Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,711
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 4

BAB 4: “HADIAH II”

 

Aaron mengangkat wajahnya. Tersenyum. Kate baru sahaja tiba di lot parkir di aras besmen. Toyota 86 milik gadis diletakkan di sebelah kenderaan milik jejaka penambat hati. Kini, kenderaan berpendaftaran NEW 777 kelihatan sedikit overshadowed oleh kenderaan pacuan empat roda BMW X5, sebuah Sports Activity Vehicle yang mengungguli kelas termewah SUV. Kereta berona Imperial Blue Diamond yang memegang plet nombor NEW 8055 itu kelihatan gah. Sesuai dengan mainan perkataan ‘NEW BOSS’.

 

Jejaka itu menekan punat kekunci kenderaannya. Satu-persatu barangan dimasukkan ke dalam ruangan simpanan di bahagian belakang. Dia menoleh. Kate kini telah berdiri di sampingnya, menghulur tangan yang sedia menanti diserahkan kunci untuk pemanduan pulang ke kampung halaman.

 

Aaron kehairanan. Mengapa pula temannya ini amat berbeza penampilannya? Sopan sungguh, menggayakan abaya dan selendang. Fikirnya, barangkali gadis ini sedang cuba menghayati mood tugas peragaannya yang baru. Sebuah syarikat yang tidak pula Aaron pasti apa namanya. Setakat yang diketahuinya, mereka pengeluar busana Islamik, tapi tugasan ini rasanya bukan untuk pasaran tempatan. Hatinya sedikit gusar dan celaru. Namun, senyuman manis Kate memujuknya. Aaron pasrah. Lagipun, sejuk juga matanya memandang.

 

Aaron melabuhkan punggungnya ke kerusi penumpang. Tangannya menggapai tali pinggang keledar, disarungkan. Ditarik untuk memastikan ianya terpasang erat. Sementara itu, Kate sedang serius menyesuaikan kedudukan stereng, cermin tepi dan cermin pandang belakang. Kedudukan kerusi juga diubah, sesuai dengan ketinggiannya.

 

Lenglui, ini hali sulah belapa kotak tofu lu hantar? Sulah boleh beli ini tayar hor?",gurauan si jejaka membuatkan Kate mencuka masam.

 

“Ini keleta manyak syiok bawa hor?Talak bau busuk selupa monyet. You talak perasan meh?”, Aaron masih cuba menguji kesabaran teman wanitanya. Kate terus menghidupkan enjin kenderaan dan memacu keluar dari perkarangan bangunan.

 

Kate mengerti benar sifat Aaron yang suka mengusik. Sudah lali dibuatnya. Kekasihnya bukan seorang yang rasis, cuma terkadang gurauannya agak melampau. Aaron memang gemar bergurau tentang kenderaan drift pacuan roda belakang milik si gadis. Kenderaan bertaraf ‘cucu’ kepada si lagenda Toyota AE86, yang kononnya rona warna merahnya diinspirasi dari punggung Japanese macaque. Monyet di kawasan salji yang turut digelar Nihonzaru.

 

Kate memberhentikan tunggangan mereka seketika di persimpangan jalan. Matanya melirik ke setiap penjuru, sambil tangannya cekap memastikan lampu isyarat membelok masih aktif.

 

You ada nak singgah mana-mana?”, tanya pemandu sementara Aaron.

 

“Berhenti jap kat warung biasa tepi jalan, boleh? Nak cari kuih”, sahut Aaron. Kate hanya mengangguk. Matanya masih fokus di jalanan. Aaron meletakkan tangannya di atas perut yang sudah mula berkeriuk. Lapar dan sedikit hangover makin menjadi-jadi buatnya.


Aaron membuka dashboard.  Dia mencari CD yang sesuai untuk perjalanan. Baginya, itulah tugas utama seorang co-driver, selain menjadi pemandu arah. Namun, kini Waze sudah mencukupi. Sebuah CD dimasukan ke dalam player, sebelum disandarkan kembali kepala. Selesa. Bagus, molek benar andai dapat dicapainya tidur sekelap.

 

Kate memandu dengan penuh waspada. Ditangannya kini terletak dua nyawa, terhimpun dalam kenderaan berharga setengah juta. Pernah dia bergurau dengan Aaron, andainya tiada duit suatu masa nanti, bolehlah Aaron tidur sahaja di dalam kereta. Harganya pun sudah menghampiri rumah teres dua tingkat seluas 22 kaki kali 74 kaki di bandar Nilai. Masih terngiang jawapan Aaron yang diselangi gelaktawa, “Mungkin, kalau tak dapat gaji. Siang-siang, boleh kerja Uber.Kalau tak pun, boleh buat khidmat pengangkutan eksklusif yang mereka yang mahu bertemu janji. Malam, tidur kat sini”. Kate senyum sendirian. Dia menoleh ke wajah Aaron. Sudah hampir terlelap.

 

Aaron pernah berkata, dia bukannya ingin bermewah sangat. Bukanlah dia tidak pernah mengidamkan meletakkan namanya sebagai pemunya aset mewah seperti Montalban House, cuma dia masih belum mampu. Jika cuba juga dicapainya, pasti ribut imbroglio yang mengeekori akan menghilangkan tidar yang lena. Baginya, kenderaan ini penting buatnya memaparkan imej gah, agar klien yakin berurusan dengan syarikatnya. Sambungnya, kereta itu bukanlah miliknya, masih milik bank selagimana dia tidak menyelesaikan loan pinjaman. Pernah juga Kate menasihatinya agar berhati-hati. Ujarnya, punca utama masalah kewangan adalah pinjaman pembelian kereta. Aaron tidak menyanggah kerana memang benar, kerana di penghujung hari, ia akan menjadi besi buruk jua. Bukan seperti aset hartanah atau rumah.

 

Kate memberhentikan kenderan di bahu jalan. Isyarat kecemasan dinyalakan. Dia mengejutkan Aaron dari lena.

 

Aaron menggosok mukanya. Ah, telah tiba di warung.

 

“Eh, mana pula pak cik yang biasa berniaga di sini? Mak cik penjual pau je yang ada? Alamak, kempunan lagi keria sedap!”, cetus hatinya. Namun, perutnya yang semakin berkeroncong mengharuskannya turun dan melihat apa yang tersedia.

 

“Ya, nak. Awak nak beli apa? Macam-macam pau ada. Homemade…”, sapa si penjual.

 

“Mak cik, mana owner gerai sebelah ni?”, tanya Aaron.

 

“Entahlah, nak. Tak tahu pula makcik. Dah dua hari dia tak mai niaga”. Oh, mak cik ni berasal dari utara tanahair, rupanya.

 

“Tak tahu la pulak kalau depa dah ligan dia…”, kata si peniaga sambil merenung jauh.

 

Aaron mengerutkan mukanya. Siapa pula yang memusuhi pak cik tua tu? Bukannya dia seorang yang merbahaya. Setakat pesara berniaga mencari rezeki tambahan.

 

Awat hang caghi dia? Kenai ka?”, soal peniaga di hadapan Aaron.

 

“Eh, tak lah. Saya suka makan kuih dia”, jawab Aaron.

 

A’ah. Memang sedap kuih dia. Ghamai datangbeli. Oghang besaq-besaq pun ada mai sini”, kata si peniaga, mengiyakan. Tangannya sibuk mengipas plastik yang terikat di hujung kayu. Barangkali ingin menghalau lalat. Lilin bernyala kurang efektif hari ini. Mungkin kerana bawaan dari longgokan sampah yang tertonggok tidak jauh dari situ.

 

“Mak cik, kuih apa ada?”, soal Aaron mengubah halatuju perbualan. Perut yang kosong perlu diisi segera.

 

“Ada macam-macam jenis pau. Kaya ada,kelapa ada, kacang merah ada”, jawapnya.

 

“Kalau nak pau ayam, daging pun ada. Nundia. Semua panaih belaka. Mao kalao kata, fresh-fresh”, sambil memuncungkan mulut menunjukkan satu lagi tempat simpanan yang memanaskan pau.

 

Aaron berdiam sejenak. Mindanya ligat memikrkan apa yang ingin dibeli. Irama lembut berkumandang dari radio kecil yang dipasang si peniaga. Lagu “Na Na Na” dendangan My Chemical Romance, barangkali.

 

Jejaka itu menuding jarinya ke kotak berisi pau. Ikutkan hati, mahu saja dia membeli banyak-banyak. Namun dia berkeputusan untuk hanya membeli dua pau kaya untuk dirinya, dan sepasang pau yang lain berinti kacang merah untuk Kate. Ingin food tasting dahulu.

 

Hang pi mana?”.

 

Aaron tersentak. Dia menoleh ke wajah si peniaga.

 

Ah, rupa-rupanya mak cik ini sedang menyoal seorang insan lain yang baru tiba di lokasi yang sama.

 

Sorila, mak. Cek gi hospital sat tadi”, jawab insan itu. Oh, anaknya.

 

Awat hang pi sana? Sapa sakit?”, soal si ibu dengan wajah penuh kerisauan. Ibunya berlari mendapatkan si anak. Dirapatkan tapak tangan ke dahi, dibelek wajah anaknya. Aaron umpama ghaib seketika.

 

Dokaih. Takdak sapa sakit. Cek pi nak caghi kerja”.

 

Keja apa? Hang bukan belajaq doktor pun? Hang jangan memandai nak cucuk sana-sini!”.

 

“Eh, dok aih. Bukan… Cek nak jadi…”, jawab sang anak.

 

“Jadi misi? Hang tu cemerkap. Gena nak jadi misi?”,interogasi si ibu mencantas bicara anaknya.

 

“Bukan… cek nak jadi jaga”, sambut anaknya.

 

“Oh, awat tak habaq awai-awaiHang ingat ni lagu ka, ada korus bagai?”. Ibunya tersenyum.

 

Aaron tergelak kecil.


“Eh, mintak mahap la, nak. Mak cik terlupa kamu. Risau tengok anak yang ketegaq ni. Kat Kolumpoq ni kena hati-hati selalu. Ramai sangat yang jahat”, jelas mak cik si peniaga.

 

“Takpe. It’s OK”, sahut Aaron. Tangannya memberi isyarat kuih-kuih pau yang ingin dibelinya. Bagaikan mengejar masa, si peniaga dengan pantas membungkus kuih-kuih tersebut.

 

“Berapa?”, soal Aaron seraya membuka dompetnya. Sekeping not dua puluh ringgit dikeluarkan. Si peniaga menekan-nekan butang kalkulator. Aaron terlihat jumlahnya. Harga yang berpatutan, sangkanya.

 

Duit dihulurkan tika si peniaga tengah sibuk mencari wang baki.

 

“Eh, takpe, mak cik. Simpanlah baki tu. Anak pun dah nak mula kerja,kena pakai banyak duit nanti tu”. Jarinya dihalakan pada si anak yang sedang tersengih.

 

“Terima kasih la, nak. Moga-moga Allah murahkan lagi rezeki kamu”.

 

“Berniaga sini OK ke? Takde sesiapa kacau?”, soal Aaron. Entah mengapa, bicaranya dengan mak cik yang ramah ini membuatkannya terimbau kenangan silamnya di kampung.

 

Si peniaga cuma tersenyum dan mengangguk. “Sini OK. Kena ada kuasa senyuman. Kalau ada payung, OK lah berniaga”.

 

Aaron sedikit pelik. Apakah kuasa senyuman?

 

Melihatkan raut wajah Aaron, semakin lebar senyuman si peniaga.

 

“Kamu tak tahu kuasa senyuman?”. Aaron cuma menggeleng.

 

“Kamu nak tahu kuasa senyuman?”, soal lanjut si peniaga. Aaron cuma mengangguk.

 

Si peniaga mengeluarkan kembali duit yang digunakan Aaron tadi dari baldi kecil simpanannya. Aaron masih tidak dapat meneka apa yang ingin ditunjukkan kepadanya.

 

Si peniaga menunjukkan muka hadapan not itu. “Kamu nampak senyuman di sini?”, katanya sambil jarinya menuding ke ruangan kanan kertas itu. Aaron mengangguk.

 

“Ha… Makin banyak senyuman di tangan, makin lebarlah senyuman di muka. Nak berniaga apa dan di mana-mana pun boleh. Hebat bukan?”, kata si peniaga.

 

Aaron cuma tersenyum dan mengangguk. Ah, memang benar, itulah pelincir universal.

 

Jejaka itu memohon diri dan melangkah kembali ke arah kenderaannya. Mesti Kate pun sudah agak bosan menunggu. Tetapi setidak-tidaknya, Aaron boleh menyuakan pau-pau beraroma harum sebagai ranting perdamaian. Tanpa diketahui, ada doa si peniaga yang turut mengiringi.

 

* * *

   

Rahman melihat jam di tangan. Tongkang yang beroleng-oleng di Lautan Andaman membuatkannya sedikit mabuk. Cepat-cepat Rahman meneguk air yang tersimpan dalam botol yang dikepitnya.

 

Dia sedar walau apa yang terjadi, dia harus meneruskan perjalanan ke Malaysia. Wajib buatnya mencari Raheem. Kembarnya itu amat dirindui ibunya yang sudah semakin tenat di wilayah Arakan,Myanmar.

 

Rahman memandang sekeliling. Hanya laut membiru kelihatan. Tongkang yang dinaikinya bergerak semakin perlahan, dan akhirnya berhenti. Tongkang berlabuh seketika di sebuah pulau kecil tidak berpenghuni berhampiran Bok Ye-gan. Memang begitu resmi perjalanan mereka. Pelayaran yang cuma ditemani gelap malam, penuh kerahsiaan. Sesekali enjin dimatikan. Sunyi, tanpa sebarang bunyi dibenarkan. Mereka bagaikan angkatan semut hitam bisu yang menghurung di malam gelap, tiada berbulan dan tiada pula berbintang.

 

Perjalanan sepanjang malam dari pulau Kaingthaung amat mengerikan dan mendebarkan. Ombak menggunung bagaikan lautan yang digulung. Tidak wujud sebarang jaket mahupun apajua perkakas keselamatan. Lantai tongkang yang berlubang umpama jerangkap samar. Semalaman Rahman berjaga, kerana terasa bagai ada yang merayap di kaki. Entah lipas, entahkan lipan. Namun, kini ada sedikit ketenangan. Sinar mentari yang semakin meninggi, diiringi kicau burung membentuk simfoni alam. Kelegaan dihadirkan hembusan bayu laut yang sesekali melalui dinding tongkang yang berlubang. Hembusan yang mengurangkan bau hancing. Bau yang tidak diketahui hadirnya dari pundi manusia, ataupun kawanan tikus yang berkeliaran.

 

Namun begitu, Rahman mengerti cuma kegelapan malam yang berlabuh membantu mereka dari dikesan pihak berkuasa. Andai ditangkap, dasar lautlah yang akan menjadi pusaranya, diziarahi ikan-ikan yang melewati. Mangsa satu lagi keranda sempit yang berlayar demi sebuah pengharapan. Perginya tak bersaksi, tibanya tak diundang. Tak jauh bezanya dengan apa yang mereka lalui di daratan. Lebih baik mati mencuba, dari menadah sahaja.

 

Dalam kesempitan ruang yang dipenuhi insan-insan lain yang sebangsa dengannya, Rahman menyeluk poketnya. Surat bertulis dalam skrip Hanifi disuakan pada cahaya matahari yang menembusi lantai tempat persembunyian mereka di aras bawah tongkang. Warkah dikirim kembar menjadi dorongan buatnya dan ibu meneruskan hidup. Kertas yang sudah hampir lunyai, dibaca dan dilipat berulangkali. Namun, tiap kali dibaca, bagai terhadir magis baru buat mereka.

 

Rahman melelapkan mata. Terbayang jelas wajah ibu di hadapannya. Pesan ibunya yang terakhir, andai perpisahan mereka itu adalah yang terakhir di dunia, ibunya redha. Rahman mengetap bibir, dikekang limpahan matanya yang berkaca. Dia hanya mampu berusaha, selebihnya terpulang pada si Dia. Kepada Allah berserah.

 

* * *

 

Onglan kau! Pok kai lah!”, jerit Kate.

 

Aaron terkejut. Terpisat-pisat setelah dia membuka mata yang terlelap. Dia melihat ke wajah Kate. Merah menahan marah.

 

“Eh, apa yang dah terjadi?”, bisik hatinya.

 

Aaron memaling ke hadapan. Kelihatan sebuah kenderaan supermini bersaiz kecil B-segment memecut menggila. Pemandunya umpama mabuk, bertukar lorong laksana memotong sayur, ke kiri ke kanan, memaksa enjin 1.5 Liter 16V DVVT bekerja lebih. Lagaknya bagai berhasrat menguji kekuatan collision-resistant body yang dipasangkan padanya sistem ABS, EBD dan BA. Umpama mencabar kesahihan penilaian 4 bintang ASEAN NCAP. Andai dia memohon kerja sebagai test crash dummy, pasti kariernya cerah. Atau mungkin dia cuma ingin mengambil faedah premium insurans yang dibayar saban tahun biarpun tidak pernah dirundung kemalangan.

 

Kedua-dua Aaron dan Kate menggeleng. Biar sehebat mana kenderaan, pacaklah berapa biji sekalipun fog lamps, reflectors, diffusers, projector headlamps, aerodynamic spoiler, dan biar berapa inci dan corak apa sekalipun rim aloi tayar, semuanya tidak bermakna jika pemandu yang dungu malas menggunakan lampu isyarat. Ia bukan aksesori.

 

Aaron menghela nafas lega. Lega tiada kemalangan. Walaupun dia tahu keretanya mampu membrek mengejut, tetapi bagaimana pula dengan kenderaan di belakang. Diintai dari cermin sisi. Nyata pemandu lain matang dan waras di lebuhraya ini.

 

Jejaka menyeluk kocek seluar. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Matanya membulat melihat ada mesej Whatsapp yang telah masuk. Pantas dibalasnya.

[Tan]       Bro, you flying malam ni?

[Aaron]   Yup.Why?

[Tan]       Berapa lama kat sana?

[Aaron]   Almost two weeks. Nak pakai rumah ke?

[Tan]       Yup, dude. Ada minah hot aku baru tekel. Hot as hell!

[Aaron]   What’s her name?

[Tan]       Entah. Not sure. But I call her Bliss.

[Aaron]   Kalau nama pun kau tak kenal,susah la, bro. Kena buat blood check kau ni. Asyik tukar gf!

[Tan]       Bukan…bukan… last time aku kenal, but now different

[Aaron]   Apa yang lainnya?

[Tan]       Dulu dia hijabis

[Aaron]    OK la tu. Boleh la kau start belajar sebut ‘Alhamdulellah’, ‘Iftor’..Boleh kau try jadi ‘muezzin’ masa ‘solat Jumaa’. Jangan lupa belajar makan frozen yoghurt

[Tan]        Tu dulu… She was a hijabis

[Aaron]     Habis tu, now?

[Tan]         Now jadi hijabisnt. Hijab is not there anymore. Angin KL kuat sangat tiup.

[Aaron]     Hahaha… Eh, wait, tadi you said dia ‘hot as hell’. Mana kau tahu panas mana neraka? Pernah singgah ke?

[Tan]        Pernah… Masa ziarah kau la, bro! Hehehe…

[Aaron]     Siotla kau ni!

[Tan]         Janganla marah, brader. So, boleh pinjam penthouse tak?

[Aaron]     Boleh…Go and collect spare keys from Huda, my PA

[Tan]         OK, Boss. Thank you very much. Have a pleasant trip. Tapau balik minah K-Pop sorang, ikat tepi, boleh?

[Aaron]     Boleh, nanti collect kat chamber aku kat neraka, ok? Jangan lambat sangat,panas.

[Tan]         Hahaha…OK dude.

[Aaron]     Take care. Jangan sepah-sepah.

[Tan]         Sure thing, I promise

 

Aaron menyimpan telefon ke tempat asalnya. Senyuman masih terukir di bibir. Keletah bicara Tan kadangkala menghiburkannya, biarpun acapkali cenderung ke arah blasphemy.

 

Kate mengerling pada Aaron. Senyuman begitu agak merungsingkannya.

 

Who texted you? Guy? Girl?”, soalsiasat bermula.

 

“Lelaki la”. Sepantas itu Aaron cubameletakkan noktah penamat keraguan. Senyuman dibuang.

 

“Siapa? Which guy?”. Masih belum berakhir.

 

“Macam biasa. You know siapa, kan?”.

 

If I have to guess, I’d say, Tan?”, jawabnya. Tekaannya disambut ketawa besar Aaron.

 

Why you gelak? Salah ke?”, bentak Kate. Cuka bertambah sikit di mukanya.

 

No.You teka betul dah. Cuma kelakar… you sebut ‘setan’!”, jelas Aaron. Dia mengikik lagi. Mungkin dia patut memberitahu si Atan bahawa nama komersialnya itu boleh mengundang bencana.

 

Kate semakim masam. Dia benar-benar tidak selesa dengan perangai mamat tak empuk itu. Melayan wanita umpama barang mainan.

 

Melihatkan temannya kembaranya yangsemakin ‘panas’. Aaron harus berbuat sesuatu.

 

By the way, honey, did yo know that I hari tu mimpi naik train to Korea?”, umpannya, cubaan mengalih isu.

 

Kate membisu.

 

It was a long journey. Tapi rasa lebih selamat dari fly”, umpannya lagi. Aaron menyangka mungkin pertuturannya sedikit perlahan.

 

Kate tetap membisu.

 

You know, mesti best kalau ada train direct ke sana. Boleh la you buy and bring back banyak barang”. Aaron masih gigih mencuba.

 

True. Especially kalau you janji belanja”, sahutnya tiba-tiba. Aaron senyum.

 

Of course lah, honey. Apa sajauntukmu…”.

 

“Tapi, si Tan cannot use the house when we’re not there”, kata Kate.

 

Sure. Masa tu pun dia patutnya dah kahwin dah. Entah-entah dah beranak tujuh. Rosak rumah kalau ramai-ramai gitu!”, selorohnya. Kate ketawa. Giginya yang putih kelihatan.

 

But, would it be possible? Train ke Korea from here?”, soal Kate. Anggukan Aaron mengiyakan.

 

Not impossible. 30 tahun lalu, kalau ada yang bicara tentang lebuhraya Utara ke Selatan, Timur ke Barat, mesti dikatakan gila, kan?”.

 

Kate hanya mengangguk. Matanya masih fokus, takut-takut ada pemandu gila yang lain muncul.

 

Kekasih Kate terus bercerita tentang perancangan mega pengangkutan darat di Asia. Ujarnya, suatu hari nanti, akan ada beberapa terminal besar di Asia Tenggara. Di Malaysia, Kuala Lumpur akan menjadi terminal yang lebih besar apabila laluan keretapi pesisir Pantai Timur dibina. Laluan yang melibatkan perlabuhan-perlabuhan serta kawasan utama industri dan penempatan. Dari Tumpat akan ke Kota Bharu, sebelum singgah di Perlabuhan Tok Bali. Seterusnya masuk ke Kuala Terengganu, melalui kawasan industri seperti Kertih dan Paka, dan berakhir di terminal berhampiran Perlabuhan Kuantan. Dari situ juga akan ke Selatan melalui Tanjung Agas, Kuala Rompin, Mersing dan bercabang ke Pengerang, sebelum bercantum di Johor Bahru menghala ke Singapura. Sambungnya lagi, dari Terminal Kuantan, perjalanan diteruskan ke Maran dan Bentong, sebelum bertemu rangkaian Pantai Barat dari Singapura, bergabung dan menuju ke Utara.

 

“Angkut kargo atau orang?”, soal Kate.

 

“Kedua-duanya”, sahut Aaron.

 

How about Sabah and Sarawak?”, soal gadis yang memandu. Aaron cuma mengangkat bahu dan mampu tersenyum.

 

So, from there, goes to Bangkok? And then?”.Makin berminat nampaknya sang teman bicara.

 

“Dari Bangkok, rangkaian akan berpecah ke tiga cabang. Kesemuanya akan ke Kunming di China”, jawab Aaron.

 

Why three? Why not a single line? Atau pecah empat?”.

 

Aaron tersenyum. Sifat ingintahu adalah sesuatu yang amat dihargainya. Lalu diterangkannya, setiap laluan akan menghidupkan peluang ekonomi negara yang berbeza. Laluan tengah menghampiri Vientiane di Laos, laluan Timur menghampiri Phnom Penh di Kemboja sebelum menghampiri bandar-bandar Ho Chi Minh dan Hanoi di Vietnam, manakala laluan Barat akan melalui Yangon di Burma. Kate cuma mengangguk, sedikit terkagum.

 

Why Kunming?”, soalnya lanjut.

 

“Sebab di Kunming sudah ada laluan tersedia ke Chongqing dan Xi'an. Dari terminal Xi’an, belok kiri menghala ke Rusia dan di Barat, manakala ke kanan akan menuju Beijing dan juga negara-negara lain seperti Korea di Timur. Laluan hala Barat ke Urumqi, akan dinaiktaraf sebelum memasuki Moskow dan Eropah, dan berakhir di Madrid, Sepanyol. Mungkin juga akan menghampiri terowong bawah laut menyeberangi Selat Inggeris, antara kota Paris dan London”, jelasnya panjang lebar. Kate bagaikan tidak percaya.

 

“Mungkin juga akan ada laluan baru antara Ankara dan Tehran, sebelum memasuki Turkmenistan, Uzbekistan, dan Kyrgyzstan. Kemudiannya bertemu jaringan lain di terminal Urumqi di China”.

 

Wow!”, kata Kate. “Sejak bila you minat keretapi? Bukannya you orang minyak ke?”.

 

Aaron tergelak.  “tak hitam dan I tak licin lah!”.

 

Kate sedikit bingung. Dia tidak memahami jenaka melibatkan ‘orang minyak’.

 

Aaron dengan serius menyambung memberitahu benda-benda sebegini wajar diambil tahu. Geopolitik dunia sentiasa berubah. Adakalanya disebabkan peperangan. Dan ada jua yang menyebabkan peperangan. Dunia bukanlah lagi tempat indah untuk dibuai mimpi.

 

And why are these all happening? Kapal laut dan flights kan ada?”, tanya Kate.

 

Yes, itulah yang merisaukan. Sekitar 5 trillion US dollars barang dagangan melalui Laut China Selatan setiap tahun. Di sana terdapatnya Kepulauan Spratly yang direbut semua pihak, termasuklah 5 terumbu, sebuah beting dan sebuah pulau yang memang sahih milik kita”, sahut Aaron.

 

Kate mengangguk lagi.

 

By the way, you tahu tak, kat sana, di Pulau Layang-Layang tu, ada airport?”, soal Aaron. Kate menggeleng.

 

“Siapa nak ke sana?”, soalnya.

 

“Eh, ada  resort kat sana. One day we should go there. Tanah seluas 90 ekar yang dikelilingi air membiru dan hidupan marin yang cantik. Haven for snorkeling and it is safe too, thanks to our Navy guys there!”, jelasnya. Entah mengapa semangat patriotiknya sedikit membara. Setiap inci tanah negaranya amat benar dicintai. Baginya tiada istilah kompromi atau win-win bila berbicara bab kedaulatan. Sekali kita bertolak-ansur pasti akan berterusan ditolak beransur-ansur.

 

“Tapi… apa kaitan laluan keretapi?”. Soalan Kate membuat fikirannya terhenti.

 

So, bila adanya laluan darat, ia lebih selamat. Saluran paip lebih mudah dibina. Ancaman lanun juga kurang”, jelasnya.

 

“Lagipun, kan pengangkutan darat lebih selamat? Tidak mungkin terhempas atau karam”, sambung Aaron seraya tersenyum.

 

Eleh, actually, you cuma takut naik flights dan kapal, kan? Fobia ke?”. Kate menoleh merenung wajahnya.

 

Kini giliran Aaron pula mengangguk lemah. Padanya, pengangkutan daratlah yang paling selamat. Namun, mana mungkin dia mudah mengaku kelemahannya.

 

“Actually, kalau kita tahu kawasan mana yang akan dilalui, bolehlah cepat-cepat beli sebelum harga mencanak naik. Paling kurang boleh disewakan”. Aaron masih cuba mengalihkan topik. Egonya tidak akan pernah tunduk. Tetapi ada benarnya jua. Kawasan seperti Maran atau sekitar Seri Gading dan Pasir Raja pasti meningkat harganya. Memang kebiasaan, kawasan mana yang akan diwujudkan hentian awam, minima 10 peratus kenaikan bakal terjadi.

 

“Spekulatif!”. Tergelak Kate dibuatnya.

 

“Kena cepat bertindak. Janganlah setakat chilli crab dan nasi lemak yang dijadikan sandaran. Sudah-sudahlah mengisi tembolok. Jangan nanti sampai jadi seperti melukut di tepi gantang”, ceramah akhir Aaron sebelum dia menyeluk lagi poketnya. Kate menjeling tajam, sangkanya si Tan mengganggu lagi.

 

Rupa-rupanya, rokok yang dicari. Seusai lighter menunaikan tugasnya, Aaron membuka tingkap. Puas. Asap yang dihembusnya disambut arus angin yang bertiup di lebuhraya berbukit ini.

 

* * *

Fadhil mengangkat tangan mengucapkan terima kasih pada pemandu teksi. Raheem bersyukur masih ramai yang sudi membantu. Perjalanan mereka harus diteruskan sebelum Fadhil berangkat pulang keThailand. Bas akan bertolak dari Putrajaya Sentral pada keesokan petangnya. Raheem teringat kertas yang tadi dihulurkan oleh ahli karkun di masjid tadi. Dibuka perlahan. Tertera nama dan nombor telefon milik si seniman. Biarpun masalah bahasa menjadi penghalang, dia mengerti niat kenalan barunya yang sudi membantu.

 

Alhamdulillah”,cuma itu yang mampu dituturkannya. Semoga kerjaya seni insan itu akan terus dirahmati-Nya.


* * *


Sesampainya di halaman rumah ibunya,Aaron terus mematikan enjin. Meski pemanduannya berjarak dekat, dari Bukit Putus ke kampung, ia sesuatu yang melegakan Kate. Dia kurang mahir selok-belok dan skil mengelak ‘jerangkap samar’ kumbahan lembu di jalanan kecil.

 

Assalamualaikum! Assalamualaikum!”. Salam yang diberikan Aaron membuatkan Kate tersentak. Meski dia sedia maklum itulah lafaz salam, jarang benar didengari Aaron mengungkapkannya. Sedikit canggung.

 

Seorang wanita menjengah keluar. Kalimah salam disambut. Senyuman menguntum di bibir di wajah yang sudah berusia. Tangannya pantas dicapai Aaron yang sepantas kilat menutupi jarak anak-anak tangga yang menghala ke anjung rumah. Dikucup syahdu.

 

“Apa khabar, Ron?”, soal tuan rumah.

 

Alhamdulillah, sihat. Mak macamana?”, balasnya. Kate kaget.

 

Mudah sungguh kalimah tayyibah hamdalah meniti di bibir. Kadangkala, ia umpama barah yang semakin menjadi parah di kalangan kita. Kalimah-kalimah  bersendikan agama terpancar mudah dari mulut biarpun hakikatnya kosong. Tanpa ada makna yang menurut dari hati.

 

Ucap selamat mendoakan kesejahteraan dan lafaz kesyukuran memuji yang Esa kini umpama hilang taringnya. Tiada lagi gentar di hati apabila nama Sang Pencipta kedengaran. Ucapannya meluas, hingga bagai dijadikan jenaka dan budaya tanpa sedar, lebih-lebih lagi di acara hiburan. Terucap oleh mereka yang berpakaian tetapi separa telanjang. Diucap seusai bersentuhan dengan insan yang haram tanpa ikatan. Memanjatkan ‘kesyukuran’ demi rezeki, dikecap dari unsur yang bukan sekadar syubhah tetapi cenderung ke arah yang sebaliknya. Mungkin ada yang berkata itu sebahagian dari dakwah.

 

Ataukah ia laksana bertuturnya sang parrot? Kosong. Kosong tanpa makna, menjauhi konotasi agama. 

Nauzubilllahi minzalik. Moga dijauhkan kita dari bertutur tanpa menghirau implikasi dan hukum percakapannya, kerana tubuh ini tidak sedia untuk dicampakkan di dalam Neraka sejauh antara Timur dan Barat.

 

Mak si kekasih memandang wajah Kate. Sepantas itu juga tangannya disalam erat. Si gadis mengucup tangan, penuh sembah takzim. Pelajaran dari kelas Moral dan Pendidikan Sivik kini dipraktis sebaik mungkin. Mesti nampak ayu, cetus fikirannya.

 

Aaron memperkenalkan si buah hati pengarang jantung.

 

“Mak cik boleh panggil saya sebagai Katie je…”, terangnya ringkas.

 

“Ooh.. Khatijah…”, angguk sang ibu. “Dik, meh sini, salam ngan Kak Tijah ni!”. Dari sebalik tabir,muncul seorang gadis. Wajahnya sedikit berbeza dengan Aaron.

 

“Kak, akhirnya sampai juga ke rumah kami”, ucap sang adik. Kate menjeling ke Aaron yang tersenyum.

 

"Wah, you dapat nama baru lagi. Tapi kurang nilai komersial lah, Kak Tijah", bisik Aaron. Kate cuba untuk tidak menghiraukannya.

 

Ketibaan dua insan disantuni mulia. Si ibu bergerak ke dapur, disusuli anak wanitanya. Tubuh Kate kaku. Dia tidak tahu bagaimana dia harus berkelakuan. Iyalah, ini mungkin rumah bakal mertuanya. Aaron disebelahnya kini kembali fokus ke gajetnya. Bagai melepas rindu dendam kasih yang terputus tika dia memandu tadi.

 

“Dik, bawa naik biaweh tu…”, pesan ibu yang tengah mendaki tangga ke anjung rumah. Bekas pencuci tangan yang dibawanya dari dapur disambut Aaron. Nyata, disebalik sifat modernnya, masih mendalam akar hormat pada yang tua.

 

You taknak cicah dengan apa-apa ke?”,soal Aaron setelah mengambil tempat duduk di sebelah Kate.

 

Kate sedikit blur.

 

Tak nakminta kicap ke? Apa-apa ke? You sure?”, si jejaka sambung menyoal.

 

Kate masih blur.

 

“Yelah, takkan you nak makan biawak diawet begitu saja? Kalau ada kicap berlada, baru best! Ada ummph!”, ujar Aaron. Mata Kate membulat, dia bagai tidak percaya ayat yang baru menjengah gegendang telinga.

 

Muka Kate pucat. Seleranya melesap. Memang dalam perjalanan tadi, dia terlihat beberapa benda kehitaman digantungdi kedai-kedai kecil di sepanjang jalan. Setahunya, semuanya disalai. Ada yang kelihatan macam itik, ada yang kelihatan semacam ikan, namun ada banyak juga yang tak dapat dicam identiti haiwan asalnya. Tapi, takkan biawak?

 

Adik Aaron tergelak besar. Si ibu sedikit kehairanan.

 

“Tak habis-habis abang membongak. Memang kaki kencing. Kesian akak, basah agaknya menjadi mangsa”, bicara si adik.

 

Kate masih kehilangan. Mindanya tengah cuba memproses apa yang sedang berlaku di hadapannya. Tuturkata dan reaksi si adik yang sedang menghidangkan juadah ditatapnya tekun.

 

Minda Kate sedang cuba recalling memori silam. Istilah-istilah yang baru didengarinya bagaikan pernah didengarinya dari Aaron di jeti Glenelg beberapa tahun yang lalu. Di malam pertemuan pertamanya dengan si jantung hati yang kononnya sedang bermantera.

 

“Kak Kate, biaweh tu buah. Jambu batu, atau digelar Guava in English”, terangnya. Kate mengangguk, namun tangannya masih teragak-agak untuk menyentuh apa yang terhidang.

 

“Jangan risau, Kak. Takde kena-mengena dengan apa-apa haiwan, baik yang hidup atau yang telah mati diawet. Saya janji”, sambung penjelasan si adik seraya mengambil dan menyuap mulutnya sendiri. Kali ini, penjelasan itu menenteramkan Kate. Matanya tajam menjeling Aaron yang terbahak-bahak ketawa. Geram, rasa ingin sahaja dicubit. Tapi Kate harus bertahan. Dia mesti menjaga kesopanan, mesti kelihatan ayu.

 

Sambil menjamah buahan yang terhidang, empat insan ini bersembang mesra. Si adik memberitahu Kate bahawa abangnya memang ‘terer’ membongaksejak kecil lagi. Pombongak nombor wahid. Melihatkan Kate yang sedikit kebingungan, si adik menjelaskan, membongak itu maksudnya menipu. Anggukan Kate mengesahkan mindanya mula memahami segalanya. Patutlah Aaron selalu tersenyum melihatnya. Seorang yang amat natural membongak memang gemarkan mereka yang terlalu gullible. Lurus bendul.

 

Sambung Adik, andailah di zaman dahulu sudah wujud Twitter, pasti abangnya menjadi definisi hashtag #MongakOrang1 kerana kemahirannya! Aaron cuma tersenyum simpul.

 

Tiba-tiba, gelaktawa mereka terhenti. Keseriusan menjelma. Si ibu berpesan agar anaknya berhati-hati di overseas nanti.

 

“Alah Omak ni, bang Ron memang dah biaso gi overseas. Macam ulang-alik poie Pilah yo!”, bantah Adik.

 

Botolah tu. Tapi, selalu ae poie tompek Omputih. Bulih cakap Omputeh. Yang ni, tompek lain, kan?”, soal si ibu. Aaron mengangguk perlahan.

 

Adik bertanya apa bezanya. Gadis yang di awal usia dua puluhan ini masih belum mengerti sepenuhnya apa yang dirisaukan ibu mereka.

 

Si ibu masih berdiam.

 

Tompek Omputeh nun, abang kau boleh tanyo. Bulih tengok-tengok, apo ado dalam makanan. Tapi… yang ni lain. Omak risau tompek sushi sinun. Kato ae guno ikan, tapi takut kicap ae ado mondo lain…”. Akhirnya terzahir apa yang membuku di hati.

 

“Mak, jangan risau. Se bukan ae nak poie Jopun tu do. Tak samo do ngan Korea, mato lain sikit”, sahut Aaron. Masih sempat lagi dia berjenaka. Mungkin untuk mengurang kerisauan ibunya.

 

“Bang Ron, nak pergi Korea Utara ke Korea Selatan?”, soal Adik.

 

“Ish kau ni, Dik. Gila ke, mana ada orang nak pergi bahagian Utara semenanjung tu? Itu negara hermit, negara ketenteraan tuh!”, jawab Aaron.

 

Omak tak kisah lah, Jopun ko, Cino ko, Korea ko, yang ponting ekau kono jago makan minum. Solat jangan lupo”. Aaron sekadar mengangguk.

 

“Tapi kan Kak, nasib baik akak ni cantik. Takde lah risau abang Ron ni menggatal dengan minah K-Pop!”, kata Adik selamba. Aaron cuma tersengih, gelihati melihat wajah Kate yang sedang masam di dalam ayu.

 

“Alah, kalau nak cari K-Poppers gitu, tak payah susah-susah nak terbang sana. Kat sini pun dah banyak. Yang bertudung tapi rela dipeluk pun ada, cuma kurang seksi la. Pakai mini skirt dengan leggings,acah-acah hybrid”, sahut Aaron sambil ketawa. Kate hanya mampu menjeling. Amarahnya dipendam, ayu mesti ditonjolkan.

 

“Tijah, kalau si Ron ni nakal, Mak Cik bagi kamu lesen… Lesing je dia!”, celah si ibu, selamba. Celahan yang membuat Kate tergelak besar. Gusi dan giginya menyerlahkan reaksinya terhadap kata spontan si ibu.

 

“Oops, terkantoi pula. Kena kembali control ayu ni. Focus, Kate, focus!”, bisik hati kecilnya. Cepat-cepat mulutnya ditutup dengan tapak tangan. Duduknya diperbetulkan. Kaki yang sedikit kebas dek lama bersimpuh diurut perlahan.

 

Si ibu memuji pakaian ‘Khatijah’ yang sopan. “Sesuai benar kamu berjubah”.

 

“Mak, tu abaya namanya”, jelas Adik. Kate mengangguk lembut, berterimakasih.

 

“Cumanya, lebih baik andai selendang yang tergantung dibahu dijadikan tudung”, kata si ibu. Senyuman masih setia diwajahnya. Tangannya perlahan menggayakan helaian kain di tubuh Kate. “Itu yang terbaik”, kata si ibu sambil melabuhkan kembali punggungnya.

 

“Mak, takpelah, Kakak ni masih belum Islam”, pujuk Adik. Sambungnya, masih ramai lagi yang dilahirkan Islam masih belum menutup aurat.

 

“Ada juga yang berhujah kononnya sebaik pakaian adalah taqwa”, tambah si Adik sebelum berdiam. Lagaknya umpama cuba mengingati sesuatu.

 

“Ha, especially gang yang suka quote ayat 26 surah al-A’raaf”.

 

Ibu menggeleng tidak setuju.

 

“Walaupun den bukan cikgu agamo, tapi jangan mudah bona menyelewengkan ayat al-Quran”. Pandangan dilontarkannya jauh. “Jangan nanti jadi macam golongan terdahulu, sosek dan dimurkai Allah.”

 

“Taknak buek, tu hal dio lah.Tapi jangan jadi orang sosek yang monyosekkan. Sapo nak tanggung doso?”,soal si ibu.

 

“Macam dalam surah al-Fatihah tukan?”, Adik bertanya. Ibunya angguk.

 

Kate semakin berminat untuk tahu. Dihujung lirikan matanya, jelas Aaron tengah leka menikmati biaweh sambil membelek handphonenya. Mungkin benarlah dakwaan bahawa mereka yang belum Islam lebih berminat untuk mendalami, berbanding mereka yang dilahirkan Muslim.

 

“Adik, kalau jumpo laie kelompok songsang macam tu, cuba tanyo apa kah itu taqwa?”, saran ibunya.

 

“Mak cik, taqwa tu apa?”. Bibir si model sudah tidak mampu menahan sifat ingintahunya.

 

“Tijah, setakat yang Omak dongar dari ceramah kek TV, Ustaz ponah kobaan ompek sifat taqwa. Takut kepada Allah, beramal denganAl-Quran yang diturunkan, redha dengan yang sedikit, dan sentiasa bersiap demi mati dan hari Akhirat”.

 

Kate mengangguk mengiyakan.

 

“Kalau macam tu, how can they say like that?”. Soalan Kate yang penuh semangat sedikit memeranjatkan dua wanita di hadapannya.

 

“Bukankah dalam surah an-Nur sudah diperintahkan cara berpakaian? If dah tak patuh, from where nak ada taqwa?”, Kate berhujah dengan apa yang baru dipelajarinya semalam di Bangi. Sekiranya Aisyah ada di situ, pasti dia tersenyum syukur.

 

Aaron tersedak. Sirap limau yang tengah dinikmati menghambur keluar. Kehairanan. “Sejak bila pula Kate tahu benda sebegini?”, hati kecilnya tertanya.

 

Ibu dan Adik tersenyum lebar. Tahulah mereka adanya cahaya di situ. Cuma mungkin masih belum tiba hidayah.

 

Si Ibu merenung dalam wajah gadis berbangsa Cina di sisi anak lelakinya. Dalam diam, dia berdoa yang terbaik untuk si anak.

 

“Wah, Ustazah Tijah dah bersuara”, seloroh Aaron. Ketiga-tiga pasang bebola mata kaum Hawa merenungnya. Menghukum lawak yang tak kena tempatnya. Aaron tertunduk malu.

 

“Baguslah kalau Tijah dah tahu.Mungkin, andai dipatuhi keseluruhan ayat, termasuklah tuntutan merendahkan pandangan, maka akan terlahirlah ruh taqwa di dalam jiwa”. Bicara sang ibu disambut gerak badan Kate yang setuju.

 

“Ha, kamu pula, Ron. Bila nak sambung belajar?”. Aaron tersentak apabila ibu mengalih perhatian terhadapnya.

 

Wajahnya dipaling menghadap ibu. Aaron kepelikan. Nak belajar apa lagi?

 

“Iyalah, takkan kamu nak biar si Tijah yang bimbing kamu?”, soalan tajam ibunya.

 

Aaron cuma tunduk membisu.  Hatinya sedikit gelisah. Apakah dia cukup baik untuk Kate? Mampukah dia menjadi imam buat makmum yang menanti? Atau apakah penampilan dan percakapan teman wanitanya hari ini sekadar satu trend yang hangat-hangat taik ayam? Sekadar bermusim kerana kepingin sangat memikat hati bakal ibu mertua?

 

“Ron, pukul berapa flight kamu?”. Soalan yang merencatkan arus deras fikiran yang bercelaru.

 

“Kamu gerak ke KLIA lepas makan dan solat Zohor lah ya?” gesa ibunya.

 

Aaron kegelisahan. Katanya dia harusberangkat segera. Ada beberapa barang yang terlupa dipackingnya. Maka hujahnya, haruslah dia bersegera ke airport awal untuk membeli.

 

Wajah ibu sedikit sedih.

 

Melihatkan riak si Ibu, si Adik merapati Aaron. Dipujuknya.

 

 “Makanlah dulu, Bang. Mak dah masak”. Aaron hanya berdiam. Dia berpaling melihat wajah Kate.

 

pun memang teringin nak makan lauk kampung”, kata Kate. Mungkin kemesraan ibudan adik meredakan keresahan dan sedikit rasa malu yang tadi menguasai dirinya.

 

Aaron mengangguk setuju. Matanya menjeling jam di tangannya. Sudah hampir 12:30 tengahari. Masih awal.

 

Adik mempelawa Kate ke ruang tamu didapur. Perlahan Kate menuruni tangga yang menyambungkan bahagian tengah rumah dan bahagian dapur. Lantai simen di aras tanah sedikit sejuk. Dia tersenyum. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah desa. Seumur hidupnya, dia dibesarkan di bandar, sebelum menyambung pelajaran ke Amerika Utara.

 

Selesai makan, Aaron memohon izin untuk berangkat. Biar pun ibunya mengajaknya untuk solat bersama di rumah, ditolaknya perlahan. Aaron bukannya tidak mahu bersolat di rumah. Dia sebenarnya sudah lama tidak menyentuh sejadah, selain sentuhannya seketika pagi tadi. Masih terkesan renjatan listrik yang mengalir apabila disentuhnya.

 

“Takpelah, jangan lupa solat dalam perjalanan. Kamu dah boleh solat jamak dah”, kata ibunya. Seperti kebiasaan, Aaron hanya mengangguk. Baginya, lebih awal dia berangkat sebelum masuk waktu Zohor, lebih baik. Lagipun, seandainya dia ingin bersolat di sini, nanti kantoi pula. Sudah lah dia tak pasti bagaimana untuk berwudhu, mandi wajib pun masih belum!

 

Mereka berdua meminta diri untuk bertolak. Si Adik memeluk abangnya dan memesan beberapa barang dari Korea. Aaron cuma tersenyum. Matanya tertumpu pada ibunya yang sedang mesra mendakap Kate. Dia terlihat bagai ada sesuatu yang dihulurkan dari kekasih sejatinya kepada insan muda yang kini berkasih dengannya.

 

Perjalanan mereka ke KLIA agak sunyi. Tiada bicara terucap. Masing-masing sedang hanyut dibuai fikiran.

 

Aaron cuba mencari isyarat di radio, untuk menghilangkan kebosanan. Matanya semakin memberat. Kombo kekenyangan disertai jumlah kenderaan sudah kian meningkat di laluan berbukit membuatkan rasa mengantuk makin menjadi-jadi. Jalan yang menghubungkan ibu negeri wilayah berbudaya unik ini dengan bandar diraja terasa bagai tidak berpenghujung.

 

Signal radio kurang jelas. Pantas jemari Aaron menekan punat-punat kawalan di stereng. Mencari stesen radio yang jelas di kawasan berbukit ini kadangkala sedikit menyebalkan peminta siaran. Lanskap mukabumi nyata lebih hebat berbanding frekuensi dan amplitud siaran-siaran yang terpancar. Radio Aaron melompat-lompat dari satu stesen ke stesen yang lain.

 

So lately, been wondering, who will be there to take my place? When I'm gone, you'll need love,to light the shadows on your face”. Jemari Aaron terhenti. Dia memasang telinga untuk mengecam lagu yang bersiaran. Sah, ini memang antara lagu yang digemarinya. Dikuatkan suara siaran stesen itu.

 

If a great wave shall fall, it'd fall upon us all. And between the sand and stone, could you make it on your own?”. Lagu “Wherever you will go” dendangan kumpulan The Calling memang digemarinya. Secara automatis dia menyanyi perlahan mengikut bait-bait yang kedengaran. Bagai terpukau dek suara serak penyanyi lelaki yang berwajah jambu. Tidak kurang jua magis dari aturan kata-kata yang indah persis sebuah puisi.

 

Kedua-duanya menyepi, menghayati lagu. Terlintas di benak Aaron, seandainya ditakdirkan suatu hari dia pergi, siapakah yang akan merajai hati Kate? Adakah kate akan pantas membenarkan insan lain memenuhi kehendaknya yang hauskan cinta?

 

Semakin jauh perjalanan yang dilalui BMW X5, semakin terbawa fikiran Aaron mengenai masa depan mereka. Dia ragu-ragu, mampukah dia berubah ke arah yg lebih baik?

 

Tiba-tiba Kate bersuara. “Ha, remember, your mom already gave me lesen besar to lesing you. Jangan mengada nak terkena kejutan budaya Hallyu negara K-Pop pulak!”.

 

Aaron cuma tergelak.

 

I already have my own popstar here with me. Cuma now takut tak matchinglah pulak rambut gaya K-Pop I dengan imej ustazah Tijah... Hehehe”, tawa Aaron.

 

Kate mencubit lengannya. Kawalan ayu telah tamat.

 

* * *

 

Aaron memberhentikan SAV miliknya berhampiran sebuah kedai mamak. Dia teringin benar merasai real foods of Malaysia sebelum berlepas ke tanah asing.

 

Setelah keduanya memilih sebuah mejadi kedai mamak, Aaron mengangkat tangan memanggil si pelayan.

 

Beberapa minit berlalu dan hidangan yang dipesan pun tiba. Kate hanya tersenyum melihat Aaron yang bagai kelaparan meratah ‘Indomee Daging Double’. Menu ‘wajib’ yang dipesannya di mana-mana kedai mamak yang disinggahi. Aaron umpama food taster, penetap kualiti hidangan yang spesifik ini. Kate pula hanya memesan air minuman. Dia tidak mahu terlalu kenyang. Kerjaya modeling mengajarnya mengawal pemakanan. Lagipun, dia akan memandu pulang kereta Aaron sebelum Toyota 86 miliknya diambil malam kelak.

 

Sedang Aaron menikmati rokok tanda tamatnya santapan, meja mereka dihampiri dua warga asing. Salah seorang darinya mengendong sebuah tabung, manakala yang seorang lagi memegang apa yang kelihatan seperti sebuah folder yang berisi beberapa dokumen.

 

Aaron memalingkan wajahnya menjauhi warga Thai dan Rohingya yang menghampiri. Baginya, ini mesti nak minta derma lagi.

 

Fadhil mengucapkan salam. Tidak dijawab. Diulangnya sekali lagi. Masih tidak dihiraukan. Fadhil memilih untuk melangkah ke meja sebelah sebelum Raheem memberhentikannya. Jari yang gelap dituding ke arah Kate yang memberi isyarat tunggu.

 

“Bang, kakak, saya minta maaf ganggu”, bicara dimulakan Fadhil.

 

Kate hanya senyum. Tangannya lembut menarik lengan Aaron agar berpaling. Selendang yang terlepas dari bahunya mendedahkan simbol kecil anutan di rantai lehernya.

 

“Saya Fadhil dari Siam. Kami datang nak minta sedekah, amal ikhlas Tuan dan Puan untuk membaikpulih masjid kami di Phrai Wan, di Tak Bai, Wilayah Narathiwat”. Introduksi yang biasa dilakukan seraya membuka folder. Ditunjukkan satu-persatu surat kuasa dari Tuan Imam Haji Abdul Malik dan kebenaran memohon derma keluaran pihak berkuasa tempatan. Fadhli juga menunjukkan beberapa keping gambar dan analogi projek di masjid itu. Meski ianya bertulis di dalam Bahasa Thai, Kate boleh mengagak apa yang dimaksudkan. Simbol wang itu universal, biar Thai Baht mahupun Ringgit Malaysia, ia tetap sesuatu yang berharga.

 

“Kalau nak derma, pergilah minta kat Baitulmal? Bukannya dah berjuta zakat dikumpul?”, bentak Aaron.

 

“Takde. Aku takde duit”, sambungnya keras.

 

Fadhil berdiam. Dia mengerti itu tanda keengganan. Hatinya sedikit remuk, namun dia bersabar. Pengembara di jalan-Nya sentiasa diduga.

 

“Oh, from Thailand. Dia ni? Sama juga?”, soal Kate sambil memberi isyarat menujuk ke arah Raheem.

 

Raheem hanya mengeleng.

 

“Rohingya. Myanmar”, sahut Raheem.

 

“Oh?”, kata Kate. Dia yang tadisedang menyeluk tas tangannya untuk not sepuluh ringgit, menyimpankannyakembali. Dicapainya sekeping not lima puluh ringgit, dilipat dan disembunyikandi dalam beberapa kepingan not RM1. Kate menghulurkannya seraya tersenyum.Matanya sedikit berair, terkenangkan artikel yang baru dibaca mengenai etnikyang paling teruk ditindas dan diabai di mukabumi.

 

Alhamdulillah”, sahut Fadhil dan Raheem serentak.

 

“Terima kasih, Kakak. Terima kasih, Abang. Semoga Allah menambahkan rezeki Kakak dan suami…”, tutur Fadhil. Kate cuma mengangguk.

 

“Kak, izinkan saya membaca terjemahan sedikit ayat suci, boleh?”, soal si warga Thailand. Kate mengangguk lagi.

 

“Kakak, ini terjemahan dari surah al-Baqarah. Dalam ayat suci ke 245, Allah berfirman, maksudnya:

Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik, iaitu yang ikhlas, supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan ingatlah,Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan


Kate tenang mendengarkan terjemahan itu. Padanya, dia yakin, jika berbuat baik, tiada ruginya.

 

“Kamu dah makan?”, soal Kate. Fadhil hanya mengangguk.

 

“Kamu?”, soalnya pula pada si Rohingya. Raheem tidak memahami soalan. Kate membuat tanda isyarat menyuap mulut. Diselangi dengan isyarat tanda minum.

 

Aññí hái  félailám. Buburé, bicí cúkuria”, jawab Raheem, sambil membuat isyarat terima kasih dan menunjuk perutnya sudah penuh. Biarpun tiada seorang yang memahami bahasa Rohingya, Kate tersenyum. Isyarat tangan dan body language sudah mencukupi untuk menerobos halangan komunikasi.

 

Kate menawarkan untuk membelanja mereka makanan untuk dibungkus. Lelaki warga Thai menolak sopan. Kate memandang pula wajah si Rohingya, sambil berterusan memberi isyarat bungkusan makanan. Si Rohingya menjawab, “Noó. Noó.  Boddaré rañdó bát”. Raheem menepuk bahu lelaki Thai di sebelah sambil membuat isyarat gaya memasak dan menuding ke suatu hala yang jauh.

 

Mosóit. Mosóit… Masjid?”, sambungnya sambil masih beriya-iya menunjuk ke sebuah bangunan yang tidak kelihatan dari meja mereka di kedai mamak. Kate mengangguk. Telahannya si Rohingya cuba memberitahu bahawa warga Thai itu telah memasak di masjid.

 

Fadhil sekali lagi mengucapkan rasa terima kasih. Dia menadah tangannya, doa yang biasa mengakhiri modus operandi mereka. Namun, sahabatnya terlebih dahulu membacakan doa. Fadhil terkejut, kerana tidak pernah ini berlaku.

 

Raheem mendepangkan tangannya dan berdoa dalam penuh kekhusyukkan. Doa yang dimulai dengan bahasa Arab disusuli dengan permintaan ikhlas dari hatinya. Bait-bait indah dilafaz dalam bahasa ibundanya. Pintanya agar dikurniakan hidayah bagi Kate dan keselamatan Aaron dari terus 'hanyut'. Doa misteri yang diiringi linangan airmata.

 

Seandainya mereka tahu, pasti dikucup tangan gelap si Rohingya, kerana darinyalah ditadahkan hadiah terbesar buat mereka.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi