Home Novel Cinta SHIA
Bab 2

Bab 2


Hidangan malam itu amat ditunggu-tunggu. Dari ruang tamu sudah mengit bau ikan pekasam yang sedang digoreng dengan cili kering dan bawang besar. Kecur air liurnya melihat timbunan labu yang bergenang di dalam kuah santan. Padanan masakan yang sangat enak telah terhidang di atas meja.


“Baca Bismillah dulu sebelum makan. Nanti syaitan mengendeng nasi Shia tau kalau tak baca doa. Tu yang makan banyak tapi rasa tak kenyang-kenyang.”


Berbantut suapan Shia. Lantas doa makan dibacakan dengan suara kuat beserta Basmalah. Bila perut dah separuh sendat, barulah Shia teringatkan sesuatu.


“Nek, kalau benda tu tak nampak, dia wujud tak?”


Nasi di dalam pinggan Nenek Jah masih banyak. Nenek Jah tertib setiap kali menghadap makanan. Nasi akan dikunyah lama sebelum ditelan. Biar mudah hadam katanya.


“Hurmm…” Itu sahaja jawapan Nenek Jah. 


Shia yang masih menanti jawapan panjang lebar neneknya tiba-tiba sahaja berubah wajah. Berkerut muka Shia menahan nafas.


“Nek!! Busuklah” 

Bukaan mata cucunya luas menegur perlakuannya.  


Nenek Jah ketawa perlahan tetapi berpanjangan. 

“Mana ada nenek kentut. Ada Shia dengar atau nampak kentut nenek?”


Shia terdiam. Otaknya sedang ligat berfikir. Hidungnya masih kembang dan kempis menahan bau busuk.


“Kentut mana boleh nampak Nek. Tapi kita boleh bau.”


Nenek Jah meneruskan suapan tanpa rasa bersalah. 


“Perkara yang kita tak nampak tak semestinya tak wujud. Kentut tak boleh dilihat, tapi kita tahu ia wujud bila berbau. Anginpun sama, tak boleh dilihat. Kita tahu angin itu ada bila rasa tiupannya. Deria manusia ini lemah sebab kita ini hanyalah makhluk. Kita hanya mampu lihat setakat mana yang Tuhan izinkan. Faham tak apa yang nenek cakap ni?”


“Faham, Nek.”

 

Saki baki nasi di dalam pinggan segera dihabiskan. Minda dan tekaknya sama-sama haus.  Air di dalam gelas dikosongkan dalam satu teguk sahaja

.

“Di sekolah Shia akan belajar Rukun Islam dan Iman tak?” tanya Nenek Jah.


“Ada. Ustazah Zaleha yang ajar.” 


“Ada satu perkara lagi, kita sebagai orang Islam perlu tahu. Ihsan namanya.”


“Macam nama kawan satu kelas Shia je nek. Haa... kawan baik Walid.”


Shia angkat pinggan ke sinki, mencuci sehingga bersih lalu diterapkan ke dalam bekas khas untuk dikeringkan. Setelah itu dia duduk semula di meja makan menemani Nenek Jah.


“Jangan main-main dengan ajaran Islam. Tak baik. Shia tahu ke apa Ihsan tu?”


Tangan anak kecil itu dah merayap ke kepala. Dia menggaru-garu rambut yang nipis.


“Macam pernah dengar, tapi dah lupa.”


“Ihsan tu adalah  bukti keimanan dan keyakinan kita pada Tuhan. Kita tak nampak Allah, tapi kita tahu Allah ada. Masa kita solat, kita tak nampak Allah wujud depan mata tapi kita yakin Allah sedang melihat kita. Haa.. macam kentut tadilah. Tak nampak tapi ada kan?” 


Nenek Jah mengumpulkan pinggan mangkuk untuk dibersihkan. Shia bangun semula dan menanti di sinki.


“Nek letak aje dekat sini, biar Shia tolong cuci.”

Kepala Shia dicium. Hati tua seorang nenek mengucap syukur.


“Alhamdulillah. Cucu nenek ni memang baik hati.”


Sambil mencuci pinggan, fikiran Shia menerawang. Dia asyik teringat batang kayu yang terbang bagaikan penyapu ahli sihir. Terkeluar luahan hati kecilnya.


“Kau ni siapa eh?”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.