Home Novel Cinta SHIA
Bab 54

Sebentar sahaja tubuh terseret kasar. Setelah itu Shia dihumban ke lantai simen. Pedih memijar di tapak tangan yang melecet. Belum lagi menoleh melihat Si empunya jahat laku, Shia dah kecut perut. Suara garau yang menyapa di belakang menyentak tangkai hati.

"Woi! Pandang ke sini sekejap. Aku nak tengok kau ni manusia ke makhluk asing."


Sebaik sahaja tubuh berpusing menghadap suara tadi, beberapa wajah turut menyapa Shia. Tiga orang lelaki kesemuanya. Dua daripada mereka dah menghadapkan lensa kamera telefon bimbit tepat menghala ke arah Shia. 

Lelaki yang menarik Shia tadi semakin merapati. Shia cuba mengundur tetapi tubuh dah terhalang dek dinding bangunan. 

Kepala lelaki asing itu terteleng-teleng cuba mengamati wajah Shia dalam kesamaran malam. Ketawa deras terbit dari mulut berhias kumis itu

"Kau ni kalau berlakon dalam filem seram tak payah nak bersolek bagai. Natural horror."

Kata-kata nista itu bersambut dengan deraian ketawa rakan-rakannya. Dua pemuda rapatkan jarak mereka dengan Shia agar wajah aneh itu kelihatan jelas di layar telefon bimbit. 


"Tolonglah. Saya mohon... jangan apa-apakan saya."

Sekali lagi kolam mata melimpah dengan air jernih. Baru sangat perasaan cemas menghilang, kini Shia terpaksa berhadapan dengan situasi yang sama lagi. Terasa bagaikan nasib malang menjejaki dirinya sebaik sahaja dia keluar dari kawasan kampung. 

Sudah tentu rayuan itu bersahut gegak ketawa. Tetapi tak lama. Mereka semua tertoleh ke belakang apabila hentakan tapak kasut bergema memecah sepi. 


Kelibat seorang lelaki tampak berbalam-balam dalam kegelapan. Langkahnya kemas tersusun dan gagah. Kesemua pemuda itu bingkas bangun. Dua daripada mereka maju beberapa tapak ke hadapan, menanti manusia yang sengaja mencari nahas.

Di luar dugaan, dalam sekelip mata sahaja lelaki itu tiba-tiba muncul di depan kedua pemuda tadi. Tak sempat salam diberi apatah lagi sapaan, baju mereka direnggut kasar lalu serentak keduanya dijulang sehingga kaki renggang dari lantai. 


Sekilas, lelaki itu menoleh ke arah Shia sebelum berpaling ke arah pemuda-pemuda di kedua tangannya. Satu lemparan melayangkan pemuda di tangan kanan ke dalam tempat pembuangan sampah di hujung bangunan. Satu lagi hayunan terbang tinggi mencecah hujung pulai. Tubuh pemuda itu tersangkut di celah dahan pohon yang menaungi sampah sarap.

"Adam?" 

Hanya nama itu yang dapat disebut. Setelah itu leher Shia terjerut dengan lengan pemuda yang menunggu di sebelahnya. Tubuh Shia bersandar erat di tubuh pembuat onar.

"Kalau kau berani rapat, gadis ini tak akan selamat!"

Getaran suara pemuda itu amat jelas. Berselang-seli bebola matanya meliar ke arah dua rakan yang terpelanting jauh dengan lelaki yang menjelma entah dari mana. 


Kecaman tidak diendahkan. Lelaki misteri itu menguis kayu kecil yang melintang di simen dengan hujung kasut. Apabila batang kayu itu melantun hingga ke paras muka, satu jentikan dikenakan. Kayu pipih itu berputar ligat bagaikan bilah kipas dalam satu garisan lurus deras menujah pemuda yang menjadikan Shia tebusannya.

Pak! 

Sasaran lelaki misteri itu mengena. Raungan berkumandang. Tangan pemuda itu segera menampan dahi, membendung darah yang membuak-buak menuruni wajahnya. 


Jerutan di leher Shia terlepas. Shia turut terduduk ke lantai apabila sebelah tangan pemuda itu berpaut pada tubuhnya menyokong tubuh daripada terjatuh. Dalam mengaduh kesakitan, pemuda jahat terhoyong-hayang bergegas melepaskan diri dari situ. 


Shia tak sedar bila hero penyelamatnya telah berdiri di sisi. Sebelah tangan terhulur kepadanya. Shia mengambil kesempatan untuk meneliti raut wajah asing itu dengan lebih dekat. Sumpah! Shia nampak Adam tadi, bukan seseorang yang tidak dikenali. Ada aura aneh pada jeda yang disengajakan itu. Anak mata bening yang sedang menatapnya menyelinapkan suatu rasa. Mata itu bagaikan mengenalinya.


Perlahan-lahan Shia hulurkan tangan. Dalam satu gerakan pantas, lelaki itu mengenakan topi Nedim di kepala Shia sebelum mencapai tangan Shia. Sentuhannya bagai mengalirkan renjatan salji ke dalam kulit Shia. Tangan yang sedia sejuk rasa membeku. Satu sentapan lembut sudah cukup untuk menarik badan Shia agar tegak berdiri.

Bibir itu mempamerkan senyuman nipis tatkala menutur kata. 

"Berhati-hati. Manusia pandai menyembunyikan wajah sebenar mereka.Yang terzahir di khalayak itu hanyalah topeng kepura-puraan."

Bersama sebuah pesanan ringkas jejaka misteri beredar dari situ. 

Bagai tersedar dari pukau, Shia termangu-mangu memandang belakang penyelamatnya. Memang ada sesuatu yang ingin dia tanya.

"Tunggu! Hei, awak siapa?"


Tanpa menoleh, tangan diangkat tinggi lalu dilambai-lambai bersama satu laungan. 

"Kau kenal siapa aku, Shia."

"Hah!" 

Wajah Shia penuh kedutan. Apa yang dia dengari memang jelas tetapi apa yang ingin dipercayai kabur.


Previous: Bab 53
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.