Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,717
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 5

BAB 5: “TERBANG”


Aaron berdiri menghadap beberapa skrin besar yang tergantung di hadapannya. Pelbagai maklumat terpapar bagi terminal udara yang menerima 70 juta penumpang dalam setahun. Informasi berkenaan pesawat yang berlepas dan yang mendarat tersusun rapi. Aras perlepasan menjadi rumah sementara buat mereka yang ingin berlepas meninggalkan kompleks lapangan terbang berkeluasan 737,249 meter persegi ini. Ada yang meninggalkannya untuk bercuti, ada juga kerana kerjaya. Tanah istimewa yang menjadi saksi ketibaan dan pemergian peluncur udara sejak tahun 1998 lagi.

 

Dia membuka begnya. Sehelai kertas yang tertera nombor penerbangan dibandingkan dengan informasi di layar skrin. Ah, ada juga maklumat tentang Coreo Airlines Regional Ilgagsu, syarikat yang baharu sahaja cuba menembusi pasaran tempatan. Penerbangan 4B 007 milik syarikat bergelar ‘Oriental Unicorns’ ini akan berlepas dari KLIA pada jam 12:55 tengah malam, Isnin, 10 Mac 2014.

 

Aaron sedikit kehairanan, mengapa Huda memilih syarikat penerbangan yang menggunakan ‘CCC’ sebagai kod ICAO. Dia kurang gemar kombinasi sebegitu, bad fengshui, fikirnya. Setahunya, ada lagi syarikat penerbangan lain yang lebih gah menawarkan laluan yang sama. Mungkinkah kerana airlines ini satu-satunya yang kini menawarkan penerbangan terus dari KLIA ke Incheon? Atau kerana Huda sudah tidak sempat membeli tiket syarikat penerbangan yang lain? Agak sedikit pelik, bagaimana penerbangan yang secara teknikalnya bukan di musim cuti sekolah mahupun hujung minggu boleh begitu cepat diisi. Aaron membuat nota minda, Lain kali, dia harus memaklumkan PAnya lebih awal untuk trip ke negara Kimchi ini.

 

Aaron mengheret bagasi berodanya ke tempat menunggu aerotrain. Walaupun jam sudah menunjukkan hampir jam 10 malam, masih hidup lagi airport ini. Mungkin ramai yang mahu terbang menaiki red eyes flights. Pesawat-pesawat yang bakal menjadi katil sementara buat penumpang melelapkan mata sebelum meneruskan tugasan atau percutian apabila tiba ke destinasi.

 

Ah, masih ada kira-kira 3 jam sebelum pesawatnya berlepas. Namun, itu bukanlah masalah baginya. Aaron akan menggunakan masa terluang untuk membaca semula nota-notanya. Dia mesti bersiap. Tiada masa untuk dibazirkan ketika di rantauan.

 

Setibanya keretapi ringan yang menghubungkan terminal utama ke terminal-terminal satelit, Aaron cepat-cepat memasuki ruang kompartmen di dalamnya. Dia tidak mahu bersesak berdiri. Menghidu bau badan insan lain bukanlah hobinya. Lagipun, dia bukannya di segmen jualan minyak wangi di pasaraya.

 

Sebuah kerusi kosong ada di hadapan.Aaron yakin itu miliknya.

 

Namun apabila sudah dilabuhkan punggungnya, Aaron terlihat seorang tua berkupiah yang sedang terhegeh-hegeh menyeret bagasi. Timbul rasa kasihan di hatinya. Insan tua itu berdiri membelakanginya. Tangan yang berkedut di mamah usia sedang cuba menggapai tali genggaman sebelum aerotrain memulakan perjalanan.

 

Aaron bingkas bangun. Dicuitnya pak tua. Jemari Aaron menuding ke kerusi, mempelawa si tua duduk di kerusi yang dikosongkan. Pak tua tersenyum.

 

Daedanhi gamsahamnida”, ditutur si tua. Sedikit bongkokan diberi tanda hormat.

 

It’s OK. You’re welcome”. Itu sahaja yang mampu dibalas Aaron. Rasanya, pak tua ini berbangsa Korea. Namun, mengapakah dia berkupiah?

 

Aaron melihat sahaja aksi pak tua yang sedang melunjurkan kakinya. Mukanya kepenatan, dadanya masih berombak mencari nafas, mengah. Maklumlah, bangunan terminal utama KLIA bukannya kecil. Mungkin pak tua kepenatan, berjalan mencari arah merentas terminal seluas 3.6 juta kaki persegi. Lagipun, telah Aaron, sebagai insan berusia yang mungkin tidak mahir berbahasa Inggeris, tempat asing ini boleh menyesatkannya.

 

Tanpa disedari kedua insan, sepasang bebola mata seorang pramugari yang bakal menaiki pesawat yang sama tekun memerhati mereka.

 

* * *


Di aras bawah tanah sebuah bangunanyang terletak 342 kilometer di Selatan menara berkembar tertinggi dunia, seorang insan sedang membetulkan cermin matanya. Ketua Turus Siasatan yang ditugaskan bagi segala operasi di rantau seluas empat juta setengah kilometer persegi sedang meneliti kertas kerja di tangannya. Kali ini, dia terpaksa merencana suatu operasi yang akan dilancarkan dari sebuah pulau di Lautan Karribean yang berjarak 18,353 kilometer jauhnya dari ruang selamat di bawah tanah kedutaan negaranya di city state ini.

 

Baginya, ia sesuatu yang agak mencabar. Ketua turus ini sudah biasa beroperasi di rantau yang dihuni 641 juta penduduk yang merentas 11 negara dan tiga dependencies. Namun, tugasan ini harus dilakukan. Simpulan yang longgar harus diperketat, kerana insan yang menjadi sasaran operasi khas mereka mampu mendedahkan rahsia kegiatan mereka di Asia Tenggara. Rahsia yang sedikit sebanyak boleh merencat perancangan masa hadapan. Lagipun, insan inilah yang membuatkan kekasih wanitanya dikorbankan. Sesuatu yang membuatkan perancangan ini lebih menarik buatnya. Risiko tetap wujud, namun dia percaya orang penggamang mati jatuh, orang pendingin mati hanyut.

 

Dia menggenggam gagang telefon yang tersedia di hadapannya. Beberapa punat ditekan. Dia harus menunggu sebentar untuk pengesahan sebelum membuat panggilan.

 

Line is secure. Bite geyn vayter”. Suara digital memaklumkan padanya talian kini selamat. Sistem enkripsi tahap tinggi telah diaktifkan Sebarang percubaan mencuri dengar cuma akan menghasilkan bunyi statik yang berulang-ulang.

 

Jarinya terus mendail nombor kenalannya di Amerika Syarikat. Beberapa saat berlalu sebelum talian disambungkan. Beberapa saat lagi harus dibiarkan untuk memastikan keselamatan hubungan di hujung talian.

 

Hello, this is David’s Coffee Shop”, jawapan skema yang memang tertanam dalam jiwa perisik terlatih. Meskipun si pemanggil dan penyambut panggilan pasti bahawa talian ini tidak mampu diintip, tiada risiko tambahan akan diambil. Pada mereka, tiada jaminan tidak wujud sebarang ejen counter-intelligence yang sedang memerhati mereka. Kewaspadaan mereka penting, untuk saling menjamin nyawa rakan seagensi, umpama terapung sama hanyut, lulus sama terbenam.

 

 “OhI see. Anything else?”, soal penyambut panggilan. Dia mengerti gift yang dimaksudkan adalah barang-barang berisi senjata dan dokumen lain untuk memudahkan mereka melarikan diri andai dikesan. Flower shop digunakan kerana ianya sebuah kedai yang sering menerima ribuan kunjungan dalam seminggu. Menyukarkan pegawai risikan balas untuk merakam semua wajah pembeli dan ‘pembeli’. Lagipun, kedai bunga memudahkan transaksi pemindahan barang, tidak seperti kedai kopi.

 

Do collect the package. Use the windows, doors are broken. Owner said he is OK”, balasnya. Ketua turus memberi isyarat bahawa HQ mereka telah memberikan kebenaran untuk operasi ugutan dan ekstraksi pakar keselamatan digital di Amerika Syarikat.

 

OK, noted. Thanks Cohen”, ucap si penyambut panggilan. Dia membuat nota mental. Lampu hijau telah diberi dari ibupejabat yang terletak sembilan ribu kilometer dari kedai kopinya. Mindanya ligat, dia kini perlu mereka cerita bagi membohongi rakan niaganya Sekiranya proses ektraksi berjaya, dia perlu terbang ke Nicaragua selama sebulan. Maka, dia harus memberitahu sebuah cerita sedih kekeluargaan, mungkin tragedi kesihatan yang memerlukannya meninggalkan bandar itu secara mengejut untuk tempoh yang agak lama. Sekurangnya, rakan niaga itu mampu menjadi alibi andai dia tertangkap.

 

Gagang telefon diletakkan. Lelaki berkaca mata menarik nafas lega. Matanya dilelapkan seketika.

 

Di fikirannya, teringat pelajaran pertama teori peperangan yang dilalui semasa di unit risikan tentera. Perang mungkin bermula apabila panah pertama terlepas dari busurnya. Mungkin juga apabila picu ditarik meledakkan peluru. Namun, kemanusiaan itu sebenarnya telah berakhir apabila musuh bertentangan tidak lagi memandang sang lawan sebagai manusia. Meskipun dia tahu bahawa pembunuhan satu nyawa tanpa hak itu umpama penghapusan seluruh umat insani ciptaanNya, dia tidak kisah. Baginya, musuhnya itu bukan lagi seorang manusia.

 

Picu telah ditarik. Peluru bakal berterbangan, dan musuhnya harus mati.

 

* * *

 

Aaron mengambil tempat duduk di penjuru kafe. Aroma kopi tanpa susu menyucuk rongga hidungnya. Menyegarkan. Tangannya meletakkan beg sandang dan bagasi beroda bersaiz sederhana di kerusi kosong di sebelahnya. Dia dengan penuh rapi mematahkan croissant, dua bahagian yang hampir sama besar disusun di atas pinggan putih.

 

Sambil menikmati roti berbentuk bulan sabit, Aaron merenung wajah-wajah lain di kafe yang sama. Kelihatan seorang pramugari sedang berbicara dengan seorang juruterbang di suatu penjuru yang lain. Wajah kedua anak kapal kelihatan serius.

 

Aaron mengalihkan pula pandangannya ke penjuru yang lain. Kelihatan beberapa anak muda, mungkin di awal usia dua puluhan sedang sibuk bergambar. Ada yang swafoto sendirian sambil memuncungkan mulut, tidak kurang juga yang sedang wefie berjemaah, batang plastik bersalut rona chrome menjadi alat utama. Pelbagai posisi, saling tak tumpah macam mugshot seorang pelaku jenayah. Aaron tersenyum.

 

Tidak kurang juga ada yang mengendong beg yang membawa alatan bergambar. DSLR barangkali. Tapi sedikit kasihan apabila kamera yang dikeluarkan lebih difokuskan ke arah makanan yang terhidang di sisi tiket penerbangan. Sangka Aaron, mungkin mereka berkarya untuk Instagram, berkongsi kebahagiaan menghargai makanan. Semakin lebar senyumannya.

 

Dihirupnya perlahan kopi hitam yang masih panas. Terlintas di fikirannya mitos penemuan kopi dek seorang gembala kambing Ethiopia di kurun kesembilan yang kaget melihat kambingnya teruja setelah memakan biji kopi. Namun, itu mungkin hanya dongengan. Apa yang pasti, dunia Arab di kurun ke-15 lah yang menyaksikan pembudayaan asal memanggang, mengisar dan membancuh biji kopi. Sesuatu yang dipercayai dimulakan oleh ahli-ahli Sufi.

 

Walau apa pun sejarahnya, jenis minuman ini kini masyhur di seluruh pelosok dunia. Hampir 7 juta tan kopi diperdagangkan setiap tahun, dari yang paling murah hinggalah yang semahal kopi luwak. Namun, kopi hasil tinjaan palm civet di Sumatra itu bukanlah yang termahal. Ia masih ketinggalan sedikit di belakang biji kopi Hacienda La Esmeralda dari Panama yang mampu mencecah harga tiga ribu ringgit bagi setiap kilogram, menghampiri separuh dari harga perak!

 

Ah, itu semua tidak mengapa bagi Aaron. Bukannya dia golongan ningrat. Asalkan cecair kehitaman beraroma ini dapat memberi kesegaran, itu sudah memadai.

 

Aaron membetulkan duduknya. Dia berfikir, bagus juga Huda menempah penerbangan terus ini. Kebiasaannya, penerbangan ke Korea Selatan akan berhenti seketika stopover di Kota Kinabalu. Bukanlah Aaron tidak meminati kota indah negeri di bawah bayu itu, tetapi perjalanan yang lebih pendek, iaitu selama 6 jam 15 minit lebih berharga buatnya berbanding penerbangan berhenti-henti yang secara total mengambil masa sekitar 10 jam. Itupun masih dikira tempoh yang panjang buatnya. Fobia berada di udara di dalam rangka aluminium seberat 215 tan amat menyesakkan dadanya. Walaupun kabin di dalamnya berkelebaran melebihi 6 meter, terasa baginya bagai diperangkap di ruang yang terlalu sempit. Kelajuan di udara yang mengjangkau 950 kilometer sejam pula menambahkan lagi fobianya.

 

Lalu dia pun terus menghirup sebanyak mungkin kopi yang pahit. Mungkin dapat melegakan minda yang tersebal. Dia harus menghabiskan rotinya segera, sebelum bergegas ke ruangan kebuk wasap anti-denggi. Smoking area, tempat mengambil dos-dos nikotin terakhir, ruang yang selalunya dihiasi asap serupa fogging.

 

* * *

 

Si pramugari mengangkat wajahnya.Hatinya remuk. Kekasih yang beruniform putih di hadapannya mengakui memiliki wanita lain. Gadis yang lebih muda dan kurus berbandingnya.

 

How can you do this? You promised to marry me!”, bentak si pramugari. Rambutnya yang pendek bergoyang serentak dengan gelengan kepalanya. Dia yang dahulunya berambut panjang bersanggul telah merubah caranya, semata kerana tuntutan syarikat penerbangan yang baru disertai. Di syarikat inilah dia bertemu dengan kekasih gelapnya. Kekasih yang terpesona dengan keayuan dan lenggang lenggoknya laksana cupak hanyut.

 

But how can I marry you? You’re already someone’s wife”, balas si pilot selamba.

 

But it never stopped you to date me in the first place!”, bantah pemilik hati yang kini pecah seribu.

 

Well, that was before. And this is now”. Mudah benar kasanova udara ini berbicara. Jika diikutkan hati si pramugari, mahu sahaja ditikamnya lidah insan di hadapannya dengan garfu di atas meja.

 

Namun nasi sudah menjadi bubur. Segala lafaz cinta syahdu-syahdan yang terucap sepanjang mereka bercinta di udara dan di luar negara rupanya hanyalah lakonan semata. Kini dia tersedar segalanya salahnya yang terlalu cepat terpaut hati pada jejaka yang pakar bermain kata. Buaya darat yang bertopengkan perwatakan yang romantis. Romantika palsu si romeo yang sedikit pun tidak disertai kesetiaan dan ketulusan hati sang suami yang menunggunya di rumah bersama anak lelaki mereka.

 

“Ah, bodohnya aku, melemparkan diri padanya. Laksana buaya bertemu bangkai hanyut”, kesal hati si pramugari.

 

Lelaki di hadapannya telah bangun meninggalkannya. Tangis dan airmata si pramugari tidak bererti.  Mungkin dia terlalu terpengaruh dengan cara hidup hedonistik rakan sekerja lain. Sangkanya bedena timbul, terpeluk pula bangkai babi bengkak yang hanyut.

 

Dia mengelap airmata. Jangan sampai merosakkan solekan dan maskara. Mindanya berlari kencang. Dia harus berlaku jujur dengan sang suami. Segalanya telah tamat antara dia dan kekasih gelap. Andai ingin disaman kerana gagal mengotakan janji untuk menikahinya, pasti ada yang akan menuduhnya tiada bermoral tika berjanji walhasil dia masih isteri orang. Pramugari itu sedar, perjalanannya seharusnya cuma untuk mencari makan, kerana cinta setia menantinya di rumah. Namun, dia mungkin sudah terlewat. Hanya kesabaran si suami yang mampu memaafkan. Dan itu pun sudah mencukupi buatnya. Moga diketemuinya bila dia mendarat kelak.

 

* * *

 

Di sebuah pusat kawalan udara milik tentera diraja, seorang jurutera radar sedang tekun menulis laporan. Berkelip-kelip bogies yang setiap satunya menandakan identiti pesawat yang berterbangan di rantau ini. Rokoknya diletakkan pada ashtray di hadapan buku log pemerhatian trafik udara miliknya. Dia harus menyiapkan laporan, sebelum diserahkan pada insan seterusnya yang akan bertugas di posisi ini tepat jam 12 tengah malam nanti.

 

Insan itu mendengus. Sejak kebelakangan ini, command center yang memerhati kawasan Gulf of Thailand semakin sibuk. Pelbagai plan latihan ketenteraan bersama armada laut Amerika Syarikat sedang dijalankan. Beratus penerbangan dilakukan, sebagai persediaan peningkatan mendadak ancaman pelancaran ujian nuklear oleh rejim yang memerintah bahagian utara Semenanjung Korea.


Ketakutan ini ditingkatkan pula dengan laporan risikan tentera yang mengatakan wujudnya peningkatan aktiviti di beberapa limbungan kapal Tentera Laut Rakyat Terbebas milik sebuah republik besar di Asia. Biarpun kapal-kapal ini masih bersiap di dok, imej-imej yang disadur dari satelit komersial telah diolah dan diinterpretasi sebagai tambahan ancaman kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Dan itu suatu faktor yang perlu diambilkira kerana republik ini salah satu teman rejim penguji nuklear di dalam Persidangan Enam Penjuru.

 

Insan ini pasti, segala latihan tambahan juruterbang tentera udara ini mungkin dapat dilihat oleh negara-negara jiran. Doanya di dalam hati, agar tiada si gila dari kejauhan yang akan tersilap sangka tentera udara negaranya yang berkeluasan 513 ribu kilometer persegi ini sedang merencana serangan ofensif. Nyata sangkaannya tepat, kerana Rahman dan penumpang tongkang ketakutan melihat peningkatan itu. Pergerakan tongkang diperlahankan untuk mengelakkan dari dikesan.

 

Dalam kekalutan menyiapkan laporan, tangannya terlanggar cawan berisi kopi. Cecair hitam manis bergula tumpah, merebak ke atas semua tempat yang berhampiran. Cepat-cepat dia mengambil kain untuk mengelap air yang tumpah, akan tidak mengganggu wiring sistem komunikasi dan identifikasi segala objek di udara. Lagipun, andai rokoknya yang tergolek jatuh dari ashtray itu menghasilkan abu yang melekat di papan kawalan, mesti jerkahan ketua bahagian akan menziarahi telinganya. Tanpa sedar, kemalangan kecil itu bak isyarat menandakan badai yang bakal melanda.

 

* * *

 

Aaron menjengah waktu di jamnya. Masih agak awal. Namun, tidak mengapa, dia ingin berehat seketika di boarding lounge ini. Dia merebahkan badan yang kini saluran darahnya dipenuhi nikotin dan bahan-bahan karsinogenik yang lain. Heh, what doesn’t kill me can only make me stronger, getus hatinya.

 

Dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg sandangnya. Sehelai sampul plastik yang terlekat di telefonnya terjatuh.Aaron mengutipnya. Di dalam sampul lutsinar itu terdapat surah Yaasin. Dia kehairanan dari mana datangnya bingkisan ini. Disimpannya ke dalam jaket yang bersangkutan ke pemegang bagasi beroda miliknya. Mungkin inilah barang yang diberikan ibunya kepada Kate ketika ingin bergerak ke KLIA tadi.

 

“Hehe… Ustazah Tijah”. Tiga kalimah yang terlintas di minda membuat dia tersenyum seorang diri. Senyuman yang melebar dari telinga ke telinga. Laksana insan kurang siuman.

 

Cepat-cepat dia mendongak melihat sekeliling. Malu juga andai ada kenalan yang melihatnya tersengih seorang diri. Imej harus dijaga.

 

Aaron kepelikan melihat ramai benar BBNU di dalam ruang menunggu ini. Keletah ‘budak baru nak up’ yang kebanyakannya sedang sibuk berselfie agak menjengkelkan. Agaknya, entah berapa gigabyte data dan memori yang dihabiskan untuk hobi ini. Kelihatan beberapa orang yang memiliki hairstyle yang pelik. Rambut berpintal. Aaron menghela nafas panjang, baginya gaya itu kurang sesuai dengan si hidung pesek berkulit sawo matang.

 

Namun, biarlah, dia juga pernah muda suatu masa dahulu. Bukanlah dia kini sudah tua, tapi dia hampir terlupa kegilaan zaman remajanya. Kegilaan kala pertama kali berparti bersama rakan selepas menghadiri konsert kumpulan Blink182. Mujur masa itu budaya selfie belum menular di media sosial. Kalau tak, entah berapa ribu gambar-gambar kurang sopan akan dikongsi minda separa matangnya dahulu di laman Facebook? Dia hanya mampu tersenyum lagi.

 

Dia menjenguk ke luar, Kelihatan kapalterbang 747-6FF sedang menanti. Pesawat generasi baru yang kononnya lebih mesra bahanbakar dan mampu terbang lebih pantas. Barangkali, itulah ertinya singkatan FF - fuel efficient dan faster.

 

Tumpuannya kembali ke skrin telefon bimbitnya. Mesej yang dihantar ke kenalannya yang sangkanya berada di Korea Selatan masih belum berbalas.

 

Haikal, seorang lelaki berbangsa Melayu yang pernah bekerja di syarikat yang sama dengannya. Setahunya, selepas meninggalkan syarikat itu dan menyambung pelajaran di sebuah universiti di Jepun, Haikal mendapat kerja di projek Ichthys milik ENPAX di bandar Geoje, Korea Selatan. Fikir Aaron, mana tahu, mungkin rakannya dari Malaysia itu ada kaki atau kenalan lain di Korea Selatan?

 

Namun, sudah beberapa kali Aaron menghantar mesej melalui Whatsapp sejak kebelakangan ini. Semuanya tidak berjawab. Selalunya Haikal tidak sebegitu. Mungkin dia tengah sibuk, teka Aaron. Pernah Aaron terdengar bahawa ENPAX, syarikat petroleum milik Jepun itu tengah meneroka satu lokasi berkedalaman 210 meter yang terletak di antara pulau Tsushima dan pulau Oki. Satu lokasi berjarak kira-kira 130 kilometer arah Barat Laut dari Wilayah Shimane di pulau Honshu. Seandainya benar ada minyak disitu, beruntunglah si Haikal, sebab mungkin akan menimba pengalaman bekerja di pelantar minyak pertama yang dijumpai sejak 15 tahun yang lalu di Jepun.

 

Telefonnya bergetar. Ah, sudah ada response dari Haikal.


[Haikal]             Hei, broGenki desuka?

[Aaron]             Genki desuyo! Kau sihat?

[Haikal]             Alhamdulillah…Ha, ada apa, bro?

[Aaron]             Busy ke? Lama giler tak respond?

[Haikal]             Sori bro. Projek offshore

[Aaron]             Projek kat Tsushima Island tu ke?

[Haikal]             Hait. So desuyo. Eh, mana kau tahu?

[Aaron]              Aku tahulah. Aku baca berita O&G

[Haikal]              Ah, sokka na..?

[Aaron]              Yup.

[Haikal]              So, apa citer bro? Nak datang sini ke?

[Aaron]              Yup, I’m flying to Seoul. Boleh nak la kita jumpa, ngeteh.

[Haikal]              Oh. Bila?

[Aaron]              Tonight lah. Ni aku kat boarding lounge dah ni. Berjanggut aku tunggu kau reply

[Haikal]              Hati-hati bro. Dengar citer, kawasan laut di sebelah timur Vietnam tengah panas!

[Aaron]              Why?

[Haikal]              Macam biasa… Rebut minyak. Laluan kapal…

[Aaron]              It’s OK. Biasalah tu. Tell me something new

[Haikal]              Lagipun, I heard that ada pulau kecil mengadu ke US. Siap dah hantar 7th Fleet

[Aaron]              Wah. Kenapa sampai nak hantar armada perang? Youserious?

[Haikal]              I heard in Tokyo yang Korea Utara takmo berunding lagi. Nak testnuclear, kot?

[Aaron]              Damn! That’s mental!

[Haikal]              Kan? Hati-hati bro, nanti gajah gaduh sama gajah, pelanduk mati tengah-tengah

[Aaron]              Hehe… Nandemonai… ini Aaron lah. Campak mana-mana pun boleh survive!

[Haikal]              Ha, OK lah kalau gitu. Aku takde kat Korea. Aku kat Tokyo ni. Cuti seminggu


Aaron terdiam. Mulutnya terkatup seusai carutan meniti di bibir.

 

Musafir ini mengangkat kepalanya, mengalihkan seketika perhatian dari skrin di tangan. Tangisan seorang anak kecil menarik perhatiannya.

 

Tidak jauh dari tempat duduknya, Aaron terlihat seorang anak mat saleh dengan ibunya. Sang ibu yang gigih memujuk anaknya. Airmata dikesat. Barangkali, si ibu sedang cuba mendamaikan keresahan anaknya.

 

Are you OK?”, soal ringkas Aaron. Suaranya tidak perlu dikuatkan kerana tiada bunyi bising di sudut lounge ini.

 

Yeah,we’re fine. She’s just sad that she lost her toys. But we’re fine, we have similar ones back in New York”, jawab si ibu sambil tersenyum.

 

You sure? Do let me know if you need my assistance”, sambung Aaron.

 

I sure will. Thanks for asking”, balas ringkas si ibu. Perhatiannya kembali dialihkan ke arah si anak.

 

Aaron mengangguk. Fikirnya, mungkin insan berdua ini menuju ke destinasi akhir di New York. Setahunya, penerbangan 4B 007 milik Coreo Airlines Regional Ilgagsu yang menuju ke Seoul ini akan meneruskan perjalanan ke bandaraya yang tidak pernah tidur itu setelah beberapa jam stopover.

 

Telefon di tangannya bergetar lagi. Mesej dari Haikal masih menjelma.

 

[Haikal]              So, bro, naik airlines mana? Stopping at KK?

[Aaron]              Nope. Today, I naik Coreo Airlines Regional Ilgagsu. CARI. Terus ke Incheon

[Haikal]              Aik? U naik ‘The Oriental Unicorns’?

[Aaron]              Kenapa?

[Haikal]              Never knew kau minat K-Pop

[Aaron]              Apa kena-mengenanya pulak? Takkan sebab naik airlines Korea terus jadi gitu?

[Haikal]              Hehehe… Sorry, aku ingat kau nak gi sana tengok konsert

[Aaron]              ???

[Haikal]              Yelah, kanr amai naik sebab nak menang tiket konsert Phoenicorns?

[Aaron]              Menatang apa lak tu?

[Haikal]              Kau tak tau ke? Tu lah superband paling daebak sekarang ni!

[Aaron]              Daebak? Maksud kau, cool?

[Haikal]              Betul. Group paling gerek sekarang ni. Gabungan PhoenixXx dan yoU.n.I.corns

[Aaron]              Sorry. Never heard of them

[Haikal]              Brader, ni gempak seih. They gabungkan rentak biasa K-pop dengan irama reggae

[Aaron]              Hah? You must be joking

[Haikal]              No.. No..I’m serious. Jodan janai-yo

[Aaron]              Wow! ‘High’ level kimchee. Hehehe…

[Haikal]              Hahaha… But seriously, ahli yoU.n.I.corns semua rambut stail cornrows, braided

[Aaron]              Maksud kau, rambut berpintal ala-ala Sean Paul dan Ludacris?

[Haikal]              Yup. Sama juga macam Alicia Keys

[Aaron]              OIC

 

Aaron melihat sekeliling. Patutlah ramai BBNU sekelilingnya bergaya rambut sebegitu di lounge ini. Semuanya hyper semacam. Langkah mereka umpama ada spring di bawahnya, teleng bagai cupak hanyut, gembira sangat gamaknya.

 

[Haikal]              Setahu aku, yoU.n.I.corns ini semuanya lelaki kacak

[Haikal]              PhoenixXx itu pula kumpulan cilik vokalis wanita seksi. Dancing non-stop

[Aaron]              Typical stail K-pop la…

[Haikal]              Yup, but they can actually sing. Dan ada fusion reggae tuh!!

[Aaron]              Baguslah mereka nak test style baru. Tapi apa kena-mengena dengan airlines ni?

[Haikal]              Didn’t you know?

[Aaron]              What?

[Haikal]              Ilgagsu tu bermaksud unicorn, dalam bahasa Korea lah…

[Aaron]              Oh…


Aaron kembali melihat tiketnya. Barulah dia perasan logo syarikat itu ada silhouette yang sedikit menyerupai kuda biru yang bertanduk merah. Wajarlah syarikat ini membuat promosi dan kerjasama dengan kumpulan superband Phoenicorns. Rupa-rupanya situasi win-win bagi semua pihak. Plan bisnes yang agak menarik!

 

Dia bertanya kepada sahabatnya mengenai Gongsang City di Korea. Sahabatnya tidak mampu memberitahu apa-apa maklumat tambahan mengenai bandar mahupun syarikat yang ingin dilawat Aaron. Sedikit sebanyak ini menimbulkan keraguan di hatinya. Namun, apakan daya, tiket telah dibeli. Aaron harus meneruskan perencanaannya untuk ke bandar itu.

 

Dia melihat kembali nota-nota yang telah disediakan Huda. Menurut itinerari perjalanan, setibanya di Lapangan Terbang Incheon, Aaron akan disambut oleh Mr.Eong Teo Li dan pembantunya, Miss Kal Son-yeo. Kedua-dua wakil dari Don Eul Humchyeo Shipyard akan mengiringinya sepanjang tiga hari pertama di semenanjung Korea. Setahu Aaron, syarikat ini sebuah usahasama baharu beberapa buah shipbuilding companies. Syarikat ini menawarkan harga dan pakej yang menarik, selayaknya bagi meletakkan nama dalam persaingan industri pembuatan kapal. Percubaan berani mati kerana enam daripada sepuluh limbungan kapal terbesar di dunia terletak di Korea Selatan. Sebut sahaja nama-nama bandar seperti Seoul, Ulsan, Jinhae, Busan dan Yeongam, pasti dikenali mereka di industri maritim.

 

Aaron mengetahui mengenai syarikat ini menerusi jaringan niaganya di luar negara. Tawaran yang komprehensif amat mengujakannya. Lagipun, syarikat ini berani menanggung pembiayaan awal pipelaying vessel ini kerana benar-benar mahu memasuki pasaran Asia Tenggara. Baginya, ini juga satu situasi win-win. Walaupun dia sebenarnya tidak berapa menggemari kimchi, siapa tahu, mungkin dia akan belajar menikmatinya ditemani beberapa botol soju?

 

Si musafir menghela nafas panjang. Dikerling waktu di pergelangan tangannya, masih belum tiba masanya untukt erbang. Matanya melilau memerhati kalau-kalau ada majalah menarik yang boleh dibaca buat mengisi masa. Lagipun, hatinya yang kembali dirundung fobia terbang kini berdetak lebih kencang umpama genderang mahu perang.

 

Tiba-tiba dia terlihat pak tua yang berkupiah tadi sedang membentang sejadah di penjuru boarding lounge. Hatinya tergerak untuk bertanya, namun dibiarkan, mungkin itu cara si tua mencari ketenangan sebelum terbang.

 

* * *

 

Di bandaraya Perth, dua lelaki sedang menuruni tangga pejabat mereka. Biarpun sudah jauh lewat malam, mereka baru selesai mendokumenkan pertemuan mereka dengan Mukhayriq. Pertemuan di atoll siang tadi dimulai seperti biasa, mereka memberikan nombor telefon mobile baru buat klien misteri ini. Seperti kebiasaan, setiap tiga bulan, mereka akan terbang ke sana, perjalanan yang memerlukan mereka transit di Christmas Island sebelum mendarat di sebuah landasan yang kecil.

 

Seperti kebiasaan juga, mereka akan memberi Mukhayriq simcard yang membawa nombor baru. Entah mengapa, itu memang permintaan spesifik klien mereka, bagaikan dia insan yang cuba lari dari sesuatu.

 

Namun, kali ini pertemuan mereka agak serius. Ada benda mustahak yang memerlukan kerahsiaan. Mereka tidak bertemu di kafe yang biasa di Home Island, sebaliknya mereka berbincang di conference room di West Island. Bilik yang ditempah khas melalui panggilan dari Perth, disediakan oleh The Cocos (Keeling) Islands Community Resource Centre. Kedua insan, satu daripadanya peguam, manakala yang lagi seorang ialah akauntan agak selesa di sana. Suatu pusat yang menyediakan khidmat printing, laminating, dan servis komunikasi. Namun, yang peliknya, tidak pula pernah Mukhayriq membeli simcard yang baru di sana.


Ah, persetankan. Klien sentiasa betul!

 

Semasa kedua professional ini bertanya kepada klien samada tempat ini cukup buat menjamin kerahsiaan, Mukhayriq hanya ketawa. Katanya, bersembunyi di tempat yang terang itu lebih selamat. Dan tiada tempat yang mampu untuk tampil lebih umum berbanding pusat itu. Pusat yang menerbitkan bulletin komuniti, The Atoll, di samping tempat penganjuran aktikiti kemasyarakatan. Aktiviti-aktiviti seperti Cocos Biz Buzz, dan Kids Movie Night yang melibatkan kesemua penduduk atoll, tanpa mengira agama, bahasa dan budaya.

 

Di kejauhan, kedua ahli professional ini mengagumi kesungguhan pasukan kecil jawatankuasa sukarelawan. Pasukan yang dipimpin Miss Kylie dan dibantu Miss Shaq. Pasukan kecil yang amat berdedikasi membantu para penduduk dan Shire Council.

 

Bagi mereka, Mukhayriq adalah antara klien mereka yang terlama. Lelaki yang baik, tetapi sedikit misteri. Acapkali kunjungan mereka ke atoll disambut mesra olehnya, di samping keindahan alam dan kemesraan penduduk yang menggamit hati. Setiap kunjungan dan penginapan mereka di West Island Seaview Apartments (di Qantas Close) membawa kenangan baru. Hidangan di café milik Thomas, anak si konstabel polis di situ juga tidak kurang enaknya.

 

Mungkin, di kunjungan mereka yang akan datang, mereka akan meminta bantuan Mukhayriq untuk bertemu dengan Pak Bakti dan Doktor James, dua insan yang menjadi ahli badan pengurusan Pulu Keeling National Park. Khabarnya, pemandangan di sana indah nian. Namun, kunjungan mereka ke Taman Negara yang terletak 25 kilometer di utara Pulau Horsburgh itu cuma akan terhasil andai klien berpuashati dengan layanan firma-firma guaman dan accounting mereka. Maka wajarlah semua nombor-nombor dan hal perundangan dijalankan seteliti mungkin, jika tidak, penerbangan mereka ke atoll itu siang tadi bakal menjadi yang terakhir.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi