Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,726
Kategori: Novel
Genre: Umum
Prolog

“PROLOG”

‘Hanyut’.

 

Tuan Haji Ilham melabuhkan punggung sambil tangannya melekatkan penutup pena marker berwarna hitam yang usai digunakan. Dia melipat dan menyinsing sedikit lengan kemeja yang dipakai. Putaran terligat kipas di siling asbestos nyata masih tidak mampu menangani kehangatan yang semakin menjadi-jadi.

 

"OK, kelas, siapa boleh beritahu saya sesuatu mengenainya?", soalnya sambil menuding jari ke tulisan yang tertera di papan putih.

 

Sunyi. Umpama perkataan yang dibentuk susunan enam aksara itu sukar difahami. Tuan Haji Ilham berdehem. “Tiada sesiapa yang mungkin mampu membicarakan ertinya?”, guru bahasa itu menghamburkan bahana. Masih sunyi.

 

Complicated sangat kah? Atau mungkin soalan tadi terlalu umum? Mata guru Bahasa Melayu Tingkatan Empat ini memerhati satu persatu wajah pelajar yang telah dihambat persoalan.

 

Tiba-tiba, seorang pelajar mengangkat tangan.

 

"Ya, Muhammad bin Ahmad, kamu boleh jawap", kata guru itu. Tuan Haji Ilham memang begitu. Gemar menggunakan nama penuh setiap pelajar di kelasnya. Mengambil berkat, nama itu doa, katanya.

 

"Cikgu, perkataan tu bermaksud sesuatu yang dibawa oleh air, seperti ombak atau arus deras".

 

"Baik. Ada apa-apa lagi maksud yang lain?", sambung bicara sang guru. "Ha, kamu, Ali bin Haji Ahmad. Apa yang kamu fahami dari perkataan itu?".

 

Pelajar itu bingkas bangun, persis laksamana yang bersedia meneruskan langkah. "Cikgu, saya rasa, ia juga bermaksud pemergian yang jauh. Pengembaraan mencuba untung nasib di rantau orang".

 

"Baik. Itu juga benar, seperti dalam perkataan 'orang hanyut'. OK, kamu boleh duduk". Guru mengangguk dan memberikan isyarat untuk pelajar itu duduk. Terpancar riak gembira di raut muka sang pelajar, puas jawapannya tepat.

 

"Ada sesiapa lagi ingin menambah? Ada dua makna lagi untuk perkataan itu", jelas sang guru.

 

"Melarat atau gelincir kerana licin", jawab seorang pelajar di penghujung bilik. Tuan Haji Ilham cuba mengecam pemberi jawapan. Ah, pelajar yang berkupiah itu rupanya pemilik suara.

 

"Benar, Hamzah. Itu juga tepat", terangnya.

 

"Baiklah, boleh sesiapa berikan saya pula contoh peribahasa atau kiasan yang menggunakan perkataan itu?Berikan maknanya sekali, ya?". Sekali lagi sebuah persoalan dilontarkan. Sang guru tersenyum. Dia memang gemar membuat anak-anak didiknya berfikir. Padanya, mereka bukan lagi anak kecil yang perlu disuap segalanya. Tidak sesekali dia menginginkan mereka menjadi laksana bidalan orang-orang lama 'sedangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang'. Biar mereka berusaha sebermulanya dari usia muda.

 

Dia melihat wajah-wajah remaja di hadapannya. Kesemuanya bagai memeras otak.

 

Kelihatan seorang anak gadis yang duduk di barisan hadapan mengangkat tangan. Tuan Haji Ilham berdiri dan mengisyaratkannya untuk mencuba.

 

"Segan bergalah hanyut serantau. Maksudnya... kalau... kalau... kalau segan untuk mencuba, pasti tidak akan berjaya", cubaan ringkas si gadis. Wajahnya sedikit kemerahan. Mungkin malu. Mungkin jua tidak pasti kebenaran jawapannya.

 

"Betul tu, Fatimah. Itu contoh yang bagus. Sesuai benar dengan apa yang kamu sedang lakukan. Tahniah!", sahut guru lelaki yang berusia lewat 50-an itu. Kedengaran beberapa pelajar yang bertepuk.

 

Fatimah tersenyum ceria. Gadis yang baru dua bulan mendaftarkan diri di sekolah itu bagaikan tidak percaya pujian yang diucapkan. Baginya, dia masih teringat pujukan guru bahasa merangkap guru kaunseling itu di bulan yang lalu. Dirinya diseru agar lebih yakin dan cuba melupakan kisah lampau insiden buli di sekolah lamanya. Masih terngiang di telinganya nasihat Tuan Haji Ilham padanya “Fatimah, cuma kenangan baru yang mampu mempercepatkan kamu melupai apa yang lalu. Lupakanlah kisah yang lama. Biarkan ia menjadi bak api padam puntung hanyut, kamu tidak di situ lagi”.

 

Tuan Haji Ilham meluruskan pinggangnya. Postur membongkok terlalu lama tidak baik buat tulang belakangnya. Hukum ergonomik jasmani manusia tak bisa dilanggar berterusan. Mungkin kerana berat badan yang berlebihan. Atau barangkali kerana faktor usia. Gurauan teman-teman sekerja yang mengatakan terlalu banyak ilham masakan yang dimilikinya mungkin tidak baik untuk kesihatan turut membuatnya tertawa kecil.

 

"OK, kelas. Saya tahu kalian memang dah tak sabar untuk bercuti. Jadi sebagai guru yang kamu cintai, saya akan menamatkan kelas awal hari ini", selorohnya sambil tersenyum.

 

Riuh kedengaran sorakan para pelajar. Siapa yang tidak gemarkan guru sebegitu? Bukan mudah untuk dapat pulang awal di hari terakhir sessi persekolahan.

 

"Tapi...",sambung bicara sang guru.

 

"Ah, apa lagi yang orang tua ni mahukan? Gimik sahaja ke tadi?", getus hati beberapa orang pelajar.

 

Tuan Haji Ilham tersenyum. Dia pasti murid-murid tengah ternanti kalimah yang akan seterusnya dilafazkan. Ternyata, setiap pasang bebola mata milik kesemua 35 orang pelajar kelas Tingkatan Empat Alfa memusat ke bibirnya. Tanpa perlu menyanyi atau berdansa di usia senjanya, dia menjadi selebriti hari ni. Pak haji yang seorang ni, biar tak berkopiah serta pendek janggutnya, bukanlah dia si ibu keladi, jauh sekali dari dilengah beruk berayun. Dia lebih berminat bertarannum yang sembilan, hatta sekalipun sumbang vokalnya. Apapun, kilauannya masih berbisa.

 

"Saya ada hadiah untuk kamu semua. Buku. Untuk menemani kamu di cuti pertengahan tahun ini", sambungnya.

 

Beberapa orang pelajar menarik nafas lega. Namun masih ada sebahagian yang masih menunggu bait-bait ayat seterusnya. Murid-muridnya itu bukannya bodoh. Mereka pasti ada helah di sebalik pemberian buku percuma tersebut.

 

"Saya mahu kamu baca novel ini", kata Tuan Haji Ilham sambil mengangkat novel itu. Novel yang tidak terlalu tebal, namun tidak jua terlalu nipis. Sederhana ketebalannya. Mukadepannya memaparkan suasana kelam di lautan bergelora yang dibantai jaringan petir. Di muka hadapannya tertera tajuk yang terbina dari 6 aksara, sama seperti yang tertulis di papan putih. Jenis font yang digunakan untuk tajuk adalah dari jenis League Gothic, saling tak tumpah seperti yang digunakan sebuah novel thriller yang masyhur kebelakangan ini.

 

"Hayati apa yang cuba disampaikan. Buat satu perbandingan dengan lambakan bahan bacaan yang lain. Rumuskan cabaran ke atas norma pemikiran sang penulis dan bincangkan. Senaraikan sebanyak mungkin peribahasa, kiasan, simpulan bahasa dan lain-lain permainan kata dan prosa yang kamu rasa menarik. Setakat pembacaan saya, ada lebih dari dua dozen yang terhimpun di dalam novel ini".

 

Seusai arahan diberikan, tercermin sedikit kepelikan di wajah para pelajar. Mereka mungkin berfikir jembalang mana pula yang menulis novel ini. Menyusahkan orang. Ruining my holidays. Kalau lah sudah diangkat ke layar perak, senang sikit nak diselesaikan tugasan. Lebih-lebih lagi kalau ada pelakon lelaki yang sado, atau aktres yang cantik melakonkannya. Baru syok.

 

"Jangan bimbang, novel ini tidak terlalu berat. Namun tidak pula santai keterlaluan hingga kamu umpama membuang masa membacanya. Saya yakin kamu pasti menggemarinya", sambung sang guru penuh keyakinan. "Ada cinta, tapi bukan sedu sedan. Ada keagamaan, tapi bukan tahap 'ana antum'. Ada aksi, tapi bukan penyokong gangsterisma. Cumanya, elemen seram hantu sahaja yang tiada. Yang tu kamu boleh tonton bioskopnya di pawagam. Lebih menyeramkan jika kamu yang kena belanja semua", tambahnya lagi.

 

Para pelajar masih kurang yakin.

 

"OK. Beginilah, barang siapa yang dapat habiskan paling cepat dan hubungi saya, saya belanja makan di awal sessi hadapan! Sebut sahaja di mana. I promise!",pancing sang guru. Baginya, jikalau dia sanggup berbelanja untuk memberi buku-buku percuma, apalah sangat dibandingkan dengan tawaran tambahan. Lagipun kad diskaun dan kelebihan warga emas bisa membantu.

 

"OK! Saya akan habiskan minggu depan. Tapi, saya mahu cikgu belanja satu kelas, makan besar steamboat, boleh?", cabar Ekhwan.

 

Tuan Haji Ilham tersenyum. Seperti diduga, pelajar yang seorang ni memang lain macam helahnya.

 

"Baiklah", sahutnya pendek.

 

Seraya mendengar kesanggupannya itu, kedengaran sorakan riang. Walaupun sudah menjangkau usia belasan tahun, anak-anak ini masih bersifat kebudak-budakan. Beberapa pelajar terus merapati mejanya dan menawarkan diri untuk mengedarkan novel itu kepada rakan-rakan. Ada yang cuba membelek novel yang masih disaluti pembalut lutsinar anti-habuk, dan ramai juga yang terus menyimpannya ke dalam beg masing-masing.

 

Tuan Haji Ilham tersenyum puas. Dia pasti pengorbanannya berbaloi. Padanya, bukankah orang dulu-dulu pernah berkata, orang penggamang mati jatuh, orang pendingin mati hanyut? Dia tidak mahu muridnya hanyut terleka aktiviti kurang berfaedah di cuti sekolah. Lagipun, bukankah membaca itu jambatan ilmu? Jika ingin digunakan masa untuk membaca, apa salahnya mencuba novel ini?

 

Jauh di sudut bilik darjah itu, satu susuk tubuh perlahan merungkai lapisan pembalut novel itu. Dia tenang. Tiada apa yang ingin dikejar. Tiada jua yang mengejar. Janji yang ditagih dari bapa dinihari tadi untuk menjemputnya pulang cuma akan tertunai seusai bapa bersolat Jumaat. Nah, masih ada kira-kira dua jam yang tersisa. Hendak makan, perutnya masih terasa kenyang. Hendak keluar, ternyata di dalam kelas ini suasananya lebih nyaman.

 

Jemarinya yang mulus halus merayap laman depan novel. Dibukanya laman yang pertama, maka menarilah sekalian untaian kata yang ada, mengikut rentak dan irama, membongkar kisah dan cerita.
Previous: Senarai
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi