Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,716
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 3

BAB 3: “HADIAH”

 

Jam 8:37 pagi (UTC +08:00), Ahad, 9 Mac 2014 , Jalan Kia Peng, KualaLumpur.

 

Seorang jejaka tersembunyi di bawah quilt yang tebal. Kakinya sahaja yang kelihatan, dibelai angin sejuk menderu dari penghawa dingin di penghujung katil king size bercadar biru lembut.

 

Kriiiiiiing…!”. Tangan kanannya muncul dari bawah bantal. Meraba, mencari punca bunyi yang mengganggu lena.

 

Kriiiiiiing…!”. Masih gagal dikesan.

 

Kriiiiiiing…!”. Tangan kirinya pula dihayunkan mencari jam loceng itu. Jemarinya merangkak bak labah-labah mencari mangsa. Bunyi loceng semakin kuat. Membingitkan apartment mewah di aras penthouse ini. Makin kencang tangannya dihayunkan ke kiri ke kanan.

 

Satu-persatu bantal dilemparnya ke lantai. Bertebaran merata. Andai tiada dinding kamar tidurnya, pasti ada jua yang akan ‘terbang’ ke pelosok hujung ruang seluas seribu lima ratus kaki persegi yang dihuninya.

 

Ah,akhirnya jam loceng itu ditemui. Rupa-rupanya, ia telah terlebih awal tergolek ke lantai.

 

Jejaka itu cepat-cepat menarik jam loceng itu menghampirinya. Tanpa membuka mata, dia cekap mencabut bateri. Dilemparnya jauh.

 

‘Padan muka, kacau aku tidur sahaja’, getus hatinya.

 

Tika dia baru sahaja ingin kembali berlayar, dia terasa bagai ada getaran di tulang rusuk kirinya.

 

At first I was afraid, I was petrified...”, berdendang lirik lagu yang diawali petikan gitar.

 

I kept thinking I could never live without you by my side…”, lagu versi rock adaptasi kumpulan Cake masih lagi berdendang. Bagi setiap saat yang berlalu, semakin kuat volumenya. Iramanya yang selalunya digemari kini menjadi sesuatu yang benar-benar... menjengkelkan?

Aaron membuka mata. Laksana kura-kura, kepalanya perlahan muncul dari bawah timbunan kedamaian.Digosok-gosok mukanya, sambil tangannya menggapai telefon bimbitnya.

 

“Hello, baby. Are you awake?”, soal si pemanggil.

 

Yep, Kate. I’m here”, jawabnya ringkas. Tangannya lekas menutup mulutnya yang masih menguap. Masih banyak oksigen yang diperlukan.

 

“Eh, bangun cepat! Today kan you dah janji nak visit your mom kat kampong? Lupa ke?”.

 

Next week cannot ke?”, soal Aaron selamba.

 

Did you forget, you kan flying off for two weeks to Korea early pagi esok?”. Soalan yang dilontarkan kembali bagai halilintar. Aaron menepuk dahinya.

 

Don’t forget, you nak I ambil you at your place before 9:30, right?”,soal si pemanggil.

 

Yeah.Yeah. Gotta go. Shower now”.

 

You better be. I dunno how to drive to your kampong alone!”, ingatan si pemanggil.

 

OK.OK. Kate, I nak bersiap dah ni”, jawap Aaron. Mindanya tiba-tiba segar.

 

You dah siap packing your luggage, kan?”,tanya Kate. Mungkin dia mahu melaraskan masa untuk dia memulakan pemanduan ke tempat tinggal Aaron. Yelah, walaupun apartment Kate di Sungai Besi tidaklah terlalu jauh, ini Lembah Kelang. Masa boleh melesap begitu sahaja dimamah kesesakan jalanraya yang bagai tiada henti.

 

“Dah. Dah. Siap dah semua. I kan warga antarabangsa? Memang sentiasa ada beg travelling on standby. Lagipun, apa susah, asal ada passport dan kredit kad, apa yang I cannot buy kat sana? Spender pun ada!”, seloroh Aaron.

 

Kate senyum di hujung talian. Dia tahu, kalau Aaron sudah boleh berseloroh, maksudnya dia benar-benar sudah terjaga.

 

Aaron menamatkan panggilan setelah menetapkan semula janji. 9:30 pagi. Dia akan turun bersama beg perjalanannya ke kawasan basement parkir kereta. Seperti biasa, Kate akan memandu kereta milik jejaka ini.

 

Aaron menarik quilt yang tadinya masih menutupi sebahagian badan. Eh, baru dia sedar, dia tertidur dalam keadaan fully dressed. Pasti ini penangan beberapa tequila shots yang diambilnya lewat malam tadi.

 

Dia merenung jam di pergelangan kiri. Jam eksklusif jenama Roger Dubuis Millesime Double Flying Tourbillon menunjukkan masih ada kira-kira 40 minit untuk dia bersiap.

 

Dibelek jamnya seketika. Dipastikan tiada titisan cecair beralkohol yang melekat. Suatu yang ironi, kerana kebanyakan yang bergaya mewah selalu digambarkan dengan gelas alkohol di tangan. Umpama itulah tanda kejayaan. Dan dia tiada bezanya. Cuma, dia tidak mahu jam yang hanya wujud sebanyak 88 unit di dunia dicemari minuman yang mungkin melekit.

 

Aaron tersenyum.

 

This thing better last long. It’s worth more than the most commonly available car in the country". Padanya, bukanlah dia kepingin sangat memiliki jam yang mahal untuk mengetahui waktu, tapi itu adalah sebahagian dari caranya membina imej dan prestij diri.

 

Ia bukan sesuatu yang pelik, kerana ramai jua kenalannya memilih jam-jam yang tidak kurang hebatnya. Ada yang memilih jenama-jenama tersohor seperti Audemars Piguet, Richard Mille, dan Patek Philippe. Namun, ada juga yang memilih hanya berdasarkan praktikaliti. Insan-insan terhebat yang dikenalinya cuma menggunakan Casio Protrek Triple Sensor dan Casio Prayer Compass WP-310 sebagai penanda masa. Mungkin kehebatan mereka yang membawa nilai apa yang dipakai, dan bukan sebaliknya.

 

Time and tide wait for no man”, masih terngiang nasihat yang diucapkan Dato’ Jacob dan Datin Winny tika menghadiahkan jam itu kepadanya. Hadiah yang disangkanya yang termahal mungkin akan pernah diterima.

 

Aaron tersenyum sinis. Padanya, jika sudah cukup berjaya, masa pun mampu dihentikan. Lazimnya, memang terbukti, biar lambat mana sekalipun, kalau dirimu adalah insan terpenting, bukan setakat lautan trafik dibelah buatmu, majlis yang kononnya mendahulukan para hadirin pun boleh tertangguh. Hanya semata kerana status. Biarpun status itu hadiah kurniaan hadirin yang teramai. Terlintas di fikiran Aaron, barangkali, jika sekalipun diliki 'pintu ajaib sukahati' Doraemon, mereka tetap akan lewat. Mungkin kaum ningrat telalu sibuk. Aturan yang lain terwujud buat mereka, waima tidak bertulis. Mana mungkin antara mereka dan sang murba menjadi sama?

 

Dia tersedar dari jelajah minda. Kepalanya semakin berdenyut kuat. Hangover. Aaron menanggalkan segala pakaian dan pantas memasuki kamar mandi. Ah, sedikit kelegaan terhadir buatnya bila kulit disentuh air separa panas yang mencurah turun. Kebiasaannya, dia akan berendam di dalam tub mandinya. Tetapi tidak hari ini. Masa sedikit singkat.

 

Aaron menggosok badannya. Disabun dan dipastikan tiada aroma alkohol yang tertinggal. Dibilas rapi, sebelum dia mencapai berus gigi dan segala perkakas lain untuk membersih serta memutih 32 butir struktur kalsium, fosforus dan sodium yang menghuni mulutnya.

 

Ah, it is that time of the year again”, detik fikirannya, semakin terjaga. Awal bulan Mac ialah masa di mana kebiasaanya Aaron akan perlu banyak travel. Banyak projek yang akan bermula kerana musim tengkujuh sudah hampir tamat. Sudah pasti kadar sewa harian tug boats dan AWB akan naik lagi. Lebih-lebih lagi kini harga minyak mentah masih tinggi. Sekitar 100 dolar Amerika sebarrel. Hampir RM2.20 bagi setiap liter minyak mentah yang belum diproses. Harga yang agak tinggi sejak awal 2011. Dia terfikir, apa agaknya akan terjadi jika harga merudum turun? “Persetankanlah. Janji sekarang enjoy, bro. Esok punya hal, esok kita fikirlah”, bisik hati kecilnya.

 

Seusai berkumur dengan pencuci mulut antiseptik, Aaron berpaling ke belakang. “Damn!”, sumpahnya. Dia terlupa mengambil tuala dalam kekalutannya untuk mandi.

 

Aaron membuka pintu kamar mandi dengan perlahan. Diintainya keluar. Sahih. Tiada sesiapa. Maid yang selalu datang mengemas rumahnya tiada hari ini.

 

Dia menghulurkan tangan ke arah rak sidaian yang berhampiran kamar mandi. Sekali lagi, tangannya meraba tanpa bantuan visual bebola mata. Sehelai kain digenggamnya. Pantas ditarik ke dalam kamar mandi. Ingin cepat dibaluti dirinya yang masih boleng dan separa kebasahan.

 

“Eh? Ini bukan towel. Ni sejadah!”, sedarnya.

 

Dilemparnya jauh-jauh. Sangkanya, apa gunanya sejadah? Bukannya boleh mengeringkan dirinya pun. Dalam kealpaan, tidak sesekali terjangkau di fikiran bahawa hamparan itulah yang mampu menadah titisan airmata yang menyucikan jasad batinnya.

 

Aaron keluar dari kamar mandi. Diambilnya sehelai tuala. Bingkas dibalut tubuhnya.Hujung tuala diguna buat mengeringkan rambut dan mengelap sisa titisan air shower yang masih di badannya.

 

Dia merenung sejenak ke arah sejadah yang dilempar sebentar tadi. Sejadah yang selalu tersimpan jauh dari sentuhan di satu bahagian khas almari. Bahagian gerobok yang hanya dibuka dua kali dalam setahun. Ruangan yang dihuni bersama songkok, sampin dan surah Yaasin. Bahan-bahan yang hanya digunapakai semasa Hari Raya. Lebih-lebih lagi semasa ziarah kubur. Gaya yang dilengkapi dengan kumat-kamit mulut.

 

“Alah, bukannya ada orang yang mendengar aku baca pun”, hatinya membisik rahsia tahunannya.

 

Namun begitu, kadang-kadang, apabila rasa takut menjengah hatinya, terutama apabila pulang seorang lewat malam, diletakkan juga surah Yaasin di bantal sebelahnya.Tanpa disedari semacam sudah dijadikannya sebagai tangkal.

 

* * *


Sementara itu, di sebuah apartmen di kawasan Sungai Besi, Kate sedang memilih baju yang ingin dikenakannya. Dia ingin memakai sesuatu yang selesa dan sopan. Kali ini, perjalanannya bukan setakat ke kediaman kekasih. Kembaranya hari ini akan melebihi 16 kilometer yang biasa ditempuhinya.

 

“Ha, this one looks nice! Sesuai dengan pants yang ini”, fikir gadis berketurunan Cina tersebut.

 

Hatinya tertarik untuk mengenakan sehelai baby-tee berona biru lembut yang dihadiahkan Aaron ketika pulang dari salah satu overseas work tripnya. Jenama Abahous. Kate tersenyum apabila teringat jawapan teman hatinya semasa ditanya kenapa brand yang tak pernah didengari itu yang dipilih.

 

“Hehe… I just like the sound of it’s name. Sedikit novelty bunyinya. Abahous. Rumah Abah. Atau Abah yang haus”. Itu penjelasan yang terlekat di memori, tag ingatan buat helai pakaian itu.

 

Setelah menyarungkan seluar yang sepadan warnanya, gadis itu membuka almari dan mencapai abaya yang baru diterimanya semalam. Selendang yang menemani pinjaman itu disangkutkan di bahu. Sesuai benar dengan ketinggiannya sekitar 160 sentimeter.

 

Kate berputar, menggayakannya di hadapan cermin. Cukup sopan di matanya. Ala-ala wanita yang menghadiri persidangan, cuma warna selendangnya sahaja yang berlainan.

 

Gadis ini benar-benar gembira mengenakan pakaian-pakaian itu. Dia membuat nota minda,akan dihubungi Aisyah, kerana ingin benar dia memiliki abaya dan selendang ini. Manalah tahu, entah-entah akan dihadiahkan sahaja buatnya? Padanya, oleh kerana hari ini ialah yang yang pertama kali buatnya bertemu keluarga Aaron, haruslah dia memakai apa yang sopan. Dan pemakaian hadiah itu adalah tanda penghargaannya. Namun, tanpa disedari Kate dan Aaron, ada sebuah hadiah yang lebih besar sedang menanti mereka.

 

* * *

 

Setelah memakai t-shirt dan jeans yang sesuai, Aaron menuju ke island di tengah ruang dining hall apartment. Dia membuka peti sejuk. No food. Hampir sahaja dia marah kerana orange juice dan bacon slice sarapan rujinya tiada. “Mesti maid terlupa ni”, getus hatinya.

 

Dilihatnya ke ruangan penyimpanan botol minuman. Bergolek botol wine,bahana tarikannya yang terlalu kuat pada pintu peti sejuk. Penfolds Bin 620 Cabernet Sauvignon Shiraz, dari Coonawarra, Australia. Wain yang dibelinya masa lawatan kerja ke office lamanya, syarikat yang memiliki bangunan tertinggi di Adelaide.

 

“Takkan aku nak sarapan dengan wine. Kegilaanapakah ini?”.

 

Ah,mujurnya nasibnya tidak terlalu malang. Di sebelah botol kaca berisi peraman anggur itu terdapat sekotak susu Puramilk yang masih belum dibuka. Aaron membongkok merapatinya. Tarikh luput diperiksa. Dihidu isinya. Masih boleh diminum. Mujur.

 

Susu dituangkan ke dalam gelas. Aaron menggapai botol aspirin dan terus melangkah menuju ke sofa di ruang tamu. Diteguknya susu di tangan. Segar. Memang yang terbaik dari ladang. Antara yang terbaik yang diimport dari Adelaide.

 

Ah, Adelaide. Bandar terletaknya kasino SkyCity, lokasi pertemuannya dengan Kate. Model yang membuat kerja part-time sebagai salah seorang race queen di perlumbaan tahunan Clipsal 500 di ‘City of Churches’ tersebut. Oh ya, dia terfikir, apakah pemilik nama sebenar Song Yùqīng itu sudah dalam perjalanan menuju ke sini?

 

Botol aspirin dibuka. Beberapa butir ditelannya dengan susu sebagai cecair pelincir tekak. Kepalanya masih berdenyut.

 

He has to storm through the day. Sudah kebiasaannya menelan aspirin. Hidup mesti gagah.

 

“Ini Aaronlah. Siapa tak kenal Aaron?”, fikirnya. Nama yang tak asing lagi di kitaran mereka di industri oil and gas. Dia antara yang termahir selok-belok berurusan dan mendapatkan. kontrak. Cuma dia tidaklah semasyhur Amran. Aaron tergelak sendiri, walaupun dia jarang melayani facebook, kadang-kadang dia suka juga watak sebegitu. Santai. Bermesej. Digemari hingga terbit buku.

 

Pagi ini dia berharap sempatlah fully recover dari keletihan malam sebelumnya. Hari yang meletihkan namun berhasil. Bermula dengan early dinner di restoren eksklusif Jepun di tingkat 56, bangunan ikonik yang bersambung dengan struktur berkembar tertinggi di dunia. Antara tempat paling lavish untuk menjamu rakan niaga. Bukannya murah, sekitar RM400 sekepala, tapi hidangannya memang sedap belaka. Tambahan pula, ada pemandangan dramatik 360 darjah landskap indah kota besi ini. Sesi urusniaga yang disusuli pula dengan late night drinks dan sembang santai di bar yang terletak setingkat di atasnya. Barangkali yang tertinggi dan paling eksklusif di Malaysia.

 

Tetapi itulah cara untuk entertain klien dan berbincang projek yang mencecah jutaan dolar. Antah berkumpul sama antah, beras bersama beras. Bukanlah seperti di kaca televisyen. Setakat duduk di lounge hotel dan kocak-kocak air jus oren menggunakan straw, sambil bersembang kencang. Bak kata kawannya, "sembang kencang sampai pokok pun tumbang". Aaron terfikir dari manalah sahabatnya mendapat tagline catchy sebegitu? Mungkin dari movies?

 

Aaron rasa, sewajarnya arts imitate life. Memang manusia mahukan hiburan untuk berehat, tapi unsur realiti itu tetap penting. Kena galakkan berfikir, kerana otak jua seperti otot-otot yang lain. Jikalau malas dipakai, lama-kelamaan akan menjadi lembab. Insan yang lembab akan menurunkan genetik yang serupa. Jangan disalahkan konspirasi bangsa lain jika diri sendiri yang malas.

 

Padanya, tiada yang senang untuk didapati dalam hidup ni. Tak senang untuk senang, dan tak susah untuk jadi susah. Meskipun Aaron sudah mampu hidup mewah di usia muda, ia bukanlah dicapai semudah yang dipotretkan media. Gambaran yang menyebalkan. Untuk mewah, pasti ada perkara lain yang mesti dikorbankan. Sudah biasa baginya tidur di hentian R&R di lebuhraya. Travelling balik hari ke Kertih sekali seminggu dari KL, diselangi flying trip ke Bintulu.

 

Rasanya entah berapa ratus ribu sudah terkumpul frequenfflyers point dalam kadnya. Aaron juga wajib sentiasa keep track apa yang berlaku di serata dunia. Acapkali juga dia terpaksa berkerja in weird hours.Kenapa? Jawapannya mudah, jika inginkan wang berpuluh juta dari serata dunia, wajiblah juga berjaga dan berkerja macam warga serata dunia. Sudah tidak terkira, entah berapa ribu kali Aaron terpaksa buat meetings dan video conferences seawal pagi-pagi buta. Semuanya hanya kerana nak berurusan secara maya di waktu yang selesa untuk rakan-rakan niaga di serata pelosok dunia.

 

Aaron menyeluk saku dan dikeluarkan telefon bimbitnya. Ada tiga zon waktu yang terpamer. Waktu tempatan di slot pertama, disusuli waktu di Sheffield, United Kingdom, dan waktu di Texas, Amerika Syarikat. Ah, masih ada 15 minit sebelum kekasihnya tiba.

 

Dia membelek telefonnya. Direktorinya dipenuhi dengan list semua ‘kaki-kakinya’ di POMS. Organisasi bergelar Procurement Office of Material &Services yang merumahkan semua, dari tukang penyedia tender sehingga insan-insan yang membuat penilaian dan kelulusan dari segi teknikal dan komersial. Diselusuri senarainya itu. Terdapat ratusan nama. Kira-kira 80 orang bertugas di bandar tenaga persisiran pantai dan kira-kira 45 orang pula bertugas di bandar bersejarah. Ditambah pula dengan puluhan yang lain yang bertugas diserata negara. Ada yang dikenalinya melalui sessi kick-off meetings. Selebihnya dari kaedah-kaedah kreatif alternatif yang lain.

 

Bukan mudah, kerana setiap orang memiliki personaliti dan kecenderungan yang berbeza. Namun, di situlah kelebihan Aaron. Dia memang mahir membina chemistry dalam suatu relationship dalam kadar yang amat pantas. Pernah dia bergurau dengan protegenya dengan berkata, kemahirannya dalam 'quick chemistry' cuma terkalah dek Ahmed Hassan Zewail, pemenang Hadiah Nobel. But of course it was a different kind of chemistry. Dia mengekek pada lawaknya yang sedikit lame.

 

Aaron menghabiskan susu di gelasnya. Diletakkan ke dalam singki.

 

What the hell!”, meletup suaranya geram. Dia tertanya kenapa gelas-gelas kaca bersih yang telah dicuci setelah digunakan untuk meghidang arak masih belum dikemas dan disusun maid ke rak tempatnya.

 

Someone needs to be fired. Pronto!”. Dia mendail nombor telefon PAnya. Berdering, namun masih belum diangkat si Personal Assistant.

 

Mulutnya terus-terusan merungut. Sudahlah memandai sahaja keluarkan sejadah dan lupa untuk mengisi semula kandungan peti sejuknya, gelas-gelas yang sudah dicuci Aaron juga maidnya itu malas nak susun.  Memang kebiasaan Aaron meninggalkan nota dan beberapa keping not duit kertas bagi Maria, pembantu rumahnya dari Filipina. Wanita berdarah campuran Portugis itu sudah terbiasa dan memang selalu memastikan bekalan sarapan Aaron akan sentiasa di top-up dari masa ke masa.

 

Aaron melabuhkan kembali punggungnya ke sofa. Dikerling telefon bimbit yang terletak di coffee table sebelahnya. Masih tiada return call dari sang PA.

 

Tangannya meluncur ke controller set TV di rak hadapan. Punat ON ditekan.

 

Kullu nafsinzaiqatulmawt. Summailayna turja’un”. Bacaan ayat suci dari surahal-‘Ankabut berkumandang dari Samsung 4K TV miliknya. Efek dari surround system membuat bacaan ayat ke-29 itu lebih jelas kedengaran. Aaron terkejut beruk. Matanya membulat terlihat saluran al-Hijrah tengah bersiaran di skrin 3840 x 2160 piksel miliknya.

 

“Siapa pulak yang dah mampus ni?! Nak mengaji bagai”, jeritnya. Cepat-cepat dia menekan butang ke saluran lain. Kini skrin 110 inci itu telah berhijrah ke siaran yang lebih lagha. Puas hatinya.

 

Aaron sedikit kehairanan. Maria memang tahu Aaron tidak suka saluran TVnya ditukar. Memang pantang baginya. Cuma sedikit kelonggaran yang diberi pada Maria, untuk merakam dan menonton filem seram “Nilalang”. Itu pun kerana Aaron tahu mustahil bagi Maria menonton filem terbaru Filipina yang berbahasa Inggeris, Jepun dan Tagalog di negara ini. Apa yang lebih menghairankan, takkan Maria, seorang penganut Katolik yang devout memilih channel keagamaan?

 

Telefon Aaron bergetar. Pantas tangannya menyambung talian.

 

“Hello, Boss. Did you call me tadi?”, tanya si pemanggil.

 

Yes I did. Huda, what took you so long untuk call I balik?”, soalnya kepada si PA.

 

I’m very sorry, Mr Aaron. Tadi saya tengah bancuh susu anak”, balasnya.

 

Aaron menghela nafas panjang. Dia harus bersabar. Isu keluarga jangan dibuat main.

 

“OK, Huda. I nak tanya, what happened to Maria?”.

 

“Eh? Boss tak terima mesej dari saya semalam?”.

 

Message? What message?”.

 

“Maria dah resigned. So, the maid agency dah hantar her replacement. Hidayah namanya. Semalam dia dah mula mengemas apartment Boss”, jawab si PA.

 

What do you mean by Hidayah? I taknak Hidayah. I kan dah kata I cuma nak maid dari Filipina?!”, jerkah Aaron. Andai gagang telefon itu boleh berkata-kata mungkin ia juga akan mencemuh Aaron kerana jerkahan yang mampu memecahkan gegendang telinga.

 

But, Boss.. She is from The Philippines”.

 

“Celah mana pula datangnya Hidayah dari Filipina?”, soal Aaron. Hatinya masih panas membara. Soalan yang sekadar retorik tidak disangkanya pula mengundang jawapan.

 

Not sure lah, Boss. Maybe dari southern parts. Orang Sulu, kot?”.

 

Aaron terkedu. Baru dia teringat di sana juga ada Muslim.

 

OK, regardless of from mana pun dia datang, get her fired! Pronto!”, arah si jejaka.

 

“Tapi, Boss…”.

 

No more tapi tapi! Tell the agents yang nak orang similar macam Maria. Get it done, or else, you tak payah masuk kerja once I balik dari Korea! Faham?”. Suaranya yang tinggi memberi arahan bagai sesuai benar untuk dijadikan ketua skuad kawad.


 

Huda terkedu. Dalam pasrah dia cuma mampu menyahut “OK, Boss”.

 

Huda sebenarnya memang faham benar mengapa Maria berhenti secara tiba-tiba. Wanita yang sudah berumur itu selalu bersembang dengannya melalui panggilan telefon. Maklumlah, Huda ialah PA Aaron, jadi dia merupakan kunci dan akses untuk sebarang keputusan melibatkan apartment itu semasa ketiadaan Aaron. Setahu Huda, si pembantu rumah yang amat taat agamanya sudah tidak tertahan mengemas unit penthouse itu. Sifat bosnya yang gemar mengendalikan parties di kediamannya, selalu berakhir dengan botol-botol arak yang bergelimpangan di serata penjuru. Lebih teruk lagi, Aaron memiliki seorang sahabat rapat bernama Tan yang gemar menumpang di bilik spare selepas parti, atau apabila bos Huda outstation. Maria pernah memberitahu Huda yang dia mencurigai yang Tan menggunakan bilik berbalkoni indah itu sebagai love nest. Pernah Huda dimaklumkan oleh Maria yang dia sudah beberapa kali menemui pakaian dalam wanita dan ‘getah terpakai’ di bilik itu. Namun, Huda tidak mampu memberitahu bosnya, kerana dia memang maklum Aaron benar-benar rapat dengan si Tan.

 

Sambil matanya terpaku di skrin televisyen, minda Aaron kembali menerawang. Dia mencongak-congak merencana apa yang perlu dilakukannya di Korea Selatan. Setibanya di Incheon, dia akan ditemani dua warga republik itu itu melawat shipyard mereka. Gonsang City, ya,itulah nama bandar yang akan dilawatinya. Lawatan yang penting, untuk membina kesepakatan dalam melobi kontrak pembekalan kapal pemasangan paip untuk Pipe Replacement Programme yang akan berlangsung sepanjang beberapa ribu kilometer di dasar laut kawasan OPM (Operation: Peninsular Malaysia). Paip-paip besi yang makin berkarat sabanhari dimamah air laut yang masin. Jika berjaya, bolehlah Aaron menyusun langkah untuk projek-projek yang serupa di kawasan OSB dan OSK yang meliputi Sabah danSarawak.

 

Ah, selepas pulang nanti, dia perlu pula berjumpa dengan kumpulan ‘abang kupiah  dan teman-teman’. Kumpulan hipokrit yangkurang digemari Aaron kerana merekalah yang paling cepat mengingatkan pelawat ke pejabat mereka di ibukota bahawa tidak boleh memakai skirt berukuran lebih pendek dari lutut, tapi bila diluar... hancur! Merekalah yang paling cepat membuka kupiah bila mengetahui malam tu ada ‘ziarah’ ke KTV. Mereka juga yang paling seronok 'bermain golf' di Bali. Maklumlah, caddy di sana semuanya wanita jelita yang muda-muda belaka. Bahkan ada yang mungkin lebih muda dari anak bongsu ‘abang-abang kupiah’!

 

Namun, bagiAaron, dia terpaksa, atas desakan kerja. Jika itu yang perlu dilakukan untuk dapatkan projek-projek besar, apa salahnya. Asalkan ‘abang-abang’ itu tidak memintanya memakai skirt, cukup.

 

Aaron menyalakan rokoknya. Dihelanya panjang. Disedut mendalam. Dia teringat, masih ada ramai juga yang bekerja dengan jujur dan ikhlas. Insan sebegitu menyebabkannya berasa kagum. Bukan semua warga POMS tak semenggah akhlaknya. Sistem POMS itu juga bagus. Setiap staff yang bertugas tidak dikekalkan lama di tempat yg sama, untuk kurangkan bencana favoritism dan rasuah. Dasar tidak menerima sebarang hadiah dan sistem bidaan elektronik juga amat bagus. Pada Aaron, sejujurnya, sistem sudah sememangnya cemerlang, cuma tercemar dek manusia yang tamak.

 

Sekali lagi disedutnya silinder racun bercukai dengan sekhusyuknya. Aaron terfikir, apakah dia juga bersalah? Jika tiada si pemberi, masakan adanya penerima. Tapi, kalau pihak yang lagi satu tidak meminta rasuah, siapa pulak yang mahu memberi? Ah, makin serabut kepalanya dibuatnya.

 

Dia menyedut rokok buat kali yang terakhir. Semakin cergas fikirannya. Padanya,manusia ini kadang-kadang umpama minyak. Ada yang sweet crude, kurang hidrogen sulfida dan karbon dioksida di dalamnya, namun ramai juga yang sebaliknya. Warna luaran sama gelapnya, tapi kualiti di dalam siapa yg tahu? Barangkali, itulah pepatah baru darinya, hadiah untuk dunia oil and gas. Mungkin boleh dibukukan, jika dia semasyhur Amran.

 

Rokok dimatikan. Dia mengerling jam di tangannya. 9:25 pagi. Dia harus turun segera. Dicapainya bagasi dan dokumen untuk penerbangan awal pagi esok. Aaron bergerak ke arah pintu utama. Dia berharap lif di pagi hari akan muncul awal di aras penthouse.

 

* * *

 

Assalamualaikum warahmatullah…”.Kelihatan seorang lelaki Muslim warga Thailand baru usai memberi salam. Janggutnya diusap. Dia bersyukur, dapat juga dia menunaikan solat Dhuha di masjid yang terletak di daerah Sepang ini. Lelaki itu mengambil begnya untuk berkemas. Dia teringat yang dia harus melaporkan diri di balai polis berhampiran. Laporan berkala untuk pengutip derma warga asing sepertinya.

 

Lelaki berjanggut itu melangkah ke temannya yang masih lena dibuai mimpi. Temannya itu bukan dari Thailand dan bukan pula warga Malaysia. Entah dari mana, tidaklah pula dia pasti. Agak sukar berbicara dengan temannya yang berkulit gelap ini kerana dianya tidak mampu berbahasa Melayu atau Inggeris. Apa yang dia pasti, temannya itu bernama Raheem.

 

Berbeza pula halnya dengan lelaki yang berjanggut. Warga Thailand berketurunan Melayu ini datangnya dari Amphoe Tak Bai, sebuah daerah di Wilayah Narathiwat. Datangnya ke Malaysia untuk mengutip derma pembaikan masjid di kampong asalnya. Salah sebuah kampong yang terkandung dalam ‘tambon’(atau sub-daerah) Phrai Wan. Amanah ini dijunjungnya dari Tuan Imam yang juga ketua kampungnya, 'Phu Yai Ban' Haji Abdul Malik. Atau nama Siamnya, Surin Sriyankem.

 

Temannya itu membuka mata. Dia bingkas bangun dan memerhati sekeliling. Sedikit ketakutan. Warga Thai itu kehairanan. Tetapi, memang itulah yang selalu berlaku setiap kali temannya yang berkulit gelap ini apabila terjaga dari tidur.

 

Temannya bingkas bangun dan mengambil tuala yang dihulurkan. “Alhamdulillah”, katanya ringkas. Terus sahaja dia menuju ke ruang mandi masjid tersebut.

 

Raheem berjalan menyusuri ahli-ahli jemaah tabligh yang sedang di dalam sessi bayan. Jemaah yang mula-mula ditemuinya ketika mereka sedang berhimpun sebelum mereka berkhuruj. Biarpun Raheem tidak memahami apa yang dibacarakan di tika itu, dia pasti ahli jemaah yang sedang dipimpin amir itu sedang bermesyuarat dan mengatur aktiviti-aktiviti mereka. Pasti ada buzruq di kalangan mereka di Masjid Sri Petaling. Senior-senior yang membantu, memastikan mereka sentiasa berkeadaan tashihun niyah, memastikan segalanya bermula dengan niat yang bersih, semata kerana menimba ilmu dan redha Allah. Ada jemaah yang tersenyum melihat Raheem yang bagai termalu kerana terlalu lena tidur, sehingga dengkurnya mungkin mengganggu mereka yang sedang hanyut di lautan jazbah, maqam cinta yang tinggi terhadap agama. Namun, nyata mata-mata yang memandangnya tidak sedikit pun kelihatan marah. Nyata sifat ikramulmuslimin, memuliakan saudara seagama yang dipupuk ghast dan jaulah telah sebati meresap ke mata hati. Mereka inilah juga insan mulia yang sentiasa mempelawa musafir asing berdua untuk turut serta menjamu selera.

 

Raheem menolak daun pintu bilik mandi dengan perlahan. Dia berdehem untuk memastikan tiada insan mahupun haiwan seperti kucing sedang menggunakannya. Dipulasnya pili air. Turun bercucuran membasahi dirinya yang kini cuba sedang berkain pelikat. Alhamdulillah, semakin segar, getus hatinya.

 

Sahabatnya yang berjanggut kini berada di kalangan ahli jemaah. Sama-sama menimba ilmu dari ahli karkun yang datang dari segenap penjuru, yang membawa bersama mereka pengalaman dan cerita dari latarbelakang yang berbeza. Ada yang bergelar doktor, ada yang akauntan, bahkan ada jua yang berpangkat Datok! Namun di sini, di rumah Allah, semuanya sama. Sesuatu yang membuatkan Fadhil dari Thailand ini berasa amat selesa.

 

Ahli-ahli yang hadir mengimarahkan masjid sentiasa berpesan-pesan dan beringat sesama sendiri agar jangan sesekali lupa berterima kasih kepada imam dan anak-anak kariah masjid yang membenarkan mereka menumpang masjid. Sebagai tanda sembah takzim, acapkali mereka mencuci masjid, melipat sejadah dan memastikan keselematan.

 

Seusai mandi, Raheem berwudhuk. Dia jua mahu mengejar fadhilat memakmurkan rumah Yang Maha Esa. Ingin benar dia berDhuha.

 

Fadhil menoleh ke belakang, terlihat Raheem yang sedang berdiri untuk mengangkat takbir bagi set solat sunat yang entah ke berapa. Fadhil sedikit tertanya apakah identiti Raheem. Insan yang sudah lebih dari dua minggu menemankannya mengutip derma. Cuma apa yang dia tahu, Raheem juga seorang Muslim, yang lidahnya sentiasa dibasahi zikir “Lailahaillallah” dan kalimah hamdalah sepanjang masa.  Bagi Fadhil itu sudah mencukupi sebagai tanda identiti agama teman seperjalanannya.

 

Fadhil teringat, pernah ada ahli karkuntabligh yang bertanya mengenai Raheem. Mereka mengagumi kesungguhan Raheem dalam turut serta beristiqbal,membuat persiapan bagi menyambut ketibaan rakan-rakan tabligh yang baru sampai. Fadil cuma mahu mengangkat bahu. Pernah ada ahli karkun, Mujahid yang cuba berbicara dengan Raheem dalam bahasa Urdu, bahasa yang sempat dipelajari Mujahid ketika dia turut berkhuruj ke wilayah IPB dahulu. Ada pula yang mengujinya dengan berbicara dalam bahasa Hindi. Namun, semua umpama percakapan sang ayam dengan si itik. Seorang panjat pokok, seorang panjat tiang. Mencari titik pemahaman yang masih elusif.

 

Pernah juga mereka terdengar perbualan Raheem dan keluarganya melalui telefon. Mujahid berkata bunyinya seolah-olah mirip kepada bahasa Bengal atau bahasa wilayah Assam. Namun sedikit berbeza. Maka seorang karkun yang lain berteori mungkinkah si Raheem bukan dari India mahupun Bangladesh? Fadhil cuma mampu menzahirkan tandatanya yang turut sama menghuni hatinya.

 

Walaupun begitu,Fadhil sentiasa berdoa untuk sahabatnya yang seorang ini. Baginya, dia sedikit risau, kerana esok Fadhil harus pulang ke Thailand. Entah apalah nasib yang akan bertandang mengunjungi si Raheem.

 

Fadhil terdiam seketika. Ah, apa yang mahu dirisaukan jika sahabatnya cuma meletakkan Allah sebagai Pembela? Bukankah itu yang sebaiknya?

 

Tak semena-mena, insan dari Thailand tiba-tiba teringat pesanan sang guru. Pesanan yang menghapus segala ruang dan waktu.

 

“Fadhil, sebaik hadiah yang mampu kamu beri atau terima ialah sebingkisan doa. Lebih-lebih yang dilafaz secara tersembunyi”. Fadhil mengangguk keseorangan.

 

Masih terngiang di cuping telinganya pesan Haji Abdul Malik, “Jadilah kamu seperti Uwais bin ‘Amir. Hamba Allah dari Qaran, wilayah di Yaman yg juga dikenali sebagai Uwais al-Qarani.”.

 

Ketika ditanya pada sang guru, “Apa kelebihannya, Tuan Guru?”, hadirlah jawapan yang diiringi senyuman, “Dialah insan yang sedikit dikenali manusia tapi dicintai penghuni langit”.

 

“Terlalu istimewa, hingga namanya disebut dalam beberapa hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim sebagai insan yang doanya teramat makbul. Bayangkanlah, sehingga Rasulullah pernah memesan pada sahabatnya Saidina Umar, sekiranya bertemu dengan si Uwais pintalah padanya agar berdoa buat keampunan bagi insan lain”. Penerangan tentang insan yang sebelum ini tidak pernah Fadhil tahu kewujudannya.

 

Fadhil menoleh lagi. Raheem masih belum selesai bersolat Dhuha. Melihat rakannya masih belum bersedia untuk meneruskan perjalanan, dia mencapai sebuah kitab di rak. Kenalannya tadi dari kelompok tabligh tengah menyambut ketibaan beberapa rakan mereka yang baru tiba. Fadhil berasa bagai ada beberapa wajah karkun yang dikenalinya. Sekilas pandang, ada yang berwajah seperti penyanyi, ada juga yang kelihatan seperti seorang pengarah filem. Tetapi dia tahu, tiada apa yang mustahil, kerana kini ada juga insan seni yang semakin aktif mengikuti aktiviti tabligh. Ada juga yang telah berkarya, berdakwah dalam bidang mereka.

 

Fadhil menyelak helaian muka kitab Sahih Muslim. Beberapa hadis menangkap matanya. Ada yang membuktikan benarnya apa yang pernah dipesan oleh sang guru, “Ketahuilah olehmu, doa bagi sahabatmu yang kau rahsiakan dari mereka adalah antara yang terbaik. Setiap doamu itu akan diaminkan oleh para malaikat, dan malaikat-malaikat itu pula akan mendoakanmu, insya-Allah”.

 

Lantas diangkat tangannya. Ditadahkan dan diutuskan doa olehnya bagi keselamatan Raheem. Doa juga diucapkan agar tercapai sasaran kutipan dan diberi perlindungan pada insan-insan yang berderma.

 

Raheem baru selesai menunaikan duabelas rakaat solat Dhuha.

 

Alhamdulillah”, ujarnya. Dia bersyukur masih hidup di dalam Islam. Hatinya sedikit kesal kerana masuknya ke tanah yang bertuah ini bukanlah secara halal. Namun, bukan itu yang diidamkannya. Anak muda berdarah Rohingya ini terpaksa bertaruh nyawa, terjun dari tongkang yang menyeludupnya masuk ke perairan negara ini.

 

Masih terbayang di ingatannya wajah bengis dan perilaku ganas tekong kapal. Meskipun beberapa ribu telah dibayar untuk membantunya lari dari wilayah yang bergolak, si Rohingya dan rakan-rakan sekapal dengannya setiap hari diperas ugut. Diancam yang jika tuntutan tidak dipenuhi, akan diposkan pulang cebisan carik-carik sisa daging mereka ke kampong halaman. Layanan yang diberikan umpama mereka bukanlah manusia. Semenjak penjajahan dinasti di tahun 1785 lagi, etniknya dihambat dan dihapuskan oleh kaum majoriti Bamar. Andai bukan kerana dia perlu mengumpul dana untuk menyeludup ibu dan kembarnya pergi ke tempat yang lebih aman, pasti tidak akan sesekali dia sudi bersusah begini. Raheem benar-benar berharap ibunya selamat bersama Rahman.

 

Kadangkala terdetik dalam hatinya, apalah gunanya ada rakan senegara yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan jika keamanan dan perjuangan hak demokrasi itu tidak melibatkan kaumnya. Hina benarkah mereka? Bukan sahaja dinafikan hak pendidikan dan perkara asas seperti kerakyatan, kewujudan mereka juga cuba dinafikan sedari bermula pemerintahan junta tentera. Bagai tiada istilah ‘Rohingya’, yang ada cuma ‘etnik Bengali’. Suatu dasar keji yang menjadikan mereka ‘orang-orang asing’, tidak wajar dilayan seperti manusia. Umpama kelompok yang membentuk 5 peratus dari 50 juta penduduk ini makhluk halus. Tidak terzahir.

 

Raheem…”, laungan dari Fadhil, seraya tangannya melambai mendamba kehadirannya.

 

Mereka bersiap untuk hari terakhir kutipan derma. Permit kemasukan sudah tersantak ke hari yang terakhir. Tempoh maksima kemasukannya ke negara ini. Seperti biasa, mereka bersalaman dengan para jemaah lain di masjid. Fadhil memaklumkan diaakan menghabiskan hari terakhirnya di sebuah masjid lain berhampiran pekan Sepang.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi