakan di dalam tongkang menjadi saksi peristiwa malang yang berlaku di udara. Meski mereka tidak dapat melihat secara jelas, bunyi dentuman yang kuat cukup untuk membuatkan mereka mendongak. Diikuti pula dengan visual mengerikan melihat pesawat yang terjunam sebelum kelihatan bagai mengalami gliding yang sedikit terkawal.

 

Namun, itu berlaku kira-kira 30 minit yang lalu. Kini,apa yang kelihatan hanyalah kepulan asap dan nyalaan api yang makin ketara di tengah lautan. Tekong tongkang yang mulanya sedikit ragu untuk menghampiri lokasi itu akhirnya menukar fikirannya, biarpun dia tidak ikhlas untuk membantu.

 

Tongkang perlahan menuju ke lokasi bertemunya jasad pesawat dengan permukaan laut. Kelihatan beberapa insan dan barangan sedang terapung.

 

Rahman dan rakan-rakannya yang tadinya disembunyikan di awas bawah tongkang dibenarkan naik ke aras atas. Tekong memberi isyarat agar mereka membantu mencari apa-apa sahaja yang berharga. Di saat itu, Rahman terlihat Aaron.

 

Dengan bantuan rakan-rakan sekapal, Rahman mengail Aaron. Kilauan jam di pegelangan tangannya membuat mata tekong terpana. Dia tahu, mesti tinggi harganya. Dan mungkinkah si musafir hanyut ini orang kenamaan?

 

Sejurus Aaron dibawa naik ke atas tongkang, si tekong terus menghampirinya. Bahunya keras melanggar para insan berbangsa Rohingya yang mengurumuni Aaron. Si tekong tersenyum setelah jam berharga itu ditanggalkan. Dibeleknya di bawah lampu kerosin yang bergantungan di aras atas tongkang miliknya. Eh, insan ini masih bernafas?

 

Meskipun tekong tidak pernah mengalami situasi ini, gerak hatinya memberitahu insan ini ada nilainya. Siapa tahu, mungkin ada banyak lagi barang-barang berharga di tubuh si musafir hanyut ini. Entah-entah, penumpang yang satu ini boleh dijadikan tebusan seandainya tongkangnya ditahan pihak berkuasa.

 

Dengan rakus, tekong itu sendiri mencabut baju dan kasut Aaron. Setiap yang ditanggalkan melebarkan lagis enyumannya. Nyata, kali ini bukan ikan bilis yang tertangkap.

 

Ketika si tekong sedang cuba menanggalkan seluar Aaron pula, Rahman menahan tindakannya itu. Rahman beriya-iya menjerit dalam bahasa ibundanya bahawa itulah satu-satunya yang mampu menutup aib si Aaron. Si tekong kehairanan, meski pun dia tidak faham biar sebutir yang dituturkan Rahman, dia masih pelik kenapa insan ini sibuk sangat nak mempertahankan Aaron? Musafir hanyut ini bukannya berwajah serupa dengannya, warna kulitnya menunjukkan tidak mungkin mereka sebangsa. Dan bukan juga seagama, kerana setahunya orang Islam tidak boleh bertattoo. Dan cacah di belakang badan Aaron bukanlah kecil. Cuma insan buta yang akan terlepas pandang.

 

Melihat reaksi Rahman yang berani menghalangnya, tekong menjadi semakin geram.

 

“Berani betul dia menghalangku? Bedebah!”, getus hatinya. Seraya itu, isyarat diberi pada konco-konconya agar Rahman dibelasah. Biar jadi pengajaran buat penumpang yang lain. Biar maklum kepada semua, di atas tongkang ini, si tekonglah raja. Setiap kata-katanya ialah undang-undang.

 

Tangan dan kaki menyinggahi tubuh Rahman. Hentakan demi hentakan yang kuat mematahkan tulang tangan Rahman. Namun, tidak sedikit pun dia mengeluh. Cuma kalimah nama Tuhan yang disebutnya berulang-ulang.

 

Rahman teresak-esak. Tangannya yang patah masih menggenggam sebuah bingkisan bersalut plastik. Sebenarnya, naluri Rahman tergerak buat mempertahankan maruah Aaron apabila bingkisan itu tercicir semasa susuk badan Aaron yang masih belum sedar dibalikkan di atas lantai.

 

Ya, bingkisan yang mengandungi surah Yaasin. Bingkisan yang dikutip Rahman dan disimpannya bersama surat tunggal dari kembarnya, Raheem.

 

Rahman merintih kesakitan. Teman-teman sekapal merapatinya dan memapahnya ke bahagian lain kapal. Tulang yang patah dibungkus dengan kain, bersama dua kepingan kayu yang mengapitnya.

 

Seusai ‘mengutip’ barang-barang berharga dari jasad yang terapung, tongkang cepat-cepat menghidupkan kembali enjin. Mereka harus berambus segera, takut nanti dikesan pihak berkuasa yang datang. Mereka memecut laju, mencari tempat persembunyian, kerana dalam 3 jam, fajar subuh akan menyinsing.


 

* * *

 

Kicau burung sedikit kuat, meskipun matahari masih belum muncul. Barangkali mereka berzikir memuja-Nya seiring dengan fajar sadik, pemisah malam gelap dan hari yang terang.

 

Aaron terbangun, terlihat satu susuk tubuh yang sedang bersila di sebelahnya. Bagai tengah membaca sesuatu. Aaron menggosok mukanya, dia tidak tahu dia di mana, dan bagaimana dia berada disini. Ketika dia ingin bangkit dari baring, terasa denyutan kuat di kepalanya. Aduh, apa yang telah terjadi?

 

Rahman memberhentikan bacaannya. Surah Yaasin ditutup rapi. Dia merapati wajah insan yang baru terjaga.

 

Aaron terkejut. Wajah yang tidakdikenalinya itu umpama pernah dilihatnya petang tadi. Tetapi di mana?

 

Seribu persoalan yang setiap satunya terlalu rumit timbul di benaknya. Kekusutan yang teramat, tambahan pula dia sendiri tidak ingat siapa dirinya.

 

Rahman tersenyum. Lafaz salam diberi, namun tergantung begitu sahaja. Dengan tangannya yang masih sempurna, Rahman menyuakan sedikit air dan makanan kepada Aaron. Santapan ringkas yang rakus ditelan. Biar memori masih tiada, Aaron tahu dia amat lapar.

 

Insan-insan lain di dalam tongkang mula mengerumuni Aaron. Ramai yang ingin berbicara dengannya, namun tidaklah pula mereka mampu dek kerana jurang pemahaman bahasa di antara mereka. Ribuan perkataan yang diucap tidak mampu dimengerti.

 

Tiba-tiba, mereka kesemua beralih ke tepi. Tekong yang tadinya mendengar sedikit riuh-rendah mencangkung tepat dihadapan Aaron. Soalan demi soalan ditanya berkenaan identitinya. Bahasa Inggeris pasar digunakan.

 

Aaron cuma menggeleng. Dia tidakmampu mengingati apa-apa. Lantas, si tekong mengheretnya menaiki tangga ke aras atas tongkang. Pukulan demi pukulan diberi. Tekong tidak percaya Aaron tidak tahu siapa dirinya yang sebenar. Sangkanya, Aaron cuma berpura demi membazirkan waktu. Tekong mengherdik geram. Katanya Aaron pasti orang kaya, sambil tangannya menggoyang-goyangkan jam yang telah dirampas.

 

Aaron masih menggeleng, membuatkan tekong semakin hilang kawalan. Ditolaknya Aaron. Dia jatuh, dan kepalanya terhantuk sekali lagi di lantai. Luka yang tadinya terlah dibalut kembali memancutkan darah.

 

Sekali lagi tekong bertanya, namun Aaron hanya mengatakan dia tidak tahu. Dibakar api amarah, si tekong mengambil rokok di bibirnya dan dicucuh satu-persatu jari-jemari Aaron. Katanya, mungkin kesakitan akan mampu mempercepatkan ingatan Aaron. Dia menggelupur, melolong kesakitan. Dek kerana terlalu sakit, Aaron pengsan kembali.

 

* * *

 

Tiba-tiba Aaron tersedar, kesejukan. Air laut yang masin jua memberikan kepedihan pada jemarinya yang luka. Dia melihat sekeliling. Kelihatan suasana kalut yang ketara.

 

Aaron bangkit dengan perlahan. Kakinya amat goyah, mungkin kerana kehilangan darah yang banyak. Di pelosok kapal, Aaron terlihat sekujur tubuh, dari cahaya api yang sedang menjamah badan tongkang, nyatalah yang mati adalah si tekong.

 

Mata Aaron melilau melihat mencari wajah-wajah yang dikenali. Kelihatan beberapa insan sedang terjun ke dalam air, meninggalkan tongkang yang semakin karam. Manakan tidaknya, Aaron bagai ternampak lantai dan dinding tongkang yang pecah, mungkin terlanggar sesuatu.

 

Tiba-tiba bahunya ditepuk. Aaron berpaling. Rahman menarik tangan Aaron dan mengisyaratkannya agar menaiki sebingkai pintu yang sedang beroleng-oleng di air. Pantas Aaron menaikinya. Dia membetulkan duduknya agar stabil, dan agar ada ruangan untuk temannya tadi.

 

Aaron cuba melihat andai ada apa-apa figura besar yang mungkin menunjukkan daratan. Namun, tidak ada. Cuma air lautan menemaninya.

 

Dia berpaling ke belakang, sambil tangannya didepa untuk menyambut sahabatnya tadi. Baru dia tersedar, rupa-rupanya, sahabatnya tidak akan turut serta. Aaron kehairanan. Dia melaung dan melambai-lambai memanggil si penyelamat, namun, tongkang yang semakin karam telah berada semakin jauh.

 

Buat kali pertama dalam hidupnya, Aaron ketakutan. Dia hanya mampu merenung ke langit yang sudah semakin cerah dan berharap. Daun pintu itu terus bergerak. Aaron yang dalam kesakitan hanya mampu berbaring. Matanya dilelapkan, andai ajalnya di sini, dia pasrah. Dalam diam, hatinya menghanturkan seluruh pengharapan.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi