Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,718
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 8

BAB 8: “DARAT”


Kain pelikat di ampaian berbuai, ke hadapan dan ke belakang. Buainya bagai dalam simfoni tarian alam, bersama rakan yang bersidaian. Begitulah jua nasib si pohonan kelapa dan rimbunan menghijau. Desiran pantai yang dipukul ombak, tunduk akur pada deruan sang bayu darat yang bertiup deras dari arah Tenggara. Butiran pasir putih menjadi penumpang yang setia. Di kejauhan, terlihat kawanan camar berterbangan, mencari arah pulang ke sarang, ditemani sisa-sisa cahaya mentari jingga yang makin tersembunyi di ufuk Barat, terhijab di balik perarakan awan.

 

Seluruh alam kembali menyejuk, memberi kerehatan pada sang makhluk yang siangnya tadi telah berhempas pulas memeras keringat mencari makna kehidupan. Sunyi. Hening. Tiada lagi hingar-bingar suara sang pelancong, tiada jua suara penerangan dari corong-corong pembesar, baik dari pemandu yang bertauliah, mahupun yang sebaliknya.

 

Sayup-sayup kedengaran suara pak tua. Dilantunkannya kalimah dari Sang Maha Agung, dengan patuh mengikut aturannya. Penuh tartil dan kelunakan suara. Bebola matanya teliti melihat setiap titik, kelok dan tegak huruf-huruf yang membentuk kalimah bait-bait ayat cinta dari sang kekasih. Giginya yang putih hasil siwak dan lidahnya berpadu bersama hati, mengantisipasi hukum tajwid yang seterusnya. Dihadirkan hak buat setiap huruf yang terkeluar dari makhrajnya, baik hak yang sediada mahu pun yang mendatang. Tetap duduknya di atas sebuah hamparan keemasan berposisi 300 darjah dari Utara Magnetik, talian penyambung setia ke sebuah kota, biarpun 7260 kilometer daratan dan samudera memisahkan mereka. Meskipun jasadnya di sini, hatinya sentiasa menetap di sana. Itulah cinta.

 

Sang tua berdehem, mengusap janggutnya. Mukanya jernih bercahaya, tenang. Walau keletihan seharian berkerja, dia nekad ingin menghanturkan diri. Ingin diserahkan seluruh cinta pada Sang Maha Pencipta, biar hingga dirinya tiada. Andai sekalipun tumbang dicela, dia redha.

 

Deheman itu membuat si musafir terjaga, meski pak tua tidak pernah sesekali berhajat sebegitu.

 

Perlahan Aaron membuka matanya. Badannya sakit-sakit, setiap anggota badannya berdenyut kuat. Dia bangkit dari baringnya, terpisat-pisat cuba mengenalpasti identiti dan lokasi diri. Apa yang dia pasti, dia tidak lagi berada di beting pasir.

 

Dia mengusap mukanya, seakan tidak percaya. Badannya kini lengkap berpakaian, walau terasa sedikit janggal berkain pelekat. Kepalanya rapi berbalut, begitu juga setiap jarinya. Lengan kirinya sedikit bengkak. Aaron mengamatinya dengan perlahan dan dia terlihat bagai ada kesan cucukan di situ. Di manakah dia? Siapa yang menemuinya? Siapa yang menyuntik? Apa yang disuntik?

 

Pelbagai persoalan kembali menjengah kotak minda. Aaron gelisah, dirinya umpama ayam dibawa ke lampok. Dia sedikit risau, namun, yang pentingnya dia masih bernyawa.

 

Aaron melihat sekeliling. Pandangannya menyinggah di dinding batu yang membatasi ruang ini. Sah, ini sebuah rumah, menghadirkan sedikit kelegaan buatnya. Sekurangnya, dia bukan di hospital atau di balai polis, apatah lagi bukan di beting pasir.

 

Dia cuba bangkit. Badannya bagai membantah dan ingin duduk sahaja. Tetapi, Aaron harus memeriksa sekeliling, untuk berterima kasih pada si penyelamat.

 

Dia menongkatkan tangan ke dinding. Perlahan-perlahan dia berjalan, dengan susunan batu-bata itu menjadi dokongan. Matanya melilau memerhati sekeliling. Rumah ini amat sempoi, tiada satu pun barang mewah di dalamnya. Sangka Aaron,mungkin si tuan rumah seorang yang tidak bercita-cita tinggi. Insan yang berpendapat apa kurang pada belida, sisik ada, tulang pun ada.

 

Matanya tertarik pada sebuah buku di atas meja. Buku tebal berkulit hitam yang bertajuk ‘Imam’ karangan Datuk Abdullah Hussain. Buku yang mungkin hadirnya dari ruang yang kini kosong tidak terisi di rak berhampiran tempatnya terbaring sebentar tadi.

 

Tiba-tiba Aaron terasa tangannya yang sedang bertongkat ke dinding tersangkut pada sesuatu. Dia berpaling dan ternampak kertas yang sedikit terkoyak olehnya. Oh, ianya sebuah peta, yang sedikit terkoyak dilanggarnya tanpa sengaja.

 

Aaron merapatkan kepalanya kedinding, dia ingin melihat dengan lebih dekat peta yang bersaiz sederhana. Peta sebesar kertas A4 yang mungkin boleh memberinya klu lokasi keberadaannya.

 

Cocos Keeling Island? Australia?”, Aaron tertanya. Direnungnya lagi, nama-nama seperti Pulau Selma (Home Island), West Island, Direction Island, South Island, Pulu Ampang (Pulau Ampang), Pulu Blekok, Pulu Pandan dan pelbagai pulau-pulau kecil yang tidak pernah didengarinya tergambar di dalam peta itu. Dibeleknya lagi ruangan berwarna biru yang mengelilingi titik-titik yang melambangkan pulau-pulau itu. Warna biru yang melambangkan laut, Lautan…

 

“Lautan… Lautan Hindi? Bagaimana aku berada di sini?”, soal hatinya yang terperanjat. Semakin dia cuba memanggil memorinya, semakin kuat kesakitan yang dirasa kepala. Otaknya seakan tidak mengizinkan atau tidak mahu bekerja.

 

Tiba-tiba, bahu ditepuk. Aaron berpaling deras dengan tangan kirinya yang tersedia digumpal menjadi penumbuk. Andai ada yang cuba mencerobohi ‘ruang peribadinya’, buah tangan inilah yang bakal menjamu. Walaupun dia bukan seorang petinju, dia pasti peninjunya tetap ada bisanya.

 

“Eh, you’re awake?”, soal lelaki yang tadi menyapanya. Lelaki yang masih muda, barangkali di usia awal dua puluhan. Hayunan tangan Aaron terhenti di tengah laluan. Hampir sahaja dia hilang kawalan dan rebah jika tangannya yang lagi satu tidak sempat kembali menongkat ke dinding.

 

How do you feel, Aaron?”, sambung soal pemilik pipi yang gebu.

 

“Siapa Aaron?”, soalnya pendek.

 

“Lah, tahu cakap Bahasa Melayu ke? Abang bukan orang sini, kan? Bila datang?”. Soalan bertalu-talu membuatkan telinga Aaron sedikit bingit.

 

“Aku di mana? Siapa kau? Who are you? Kenapa aku di sini?”,balasnya.

 

Si penyapa cuma tersenyum. “Sabar,bang. Sabar. Sabar tu separuh dari Sabariah”. Sempat juga dia berseloroh. Mungkin niatnya hanya untuk meredakan suasana.

 

Namun tiada sedikit pun riak positif yang menyambut jenaka.

 

Si pipi gebu menghulurkan tangannya seraya berkata, “Selamat datang ke Pulu Selma. Omputeh panggil Home Island. Nama saya Faizal...”.

 

Aaron masih ragu-ragu untuk bersalaman.

 

Kedengaran bunyi derap kaki menghampiri.

 

“Ha, yang muka hybrid ala-ala omputeh tu pula…”.

 

“Ashaari. But you can call me Ash”, sampuk si jejaka berwajah kacukan memutus bicara Faizal.

 

Aaron berpaling melihat insan yang baru. Kedua-duanya tidak mengangkat tangan, tidak mahu bersalaman.

 

“Tapi… siapa Aaron?”, soal si Aaron kepada kedua-dua insan.

 

See, I told you that’s not his name!”, Ash bersuara keras sambil memandang tepat ke wajah Faizal.

 

“Habis tu, kalau itu bukan nama abang, kenapa…”.

 

“Mungkin bukan namanya, maybe nama rakan hubungan songsangnya. He doesn’t look like an Aaron to me!”, sekali lagi Ash mencelah bicara Faizal.

 

“Lagipun, mana ada lelaki yang mahu tattookan badan dengan nama lelaki lain?”, soal lanjut si Ash.

 

Tattoo? Siapa yang bertattoo?”, soal hati kecil si Aaron. Dia mengangkat sedikit bajunya, tidak pula kelihatan cacahan badan. Ditariknya pula collar dan ditinjau melaluinya, juga tiada.

 

Ash mendengus. “Memang lah takde. Tattoo kat tulang pinggul! Very nice for your partner to see from behind when you’re on your knees”, lempiasnya. Entah mengapa, dia memang bagai kurang gemar dengan Aaron sedari awal munculnya.

 

Suasana kembali hening. Aaron mengetap giginya kuat. Apakan daya, badannya masih lemah. Kalau tak, mahu sahaja dia menghadiahkan peninjunya ke muka jambu mamat hybrid itu.

 

“Eh, tapi, siapa tahu, entah-entah memang betul aku…”, soal hati kecil Aaron.

 

“Ha, dah bangun pun kamu!”. Suara garau membuatkan kesemuanya tersentak.

 

Aaron menoleh, kelihatan seorang pak tua yang tersenyum seraya mengusap sejemput janggut miliknya. Misainya yang tebal dan raut mukanya menunjukkan yang usianya mungkin di baya bapa-bapa kepada mereka bertiga.

 

Faizal pantas merapati pak tua. Dia bersalam dan mencium tangan yang tadinya mengusap janggut.

 

“Assalamualaikum, Pak Bakti. Sorry lewat sikit. Ada hal tadi kat kedai…”, ucap Faizal.

 

Salamnya disambut mesra. Aaron merenung wajah kedua mereka. Oh, itu nama pak tua. Maksudnya, dia bukanlah bapa si Faizal.

 

“Tadi, Abah ada bekalkan lauk, untuk kita makan sama-sama, macam biasa, selepas kelas ngaji nanti”, sambung Faizal. Pak Bakti hanya tersenyum dan mengangguk tanda maklum.

 

“Kirim salam dekat ayah kamu juga nanti, ya?”, balas Pak Bakti. Kali ini, Faizal pula yang mengangguk patuh.

 

Oh, rupa-rupanya, insan yang berusia sekitar awal dua puluhan baru tiba di rumah ini, seperti biasa, untuk belajar ilmu agama. Itu rumusan yang dibuat Aaron. Sangkanya, barangkali, Pak Bakti ini seorang imam. Atau sekurang-kurangnya, seorang insan yang dihormati kerana ilmu agamanya.

 

Pak Bakti mengalihkan pandangan kepada Aaron. “Bagus lah kamu dah makin sedar. Muka pun sudah tak pucat sangat. Mungkin sebab dah berbotol drip cecair IV yang dimasukkan”.

 

Aaron meraba perlahan kesan cucukan di lengan kiri. Ah, rupa-rupanya di sinilah tempatnya cecair intravenous diberi padanya. Patutlah dia semakin sihat. Lapar pun tiada.

 

“Ron, kalau kamu lapar, nanti kita makan lepas kami solat, ya?”, ujar Pak Bakti.

 

“Tapi, kalau Ron dah lapar sangat,dalam esbok ada makanan. Dalam kerangkeng pun ada. Lepas makan, jangan lupa diambil ubat yang dostor kasi”,sambungnya pula.

 

Aaron yang tadinya ingin menyatakan dia belum lapar, terhenti seketika. Confused.

 

Esbok? Kerangkeng? Dostor? What are those?”, fikirnya dalam diam.

 

Faizal tergelak. “Pak Bakti, nampak sangat Bang Aaron bukan orang sini. Kalau tak, mesti dia faham Basa Pulu Cocos, bahasa orang-orang lama di pulau kita”.

 

“Betul juga tu. Lagipun, kalau orang sini, mesti kita kenal. Di seluruh atoll ini, ada sekitar seribu penduduk sahaja”, kata Pak Bakti, mengiyakan.

 

Aaron masih blur. Soalan berkisar identiti dan asal-usul dirinya kembali menghantui fikiran.

 

Faizal menepuk lembut bahu Aaron.“Abang, esbok tu maksudnya peti ais, kerangkeng tu ertinya almari makanan, dan dostor ialah doktor”, terangnya ringkas. Aaron sekadar terlopong dan mengangguk perlahan.

 

Seusai solat, Faizal menjenguk Aaronyang sedang duduk di sofa. “Bang, dah lapar ke? Kalau belum, kami nak sambung kelas kejap, boleh?”

 

“Boleh. Abang tak lapar lagi pun”, jawab Aaron. Terpancar senyuman di wajah Faizal. Suka benar dia gamaknya dengan kelas itu.

 

Pak Bakti memulakan kelasnya. Seperti kebiasaan, dia akan membaca beberapa baris ayat suci dari al-Quran, yang kemudiannya akan dihuraikan hukum-hukum tajwidnya. Perbincangan yang kemudian akan menjurus pula  kepada terjemahan ayat, dan perkara-perkara terkait, contohnya, hadis yang bersesuaian.

 

Aaron cuba memasang telinga. Dia mencuri dengar dari jauh. Dia ingin tahu kalau-kalau ada bicara yang menguntungkan. Mungkin akan terdengar maklumat mengenai dirinya, siapa tahu?

 

Kedua-dua anak muda di hadapan pak tua kelihatan khusyuk sekali. Faizal tekun menyalin nota, manakala rakan sepengajian cuma membuat nota minda.

 

Ash, atau nama sebenarnya Ashaari Ariffin sudah lama mendekati Pak Bakti. Anak muda berdarah kacukan ini sememangnya terlalu berahi untuk mencari ilmu agama. Pemergian ibunya ketika Ash berusia belasan tahun, membuatkan bapanya semakin hilang arah. Ariffin terlalu sedih dengan pemergian Mary, wanita warga Australia yang dikenalinya di dalam sebuah parti di bandar perlabuhan. Sejak pemergian Mary, si kelasi yang memang tidak cenderung mengamalkan Islam itu menjadi semakin menyimpang jauh dari agama. Ariffin menyalahkan Tuhan atas kematian isterinya. Dia akhirnya pergi meninggal Ash, dan dikhabarkan kini berteman di Thailand. Ash yang sejak awalnya buta agama menjadi semakin parah, sehinggalah dia akhirnya mengenali Pak Bakti.

 

Malam itu, kelas Pak Bakti memfokus khusus ke ayat ke-186 dari surah al-Baqarah. Selepas hukum tajwid dihuraikan, pak tua membaca terjemahannya dengan kuat. Suaranya yang jelas membuatkan Aaron juga dapat mendengarnya.

 

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.

 

Pak Bakti menyambung lagi dengan menghuraikan apa tafsiran yang turut mengikuti terjemahan ayat tersebut. Beberapa soalan dan jawapan berselang-seli antara tuan guru dan dua orang anak muridnya.

 

“Dan janganlah kamu lupa, sesungguhnya Allah itu sentiasa dekat dengan hamba-Nya. Dalam sebuah hadis Qudsi dari kitab-kitab karangan Imam al-Bukhari, Imam Muslim,Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah, ada tertulis mafhum hadis, iaitu…”. Pak Bakti berhenti seketika, dia menyelak helaian mukasurat kitab di sebelahnya. Masa bagai terhenti buat Faizal dan Ash. Begitu jua buat Aaron yang makin tekun memasang telinga.

 

“Ha, mafhum hadis:

Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai persangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya ketika ia mengingat-Ku. Jika ia mengingat-Ku saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diri-Ku. Jika ia mengingat-Ku di suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada pada itu (iaitu kumpulan malaikat). Jika ia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat.”, sambung pak tua.

Aaron mengangguk perlahan. Kata-kata itu bagai panah menusuk kalbu.


Pak Bakti menyambung lagi kelasnya dengan menerangkan wujudnya hadis-hadis yang mana tertulis bahawa rahmat dan kasih sayang Allah itu melebihi, mengatasi kemurkaan-Nya. “Begitulah yang boleh kita pelajari dari hadis yang dilaporkan oleh sahabat yang mulia, Abu Hurairah radiyallahu anhu. Hadis yang tercatit dalam kitab Sahih Muslim di dalam bab Taubat, yang juga boleh didapati dalam Sunan Ibnu Majah”, ujarnya.

 

Persoalan demi persoalan dilontar Faizal. Segalanya dijawab tenang semampu mungkin oleh Pak Bakti. Penjelasan yang turut tekun diintip Aaron. Tanpa sedar, hati si pengintip ini semakin lunak. Memang benarlah majlis ilmu itu suatu yang penuh berkah. Hadir barisan malaikat, membawa nur cahaya dan rahmat dari Yang Maha Esa.

 

Selepas kira-kira 20 minit berlalu sejak bermulanya kelas, Pak Bakti menutupinya dengan doa dan bacaan tasbih kifarah. Doa yang turut diiyakan hati Aaron. Entah mengapa, kali ini dia lebih mudah baginya mengaminkan doa. Hatinya juga tiba-tiba tenang. Barangkali kerana dia kini berjauhan dari botol-botol air kencing syaitan yang mengundang kemurkaan.

 

Aaron terfikir, barangkali, itulah sebabnya si tua selesa hidup bersederhana. Bukanlah rumahnya berlebihan besar atau mewah umpama ayam bertelur di atas padi. Ketenangan yang wujud dari hati yang tetap bersyukur dengan apa yang ada dari sumber yang halal. Hati yang tidak tertaut pada kesenangan dunia.

 

* * *

 

“Ron, mari makan”, seru Pak Bakti. Tangannya menarik kerusi yang terletak sebelahnya di meja makan. Aaron bangkit perlahan, menuju ke meja yang kini dihuni Faizal, Pak Bakti dan Ash.

 

“Pak Bakti, saya minta diri dulu lah. Nak balik…”, kata Ash tidak semena-mena.

 

“Eh? Makan sini lah, Bang Ash”, puju kFaizal. Namun, dia sebenarnya hanya hangat-hangat tahi ayam. Ash tidak menghiraukan pujukan si Faizal.

 

Pak Bakti berpesan, "Ashaari, esok jangan lupa datang awal sikit ke ladang Abu Sufiyyahh, ya?”. “Katanya, macam ada masalah serangga perosak". Ash cuma mengangguk.

 

“Abang betul ke taknak makan sini?”, tanya Faizal. “Ini bekal yang saya bawa dari rumah. Kakak yang masak…”, sambungnya lagi.

 

Wajah Ash berubah sedikit. Dia kelihatan serba-salah. "Sayang yang masak? Sayang tahu aku ada sini?", soalnya kepada Faizal.

 

Faizal cuma tergelak. Tawa yang membuatkan Ash semakin ternanti jawapan. Tubuhnya semakin menghampiri meja makan, bagai ingin membatalkan keputusannya untuk tidak makan di sini.

 

Actually, mak yang masak”, jelas Faizal. Langkah Ash terhenti, mukanya makin mencuka.

 

Melihatkan reaksinya, Faizal sambung mengusik, "Bang Ash, esok hati-hati tangkap bugs tu. Abang kena sorang-sorang je tangkap serangga perosak, Pak Bakti takde. Bak kata omputeh, ‘you gotta catch 'em all’, kan?".

 

Wajah Ash semakin masam. Faizal memang suka mengusiknya dengan permainan digital itu, bersempena namanya yang menyerupai si Ash Ketchum, protagonis utama dunia Pokemon. Jika bukan kerana Faizal tu datang dari keluarga yang disasarkannya, pasti sudah dilepaskan geramnya.

 

Tanpa menuturkan apa-apa, Ash terus berpaling dan melangkah meninggalkan ruang tamu. Kakinya pantas menuju ke pintu rumah, sebelum dia menghilang. Aaron semakin keliru, siapa pula gerangan si Sayang itu?

 

Faizal terus menyenduk nasi. Dihidang pada Pak Bakti dan Aaron, sebelum pinggan ketiga disenduk nasi buat dirinya sendiri. Sesi makan malam dipenuhi dengan bual santai ringkas antara mereka bertiga. Pak Bakti memberitahu siapa yang menemui Aaron. Ujarnya, mujur ada kapal peronda milik unit maritim tempatan yang sedang melalui beting pasir, jika tidak, wallahua’lam apa yang berlaku pada Aaron.

 

Faizal menyambung bicara, katanya, Aaron kini di rumah Pak Bakti yang terletak di penjuru di simpang antara Jalan Belakang Pulu dan Jalan Bunga Kangkong. Sambungnya, lagi, rumah ini berdekatan dengan pusat perlindungan taufan. Rumah Faizal pula terletak di persimpangan Jalan Masjid dan Jalan Pantai. Aaron sedikit kehairanan bagaimana nama-nama jalan di atoll di bawah pentadbiran Australia ini kesemuanya di dalam Bahasa Melayu. Jelas si Faizal, Pulau Selma yang terletak di dalam atoll ini, dihuni sekitar 500 orang penduduk yang kebanyakannya adalah orang Melayu Cocos yang beragama Islam. Meskipun ia ditadbir di bawah Shire Council yang tertakluk pada bidangkuasa Western Australia, kebanyakan penghuni pulau ini dan pulau-pulau lain di atoll ini mampu berbahasa Melayu varian Pulau Cocos. Makanya, jangan pelik dengan dialek yang mungkin sedikit pelik, seperti istilah ‘pulu’, ‘nulung’, ‘selawet’ dan lain-lain.

 

Aaron mengangguk tanda faham.

 

“Abang berasal dari mana? Malaysia? Indonesia? Singapore?”, soal Faizal.

 

Aaron hanya mampu menggeleng. “Aku tidak tahu..”, katanya sambil memegang kepala yang semakin pening. Kepeningan yang muncul setiap kali dia cuba memanggil memori silamnya.

 

“Takpe lah, lama-lama nanti, abang recall lah tu”. Faizal tersenyum melihat Aaron yang kebingungan. “Nanti, kalau dah sihat sikit, boleh jalan-jalan, ambil angin segar. Boleh singgah kafe kami, Kafe Sahabat. Saya belanja”, sambungnya lagi. Aaron hanya mampu mengangguk.

 

Tangan Pak Bakti menyentuh tangan Aaron. “Ron, takpelah, kamu berehat dulu. Insya-Allah, esok kamu akan kuat sikit badan. Bolehlah kita berjumpa Detektif Frank dan Doktor James”.

 

“Pak Bakti tak kerja ke esok?”, soal Aaron.

 

“Pak Bakti cuti. Dia paling senior, level otai, bang Aaron. Siapa berani kacau?”, celah Faizal, tersengih.

 

“Habis tu, siapa nak lead masjid nanti?”. Aaron masih tertanya-tanya.

 

“Abang rasa, Pak Bakti ni imam ke?”.

 

“Eh, dia bukan ke?”. Jawapan jujur Aaron membuatkan senyuman Faizal semakin lebar.

 

“Bukanlah… Tuan Imam kita namanya Pak Sufi. Assistantnya pula, Haji Jeddah”.

 

“Oh…”, angguk Aaron. Penjelasan Faizal cuma memperkenalkan lagi watak-watak baru buatnya.

 

“Saya pandu van pelancong. Kadang-kadang tolong Abu Sufiyyahh tuai kelapa, tebu dan tanamannya yang lain di ladang”, jelas Pak Bakti.

 

“Tapi…”, kata-kata Aaron terhenti.

 

“Abang pelik macamana Pak Bakti tahu banyak hal agama?”. Aaron sekadar mengangguk. “Dia ini ala-ala mursyidul am pulau…”, kata Faizal sambil tersenyum.

 

“Ish, kamu ni!”, jeling Pak Bakti.

 

“Betul kan? Semua orang rujuk kat Pak Bakti. Cuma dia sahaja yang tolak jawatan imam. Kenapa entah?”, balas Faizal.

 

Pak Bakti cuma tersenyum. “Saya tak cukup lagi ilmu. Lagipun, masjid perlukan darah muda untuk memimpin. Pak Sufilah yang sesuai”.

 

Laungan azan Isyak memutuskan bicara mereka. Kedua-dua Pak Bakti dan Faizal bergegas mengemaskan pinggan-pinggan, semuanya disusun di sinki. Aaron hanya mampu melihat. Dia sedikit hampa, badannya yang lemah tidak membolehkannya membantu.

 

“Kamu duduklah di rumah ya, Ron? Berehatlah. Pak Bakti nak ke masjid ni. Faizal, kamu macamana?”, ucap pak tua.

 

“Saya… nak lepak sini kejap. Pastu, balik rumah”, kata Faizal sambil tersenyum. Pak Bakti hanya berdiam. Dia tahu, mesti anak muda ini ingin berbual lagi dengan Aaron.

 

* * *

 

Di dalam tandas lelaki sebuah conference hall di Amerika Syarikat, seorang lelaki muda berusia 17 tahun sedang berdiri di hadapan urinal. Insan yang memiliki ketinggian yang sederhana bagi rakan senegaranya itu kelihatan sedikit ranggi, meski wajahnya masih memperlihatkan sedikit genetik Timur Tengah yang mengalir dalam saluran darahnya.

 

Bill Petrovsky, seorang genius bidang perkomputeran dan keselamatan digital baru selesai membentangkan kertas kerjanya kepada peserta konvensi. Convention dan seminar yang berjalan seiring bersama expoIT, acara tahunan yang mendambakan kehadiran watak-watak utama pemain dunia digital. Sesuatu yang amat ditunggu-tunggu sehingga event manager dan staffnya tidak cukup tangan dalam menjawab panggilan berkenaan tempahan kerusi bagi menghadirinya.

 

Walaupun Bill hanya akan mencecah usia 18 tahun pada 28 November di penghujung tahun, dia kini sudah di tahun akhir pengajiannya. Dia juga sebenarnya mampu memiliki paten buat kerangka baru sistem anti-pencerobohan digital ciptaannya, namun kehendak Bill dihalang ayahnya. Katanya, jangan diletakkan namanya demi keselamatan dirinya sendiri. Hidup dalam persembunyian sebegini agak mencabar remaja pemilik IQ sehebat 200 mata ini.

 

Bill terlihat pantulan imej di cermin sinki di sebelah urinal. Dua lelaki yang tegap badan melangkah masuk. Meskipun mereka berpakaian kemas bertali leher, penampilan mereka kelihatan agak janggal. Wajah-wajah yang serasa Bill telah dilihatnya sebentar tadi di barisan tengah semasa dia sedang membentangkan kertas kerjanya. Ketiadaan gaya geek dan nerdy di wajah mereka membuatkan mereka tampil out of place. Canggung.

 

Seorang dari lelaki itu mengambil tempat di urinal bersebelahan Bill. Sesuatu yang membuatnya sedikit tidak selesa. Tidak ada lelaki yang mahu kaum Adam yang lain berdekatan dengan mereka ketika ingin dikosongkan pundi kencing.

 

Bill pantas menarik kancing zipnya, ingin ditutupnya semula. Di tika dia menekan butang buat pengeluaran buih sabun untuk mencuci tangannya, dia terlihat riak insan yang lagi satu. Wajah yang semacam khusyuk membaca sesuatu yang tertera di skrin telefon pintarnya. Pelik,di tandas juga dia ingin membaca, fikir Bill.

 

Insan yang tadinya tekun melihat maklumat yang terpapar di skrin kini pasti pengesahan visual insan di sisinya. Bill Petrovsky, calon yang disasarkan program Sherut Leumi. Biarpun dia merasakan tidak adil si genius ini diberi layanan khas dalam memenuhi kehendak Defense Service Law, itulah arahan yang telah diberi kepadanya. Dia akur, barangkali itu yang terbaik dalam mencapai objektif undang-undang yang terwujud sejak tahun 40an. Minda Bill mungkin lebih bernilai dari ototnya dalam menjalankan kerja-kerja mereka. Tidak mustahil, kerana sekitar 20 peratus dari 850 pemenang Anugerah Nobel adalah dari kaum yang satu itu. Lagipun, Bill terlalu kurus untuk kerja fizikal. Pehanya pun mungkin lebih kecil dari kebanyakan senjata pelancar berjarak jauh. Anggukan kecil diberi kepada teman berbadan tegap di urinal.

 

Bill terkejut apabila dia terdengar bunyi pintu tandas dikunci dari dalam. Dia berpaling untuk melihat. Dunia menjadi gelap.

 

Bill membuka mata. Limpahan cahaya terang dari satu-satunya lampu yang menyala benar-benar memeritkan mata. Di hadapannya terdapat sebuah meja kayu. Meja yang di atasnya terdapat salinan passport asalnya, bersama beberapa keping gambar keluarganya. Dia sedikit risau, dia berfikir apakah kesalahan yang telah dibuatnya. Memang benar dia ada memuat turun secara haram beratus-ratus games dan movies melalui torrent. Namun, takkan dia ditahan kerana aktiviti lanun digitalnya itu?

 

Kedua-dua insan tegap tadi muncul dihadapannya. Seorang dari mereka menyuakan rokok kepada Bill. Rokok yang ditolak sopan, “Cancer kills”,katanya. Si penyua rokok tergelak besar. Sambungnya, ada cara lain untuk mati lebih cepat, terutamanya jika Bill gagal bekerjasama.

 

Dua pucuk pistol diletakkan insan tersebut di atas meja berhadapan Bill. Hitam, tidak berkilat. Kedua-dua pucuk senjata berona matte itu dari jenis Desert Eagle. Mata Bill merenungnya, kelihatan keduanya semacam model yang lebih terkehadapan berbanding Marx XIX .50 AE. Bill menelan air liur, semakin cuak. Pemilik pistol semaju ini pasti bukan calang-calang orangnya.

 

Riak wajah pemilik senjatapi begitu tenang. Tindakannya bersandar bagai menganjing Bill, persis mencabar untuk cubaan rampasan kedua-dua pucuk Desert Eagle tersebut. Namun, Bill bukannya bodoh. Semakin relaxed reaksi si pemilik, semakin Bill mengerti insan-insan di hadapannya benar-benar terlatih. Bukan seperti Bill, yang cuma tahu menggunakannya di dalam permainan komputer seperti Counter-Strike. Namun ini realiti, andai mati, tiada reboot atau respawn.

 

Bill, we have a good offer for you. If you agree, you and your family will be safe”, tawar insan di sebelah pemilik senjata. Tawaran yang secara tidak langsung membawa maksud wujudnya ancaman seandainya Bill tidak setuju. Ancaman yang dibuktikan dengan kepingan foto, tanda kedua-dua insan tahu benar lokasi kediaman dan tempat kerja kesemua ahli keluarga Bill.

 

Bill semakin gugup. Jantungnya berdegup kencang, umpama mahu meletup. Ligat dia berfikir dari mana datangnya kedua manusia berbadan tegap. Dari wajah mereka, kelihatan yang mereka juga mungkin dari Timur Tengah. Penganas agama? Mungkin tidak, kerana pakaian mereka terlalu kemas. Tiada janggut, dan lebih-lebih lagi, seorang daripadanya memiliki telinga yang bertindik. Accent mereka bagaikan dari Eropah Timur. Blok Russia? Komunis? Eh, masih ada lagikah pengganas beridelogi komunis?

 

Analisanya terhenti apabila si pemilik senjata berkata, “This job is much easier than the compulsory 30 months military training”.

 

Bill menjadi keliru. Sejak bila pula Amerka Syarikat memiliki national service yang wajib dipenuhi?

 

This is for our racial pride, for your homeland. Your tribe needs you”, jelas si pemilik senjata. Tegas.

 

Ah, negara yang lagi satu itu, getus hati Bill. Tanah yang tidak pernah dijejaknya semenjak lahir, namun sering disebut-sebut ayahnya. Tanah yang asalnya gersang di Timur Tengah, yang mejadi rebutan pelbagai pihak. Tanah yang kini diperintah dek rejim sejak lewat 40an.

 

Bill memberanikan diri untuk bertanya apa yang perlu dilakukan, serta apa hasil yang akan didapatinya. Bill bukan seorang patriot, tetapi dia sayangkan nyawa ahli keluarganya, dan dia tahu bahawa bagi setiap risiko, akan ada habuannya.

 

Insan yang bertindik menerangkan bahawa Bill akan menerima tiket percutian dan penginapan ke sebuah pulau berhampiran Nicaragua. Katanya, hadiah yang akan diselindungkan atas nama cabutan bertuah. Apa yang hanya perlu Bill lakukan ialah bertemu dengan ejen mereka di pulau itu. Sambungnya lagi, ejen itu memerlukan kemahiran Bill untuk memasang satu sistem pintasan dan spoofing untuk menyembunyi jejak digital.

 

What is it needed for? How do you intend to make use of it?”, soal Bill.

 

Insan bertindik mengangkat tangan laksana ingin menghentikan soalan-soalan seterusnya. “For your own good, you better not know much”.

 

What if I don’t want…”.

 

Soalan Bill terhenti apabila terlihat aksi si pemilik senjatapi. Insan yang sedari tadi sedang membelek pistolnya, tiba-tiba berdiri. Tanpa sedikit pun melihat ke wajah Bill, insan itu berkata ada tujuh peluru di dalamnya.

 

One goes here", sambil jarinya menunjuk pada ruang di antara dua matanya sendiri.

 

"Another two can go here and here", sambil ditunjukinya ruang di tepi lubang telinga, disusuli ruang di sekitar dada.

 

"And another one here, just for fun". Kini, insan yang masih memegang pistol menghalakan pula senjata itu ke kawasan di bawah pusatnya. "Ah, three more as backups. That will do". Mukanya selamba, tidak beremosi. Bill semakin panik. Perutnya menolak kuat, menghadirkan rasa mual.

 

Insan bertindik di hadapannya hanya tersenyum. Terangnya, itu sahaja yang perlu Bill lakukan. Bill akan diberikan identiti sebagai seorang pekerja sementara di sebuah syarikat IT tempatan pulau tersebut. Sambungnya lagi, seandainya Bill berjaya dalam tugasan ini, masa hadapannya amat cerah. Dari riaknya yang amat yakin, dia umpama sudah mengatur kareer Bill.

 

"So, do you agree to do this? This new Bill who might one day replace the current Bill at the top of IT world”, tutur insan yang masih menggenggam Desert Eagle. “Or do you prefer to be on newspaper tomorrow, as an unfortunate IT genius who got accidentally killed while walking near a gang fight?". Mukanya serius.

 

Bill hanya mengangguk lemah tanda setuju. Tapak tangannya dibasahi peluh. Jantungnya masih bergendang.

 

But…when will this takes place?”, soal Bill.

 

Kedua-dua insan di hadapannya cuma tersenyum. “We will contact you soon”, kata si telinga bertindik.

 

Do not tell anybody. And don't even bother to try running. We got eyes and ears everywhere”, sambungnya lagi.

 

And by the way, Bill, this guy, he was joking about using the seven bullets”. Bill menghela nafas lega mendengar kata-kata si telinga bertindik.

 

He’s a sharpshooter. He only needs one bullet”.

 

Bill ternganga. Pehanya basah, dia terkucil.

 

* * *

 

Faizal menemani Aaron yang masih baru di pulau. Perbualan mereka yang bermula di meja makan terus bersambungan. Satu-persatu hal tentang pulau diceritakan oleh Faizal, bagai memberikan Aaron crash course mengenai pulau ini dan penduduknya. Si musafir bercacah ini mula mengetahui bahawa di atoll ini cuma terdapat sebuah lapangan terbang, itu pun nun di West Island.

 

Aaron agak terperanjat mendengarkan cara hidup komuniti Melayu Cocos yang sedikit unik. Meski dia masih tidak mengetahui dari mana asal dirinya, Aaron agak kepelikan dengan komuniti penghuni kira-kira 110 buah rumah di Home Island yang dibina seawal 1985 di bawah program HIDP (Home Island Development Plan). Komuniti yang begitu rapat, di mana kebanyakan anak pulau memiliki beberapa kerja sebagai mata pencarian. Ada yang menjadi pemandu pelancong (seperti Pak Bakti), ada juga yang menjadi nelayan, pekerja binaan dan ada yang berniaga kecil-kecilan. Tidak kurang juga ada yang berkerja hanya 3 hari seminggu sebagai ground crew buat Virgin Airlines dan yang mengalas tugas sebagai krew syarikat kurier Toll sehari sahaja dalam seminggu. Dari apa yang didengarinya, kehidupan mereka banyak berkisar perlancongan.

 

Assalamualaikum”. Salam diberi Pak Bakti. Ah, dia sudah pulang dari masjid. Salah satu dari tiga masjid yang terdapat di atoll ini. Bangunan yang tersergam indah di antara titik persilangan empat jalanan: Jalan Raya, Jalan Kebun, Jalan Bunga Mawar, dan Jalan Kembang Molok.

 

Seusai Pak Bakti merebahkan diri disofa, bual bicara diteruskan mereka bertiga. Minit demi minit berlalu, sehinggalah Faizal memohon diri untuk pulang kerana sudah sedikit lewat.

 

Sejurus selepas Faizal meninggalkan mereka, Aaron bertanyakan tentang Faizal pada Pak Bakti. Anak muda yang peramah itu telah meninggalkan memori pekenalan yang mesra buatnya. Ujar Pak Bakti, si Faizal itu sebenarnya anak Pak Sayang, anak sahabat baiknya, pemilik Kafe Sahabat. Kafe yang terdekat di Jalan Rel, berhampiran jeti, satu-satunya jalan keluar dan masuk dari pulau ini. Khidmat feri itulah yang menghubungkan Pulau Selma yang turut dikenali sebagai Home Island dengan West Island.

 

Aaron sekadar mengangguk.

 

Sambung Pak Bakti, si Faizal adalah antara anak terbijak yang pernah lahir di pulau ini. Kebijakannya yang turut dihiasi kerajinannya menjadikan Faizal ditawarkan program khas pelajaran jarak jauh di peringkat universiti. Aaron mengangguk baru tahu.

 

Aaron bertanya pada Pak Bakti jikalau ada apa-apa yang ditemui bersamanya ketika terdampar. Pak Bakti hanya berdiam.

 

“Saya perlu pulang, Pak Bakti. Tapi tidak kutahu ke mana perlu saya pulang ". Luahan sedih Aaron membuat Pak Bakti berasa harus dipujuknya si musafir ini.

 

"Ron, mahu dan perlu itu dua perkara yang berbeza. Kamu mahu pulang, tetapi kamu perlu terlebih dahulu tahu ke mana kamu perlu pulang”. Aaron merenung wajah Pak Bakti. Tenang. Entah mengapa, kata-kata pak tua di hadapannya memberikannya sedikit keyakinan. “Berehatlah Ron, berehatlah. Insya-Allah waktu untukmu pulang akan tiba jua nanti".

 

Aaron sekadar mengangguk. Dia juga berharap begitu.

 

Pak Bakti meminta izin untuk masuk ke kamar tidurnya. Pesannya kepada Aaron, buatlah rumah ini seperti rumahnya sendiri. Aaron bangun perlahan menuju ke kamar tidur yang lagi satu.

 

Ketika Pak Bakti di perbaringan, dia teringat kejadian penemuan Aaron tiga hari yang lalu. Tiada apa-apa di badan atau di pakaiannya selain surah Yaasin di kocek kanan seluarnya dan seutas keychain di kocek kiri. Bingkisan-bingkisan yang tertera dua nama yang berbeza. Semuanya telah diserahkan kepada Detektif Frank, anggota polis yang mengizinkan Pak Bakti dan Doktor James merawat si musafir sehingga dia sedikit pulih. Sebenarnya, ketumbukan polis sedikit teruja untuk terus menyiasat, mungkin kerana kadar jenayah yang terlalu rendah di atoll. Ada yang ingin si musafir dirawat dan ditahan di dalam lokap, namun pujukan Pak Bakti dan Tuan Doktor membatalkannya. Jaminan peribadi dua tokoh tempatan cukup meyakinkan. Lagipun, musafir yang lemah ini tidakkan mampu lari dari pulau ini. Meskipun begitu, sempat juga seorang dari anggota polis berpesan padanya agar jangan sampai bertanak di kuali.

 

Pak Bakti juga teringat tatkala Doktor James dan pembantunya sedang menukarkan baju si musafir, terlihat tattoo kecil naga yang melingkari nama ‘Aaron’ di bahagian belakang tulang pinggulnya. Doktor James menasihati PakBakti agar tidak berkata apa-apa mengenainya, supaya tidak mengganggu si musafir dari mengecam sendiri siapa dirinya.

 

Ah, tidak mengapa, lambat-laun, semuanya akan terjelas. Yang pentingnya, esok dia harus membawa Aaron bertemu detektif, untuk dirakamkan gambar dan cap jarinya. Pak Bakti menepuk bantal seraya membaca kalimah-kalimah suci. Matanya yang sudah semakin berat ditutup dan bahtera mimpi pun berlayar.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi