Home Novel Cinta SHIA
Bab 48

Bab 48

Angin petang mengoles lembut ke wajah. Hembusan udara sepoi-sepoi bahasa itu bukan sahaja membuai rambut lurus Akhtar, malah turut menerbangkan daun-daun tirus yang berkeriput kekeringan. Sebahagiannya terus menjejaki bumi, sebahagian lagi menimpa bumbung makam barulah menjunam ke tanah. 


Agak lama Akhtar berdiri di situ, menikmati bau hutan yang sebati dengan aroma dirinya. Anak mata pemuda itu ralit mengekori jejak daun -daun gaharu yang luruh di sekitar pemakaman. Separa sedar dedaun hutan yang teroleng-oleng di udara telah memulakan hipnosis minda. Sepasang mata bening muncul dalam ingatan. Ah! Masakan Akhtar lupa. Biar beribu tahun telah berlalu, mata itulah yang telah mengenalkan dia akan jiwa Anak Adam.


Pandangannya terhadap alam manusia penuh prasangka. Mana tidaknya, 

dunia anak-anak Adam itu selalu bergolak akibat kerakusan mereka sendiri terhadap kuasa untuk memiliki dan mentadbir dunia. Demi tujuan itu, mereka tegar mengambil nyawa insan yang lebih lemah. Tatkala sempadan wilayah musuh dilanggar, kehidupan lain di bumi akan turut dibinasakan. Lantaran itu, jarang sekali dia ambil perduli tentang hal ehwal dunia di bawah sana melainkan bersangkutan dengan kepentingan mereka.


Namun, bertambah lama dia memerhati mata itu, bertambah banyak keinginan ingin tahunya tentang manusia. Pemilik mata bening itu paling kerdil tubuhnya di dalam kelompok buruh kasar itu. Apa yang menakjubkan adalah jiwanya, kental bak Sang Dewa. 


Pemuda itu menerima layanan terburuk dari tuannya lantaran berstatus hamba. Habuan yang diterima juga paling sedikit, separuh upah rakan sekerja yang lain. Walaupun begitu, dialah yang paling berusaha keras dan rajin. Tulang empat kerat dibambu sehabis daya. Kakinya terawal memijak ladang Seluang dan terakhir meninggalkan perbukitan itu.


Entah kenapa lelaki itu gemar benar mendongak ke langit tatkala berhadapan dengan rezeki. Andai air kosong yang menjadi habuan perutnya hari itu, mata itu masih melempias pandangan yang sama. Seringkali Akhtar lihat, habuan beras sejemput di tapak tangan kasar itu dibahagi dua. Separuh disimpan, separuh lagi menjadi bubur. Cukup seminggu, beras yang disimpan akan ditanak menjadi sepinggan nasi untuk dinikmati bersama ikan yang tersangkut di dalam lukah. Di kala itu jeda pandangan pemuda itu ke langit malam akan bertambah panjang, bersulam senyuman indah. Namun, tak pernah pula Akhtar mendengar mulut manis itu mengungkap sebarang kata.


Bahasa wajah pemuda itu sukar dimengertikan pada awalnya. Tidakkah hati itu pandai menyangkal? Kenapa jiwa itu masih menurut dalam ketidakadilan? Apakah akal itu dangkal? Akhtar tertanya-tanya dari mana datangnya pesona indah di tampang wajah pemuda itu sedangkan diri lunyai bergelut untuk hidup.


Lama baru Akhtar menyedari bahawa pandangan itu sebenarnya adalah pancaran sebuah jiwa yang syukur dan redha. Dari situlah ia membentuk sebuah kekuatan ampuh yang dinamakan harapan dan impian. Maka mengertilah dia akan maksud sinar yang memancar dari bebola mata pemuda itu. Sebuah doa. 


"Gajah yang bertenggek di batu nisan itu telah dimakan dek masa."


Ratna yang baru sahaja tiba terus menegur. Lamunan Akhtar terputus. Begitu juga dengan ketenteramannya.


"Gajah mati meninggalkan tulang. Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Aku berbangga mendengar manusia masih menyebut kisahnya sehingga kini."


Previous: Bab 47
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.