Home Novel Umum HANYUT
HANYUT
Husin Walker al-Rumi
18/9/2017 11:44:27
13,723
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 9

BAB 9: “KUCING”

 

Bilah-bilah kipas berdiri meniup angin ke dalam kedai mamak. Tiupan dari kipas bersaiz besar itu kering kerana salur suntikan titisan air tidak diaktifkan. Maka berterbanganlah kertas menu order, membuatkan seorang gadis berambut mahogany brown membongkok untuk mengutipnya.

 

Namun, kertas terus dibawa bayu, dan singgah di kaki meja berhadapan tempat duduknya si gadis. Penghuni meja itu mengutipnya dan dihulurkan kembali pada Kate dengan wajah yang disertai senyuman menguntum. Akhirnya, senarai pesanan air kopi ais kembali ke meja C4. Ah, gabungan aksara-aksara yang agak suwei bagi mereka yang percaya. Namun, gadis berbangsa Cina ini sudah tidak kesah, sudah terlalu banyak perkara buruk menimpanya.

 

Mata dan sebahagian besar wajahnya terlindung di sebalik kanta berwarna perang gelap. Prada PR26RS menyembunyikan mata Kate yang sembap dan kemerahan, tangisan berterusan hilangnya Aaron. Pagi ini ialah yang pertama dia menjejakkan kaki keluar. Sudah seminggu dia mengunci diri di bilik tidurnya. Cuti kecemasan, mindanya semakin tidak keruan. Habislah sudah semua stok biskut, dan mi segera. Lagipun, dia bukannya berselera benar untuk makan.

 

Pagi ini, Kate melangkah keluar dari kepompongnya kerana Aisyah yang berhubungan dengannya melalui sistem pesanan ringkas kuat memujuk. Kata Aisyah, barangkali Kate perlu mengambil udara segar, takut-takut kemurungan muncul.

 

Perhatiannya tertarik pada mamat di meja hadapan yang baru sebentar tadi membantunya. Jejaka si pemilik rambut belah tengah itu kelihatan khusyuk menaip di telefon bimbitnya, laksana insan mengarang novel. Sesekali, tangannya membetulkan kacamata, sambil dilontar pandangan ke persekitaran. Gelas-gelas berisi teh halia dan ais kosong dihirupnya berselang-seli, semacam wujud ritma yang berulang-ulang: hirup teh, taip, hirup ais kosong, taip, pandang kiri kanan, taip.

 

“Dik, mana Kopi Lelaki Istimewa saya?!”, soal keras lelaki di meja lain yang berdekatan. Gadis itu mengerling, terlihat seorang lelaki tersengih-sengih bersuara keras tentang pesanan segelas kopi tenaga. Mata Kate menenung tepat ke susuk tubuh yang dibaluti baju Bolce & Gabbana. Itu pasti jenama kopek, tiruan. Lelaki itu umpama terlalu bangga mengumum pada seluruh dunia air yang didambanya.

 

Kate tersenyum kecil apabila teringat jenaka teman-teman Melayu modellingnya. Kata mereka, tidak sepatutnya mana-mana kaum Adam berbangga memesan minuman sebegitu, kerana ia hanya menunjukkan mereka lemah tenaga batin mahupun fizikal, sehingga berterusan membutuhkan minuman sebegitu. Sambung mereka lagi, seandainya lelaki itu betul-betul kuat, mungkin mereka akan memesan sebaldi ‘Kopi Bacul’, tanda mereka memerlukan bantuan untuk mengurangkan kekuatan yang berlebihan! Logik, bukan? Lagipun, dah la tiada abdomen jenis ‘six packs’, ada pula perut 6-in-1 pack, gumpulan daging perut memboroi.


Kaki Kate tersentak kerana umpama disentuh sesuatu. Dia menoleh ke bawah. Oh, rupa-rupanya ada seekor kucing yang menggesel, cuba bermanja dengannya. Haiwan comel berkaki empat mendongak, matanya yang biru bertentang tepat ke bebola mata Kate,laksana mewujudkan komunikasi dalaman.

 

Gadis pemilik nama sebenar Song Yùqīng ini memang menyukai kucing. Bahkan, namanya yang bila dituturkan (“Song Yu-ching”) juga mirip benar dengan sebutan ‘sang kucing’. Sebutan yang bertukar menjadi panggilan nakal teman-teman di bangku sekolah rendah, sehingga nickname Cat dan Catwoman lekat pada dirinya.

 

Insan itu sememangnya dari asal tidak betah dipanggil sebegitu. Segalanya berubah tatkala dia menyambung pelajarannya bersekolah menengah di Pine Grove Secondary School di New York. Dia terpaksa berpindah dan bersekolah di situ kerana tugasan ibunya sebagai editor majalah fesyen. Di sanalah dia mula meminati pine trees. Lawatannya ke dusun pepohon pain amat menambat hati, hinggakan gadis itu sehingga kini menggunakan coraknya sebagai latarbelakang telefon bimbit dan laptopnya. Bahkan, keychainnya juga berbentuk pine tree. Bagi Kate, bentuk itu mungkin kunci kepada ketenangan dan ketenteraman jiwanya. Memori indah buatnya, sebelum badai pergelokan rumahtangga di New York memutuskan talian antara ibu dan bapanya.

 

Nama popularnya yang bertukar menjadi Kate Song berubah sekali lagi menjadi Kate Pinegrove apabila dia menyambungkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Visual Arts di Miami International University of Art & Design. Nama komersial yang terhasil tanpa dirancang ketika Kate menggalas tugas menggayakan rekaan fesyen sahabatnya. Dia menggantikan model yang dijangkiti selesema mengejut. Rakan serumahnya semasa di universiti, Keren Weissman di waktu itu panik, kerana tiada peragawati untuk menggayakan rekaannya di fashion show buat para pelajar tahun akhir jurusan Fashion Design. Mujurlah gadis Asia bertubuh cilik yang menjadi rakan serumahnya sudi memperagakannya.

 

Rekaan Keren yang berkonsepkan fusion memenangi tempat kedua. Tatkala ditemuramah, Keren tersasul memberikan nama Kate Pinegrove pada si ‘model’. Nama yang terhadir secara automatis di waktu keghairahan itu akhirnya melekat pada si empunya badan. Mungkin kerana ianya mudah disebut dan sedikit ranggi, maka tinggilah nilai komersialnya.

 

Persahabatan Kate dan Keren, gadis Yahudi warga USA itu kekal akrab sehingga kini. Keren beragama Kristian, seperti majoriti gadis-gadis lain di universiti itu. Ianya sesuatu yang membuatkan Kate bertanya apabila dia meninggalkan agama tradisi turun-temurunnya iaitu agama Judaism, apakah hilang taraf keYahudiannya? Keren hanya menggeleng. Katanya, buat dirinya dan bapanya, itulah tangapan mereka. Sambung Keren lagi,tidak semua yang berketurunan Yahudi itu beragama Judaism, meskipun status Yahudi itu adalah satu identiti ethnoreligious. 


Ciri-ciri identiti yang turut terwujud pada identiti Melayu-Islam.

 

Keren juga pernah berkata, tidak semua Yahudi itu menyetujui tindakan kejam rejim Zionis. Sesuatu yang sukar dihadam dan dipercayai Kate. Jelas Keren, dia dibawa ke Amerika Syarikat oleh ayahnya yang lari dari bertugas sebagai tentera rejim. Hujahnya, mana mungkin hatinya sanggup melukai jiran-jirannya yang sudah lama dikenali, walaupun mereka berbeza bangsa. Namun, pendirian ayah Keren bukan sesuatu yang mudah difahami, waima sekalipun oleh isterinya sendiri. Kate masih teringat jawapan Keren pabila ditanya bagaimana pula reaksi ahli keluarganya yang lain yang masih di Timur Tengah. Keren terdiam sebentar, katanya apa yang mampu dia ingati semula adalah ancaman ibunya untuk menggantung diri sekiranya si ayah meneruskan rancangan  berhijrah meninggalkan rejim itu. Namun, Keren tidak pasti pula apa yang berlaku seterusnya. Keren menyambung lanjut dengan nada tenang yang dia lebih bahagia dengan hidupnya sekarang. Bukannya Kate tidak tahu, hati Keren sedang berbunga melayan cinta berteduh kasih dengan seorang jejaka Muslim. Pernah terucap di bibir Keren, seandainya memang sudah tertulis buatnya, mungkin dia akan masuk Islam. Andainya ia terjadi, maka lengkaplah trilogi kepercayaan si Keren Weissman.

 

“Adik manis, ini ayer. Sori, sikit lambat, ais sudah habis”. Kata-kata warga Bangladesh yang menghidangkan kopi aisnya membuatkan Kate tersentak dari lamunan. Dia menoleh sekeliling. Kelibat Aisyah masih belum tiba. Kate mengerling jam tangannya, memang dia yang salah, terawal tiba kerana ter-overestimate kesesakan jalan dari Kuala Lumpur ke Bangi.

 

Kate menghirup perlahan air yang sedikit pekat. Si peragawati ini masih di dalam mood berkabung. Bersendirian dalam sedih. Ingin mengadu, tidak tahu pada siapa. Ibunya kini nun jauh di penjuru yang lagi satu dunia. Sang bapa pula telah lama meninggalkan mereka. Hanya satu saudara sedarah dagingnya, si abang pula kini berkeluarga di Montreux, Switzerland. Kate tidak sampai hati mengganggu kehidupan bahagia milik abang dan kakak iparnya. Takkan nak diganggu semata-mata untuk berbicara hal ini?

 

Ingin juga Kate berdoa, namun dia tidak tahu bagaimana. Meskipun kini dia mendambakan sentuhan-Nya, Kate bukanlah seorang yang taat beragama. Peragawati yang datang dari keluarga yang mewah namun berantakan ini lebih tepat jika digelar seorang yang irreligious. Hidupnya dahulu dipenuhi hiburan terlampau gaya hedonis. Agama hanya wujud buatnya pada had-had tertentu, di hari-hari yang tertentu. Itupun hanya semata-mata kerana secara kebetulan pokok kegemarannya juga adalah simbol untuk menggambarkan konsep triniti sembahan. Simbol yang didakwa kononnya dipelopori Saint Boniface tika berdakwah di kurun ketujuh kepada bangsa Jerman yang pagan. Selepas beberapa kurun, pokok itu seterusnya semakin sinonim dengan sambutan tahunan. Hiasan dianggap laksana bintang-bintang menyinari kehidupan ketika di syurga. Bintang di puncak pula gambaran bintang Baitulmaqdis yang menyambut kelahiran sembahan, ditemani patung-patung bersayap gambaran malaikat yang turut bergembira. Ada juga yang percaya pokok kegemarannya itu adalah pokok syurga, lalu dihiasi dengan epal-epal merah simbolik buah terlarang. Epal-epal yang kini digantikan dengan hiasan bulat-bulat berwarna merah. Pokok yang simple, namun membawa seribu makna. Kate pernah terfikir, insan-insan beragama lain yang meniru hiasan ini, adakah mereka tahu apa maknanya, atau mereka sekadar pak turut? Meniru tanpa ilmu, sehasta demi sehasta, sejengkal demi sejengkal, sehingga jika yang diikuti termasuk ke lubang biawak, mungkin masih ada yang meniru kerana disangka cool.

 

Bagaimana pula tentang Islam? Itu suatu agama yang acapkali kini menyinggahi hatinya. Sebelum pertemuannya dengan Aaron, dia sudah tertarik pada agama yang satu ini. Agama di mana tiada perantara antara manusia dan Sang Pencipta. Agama yang mengajar bahawa Tuhannya sempurna, suci dari sebarang kelemahan. Agama yang... ah, banyak benar yang dirasakan baik tentangnya. Cuma fi'il pengamalnya kadangkala menjengkelkan Kate, sehinggalah dia bertemu Aisyah. Hanya Aisyah satu-satu teman bicaranya melalui khidmat pesanan ringkas. Insan yang sudi mendengar, dan mungkin mampu memberinya talian untuk dia mendekati Dia.

 

Kate menghirup air dalam gelas di hadapannya. Kick dari kafein merangsang emosi. Reaksi tindakbalas 1,3,7-Trimethylpurine-2,6-dione, alkaloid jenis methylxanthine memberi tenaga buatnya untuk kembali berfikir bila dan di mana dia akan bertemu semula dengan Aaron.

 

"And when people step out this red line, I’ll never let them to go. Never laugh cause this is the dead end. Is it my end before it start to show". Telefon mamat di meja hadapan berdering, lagu ‘Redline 95’ lah nada deringnya. Kate kenal benar lagu itu. Lagu bertempo rancak kumpulan otai tempatan, Shizuka Ben Aman yang kerap diputarkan kereta si jantung hati. Fikir Kate lagi, mesti telefon mamat itu dipenuhi lagu-lagu dari kumpulan seperti Butterfingers, OAG, The Pilgrims, Juliet The Orange, Nice Stupid Playground, dan Intoxicated, saling tak tumpah bagai selera muzik Aaron. Mata si gadis memerhati sekeliling, entah mana perginya si mamat tu, mungkin mencuci tangannya seketika. Berani betul, main tinggal je handphone atas meja. Mungkin dia peminat grunge level taiko, hinggakan tiada siapa berani mengambil barangannya.

 

Tiba-tiba, Kate terasa bahunya disentuh. Dia berpaling. 


Ada Aisyah… dan juga Rashid?

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi