Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,714
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 13

BAB 13: “RAMUAN”


8:01 pagi (UTC+06:30), Sabtu, 26 April 2014, Kediaman Pak Bakti, persimpangan Jalan Belakang Pulu dan Jalan Bunga Kangkong, Pulau Selma (Home Island).

 

Haron membuka matanya. Dia yang terlelap sesudah pulang dari masjid Subuh tadi masih agak mengantuk. Kunjungan kedua-dua pembantu Doktor James, iaitu Mak Huda dan Hadi malam tadi berpanjangan dari sekadar pemeriksaan kesihatan hingga ke berbual mesra dengan Pak Bakti. Buat jururawat-jururawat itu, tiada masalah untuk pulang waima lewat malam kerana rumah-rumah mereka tidak jauh jaraknya. Buggy yang dipandu Hadi hanya memerlukan beberapa minit sebelum mereka pulang kembali ke persimpangan Jalan Masjid dan Jalan Kembang Gerbang. Lagipun, klinik di Home Island ini hanya dibuka Isnin hingga Jumaat, kesibukan yang membuat kedua-dua jururawat ini menundakan house visit ke rumah Pak Bakti.

 

Pang!”. Bunyi kaca berderai membuatkan Haron bingkas bangun menuju ke dapur. Kain pelikatnya yang hampir melorot cepat-cepat diikat kembali, dipintal laksana lipatan sang ceti pengutip hutang.

 

Oh, Pak Bakti rupanya. Barangkali, pak tua tersiku cawan kopi tanpa sedar. Cecair hitam terpercik merata. Haron menghela nafas lega. Syukur, tiada yang cedera.

 

Pak Bakti kelihatan sedang sibuk membungkus makanan. Aroma harum semerbak terhadir, pasti hasil ramuan yang bagus-bagus belaka. Bila disapa untuk siapa, Pak Bakti menyatakan seperti biasa dia ada memasak lebih sedikit untuk dibekalkan buat sahabatnya Abu Sufiyyah. Sambungnya lagi, itu sudah menjadi suatu norma persahabatan mereka. Abu Sufiyyah akan menghadiahkannya buah-buahan di pagi Khamis untuk berbuka puasa, dan Pak Bakti akan membekalkan sedikit makanan pada setiap hari Sabtu.

 

“Pak Bakti nak pergi hantar kat rumahnya ke? Atau dia akan datang collect?”, soal Haron.

 

Pak tua menggeleng. Katanya hari ini dia tidak sempat untuk menghantar ke rumah sahabatnya di penjuru Tenggara pulau dan selalunya, sahabatnya itu memang tidak meninggalkan rumah untuk ke mana-mana setiap Sabtu. Abu Sufiyyah akan hanya berehat sehinggakan dia tidak memasak. Apabila ditanya bagaimana dia makan, sahabatnya berkata dia hanya akan mengambil roti atau dipanaskan lauk yang dimasak hari sebelumnya. Sambung lanjut Pak Bakti, jadi setiap Jumaat dia akan memasak lebih dan dihantarkan. Meskipun Haron sedikit janggal dengan perilaku Abu Sufiyyah, tidak pula disoalnya hal itu.

 

“Jauh ke? Kat mana rumahnya?”.

 

“Tak jauh sangat pun, sekitar 2 kilometer sahaja. Rumahnya di Jalan Balok Memorial, letaknya betul-betul bersebelahan ladang miliknya”, jawab Pak Bakti. Haron mengangguk.

 

“Kalau jalan kaki pun boleh, dalam 20 minit sampailah. Kamu nak pegi hantarkan ke?”, soal Pak Bakti sambil tersenyum. Haron bersungguh menggeleng. Pak Bakti ketawa kecil, terangnya dia hanya berjenaka.

 

Sambung pak tua, seperti kebiasaan, bekal makanan akan dikirim melalui Faizal. Katanya, kalau dulu-dulu, ada juga Ashaari bantu menyampaikan, tetapi entah kenapa, sejak dia berhenti kerja secara mengejut awal tahun lalu, dia umpama berpatah arang dengan bekas majikannya. Haron sekadar mengangguk.

 

Seusai membungkus makanan dan memastikan tumpahan kopi telah diurus, Pak Bakti menuju ke biliknya. Sebentar kemudian dia muncul kembali, siap bertopi dan bersalin kepada tracksuit dan baju pagoda putih.

 

“Pak Bakti nak pergi kerja ke?”.

 

Pak tua yang sedang menyarung sarung kaki mendongak ke arah Haron. “Ron, macam biasa, kat pulau ini, hari Sabtu kadang-kadang ada gotong-royong”.

 

Haron mengangguk. Terasa macam budaya itu turut pernah diamalkan di kampung kelahirannya suatu masa dahulu. Namun dia sendiri tidak pasti di manakah lokasinya itu.

 

“Kalau saya nak ikut, boleh?”, tanya si anak muda.

 

“Boleh. Sekejap ya?”. Pak Bakti kembali melangkah ke biliknya. Dia kemudiannya muncul bersama sehelai seluar tiga suku dan sepasang kasut. Dihulurkan kepada Haron, seraya berpesan untuk dicapai juga dua pasang sarung tangan berwarna putih dalam gerobok lama di belakang dapur.

 

“Nak bawa cangkul jugak ke?”, soal Haron. Pak Bakti menggeleng. Tidak perlu, katanya.

 

Sesudah bersiap, Haron menjenguk ke luar. Terlihat Pak Bakti sudah bersiap di atas buggy yang sudah dihidupkan enjinnya. Haron merapatkan daun pintu. Seperti biasa, pintu tidak perlu dikunci. Kedamaian dan kerukunan di pulau membuatkan kebanyakan rumah di sini tidak berpagar dan kadangkala tidak berkunci.

 

Setelah punggungnya dilabuhkan dan barang-barang seperti sarung tangan dan lauk kiriman dipangkunya, kenderaan itu bergerak menuju ke destinasi mereka di Jalan Kembang Molok, antara rumah yang terdekat dengan masjid.

 

Setibanya di lokasi, Haron tergamam seketika. Terkejut melihatkan ramainya insan yang hadir. Kalau dicongak-congak, barangkali lebih dari 300 orang! Ditolehnya ke kiri dan ke kanan.  Di sekitarnya terdapat timbunan batu-bata, longgokan pasir, batu kerikil dan beberapa kampit berwarna kelabu. Sekilas pandang, kelihatan seperti kampit beg simen. Ada juga timbunan batang-batang besi panjang yang Haron anggarkan sekitar dua meter. Minda Haron semakin bernyawa, dia pelik memikirkan apa pula yang ingin dibuat ini?

 

Haron yang sedang turun membawa bingkisan makanan cuba mengelak anak-anak kecil yang sedang berlari riang. Meskipun dia menggeleng kerana hampir-hampir tertumpah makanan, Haron tidak marah. Padanya, anak-anak memang gemar bermain. Jika mereka duduk diam, di saat itulah kita harus risau, sakitkah atau ketakutan.

 

Matanya menyorot larian riang si kecil, sambil melangkah menuju ke khemah-khemah kecil berwarna putih. Meriahnya umpama Hari Raya sudah tiba. Ketibaan dua insan ini disambut sapaan dan senyuman mesra hadirin yang ada.

 

Tiba-tiba, kedengaran riuh orang bersorak. Haron menoleh, dilihatnya sebuah lori 3 tan baru tiba. Pemandu dan kelindan lori turun, lalu dibukanya sendal kayu di belakang lori. Kedapatan beberapa penyodok, baldi dan mesin pembancuh simen di situ.

 

Haron berpaling dan menanyakan Pak Bakti, bukankah ada pokok yang mahu ditebang? Entah mengapa, itulah imej gotong-royong di kepalanya. Menebang pokok, menebas semak-samun, membersih longkang, semuanya demi memerangi nyamuk berbelang.

 

Pak tua hanya tersenyum dan menggeleng. Katanya tiada pokok yang perlu ditebang. Mendengarkan jawapan itu, Haron kehairanan. Matanya meliar mencari dan meneka apa tujuan mereka berhimpun.

 

Perhatiannya terdorong pada sebuah rumah yang berada di penghujung arah tudingan jari Pak Bakti. Ah, ada 3 ekor kambing yang ditambat di sebuah pokok.

 

“Nak bina sangkar kambing ke? Takkan nak guna batu-bata?”.

 

Soalan itu membuatkan Pak Bakti tergelak. Nyata dia sudah tidak mampu menahan rasa gelihati yang mencuit.

 

“Bukan… Kita nak tolong extend sedikit rumah Ahmad”. Haron mengerut dahi, nama itu macam pernah didengarnya baru-baru ini.

 

“Bukanlah, Pak Bakti. Bukan rumah Ahmad lagi dah. Ini sekarang rumah Pak Anas”, celah seorang hadirin yang berhampiran. “Atau, mungkin sekarang rumah Pak Anis?”.

 

Pak Bakti mengangguk, mengiyakan.

 

Haron semakin keliru. Rumah siapakah ini sebenarnya? Barangkali, rumah Ahmad yang dijual kepada Pak Anas? Tapi, siapa pula Pak Anis?

 

Sangkaannya meleset apabila Pak Bakti berkata, “Sebenarnya ini rumah Ahmad. Dia baharu sahaja mendapat anak-anak pertamanya, kembar sepasang. Anas dan Anis. Jadi nak buat akikah Maghrib esok. Kamu ingat lagi rumah bapanya yang kita pergi buat kenduri doa selamat tempohari?”.

 

Haron mengangguk, oh kenduri yang dihadirinya minggu lalu. Patutlah ada kambing 3 ekor! Baru dia teringat norma kebiasaan di pulau ni yang menamakan seseorang berdasarkan anak pertamanya. Namun, dia terfikir, jikalau anak pertama itu kembar, nama yang mana satu akan dipilih? Pak Anas, atau Pak Anis?

 

“Apa khabar, Pak Bakti?”.

 

Haron berpaling dan terlihat Faizal yang telah tiba bersama bapanya. Mereka berempat bersalaman. Bungkusan makanan yang dibawa pak tua diambil Faizal dan diletakkan di dalam bakul motorsikalnya. Dari kejauhan, Haron nampak Faizal mengangguk beberapakali sambil menerima amanat Pak Bakti, sebelum dia bergerak meninggalkan lokasi itu dengan kenderaan beroda dua itu.

 

Tidak beberapa jauh dari tempat berdirinya Haron, kelihatan Pak Sufi dan Haji Jeddah sedang berbual dengan beberapa anak muda. Helaian kertas berpindah tangan. Anak-anak muda mengangguk beberapa kali, sangka Haron, mungkin pembahagian tugasan.

 

Haron kembali merapati Pak Bakti dan menanyakan perihal mengapa ramainya yang hadir untuk kerja renovasi. Soalnya lanjut, mana si kontraktor? Jawab pak tua, selain kerja-kerja untuk rumah si Ahmad, mereka juga akan bergotong-royong untuk menghasilkan beberapa keping concrete slabs. Katanya, untuk mengganti laluan lama pejalan kaki dan penunggang motor ke masjid. Laluan sediada yang diperbuat dari kayu sudah semakin mereput dan rapuh.

 

“Oh, ingatkan nak buat masjid?”.

 

Pak Bakti tersenyum. Ucapnya, tiga buah masjid sudah mencukupi bagi atoll ini.

 

Haron sekali lagi bertanya, mana kontraktor? Pak Bakti hanya menunjuk ke barisan khemah. Ditolehnya Haron, yang dilihatnya hanyalah pakcik-pakcik tua, makcik-makcik bertudung dan sekelompok anak muda.

 

“Mana? Mana kontraktor?”, soalnya sekali lagi. Jelas Pak Bakti, mereka semua itu lah kontraktor. Haron membantah mana mungkin. Katanya, kebanyakan yang hadir adalah mereka yang uzur, wanita-wanita tua dan anak-anak yang masih kecil.

 

Pak Bakti tersenyum. “Ron, tunggu dan lihat, tunggu dan lihat”.

 

Tidak lama kemudian, kerja pun bermula. Golongan remaja mengangkat barang-barang dan mula membancuh simen. Makcik-makcik dan anak-anak gadis pula sedang membancuh air dan menyediakan makanan ringan. Manakala pakcik-pakcik tua pula berperanan sebagai penasihat. Tunjuk ajar dan nasihat diberi kepada anak-anak muda yang sedang bekerja. Jelas, semuanya sudah mula melaksanakan tugasan masing-masing. Bahkan, ada anak-anak kecil yang turut membantu. Wheelbarrow dan baldi kecil berisi kain tuala dan barangan kecil dibawa ke hulu ke hilir dek si cilik. Haron mulai faham.

 

“Lihat, setiap insan ada peranannya sendiri. Bekerjasama bukan bererti setiap orang kena buat kerja yang sama”, tutur pak tua. Haron mengangguk setuju. Pak Bakti menyambung lagi, “Setiap insan punyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun, jika bersatu-padu dan pandai diuruskan sebagai sebuah pasukan, imbangan yang sempurna akan tercipta”.

 

Pak Bakti memberi isyarat tanda mereka berdua harus mengorak langkah ke suatu tempat lain. Haron menurut sahaja. Rupa-rupanya, longgokan besi sasaran mereka. Mata Haron melirik memerhati batang-batang keras yang berbunga. Melihatkan pak tua yang sedang menyusung besi-besi di atas meja yang membentuk bingkai, Haron pantas membantu .Batang-batang disusun rapi, berselang-seli atas dan bawahnya, bagaikan membentuk ketupat.

 

Haron membelek tag label di hujung longgokan besi, "HighYield Deformed Bar, 10mm diameter, MS 146:2006 Grade 500". Kata Pak Bakti, besi yang digelar reinforcing bar atau ringkasnya rebar ini cukup kuat, sesuai untuk dijadikan tetulang kepingan konkrit. Atau nama lainnya, concrete slabs. Haron mengangguk sahaja, ini benda baru buatnya.

 

Pak tua menoleh ke kirinya dan meminta seorang pemuda menghulukan ‘ngau’ kepadanya. Haron kepelikan, tertarik benar untuk melihat bagaimana gerangan rupa bentuknya. Pemuda itu muncul semula bersama sebuah baldi. Haron menjengketkan sedikit kakinya untuk meninjau apa yang ada di dalamnya. Sang pemuda menghulurkan sebatang besi yang berkilat. Sekali pandang, rupanya seperti pengait, bezanya cuma boleh diputar-putar. Menyedari Haron yang seakan berminat, pak tua menerangkan nama sebenarnya ialah reinforcing bar tying-up hook. Ianya alat yang digunakan untuk mengikat dawai di tempat persilangan besi-besi rebar.

 

Pemuda tadi menerangkan konsep asas konkrit. Haron mengangguk, menyerap ilmu-ilmu baharu. Sesekali beberapa soalan dilontarkannya. Dengan jelas dan nyata segalanya dijawab si pemuda.

 

"Ha, pandai pun kamu, Daud. Alhamdulillah, tak rugi ayah kamu hantar belajar kursus pembinaan", pujian yang dihamburkan Pak Bakti. Tersengih dibuatnya si pemuda. Seterusnya, Pak Bakti mengajarkannya cara mengikat dawai. Katanya, ada dua cara: ikatan silang bentuk 8, dan ikatan pelana kuda. Ngau dihulurkan kepada Haron yang ingin mencuba. Terkial-kial, namun dia gigih mencuba, ingin dibuktian dia juga boleh membuatnya.

 

Senyuman menguntum di bibir seorang gadis. Sayang yang baharu melepasi mereka seraya membawa dulang berisi air kagum melihat kesungguhannya.

 

Setelah dilihatnya Haron dan para pemuda sudah semakin rancak membuat ikatan, Pak Bakti melangkah ke sisi dan mula membancuh simen bersama pasir dan batu kerikil. Pasir yang disodok keluar dari timbunannya ditapis melalui jaring, mengasingkan ketulan besar dan kayu. Dengan lagak bagai seorang chef, pak tua memastikan adunan yang sempurna. Sesekali kedengaran teguran darinya berkenaan sukatan air dan bahan kimia admixture yang digaul bersama.

 

“Jangan lupa formula asas 1:2:3!”, teriak Pak Bakti. Suaranya ditinggikan untuk mengatasi kebingitan bunyi mesin pembancuh simen.

 

Haron yang terdengar teriakan itu tertarik mendekati kelompok itu. Dia mengangguk mendengar kata-kata Pak Bakti. Katanya, bagi setiap kilogram simen, perlu dimasukkan 2 kilogram pasir dan 3 kilogram batu kerikil. Kemudiannya ditambah pula 500 mililiter air dan sedikit admixture. Sambungnya lagi, admixture seperti polycarboxylate ether perlu untuk mengurangkan jumlah air. Jika terlalu banyak air, konkrit tidak akan mencecah kekuatan yang diperlukan, namun jika terlalu sedikit, workability atau kebolehkerjaannya menjadi rendah. Sekiranya terlalu basah dan terlalu perlahan mengeras, bolehlah ditaburkan sedikit serbuk simen dan dilayah dengan kulir.

 

“Kulir?”, soal Haron.

 

“Ya. Atau in English, juga dikenali sebagai trowel”, jelas Daud. Haron mengangguk.

 

Secara automatis, dia bertanya pula, bagaiman jikalau ianya mengeras terlalu cepat? Pak tua yang tersenyum mengisyaratkan kepada Daud agar menjawab.

 

“Abang boleh guna minuman soda berkarbonat. Kalau nak lagi senang, guna gula”, jawabnya.

 

“Gula?”. Nada kehairanan Haron membuatkan Daud tersenyum lagi.

 

“Ya, gula. Kebanyakan retardant yang memperlahankan proses pengerasan memiliki gula sebagai ramuan asas”, begitulah mudahnya Daud berkongsi ilmu tanpa lokek.

 

Campuran yang telah sebati kemudiannya dicurahkan dari mesin pembancuh ke dalam acuan concrete slabs. Rangka-rangka besi yang telah sedia diikat menanti di dalam acuan. Acuan berbentuk kotak 4 segi dari kayu 'lasak 2-4' berwarna kemerahan dengan lapisan kayu plywood berpemukaan hitam licin sebagai tapaknya. Beberapa batang kayu disendal di bawahnya untuk menjamin kerataan permukaan. Fikir Haron, barangkali 'lasak 2-4' adalah panggilan ringkas kedai hardware untuk kayu-kayu khas yang berukuran 2" x 4". Sangkaanya ternyata tepat.

 

Pak Bakti mengelap peluh di dahinya. Kelihatan tuala putih good morning yang bersangkutan di bahu penduduk pulau semakin basah mengumpul titisan peluh.

 

“Memang selalu macam ni ke? Kenapa tak upah orang sahaja?”, soal Haron.

 

Pak Bakti menoleh ke arah Haron dan mengatakan bahawa seingatnya, memang begitulah caranya. Sambungnya lagi, membina sesuatu secara gotong-royong akan membantu membina ikatan yang lebih konkrit dan mesra. Lagipun, sebagai sebuah atoll yang nun jauh di Lautan Hindi, buruh-buruh dari mana pula yang ingin digajikan? Haron kagum dalam diam. Dia terbayang berapa banyak kali telah mereka bekerjasama demi membina dan membaiki semua bangunan di pulau ini.

 

“Ron, konkrit umpama perbandingan hubungan sesama manusia. Meski setiap kita ada sifat kelembutan dan kekerasan yang berbeza, sekiranya kita digaul rapi, insya-Allah kita akan dapat bersama”, tutur Pak Bakti, penuh falsafah. Sambungnya lagi, “Seperti jua konkrit, perpaduan haruslah mengikut acuan yang betul, bersendikan tulang-tulang asas yang kukuh melurus dan saling terkait rapat. Namun, keutuhan itu harus dijaga. Ia mampu musnah jika sesekali dihentam sesuatu yang teramat keras dan juga jika berterusan diuji titisan-titisan kecil yang berulang”.

 

“Maksud Pak Bakti, macam air menitis melekukkan batu?”, teka Haron. Pak tua mengangguk dan tersenyum. Tangannya menggapai botol berisi air kosong buat menghilangkan haus.

 

“Pak Bakti cakap pasal perpaduan atau konkrit?”, soal Haron lanjut. Soalannya hanya dibalas senyum pak tua. Satu soalan dikembalikan kepada Haron olehnya, "Kamu rasa?".

 

Terdiam Haron dibuatnya. Dia berfikir, memang Pak Bakti wajar dicontohi. Insan senior yang tinggi ilmu. Namun, kadangkala, bicaranya bermadah. Si pendengar harus punyai ilmu untuk memahaminya. Benarlah kata orang dulu-dulu, jika mencari ilmu, perlu juga menggunakan ilmu.

 

Haron memuji pengetahuan pak tua dalam bab konkrit. Disoalnya, apakah Pak bakti memang mempunyai latarbelakang dalam hal ini? Insan tua memberitahu bahawa dulunya dia bekerjadi sebuah kilang di Batang Benar, membuat concrete sleeper. Alas konkrit yang menyokong landasan keretapi itu dibuat di kilang yang terbaik dan tertua di Malaysia.

 

“Pak Bakti, kilang itu masih ada?”.

 

Anggukan Pak Bakti menyatakan kepada Haron bahawa dia yakin kilang itu masih ada. Setahu pak tua, hampir 80 peratus dari kesemua landasan keretapi di negara Asia Tenggara itu adalah produk kilang tersebut. Setakat 5 tahun pertama sahaja, kira-kira 700,000 batang concrete sleepers dihasilkan, kesemuanya menggunakan wayar besi indented gred 1700 buat laluan Kerdau-Jerantut, Sungai Yu-Tumpat dan Gemas-Paloh. Congak Pak Bakti, jika jarak selang antara sepasang alas ialah 60 sentimeter, itu bermakna hampir 210 kilometer alas dibuat syarikat itu dalam 5 tahun pertama, jumlah yang melebihi 10% dari panjang keseluruhan landasan di Malaysia.

 

Haron mengangguk terkagum. Manakan tidaknya, besi rebar berdiameter 10 milimeter di hadapannya hanya memiliki gred 500, iaitu 500 MPa tensile strength, namun besi-besi khas untuk keretapi, biarpun hanya berdiameter 5 milimeter memiliki hampir empat kali ganda kekuatan tegangan! Sambung Pak Bakti lagi, pernah dia ke Sabah untukmemeriksa landasan Tenom ke Tanjung Aru. Kunjungan untuk menilai penggantian kira-kira 130,000 batang alas kayu kepada alas konkrit itu disusuli lawatan ke sebuah pulau, menilai prospek didirikan kilang sementara di sana.

 

“Kalau begitu, macamana Pak Bakti boleh ada di sini? Apa terjadi?”.

 

Soalan Haron membuatkan Pak Bakti kelu. Berkerut dahinya semacam ada sesuatu yang amat keberatan untuk diluahkannya. Haron berterusan merenung wajah si tua, menanti jawapan. Diberanikan dirinya untuk bertanya lagi, “Mana si Bakti?”. Soalan yang baharu menyusul membuatkan Pak Bakti kelihatan bingung.

 

“Yelah, mestilah ada anak pertama bernama Bakti. Kalau tak, takkan wujud gelaran ‘Pak Bakti’, kan?”, soal Haron. Jelas dia sudah memahami tatacara pemberian nama pulau.

 

Pak Bakti masih berdiam. Kebisuan itu membuatkan Haron mulai rasa bersalah.

 

Setelah beberapa detik hening berlabuh tiba, Pak Bakti kelihatan seperti baru ingin membuka mulutnya. Haron yang menanti jawapan semakin teruja. Namun sayangnya, kemunculan Ahmad secara tiba-tiba mematikan suasana.

 

"Pak Bakti, jom pergi ke belakang rumah. Pak Sufi, Haji Jeddah dan Pak Sayang sedang menunggu untuk sama-sama sembelih kambing", ucap Ahmad. Tanpa menoleh, Pak Bakti terus berlalu pergi.

 

Semasa ketiadaan pak tua,ada beberapa insan yang merapati Haron dan menyapanya. Mereka bertanya khabar. Walaupun mereka tidak lama mengenali Haron, mereka tetap mesra. Bagi mereka, kesudian Pak Bakti menerima musafir terdampar ini cukup sebagai jaminan keselamatan. Satu-persatu dilayannya Haron. Ramai juga yang bertanya samada Haron suka duduk di pulau ini. Antara yang menyapa adalah Ryan dan Nuh. Haron benar-benar gembira bertemu insan yang menemui tatkala dia terdampar hanyut.

             

Tidak jauh dari lokasi mereka, kelihatan dua orang berkulit putih. Haron berpaling dan memerhatikan mereka yang masih berada di atas basikal. Mungkin pelancong getus hatinya, kerana setakat yang Haron dengar, kebanyakan mat saleh duduk di pulau yang sebuah lagi. Kedua-dua insan misteri kelihatan khusyuk mengambil gambar. Tetapi Haron berasa mereka kelihatan sedikit canggung, disebabkan tindak-tanduk mereka yang meneruskan kembali kayuhan tanpa menyapa sesiapa setelah beberapa keping gambar diambil. Barangkali, mereka sekadar penggemar fotografi, meski pilihan tempat mereka bergambar agak pelik. Haron memperbetulkan dirinya, bukan pelik tetapi unik.

 

Haron berpaling kembali setelah Pak Bakti muncul semula. Katanya kepada Haron, sembelihan sudah selesai. Pak Bakti melihat sekeliling dan menyatakan bahawa syukur kerja-kerja melibatkan konkrit dan batu-bata juga sudah hampir siap. Itulah keberkatan bergotong-royong. Haron sekadar mengangguk.

 

“Kamu nak stay sini? Pak Bakti nak balik rumah sekejap, nak berehat”, tutur pak tua. Haron menyatakan bahawa dia juga ingin pulang. Dia keletihan. Bajunya sudah dibasahi peluh sehingga melekat ke badannya.

 

* * *

 

Seusai solat Asar dirumah, Pak Bakti menjenguk keluar. Sayup-sayup kedengaran bunyi salam diucap dari luar, hampir tenggelam dek bunyi kuat ekzos motorsikal.

 

Haron turut menjenguk keluar. Oh, ada tetamu yang datang, membawa bersama bungkusan. Daging kambing, barangkali, sangka Haron. Telahannya tepat apabila aroma haiwan berjanggut berkaki empat itu mula menerjah ke setiap pelosok rumah pak tua.

 

Sesekali kelihatan Pak Bakti mengangguk sambil berbicara dengan si pengunjung. Bicara mereka singkat, sebelum si pengunjung bersalaman dan mencium tangan pak tua. Persoalan yang bersarang di benak minda Haron terjawab apabila Pak Bakti mengucapkan, "Macam biasa, ada daging dan tulang kambing sedikit untuk kita". Haron menggangguk “Kaum wanita sudah mula memasak untuk kenduri esok. Dengar khabar, rumah pun sudah siap diextend, insya-Allah, bolehlah buat kenduri selepas Maghrib esok”.

 

Pak tua menyambung bicaranya, “Ron, inilah cara hidup di kampung. Simple, benda-benda kecil pun boleh menambat hati. Jadi, jika kita pandai buat apa-apa, contohnya memasak, bolehlah disumbangkan sebagai hadiah kepada komuniti”. Haron mengangguk perlahan umpama ada benda yang bermainan di minda. “Ron, bak kata seloka orang tua-tua, kunci menambat hati melalui perut”, ucap Pak Bakti sambil mengukir senyuman.

 

Haron mengangguk lagi. Diambilnya bungkusan di tangan Pak Bakti dan dibawanya perlahan ke dapur. Dijenguknya, banyak juga tulang kambing. Haron berpaling ke arah Pak Bakti, menanyakan apa yang selalu dilakukan dengan tulang-tulang ini. Jawab pak tua, selalunya disimpan dahulu di dalam freezer. Kadang-kadang dibuatnya sup tulang, kadang-kadang digunakan sebagai umpan menangkap ketam

 

“Kamu lapar? Nak makan?”, soal Pak Bakti. Selorohnya, sekiranya Haron lapar, dia harus masak sendiri, kerana pak tua keletihan dan hanya mahu berehat.

 

“Pak Bakti, boleh ke saya masak?”.

 

“Masaklah, Ron. Gunalah apa-apa yang ada kat dapur tu”.

 

Anggukan Haron membuatkan Pak Bakti tersenyum. Ah, dia mahu berbaring sebentar. Biarlah anak muda ini masak, jika dia mahu.

 

* * *

 

Pak Bakti membongkok mencari seliparnya. Seperti kebiasaan, dia akan ke masjid sebelum maghrib dan akan duduk di sana sehingga selesai solat Isyak dan tazkirah. Dijenguknya ke dalam, untuk melihat samada Haron akan bersamanya hari ini. Meskipun anak muda itu kadangkala liat untuk mengikutinya ke masjid, namun itu pun sudah memadai buat insan yang baharu sahaja kembali mempelajari solat. Tarbiah kena berhemah, kayuh perlahan-lahan, tali layang-layang kalau disentap cepat putusnya, fikir Pak Bakti.

 

“Pak Bakti, nanti singgah kedai tak? Nak pesan boleh?”, soal Haron yang tiba-tiba muncul. Pak tua mengiyakan soalannya.

 

“Kalau Pak bakti tak kisah, minta beli barang-barang dapur ini ya?”, pinta Haron. Senarai yang dihulurkannya dibuka Pak Bakti.

 

“Insya-Allah. Pak Bakti pun memang nak tambah barang-barang dapur”, balasnya.

 

Salam diucap dan pak tua terus mengorak langkah. Dia harus bersegera, kerana temannya pasti sedang menunggu di kafe.

 

* * *

 

“Assalamualaikum…Assalamualaikum”, ucap Faizal. Salamnya tidak berjawab.

 

Faizal yang mengiringi Pak Bakti pulang dari masjid sedikit kehairanan. Selalunya, abang Haron jika tidak turut sama ke masjid, akan ada di ruang tamu, namun kelibatnya tiada malam ini. Faizal menjengah ke dalam, mendahului Pak Bakti yang masih terhegeh-hegeh membawa bungkusan plastik berisi barang-barang dapur.

 

Langkahnya terhenti di dapur. Haron kelihatan sedang sibuk. Aroma wangi nasi goreng memenuhi rongga hidung Faizal. Lantas perutnya berkeroncong.

 

Sebelum sempat dicapainya pinggan untuk menjamu selera, Faizal terhenti. Arahan dari Pak Bakti diakurinya. Barang-barang dapur dibawa ke ruang yang sepatutnya.

 

Faizal menghampiri Haron seraya bertanya, "Nak masak ke bang?". Haron mengangguk.

 

“Boleh saya tolong?”,soal lanjut Faizal.

 

“OK. Cantik jugak tu”.

 

Jawapan Haron membuatkan Faizal lupa kelaparannya. Dia tahu, jika dia ingin makan pun, mungkin hanya dia yang akan makan, kerana Pak Bakti tadi sudah menjamu sedikit makanan yang disediakan Ahmad untuk ahli kariah di masjid.

 

Faizal melihat sekeliling. Wah, banyaknya barang di dapur! Ada mangkuk berisi bahan, mungkin akan ditumis. Dicongaknya Faizal, ada 8 kuntum buah pelaga, sedozen kuntuman bunga cengkih, setengah dozen bunga lawang dan 4 batang ramuan yang tidak dikenalinya.

 

“Ini apa, bang Haron?”. Soalannya membuat Haron berpaling seketika melihat.

 

“Itu kulit kayu manis”, jawabnya. “Aik, takkan anak owner kedai makan tak tahu?”.

 

Soalan balas Haron membuat Faizal tersengih malu.

 

“Ini semua untuk apa, bang?”.

 

“Yang dalam mangkuk itu semua untuk tumisan”, jawab chef segera yang masih kesibukan. Faizal tersenyum bangga sebab sekurang-kurangnya tekaan awalnya betul. Yelah, anak pemilik kafe, sedikit sebanyak haruslah tahu memasak.

 

“Hati-hati, depan kamu tu ada benda tengah direbus. Tengok-tengokkan sikit api tu. Kalau dah kurang air, top up balik”, arah Haron. Faizal melihat periuk di hadapannya, di dalamnya terdapat tulang-tulang kambing, serai, bawang putih dan sup bunjut. Telahnya, ini mesti nak rebus sampai empuk.

 

“Ini nak rebus sampai empuk ke?”. Haron mengiyakan soalan Faizal.

 

“Banyaknya barang rebusan, apa yang abang bubuh dalam ni?”, soal lanjut Faizal.

 

“Ada halia 3-4 inci dihiris kasar, 2 labu bawang putih, 2 bungkus sup bunjut dan 4 batang serai yang abang dah ketuk-ketuk”, kata Haron berkongsi ramuan.

 

“Tulang ni berapa kilo?”, soal si Faizal, sambil tangannya menaip resepi ke dalam telefon bimbitnya. “Tulang-tulang tu campur sekali dengan daging. Rasa-rasanya sekitar 2 kilogram. Tapi kena basuh dulu”, jawab Haron. Bahan-bahan yang disebutnya pantas ditaip si Faizal.

 

“Apa nama resepi ni?”. Faizal ingin membuatkan tajuk nota di gajetnya.

 

“Itu rahsia. Dah siap nanti kamu tahulah”, jawap Haron sambil tersenyum. “Bila dah empuk nanti, asingkan tulang dari benda-benda lain, OK?”.

 

Faizal mengangguk sambil membahagi-bahagikan perhatiannya antara menyalin resepi dan memerhatikan rebusan.

 

Haron menambah lagi, “Air rebusan jangan dibuang. Nak pakai kemudian”.

 

OK Boss! Roger!”, balas Faizal tersengih-sengih.

 

Haron kemudiannya kelihatan memasukkan beberapa ramuan ke dalam blender. Pengisar yang diambilnya di hujung kanan almari diisi dengan halia sepanjang 2 inci, 30 tangkai cili kering, 20 ulas bawang merah, 4 ulas bawang putih dan seikat serai. Sambil mengisi pengisar, Haron menyebut satu-persatu ramuan. Dia pasti Faizal sedang sibuk menyalinnya.

 

Pengisar dihulurkan kepada Faizal, lalu diambil sebelum diisi sedikit air untuk memudahkan pengisaran. Punat ditekan dan bilah-bilah blender berputar ligat. Bising.

 

Sesekali tangan Faizal mematikan dan menghidupkan pengisar. Digoncangnya untuk memastikan kesemua ramuan telah diproses. Dia menoleh ke belakang, nyata Haron yang sedang sibuk memotong sayuran tidak mengendahkannya. Gelagat tekun Haron memotong 8 biji tomato yang disusuli 6 batang daun ketumbar dirakam kamera Faizal secara diam-diam. Faizal tersenyum, akan dihadiahkan imej-imej ini kepada kakaknya melalui Whatsapp. Kakaknya kan tengah mencari jodoh, yang pandai masak? Adakah ini bakal abang iparnya, Faizal bermonolog.

 

Tomato dan daun ketumbar yang telah siap dipotong dihimpunkan ke dalam sebuah mangkuk lain. Di dalamnya sedia menanti himpunan dadu 4 biji kentang dan hirisan memanjang 2 batang lobak merah.

 

“Sayur-sayur ini untuk resepi lain ke?”, tanya Faizal. Haron menggeleng.

 

“Wah, banyaknya ramuan. Mesti sedap ni!”, ucap Faizal. Haron ketawa kecil. “Belum cuba belum tahu,Faizal”.

 

“Dah siap blend semua?”.

 

“Dah, bang”.

 

OK,  sekarang pindahkan kesemuanya dalam mangkuk yang lagi satu”, arah Haron sambil menuding ke sebuah bekas lain. Faizal akur dan dicucinya pengisar, mungkin akan digunakan lagi, sangkanya.

 

Seusai mencuci blender, Faizal bertanya apa lagi yang perlu dibuat. Haron mendekatinya seraya menghulurkan 8 biji kentang dan kuali. Faizal kehairanan.

 

“Nah, kupas kulitnya, cuci dan potong”, ucapnya sambil tersenyum. Bagus juga ada pembantu.

 

“Nak potong bentuk apa?”,Faizal menyoal.

 

“Tak kisah. Lepas potong, keringkan. And then, goreng, dan kisar sampai halus”.

 

OK, chef Ron”, tutur insan yang lebih muda itu.

 

Sementara si adik menyiapkan tugasan, Haron mengasingkan tulang dari bahan-bahan rebusan. Dia kemudiannya membuka beg plastik barangan yang baru dibeli dan disusunnya di atas meja. Sebotol sos tomato, 4 biji telur ayam, 4 kiub daging, setin besar tomato puree, sebotol kicap manis, 2 cawan bawang goreng, 2 buku gula Melaka dan sebotol inci pewarna. Tingkahlakunya tekun diintip Faizal. Dia membuat nota minda, sebelum jemarinya pantas merakamkan kesemua di dalam telefonnya.

 

“Pewarna! Nak buat kek ke, bang?”.

 

“Ish, mana ada orang buat kek guna daging! Ini bahan-bahan sos untuk menu ni”, kata Haron.

 

“Oooo…”, balas Faizal. Dia semakin tertarik, semakin tak sabar untuk melihat wajah akhir makanan.

 

Selesai sahaja menyusun barang-barang, Haron meletakkan kuali di atas dapur. Minyak dicurahkan sedikit sebelum api dinyalakan. Apabila minyak sudah kelihatan sedikit panas, Haron memasukkan barang-barang tumisan. Bahan-bahan yang sedang berdansa di dalam kuali kemudian disertai pula bahan-bahan yang sudah dikisar halus. Campuran cili, halia, serai, bawang merah dan bawang putih kelihatan sudah semakin garing.

 

 

Haron sabar menunggu hingga terbit minyak. Diambilnya sebuah gelas kaca yang diisi air. Dia kemudiannya menambah ke dalam gelas 2 camca teh serbuk jintan putih, 2 camca teh jintan manis, 2 camca besar black pepper dan 4 camca besar serbuk ketumbar. Bahan-bahan tersebut digaul di dalam gelas sebelum perlahan dicurah ke dalam kuali. Sekali lagi digaulnya campuran sehingga garing dan timbul minyak.

 

Tin tomato puree disuakan kepada Faizal untuk dibuka. Kandungan tin kemudiannya diceduk dan dimasukkan perlahan ke dalam kuali, sebelum disusuli keseluruhan isi botol kecil sos tomato. Kesemuanya digaul Haron. Tangannya lincah menyesuaikan kepanasan api sebelum dimasukkan pula gula melaka, kiub-kiub daging dan 4 camca besar kicap manis. Bahan dikuali berterusan digaul sehingga gula melaka larut sepenuhnya. Haron menceduk dan menilai kepekatan sos. Ah, terlalu pekat. Segelas air ditambah dan dibiarkan memanas hingga terbit minyak. Api kemudiannya dimatikan dan kuali dialihkan ke tepi.

 

“Faizal, tolong passkan periuk besar itu”, pinta Haron. Periuk yang dihulurkan kemudiannya dijadikan rumah air rebusan. Api sederhana besar meliuk-lentuk memanaskan bontot periuk dan isinya. Haron memasukkan ketulan daging dan tulang yang sudah direbus, sambil memastikan tiada ramuan lain rebusan yang turut serta. Dikacaunya sedikit sebelum Haron melabuhkan punggungnya ke kerusi berhampiran. Langkah yang turut dimimik Faizal.

 

“Kita tunggu sekejap sampai isiperiuk mendidih”, tutur Haron. Faizal di sisinya mengangguk sambil tekun menaip senarai ramuan dan langkah-langkah memasak hidangan misteri. Manalah tahu, kalau sedap, bolehlah Faizal memasaknya untuk keluarga di hari terkemudian.

“Wah pandainya abang masak. Dulu tukang masak ke?”. Haron hanya tersengih dan mengeleng.

 

Selang beberapa ketika, Haron bangkit memeriksa periuk. Nyata, campuran di dalam periuk sudah mendidih. Haron mencapai blender berisi kentang yang sudah digoreng dan dikisar. Dimasukkan kesemuanya ke dalam periuk sebelum dimasukkan juga pewarna merah. Haron seterusnya menggaul campuran, sebelum dimasukkan sedikit garam dan gula, secukup rasa. Aksinya menguji rasa sambil mengangguk-angguk membuatkan Faizal tertawa kecil. Pandai juga abang ini memasak, fikirnya. Tidak sedikit pun kekok. Tak seperti kakaknya. Ah, malu juga jadi anak tauke kedai makan kalau tidak pandai memasak. Faizal tersenyum sendirian.

 

Faizal mengangkat pandangannya dari gajet di tangan. Kakaknya tiba-tiba bersemangat sungguh berbalas-balas mesej dengannya, mungkin penangan jejaka misteri yang handal memasak. Dilihatnya Haron masih berterusan mengacau bahan-bahan di dalam periuk sehingga kesemuanya merenih. Kemudiannya dimasukkan 2 cawan bawang goreng, diikuti bahan-bahan sayuran. Dikacau lagi sehingga lobak merah dan kentang menjadi empuk.

 

“Dah siap ke bang?”, soal Faizal.

 

Haron senyum dan berkata,“Sikit lagi siaplah. Kalau Faizal letih, takpelah, pergilah makan nasi goreng dan tontonlah TV dulu”.

 

Faizal berganjak dari tempat duduknya. Kini, dia yang berdiri betul-betul di sebelah Chef Ron terpana dek bau harum semerbak masakan yang mencucuk hidungnya. Perutnya semakin aktif berkeroncong. Temponya semakin rancak seperti ‘naik syeikh’. Ditinjaunya isi periuk. Meskipun masakan itu kelihatan agak terlalu merah, tapi Faizal sudah tidak sabar untuk merasanya. Lagipun, inilah julung-julung kalinya dia kekal lama di dapur.

 

Haron berganjak sedikit. Mata Faizal melirik mengikuti pergerakan di tukang masak. Empat biji telur dipecahkan ke dalam mangkuk, dikocak dan dicurahkan ke dalam periuk. Dibiarkan segalanya merenih seketika, kemudian api dimatikan.

 

Haron berpaling menghadap Faizal. “Dah siap dah, inilah dia… Steak tulang Singapura!”.

 

Faizal yang bagaikan singa kelaparan cepat-cepat mencapai sebuah mangkuk bersih. Dicedok dan terus dihirupnya. Wah, enaknya! Hirupan pertama pantas disusuli hirupan kedua, ketiga dan yang seterusnya. Dia tersipu malu bila Haron yang berdiri sebelahnya menghulurkan tisu.

 

“Lap mulut, nanti benda tu lekat. Merah bibir nanti”. Helaian tisu diambil dan Faizal mengelap bibirnya. Memang benar, merah, umpama darah. Melihatkan bibir yang sudah berubah warna, Haron ketawa seraya menyambung, “Kurang macholah kalau lelaki bibirnya warna merah jambu. Tak nampak kepahlawanannya!”

 

Faizal tersenyum. Dia terus memohon maaf kerana terlupa untuk mencedokkan juga buat Haron. Si tukang masak hanya tersenyum. Katanya tidak mengapa, dia boleh makan kemudian. Lagipun, dia ingin berehat sekejap menonton televisyen. Faizal mengangguk, matanya masih tertumpu ke dalam periuk.

 

Haron meletakkan kelengkapan memasak ke dalam sinki, akan dicucinya sebentar lagi. Dia ingin meluruskan pinggang seketika, lagipun mungkin ada siaran menarik di kaca televisyen. Pesannya kepada Faizal, kalau nak lagi sedap, makanlah dengan nasi goreng ikan bilis, ada kat atas meja makan. Kalau ada roti pun sedap dicicah. Tetapi, jangan balik lewat sangat, takut-takut nanti keluarganya akan risau, lebih-lebih lagi ramalan kajicuaca membuat prediksi hujan di tengah malam. Haron terus beransur ke sofa, dia tersandar kepuasan, resepinya menjadi. Sesekali matanya menjeling ke arah Faizal yang berselera makan. Haron tersenyum, hatinya gembira.

 

* * *

 

Restaurante de Especias: Perla de Oriente, Republik Ecuador

Seorang wanita yang sudah berumur sedang membelek senarai barang-barang dapur yang diperlukan restorennya. Tangannya merayap dari satu helaian ke helaian kertas inventori barangan yang ada. Cahaya pagi dari ufuk timur yang menerobos masuk menjadi semakin terang dek mentari yang makin meninggi. Siulan unggas dan reriang menjadi bunyian utama, penghibur insan yang bangkit seawal pagi di bandar ini. Ia jua melodi indah untuk mergastua yang berkelintaran di cagar alam berhampiran

 

Restoren miliknya yang dibuka tidak sampai dua tahun lalu terletak di persimpangan jalan Domingo Comin Road dan Kiruba Street. Destinasi pemuas nafsu pencari makanan berada dalam wilayah Morona-Santiago ini menghidangkan makanan fusion Asia dan Amerika Latin.

 

Wanita itu melihat jamnya, sudah hampir 7 pagi. Dia perlu memastikan keberadaan semua ramuan kerana inilah bahan-bahan ruji masakan etniknya. Segalanya penting bagi menjamin kualiti makanan dan persembahan. Walaupun restoren milik kongsisamanya dengan rakan tempatan ini masih dikira setahun jagung, 'Restaurante de Especias: Perla de Oriente' itu telah beberapa kali tersenarai dalam ruangan restoren piliha. Mujur nama yang dipilihnya itu bernilai komersial dan cukup indah, sebagai cerminan asal-usulnya dari pulau yang terkenal sebagai Pulau Mutiara.

 

Wanita itu terus meneliti sekali lagi senarai di hadapannya. Dia tahu masih belum boleh buatnya menghela nafas lega, kerana masih banyak benda yang boleh dicapai restoren miliknya. Biarpun dia satu-satunya yang berdarah etnik Cina di bandar ini, dia yakin dia boleh berjaya. Lagipun, etniknya ialah yang paling pragmatik di mana-mana pelosok dunia. Waima sekalipun cuma ada kurang dari 0.2% etniknya di negara ini, kelompok 30,000 orang yang bersaiz super-minority di negara berkependudukan 16.5 juta, mereka tetap mampu berdiri dengan gah. Kebanyakan dari bangsanya memilih untuk menetap di bandar Santiago de Guayaquil. Bandar menghadap Lautan Pasifik, yang dipisahkan jalanan berbukit sejauh 395 kilometer dari restoren ini! Namun segalanya tidak dicapai dengan mudah. Sebagai warga luar berdarah etnik asing, perniagaannya memang tidak mendapat sebarang bantuan samada dari kerajaan mahupun mana-mana agensi NGO. Tetapi tidak sesekali dia akan mudah rebah dan menyerah. Wanita itu berbangga dia tidak memerlukan tongkat. Namun sekiranya tongkat itu ada, pasti akan dirembat dan diperguna sehabis mungkin. Baginya, mahu dan perlu itu dua perkara yang berbeza.

 

Dia menoleh ke dinding dibelakang mesin cashier, lokasi kebiasaannya bertugas. Berhampiran jinmao, kucing keemasan yang sentiasa melambai-lambai pengunjung yang hadir, terpamer guestbook dan beberapa keratan akhbar.  Wanita itu tersenyum sendirian, siapa sangka, meja yang dihiasi patung kucing maneki-neko yang dimasyhurkan penulis Dinasti Tang, Duan Chengshi menjadi saksi moment yang masih segar-bugar di ingatan. Kesudian Datuk Bandar meraikan sambutan Tahun Baru Lunar di restorennya bulan lalu melonjakkan lagi prestij diri dan perniagaannya. Masih terngiang di telinga ucapan tahniah dan kata-kata semangat Datuk Bandar yang mengatakan kewujudan restoren ini menyuntik dimensi baru multiculturalism di bandar yang menjadi persinggahan utama pelancong ke Sangay National Park. Ah, Taman Negara berkeluasan 5,177.65 kilometer persegi itu memang memiliki panorama yang mengagumkan! Mujurlah dia memilih lokasi yang sesuai kerana taman itu kini menjadi tumpuan pelancong dari Asia, insan-insan yang pasti menghargai wujudnya restoren ini.

 

Wanita itu merenung jauh ke luar jendela, baginya, keamanan dan keindahan tempat ini adalah bukti kewujudan Tuhan. Walaupun si empunya restoren berfahaman ateis, dia tetap percaya ada sesuatu nun di atas sana. Baginya, jika sekalipun dia mati dalam keadaan tidak beragama, dia tetap mengharapkan agar anak wanitanya berbahagia dan menemui hidayah untuk mengenal Tuhan yang Satu.

 

Ah, Kate, anaknya yang amat liat untuk melawat. Meski sudah berkali-kali ditawarkan tiket kapalterbang, namun anak gadisnya itu tetap berhelah untuk tidak mengunjunginya. Sibuk memanjang. Bagi si pemilik restorennya, tiada gunanya dia membuka lombong emas jika anaknya itu tidak sudi untuk duduk bersama dengannya dan mewarisi restoren ini. Namun, tidak sesekali wanita ini akan berkeras. Padanya, membesarkan anak umpama bermain layang-layang, andai direntap kuat, terputus talinya, terbang yang tidak terkawal lagi. Tetapi jika terlalu erat didakap, ia terpasung ke Bumi, indahnya tak mungkin dinikmati.

 

Ketukan paruh burung yang bersinggah di tepi cermin restoren membuatkannya tersedar dari lamunan. Dia kembali fokus memeriksa inventori dan senarai ramuan yang diperlukan: halia, bawang putih, daun bawang, cili, Parsley Cina, sos tiram, minyak bijan, Serbuk Lima Herba, cuka Chinkiang, plum sauce dan black bean sauce. Semuanya sudah hampir kehabisan. Dilihatnya pula senarai sayur-sayuran, dia harus mengatur penghantaran bok choy, terung Cina, kailan, lobak putih, dan cendawan kering. Sekiranya ramuan-ramuan ini tiada, lebih baik ditutup sahaja restoren ini. Tanpa ramuan, mustahil bagi tukang-tukang masaknya menyediakan barisan hidangan hebat seperti Char Koay Kak, Chee Cheong Fun, Chow Mei Fun, Mee Sup Itik, Oh Chien, Koay Teow Th'ng dan tidak lupa juga, Mee Kari.

 

Ting! Ting! Ting!”.

 

Wanita itu dikejutkan dengan bunyi loceng pintu hadapan. Ah, pembantu dapurnya sudah tiba! Enrique, pekerja yang teramat rajin dan memiliki potensi sebagai tukang masak. Biarpun Enrique bukan dari etniknya, deria rasa dan bau miliknya memang bagus dalam persediaan makanan, baik yang fusion mahupun yang asli.

 

"La señorita Hai, buenos días", sapa pekerjanya itu. Si wanita tersenyum. Pekerjanya yang satu ini amat menghormatinya, tidak pernah tidak memanggilnya dengan namanya yang sopan, Puan Hai.

 

"Good morning, Enrique", balasnya. Si pekerja membalas senyuman Puan Hai, pemilik restoren.

 

Puan Hai menanyakan khabar si pekerja, "Cómo estás hoy, Enrique?".

 

"I am very good. Very OK", balas Enrique. Bahasa Inggerisnya sedikit tunggang-langgang, maklumlah itu bukanlah bahasa ibundanya.

 

"Has desayunado? Era bueno?", soal lanjut Puan Hai. Kejujuran dalam wajah si pemilik ketika bertanya mencerminkan yang dia benar-benar perihatin kebajikan pekerja kesayangannya.

 

"Yes, I had breakfast, Miss Hai. Taste very good. Mom cook, I eat. Thank you for asking, Boss", jawab si pekerja tu.

 

Kini, giliran si pekerja pula menyoal kembali, persis dialog kelas bahasa, "How about you, Boss? You take breakfast already?".

 

Majikannya menggeleng. Dijawabnya fasih, "Yo no lo he hecho. Voy a comer más tarde".

 

Enrique mengangguk. Memang kebiasaan Puan Hai bersarapan sekitar jam 9 pagi. Selalunya, majikannya itu akan bersarapan dengan rakan kongsi niaganya. Insan yang hanya dikenali Enrique sebagai Mr M itu adalah seorang pesara tentera, bekas tukang masak Ejército Ecuatoriano, turus tentera darat Angkatan Tentera Republik Ecuador. Kebiasaannya, mereka akan bersembang mengenai bisnes dan berita semasa, dan hari ini tiada bezanya.

 

Enrique meneruskan langkahnya ke dapur. Beg sandangnya harus disimpan rapi sebelum dia memulakan tugasan. Sememangnya, anak muda ini kagum dengan semangat majikannya, Puan Hai. Biarpun berasal dari Pulau Pinang yang terletak beribu kilometer jauhnya dan tidak ramai yang menggunakan bahasa Sepanyol, majikanya memang nekad dan rajin dalam menyesuaikan diri. Bulan demi bulan berlalu, dan kini Enrique perasan yang majikannya sudah seakin selesa berbahasa Sepanyol, bahasa rasmi di Ecuador.

 

Puan Hai tersenyum simpul. Baginya, dia harus sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan. Dia juga perlu memastikan ikatan yang dibina dengan warga kerja dan masyarakat sekeliling kekal utuh. Bagi si peniaga ini, dia tidak boleh sesekali terlalu bergantung kepada rakan kongsinya yang memang berasal dari negara ini. Imbangan kepercayaan dan rasa curiga itu adalah antara rahsia kenapa kaumnya ramai yang berjaya berniaga di mana-mana.

 

* * *

 

Keesokan paginya, tatkala ingin melangkah ke masjid untuk bersolat Subuh, Pak Bakti menjenguk seketika ke bawah tudung saji. Pak tua yang terlena awal selepas pulang malam tadi memang jarang mengambil makan malam yang berat. Kebiasaannya, dia akan hanya menikmati sekeping roti canai di Kafe Sahabat sewaktu pulang selepas Isyak.

 

Dia terlihat makanan yang merah menyala. Diambil baunya, sedap.

 

Haron yang turut sudah terjaga menyapa pak tua. Kata Pak Bakti, barangkali, makanan ini harus dibawa ke kenduri. Boleh dikongsi bersama di meja potluck.

 

Haron kelihatan ragu-ragu. Katanya, makanan itu biasa-biasa sahaja. Lagipun, memang tidak mencukupi untuk semua hadirin. Pak Bakti tersenyum.

 

“Tidak mengapa, Ron. Bawa sahaja, rugi kalau hidangan yang sedap tidak dikongsi bersama. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, kan?”, ucap Pak Bakti. Haron mengangguk. Dia membuat nota minda harus menyalin makanan itu ke bekas yang lebih semenggah untuk dihidangkan.

 

Haron menggunakan hari minggu ini dengan perlahan menapak menerokai pulau. Meskipun Pak Bakti ada juga membawanya bersiar-siar, perjalanan seorang diri jauh lebih menenangkan. Setibanya Haron ke tepi pantai, seliparnya ditanggalkan. Sambil berkaki ayam,dia menghampiri gigi laut. Sejuk, terasa segar kakinya disentuh air jernih Lautan Hindi.

 

“Awak pun suka collect cengkerang?”.

 

Haron berpaling. Suara gadis yang menyapanya membuat dia terkejut seketika.

 

“Atau awak nak cuba lari dari atoll ini? Jauh nak direnang”, tutur si gadis yang turut ketawa kecil.

 

Haron mengalihkan pandangan ke lagoon di hadapannya. Batang tubuh beberapa insan kelihatan di sana. Hujung minggu memang waktu santai. Ramai juga yang bermain sukan air. Barangkali, gadis ini juga sebegitu, fikir Haron.

 

“Eh, tak… saya sebenarnya…”.

 

“Saya tahu. Saya bergurau sahaja tadi, Haron”, tutur si gadis.

 

“Eh? Macamana awak kenal saya? Saya kenal awak ke?”, soal Haron. Dia kaget. Kakinya yang tadi sedang mengocak air laut terhenti.

 

Si gadis tersenyum. Hati Haron bagai dipanah busur yang indah.

 

“Jangan lupa datang kenduri malam ni, ya?”, ucap si gadis seraya berpaling.

 

Haron termangu seketika. Insan yang menegurnya telah berlalu pergi. Siapa pula gerangannya itu?

 

* * *

 

Haron dan Pak Bakti antara yang terawal tiba di rumah Ahmad. Kenduri kesyukuran dan akikah masih belum bermula. Sementara menunggu ketibaan jemaah yang lain dari masjid dan rumah masing-masing, mereka bersembang. Dalam lembut, Pak Bakti memuji tindakan Ahmad yang cepat-cepat melakukan akikah. Katanya, lebih afdhal dibuat sebegitu. Itulah yang lebih utama, berakikah dan memberikan nama di hari ketujuh. Segala kenduri-kendara dan bab-bab adat yang lain boleh dilakukan kemudian, yang penting bersama-sama mengejar sunnah Nabi sebaik mungkin.

 

Teguran pak tua disambut baik hadirin. Ada yang mencelah, katanya nasib baik tak dapat kembar tiga anak lelaki, pengsan orang kampung nak makan kambing banyak-banyak! Selorohnya itu disambut ketawa berdekah-dekah insan di sebelahnya. Dalam diam, Haron tersenyum mendengar gurau senda mereka. Beberapakali dia mengangguk. Rupa-rupanya, budaya akikah di sini sedikit berbeza. Dia masih kebingungan, perbezaan relatif dengan tempat asalnya, namun tidak pula dia tahu dari mana datangnya dia. Memorinya yang samar-samar mulai kembali, tetapi tidak banyak membantu. Ingatannya banyak berkisar kisah hidupnya ketika kecil, barangkali dirangsang persamaan budaya penduduk pulau ini.

 

Setelah semakin ramai tiba, tuan rumah mempelawa semua yang sedang bersantai di bawah khemah agar masuk ke rumah. Pelawaan yang ditolak lembut Haron. Dia masih segan. Haron menoleh sekeliling. Pandangannya hinggap ke kelompok kaum ibu di khemah seberang. Di sana terdapat gadis yang menyapanya pagi tadi. Mata mereka bertentangan, berbalas senyuman.

 

Sayang tersenyum simpul, ingatannya masih teringat gambar-gambar dan usikan yang dibuat Faizal sejak mengetahui Haron boleh memasak. Pertemuan di pantai pagi tadi turut membungakan lagi hadirnya. Keletah insan misteri yang sedikit kebingungan agak comel buatnya.

 

Kenduri pun bermula dan bakul selawet semakin penuh.Sampul-sampul berisi duit dihadiahkan para hadirin yang kebanyakannya mengambil kesempatan mencukur jambul kembar sepasang. Dari bawah khemah, Haron terlihat beberapa talam berisi mangkuk-mangkuk dan pinggan di meja berhampiran potluck. Fikirnya, mungkin itulah adat tujuh mangkuk bubur, 3 pinggan pulut kuning dan ayam panggang yang tadinya dibicarakan Pak Bakti dan Pak Sufi. Adat yang tidak sepatutnya melewatkan ibubapa dari berakikah di hari ketujuh.

 

Seusai si kembar diserahkan kembali ke dakapan ibu yang menanti, kedengaran suara Pak Ahmad menjemput hadirin menjamu selera. “Ayo, jemput makan. Jangan malu-malu”.

 

Lantas si hadirin mula menjamu selera. Makanan-makanan yang disumbangkan hadirin lain turut dikongsi bersama. Namun, malam ini, nyata hidangan merah menyala Haron menjadi topik bual bicara.

 

“Wah, sedaplah, Haron!”.

 

“A’ah, mana kamu belajarni?”, soal yang lain pula. Pujian demi pujian dilontarkan, membuatkan Chef Ron tersenyum lebar.

 

“Memang sedap, Bang! Akak saya pun suka. Dia kata, nanti dia nak buatkan sambal ikan gerapu untuk abang pula”, celah Faizal. Hadirin memberikan reaksi terkejut. Kata-kata itu membuat hati Ashaari menggelupur kepanasan. Haron yang tidak mengerti betapa sukarnya mengendalikan ikan itu sedikit kehairanan.

 

Pak Sayang bertanya apakah nama resepi tersebut. Jawab Haron, itulah steak tulang. Bila ditanya lanjut, dari mana asalnya, dijawabnya pendek “Dari Singapore”.

 

“Jadi, kamu dari sana ke? Dari Singapura?”, soal Pak Sayang.

 

Haron menggeleng. “Entahlah Pak Sayang, saya tidak tahu. Mungkin ya, mungkin tidak. Saya tak ingat”.

 

“Takpelah, Haron. Perlahan-lahan nanti ingatlah tu…”, pujuknya. Dipeluknya erat bahu si Haron.

 

“Abah, saya tahu resepi ni. Boleh masukan dalam menu kafe kita, tak?”, celah Faizal. Haron di sisinya mengangguk lemah.

 

“Kalau Haron izinkan, apa salahnya. Dia pun warga pulau ini juga”. Kata-kata Pak Sayang laksana simfoni kata terindah buat Haron.

 

“Tapi, nak bagi nama apa ya? Steak tulang? Steak tulang merah?”, soal Faizal. Mindanya berimaginasi imej yang akan disertakan dalam menu baharu kafe.

 

“Steak tulang Haron pun OK”, ucap hadirin yang lain.

 

“Ish, macam pelik je bunyi. Macam cannibal lah pulak!”, bantah Faizal.

 

Tiba-tiba, Ahmad memberikan usul. “Apa kata kalau dinamakan ‘Steak merah pulau’?”. Cadangannya disambut anggukan tanda setuju Haron dan insan-insan yang lain.

 

Namun tidak semuanya gembira. Ashaari yang masih mencuka tiba-tiba bertanya, “Ni halal ke? Merah semacam je. Darah ke hapa?”.

 

Tersentak Haron dibuatnya. Mujur ramai yang menegur si Ashaari yang celupar.

 

Faizal merapati Haron dan memaut bahunya. “Biarkan dia tu, Bang Haron. Dia jealous, sebab tak reti masak. Masak air pun hangus”, ucapnya selamba.

 

Haron tertawa. Meski kata-kata Faizal tidak masuk akal, ia sedikit sebanyak menghiburkan. Begitu juga hadirin yang lain. Kalimah-kalimah sempoi Faizal meredakan suasana. Haron gembira kerana nyata orang kampung sudah mula menerimanya. Cuma yang masih dirisaukan, dia tidak tahu siapa dirinya yang sebenar. Dia tertanya sendiri bagaimana boleh terdampar di pulau ini. Dari mana dia datang? Ke mana dia ingin pergi? Apakah dia sedang melarikan diri? Kalau ya, kenapa dan dari siapa? Mungkinkah mereka akan kekal mesra dengannya seandainya dia bukan insan yang baik-baik?

 

* * *

 

Setelah kira-kira sejam berlalu, Pak Ahmad menghampiri Pak Bakti.

 

“Pak Bakti, selalunya, kita baca doa sebelum makan je. Apa kata, kali ini, kita baca doa selepas makan pula? Boleh anak-anak kecil belajar sekali”, cadangnya.

 

Pak Bakti mengangguk. Sambil tersenyum, dia merenung Pak Sufi. Nyata, Pak Sufi memberikan penghormatan pula buat pak tua untuk membaca doa. Mungkin, sebagai imbangan pada tuan imam yang telah membaca doa sebelum makan.

 

Dengan penuh sopan,tangannya ditadahkan. Titis air basuhan tangan menitik ke meja. "Bismillahirrahmanirrahim”, doa dimulakan. Hadirin turut menadah bersama.

 

Alhamdulillahi kathiran toyyiban mubarokan fihi ghaira makfiyyi walamuwadda'in wala mustaghnan 'anhu robbana. Segala puji bagi Allah dengan pujian yang sebanyak-banyaknya, sebaik-baiknya dan penuh keberkatan padanya, tanpa berkesudahan, tanpa ditinggalkan, tanpa diabaikan, wahai Tuhan kami. Amin, amin ya Robbal Alamin…".Ringkas doa yang dibacanya, namun penuh erti.

 

Seusai dia berdoa, ada yang bertanya kenapa doanya lain dari yang biasa dibaca. Dengan penuh kelembutan dijawabnya, “Lafaz doa ini mafhum hadis bertaraf sahih yang dibacakan Rasulullah. Tercatat dalam Sahih Bukhari, dalam Juz ke-3, iaitu hadis bernombor 5458”.

 

Jawapannya mengundang persoalan lanjut. Ramai bertanyakan bagaimana pula doa-doa yang lain,terutamanya yang termayshur dan diajarkan anak-anak. Jawab Pak Bakti “Ia tidak seharusnya dijadikan isu. Doa yang masyhur itu turut bererti baik”.

 

“Tapi, adakah doa itu juga dari hadis? Apakah ia bersatus dha’if? Ataupun maudhu’?”, soal yang lain pula.

 

Sambil tersenyum pak tua berkata, "Wallahua'lam. Dan Allah sahaja yang Maha Tahu. Saya bukan pakar hadis". Penjelasannya diangguk insan sekeliling. Namun Pak Bakti menambah lagi, katanya seandai diucapkan "Alhamdulillah",itu juga memadai.

 

* * *

 

Haron melabuhkan punggungnya di kerusi buggy. Bekal makanan yang dibungkus Pak Ahmad diribanya. Bekas periuk yang tadinya berisi santapan kemerahan kini kosong, disendalkan di tempat duduk belakang.

 

“Haron, sebenarnya, Bakti itu nama saya”, tutur lembut pak tua yang memandu pacuan yang telah meninggalkan lokasi kenduri.

 

“Tapi…”, Haron menghentikan bicara apabila melihat keseriusan wajah Pak Bakti.

 

“Nama ‘Pak Bakti’ diberi Abu Sufiyyah yang mula-mula memperkenalku kepada pegawai polis. Dia menemuiku 25 tahun yang lalu. Saya terdampar di beting pasir yang sama tempat Ryan dan Nuh menemuimu”.

 

Mata Haron terbeliak seakan tidak percaya.

 

“Setelah beberapa minggu di lautan, bot si penculik yang masih terbakar terhempas ke batu…”, ucap pak tua sambil airmatanya yang terkumpul bergenang perlahan menuruni wajah yang berkedut.

 

“Setelah beberapa hari terdampar, saya tersedar dek patukan camar laut. Itulah pertama kali aku bersolat dalam keadaan tidak berpakaian sempurna, auratku terdedah. Namun,syukur, masih ada nyawa buatku”. Terkebil-kebil Haron mendengar kisah pak tua. Yang lebih memeranjatkannya, insan tua itu tetap bersolat walau dalam apa keadaan sekalipun.

 

“Oh, kesiannya…”, kataHaron.

 

Pak Bakti mengukir senyuman. “Tidak mengapa, Ron, setiap dari kita ada ujian yang tersendiri. Kadangkala, apa yang kita sayangi itu bukan yang terbaik untuk kita. Ada hikmah di sebalik setiap yang menimpa. Yakinlah, Tuhan tidak menguji melampaui apay ang mampu kamu tanggung. Barangkali, itulah cara Dia berbicara dengan kita”,tuturnya, disusuli bacaan ayat-ayat suci ke-216 dan ke-286 dari surah al-Baqarah.

 

Mendengarkan kalimah-kalimah agung, Haron mengangguk perlahan. Redha, bukan pasrah. Meski dia tidak mampu mengingati kesemua sejarah silamnya, dia pasti pernah ada insan yang pernah disayangi dan menyayanginya. Namun, dia hampir pasti cara mereka bukanlah yang diredhai-Nya.

 

“Apa yang penting, jangan sesekali kamu menjauhi-Nya. Solat jangan tinggal, biar dalam apajua keadaan”, pesan Pak Bakti.

 

“Walaupun dalam keadaan bogel? Tiada pakaian?”, soal Haron. Mindanya kembali teringat penceritaan pak tua.

 

“Ya, jika waktu solat sudah semakin suntuk dan darurat tiada pakaian yang boleh menutup aurat, harus bagimu bersolat walau dalam keadaan bogel”, balasnya. Haron terkejut.

 

Pak Bakti menyambung lagi, “Bersolatlah seperti biasa kerana kewajipan menutup aurat gugur dalam keadaan tertentu. Memenuhi rukun-rukun solat itu lebih penting berbanding memelihara fardhu atau syarat sah solat”.Pak tua menoleh ke wajah Haron yang ternganga. “Namun, ini hanya terpakai dalamkeadaan betul-betul darurat, seperti dikurung tanpa pakaian, dirompak habis semua harta benda, ataupun terdampar dalam keadaan segala yang berdekatan telah terbakar atau musnah. Ingatlah, solat tetap solat, ia tetap wajib”.

 

Haron mengangguk. Dihadamnya perlahan perkara yang baharu diketahuinya.

 

“Pak Bakti…”.

 

“Ya, Ron?”.

 

“Tapi, macamana Pak Bakti boleh dapat nama ‘Pak Bakti’? Bukankah sepatutnya kena ikut nama anak pertama? Pak Bakti takde anak ke?”,soal Haron.

 

“Ron, itu hanya norma kebiasaan. Kadang-kadang, ada pengecualian, contohnya, Pak Sayang”.

 

Haron berpaling ke arah pak tua. “Bukannya anak Pak Sayang ada dua sahaja ke? Sayang tu yang paling tua, kan?”.

 

Pak Bakti menggeleng. “Bukan. Anaknya ada lima orang. Meskipun Sayang adalah anak daranya yang kedua, Sayang adalah yang pertama dilahirkan di atoll ini”.

 

Pak tua menyambung lagi, “Rasa-rasanya, anaknya yang lain semuanya bekerja di luar negara, di Malaysia”. Haron mengangguk berkali-kali seraya mindanya merakam segalanya.

 

Buggy dihentikan setibanya mereka dirumah. Segala kelengkapan dibawa turun. Periuk besar dan makanan disimpan Haron di dapur. Malam sudah agak lewat dan dia keletihan untuk mencucinya.

 

Tatkala Haron ingin melangkah masuk ke kamar tidurnya, bahunya ditepuk lembut Pak Bakti.

 

“Tentang soalanmu tadi, saya punyai sekurang-kurangnya seorang anak. Isetriku juga sedang hamil semasa aku berkunjung ke Sabah dan diculik”, ucap Pak Bakti.

 

“Nama anak pertamaku… Aisyah”.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi