Home Novel Cinta SHIA
Bab 10

Senyuman itulah yang menangkap hati Nenek Jah tatkala ia dipertontonkan kali pertama kepada dunia. Itu adalah kerana tangan tua itu yang menyambut kehadiran Shia ke alam ini. Masih jelas di ingatan Nenek Jah akan wajah cemas ibu muda yang sedang lelah menahan kesakitan lapan tahun yang lalu. 


"Makcik, kalau ikutkan kata doktor lambat lagi saya nak bersalin. Bulan depan."


"Budak ni kalau dah sampai masa dia nak keluar, bukannya tunggu cukup kira-kira kita. Tak apa, Makcik ada. Kita usaha dan tawakkal sahaja. Hospital dan klinik desa jauh dari sini. Tengah-tengah malam pula tu."


Ibu muda itu mengangguk lemah. Suaminya yang senantiasa ada menemaninya menurut sahaja. Alhamdulillah, proses kelahiran amat mudah. Bayi yang jiwanya seputih kain kapas itu terus dipangku oleh bapanya. Berkali-kali dicium bayi itu. Air mata yang mula berlinangan dikesat dengan belakang tangan. Ketika ibunya pula memangku anak mereka, lembut sahaja suara sang suami memujuk.


"Kita tak boleh pelihara dia, Sayang. Sayang fahamkan keadaan abang. Kalau kita nak ambil hati bonda, mungkin bukan dengan anak ini."

Lara sungguh hati si ibu menatap anak yang baru keluar dari perutnya setelah bersusah payah mengandung selama sembilan bulan.

"Sham tak malu dengan keadaan anak kita, Bang. Dia tetap darah daging kita biar bagaimanapun rupanya. Tolonglah abang. Janganlah dipisahkan dia dengan kita."

Menderu-deru air mata yang mengalir memohon simpati. Hati si suami telah tekad. Pandangan yang dilontarkan kepada isteri bagaikan lontaran tombak. Menghiris dalam sehingga ke lubuk hati.


"Bagi saya pelihara dia tuan, puan. Tak semua orang mahu menjaganya. Kasihan dia kalau dijaga oleh tangan yang kurang sabar. Teraniaya dia nanti."

Anak kecil dicium lagi. Berkali-kali sehingga puas sebelum si ayah menyerahkannya kepada Nenek Jah.

"Maafkan ayah dan ibu, sayang. Ada rezeki kelak, kita akan bersama semula."


Sejalur imbasan kenangan sahaja sudah mampu membuat air mata Nenek Jah merembes keluar. Dikesat-kesatnya air yang terasa di hujung mata sebelum bukaan mata Nenek Jah luas terbeliak. Di kala itu ada mata lain sedang galak memerhatikannya. Sepasang mata pemilik badan bersisik yang merayap di tanah.


Meskipun ini bukanlah detik pertama pertembungan mereka, Nenek Jah tak pernah ambil ringan. Kaki diundur perlahan-lahan ke belakang. Binatang itu masih tegak berdiri merenung.


Nenek Jah tahu ada lurah dalam di belakangnya. Cuma dia tidak menyangka batu tempat dia berpijak berlumur lumpur. Akibatnya, kaki tergelecek pada anak batu yang licin dan tubuh hilang imbangan. Hanya nama Allah sahaja yang sempat disebut sebelum terjatuh.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.