Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,725
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 10

BAB 10: “MIMPI”

Sudah beberapa hari Aaron berada di Home Island. Hari-hari awal pertemuannya dengan beberapa penduduk pulau. Selepas pertemuannya dengan pasukan polis tempatan, dia turut bertemu dengan Doktor James untuk pemeriksaan lanjut. Sempat juga Aaron bertemu Ryan dan Nuh, penyelamatnya yang hanyut terdampar. Hari demi hari berlalu, musafir bertattoo ini semakin mengenali hatibudi dan makin akrab dengan Pak Bakti dan Faizal. Begitu juga dengan Pak Sayang, dan Mr David Louis, penyelia latihan industri Faizal.

 

Meski Aaron masih kabur mengenai identiti diri, ingatan dan pengetahuannya yang lain masih utuh. Pernah ketika dia terserempak Faizal dan David, pasangan yang sedang leka menguji telaga air di aquifer, Aaron berkongsi beberapa petua dalam pengenalpastian kualiti air bawah tanah. Sesuatu yang amat penting bagi atoll yang tidak memiliki sebarang tasik mahupun sungai semulajadi.

 

Petua-petua yang membuatkan kesemua yang hadir menyangka mungkin Aaron datang dari bidang sebegitu.

 

Aaron bersandar di sofa, keletihan. Bukan ototnya yang penat, namun minda yang letih, kerana kerap dikerah untuk cuba mengingati identiti diri. Dia jelas letih dengan ujian ini. Hadirnya tattoo di badan mungkin gambaran masa lalunya yang penuh sinis.

 

Pak Bakti yang sedang menikmati air sejuk menghadap Aaron. Katanya, setiap insan diuji dan diberi kelebihan oleh Tuhan. Ujian yang setara mengikut kemampuan yang diduga. Terpulanglah pada mereka untuk memilih jalan dan cara menempuh ujian-Nya. Kias Pak Bakti, ianya umpama insan diberi segenggam garam. Dituang ke dalam segelas air, masinlah ia. Namun jika dituangkan pula ke perigi yang dalam, kemasinan akan hilang ditelan kepayauan. Biarpun hakikat asalnya, ujian itu sama, segenggam garam yang bersesuaian jumlahnya dengan tangan yang menadah, tindakan seterusnya yang membawa impak.

 

Aaron sekadar mengangguk, menghadam.

 

“Ron, ingatlah, ada insan yang alpa dibuai kesenangan. Kesenangan yang membuatkan mereka sangka mereka terlalu istimewa umpama insan pilihan Tuhan”. Jelas Pak Bakti, para Nabi diberikan mukjizat, manakala insan alim yang terpilih diberikan karamah. Adapula kelompok lain yang diberikan maunah, iaitu pertolongan. Namun, harus waspada pada yang diberikan istidraj. Satu kesenangan sebagai ujian buat insan, bersyukurkah atau lebih laju menjerumuskan diri ke lembah kehancuran.

 

“Yang penting, kena terususaha memperbaiki diri. Jangan berhenti berharap, Ron”. Meski Aaron tidak bersuara, Pak Bakti nyata mampu membaca apa yang terbuku di dada musafir misteri ini.

 

Aaron cuma mengangguk lemah. Cuba dilelapkan matanya, namun lena masih elusive buatnya. Dia merenung kosong ke siling putih bilik tidur. Terdetik di hati kecilnya memohon Tuhan tunjukkan jalan buatnya. Meski dia masih ragu-ragu status agamanya, dia yakin jawapan akan muncul jua.

 

* * *

 

"Banker wins again", lafaz gadis yang berdiri di seberang meja separa bulat berwarna hijau. Senyuman sinis terukir di bibir. Lagaknya persis mencabar lima batang tubuh yang duduk berkerusi di hadapannya.

 

"Crikey! You must be joking, mate! Not again!", sahut John. Dahinya berkerut. Kepalanya digelengkan bagai tidak percaya. Dia menoleh ke Aaron yang sedang leka menilik jumlah casino chips yang bertaburan di meja lengkung di hadapannya.

 

Aaron mencongak di dalam kepalanya. Berat nanang, dok rok cetong nasib aku malam ni, bicara hati kecilnya. Padanya, mana mungkin banker memenangi sepuluh pusingan berturut-turut baccarat. Sepuluh pusingan dia bertaruh pada player, sepuluh kali juga dia tewas. Setiap pusingan ditingkatkannya jumlah chips pertaruhan. Namun, semuanya kini lebur. ‘Gunung’ casino chips miliknya kini umpama tanah runtuh, dijarah bertalu-talu, rakus dimamah nasib. Kebarangkalian yang agak rendah, tetapi, itulah perjudian.

 

Aaron mendengus. Tangannya menggapai gelas berisi minuman keras di sebelahnya. Diteguk deras menghilangkan dahaga. Ah, sudah tinggal air batu. Dia menoleh ke belakang, matanya melilau mencari gadis penghidang minuman.

 

"Excuse me, can I have another one of JD? Neat on the rocks", pesannya. Segelas lagi air kencing syaitan dipinta. Aaron menghulurkan sekeping not wang kertas berwarna merah. "Keep the change", tambahnya. Tersenyum lebar gadis yang mengambil pesanannya. Duit Aaron diselitkan di poket kiri kemeja putih, uniform bangunan maksiat Skytown di bandar Adelaide. Ironinya, kota itu juga sinonim dengan gelaran ‘City of Churches’ kerana hampir setiap satu dari jaringan jalanannya dihiasi gereja.

 

Aaron membuka dompetnya. Aduh, susut teruk 'modal perniagaannya' malam ini. "Kecelakaan apakah malam ini?", soal hatinya. Namun, baginya, dia tidak boleh kelihatan pokai. Sengkek bukan gayaku. Gaya mesti ada, baru ada ong.

 

Aaron membetulkan duduknya, kembali menghadap meja lengkung, medan pertarungan nasib dan imbangan ketamakan. Di penjuru kanan meja kelihatan dua insan yang unik, seorang pakcik yang barangkali dari Vietnam dan seorang pemuda yang kelihatan seperti berdarah Arab. Si tua tersenyum girang hasil kemenangannya. Puluhan chips pelbagai warna telah dikautnya. Chips yang berdimensi yang sama, cuma warna mereka membezakan nilainya. Senyuman si tua kutuk bak panah yang menusuk kalbu Aaron. Masakan tidak, bagi setiap pusingan yang dimenanginya, Aaron kehilangan taruhan. Kelihatan pak tua mengeluarkan sehelai kertas emas berbentuk daun dari kocek kemejanya. Dikucup mesra dan dibelai umpama menatang minyak yang penuh.  Kelihatan juga si Arab itu turut memiliki longgokan chips yang banyak. Hasil tuaiannya yang hanya meniru pilihan pertaruhan si tua kutuk, bezanya hanyalah jumlah taruhan yang berlipat ganda. Lebih risiko, lebih pulangan. Itulah judi.

 

Aaron bangkit meninggalkan meja. Dia mahu mengeluarkan duit. Alangkah mudah sekiranya duit yang mahu dikeluarkan itu disalurkan terus ke poket pemilik kasino? Dalam perjalanannya menuju ke mesin wang, dia terlihat beberapa mesin pokies. Nama-nama yang tidak asing buatnya, Choy Sun Doa, Where's The Gold, dan pelbagai lagi yang biasa dikunjunginya. Namun dia memaksa dirinya untuk lanjut melangkah ke hadapan. Baginya, mesin pokies bukan lagi levelnya. Iya, di zaman universiti, itu mungkin sesuai, tetapi kini dia ditaraf perjudian yang lebih tinggi dan kompleks seperti Baccarat, Black Jack, dan Texas Hold 'Em Poker.

 

Seusai mengeluarkan wangnya, dia berpaling untuk kembali ke meja lengkung. Langkahnya terhenti tatkala melihat seorang gadis yang duduk berseorangan di bar minuman berhampiran. Aaron bukanlah seekor buaya, jauh lagi berhidung belang. Namun, entah mengapa, dia bagai ingin mencuba nasib.

 

Did you know that this city was named after a lady?”, tutur Aaron tika berdiri di samping si gadis.

 

Sorry, you talking to me?”, balas si gadis. Dia sedikit kaget.

 

Yeah”, balas Aaron. Mukanya masih penuh keyakinan.

 

Did we know each other?”, gadis itu bertanya lagi.

 

Not yet, but I hope we will”. Entah dari mana, keyakinan ala-ala James Bond wujud dalam Aaron.

 

Gadis itu hanya berdiam. Direnungnya atas bawah jejaka yang baru muncul.

 

Don’t worry, I’m not dangerous. I’m just bored”, dengan penuh selamba dia tersenyum.

 

Gadis itu masih diam. Tangannya menggenggam gelas kaca kosong di hadapannya, bersiap siaga.

 

But I guess, I shouldn’t say I’m not dangerous. Nobody who is dangerous will admit they’re dangerous anyway. So, maybe, I should walk away slowly…?

 

Gadis itu tergelak. Aaron menghela nafas lega.

 

So, do you still wanna know about Adelaide?”, dia menyambung bicara.

 

Yeah, I guess so… I’m bored anyway”, balas si gadis.

 

Bagai orang mengantuk disorong bantal, Aaron terus bercerita sedikit sebanyak mengenai bandar lokasi terletaknya kasino ini. Katanya, Bandar yang dinamakan sempena Permaisuri British, isteri kepada Raja William ke-4 ini diasaskan oleh Kolonel William Light. Pengasas yang bapanya ialah Kapten Francis Light, pengasas bandar Georgetown, Pulau Pinang.

 

Aaron berhenti seketika untuk mengukur tahap minat si gadis pada kisahnya. Harapannya hanyalah untuk membuat si gadis sedikit terkagum.

 

Oh really?”. Respons gadis menunjukkan ada sinar harapan buat Aaron.

 

Aaron mengangguk. Dia menyambung bicara, katanya lagi, Francis Light boleh dikira sebagai Eurasian kerana emaknya ialah Martina Rozells yang berdarah campuran Perancis dan Siam. Namun, ada juga yang mendakwa ibunya mungkin berdarah kacukan Portugis dan Melayu Kedah. Kelahiran Francis Light di Kedah membuatkannya amat mahir berbahasa Melayu dan tidak reti berbahasa Inggeris waima tika berumur 6 tahun. Sesuatu yang membuatkan ayahnya menghantar dia ke England untuk belajar.

 

Wow, I didn’t know that! I mean, I’m from Penang, but…”, sahut spontan si gadis.

 

Well, now you knew. And by the way, that’s why lah until today, Adelaide is still bandar kembar bagi Georgetown”, balas Aaron. Mulut si gadis sedikit terlopong.

 

How do you know all these? Wiki much?”. Si gadis tertawa. Bahunya yang tadi sedikit tegang semakin mengendur.

 

I’m Adelaidean”, balas Aaron.

 

Aaron terus bercerita, katanya segala ini dia ketahui kerana telah banyak kali dia terlibat dalam upacara sambutan ulangtahun kelahiran Kolonel Francis Light. Dalam usaha pihak tempatan menghormati asal-usul pengasas Adelaide, sambutan itu kebiasaannya akan bermula dengan paluan kompang oleh para pelajar Malaysia. Sambungnya lagi, kalau si gadis meraguinya, cuba berinya telefon bimbit si gadis.

 

Wait, is that a trick to get my number?”, soal gadis tersebut.

 

No. But it is my way of giving you mine”, balasnya sambil tersenyum. “Smooth lah sangat, Aaron!”, tingkah hatinya.

 

Aaron mengeluarkan telefonnya. Ditunjukkan skrin pada si gadis. Kelihatan Aaron sedang cuba membuat carian 'kompang Adelaide' di Google, sebelum dipilihnya seksyen imej. Data Internet yang perlahan kerana roaming membuat hajatnya hampir terbantut. Lagipun, dinding kasino itu tebal, mengalahkan parking lot.

 

Jejaka itu menunjukkan beberapa keping gambar anak-anak muda, pelajar pelbagai kaum dengan kompang dan bunga manggar. Ada juga gambar mereka beraksi bersama pelakon berketurunan Aborigines Australia yang hanya bercawat dan badan berhias kapur. Si gadis bagai tak percaya. Namun kerana muka si pencerita kelihatan serius, dia berasa mungkin ada benarnya.

 

Wow, you do know these stuff!”, pujinya. Aaron cuma tersenyum.

 

So, what’s your name? To whom do I owe the honor of learning all these?”.

 

“Aaron Lim”, jawabnya. “And you are?”.

 

“Kate. Kate Pinegrove. Nice to meet you, Aaron”.

 

Aaron mengambil beberapa langkah ke belakang. "You don't look like a Pinegrove to me. You're not mixed, are you?”, soal Aaron. “Are you scared nak bagitahu real name?".

 

You bahaya ke?”.

 

Aaron tergelak. “Don’t worry, I don’t bite, unless asked”.

 

Kini Kate pula tergelak. Katanya bila tiba masanya, dia akan berkongsi nama sebenarnya. “But wait, you tak nampak Cina, pun? You mixed ke?”.

 

Aaron ketawa kecil. Katanya campuran kromosom lelaki dan wanita. Sambungnya lagi, kaum hanyalah suatu idea dibentuk oleh minda manusia yang lemah. Secara alami, memang sentiasa dicipta mentaliti ‘us versus them’, barangkali peninggalan mentaliti kawanan zaman batu. Apa sahaja boleh digunakan untuk membezakan ‘kita’ dan ‘mereka’, contohnya dewa sembahan, warna kulit, bahasa pertuturan, dan berasal dari sisi mana bukit atau sungai.

 

Seterusnya, dia bertanya,“Kate, do you believe human race came from a common pair of ancestors?”. Gadis hanya mengangguk. Katanya, walaupun idea itu agak sukar dipercayai, tapi dia percaya ianya tidak mustahil. Aaron menyambung lagi, ujarnya, jika kita percaya fakta sains bahawa wujudnya moyang yang sama berdasarkan pemetaan mitochondrial kromosom X dan Y, ternyata kita semua dari keturunan yang sama. Konsep bangsa hanyalah ilusi, terhasil dari pengalaman berjauhan dipisahkan daratan yang luas.

 

You mean, continents? Benua?”, soal Kate.

 

Ah, that’s another concept: continents”, balasnya. Mata Kate membulat kepelikan.

 

What delineated Asia, Europe and Africa? Apa yang membezakan di mana bermulanya Asia dan berakhirnya Eropah atau Afrika? Aren’t they all just one huge continuous chuck of landmass?”. Hujah Aaron, bukankah kesemua tanah-tanah itu bersambung? Bukankah pemisahan itu semata-mata kerana nafsu untuk menguatkan pengkategorian ‘kita’ berbanding ‘mereka’?

 

Kate terlopong. Dia terfikir, ada benarnya juga hujah itu. Sempadan benua Eropah dan Asia hanyalah gunung-ganang dan sungai. Sempadan Asia dan Afrika pula hanyalah Isthmus of Suez, pemisahan kecil.

 

Aaron hanya ketawa girang. Dakwanya, kadang-kadang dia mampu berfalsafah.

 

Perbualan mereka terganggu seketika dek soalan pelayan bar. Lelaki beruniform itu ingin mengambil pesanan minuman Kate dan Aaron.

 

JD and Coke for me”, sahut Aaron. Melihatkan Kate yang masih berdiam seumpama tengah berfikir, Aaron menawarkan khidmatnya memilih minuman. Si gadis hanya mengangguk memberi izin. Ujar si Aaron, kerana contact lense hijau kebiruan yang dipakai Kate nampak secocok benar dengannya, maka Aaron akan memesan Midori sebagai minuman. Si pelayan bar menghilangkan diri sebentar sebelum muncul semula bersama dua gelas minuman keras.

 

Kate bertanya kepadanya, kenapa Midori? Jelas si Aaron kerana warna minuman itu hijau dan ‘midori’ bererti hijau di dalam bahasa Jepun. Sambungnya lagi, minuman dari buah blewah ini memang masyhur di kalangan gadis.

 

"Blewah?", tanya Kate.

 

"Buah blewah. Also known as muskmelon", jawap Aaron. “Lagipun, it is sweet, sesuai for a sweet girl like you”. Kate tergelak, katanya itu sungguh klise.

 

Kate ditanya, apakah dia tengah menunggu seseorang? Dan tidakkah boyfriendnya marah dia bergurau-senda dengan jejaka lain?

 

"Nope, I don’t have a boyfirend. And I hoped the last one, that cheating bastard, biar dia mampos crushed by a truck selepas dipanah petir!", tutur Kate dengan wajah sedikit kemerahan.

 

"Wow, that's interesting. Susah juga nak kebumikan serpihan mayat terbakar macam itu. I hope bilik mayat ada set vacuum yang besar".

 

Kate tersedak dan tergelak besar mendengar respons Aaron. Dia terbatuk-batuk.

 

"Are you OK?". Kate kata dia OK. Aaron bertanya lagi, "Are you sure you’re OK?". Kate mengangguk lembut.

 

Perbualan mereka diteruskan. Aaron berkata dia sebenarnya pernah belajar di bandar ini. Hadirnya kali ini untuk urusan kerja. Si gadis pula memberitahu kehadirannya jua untuk urusan kerja, sebagai model perlumbaan tahunan. Sambungnya, dia akan terbang pulang dua hari lagi.

 

“Ini kali pertama disini?”.

 

Yup”, sahut pendek si gadis.

 

Lucky you! Adelaide is a nice place. The only settlement made by bangsawan, bukan macam bandar-bandar lain, dibina untuk banduan buangan!”.

 

Kate sedikit terlopong, banyak benar informasi baru yang dihadamnya. Lamunannya tersentak apabila Aaron menawarkan khidmat sebagai ‘pemandu pelancong’. Katanya, andai Kate setuju, dia sudi membawanya kembara destinasi menarik selama 30 jam bersamanya. Kate hanya mengangguk.

 

Aaron mengangkat tangan, menarik perhatian si pelayan bar. Dia membuat pesanan buat dua tequila shots. Dua cawan kecil kaca, setiap satunya bersaiz sekitar 30mL muncul di hadapan mereka bersama piring kecil berisi garam dan dua kepingan limau. Aaron dengan penuh skil mengambil sehelai tisu, dibasahkannya dengan titisan air dari pemeluwapan di dinding luar gelas-gelas yang ‘berpeluh’. Tisu dilapkan pada belakang tapak tangannya dan jua tangan halus milik si gadis, disusuli garam yang ditabur sedikit di bahagian tangan yang kini sedikit basah. Aaron memberi isyarat agar dijilat garam itu, sebelum tequila di dalam gelas kecil diminum sekaligus. Kate patuh mengikutnya, mukanya berkerut apabila kepingan limau yang digigit kemudiannya ternyata terlalu masam, sesuatu yang disusuli tawa Aaron.

 

Kate terbatuk.


Are you OK?”, soal Aaron.

 

Kate hanya mengangguk. Matanya sedikit berair, mungkin kerana batuk, atau mungkin juga kerana kehangatan yang dijana minuman sebentar tadi.

 

I’m OK, cuma tersedak…”, katanya. Aaron masih tampak sedikit risau.

 

So, where are we heading?”. Kate cuba mengalih topik.

 

Aaron menjelaskan yang dia bercadang untuk membawanya ke pantai. Santai hingga terbit matahari. Agak sejuk, maka mungkin tequila boleh membantu.

 

Kate tersenyum. Oh, itu strateginya, fikir si gadis.

 

Aaron memberi isyarat mereka harus bergegas keluar. Kate mengekorinya dari belakang. Di hentian teksi, Aaron memberitahu si pemandu mereka mahu ke Victoria Square, namun sebelum itu mereka harus berhenti di Smokemart di North Terrace. Pemandu tersenyum sambil membuat isyarat OK. Teksi meluncur laju.

 

Mata Aaron melilau memandang luar. Ah, sudah tiba, bolehlah dia membeli Marlboro Light kegemarannya. Lama benar dia ‘berpuasa’, maklumlah, undang-undang tempatan menghalangnya dari merokok di dalam kasino.

 

"Mate, please wait here. I'll grab some smoke and be back in a jiffy", ujarnya sambil melangkah keluar. Smokemart, satu rangkaian kedai khusus untuk menjual rokok, curut dan segala barangan tembakau. Kewujudan yang membolehkan pemerintah mengawal dan memantau penjualan barangan, agar tidak dimiliki oleh mereka di bawah umur. Strategi yang sama digunapakai untuk kedai-kedai khas urusniaga jualbeli minuman beralkohol. Terbukti, strategi ini jauh lebih berjaya membendung dan mengawal pengambilan dan penyebaran alkohol. Meski ada yang mungkin berhujah ini umpama menggalakkan kemaksiatan, langkah pengawalan ini jauh lebih berkesan berbanding negara-negara yang seakan malu mengakui wujud rakyatnya, terutama yang bawah umur yang terjebak ke kancah rokok dan minuman keras. Pelarian cukai juga dapat dibendung.

 

Setelah Aaron membeli ‘dadah’nya, dia terhenti seketika. Matanya tertumpu ke lorong gelap Charles Street. Dahulu, di lokasi strategik ini, terdapat sebuah kedai makan milik anak Melayu. Entah apa nasibnya kini restoren Mangkuk Hayun. Aaron meneruskan langkahnya, kembali ke teksi putih yang setia menanti.

 

Seusai dilabuhkan punggungnya, Kate bertanya tentang bangunan-bangunan besar di seberang jalan. Terang Aaron, itu kesemuanya milik universiti-universiti, samada Adelaide University mahupun University of South Australia. Sambungnya lagi, selain itu, wujudnya Flinders University dan Carnegie Mellon University di negeri itu.

 

So, which one did you attend?”.

 

“Rahsia”, jawap Aaron sambil gelak. Jauh di sudut hatinya, dia masih teringat kenangannya di institut itu. Tahun akhir dan kajian yang dibuatnya mengenai penyerapan nanoteknologi ke dalam teknologi membrane bagi reverse osmosis masih segar di ingatan. Tak lupa juga thesis yang dibantu penulisannya di tahun 2002, sesuatu yang menyentuh prospek pulau Okinawa yang bebas dari kewujudan pengkalan tentera asing. Dia yakin, thesis itu masih tersimpan rapi di Main Collection perpustakaan BSL. Memori Aaron bernyawa, 090AY-AR.EMEM4344, ya, itulah kod panggilan dokumen yang pasti dijenguknya lagi suatu masa nanti.

 

Aaron meneruskan penerangan sambil menunjuk ke arah deretan bangunan, persis pemandu pelancong. Ditunjuknya Museum of South Australia dan Art Gallery of Adelaide. “They’re pretty”, luah Kate terkagum. Aaron hanya tersenyum. Si pemandu teksi sesekali menjeling ke belakang melalui cermin, melihat gadis yang mengenakan black minidress dan temannya. Meski dia tidak memahami sepenuhnya apa yang mereka tuturkan, pemandu itu pasti mereka pelancong.

 

Tiba-tiba Aaron menghulurkan sekotak lozenges. “Makanlah, boleh kurangkan batuk”. Kate mengambilnya tanpa berkata apa-apa. Kotak yang masih belum dibuka itu diumpil dengan hujung kukunya.

 

Telefon milik Kate terus bergetar. Sesekali dia menjeling ke dalam tas tangannya, namun tidak pula dijawabnya, tindak-tanduk yang terakam di kotak minda jejaka di sisinya.

 

“Wah, kita bertuah!”,ucap Aaron setibanya mereka di Victoria Square. Kate terpinga-pinga, wajahnya bagai tertanya mengapa. Pantas Aaron menuding ke arah himpunan manusia yang terhimpun bawah pohonan yang disimbahi limpahan cahaya lampu. Kelihatan  juga dua tiang bendera, satu yang Kate kenali sebagai bendera Australia, namun ada lagi satu yang tidak dapat dicamnya. Bendera berjalur hitam dan merah, yang di atasnya terdapat bulatan berwarna kuning.

 

Tangannya ditarik Aaron menuju ke arah tram. Si jejaka menghulur kepingan not kertas membayar tambang dan membawanya ke sebuah bangku. Katanya, mereka beruntung kerana ini tram yang terakhir. Dan jarang juga dapat dinaiki tram antik design kayu ini sejak model bereka bentuk baharu diperkenalkan. Kate hanya mengangguk.

 

Tram memacu deras di tengah pekat malam. Sambung Aaron, nama lain untuk tempat itu tadi ialahTarndanyangga. Kalau tak silap, itu dari bahasa Kaurna, bahasa salah satu etnik orang asli di Australia. Maksudnya: batu kangaroo merah.

 

Kate hanya melihat Aaron yang tiba-tiba berdiri. Bersungguh-sungguh jejaka itu berusaha menurunkan tingkap kaca berbingkai kayu. Tersangkut sedikit, mungkin kerana terdapat lapisan getah berwarna hitam yang sudah terkopek angkara tangan-tangan gatal si vandal.

 

Namun Aaron tidak mengalah, dia terus mencuba. Akhirnya, tingkap itu terbuka luas. Angin malam memasuki tram, membelai rambut insan-insan di perutnya.

 

Are you cold? Here, take my jacket”, tawarnya.

 

Kate hanya menggeleng. Bahang kepanasan tequila masih terasa.

 

Di sepanjang perjalanan, ada beberapa kali tram berhenti. Penumpang demi penumpang mulai turun. Setibanya mereka di hentian Stop 8: Beckman Street, Aaron berkata tempat pertama dia menetap di Adelaide ialah sebuah hostel pelajar di Glandore. Pleasant Avenue. Tempat seindah nama, tetapi sayangnya ditutup selepas hanya 6 bulan sempat didiaminya.

 

“Lepas tu, you stayed kat mana?”.

 

Aaron cuma tersenyum, katanya sekejap lagi dia akan tunjuk. Selang beberapa minit, tram berhenti lagi di hentian Stop 10: South Plympton.

 

I stayed here at Owen Street in Plympton..”. Kata-kata Aaron yang terhenti di setengah jalan membuatkan Kate memakukan pandangan ke wajah teman bicara. Aaron seakan teringat suatu kisah lampau. Deru angin malam menghias kesunyian.

 

Teringin benar Kate bertanya lanjut, namun dihentikan sahaja niatnya. Certain things are better left unquestioned, getus hati Kate.

 

You must have been a smooth talker back then. Ada banyak awek ke?”, soal Kate.

 

No. I never was”, balasnya dengan wajah yang tegas. Sambungnya, dia percaya itu sahaja yang membezakan manusia dengan haiwan yang bertukar pasangan di setiap musim. Jawapan bersahaja yang diucapnya sambil masih merenung ke luar jendela.

 

Kate berasa anih. Hatinya umpama sudah mula ingin lebih mendekati Aaron. Direnungnya wajah yang masih leka menjenguk ke luar. Kotak emosi si gadis yakin berhujah bahawa walaupun si mamat ini tidak romantik, tetapi dia amat caring. Lagipun gayanya comel, gelagat dan celotehnya mencuit hati si gadis. Kate tertanya sendiri, mengapakah hatinya berbunga bagai gadis remaja yang hatinya baru pertama kali dikunjung cinta? Bukannya tak pernah dirasai cinta, tetapi kali ini, ia berbeza. Bagai sesuatu telah tertulis bagi mereka. Kate menatap lagi wajah Aaron lagi, ah, dia bukanlah handsome, jauh sekali romantika laksana mat bunga. Tapi dia mengerti, kadang-kadang lelaki yang bermuka umpama pecah rumah ini hatinya jauh lebih tulus. Caring itu lebih penting berbanding seorang romantis. Pengalaman cinta sulung Kate mengajarnya bahawa bait-bait kata yang puitis dan bunga mengharum takkan mengenyangkan. Bahkan mungkin mengelirukan dan menyesakkan. Memanglah tiada wanita yang tidak mendambakan cucuran hujan romantika ala Bollywood, tapi realiti kehidupan amat jauh berbeza. Fikir Kate, masih terlalu awal untuknya menilai Aaron. Namun, terlintas juga di kotak mindanya, benarkah begitu?

 

Aaron di sebelahnya amat berbeza dari watak utama novel-novel cinta. Namun, bukanlah dia tidak pernah cuba menjadi romantis dan puitis. Lelaki mana yang tidak mencuba menjadi pujangga, bermadah menzahirkan cinta dalam prosa indah berbunga?  Pernah Aaron mencuba tika di bangku persekolahan. Nukilan separa berjaya tangan-tangan yang gatal, tetapi akhirnya cuma terhimpun bersama koleksi yang dikompaun! Barangkali, menjadi sebahagian dari himpunan karya novis, hiburan warden-warden asrama di sekolah yang tersergam indah di puncak bukit berketinggian 400 kaki dari aras laut.

 

This is our last stop, Glenelg. Please ensure no belongings are left behind”, pengumuman digital pesanan pre-recorded berkumandang. Kate dan Aaron melangkah turun. Angin malam yang bertiup dari laut membelah rambutnya. Kehadiran burung-burung camar laut yang menguasai jeti mengesahkan lagi hampirnya mereka dengan pantai.

 

Setibanya mereka di sebuah bangku di tepi stesen, Aaron bertanya apa yang Kate perasan mengenai Glenelg.

 

I’m not sure. Baru sampai, tak sempat tengok apa-apa”, jawabnya.

 

Aaron tertawa kecil. Jelasnya, Glenelg, walaupun dieja secara terbalik tetap juga Glenelg.

 

Kate berpaling melihat ke papan tanda berhampiran. Matanya berlari meniti tujuh aksara. Ah, betul kata si Aaron!

 

Kate, that’s called a palindrome”. Aaron masih tersenyum. “Sama juga seperti Malayalam”.

 

Kate mengangguk. Mindanya masih fokus cuba menterbalikkan nama tempat di India itu.

 

Isn’t it amazing?”.

 

What?”, soal balas Kate.

 

By just using huruf-huruf yang digabung menjadi kata-kata, bila dihimpunkan kesemua, mampu menjadi baris-baris ayat yang membawa makna”, Aaron berfalsafah lagi. “Terpulang pada si penulis”.

 

Aaron menyambung bicara. Kini, dia bertanya pula apa yang Kate ketahui mengenari anagram. Kate mencuba nasib, katanya huruf-huruf yang ditukar susunan untuk membentuk perkataan yang lain, seperti 'bara', 'arab' dan 'raba'.

 

Jejaka itu mengiyakan tekaannya. Kate sedikit gembira, persis memenangi pop quiz. Ujar Aaron lagi, dia cenderung pada penulis yang menyelitkan anagram dalam ceritanya sebagai mesej tersembunyi. Anagram yang kadangkala digunakan dalam mencipta watak dan menghadirkan ruh yang memberi makna, laksana novel ‘Da Vinci Code’ garapan Dan Brown. Nama setiap watak punyai erti tersendiri. Mungkin gambaran sifat, permainan prosa kata lembaran sejarah, mahupun anagram sesuatu yang terkait. Baginya, buku yang terbaik tidak memberi nama watak hanya berdasarkan sedap bunyinya.

 

You suka baca novel?”, Kate bertanya. Aaron hanya mengangguk.

 

I prefer buku-buku yang berisi dan bermakna. Interesting storyline, mengolah tempat dan budaya yang lain. Buku yang mampu buat kita berfikir lama biarpun after lembaran halaman akhir telah lama bertaut”, ujarnya.

 

Aaron menyambung, “Lebih istimewa lagi buku-buku yang mampu berterusan menghantui, although a long time had passed me by. Masih lekat di minda, biarpun kulitnya telah menjadi rumah debu yang berhinggap”. Kate diam, dia terfikir tentang novel-novel yang menghiasi rak ruang santai para pencuci di pejabatnya. Pernah Kate cuba membacanya, tapi tidak timbul niat untuk mengulangnya. Terlalu santai. Adakalanya, ringan intinya, bagaikan mencabar keringanan zahirnya.

 

Namun, sebenarnya, telahan mereka salah. Masih ada banyak novel tempatan yang berkualiti. Barangkali cuma mereka yang tidak pandai memilih. Andai tidak, masakan ada yang tercalon buat anugerah di peringkat antarabangsa, contohnya di International Dublin Literary Award?

 

Tiba-tiba, Aaron meminta diri. Dia menunjuk ke sebuah kedai serbanika, barangkali 7-Eleven. Telefon Kate vibrating sekali lagi. Dijelingnya, namun dia tak pasti hendak dijawap atau sekadar diabaikan, kerana Kate tidak tahu apa alasan yang harus diberikan.

 

Aaron muncul kembali dan di tangannya terdapat dua kotak minuman. Dihulurkannya sekotak minuman berwarna putih dengan tulisan berwarna perang, lengkap dihiasi kerawang hijau.

 

Drink it. Cubalah, Farmers Union Iced Coffee, minuman terhebat dari negeri ini. The only one whose sales beat Coke by 200%”, sambung Aaron yang sudah membuka kotak di tangannya. ‘Misai susu’ mula terwujud di wajah insan yang asyik dengan kopi susunya.

 

Telefon Kate bergetar lagi. Sekali lagi djielingnya dan diabaikan. Aaron menoleh, “Jawablah, takut ada kecemasan”.

 

Kate diam. Direnungnya sejenak wajah Aaron. Dia kemudiannya akur. Tas tangan dibuka, diseluk mencari telefon bimbintnya, sebelum Kate mendail pemanggil terakhir.

 

Kate masih berdiam. Panggilannya belum berangkat, membuatkan Aaron mula gelisah. Fikirannya celaru, terfikir mungkinkah yang cuba menghubungi Kate itu adalah bekas teman lelakinya?. Apakah dirinya tersalah percaturan? Direnungnya Kate yang masih sabar menunggu di talian. Terlintas di benak Aaron, bagaimana kalau seandainya Kate tiba-tiba ingin kembali ke ex-BFnya? Apa yang patut dikatakan Aaron? Berhakkah Aaron berkata-kata?

 

Aaron berterusan merenung wajah Kate. Mindanya ligat menyusun ayat untuk cuba mempengaruhi Kate sekiranya gadis itu ingin kembali berteduh kasih dengan teman lamanya. Kelihatan Kate sedang mendail sekali lagi. Aaron terfikir lagi jika sekalipun dia mencuba, adakah Kate akan mendengar cakapnya? Si jejaka tidak tahu dan hanya boleh meneka, berharap yang hubungan lama gadis benar-benar renggang. Memori Aaron cuba mengecam sekiranya wujud walau sekalipun saat di mana Kate menyebut teman lamanya. Tiada. Tapi mungkin juga kerana baru sekejap mereka berjumpa, mungkin belum sempat dibuka cerita. Seribu pertanyaan bersarang di minda Aaron.

 

"Hello Michelle. It's me, Kate. Sorry, I tak perasan you called tadi".

 

Aaron menarik nafas lega. Kata-kata yang meniti di bibir nipis merah jambu si gadis umpama irama termerdu yang pernah didengarinya. Tiba-tiba dia terfikir, mengapa dia berfikir sebegitu? Bukannya ada kepastian Kate juga menyukainya. Barangkali dia cumabertepuk sebelah tangan. Ish, hati-hati Aaron, jangan sampai kau jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, mindanya tegas memberi peringatan.

 

Aaron tersentak apabila lengannya tiba-tiba dicuit Kate. Baru dia tersedar, rupa-rupanya kopi ais di dalam kotak sudah habis. Entah berapa lama gamaknya dia sudah menyedut udara. Aaron pantas menjeling, dari riak Kate tidak dapat diketahuinya samada sang gadis perasan atau tidak.

 

Kate menuding ke arah jeti. Di sana, terdapat sekelompok manusia yang sedang bejalan berkumpulan membawa pelbagai barang. Termasuk baldi? Dan dapur gas kecil?

 

“Jom tengok”, ajak Kate. Terkal-kial Aaron mengejarnya yang sudah jauh ke hadapan.

 

Aaron mengekor sahaja dari belakang. Sesekali, angin malam menjengah ke muka, membawa udara sejuk dari Kutub Selatan. Aaron terlihat Kate yang seakan menggigil. Terus ditanggalkan jaketnya dan disarungkan pada susuk tubuh di hadapannya.

 

Di penghujung langkah ketiga puluh, mereka kini berada benar-benar berhampiran kumpulan tadi. Aaron mengangguk perlahan, dia tahu benar apa yang ingin dikerjakan kelompok pemuda itu.

 

“Oh, crabbing”, ucap Aaron.

 

Clubbing?”, soal Kate kehairanan.

 

Aaron tersenyum. “Bukan… Crabbing. Mengetam, tangkap ketam”, sambil tangannya menunjuk ke arah penghujung jeti. Kate sekadar mengangguk. Dia bukanlah berminat sangat untuk tahu, tapi sekurang-kurangnya pergerakan mungkin boleh menghangatkan badannya, berbanding duduk di bangku membiarkan angin malam menyinggahi badannya yang hanya berbalut minidress hitam.

 

Tanpa berkata apa-apa, jejaka di sebelahnya meninggalkannya dan menapak menghampiri para pemuda. Kate juga dengan perlahan menuju ke tempat yang sama, tidak mahu berjauhan dari Aaron. Keheningan malam tiba-tiba dipecahkan gelak tawa riang dan bicara yang semakin rancak antara Aaron dan insan-insan di jeti.

 

“Oh, rupa-rupanya Indonesian students”, fikir Kate. Dialek yang didengarinya memang mudah dicam. Eh, nampak selesa pula Aaron berbicara dengan mereka, apakah dia juga dari seberang?

 

Angin kencang sekali lagi menyapa Kate. Tangannya semakin menggigil. Diselukkan ke dalam jaket beige Aaron dan dibungkus ketat tubuhnya.

 

Kemunculan semula si jejaka membawa penerangan bahawa pelajar-pelajar itu baru mula memasang perkakas untuk menangkap ketam. Kate melihat waktu di pergelangan tangannya, sudah hampir tengah malam! Aaron yang perasan tindaktanduknya itu menjelaskan bahawa waktu puncak menangkap ketam ialah sekitar jam 2 pagi. Selorohnya,"Mungkin masa itu ketam keluar sebab kelaparan. Ingin mengeteh".

 

“Oh…”.

 

Eh, is it OK you’re staying out late?”. Soalan Aaron dibalas kuntuman senyuman Kate. Dia bertanya tidakkah Aaron terdengar perbualannya tadi dengan Michelle yang dia akan pulang lewat? Aaron cuba menipu, katanya dia cuma mahukan kepastian. Dalam hati Kate, dia tahu Aaron cuba berhelah. Namun, entah mengapa dia tahu Aaron tidak berniat buruk. Sangkanya lagi mungkin Aaron tidak suka mencuri dengar perbualan insan lain, dan itu sesuatu yang Kate hargai.

 

Aaron, can I try this crabbing thingy?”, tanya Kate. Aaron tersenyum bangga mengatakan yang memang dirinya telah berjaya memujuk dan meminjam satu set perkakas dari kelompok pelajar. Aaron merapati Kate dan berbisik di cuping telinganya, "janji dengan mereka, apa-apa ketam yang kita tangkap, semua mereka punya!". Kate tertawa kecil. Oh, baik ada makna, rupanya.

 

Mereka berdua pun menuju ke jeti. Di sana, Aaron menunjukkan cara mengetam. Gayanya bersahaja memasang umpan dan mengikat tali ke jeti, sebelum sangkar dilempar. Diterangkannya juga jangkamasa perlu menunggu sebelum sangkar ditarik dan diperiksa semula. Gadis itu semakin kagum melihatkan Aaron yang kelihatan natural, umpama sudah biasa. Mungkin Aaron pun dahulu pernah ada dalam group Indonesian students yang gemar crabbing, fikirnya.

 

Minit demi minit berlalu, Aaron dan insan-insan yang lain masih sabar menunggu. Masa diisi dengan perbualan ringan, namun suara mereka tidak terlalu kuat. Mereka bagaikan berbisik, biarpun sesekali gelaktawa bergema juga. Barangkali, dikhuatiri ketam akan merajuk dan terganggu jika jeti terlalu bising.

 

Kate berpaling apabila bahunya ditepuk. "You suka magic?", soal Aaron.

 

"A bit lah. Why? Do you have any tricks to show?", dilayannya juga soalan spontan si jejaka.

 

Sambil tersenyum Aaron berkata, "I learned a few tricks,and I can show if you wants”. Dia berhenti seketika mengukur tahap minat si gadis. “Lagipun, ketam baru nak masuk sangkar makan umpan…".

 

Kate mengangguk setuju."Nak buat magic kat sini?".

 

Yup", jawapnya ringkas. Kate kehairanan. Jelas Aaron, apa yang diperlukannya cuma sebuah telefon bimbit.

 

Kate mengeluarkan telefonnya dari tas tangan.

 

Sambung si jejaka, "GoodNext, I nak pastikan, you boleh mengeja in English, kan?". Muka Kate merah. Rasa macam nak dihempuknya mamat ini. Meskipun dia sudah mengambil beberapa gelas arak, Kate masih belum mabuk.

 

"Now, masukkan nombor telefon you". Kate patuh dan menunggu arahan seterusnya.

 

Aaron berkata "Ha, kalau you show that to me, now I know your number. Magic tak?".

 

Semakin besar ketawa si Aaron. Kate semakin menyampah. Rasa bagai nak sahaja dilesing, tapi mesti control ayu. Siapa tahu, malam ini mungkin temujanji pertama bagi mereka?

 

Aaron yang tadinya begitu girang pantas memohon maaf melihatkan bahasa tubuh Kate.

 

I’m sorry. I’m sorry. Now I akan tunjukkan magic sebenar”. Wajahnya tidak semena-mena bertukar serius. Aaron menyalakan rokoknya. Disuruhnya Kate melihat dialing pad telefonnya. Sambungnya lagi, pilih satu nombor yang terletak di antara sifar dan Sembilan, abaikan butang asterisk (*) dan butang ‘hash’ (#).

 

“Fikir dalam-dalam dan rahsiakan nombor itu”, ujarnya. Kate mengangguk tanda pilihan sudah dibuatnya.

 

OK, now press butang nombor 1. Sudah?”, arah Aaron. Kate mengangguk lagi.

 

“Sekarang, eja in English nombor yang you pilih. Gunakan satu persatu kekunci yang ada”, arahnya lanjut. Kate sedikit blur, mungkin arahan kurang tepat.

 

Aaron memberi penerangan lanjut. Katanya, seandainya dipilih nombor 3, Kate harus mengeja T-H-R-E-E guna kekunci 2-3-4-5-6. Sambungnya lagi, kalau tadi nombor 5 yang dipilih Kate, ejalah F-I-V-E guna kekunci 2-3-4-5.

 

“Ooh…” balas Kate. Mata dan jejarinya bekerjasama menurut arahan.

 

“Selesai?”, soal Aaron.Kate mengiyakan sangkaan Aaron.

 

OK, now eja pula nombor terakhir tempat terletaknya jari you. Contohnya, if tadi eja F-I-V-E dan tamat di butang nombor 5, so you kena eja F-I-V-E menggunakan kekunci 6-7-8-9”, arah Aaron. Sambungnya dengan lagak persis ahli silap mata, “If tadi you eja T-H-R-E-E dan tamat di butang nombor 6, so now eja pula S-I-X guna kekunci 7-8-9”.

 

Kate terus menaip.Wajahnya diangkat melihat Aaron yang masih serius.

 

Kelihatan Aaron menghisap rokoknya dalam-dalam. “OK, now eja pula nombor terakhir where your finger is at. Skip atau langkau butang bintang (*) dan butang hash (#)”. Aaron berhenti seketika untuk mengambil dos nikotin. “If you dah sampai butang nombor sifar, boleh sambung seterusnya di butang nombor satu. Contohnya, kalau kini jari you di butang nombor 9, eja pula N-I-N-E menggunakan kekunci 0-1-2-3”. Kate mengangguk lagi dan terus menaip.

 

Done?”, soal Aaron. Kate berkata ya seraya mengangguk.

 

Terukir senyuman di wajah Aaron. Sekali lagi disedut rokoknya dalam-dalam. “Now, I will show you the magic. Pegang telefon elok-elok. Hide it from me”.

 

Si gadis ternanti-nanti. Entah magic apa yang ingin ditonjolkan?

 

Aaron melelapkan matanya, mulutnya kumat-kamit laksana bermantera. Kate mendekatkan telinganya ke bibir Aaron, sambil telefon disembunyikannya di bawah jaket. Kedengaran lafaz yang diulang-ulang, berirama, tetapi bukan pantun.

 

"Molansit poloso bongka moghambu, Ghinso pemongak molese ko bonak, Cilut biaweh dilocut ae nyior, Monyungkam kocoloan jongkeh si anak". Kate semakin risau. Dia tidak memahami sebutir apa yang diucapkan. Badan Aaron yang semakin menggigil bagai sedang ‘menurun nombor’ menambahkan misteri.

 

Tiba-tiba, Aaron membuka matanya. Diambilnya satu langkah kecil menjauhi Kate. Disedutnya dalam-dalam rokok di bibir, dan dihembus asapnya keluar. Kate berasa pelik.

 

Sekali lagi Aaron mengambil satu langkah kecil menjauhinya seraya menghisap rokoknya. Dia kemudiannya berhenti seketika. Kate semakin berasa pelik. Hatinya berbelah bahagi antara takut dan tak sabar menanti apa yang magisnya. Jika ini sebuah lagi helah untuk mendapatkan nombor telefonnya, mungkin akan wujud acara lontar peluru di jeti, fikirnya.

 

Mata Aaron tertutup kembali. Diambilnya satu lagi langkah kecil menjauhi si gadis. Tiba-tiba, tubuhnya bergoncang kuat. Kate teragak-agak apa yang perlu dilakukan.

 

Langkahnya terhenti apabila Aaron membuka matanya. Asap berhembusan keluar dari mulutnya. Dengan perlahan Aaron mengangkat jarinya. Sambil menggigil, dia menuding tepat ke arah Kate dan berkata "Posisi terakhir jarimu adalah di butang nombor 3!". Kate yang kaget memandang ke papan kekunci telefonnya. Memang benar, jarinya tadi berada di butang nombor 3. Mukanya kehairanan. Kagum dan takut.

 

Ditenungnya lama wajah Aaron. Bela setan ke apa mamat ni?

 

Sebelum sempat Kate bersuara, Aaron berkata "itulah magis". Gelak tawanya menyusul. Bebola mata insan lain di jeti merenung tajam kepadanya, barangkali tidak mahu ketam lari kerana terlalu bising.

 

Kate masih terdiam. Dia berfikir, bagaimana Aaron mengetahui kedudukan jarinya? Jejaka itu tidak pernah merapatinya. Lagipun, telefon itu tadi disorok di bawah jaketnya.

 

Aaron merapatinya dan berkata, "I tengok trick ni kat tv. Actually, nombor apa pun yang mula-mula you pilih, kalau you betul-betul ikut steps tadi, akhirnya jari you akan berhenti di nombor 3. Aksi-aksi yang lain tu gimik je".

 

Kate bagai tidak percaya."Habis tu, tadi you bukannya ada baca mentera? Casting spells?", soalnya. Aaron tersenyum dan berkata "tak, itu ayat-ayat mudah dalam dialek tempat saya dibesarkan".

 

Kate kehairanan. Aaron kata "Cubalah dengan apa-apa nombor antara zero dan nine. Tapi mesti eja in English, OK?".

 

Kate masih menunduk. Dia tidak berpuas hati, lalu terus dicubanya beberapa kombinasi lain. Habis diujinya satu-persatu.

 

Ah, ternyata kata-kata Aaron itu betul!

 

Kate mendongak, mengalihkan padangan yang sekian lama terpaku di skrin. Aaron tiada di sisi. Oh, rupa-rupanya Aaron sedang berbual dengan kelompok pelajar itu. Barangkali, dia memohon maaf kerana terlalu bingit sebentar tadi. Kate tersenyum sendirian. Syukur dia tidak perlu beraksi ganas lontar peluru. Pakaiannya yang elegan tidak sesuai untuk aksi sebegitu.

 

Sambil mereka berdua duduk di bangku menghadap hujung jeti, Aaron menyalakan beberapa batang rokok Marlboro Light miliknya. Semakin lama, semakin ringan kotak. Sesekali dia akan berdiri di jeti dan merenung jauh ke lautan. Memanglah menunggu ketam ini menguji kesabaran.

 

Kate dengan perlahan mendekati Aaron dan bertanya apa yang bermain di kotak fikirannya. Jawap Aaron,dia tengah merancang apa plan untuk esok. Untuk 24 jam terakhir Kate di Adelaide. Kate terdiam. Working tripnya ke Adelaide buat perlumbaan V8 Supercars di bulan Mac ini sudah tiba ke penghujungnya.

 

"So, what's the plan?", soal Kate. Si jejaka menjawab yang dia merancang untuk membawa si gadis ‘brunch’ keesokan harinya di Hahndorf, perkampungan Jerman di atas bukit yang turut menjadi pusat pembuatan jem Beerenberg. Lawatan yang akan disusuli quicktrip di waktu petang menaiki autobahn, amalgam bas dan keretapi ke Tea Tree Plaza, sebelum kembali ke bandar Adelaide untuk menyaksikan konsert dan persembahan samada di Adelaide Festival ataupun di WOMADelaide. Perjalanan yang mungkin diakhiri supper di Kafe Vili's, menikmati beef rendang pie di pengganti restoren 24-jam mamak di Adelaide. Sambungnya lagi, bukan setakat ketam hendak mengeteh, kita pun perlu juga.

 

“Eh? Nanti dah tak surprise lah kalau I dah tahu apa nak buat esok, kan?”, tanya lanjut si gadis.

 

Aaron hanya tersenyum. Dengan separa serius dia berkata "Hidup itu bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan”. Nampaknya, semakin lewat malam, semakin hebat jejaka berfalsafah. “Lagipun, since now you dah tahu mana yang hendak dituju, maybe you akan lebih teruja dan tak sabar untuk esok tiba".

 

Tambahnya lagi, "Penantian itu satu penyiksaan".

 

Dalam diam Kate mengakui benarnya apa yang diucapkan Aaron.

 

"Tapi, maybe esok akan tiba lewat sedikit”, tutur Aaron. Kate merenung wajahnya mencari pengertian. “Sebab I maybe terbabas tidur malam ini", tawa Aaron. Lalu lengannya pun merah dicubit si gadis.

 

Bayu malam kembali membelai mereka. Masing-masing diam, dilontarkan pandangan jauh ke tengah lautan. Tanpa disedari, keduanya sama, meminta agar dilewatkan terbit sang suria., biar malam ini berpanjangan. Setiap detik yang mereka lalui di jeti umpama berlalu terlalu cepat.  Masa dan alam bagai mencemburui dan memberi suatu petanda.

 

Tiba-tiba, Aaron bertanyakan apa yang sedang Kate fikirkan.

 

"I kagum. You seperti insan misteri, campuran unik sejarahwan, ahli falsafah, tour guide dan nelayan", jawapnya. Aaron senyum simpul. "Well, that's me", balasnya pula.

 

Kate meluahkan rasa, ingin benar dia mengetahui nama sebenar jejaka yang berdiri di hadapannya, agar mudah diucapkan semua. Desakan hatinya sudah tidak terbendung lagi. Empangan emosinya umpama gagal, bocor, ditalu panahan bibit perasaan yang mula berputik.

 

"Who are you really? Apa nama sebenar awak?".

 

Aaron berdiri meluruskan tegaknya. Tangannya dihulurkan seraya berkata, "My name is Haron. Haron bin Abdul Halim".

 

Kate tersenyum puas dan disambutnya tangan yang terhulur. "Hi Haron, I'm Song Yuqing. Nice to meet you".

 

Dua tangan bagaikan bersatu, menghapus ruang dan waktu. Ketam yang ditangkap pun ditingalkan.

 

* * *

 

Haron terjaga dari tidurnya. Keringat dingin merecik membasahi kening. Bajunya lencun dibasahi peluh. Dia meluru mencari Pak Bakti. Segala keletihan badan ghaib seketika. Kelihatan pak tua baru keluar dari bilik air, titisan air masih kelihatan di muka dan di janggutnya.

 

Tangan pak tua direnggut, digenggam erat.

 

“Pak Bakti, saya sudah tahu nama sebenarku. Aku bukan Aaron Lim. Akulah Haron bin Abdul Halim!”.

 

Pak Bakti tersenyum. “Alhamdulillah”.

 

Lantas dipeluknya erat musafir itu. Ditarik tangannya, diajak untuk sama bersolat Subuh, bersujud menyambut permulaan hari yang baharu.

 

* * *

 

"Piang!", bunyi kaca berderai.

 

Si Adik berlari menuju ke dapur. Dia yang tadi di anjung rumah melangkah bagaikan tak cukup tanah. Andai diukur waktu diambil barangkali terluput sudah rekod larian dunia.

 

Mata Adik melilau mencari emaknya. Wanita tua itu masih tegak berdiri di dapur. Air yang tertumpah dari cawan yang pecah membasahi kain batiknya yang lusuh.

 

Si emak berpaling menghadap anak bongsunya. Biarpun terpancar di riak muka yang dia letih dan kerisauan, bersungguh-sungguh benar wanita yang sudah berumur ini mengelap muka dengan lengan baju kurung Kedahnya. Dia umpama sedang bersedia kepulangan orang yang jauh.

 

"Haron! Haron! Anak mak dah pulang!".

 

Dia berteriak mengarahkan si Adik agar cepat-cepat menjenguk kat luar. Katanya, Haron sudah pulang ke tempat asalnya. Anak bongsunya hanya mampu menggeleng lemah. Dipeluk dan dipujuk emaknya.

 

“Abang Ron belum sampai, Mak. Sabarlah, Mak. Sabarlah...”.

 

Si emak terdiam sebentar.

 

"Aku tahu anakku masih ada. Dia masih ada... Dia telah pulang… Dia akan pulang… Dia akan sampai. Dia akan sampai sini. Aku tahu". Adiknya cuma mengesat tangisnya. Tangannya lembut menghilangkan titisan airmata di wajah emaknya. Dia cuma berharap kata-kata emaknya itu betul. Kata-kata itu doa yang tiada terhijab.


Dia juga rindukan abangnya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi