Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,720
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 12

BAB 12: “RAWAT”


Pĕn pị mị̀ dị̂ ! Khuṇ koh̄k!”, teriak si wanita.

 
Dia sudah tidak peduli apa reaksi insan sekeliling, waima imejnya sebagai guru bahasa Inggeris termasyhur di kampung ini tercemar.
 
Impossible! You are lying! Liar! Liar!”, teriaknya lagi, meluahkan saki-baki rasa tidak percaya yang membuku di hati. Baginya, mana mungkin suaminya antara juruterbang tentera yang terbaik di matanya terkorban begitu sahaja. Ini pasti suatu penipuan!
 
Wanita itu terus cuba mengambil langkah ke hadapan. Ikutkan hatinya, mahu sahaja digahar ke dinding kepala pegawai pembawa berita di hadapannya. Mujurlah pinggangnnya dirangkul erat abangnya. Penumbuk yang dihayunkannya sekadar membelah angin.
 
Dalam penuh kesedihan, si pegawai di hadapannya kembali bersuara. “P̄hm s̄eīycı māk. I am very sorry. I am not lying. This is the truth, Madam”.
 
Dia yang tadinya meronta-ronta, akhirnya jatuh terjelepok. Wanita ini meraung-raung sambil tangannya berulangkali menepuk-nepuk tanah. Rambutnya yang tadi terikat rapi kini terlepas, mengerbang disaluti air dari lopak-lopak bercampur lumpur yang terpercik dek tepukannya. Hatinya remuk, musnah bagai disiat-siat menjadi kepingan-kepingan kecil yang akhirnya diinjak berita yang amat memilukan.
 
Setelah hampir sebulan lebih dia ‘berjuang’ menafikan perkhabaran terkorbannya si suami, dia akhirnya terpaksa akur. Utusan rasmi dari pihak berkuasa ini adalah bukti berakhirnya pengharapan. Adik-adiknya yang telah berada di situ menemaninya sejak kehilangan abang ipar mereka menekup telinga anak-anak kecil si balu agar mereka tidak terkejut dengan berita kematian ayah mereka. Namun, berapa lamakah berita itu mampu ditapis?
 
Beberapa insan mengerumuni cikgu wanita yang kini longlai terkapar. Seakan dia pasrah, tidak mahu diteruskan hidupnya selepas pemergian sang suami. Jiran-jiran setempat yang datang turut menitiskan airmata. Mereka yang tadi terpanggil untuk meninjau ke rumah si balu kerana kehadiran kereta besar dengan cermin bertinted hitam, entiti misteri, lebih-lebih lagi kerana ia menggunakan plet khas kenderaan milik tentera udara. Namun kini, jiran-jiran dan para pelajar dari kelas seni mempertahankan diri tomoi yang dihentikan mengejut turut kelihatan sugul.
 

Dan antara yang hadir adalah Fadhil. Dia yang sedang cuba mara ke hadapan menghentikan langkah dan berundur sedikit ke belakang, menjauhi kelompok insan. Telefon bimbitnya yang tiba-tiba berdering mendambakan perhatian segera.

 

“Assalamualaikum, Fadhil ke tu?”, soal si pemanggil. Fadhil menjauhkan seketika telefon dari telinganya. Ditelitinya lagi nombor si pemanggil, nyata dari seberang, dari Malaysia. Tapi suara si pemanggil bukanlah suara insan yang dikenalinya.

 

Fadhil menjawab seruan salam. Rupa-rupanya si pemanggil itu adalah seniman yang merupakan jemaah karkun tabligh yang ditemuinya di Dengkil tempohari. Si pemanggil bagai tergesa-gesa, kurang benar sapa bicara mesra, kerana ada berita utama buat si Fadhil. Tersentak anak muda warga Thailand itu mendengarkan perkhabaran sahabatnya, Raheem, yang baru sahaja admitted ke hospital.

 

Namun, baru sahaja ingin ditanya, talian terputus. Jantung Fadhil umpama terhenti, risau.

 
* * *

 

"Minta maaf, Tuan, cek nak habaq sikit. Spital ini tak bagi pakai henpon kat sini. Kalu Tuan nak buat call jugak, cek cadangTuan pi nun ujung sikit… Ha, kat balik pokok sana tu OK. Bukan apa, nanti kalu doktor atau misi mai sini, naya cek kena sembuq nanti. Cek mintak mahap la no".

 

Si seniman mengangguk dan bergerak ke tempat lebih jauh untuk kembali membuat panggilan. Di belakangnya, si jaga menarik nafas lega. Dia yang baharu mula bekerja di situ tidak mahu kehilangan jawatannya. Inilah sahaja mata pencarian yang membantu ibunya yang gigih menjual pau di tepi jalanan di ibukota.

 

* * *

 

Setelah pertemuan dengan Abu Sufiyyah di Kafe Sahabat tempohari, Haron semakin mengerti bahawa Pak Bakti adalah antara insan paling dihormati di atoll ini. Kunjungan demi kunjungan ke rumah yang tidak berpagar ini bukti penghormatan pada insan tua dan ilmunya. Setiap soalan disantuninya dengan baik, dijawap bersama hujahan yang menyokong, lengkap disertai nombor ayat suci mahupun taraf kesahihan hadis. Jelas, bagi Pak Bakti, agama bukanlah sesuatuyang semata berdasarkan akal dan rasa.

 

Insan tua itu juga seorang yang tertib menjaga solat dan wudhuknya. Kerap benar Haron melihat Pak Bakti mengisi masa lapangnya dengan zikir dan solat-solat sunat. Dan dari perbuatannya itulah membuatkan Haron rasa terpanggil untuk kembali mempelajari dan mendalami ajaran deen yang syumul ini. Masih teringat buatnya, tika ditanya cara berwudhuk, didatangkan hujahan tuntutan mencuci muka, kedua belah tangan hinga ke siku, sebahagian kepala dan kedua-dua kaki meliputi buku lali, seperti yang tercatit di dalam ayat keenam surah al-Ma’idah.

 

Semakin hari semakin Haron terkagum dengan tuan rumah yang ditumpangnya. Ilmunya yang tinggi dicantikkan lagi dengan keramahan budi pekerti. Pada Haron, memang jelas Pak Bakti disegani dan disayangi keseluruhan penduduk atoll, baik yang beragama Islam, mahupun yang lain-lain. Dan hari ini juga tiada bezanya. Haron dimaklumkan yang Doktor James akan berkunjung ke rumah Pak Bakti sebentar lagi. Bukan sekadar untuk memeriksa keadaan Haron, bahkan untuk menziarahi pak tua.

 

“Silakan masuk, Doktor”.

 

Haron menjenguk ke luar. Ah, rupa-rupanya, Pak Bakti menyapa doktor tiba. Diintainya lagi keluar, kalau-kalau ada insan lain yang turut hadir. Tiada insan lain selain seorang wanita yang sedang mengekori doktor. Kereta juga tiada. Nyata, insan berdua ini barangkali sekadar berjalan kaki ke mari. Maklumlah, pulau ini juga tidaklah terlalu luas.

 

“Apa khabar, Pak Bakti?”, soal si doktor.

 

“Baik. Alhamdulillah. Doktor James pula macamana? Sihat?”.

 

I’m good. Thanks”, balasnya. “Ah, Haron… How are you? Feeling better?”.

 

Yes, Doctor. I’m much better now. Terima kasih”.

 

Oh, by the way, Haron, this is my wife, my Venus”. Doktor James memperkenalkannya kepada seorang wanita berbangsa India. Haron mengangguk dan menyambut salam yang dihulurkan.

 

Pak Bakti muncul setelah merapatkan daun pintu. Dia memberi senyuman dan sedikit tunduk hormat pada si isteri. Haron terasa janggal, barangkali dia juga tidak perlu bersalaman. Bersalaman bukanlah satu-satunya cara menunjukkan hormat, lebih-lebih lagi di antara mereka yang bukan mahram.

 

“Parvathi, saukiyema?”, tutur pak tua.

 

Sari. Saya OK-OK sahaja, Pak Bakti”, balas isteri sang doktor. “Pak Bakti pula apa khabar? Nienga?”.

 

Pak Bakti tersenyum. “Alhamdulillah, saya sihat. Nan saukiyema yirekeren”.

 

Mendengarkan perbualan mereka berdua, Haron terlopong. Bahasa apa yang mereka gunakan? Bahasa Tamil?Sejak bila pula pak tua tahu berbahasa itu?

 

“Parvathi, kenapa kamu kelihatan macam kurang bermaya, tak sihat ke?”, soal Pak Bakti yang perihatin.

 

“Saya… rasa mual. Loya-loya sedikit”, jawabnya. Mukanya sedikit kemerahan.

 

“Kamu mengandung ke?”. Memang cekap mata pak tua ini. Reaksi muka malu-malu kucing si isteri bagai isyarat yang nyata buatnya.

 

Si isteri sekadar mengangguk. Mukanya semakin merah apabila terlihat wajah suaminya Doktor James yang sedang tersengih bangga.

 

Nijamavaa? Betul ke?”, soal pak tua umpama tidak percaya.

 

Si isteri mengangguk lagi. Kali ini, sang suami juga turut mengangguk, sambil mengukir senyuman yang semakin lebar.

 

Paaraattukkal! Tahniah!”. Ucapan kegembiraan Pak Bakti disusuli ungkapan terima kasih pasangan suami isteri tersebut.

 

“Doktor James, kamu kena jaga si Parvathi ni elok-elok”. Doktor itu sekadar mengangguk tanda setuju. “Hah, kamu, Parvathi, tak perlu lah rajin-rajin sangat temankan suami kamu ini bertugas. Lagipun, bukankah ada dua jururawat untuk membantunya?”, sambung Pak Bakti. Gayanya persis ayah menasihati dua anak muda.

 

Si isteri terfikir memang dia kini semakin cepat penat. Meskipun baru di trimester awal mengandung, rasa mualnya menjadi-jadi. Namun, bukannya dia tidak mahu berehat, cuma dia kurang betah membiarkan suaminya bertugas merawat penghuni pulau tanpa dia di sisi. Barangkali, itulah pembawakan dari namanya, yang bererti dewi cinta, kesuburan dan kasih sayang di dalam mitos Hindu.

 

Tanpa disedarinya, sang suami telah pun memulakan pemeriksaan pada Haron. Ditelitinya rapi luka-luka di kepala, jari-jari dan di bahagian-bahagian lain badan. Si doktor mengukir senyuman, pesakit ini semakin sembuh fizikalnya, meskipun memorinya masih belum pulih. Mungkin, gegaran yang kuat di kepala atau trauma yang dialami melambatkan pulangnya ingatan. Namun, sekurang-kurangnya semua deria dan organ motor Haron sudah semakin pulih.

 

“Pak Bakti, macamana vade yang saya bagi the other day? Sedap?”, si isteri memulakan bicara ringan. Sekurang-kurangnya, perbualan mampu mengalihkan perhatiannya dari rasa mual. Lagipun, dalam keadaannya sekarang, tidak banyak bantuan yang mampu diberikan pada sang suami.

 

“Sedap!”. Pak Bakti teringat kelazatan bukan kepalang homecooked kacang kuda, cili, garam dan bawang merah. Ramuannya mudah tetapi persediannya memerlukan ketelitian ketika melecekkan kacang kuda yang sudah direndam.

 

Unakku idhu pidikkuthaa? So, do you like it?”.

 

“Ya, suka sangat. Enakku idhu romba pidikkuthu”. Pujian Pak Bakti membuatkan si isteri tersenyum gembira. “Romba nandri. Terima kasih banyak-banyak”.

 

Paravaa illa! Sama-sama”.

 

Si isteri menoleh apabila Doktor James memanggilnya. "Venus, come, we have to leave soon, darling. Nanti tak sempat catch the ferry to West Island. Lambat pula nanti untuk buat ultrasound”. Wanita itu bergerak perlahan ke arah suaminya yang sudah menghampiri pintu.

 

Suaminya menghulurkan tangan bersalaman dengan Haron dan Pak Bakti. Isterinya pula sekadar memberi sedikit tunduk hormat sebelum mereka meminta diri untuk bersegera ke jeti.

 

“Doktor, Parvathi, nanti jangan lupa, ya? Ada kenduri hujung minggu ni. Kenduri doa selamat isteri Ahmad yang nak bersalin”, kata Pak Bakti.

 

“Oh, OK. I almost forgot. Kat mana ya, Pak Bakti? Buat di masjid, atau…”.

 

“Buat kat rumah ayahnya, Doktor. Alah, kat simpang Jalan Kipas dan Jalan Kembang Molok itu. Rumahnya kan tengah renovate?”, jawab Pak Bakti.


“Jangan risau, Parvathi, kenduri ini hanya ada ayam dan lauk-lauk lain, tiada daging lembu”, sambungnya, memberi jaminan toleransi pemakanan.

 

 Seusai pemergian mereka, Haron berpaling melihat ke wajah Pak Bakti.

 

“Saya tak tahu pula Pak Bakti boleh berbahasa Tamil”.

 

Pak Bakti tersenyum. “Dah kamu tak pernah tanya, macamana nak beritahu?”.

 

Haron mengangguk sendirian. Fikirnya, ada betul juga jawapan Pak Bakti tersebut.

 

“Pak Bakti, siapa Venus? Bukan ke nama isterinya Parvathi?”.

 

“Betul, namanya Parvathi. Namun, Venus tu nama timangan yang diberi suaminya”.

 

“Oh, nama manja lah,eh?”, soalnya lagi.

 

“Ya. Lagipun, maknanya sama sebagai dewi cinta dalam mitologi bangsa Rom. Parvathi itu pula dewi cinta dalam kepercayaan Hindu”.

 

“Oh, begitu…”.

 

“Itulah pentingnya nama. Haruslah membawa makna yang cantik, bukan sekadar sedap disebut. Nama itu doa…”, ucap Pak Bakti. Haron mengangguk setuju. “Contohnya, macam nama doktor itu tadi. Doktor James Bartolomeo Cavaceppi, nama yang sesuai benar. Kehebatannya mengendalikan kelengkapan perubatan laksana cerminan watak pengukir bersejarah yang sama nama dengannya. Nah, sebab itu Pak Bakti tak setuju Ashaari dipendekkan menjadi Ash. Bukankah ‘ash’ itu bererti ‘abu’? Bak kata orang Melayu dulu-dulu, menang jadi arang, kalah jadi abu”, jelasnya lagi.

 

Haron mengangguk lagi.

 

“Tapi, saya tak sangka pula Pak Bakti mahir berbahasa Tamil?”.

 

Wajah Pak Bakti yang sentiasa manis semakin berseri dengan senyuman terukir. “Alhamdulillah, bolehlah sikit-sikit. Ianya penting dalam menjaga silaturrahim, waima dengan mereka yang bukan, atau belum memeluk Islam. Siapa tahu, ikhtiar kita itu mungkin dikira sebagai sebahagian dari dakwah?”.

 

“Tetapi, kamu kena ingat, Haron, dalam kita bertoleransi, jangan sesekali sehingga kamu redha dengan akidah yang lain. Ingatlah bahawa Allah berfirman di dalam ayat ke-19 surah Ali Imran bahawa agama kita adalah satu-satunya yang diredhai-Nya. Lagipun, dalam ayat ketiga surah yang kelima pula Dia telah berfirman bahawa telah dilengkapkan Islam sebagai agama, sebagai deen buat seluruh insan”.

 

Haron terdiam. Fikirannya menerawang, memang jelaslah ada sebabnya dia dihantar ke rumah ini. Si empunya rumah umpama kitab yang bergerak.

 

“Jadi, dalam apa sekalipun yang kita buat, pasangkanlah niat yang betul. Insya-Allah, setiap usaha yang dipacu niat ikhlas mencari redha-Nya akan dinaungi keberkatan kerana kasih sayang,  Allah melebihi kemurkaan-Nya.

 

Pak Bakti lantas melantunkan sepotong ayat suci dari surah Az-Zumar. Dia kemudiannya membacakan hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu‘anhu:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Tatkala Allah menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.”

 

Entah mengapa, hati Haron amat tersentuh dengan hadis yang satu ini. Meski dia tidak mengetahui sejarah silamnya, dia pasti tattoo dibadannya bukanlah cerminan insan yang berkelakuan baik. Namun dia bersyukur, hadirnya di sini umpama merawati jiwa. Beruntung benar dia berkenalan dengan Pak Bakti, insan berilmu tinggi yang tinggi pekerti. Mesra dengan sesiapa apatah lagi jiran tetangga. Namun dia tetap tegas dalam lembutnya. Gabungan indah seorang daie, hingga lebur benteng pemisah antara kaum Muslimin dan yang lain-lain. Dalam diam, Haron turut tertanya-tanya, mengapa tidak pernah pula sekalipun dilihatnya Abu Sufiyyah di masjid? Apakah dia juga belum Islam?

 

* * *

 

Pak Bakti kelihatan segak berbaju Melayu berona putih. Sesekali, terlihat giginya yang putih tersusun rapi apabila dia tersenyum mendengar perbualan antara Tuan Imam dan Pak Ahmad. Gembira bukan kepalang insan yang bakal menimang cucu ini. Apatah lagi bila insan itu mendengar dari anaknya, Ahmad bahawa isterinya itu bakal melahirkan anak kembar.

 

Seusai bacaan Yaasin dan doa selamat, tuan rumah mula menghidangkan makanan tengahari. Doktor James yang tadinya berada di bawah khemah dijemput masa dan bersantap bersama tokoh-tokoh kepulauan ini. Isterinya, Parvathi pula tidak kelihatan. Barangkali, makin kuat dugaannya mengandungkan anak mereka yang sulung.

 

Sambil menjamu selera, satu-persatu topik dibualkan. Semuanya berbentuk santai, sehinggalah tiba-tiba bicara dari mulut Salul menyentak perhatian ketiga-tiga tokoh.

 

“Alah, vaksinisasi itu tidak penting. Lagipun, boleh mencederakan aqidah, bergantung kepada sesuatu selain-Nya”, ucap Salul.

 

Astaghfirullah…”. Istighfar yang terucap serentak dek Pak Bakti dan Pak Sufi mengejutkan insan sekeliling. Doktor James yang tadinya sedang cuba mencapai nasi tambah turut terhenti di tengah hajatnya.

 

Pak Bakti menegur, katanya itu tidak tepat. Meskipun dia tidak berani menjatuhkan hukum kerana ilmunya tidak sampai ke taraf itu, dia berhujah bukankah vaksinisasi itu sebahagian dari ikhtiar? Tuan Imam mengangguk. Kata Pak Sufi, selain dari mengamalkan pemakanan yang diajarkan sunnah, Islam tidak pernah melarang kita mengambil langkah proaktif sekiranya vaksin itu suci dari najis, lebih-lebih lagi jika wujud perihal pentingnya mengambilnya.

 

“Tapi, itu macam mahu melawan takdir!”, bantah Salul. Kelihatan anggukan Ash di sisinya.

 

Astaghfirullah. Bawa mengucap, Salul. Bawa mengucap. Istighfar banyak-banyak. Kita tidak mampu melawan takdir. Segala apa tindakan kita ini berjalan hanya dengan izin dan di dalam pengetahuan-Nya. Tiada istilah ‘cheating death’ kerana segala apa yang telah, sedang dan akan berlaku memang telah diketahui-Nya”.

 

Pak Bakti menyambung lagi, “Terciptanya vaksin dengan izin-Nya, usaha kita mengambil vaksin juga dengan izin-Nya, sembuh atau tidak itu juga dengan izin-Nya. Apakah kamu ingin mengatakan Tuhan tidak tahu apa yang kamu hendak lakukan? Atau kamu rasa Tuhan tidak mampu menghalang apa yang ingin kamu lakukan? Sejak bila pula kita mengetahui apa yang tertulis di dalam takdir kita? Ingatlah, kita hanya berusaha, namun tiadalah usaha kita itu mampu memberi bekas kerana segala takdir berada di dalam genggaman-Nya”.

 

Salul tertunduk.

 

Mendengarkan kata-kata pak tua, ada insan yang mengumpul keberanian lantas bertanya, benarkah Islam membenarkan atau menggalakkan pengambilan vaksin?

 

“Cuba kamu fikir… Secara ringkasnya, sedangkan jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah juga perlu mengambil vaksin. Bukankah itu sebahagian dari ikhtiar? Kalau nak diikutkan, bukankah jemaah itu semuanya ke sana untuk menyambut panggilan-Nya? Duyufur Rahman? Siapakah yang mampu melindungi tetamu-Nya selain Allah sendiri?”, jawab Pak Bakti.

 

Kini giliran insan yang lain bertanya pula, “Pak Bakti, betulkah ada fatwa yang spesifik?”.

 

Pak tua berdiam seketika. Dikeluarkan telefon bimbit dari koceknya. Dibeleknya seketika, mencari folder tempat simpanan nota-nota yang istimewa buatnya. Lagaknya itu membuat hadirin yang lain tersedar, benarlah kata Pak Bakti, telefon hanyalah sebuah alat, manusialah yang menentukan penggunaannya ke arah lagha atau sebaliknya.

 

“Alhamdulillah”, ucapnya. Diketemuinya juga nota yang berkaitan, cuma sayangnya, kesemuanya dari Malaysia. Maklumlah, negara itu memang aktif mengkaji dan membincangkan hal-hal sebegini sebelum dibuat keputusan, rujukan buat kemaslahatan ummah.

 

“Ada beberapa fakta yang menyokong”.  Dia merenung wajah penanya sebelum disambungnya lagi, “Contohnya dalam isu kanser rahim, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-92 memutuskan pada Disember 2010 bahawa hukumnya harus. Begitu juga bagi Vaksin Meningococcal Meningitis, Muzakarah kali ke-53 yang bersidang pada bulan November 2002 juga memutuskannya harus, sekiranya sumber vaksin dari lembu, dan haram jika sumbernya dari khinzir”.

 

“Bagaimana pula halnya vaksin bagi anak-anak kecil? Vaksin 5 serangkai?”, soal lanjut si penanya.

 

“Maksud kamu, imunisasi bagi Difteria, Tibi (Batuk Kokol), Campak, Tetanus dan Polio?”, soal balas pak tua. Si penanya mengangguk mengiyakan. Meskipun tidak diingatnya nama khusus penyakit-penyakit, dia seakan yakin itulah lima penyakit yang disasarkan.

 

“Untuk yang itu, pada bulan Jun 1989, Muzakarah kali ke-24 juga telah menghukumkannya harus”. Pak Bakti menyambung lagi, “Sebelum itu, pada Muzakarah ke-22 tahun sebelumnya pula telah membincangkan imunisasi Hepatitis B. Mereka berpendapat imunisasi yang dihasilkan daripada ragi adalah tidak najis dan harus”.

 

Perhatian pak tua beralih pula kepada sahabatnya yang seakan ingin bertanya sesuatu. “Jadi, kalau begitu, selagi ianya tidak najis, apakah semuanya harus? Takde kah vaksin yang diputuskan sebaliknya?”, tanya Pak Sayang.

 

“Ada”. Jawapan pendek Pak Bakti membuatkan hadirin semakin tertarik untuk tahu.

 

Terang Pak Bakti, dalam Muzakarah kali ke-81 yang bersidang dalam bulan Mac 2008, telah diputuskan pengambilan adalah tidak dibenarkan untuk Vaksin Biothrax dan Vaksin Rotateq. Hujahnya adalah kerana tiadanya unsur darurat dan adanya penggunaan unsur babi dalam proses penghasilannya.

 

Hadirin mengangguk. Pencerahan ini merungkai beberapa persoalan masakini.

 

“Kalau macam itu, baguslah, bila dah guna vaksin, pasti dah tak kena penyakit!”, ucap seorang daripada mereka.

 

Pak Sufi pantas menegur, mengingatkan sekali lagi bahawa segalanya cuma ikhtiar. “Walau erat genggamannya, tapi andai bukan takdir kita, pasti terkena jua”, ucap tuan Imam tersebut, bagai bermadah.

 

“Imam, kalau macam itu, apa beza usaha dengan tak usaha?”.

 

Tuan Imam tersenyum seraya berkata, itulah indahnya takdir dirahsiakan dari kita. Sekiranya kita tahu, pasti ada yang tidak mahu berusaha. “Lagipun, bukankah kita dituntut agar sentiasa berusaha, sentiasa bermujahadah?”, soal Pak Sufi. Sambungnya lagi, sedangkan nabi-nabi terdahulu pun semuanya berusaha, berikhtiar dan berkerja. Tidak pula mereka sekadar menadah tangan berdoa dan secara membuta mengharapkan takdir. Antaranya, ada insan-insan terpilih itu yang menjadi gembala kambing, tidak lupa pula ada yang menjadi tukang kayu dan ada yang berniaga.

 

So, kalau dah ramai yang telah divaksin, kenapa nak ribut tentang mereka yang memilih untuk tidak memvaksin? Bukankah nanti takkan berjangkit pun dari anak yang tak bervaksin kepada insan lain?”, soal Ashaari, keras. Benang yang basah masih gigih ditegakkannya.

 

Kedua-dua Pak Bakti dan Pak Sufi terdiam. Pandangan mereka dialihkan ke wajah Doktor James yang turut ada di majlis itu.

 

“Imunisasi melalui vaksin itu penting diambil semua orang. Barulah boleh dibentuk dan dikekalkan herd immunity”, tutur insan berkulit putih tersebut.

 

Jawapannya disusuli soalan hadirin tentang apakah yang dimaksudkannya. Dengan wajah yang serius, Doktor James menerangkan herd immunity itu bermaksud ketahanan komuniti secara berkelompok. Sambungnya lagi, “Dalam mana-mana masyarakat, akan tetap ada insan-insan yang tidak boleh divaksin. Mungkin kerana alahan teruk atau kerana telah sediada memiliki beberapa penyakit tertentu. Ataupun, mungkin they’re too young menyebabkan mereka belum sempat divaksin, since vaccination is done based on age”. Penjelasannya membuatkan beberapa insan mengangguk. Jadi, ujar si doktor, insan-insan ini bergantung kepada herd immunity, untuk mengurangkan risiko pendedahan mereka.

 

Ashaari masih tidak berpuas hati. “Ah, ini semua dakyah, konspirasi Yahudi. Mana ada mereka ambil vaksin? Ini semua tipu!”.

 

Doktor James menjegilkan matanya. Mukanya merah bernyala. Dengan nada yang tinggi disoalnya, “Where do you get these lies, Ash?”.

 

Ashaari diam terkebil-kebil. Semua orang yang hadir merenung wajahnya. Namun begitu, di dalam hati beberapa hadirin, masih ada yang memiliki sekelumit rasa percaya pada apa yang didakwanya.

 

Based on what I know, baru-baru ini, semasa World Immunization Week anjuran WHO, ada laporan stating that about 95% dari anak-anak warga Israel telah diimunisasi”, kata si doktor.

 

Sambungnya lagi, “Furthermore, from what I heard from some doctors that I met during simposium perubatan antarabangsa, kerajaan rejim itu ada sediakan at least 1000 klinik vaksin percuma. You see, walaupun territories under their occupation yang seluas 22 ribu kilometer persegi didiami 8 juta penduduk, itu bererti, secara purata, ada sebuah klinik vaksin bagi setiap 8000 penduduk, or about one klinik vaksin yang aktif bagi setiap 22 kilometer persegi!”. Faizal yang turut hadir di situ terkejut dalam diam. Berdasarkan congakannya, 22 kilometer persegi itu cuma besar sedikit dari keluasan seluruh atoll Cocos (Keeling) Islands ini, namun mampu menempatkan hampir sepuluh kali ganda penduduk.

 

Doktor James diam seketika. Dia seumpama cuba mengingati sesuatu dari memorinya. Penduduk pulau tertunggu butir-butir kata yang seterusnya.

 

“Ah, those Pusat Kesihatan Keluarga is called Tipat Halav! Or maybe juga dipanggil Tipat Chalav. If I tak silap, ada about 15 jenis penyakit yang cuba dicegah melalui vaksin for each babies until mereka berusia 12 tahun”. Si doktor membetulkan duduknya. “If the regime yang dihuni more than half of kaum Yahudi telah membuatkan hampir kesemua mereka divaksinkan, how can it be true dakwaan yang bangsa itutidak mengambil vaksin?”.

 

Muka Ash merah padam. “Habis tu, kenapa ada ribuan rakyat Palestin yang tidak divaksin?”.

 

Doktor James hanya menggeleng tanda tidak tahu. Dia cuma mampu meneka, mungkin kerana rejim itu tidak menawarkan vaksin atau mungkin kerana faktor politik. “Or perhaps, kerana tiada jaminan vaksin itu dari sumber yang suci?”, katanya lagi sambil menoleh ke arah Pak Bakti.

 

"Wallahua'lam, saya juga kurang pasti", jawap pak tua. “Tapi kalau kita memang menetap di negara yang mana vaksin itu sudah dikaji dan disahkan tidak najis oleh ulama, kenapa masih mahu ragu-ragu? Bukankah nikmat ilmu itu juga pemberian dari-Nya? Jangan sampai bongkak tidak mahu mensyukuri nikmat yang diberi”.

 

"Ash, Salul, kamu berdua dulu tak kena vaksin ke?”, celahan seorang penduduk pulau.

 

Ash menjawab bahawa dia dulu turut divaksin. Salul juga mengangguk.

 

“Habis tu, kenapa korang bebal semacam je?", soal lanjut insan tadi.

 

Belum sempat Ash menyambung bicara, sekali lagi dia diherdik insan yang sama. "Dah tu, yang kau beriya sangat taknak vaksinkan budak-budak kecik ini kenapa?".

 

Ash terdiam.  Begitu juga Salul.

 

"Kalau gitu, esok lusa, bila kau dah ada anak dan kau taknak vaksin, pergi pindah jauh-jauh! Pindah masuk gua. Tutup pintu gua ketat-ketat. Biar mampos satu keluarga, takde lah nak menyusahkan orang lain. Aku taknak anak-anak aku maybe sakit sebab kedegilan dan kedunguan kau!", sambung bicara insan yang sama.

 

Muka Ash semakin merah. Matanya bulat merenung insan yang memperlekehnya. Badannya panas, terasa bagai mahu sahaja dia menerkam, ditarik lidah dan disiatnya mulut celupar itu.

 

"Sudah. Sudah. Jangan berkelahi. Inikan majlis orang?", pintas Tuan Imam. Suasana yang semakin menegang kembali mengendur. "Walau apapun keputusan kamu, samada bervaksin ataupun tidak, jangan pula sampai diletakkan seluruh pengharapan kepada vaksin atau apa-apa ubat yang kamu guna. Tak kisah lah ubat moden mahupun yang tradisional!", sambung Pak Sufi.

 

"Benarlah kata-kata Tuan Imam. Sedar dan ingatlah, ini semua cuma ikhtiar. Hanya Dia yang mampu memberi penyakit dan Dia juga yang memberi kesembuhan. Beristighfarlah. Selawat banyak-banyak. Ayuh sama-sama kita doakan semuanya sihat dan selamat", ucap Pak Bakti.

 

Hadirin kembali tenang. Ada yang tertunduk malu. Imam merafakkan doa buat kesejahteraan.

 

Tuan rumah hanya mampu tersenyum. Meski tadi suasana sedikit tegang, namun dia bersyukur segalanya telah reda. Dalam diam, sang suami yang berdebar menanti kelahiran anak kembarnnya memanjatkan kesyukuran kerana secara tidak langsung, ilmu-ilmu tentang vaksin dari segi agama dan perubatan telah menguraikan sedikit kekusutan yang bersarang di mindanya. Baginya, dia memilih untuk berikhtiar demi kesihatan anaknya dan demi kesejahteraan komuniti. Lagipun, bukahkah kewajiban setiap ketua keluarga memelihara keluarganya dari terjerumus ke arah kebinasaan? Selebihnya, dia hanya mampu meletakkan pengharapan pada Yang Maha Berkuasa.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi