Home Novel Cinta SHIA
Bab 46

Walid memakir motosikal di sebelah kereta Nedim. Matanya tajam melirik ke kenderaan di sebelah. Mujur pandangan itu lunak semasa dijatuhkan ke wajah Shia. Shia menyapa Walid dengan senyuman. 

"Aku ada hal... nak cakap sikit dengan kau. Kau ada tetamu ke?"

Shia tahu soalan Walid itu merujuk kepada Nedim. Kepala diangguk membenarkan sangkaan Walid.

"Ha ah, sepupu aku baru sampai. Tapi dia tengah tidur kat atas. Aku ingat nak masak sikit. Lapar."

"Pergilah buat kerja kau dulu. Lepas tu kita sembang."

Ternyata perlakuan Walid tak sama dengan bicaranya. Shia menyangka Walid akan membiarkan dia membuat kerja bersendirian. Tak sangka pula lelaki itu membontoti setiap langkah dihala sehinggalah ke ruang dapur. 

"Kau nak masak kan? Apa apa-apa yang boleh aku tolong?"

Beras yang telah dibasuh terus ditanak di atas dapur. Memandangkan ada kemungkinan dua lelaki akan menemaninya makan sebentar lagi, Shia tambah beras sebanyak dua kepul lagi.

"Hurm... cuba kau ambil bawang dekat situ. Potong nipis."

Shia tak mampu pujuk hati agar alihkan mata ke tempat lain. Nampak kecil sahaja bawang besar itu di tangan kekar Walid. Warna merah bawang tiba-tiba sahaja mengiurkan.

"Nak kena buang kulit dulu ke?"

Sah-sah Walid tak rajin ke dapur kalau perkara asas macam tu pun tak tahu. Meskipun hati dah buat rumusan, karenah Walid dilayani sahaja.

"Hmm. Buang kulit luar dulu, lepas tu hiris nipis."

Shia mula menumis setelah Walid selesaikan tugasan. Bawang dimasukkan ke dalam minyak panas. Semerbak aroma bawang garing memenuhi ruang dapur. Perut Shia tambah berkeroncong. Di kesempatan itu Shia menegur, "Orang tak potong bawang macam tu Walid. Yang kau buat tu dah masuk kategori cincang , bukan hiris." 

Lincah sahaja tangan si gadis mencapai semangkuk ikan bilis yang telah dibasuh bersih lalu dimasukkan ke dalam kuali bersama-sama cili padi. Akhir sekali barulah terung pipit yang dipetik tadi dicampur dan digaul bersama tumisan ikan bilis. Sedikit garam dimasukkan sebagai penyedap rasa. Bau tumisan segala rencah benar-benar menaikkan selera makan Shia. 

"Kau tolong hiris kasar pucuk bebuas tu. Jangan sampai hancur macam bawang tadi."

"Ala... masuk dalam perut nanti, lagi hancur." 

Mulut pantas menjawab selari dengan pisau yang ligat beraksi di tangan Walid. 

Lauk pertama siap dimasak. Cadangnya nak masak lemak pucuk bebuas pula. Shia guna santan kotak yang sedia ada. Keluhan yang dah nak terkeluar hanya ditelan tatkala melihat daun hijau yang beraroma itu senasib dengan bawang. Lunyai dan hancur ditetak Walid. Walau bagaimanapun, Shia gagal menahan soalan yang meluncur laju dari bibir.

"Kau tak pernah tolong Mama kau masak ke Walid?"
Pisau di jari Walid membaham papan kayu sambil menutur bicara. 

"Nak buat apa. Mama dan Bibik suka bersembang hal perempuan di dapur. Malas aku nak masuk campur."

"Sempit betul kepala otak orang lelaki ni. Pada pendapat akulah kan, kat dapur ni lah tempat paling mudah nak ambil hati orang perempuan. Caranya, makan aje." Shia ketawa di hujung ayat.

"Bunyi pelik je ayat kau tu. Haah, sama pelik macam kau."

Ketawa Shia bersambung lagi. Memang Walid sedang menyindir, tapi kelakar di pendengarannya.

"Memasak ni, luaran kau nampak bagai dicampak-campak je bahan-bahan ke dalam periuk. Hakikatnya memasak ni adalah persembahan sebuah kasih sayang. Sebabnya, ada ingatan terhadap insan tersayang dalam proses tu. Nak tentukan menu, Mama kau akan masakkan lauk kegemaran kau. Pemilihan bahan masakan, dah tentu dia akan pastikan bahan yang segar dan berkhasiat. Biar anak dia yang sorang ni sihat. Jadi, kalau kau berselera makan hasil air tangan dia, dah tentulah hati dia gembira. Apatah lagi kalau kau bantu dia di dapur, lagi la dia rasa dihargai. Kan senang tu."

Panjang syarahan Shia, kalah mamanya. Namun, Walid ada kesimpulannya sendiri.

"Jadi, kira aku dah berjaya ambil hati kau la sekarang ni."

Macamana Walid boleh menghala bicara ke situ. Kedengaran janggal tapi mendebarkan jiwa perempuannya. Shia rasa dah mati akal nak mengelak berperasaan indah sebegini. Tambah-tambah lagi tatapan lunak Walid mengiringi bicaranya itu.

"Contoh tu... Hurm... untuk perempuan yang sayangkan kau la... Mama kau atau isteri kau ke nanti." 

Penolakan maksud kasar bicara Walid tadi bertujuan untuk menutup bayang malu yang kian menyerlah di wajah. Shia tak pasti bicaranya itu berjaya atau tidak menyembunyikan rasa yang seirama dengan denyutan deras nadinya.

"Untuk kau pun boleh Shia. Kau jadilah isteri aku."

Mahunya Shia tak tergamam mendengar kata-kata sebegitu walaupun dalam intonasi yang sangat bersahaja. 

Pelawaan itu terkandung lamaran! Biar betul Walid ni! Atau kepala dia yang salah mentafsir? 

Bagai nak dihentakkan sahaja kepala ke meja makan. Mungkin gegaran kecil dapat menambah kewarasan serta bijaksanaan akal. Tetapi anak mata Walid berterusan memakunya. Simpulan senyuman tulus lelaki itu pula menambah lagi kekakuan. Shia hanya mampu menghantar bicara hati tanpa suara. 

Kali ini Walid tak larikan diri. Dia benar-benar serius dalam bersahaja. Anak mata Shia dibiar bertatapan lama dengannya sehinggalah ada suara asing yang menegur mereka.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.