Home Novel Cinta SHIA
Bab 50
Bab 50


Ratna menghampiri binaan yang bercat kuning itu. Langkah kakinya hampir tak kedengaran. 

"Usah berlindung di sebalik telunjuk. Dari awal lagi aku sudah sangsi bahawa kejadian 'makan muntah hantu' itu adalah angkara Bawika. Akal lurus Bawika tak mungkin dapat memiliki titis Nagendra melainkan ada tangan yang menghulurkan air sakti itu kepadanya."

Lebar senyuman Akhtar di kala itu. Sebahagiannya kerana kagum dengan ketajaman firasat Ratna, manakala selebihnya kerana terkenang wajah malang Bawika yang termakan umpannya dahulu.


"Benarkah ada Kelisa emas di situ?"

Suara itu penuh keterujaan. Akhtar tahu rencananya akan berjaya.

"Benar Bawika. Aku pernah melihat binatang itu tersangkut di dalam lukah di situ. Tapi... beranikah kau turun ke dunia manusia?"

Serta merta wajah pemuda itu diselubungi cemas. Hanya anak mata mengerdip memandang Akhtar. Bibirnya menggaris datar.

"Aku akan membantu penyamaranmu. Nah, teguk ini sebagai perisai."

Botol tembikar kecil diserahkan kepada Bawika. Penutup  dibuka. Selepas menghidu bau air, barulah lebar senyuman Bawika.

"Andainya kau tertangkap dek manusia, tawarkan mereka air Nagendra ini sebagai pertukaran pembebasanmu. Muntahkan semula dan berikan ia kepada mereka."


Ternyata rencananya berhasil. Sebelum meletakkan ikan yang bersisik keemasan itu di dalam lukah, Akhtar sempat menabur tulang ikan di tebing. Mudah benar Anak Adam itu naik berang apabila melihat tulang-tulang ikan yang bersepah. Sudah tentu Bawika yang sedang leka bermain-main dengan Kelisa bakal tertuduh sebagai si pembuat angkara. Akhtar sempat lagi ketawa melihat janggut panjang Bawika disentap sambil manusia itu menjamah muntah Nagendra.


"Kau sungguh jijik, Akhtar. Sudah palit, jangan calit. Cuma aku tertanya-tanya bagaimana kau bisa mendapatkan titis sakti itu? Dinding kebal  Pendita Samudra itu bukannya mudah dicerobohi."

Persoalan Ratna membawa hala fikiran Akhtar ke sisi wanita itu semula. Ketawa kecil Akhtar memecah hening rimba itu.

"Ratna, Ratna. Kenapa itu yang kau fikirkan? Bukankah adat kehidupan ini yang condong ditumpil, yang lemah dianduh?"

"Kita tak sepatutnya mencampuri urusan hidup manusia, Akhtar."

Sinar mata Ratna terang tetapi menikam. Ratna yang Akhtar kenali memang tegas menjunjung perintah Duli yang Mulia.

"Aku percaya itulah yang dinamakan cebisan kasih. Kau tahu, keindahan perasaan itu masih dapat aku rasakan hingga ke hari ini."


Ratna mengenakan mantelnya. Setelah itu dia memungut mantel Akhtar di lantai daun kering. Pakaian khas tenunan bangsa mereka itu ditebarkan di belakang Akhtar lalu dikancing pada baju lelaki itu. 

"Jangan bimbang saudaraku. Garam dikulum tidak hancur."

"Terima kasih duhai Bidadari Kayangan. Lantas, ke mana kau mahu mengheret aku?"

Wajah Ratna dah berseri walau bicara belum tumpah dari bibir.

"Gemar benar kau mengenang suatu yang suram sebegini. Bukahkah elok kita mengimbau kenangan yang gemilang?"

Gadis itu semakin renggang dari tanah. Mantel hitam di belakangnya terbuka semakin luas dan mengepak perlahan-lahan. Tubuh Ratna terapung tinggi di udara.

"Ratna, kau nak pergi mana ni? Hei Ratna, tunggu aku!"


Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.