Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,712
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 7

BAB 7: “GELAP”

Mata wanita yang sudah berumur semakin berkaca. Dia cuba mengalihkan pandangannya ke penjuru lain rumah usang itu. Terasa longlai seluruh badan, bahunya terasa berat, bagai mendukung beras berguni.

 

Manakan tidaknya, semenjak pagi tadi, hampir kesemua saluran berita mengkhabarkan nahas udara yang baru berlaku. Kemalangan yang tidak pasti mana hujung pangkalnya. Satu-persatu pakar dibawa ke dalam perbincangan. Dari pakar aviasi, hingga ke pakar kajicuaca. Tidak kurang juga temuramah bersama bekas krew-krew udara yang amat senior. Masing-masing membawa hujah yang didokong ilmu dan pengalaman. Namun, bagi si ibu, semuanya masih belum mampu memberinya penjelasan yang puas. Semuanya bagai terapung tak hanyut, terendam tak basah.

 

Dia kembali menoleh ke kaca televisyen. Setiap wajah yang dipapar menunjukkan identiti mangsa yang ditemui setakat ini. Ramai yang sudah bergelar jenazah, namun ada juga yang masih bernyawa, biarpun berkeadaan kritikal.

 

Si ibu mengesat airmata yang berlinang melepasi kelopak mata yang sudah letih menapungnya. Kedutan alis mata menjadi basah, saksi hiba yang menimpa. Dia yakin, dia pasti anaknya, Ron masih hidup. Walausekalipun seluruh dunia mengatakan Ron sudah tiada, baginya, selagi batang tubuh anak tercinta belum ditemui, Ron masih hidup. Naluri keibuannya kuat mengatakan sebegitu, bagaimana menanti arah hanyut.

 

Dia yakin, dengan segala usaha dan bantuan yang ditawarkan oleh pakar-pakar serantau dan pihak antarabangsa, penyelesaian dan kebenaran akan timbul jua. Di saat inilah segala kemahiran diplomasi dan jasabakti negaranya perlu dibalas, bak kata orang-orang tua, hanyut dipintasi, lulus diselami, hilang dicari. Dan itu juga yang terucap di kata televisyen.

 

Adik menoleh ke arah ibunya. Telefon bimbitnya telah dimatikan, kerana terlalu ramai ‘pakar mi segera’ yang menghuni timeline dan wallnya. Bagi si adik, dia harus bersabar dan menemani si ibu. Direnungnya dalam-dalam mata ibu yang semakin merah kerana tangisan. Adik menghampiri ibu, dipeluknya erat.

 

“Mak, kita sama-sama doa, ya? Adik yakin Abang Ron masih hidup. Insya-Allah, nanti ada lah orang yang akan jumpa”, pujuknya.

 

Si ibu hanya mengangguk lemah. Dikesatnya mata sekali lagi dengan lengan baju kurung Kedahnya. Dia harus bersabar dan berdoa. Wajib baginya menjaga kesihatan diri dan keselamatan keluarganya. Kalau tidak, bagaimana ingin disambutnya kepulangan Ron nanti?

 

* * *

 

Seniman itu memandang ke Raheem. Insan warga Rohingya ini terpaku pandangannya ke arah set TV yang tergantung di warung tempat mereka bersarapan. Ingin ditanya kepada karkun baru jemaah tabligh ini, tetapi bagaimana? Bukannya dia tahu berbicara dalam bahasa si Raheem pun.

 

Raheem sebenarnya tidak mengerti walau satu apa pun yang dituturkan penyampai berita. Namun apa yang menarik minatnya ialah berita tergempar penemuan beberapa insan di pesisir pantai negara. Dari apa yang dilihatnya sebentar tadi, ada juga diselitkan berita kecil penemuan mayat terapung insan-insan yang tidak dapat dicam identiti mereka. Ada juga montaj yang disiarkan yang menunjukkan temuramah bersama seorang pegawai kanan agensi penguatkuasa maritim, dipapar bersama wajah-wajah yang tidak dapat dikenalpasti.

 

Namun, bagi Raheem, montaj itu yang membuatkan jantungnya terhenti. Wajah-wajah itu umpama rakan sebangsa dan seagama dengannya. Apakah Rahman juga ada di sana?

 

Dia memandang ke arah seniman itu. Walau apa cara sekalipun, dia harus menyampaikan hajatnya agar dapat dia menghubungi keluarganya di Myamar. Hanya suara ibunya yang boleh meredakan keresahannya. Andai dia memilih untuk ke kedutaan, mungkin keresahannya takkan berpenghujung.

 

* * *

 

Fadhil meletakkan tukulnya. Dikuatkan suara radio yang sedang bercerita tentang penemuan jasad-jasad yang terapung. Dia menoleh ke arah anak-anak kampong yang lain, memberi isyarat agar mereka berhenti seketika dari bertukang. Padanya, kerja penambahbaikan masjid di Amphoe Tak Bai itu boleh dihentikan sekejap. Dia mahu menumpukan perhatian pada berita yang tersiar.

 

Tangan Fadhil memulas menguatkan berita yang sedang dibaca. Rakannya berlari ke rumah, buat mencapai beberapa butir bateri bersaiz D sebagai standby, takut-takut silinder tenaga yang sediada akan kehabisan kuasa.

 

Seusai berita, satu segmen khas perbincangan diudarakan. Salah seorang dari pakar yang dijemput berteori bahawa mungkin penemuan jasad-jasad itu adalah dari dua punca yang berbeza. Menurut si pakar, laporan awal mengatakan ada asas untuk mempercayai ada antara yang ditemui itu berbangsa Rohingya.

 

Fadhil tersentak. Dia teringat berita yang pernah dibacanya semasa mengutip derma di rantauan. Berita sedih penemuan kubur besar di selatanThailand. Ingatannya terus tertuju kepada Raheem.

 

Melihatkan anak buahnya yang bagai cacing kepanasan, ‘Phu Yai Ban’ Haji Abdul Malik merapati anak muda itu. Tuan Imam yang juga berjawatan sebagai ketua kampung itu cuba menenangkan Fadhil.

 

Dia memberi isyarat kepada yang lain agar dihentikan seketika kerja untuk hari ini. Anak-anak kampung mengangguk tanda setuju, kerana mereka pasti mesti ada sebabnya insan yang dihormati ini meminta mereka berbuat sebegitu.

 

Haji Abdul Malik menggenggam tangan Fadhil. Ditariknya ke dalam ruangan masjid, dipujuknya. Insya-Allah, malam ini mereka akan menunaikan solat hajat khas buat rakan-rakan mereka. Biar apa pun perbezaan agama mahupun kerakyatan, mereka juga manusia yang membutuhkan doa dan bantuan.

 

* * *

 

Abu Sufiyyahh terjaga dari tidurnya. Tidur yang tidak pernah nyenyak. Tubuh yang semakin uzur itu mengorak langkah deras ke kamar mandi. Dibasuh dan disabun tangannya berulangkali. Jikalaulah wujud berus dawai disitu, pasti digahar kulitnya, waima hingga tertanggal sekalipun. Buatnya, tiada yang lebih diidamkan selain meninggalkan kotoran nista dari sejarah silamnya. Sejarah lampau yang sering membuatkan dia terjaga dari mimpi ngeri tangan yang basah bersalut darah. Titisan kehidupan dari mangsa kecil yang tidak berdosa.

 

Dibasuh wajahnya berkali-kali. Dibiarkan titis-titis air berhimpun di dagu. Titisan yang bercampur airmata kekesalan, sebelum gugur dan tersalun menuruni lubang sinki. Namun, nyata kekesalan itu tidak mencukupi. Mimpi yang sama masih berulang, laksana tetamu setia. Apakah cuma dengan terbang nyawanya barulah segalanya akan selesai?

 

Sayup kedengaran laungan azan Asar. Abu Sufiyyahh pantas mengeringkan wajah. Dia nekad, petang ini dia harus bertemu Pak Bakti. Barangkali, temannya itu memegang kunci ketenangan buatnya.

 

* * *

 

Aaron terjaga. Silau mentari petang mencucuk matanya. Kehangatan pasir yang bersentuhan dengan badannya yang berlengeng juga menghapuskan lena. Lidahnya kekeringan. Dahaga yang teramat, namun apakan daya, air laut di sekeliling terlalu masin untuk diteguknya.

 

Perutnya berkeroncong. Dendangan sumbang yang entah bila mampu dihilangkan.

 

Aaron menghela nafas panjang. Diraba-raba kepalanya, terdapat keluping darah yang telah mengering. Aduh, sakit.

 

Dia merenung jari-jarinya. Hampir kesemuanya menggelembung, bagai baru dijamah api yang panas. Dibasahkannya jari-jemari itu. Biar pun pedih disaluti air laut, ia lebih selesa berbanding kepedihan menyentuh butiran pasir hangat yang memutih.

 

Aaron terkesima. Dia cuba memeras mindanya untuk mengingati siapa dirinya dan bagaimana dia terlantar di beting pasir ini. Namun, makin difikirkan, makin kuat denyutan yang terhadir. Makin menyebalkan.

 

Tiba-tiba, Aaron bagai terdengar bunyi enjin. Dia menoleh kekanan dan ke kiri. Sayup kelihatan bentuk bayang sebuah jentera berenjin. Barangkali, sebuah bot peronda?

 

Didepang dan diangkat tangannya. Dihayunkan sekuat mungkin. Jemarinya yang masih kesakitan menggenggam beberapa butir batu, buat dilontarkan pada bot itu. Dia menjerit sekuat hati, namun, pengendali bot bagai tidak mengetahui kewujudannya.

 

“Sudah matikah aku?”, soal hati kecil Aaron. Mindnya memacu deras, apakah orang mati boleh tahu dirinya telah mati, ataukah ianya umpama mengharapkan orang buta yang bisu menceritakan perihal bezanya hitam dan kelabu?

 

Akhirnya, Aaron terduduk pasrah. Tangannya memaut kedua lutut, dirapatkan kaki ke perut. Andainya boeh diikat lututnya, pasti diikat ke perut, buat mengurangkan rasa laparnya.

 

Dalam keletihan, dia berbaring lagi. Dia sudah tidak pasti dan tidak kisah apa yang akan berlaku. Dia melihat ke ufuk langit, matahari yang semakin menurun menandakan siang akan tamat sebentar lagi.

 

Di saat kegelapan semakin menghampiri, Aaron akhirnya mengalah. Dia kini yakin jika sekiranya ada Tuhan, hanya Dia yang mampu menyelamatkannya. Matanya dilelapkan, dengan hatinya julung-julung kalinya penuh syahdu menyembahkan rasa kehambaan.

 

Sungguh benarlah madah pujangga, andai tiadanya kegelapan, mana mungkin terzahirnya keindahan sang bulan purnama. Mana mungkin terlihatnya buruj-buruj di langit. Hanya dengan hilangnya mentari, barulah keindahan cahaya yang sentiasa wujud ini akan diamati dan dihargai.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi