Home Novel Cinta SHIA
Bab 16

Kereta mewah menjalar ke perkarangan rumah Rafei. Seorang wanita tua keluar dari pintu penumpang. Dia diiringi seorang pemuda memasuki rumah Rafei setelah salam mereka berbalas. Tidak lama kemudian pemuda tadi keluar dari rumah lalu membawa diri ke pangkin di bawah pohon ceri.


Bermalas-malasan di petang hari sebegini sememangnya enak. Sementelah jarak pemanduan yang agak jauh, dapat meluruskan pinggang dan belakang merupakan satu nikmat. Sebaik sahaja mata terpejam, seluruh kepenatan beransur hilang. Kenikmatan bersambung lagi. Gambaran seorang gadis anggun dan bergaya memenuhi ruang kosong. Wajah jelita itu mendamaikan. Sesak dadanya sedikit lega sebelum ingatan kembali ke wajah tua berkaca mata. 


Kehendak nenda sukar ditegah. Nedim tahu sangat. Kalau dibangkang kepala angin orang tua itu alamat dilanda taufanlah segala urusannya kelak. Dek kerana itulah dia turutkan jua kemahuan nenda dan gagahkan juga ke mari walaupun baru sahaja mendarat di lapangan terbang. Hanya sekadar itu. Kemahuan nenda yang satu lagi masih membuat dadanya sesak.


"Aduhai Nenda!" 


Keluhan Nedim mengejutkan Shia. Gadis itu berhasrat untuk menjenguk tetamu. Kelibat kereta tadi jelas dari dalam kedai. Kaki Shia beralih arah apabila terlihat sekujur tubuh terbaring di lantai kayu. Perlahan-lahan langkah diatur menghampiri pangkin. Mata pemuda itu masih terpejam. Shia yakin suara tadi datang dari pemuda itu. Elok sahaja Shia menghulur tengkuk untuk memeriksa gerangan di situ, kelopak mata lelaki itu terbuka. Jeritan turut terlepas apabila mulut si pemuda terbuka sama.

"Aaaah!"

Cepat-cepat Shia menutup wajah dengan kedua tapak tangan. Diri mengutuk perbuatan semberono sendiri. Menyesal pula bertindak tanpa berfikir panjang. Jeritan itu pasti disebabkan raut wajahnya.


Nedim bingkas duduk lalu mengesot ke belakang. Nafas lelaki itu berbunyi kencang. Shia mengundur perlahan-lahan.

"Nanti!"

Langkah Shia tertangguh. Setelah tiada lagi suara yang menegah, Shia undur lagi.

"Sekejap! Awak... Shia ke?"

Suara itu teragak-agak. Shia renggangkan jari, mengintai empunya suara dari situ. Perlahan kepala diangguk.


Nedim menghela nafas dalam-dalam. Dia tahu serba sedikit tentang gadis itu dari mulut nenda. Cuma dia tidak menyangka perkenalan mereka agak mengejutkan sebegini.

"Jangan takut. Tadi... saya terkejut... sikit."

Kelakar bunyi ayat Nedim di pendengaran Shia. Siapa yang takutkan siapa sebenarnya?

"Awak boleh turunkan tangan. Tak payah nak berselindung." 

Nedim cuba memujuk. Usahanya gagal. Gadis itu terus sahaja berpusing ke belakang untuk beredar.


Hasrat untuk bertanya perihal tetamu tadi dibatalkan. Shia lupa bahawa raut wajahnya amat asing di mata orang luar. Akan tetapi jalan gadis itu terhalang apabila Nedim berjaya menyaingi langkah Shia. Setelah itu sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan cemas agar tak terlalu dibias pada wajah. Rupa gadis itu lebih buruk daripada apa yang dibayangkan. Lantaran hal itu di luar sangkaan,  sudah pasti reaksinya juga di luar kawalan apabila wajah sebegitu tiba-tiba sahaja menjelma tadi.


Oleh kerana sudah tak mampu mengelak, Shia hanya tundukkan kepala. Permohonan diaju penuh sopan.

"Encik boleh tolong ke tepi sikit? Saya nak masuk ke dalam rumah."

Nedim masih tak berganjak. Hanya kepala ditoleh ke belakang.

"Rumah tu? Aa ahh!" 


Nedim ketawa sambil menepuk dahi. Dia hampir terlupa akan tujuan mereka ke situ. Tak sangka dia dapat berjumpa Shia dahulu daripada nenda.

"Sudah tentulah awak dah tak sabar-sabar nak jumpa nenda."

Shia mengerut kening. Panggilan nama itu spontan keluar dari mulut. "Nenda?"

"Ya. Nenda awak. Nenda saya."

Pada mulanya kata-kata Nedim tak masuk dalam kepala. Tatkala Shia mengangkat wajah, dia sudah tak perduli akan pandangan Nedim terhadap mukanya. Suara Shia antara dengar dan tak dengar.

"Nenda... saya... ?"


Kali ini kening Nedim pula yang berkerut. Menyaksikan reaksi Shia, tiba-tiba sahaja terasa oksigen dah habis dalam dada. Nedim menghela nafas yang panjang.

"Awak..." Nafas dihembus laju. Lelaki itu tercungap sebelum udara disedut semula.

Bicaranya sama seperti Shia, tersekat-sekat.

"Awak... tak tahu lagi ke? Tentang... Nenda? Papa dan mama awak?"


Mendengar perkataan papa dan mama dari mulut Nedim serta merta membuatkan Shia goyah. Shia undur langkah setapak. Dia mahukan lebih ruang untuk bernafas dan berfikir. Tubuh dah terasa seram sejuk dan menggigil.


Nedim juga panik tetapi dia cepat menguasai keadaan. Tangannya menyambar bahu Shia. Gadis itu nampak macam nak pitam.


"Mari kita duduk dulu."

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.