Home Novel Cinta Dirgahayu Tuanku
Dirgahayu Tuanku
AnnSelasih
24/7/2019 18:48:58
1,016
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Sudah puas Raja Hussain membelek wajah-wajah mereka satu persatu. Lima belas orang dalam satu barisan. Tiga belas baris kesemuanya. Satupun tidak menyamai imej yang melekat di kepalanya. Mana mungkin Raja Hussain dapat melupakan wajah yang hanya sejengkal dengan mukanya.

"Di mana kamu cari benda ini Malim? Langsung tak berguna!"

Bebola mata Raja Hussain masih rapat dengan kanta cermin. Tangannya bergerak-gerak ke kanan dan kiri perlahan-lahan berulang alik.


"Kan Tengku bilang mahukan yang terbaik. Oleh yang sedemikian itu, habis hamba selongkar bangsal serta tempat menjaja semua saudagar di Kota Melaka daripada Si Benggali Putih, Si Hitam Goa, Siam, Parsi sampailah Si Mata sepet Ming. Hasilnya, nah! Ini empat terbaik yang patik perolehi."


Raja Hussain tegakkan badan. Sekilas pandangan dilarikan ke dalam dulang perak di sisi. Teropong paling besar dan panjang masih erat di dalam genggaman Raja Hussain.

"Empat? Satu di tangan beta, dua lagi di sini, mana satu lagi?" 

Berubah sebentar wajah Malim. Pantas sahaja dia melindungi kebohongan di sebalik ketawa besar.

"Aduh! Hamba ini sememangnya lebih tua daripada Tengku. Cepat benar kena penyakit lupa. Bukan empat Tengku, tetapi tiga." 

Tiga anak jari diangkat tinggi manakala sebelah tangan lagi menjalar ke belakang baju, menepuk-nepuk sesuatu perlahan.

"Yang sebetulnya, Tengku cari apa?" 

Raja Hussin mempamerkan senyuman senget sebelum menyambung semula kerjanya tadi.

"Beta mencari... hmm.. Musang. Ya, musang berbulu mata lebat dan suka tendang orang."

"Eh! Tengku nak buat apa dengan musang ? Bukannya boleh dimakan."


Luas terbeliak biji mata Malim, tak percaya dengan apa yang baru didengari. Raja Hussain ketawa kuat.


"Beta mahu tangkap musang itu dan ikat di batang pokok. Selepas itu, lumurkan kerengga di seluruh badannya. Biar dia tahu tempatnya di mana."


"Buat apa tangkap musang, lebih baik petik bunga. Aduhai! Indah sungguh bunga di celah susuk sanggul."


Tersengih-sengih Malim menutur kata sambil meneropong. Barangkali dia tak sedar ayat yang baru sahaja terkeluar daripada mulutnya. Akibatnya, laju sahaja teropong di tangan Raja Hussain hinggap di kepala Malim.


"Aduh! Sakit Tengku." 

Terlepas teropong yang sederhana besar dari tangan Malim. Dibawanya tangan ke kepala, menggosok-gosok kuat.


"Kamu dah lama hidup Malim? Kelak akan beta adukan kepada kekanda Raja Mahadewi, biar dia korek-korek biji mata kamu."

Malim gelengkan kepala laju-laju. 

"Tak mahu Tengku. Ampunkan hamba Tengku."


"Bunga yang kamu intai itu, kesemuanya bunga larangan. Bahkan mata yang mahu memandangnya sahaja, sudah pasti bukan sembarangan mata." 


Kini , teropong di tangan Raja Hussain di hala ke arah timur. Meskipun jauh, imej Raja Mahadewi bersama-sama dua lagi sahabatnya di taman larangan nampak sungguh jelas. Bunga mawar merah yang dipetik, tersemat erat di bawah lipatan sanggul mereka.


Corong telinga Raja Hussain menangkap gema siulan dari perkarangan istana. Raja Muhammad mendongak ke anjung kamar Raja Hussain di tingkat empat istana besar. Tangan dilambai-lambai ke udara seketika sebelum menghadang keseluruhan matanya. Pasti silauan bak manikam yang terpancar dari kemuncak kubah istana telah memanah mata Raja Muhammad. Setelah itu dia berpaling semula menghadap kumpulan pasukan keselamatan yang sedang rancak berlatih.


"Mari, Malim. Kita turun ke bawah."

Malim menurut sahaja kemahuan putera rajanya. Raja Hussain segera menghampiri Raja Muhammad yang berdiri keseorangan. 


"Ini semua orang-orang Datuk Lelawangsa?" 

Jika tadi, Raja Hussain hanya mengintai dari jauh, kini wajah-wajah hulubalang istana diteliti semula satu persatu. Dia juga dapat melihat dengan jelas Datuk Lelawangsa yang sedang mengawasi anak buahnya dari belakang.


Raja Muhammad perasan riak hampa di wajah adindanya.

"Adinda rasa gerakan mereka masih lemah? Mahu kekanda gandakan masa latihan mereka?" 


Tersentak Raja Hussain mendengar usul kekandanya. Pasukan Datuk Lelawangsa adalah antara yang terbaik di Balai Temenggung. Ahli-ahlinya merupakan mereka yang terpilih, disaring dari peringkat kampung dan jajahan. 


"Elok benarlah jikalau kekanda amat mengambil berat akan hal ehwal keselamatan dalam negeri. Akan tetapi dari pemerhatian adinda dari tadi, gerak langkah silat mereka amat pantas dan cekap. Hanya perlu ditambah baik sedikit sahaja lagi, mungkin." 


Raja Muhammad menepuk-nepuk bahu Raja Hussain. Amat jarang sekali adindanya menunjukkan minat terhadap hal ehwal dalaman Melaka. Latihan yang saban hari dijalankan di Balai Temengung juga tidak pernah dijenguk. Permintaan Raja Hussain agar latihan harian kumpulan yang diketuai oleh Datuk Lelawangsa diadakan di perkarangan istana amat mengejutkan. Apa muslihat adindanya kali ini? Atau perkara apa yang sedang dia sembunyikan daripada pengetahuannya?


"Adinda mahu mengepalai kumpulan Datuk Lelawangsa? Kekanda boleh aturkan." 


Raja Hussain menggeleng dan tersenyum. Tiada balasan mahupun alasan yang diberikan kepada kekandanya. Raja Muhammad mengeluh perlahan. Tindak tanduk Raja Hussain semakin sukar untuk ditelah. Terasa hubungan mereka saban hari semakin luas menjarak.


"Kekanda kesal kerana semakin kurang meluangkan masa dengan adinda. Maafkan kekanda."


Nada Raja Muhammad berbaur kesal dan ikhlas amat meruntun hati Raja Hussain. Sebenarnya sedikitpun dia tidak ambil perduli akan hal itu. Malah, dia amat berbesar hati seandainya beban kekandanya itu dapat digalas bersama-sama.


"Usahlah kekanda gusar atau..." 


Kata-kata Raja Hussain mati di situ melihatkan anak mata kekandanya terpaku mengekori sosok-sosok tubuh yang sedang melangkah gemalai mendekati mereka. Dia bagaikan.. hmm.. dipukau?


Kekanda Raja Mahadewi serta tetamu-tetamunya semakin menghampiri. Tiba-tiba sahaja Raja Hussain merasa pergelangan tangannya hebat dicengkam Raja Muhammad. Aneh ! Wajah kekandanya masih tidak berubah dari tadi.


Raja Hussain tundukkan kepala seraya mengucapkan selamat. Dipamernya seraut kemanisan buat gadis-gadis cantik itu.


"Assalamualaikum kekanda Raja Mahadewi. Semoga kekanda sihat wal'afiah serta dipayungi rahmat Tuhan hari ini dan selamanya."


Kedua belah pipi Raja Hussain ditarik kuat. Raja Mahadewi mencebik.


"Wa'alaikumussalam adinda. Amboi! Amboi! Sejak bila pula adinda kesayangan kekanda ini penuh tertib dan sopan tatkala menyapa. Sudah tiada lagi peluk cium untuk kekanda seperti selalu?"


Kata-kata Raja Mahadewi disambut hilai tawa rakan-rakannya. Wajah Raja Hussain menyirap kemerahan. Berkali-kali air liur ditelan menahan malu. Raja Mahadewi bagaikan penganti bondanya. Kepada kekandanya itulah ditumpahkan segala kemanjaan dan kasih sayang setelah kemangkatan bonda. Raja Hussain tunduk ke bawah sambil menggaru-garu kepala. Ketawa Raja Mahadewi semakin kuat.


"Mari kekanda perkenalkan dengan tetamu khas kita. Ini Puteri Bongsu, anak Raja Siak yang turut serta di dalam rombongan Seri Udani semalam. Manakala, seorang lagi pula... Hmm.. Sudah tentu adinda berdua kenal bukan? Siapa lagi jika bukan anak dara jelita Seri Nara Diraja Tun Ali, Tun Senaja."


Perkenalan ringkas oleh Raja Mahadewi memutik rasa malu di hati kedua gadis. Mereka tidak mengangkat mata sedikitpun meskipun bibir menggaris senyuman.


"Kekanda berhajat mahu membawa tetamu istimewa kita ini pusing keliling Kota. Sudikah adinda-adinda iringkan ? Bolehkah adinda Raja Muhammad ?"


Tak sempat Raja Hussain menjawab, laju sahaja tangannya diseret Raja Mahadewi. Raja Muhammad yang hanya berdiam dari tadi menurut langkah mereka dari belakang. Manakala Panglima Hitam pula menyusul di belakang Raja Muhammad.


Seperti kebiasaannya, kota Melaka tidak pernah tidur. Siang dan malam nadi perniagaan berdenyut-denyut mengepam kemakmuran Melaka. Kapal-kapal besar dari luar Kepulauan Melayu dan Sumatera senantiasa tiba di pelabuhan Melaka. Siang hari bagaikan pesta saudagar-saudagar meriah berjualan manakala malamnya pula derapan kaki-kaki lembu dan kuda yang mengangkut barang dagangan daripada kapal ke dalam Kota Melaka bagaikan menari-nari memecah sunyi.


Meskipun matahari telah terpacak tinggi di atas kepala, awan tebal tetap galak berkumpul di dada langit. Cuaca sungguh mendamaikan dan redup. Wajah-wajah riang mewarnai Raja Mahadewi, tetamunya serta kekandanya Raja Muhammad. Malah, Panglima Hitam yang jarang-jarang tersenyum juga berwajah ceria. 


Raja Hussain menoleh ke kanan, memerhati raut Raja Muhammad. Kerap benar senyuman bertandang ke bibir kekandanya tatkala mata asyik merenung anak dara Bendahari Temenggung yang hanya beberapa langkah di hadapan . Nama Raja Muhammad sering sahaja meniti di bibir anak dara di Melaka, termasuklah dayang-dayang istana. Sudah pasti, sebagai pewaris tahta kerajaan Melaka, kekandanya itu laris untuk dijadikan calon menantu oleh para pembesar Melaka bahkan negeri-negeri di bawah naungan Melaka baik di Tanah Semenanjung mahupun di seberang Selat sana. 


Tersentak Raja Hussain apabila belakang tubuhnya ditepuk kuat. Dia tidak menoleh setelah mengecam suara yang mendayu-dayu di telinga.


"Sampai sungguh hati kalian meninggalkan hamba keseorangan tanpa berteman. Hati ini.. Oh! Hati ini sunguh pilu dan berduka lara sendirian.."


"Hmm.. untuk berapa detik kedukaan tuan hamba itu Tun Besar? Satu.. dua detik..?"

Tun Besar melabuhkan tangan di tengkuk Raja Hussain sambil ketawa. 


"Tengku sememangnya amat memahami hati patik. Siapa Si Jelitawan di hadapan? Mari patik bantu Tengku memikat sang bunga. Yang mana satu idaman kalbu? Wajah bersinar cerah laksana purnamakah atau yang berleher jinjang rambut ikal terurai hingga ke bahu ? "


Tujahan laju siku Raja Hussain ke dada Tun Besar menjawab kesemua soalan yang diaju. Bertambah kuat ketawa Tun Besar.


"Menanti bulan jatuh ke riba, pasti tak kunjung tiba Tengku."


Raja Hussain memerhatikan sahaja lagak rakan sepermainannya itu. Sering benar dia dijadikan bahan jenaka rakan-rakannya andai berkisar soal gadis. Bukannya dia tiada nafsu mahupun kemahuan, cuma.. hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta. Itu sahaja.


Sebiji bola tiba-tiba sahaja tersasar ke arah mereka. Sepantas kilat juga Tun Besar melompat dan menanggung bola berkali-kali di atas kepala sebelum melempar semula dari arah ia datang. Beberapa pengawal Kota sedang melayan waktu senggang dengan bermain sepak raga di tengah pasar. Baru sahaja beberapa langkah diatur, bola raga itu kembali menujah mereka. Tun Besar cuba menyambutnya lagi akan tetapi kali ini cubaannya gagal. Objek bulat itu kencang menghala ke arah Tun Senaja. Terlalu terkejut, Tun Senaja hanya membatu diri dan memejamkan mata. Dalam gerakan yang amat pantas, Raja Muhammad menjadikan tubuhnya sebagai benteng. Bola melantun kuat di belakang badan Raja Muhammad, menghilangkan imbangan tubuhnya lalu terjatuh mengenai Tun Senaja. Kuat jeritan Raja Mahadewi menyaksikan peristiwa itu.


"Adinda!!" 


Kepala Tun Senaja terhantuk ke tanah. Mujur Raja Muhammad sempat menampan kepala Tun Senaja dengan tangannya sebelum kedua-duanya terjatuh. Raja Muhammad terkaku sebentar. Segala keriuhan di sekelilingnya tidak diperduli. Dia hanya melihat keindahan yang terpampang di hadapan mata kepalanya. Bertentangan dengan semua wajah tegang yang sedang mengerumuninya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.