Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,721
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 11

BAB 11: “SAHABAT”

10:11 pagi (UTC+06:30), Sabtu, 2 Mac 2014, Kafe Sahabat, Pulau Selma (Home Island).

 

"Dua tiga kapal belayar di samudera, Ayuh sahabatku kita bergembira, Bermain bernyanyi bersama menikmati indahnya dunia, kerna..", kedengaran bait-bait lirik sebuah lagu diputarkan di corong sebuah radio. Sayang tersenyum, barangkali kerana intipati lagu itu. Barangkali jua kerana dia terlihat kelibat feri yang baru tiba dari West Island.

 

Empat wajah baru menyeberangi Jalan Pantai. Mereka berjalan beriringan, dengan sepasang darinya berpegangan tangan. Dari riak wajah si gadis yang menggayakan sepasang skinny jeans biru dan spaghetti top putih, dia umpama gelisah. Seperti ada yang tak kena. Setelah dikumpulkan semua bagasi, Akram dan tiga sahabatnya melangkah masuk ke kafe yang terletak tidak jauh dari jeti feri. Sayang dan ayahnya meninjau keluar. Dari jendela yang separuh ditutupi bidai kayu berukir, kelihatan kumpulan insan yang tadinya menaiki feri bertaburan menuju destinasi masing-masing. Ada yang kesibukan mengejar masa, tetapi ramai juga yang beraksi laksana masa adalah suatu kemewahan yang bisa dibazirkan sewenangnya. Mungkin pelancong, seperti juga kelompok remaja berempat ini.

 

Jejaka itu melabuhkan punggung di sebuah kerusi kayu. Dari mejanya, dia melambai  menjemput rakan percutiannya untuk berbuat sama. Tangan kekasihnya yang dipimpin tadi dilepaskan.


"Kreek", sebuah kerusi dari meja sebelah ditarik ke meja mereka. Beg sandangnya diletakkan, tangannya sekali lagi diangkat bagi melambai si pengusaha kedai, untuk memesan santapan pagi, sebagai pendamai perutnya yang kini mula berkeroncong seribu irama.

 

"Welcome to Home Island. Selamat datang di Pulau Selma", tutur gadis yang menghampiri mereka.

 

Akram menoleh. Terpana seketika melihat indahnya wajah yang menyapa mereka. Andai bukan kerana teman wanita di sisinya, mungkin dia akan mencuba nasib dengan si jelitawan ini.

 

“Nak order apa ya?”, soal si gadis.

 

Kelunakan suara yang dimiliki wajah indah membuatkan Akram dan seorang lagi jejaka dalam kumpulannya terpukau. Dengan serta-merta, kekasih Amran, temannya yang lagi seorang mencelah. Spontaneous combustion memang biasa berlaku apabila seorang gadis rasa tercabar dengan kemunculan gadis lain yang lebih menawan. Tindakbalas kimia semulajadi.

 

KAKAK, lagu ni familiar lah. Lagu tema dua budak botak tu kan?". Sengaja dikeraskan sebutan kalimah yang pertama. Biar Akram dan Amran tersedar gadis pengambil pesanan itu lebih tua dari mereka. Amaran berlapik juga sekiranya mereka tak sabar untuk dibotakkan jika terus menggatal.

 

“Ya, dik. Itu lagu ‘Sahabat selamanya’ dari kumpulan Padi. Lagu tema animasi Upin dan Ipin”, sahut Sayang.

 

Akram masih tidak mengerti amaran teman wanita si Amran. Dia terus bertanya bagaimana lagu berasal dari ribuan kilometer boleh mencecah ke atoll indah. Sebenarnya, bukanlah itu yang ingin sangat Akram ketahui. Dia hanya ingin mendengar lagi kelunakan suara insan baharu ini.

 

“Di sini, di Cocos(Keeling) Islands, kami kini boleh dapat beberapa saluran Malaysia dan Indonesia… Melalui satelit”.

 

“Oh…”, serentak Akram dan Amran mengangguk. Senyuman masih terlekat di bibir.

 

Berakit-rakit kita ke hulu, berenang-renang kita ke tepian, kita berbeza untuk saling mengisi segala kekurangan kita, menjadi…

 

“Dari mana? Malaysia ke?”, soalan Sayang memutuskan bait-bait lagu yang menyinggahi gegendang telinga Akram dan Amran.

 

“Ya”, balas Akram seraya tersenyum. “You dari mana? Memang orang sini ke?”.

 

I’m Akram, and you are…?”.Akram menghulur tangannya untuk bersalam. Sayang cuma tersenyum, namun tidak disambutnya tangan terhulur. Reaksi Akram dibalas jelingan maut dari girlfriendnya yang berspaghetti top putih. Rambutnya diselak, diikuti pautan kuat di lengan Akram agar lebih rapat kepadanya. Aksinya bagai sengaja membuat siku jejaka tersentuh lembut ke dadanya. Bagi kekasih Akram, dia berasa dirinya jauh lebih hot dan modern berbanding gadis pulau yang kekampungan ini.

 

Amran juga begitu, ternganga melihat Sayang. Namun tindakan teman di sebelahnya sedikit kasar, disikunya rusuk Amran. Amran berpaling, melihat teman wanitanya yang telah menyumbat earphone di telinganya. Barangkali, dia malas dan meluat dengan aksi-aksi menggatal.

 

Tiba-tiba keluar seorang pak tua menyapa empat pelanggan terawalnya pagi ini.

 

“Saya Pak Sayang. Ini anak saya, Sayang namanya”, ucap pak tua.

 

Kedua-dua jejaka yang melancong sedikit kepelikan dengan nama-nama yang disebut. Terang pak tua, itu sememangnya budaya di atoll ini.Kebiasaannya, apabila seorang lelaki sudah bernikah, dan memiliki anak, nama gelarannya akan berubah mengikut anak pertamanya yang lahir di pulau. Begitu juga bagi kaum ibu. Jadi, sambungnya, kerana itulah dia kini bergelar Pak Sayang, dan isterinya pula bergelar Mak Sayang.

 

Akram bertanya, bagaimana pula bagi mereka yang sudah bercucu? Pak Sayang berkata gelarannya akan berubah apabila cucu pertama dilahirkan kelak. Ujarnya, seandainya Sayang, ataupun adiknya Faizal memberinya cucu pertama bernama Nuh, maka mereka berdua akan bergelar Tok Nuh dan Nek Nuh. Namun, Pak Sayang berseloroh tidak tahu entah sempat entah tidak dia menimang cucu pertama kerana anaknya masih belum bernikah. Kedua-dua Akram dan Amran tersenyum lebar. Yes, peluang masih ada!

 

Pak Sayang menanyakan apa minuman yang mereka mahukan. Pesanan dibuat di meja, sebelum dilaungkan pak tua ke pembancuh air di dapur.

 

“Pak Sayang, nama saya Akram. Sahabat saya yang tersengih ini namanya Amran”. Tangan dihulur, salam dijabat. Kedua-dua gadis, Erna (kekasih Akram) dan Shasha turut memperkenalkan diri mereka.

 

Perhatian Pak Sayang beralih seketika apabila dia terdengar bunyi buggy yang baru tiba di luar kafe miliknya. Sejurus kemudian, terpacul Pak Bakti dan Haron di pintu kedai, ketibaan yang disambut Sayang yang tidak semena-mena tersenyum malu tersipu-sipu. Akram berpaling dan menoleh, cuba mengecam siapakah gerangan yang dihadiahkan senyuman manis menguntum dek si gadis.

 

Perhatian Pak Sayang kembali semula kepada Akram dan teman-teman seusai penunggang buggy berdua mengambil tempat duduk di meja sebelah. Gaya mereka umpama menunggu ketibaan seseorang.

 

“Akram, kamu berasal dari mana di Malaysia?”, tanya Pak Sayang.

 

“KL, pak cik”, jawabnya ringkas.

 

“Memang dari KL ke?”. Pak Sayang bertanya sebegitu kerana ramai yang mengaku berasal dari hutan besi, meskipun sebenarnya tidak. Mahu kelihatan cool, barangkali.

 

“Eh, tak, saya dari Melaka”, celah Amran. Pak tua mengangguk, tersenyum.

 

“Si Erna ini dari Terengganu, dan Akram pula dari Kelantan”.

 

 Bagai menerima cue tersembunyi, jiwa Pak Sayang tiba-tiba hidup. "Oh sek-sek kito blako. Klate asa mano? Pasir Mah? Koto Baghu? Tumpak? Machae?".

 

“Pengkalan Kubur”, jawab ringkas Akram.


Oh… Pokcik dulu masa kechek kijo hok denu. Bukok kedae makae". Semakin bersemangat pak tua bercerita. "Bakpo maghi sinih? Kijo ko jjalae? Cuti?".

 

“Cuti. Kami berempat sebenarnya students kat Perth”, balas Akram.

 

Amran mencelah bertanya apakah makanan tempatan paling sedap di atoll ini. Pak Sayang tersenyum seraya berpaling. Disuruhnya si anak membawa sup dan keropok special buat mereka berempat.

 

Akram sekali lagi tersenyum melihat Sayang. Hatinya berkata, patutlah cantik, ayu laksana bulan empat belas. Benar-benar menambat hati mata yang tertaut. Sememangnya, gadis-gadis berketurunan darah Cik Siti Wan Kembang memang terbilang antara yang paling menarik. Jika tidak, manakan boleh mereka berterusan mengungguli pertandingan seperti Dewi Remaja?

 

"Pokcik toksei kelik Klate ko?", soal Akram. Dia tiba-tiba berminat menunjukkan skil bahasanya di hadapan Sayang. Erna di sebelahnya bagaikan sudah tidak wujud.

 

Pak Sayang menjawab yang ada juga dia pulang beberapa tahun sekali sejak dia migrate ke atoll ini. "Kelik Klate kalu, beli slalu baghae special untuk masak", ucapnya sambil tersenyum. Sambungnya, bukanlah dia tidak mahu pulang lebih kerap, tetapi sayangnya, ‘pitih takdok’, sambil membuat gaya simbol duit dengan tangannya.

 

Pak Sayang meneka yang mereka berempat ini pastinya anak-anak orang kaya. Akram hanya tersenyum, dia tidak mahu memberitahu bahawa dia sebenarnya anak seorang Tan Sri. Kekasihnya, Erna hanya menunduk, teringat yang dia datang ke sana pun dengan menumpang duit si Akram.

 

Erna hanya anak orang biasa-biasa. Datangnya ke Perth untuk menyambung pelajaran di atas scholarship syarikat multinational oil and gas Malaysia. Biarpun kesemua tuition fee dibayar penaja, Erna harus bekerja sambilan juga. Duit poket yang sekitar 385 dolar Australia sebulan tidak mencukupi, meskipun duit sewa rumah turut dilunasi si penaja. Jika ingin berpindah ke luar dari hostel, duit poketnya akan menaik sehingga 700 dolar Australia sebulan, namun Erna harus memaklumkan di mana dan dengan siapa dia akan menetap. Tidak akan sesekali si penaja membenarkan pelajar berlainan jantina duduk serumah.

 

Walaupun biasiswa milik Erna boleh dikira antara yang terbaik ditawarkan buat pelajar senegara, itu masih tidak mencukupi buatnya. Seleranya besar. Maskara dan konsert bukannya murah! Itu belum kira ongkos handbags, heels, sunglasses. Maka terpaksalah Erna mengubah penampilannya semata-mata untuk tampil 'modern, sexy dan urban'. Jika tidak, bagaimana dia ingin bergaul dengan komuniti FAMA (father and mother scholarships), kawan-kawan Akram? Anak Tan Sri inilah yang banyak membiayainya.

 

Erna cuba melontarkan jauh rasa bersalah yang bersarang apabila dia menipu keluarganya di Malaysia, semata-mata untuk mengikuti trip ke Cocos (Keeling) Islands. Bisik hati kecilnya, "Alah, kau menipu pun bukannya ada ganggu sesiapa. Tukar gaya hidup dan pakaian hanya untuk tambat anak Tan Sri. Bukannya kau ada curigali hasil-mahsul milik rakyat”.

 

Erna mengangguk seorang diri. Makin dilayan, makin menjadi-jadi bisik songsang. “Nanti, bila dah nikah, bertaubatlah balik. Pakai tudung. Busana-busana yang claim Muslimah pun dah banyak nowadays, berlambak. Ada yang bungkus semua, ada yang longgar, ada yang bungkus ketat-ketat. Itu belum lagi yang tawar konsep bertudung tapi seksi! Gulung persis tuala tunjuk leher pun OK juga, Erna. Rugilah kau tutup leher kau yang jinjang dan putih mulus. Ah, abaikan sahaja tuntutan melabuhkan pakaian. Tutup dagu, leher, telinga dan dada itu semua masa solat je. Biarlah apa orang nak kata. Haters gonna hate. You muda lagi babe. Lambat lagi nak mati".

 

Lamunannya tersentak apabila kekasihnya cuba menjawab soalan Pak Bakti. "Pokcik, ambo mitok mahap deh. Ambo kecek Klate kalu sghupo oghe Siye".

 

Pak Sayang tergelak besar. "Hok aloh, sghupo senggoti anok tino pokcik. Pehae molek doh kalu kito kecek Klate samo dio. Tapi sebutir habuk dio toksei nok kecek balik".

 

“Wah, kamu macam melepas dendam lama ya, Pak Sayang?”, sapa Pak Bakti. Sapaan dari meja sebelah membuatkan semakin besar gelaknya Pak Sayang.

  

Daun pintu kafe ditolak beberapa insan lain. Melihatkan semakin ramai pengunjung, Pak Sayang memohon izin ke dapur. "Pokcik mitok dighi dulu deh. Nok nyambung kijo smula. Air tu kalu manih leting, ghoyak kat ambo deh. Kalu makanae tawar hebe ko, pedah ko, pun ghoyak kito. Budu ado dalae hok gotu”, ucapnya sambil menudingkan jari ke tudung saji. “Buleh tuka, free of cah…".

 

Perbualan empat pelancong kembali berkisar kepada perancangan perjalanan mereka di atoll ini. Sesekali terdengar gelaktawa mereka, seperti kebiasaan pelancong muda.

 

Pak Sayang muncul kembali bersama beberapa makanan yang dipesan Akram. Fikir Erna, pesanan ini mesti dibuat kekasihnya tika dia dibuai lamunan krisis identiti tadi. Melihatkan mereka yang sedikit kehilangan arah, Pak Sayang mengesyorkan mereka mencari sahabat di kalangan penduduk pulau. Katanya komuniti kecil sekitar 500 orang ini amat mesra dan hidup dalam rukun dan damai. Mungkin, kata Pak Sayang, mereka boleh bertegur sapa dengan Pak Bakti di meja sebelah.

 

* * *


Haron merenung wajah PakBakti yang khusyuk membaca akhbar. Helaian demi helaian dibuka, sesekali kelihatan Pak Bakti mengangguk, diiringi hirupan secangkir kopi pekat yang harum aromanya. Jari-jemari Pak Bakti juga cekap mengambil keropok, santapan sementara menanti ketibaan insan yang ditunggu.

 

Dari jelingan Haron, terlihat padanya wajah depan ‘The Atoll’ yang menjadi santapan minda Pak Bakti. Kata Pak Bakti, inilah newsletter buat atoll, terbitan pasukan sukarelawan di West Island. Akhbar komuniti yang terwujud dengan kerjasama Shire Council, seperti juga stesen radio tempatan, 6CKI. Sambungnya, stesen itu bersiaran dari sebuah bangunan pemancar berhampiran lapangan terbang. Haron sekadar mengangguk menghadam informasi baharu.

 

Haron menjenguk keluar apabila terdengar enjin kereta yang baru tiba. Enjin yang kemudiannya dimatikan itu rupanya milik Toyota Corolla T18-SE berwarna biru. Mata Haron dikecilkan agar dapat diteliti lebih. URH 537, itulah plet pendaftaran kenderaan, tidak dapat dipastikan dari negeri mana datangnya. Sistem pendaftaran berdasarkan negeri mengelakkan kekalutan sistem pendaftaran. Hanya pihak berkuasa negeri berhak mengeluarkan plet, justeru terhapuslah masalah aksara yang terpapar di plet terlalu kecil atau terlalu rapat. Yang pasti, tiada sebarang spesifikasi akan dilanggar.

 

Haron pasti model spesifik kereta itu ialah Toyota Corolla TE72 Liftback. Entah bagaimana, amat mudah dicamnya. Barangkali dia pernah memiliki kenderaan model tersebut. Kereta berkapasiti 1770cc berkuasa kuda 70-105 hp yang dikuasakan enjin 3T-C ini walaupun sudah uzur luarannya masih mempamerkan deruman enjin yang baik. Pemiliknya pasti seorang yang cermat dan teliti. Dia seterusnya berasa pelik, kerana jarang benar dilihatnya kenderaan selain kenderaan peribadi berbentuk 4WD atau buggy, selain kenderaan komersial berjenis ute seperti Proton Arena di pulau ini.

 

Seorang lelaki yang berumur sekitar lewat 60an melangkah masuk. Insan berketinggian sekitar 175 sentimeter dan berdada bidang ini mungkin pemilik kereta biru di luar. Wajah yang kelihatan seperti orang Timur Tengah itu begitu serius, hingga sedikit merisaukan Haron.

 

Segala syak wasangkanya lebur apabila sang dia tersenyum melihat Pak Bakti. "Shalom aleikhum", sapanya.

 

Pak Bakti meletakkan bahan bacaan seraya menjawab, "Waalaikum".

 

Pak Bakti menjemput insan baharu itu untuk turut serta duduk di meja mereka. Diperkenalkannya kepada Haron, “Ini Abu Sufiyyah, pemilik plantations tebu dan kelapa. Rumahnya di penjuru South-East pulau ini”.

 

Haron bangkit sedikit menghulurkan tangan untuk bersalaman. Tangannya dijabat erat. Genggamannya kuat, umpama tidak bersesuaian dengan umurnya.

 

"Inikah orangnya, Ishmael?", tanya Abu Sufiyyah kepada Pak Bakti.

 

“Saya Haron. Saya bukan Ishmael”. Pak Bakti tersenyum. Abu Sufiyyah tergelak. Kata Pak Bakti, Ishmael itu adalah nama gelaran yang diberi Abu Sufiyyah kepadanya. Gelaran sebagai tanda keakraban. Haron mengangguk.

 

Sambung Pak Bakti, tiada orang yang benar-benar tahu nama sebenar Abu Sufiyyah.

 

“Bukankah Abu Sufiyyahitu sebuah nama?”, soal Haron, penuh jujur.

 

Sekali lagi Abu Sufiyyah tergelak besar. Susunan giginya yang putih terserlah bukti dirinya seorang pembersih. Mukanya merah menahan geli. Haron seakan bengang, ditertawakan berulangkali.

 

“Itu kunya”, kata Pak Bakti, seraya tangannya mengusap bahu Haron. Dia cuba menenangkan anak muda itu.

Kunya?”, soal Haron.

 

“Ya. Maksudnya legasi dunia Timur Tengah”, jawab Pak Bakti. “Penamaan seorang lelaki berdasarkan nama anak pertamanya atau benda kesayangannya”.

 

“Contohya, nama Abu Hurairah radiyallahuanhu”, sambungnya lagi. “Asalnya, sebelum beliau memeluk Islam, namanya Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi. Beliau kemudiannya diberikan nama Abdurrahman oleh Rasul sallallahu alaihi wasallam. Sahabat ini amat sayangkan binatang. Ada seekor kucing yang selalu diberinya makan, digendongnya, dibersihkan dan diberikannya tempat, sehingga kucing itu bagai menjadi bayang-bayangnya. Sebab itulah beliau digelar Abu Hurairah yang bererti ‘Bapa Kucing’…”, ucap Pak Bakti sambil tersenyum.


Cangkir kopi diangkat lagi. Isinya dihirup perlahan.

 

“Betul lah tu. Bukannya macam Sayang, kucing dan dirinya umpama musuh sejati. Tak boleh berada dalam bilik yang sama!”. Celahan Pak Sayang membuatkan penghuni kafe ketawa berdekah-dekah. Sayang hanya mampu menjeling dari jauh. Dalam hatinya dia membantah, bukanlah dia membenci tapi lebih kepada tidak selesa. Baginya, makhluk itu membuatkannya tidak tenteram.

 

Akram dan rakan-rakan di meja sebelah mencuri dengar perbualan meja Pak Bakti. Barangkali, kerana gelaktawa yang kuat tadi, atau mungkin kerana penerangan Pak Bakti. Santai dan padat.

 

Oh, by the way, Ishmael, it is that time of the year again. Masanya sudah tiba", kata Abu Sufiyyah. Pak Bakti hanya mengangguk dan bertanya, "Baiklah, apa nombornya sekarang?".

 

Abu Sufiyyah menjawab, "0403 725...", sambil jemari Pak Bakti tekun menaip ke dalam telefon bimbit miliknya. Nombor-nombor yang diikuti tiga digit terakhir.

 

“So, apa jadi dengan nombor lama?”, soal insan yang mengangkat jarinya setelah ditaip digit kesepuluh.

 

“Ah, bila dua tamuku dari Tanah Besar sampai, aku akan berhenti menggunakan nombor lama”, jawab Abu Sufiyyah. "Bolehlah kamu padam nombor lamaku, 0403 721…".  Pak Bakti mengangguk lagi dan telefonnya diletakkan semula di sebelah mangkuk di atas meja. Mangkuk berisi ‘gong gong’, yang diperbuat dari hidupan laut disua pada teman bicaranya. Delikasi lazat yang turut bergelar ‘spider conch’ itu memang keistimewaan atoll. Ditangkap di Pulu Atas (South Island) ketika air surut, sebelum cengkerangnya dipecahkan dengan hentakan tukul dan isinya dibilas. Dua insan yang sudah berumur ini terus bersembang, biarpun butirnya tidak difahami Haron, sesekali terdengar isu seperti penghantaran barangan dapat didengarinya.

 

Haron menoleh kebelakang. Dia terdengar suara kuat jejaka meja berhampiran. Rupa-rupanya, Amran memesan lagi keropok istimewa itu. Amat sedap, katanya. Pemilik kafe tersenyum sambil membuat isyarat tunggu sebentar kerana sebahagiannya masih belum selesai digoreng.

 

Sekembalinya mata Haron ke mejanya sendiri, dia dikejutkan dengan soalan spontan Abu Sufiyyah mengenai bilakah Haron boleh mula bekerja dengannya. Haron terpinga-pinga. Pak Bakti memberitahunya bahawa memang kebiasaan penduduk di pulau ini memegang beberapa kerja sambilan.

 

“Em… kerja apa, bila mula?”, soalnya pendek. Abu Sufiyyah tersenyum. Katanya, nanti Pak Bakti akan terangkan bila Haron boleh mula bekerja mengumpul kelapa dan tebu di ladangnya. Hasil tanaman yang dikumpul sebelum shipping. Haron sekadar angguk lemah. Dia sedar dia harus mula rajin kerja. Badannya sudah semakin kuat, lagipun, malu juga asyik menumpang secara percuma di rumah Pak Bakti.

 

“Jangan risau, it won’t be long. Beberapa bulan sahaja, sebelum ladang ditutup setahun bulan September ini”, tutur Abu Sufiyyah. Haron mengangguk biarpun sedikit rasa pelik berputik di dadanya.

 

“Oh, mulai bila?”, celah Pak Bakti yang bibirnya terlekat di bibir cawan kopi.

 

“Akan tutup 24 September nanti. Hari Rabu, rasanya”, jelas si pemilik ladang.

 

“Ini macam yang dulu-dulu tu ke?”.

 

Abu Sufiyyah mengangguk mengiyakan soalan temannya. “Macam biasa, every seven years ladangku ditutup. Apa-apa hasil buah yang gugur bolehlah digunakan sesiapa sebagai hadiah”, ujarnya lagi seraya mengukir senyuman.

 

“Wah, sudah tujuh tahun? Kalau aku tak silap, kali terakhir pada bulan September 2007, kan?”.

 

Abu Sufiyyah berhenti seketika dari mengunyah. Wajahnya berkerut cuba mengingati sesuatu. “Ya, kot? Aku tidak pasti. Yang aku ingat, itu tahun Benazir Bhutto mati dibunuh”.

 

Kedua-dua insan yang sudah berumur mengangguk sendirian. Sunyi tanpa bicara, mungkin mengenang betapa cepatnya masa berlalu.

 

Ishmael, it is good business had been concluded”. Tangan insanTimur Tengah itu mengambil sehelai tisu buat mengesat minyak keropok yang dijamah. “Ternyata aku tidak salah dalam mempercayaimu. Haron, aku harap kamu bakal jadi pekerja yang baik, bukan seperti Ash”, sambung Abu Sufiyyah.


Terlihat sedikit riak kesal di wajah si penutur. Haron hanya mengangguk sambil memberi janji dia akan cuba yang terbaik. Mendengar janjinya itu, pemilik plantations itu tersenyum. Pandangannya dialihkan kembali pada Pak Bakti.

 

"Sahabatku Ishmael, aku telah membantumu. Kini giliran kamu pula membantuku. Moga-moga aku mendapat keberhasilan darimu", tuturnya. Kata-katanya disahut Pak Bakti yang bertanya bantuan bagaimanakah yang dikehendaki Abu Sufiyyah.

 

“Ishmael, terangkan padaku, apakah itu Islam, apakah itu Iman dan apakah pula yang digelar ihsan?”.


Soalan tiga serangkainya membuatkan seluruh kafe tersentak. Hening. Akram dan penghuni meja sebelah turut berpusing ke arah meja Pak Bakti. Tanpa disedari, jemari Sayang secara automatis mematikan radio. Ya, soalan-soalan itu adalah jenis yang paling asas, tetapi benarkah ia mudah dijawab?

 

Pak Bakti tersenyum. Dengan tenang diambil tisu dan dikesat mulutnya. Tangannya mencapai gajet di meja, jemarinya kemudian menyentuh skrin telefon laksana mencari sesuatu. Tiba-tiba, matanya bersinar. Dia berdehem dan bibirnya yang tersenyum terbuka sedikit.

 

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang”. Tampak gayanya Pak Bakti ingin menyusun tuturkatanya dengan rapi. Permulaan dengan lafaz suci menunjukkan ketelitian pak tua ini.

 

“Wahai Abu Sufiyyah, ketahuilah olehmu bahawa Islam itu adalah engkau bersaksi tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasul utusan-Nya. Perlulah kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasalah kamu di bulan Ramadhan, dan jika engkau mampu, tunaikanlah haji ke Baitullah”. 


Nafas panjang dihelanya, selang waktu seketika sahaja diwujudkan buat membenarkan jawapannya dihadam. 


"Iman adalah engkau beriman kepada Allah, begitu juga kepada malaikat-Nya, kitab-kitab dari-Nya, para Rasul utusan-Nya. Wajiblah juga kamu mengimani hari Akhirat, dan kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk”. Direnungnya tepat ke wajah si penanya sebelum dia menyambung, “Iman itu mestilah melalui membenarkan dengan hatimu, berikrar dengan lisanmu dan menzahirkannya semua dengan tindakanmu”.

 

Kelihatan beberapa insan lain di dalam kafe turut mengangguk tanda setuju.

 

“Dan sahabatku Abu Sufiyyah, ihsan itu pula bererti hendaklah engkau beribadah kepada Tuhanmu Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Walaupun engkau tidak melihat-Nya, ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Dia melihatmu”.

 

Abu Sufiyyah tersenyum.


“Ishmael, dari manakah kau petik jawapanmu?”, soal lanjut si penanya. Sambil tenang dijawab Pak Bakti, itulah mafhum hadis yang diriwayatkan Imam Muslim.

 

Si penanya mengangguk maklum.


“Bagus… bagus… Ishmael, kini terangkan pula padaku siapakah itu Allah?”.

 

Mendengarkan soalannya itu, lantas Pak Bakti melantunkan bacaan surah al-Ikhlas. Dinyatakan kepada si penyoal, sesungguhnya dari terjemahan wahyu itu telah Allah memberitahu bahawa sesungguhnya Allah itu Esa (satu). Dialah tempat kita bergantung, tidak pula Allah itu memiliki anak dan tidak diberanakkan, dan tiada sesuatu apapun yang menyerupai Allah.”. Jawapannya jelas dan lancar. 


“Maka sesiapa yang mendakwa Allah itu bersifat selain dari itu, sesiapa yang mendakwa Dia mempunyai anak, nyatalah kesesatan dan niat jahat mereka”, sambungnya lagi.

 

Abu Sufiyyah mengangguk. “Benar kata-katamu itu. Semoga Tuhan melaknat mereka yang berdusta mengenai-Nya. Menjual kebenaran buat mencapai kedustaan pangkat, harta dan undian. Saksikanlah, aku telah mendengar jawapanmu dan aku bersetuju”.

 

Haron kehairanan, andai Abu Sufiyyah sudah tahu, mengapa dia masih mahu bertanya?

 

“Ishmael sahabatku, apakah lagi yang mampu kau beritahu padaku tentang Allah?”.

 

Kali ini, Pak Bakti membacakan pula Ayatul Kursi, iaitu ayat ke-255 dari Surah al-Baqarah. Dengan tenang dinyatakan satu-persatu ilmu yang tercatit dari maksudnya. Sambil terus-terusan merenung wajah si penanya, Pak Bakti memberitahu bahawa Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain-Nya. Dialah yang tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir. Tidak sesekali Dia mengantuk apatah lagi tidur. Miliknyalah segala yang di langit dan yang di bumi. Dihujahkannya lagi bahawa tiada sesiapa yang mampu memberi syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin Allah. Milik-Nya segala pengetahuan apa yang di hadapan mereka dan apa yang dibelakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu apapun dari ilmu-Nya melainkan apa yang Allah kehendaki mereka ketahui. Sesungguhnya, Kursi Allah, yakni ilmu dan kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi, namun tiada pula menjadi keberatan kepada-Nya menjaga serta memelihara kedua-duanya. Dialah Yang Maha Tinggi darjat kemuliaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.

 

Mendengarkan penjelasan panjang lebar Pak Bakti, wajah Abu Sufiyyah menjadi puas. Kini dia laksana gelas yang sudah tidak kosong lagi.

 

“Wahai sahabatku, jika kamu masih ingin tahu, bukalah lembaran kitab suci al-Quran. Itulah mukjizat teragung buatku dan buatmu”, sambung Pak Bakti. “Sesungguhnya di dalamnya, telah difirman oleh-Nya bahawa diturunkan kitab mulia itu sebagai keterangan dan cabaran buat manusia agar berfikir”.

 

Pak Bakti meluruskan duduknya. Dia seterusnya membaca pula antara ayat-ayat terakhir surah al-Hashr. “Wahai Abu Sufiyyah, dalam ayat ke-21, Allah berfirman maksudnya:

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan ingatlah, misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”.

 

Seluruh kafe terkedu. Perumpamaan yang difirmankan membuatkan semua terdiam. Seandainya gunung yang kukuh dan tegap itu mampu bergoncang, apa hebat benarkah manusia mendabik dada tidak mahu membaca ayat-ayat suci yang diturunkan?

 

Haron terkejut. Abu Sufiyyah tiba-tiba mengesat air matanya yang berlinang sebelum didakapnya erat Pak Bakti. “Terima kasih, Ishmael. Terima kasih. Hari ini sahabatku kembali mengingatkan daku apakah itu kunci dunia. Semoga kau sudi kekal sebagai sahabatku”,ucap Abu Sufiyyah. Pak Bakti hanya senyum dan menuturkan “Insya-Allah. Itulah tugasku sebagai sahabat”.

 

Abu Sufiyyah meminta diri dan bangkit menuju ke kaunter. Dihulurkannya sekeping not berwarna hijau sebelum dia meninggalkan kafe. Pak Sayang yang menerima bayaran seratus dollar Australia terus mengumumkan bahawa semua makanan dan minuman yang sedang dijamu seisi kafe telah dibayar Abu Sufiyyah. Bakinya akan disumbangkan kepada tabung masjid. 


Haron semakin terpinga-pinga.

 

Akram juga terkejut. Ditolehnya ke kaunter. Pak Sayang yang semakin menghampirinya mengkhabarkan itulah rezeki. Berkat persahabatan dan ilmu Pak Bakti. Sambungnya lagi, jadilah sahabatnya. Akram hanya mengangguk seraya tidak mengendahkan cuitan kaki Erna yang memberi isyarat untuk meninggalkan kafe.

 

Tika Akram berpaling untuk berkata-kata kepada kekasihnya, dia terlihat Amran yang tiba-tiba bangkit dan berpindah ke meja sebelah. Sahabat bertiga itu lebih terkejut apabila si Amran dengan penuh sopan bersalam dengan Pak Bakti. Tangannya dikucup, bagai mengharapkan keberkatan mengalir pula kepadanya.

 

Seusai anak muda itu memperkenalkan dirinya, beberapa soalan dilontarkan kepada Pak Bakti. Soalan demi soalan dijawab tenang, biarpun sesekali dia terlihat insan tua itu melihat skrin di telefon bimbitnya.

 

* * * 


"Wah, Pak Bakti punpakai handphone canggih!", tutur Amran.

 

Pak Bakti mengukir senyuman. "Alhamdulillah. Haza minfadhli rabbi!”.

 

Jelas Pak Bakti, itu telefon percuma yang diterimanya dari syarikat telekomunikasi. Sambungnya lagi, ianya suatu hadiah yang tidak pernah diduga. Tatkala Amran melontarkan soalan apakah maksud kalimah yang diucapkannya sebenar tadi, dan tidakkah pak tua merasakan gajet itu membawa ke arah yang lagha, Pak Bakti berkata, “Sesungguhnya, segalanya datang dari Tuhanku. Ingatlah wahai anak muda, semasa Nabi Sulaiman dikhabarkan bahawa istana Ratu Balqis mampu dibawa dalam sekelip mata ke hadapan baginda, tahukah kamu apa jawapannya?”.

 

Amran menggeleng. Begitu juga seluruh isi kafe yang lain.

 

“Seperti yang terakam di dalam ayat ke-40 surah an-Naml, baginda mengakui bahawa segala ini ialah dari limpah kurnia Tuhan”, jawap Pak Bakti. “Dalam ayat yang sama, baginda turut mengakui bahawa segala pemberian itu adalah sebagai ujian samada dia akan bersyukur atau sebaliknya. Nah, bukankah telefon ini juga suatu ujian?”.

 

Amran terkebil-kebil. Dia masih tidak mengerti.

 

Lantas Pak Bakti menunjukkan kepadanya apakah yang dimaksudkan. Nyata, Pak Bakti bijak dalam menggunakan gajet canggih tersebut. Di dalamnya di simpan pelbagai applikasi berguna seperti Bayan Quran dan lain-lain maklumat dari laman IslamicFinder. Disimpannya juga himpunan hadis-hadis sahih berserta nombor dan sanadnya, dan pelbagai nota yang mampu membantunya berdakwah dan mendekatkan diri meraih cinta rabbani.

 

Pak Bakti berbicara lanjut. Katanya sebarang gajet itu umpama sebilah pisau. Di tangan doktor pakar atau tukang masak yang mahir, pasti membantu merawat atau menyediakan hidangan yang sedap-sedap belaka. Namun, jika pisau terjatuh ke tangan anak kecil, atau lebih dahsyat lagi ke tangan penjenayah, besarlah kerosakan dan kemungkaran yang bakal menyusul.

 

Penjelasannya membuat anak-anak muda mengangguk perlahan. Bagai terpukul, kerana betapa mudahnya mereka kufur nikmat, menggunakan kelebihan di jalan yang tidak sepatutnya. Begitu juga reaksi insan-insan yang sedikit berumur di dalam kafe. Barangkali, mereka menyesal, betapa mudahnya mereka menolak kemajuan dan menghukumkan sesuatu itu haram, meskipun ada kebaikan yang boleh ditimbulkan jika betul caranya.

 

Pak Bakti menyambung lagi, “Sebenarnya, kalau difikirkan, hampir kesemua applikasi di handphone itu ada baik, ada buruknya. Apps yang membenarkan ahli keluarga berkomunikasi boleh juga disalahguna pasangan bercinta, apps yang membenarkan kamu berkongsi maklumat mungkin pula diguna insan berkongsi imej yang membuka aurat dan aib. Sama juga seperti apps yang membolehkan kamu merancang perjalanan, boleh juga ia disalahguna buat memberi maklum sekatan polis dan pihak berkuasa…”.

 

“Tapi, kadang-kadang, kita berkongsi sebab nak elakkan dari kena bagi rasu…”.

 

Belum sempat Amran menghabiskan ayatnya, Pak Bakti mencelah lagi. “Kalau sogokan yang dicari, macamana sekalipun tetap akan dicari. Tetapi, tidakkah kamu terfikir berkongsi maklumat roadblocks sebegitu mungkin membolehkan penjenayah atau penyeludup meloloskan diri?”.

 

Amran tersentak, ada betulnya juga apa yang ditutur Pak Bakti.

 

“Jadi dalam keadaan apa sekalipun, fikirlah dalam-dalam. Jangan kongsi sekiranya tidak pasti. Walau apapun, si pendakwah juga harus beradaptasi mengikut arus masa. Namun, jangan pula sampai membelakangkan adab dan amalan berguru face-to-face seperti talaqqi dan lain-lain. Ingatlah, ilmu tanpa adab itu sia-sia, boleh membahayakan kamu di masa hadapan”.

 

Sambungnya lanjut, walaubagaimanapun kepesatan arus kemajuan yang dibawa masuk dari luar, jangan pula hingga terabai jatidiri. “Ingatlah pesan orang lama-lama: Jalan diasak orang lalu, cupak dipepat orang menggalas”.

 

Bagai mengakhiri ceramah ringkasnya, Pak Bakti seterusnya berpesan kepada empat bersahabat agar sentiasa menonjolkan budi pekerti yang baik, bak bidalan dahulukala, jalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak. Bila ditanya Akram apa ertinya, Pak Sayang mencelah, “Hendaklah kamu selalu bersopan-santun bila merantau ketempat orang”.

 

Pak Bakti mengangguk. “Betul tu. Rebutlah ilmu, buatlah jasa. Jangan pula menjadi apa yang dikatakan masuk tak genap, keluar tak ganjil”. Akram dan Amran mengangguk lagi. “Dan apabila sudah berjaya, janganlah kamu lupa diri. Jangan dibawa resmi jagung, makin berisi makin jegang. Bawalah olehmu resmi padi, makin berisi makin tunduk”.

 

“Tapi, Pak Bakti, bolehkah saya menasihat orang lain jika saya sendiri serba kekurangan?”, soal si Amran.

 

“Boleh, apa salahnya? Jika kamu pasti apa yang kamu katakan itu benar, sampaikanlah dengan berani dan ikhlas, kerana bagi setiap kebaikan yang menyusulinya, insya-Allah akan ada bahagian untukmu”, balas pak tua.

 

Bagaikan masih tidak berpuashati, Amran bertanya lagi "Tapi… bagaimana kalau kita yang cuba menyampaikan nasihat juga tengah dalam proses perubahan? Barangkali, yang dinasihati lebih baik dari yang menasihati?".

 

Pak Bakti tersenyum. "Andai yang ditegur hanya mahu insan yang tidak tercela menasihatinya, apakah dia rasa hanya Nabi yang maksum sahaja yang layak menegur?”. Kata-kata pak tua membuat Erna tersentak. Telinganya kini semakin tertarik untuk mendengar.

 

“Wahai anak muda, jadikanlah dirimu umpama sang buta, nyalakanlah pelita dan jagalah nyalaannya tika kamu berjalan merentas gelap malam lorong sunyi di tengah kota. Meski kamu tak bisa melihatnya, barangkali cahaya pelitamu bakal membantu sang celik yang terlupa membawa cahaya. Barangkali juga, ikhtiarmu itu membantu usahanya mencari arah, untuk keluar dari kegelapan. Lagipun, bukankah itu ertinya seorang sahabat?".

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi