Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Cinta SHIA
Bab 39

Enjin kereta dah cukup panas untuk bergerak. Gear masih di dalam mode parking. Nedim mengetuk-ngetuk steering kereta dalam usaha melengahkan masa. Dah beberapa kali kepala menoleh ke susuk yang berdiri hampir dengan pintu kereta.


"Janganlah awak risau. Saya pandai jaga diri. Ke awak yang tak okey? Awak masih mengantuk dan letih ke Nedim?"

"Hati ni masih rasa berat nak tinggalkan awak. Tambahan lagi mengenangkan apa yang berlaku semalam dan awal pagi tadi. Shia, jom ikut saya balik ke Bangi? Mesti Nenda suka."

Shia tak pasti Nedim bergurau atau serius. Yang pasti pelawaan itu memang akan ditolak. 

"Boleh..."  

Shia tahan rasa nak ketawa bila nampak Nedim mula melebarkan bibir. Cepat-cepat ayat tergantung dihabiskan.

"Tapi bukan hari ini. Lain kali di waktu yang mengizinkan." 


Senyuman Nedim terbantut. Pagi-pagi lagi dia dah terkena dengan jenaka Shia. Rasa panas hati segera dikalihkan ke topik lain.

"Awak dah buka hadiah saya ke belum?"


Hadiah? Oh! Bungkusan itu. Shia hanya menggaru-garu kepala.


"Nah! Simpan baik-baik resit ni." 

Nedim menghulurkan dua keping kertas kecil. Sebaik sahaja jemari Shia memegang kertas tersebut, Nedim kejapkan pegangan. Panahan pandangannya terus menusuk ke dalam anak mata Shia.

"Call saya okey? Setiap hari pun tak apa. Kalau tak sudi bertanyakan khabar saya, Shia boleh bercakap dengan Nenda. Nenda tu... selalu sangat terkenang Shia."


"Insha Allah."


Dah puas hati barulah Nedim melepaskan pegangan. Hon dibunyikan sebelum kenderaan mewah itu bergerak keluar dari halaman rumah. Setelah itu barulah Shia perasan Walid dah tercongok di atas motosikal yang di parkir tepi pangkin. Hati dahulu menegur, 'Awalnya lelaki itu bertandang.'


Seperti biasa, Shialah yang kena beralah. Walid hanya membatu diri di situ ketika Shia melangkah ke arahnya. Pagi itu memang indah. Tiada suara garang yang menyapa Shia. Kata-kata diujar penuh sopan. Walid bagaikan lelaki asing hari ini.


"Assalamualaikum. Kau apa khabar, Shia?"


Sedetik... 

dua detik... 

tiga detik... 

Shia terawang-awangan. Selepas itu barulah Shia kembali ke alam nyata. Salam Walid disahut. Begitu juga dengan perkhabaran tentang dirinya.


Sepi menjadi pendinding di antara mereka lagi. Amat kekok keadaannya tetapi Shia biarkan sahaja. Mata Walid dah merewang ke merata tempat. Bicaranya masih belum kedengaran.

"Hurm... Aku nak sampaikan pesan Mama."


Hah! Pesanan Mama Walid? Takkan sebegini pantas! Wajah Shia dibayangi cemas. Tak terasa rahangnya jatuh. Awal pagi lagi keamanannya dah terenjat dek pesanan Walid.


"Bukan pasal hal tu la Shia. Ishh, kau ni. Ke situ pula!"


Nada sebegitu baru kedengaran macam Walid. Shia hela nafas panjang. Mahunya dia tak risau. Dengan amaran Walid tempohari, macamana dia nak lari dari masalah itu?


"Mama aku ajak kau satu sekeluarga datang rumah malam ni. Nak ajak makan malam. Dia mahu ucapkan terima kasih atas jasa kau 'selamatkan' aku." 


Mesti sengaja Walid kuatkan suara semasa menyebut perkataan 'selamatkan' tu. Tetapi selagi tiada tanda-tanda amarah Walid, Shia pekakkan telinga sahaja.


"Aku kena tanya Abi dengan Ummi dulu. Nanti aku call kau."

Pesanan Mama Walid dah selesai tetapi lelaki itu masih tak bergerak dari situ. Shia tertunggu-tunggu apa lagi yang Walid nak sampaikan.


"Aku... Aku... pun nak ucapkan terima kasih. Kalau aku keseorangan semalam... Entahlah... " Mata itu memancarkan resah. Shia faham benar apa yang Walid nak bagitahu.


"Tak mengapa Walid. Yang penting kita selamat. Ihsanpun sama. Benda dah nak jadi. Lagipun, kejadian tu bukannya atas kehendak kita. Adalah tu hikmahnya."

"Hm... Memang besar hikmahnya." 

Tenungan Walid memang lain. Tiada benih kemarahan. Tenang sahaja sinar mata yang menjamahnya, setenang wajah lelaki itu ketika ini. Bertentangan dengan Shia, perasaannya dah tak tentu arah. Gemuruhnya semakin menjadi-jadi. 


"Kalau macam tu aku balik dulu. Aku tunggu kau malam ni. Jangan tak datang pulak."


Anak mata mengekori belakang Walid sehingga lelaki itu hilang di pandangan. Hati Shia berkeluh kesah.

'Kenapa dengan Walid hari ini? Atau kenapa dengan aku ni? '

Bukan sekali dua dia rasa berdebar bila berhadapan Walid. Cuma debaran tadi agak kemuncak. Kalau lebih lama lagi Walid di situ, mahu dia tercungap-cungap dan pengsan di depan Walid.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.