Home Novel Cinta SHIA
Bab 42

Cahaya bulan menyuluh terang di langit. Tiada gumpalan awan tebal yang melindungi sinar satelit semula jadi itu dari menjamah bumi. Angin kuat memukul-mukul baju dan rambut Akhtar. Meskipun berangin, udara itu membawa haba kering kota. Akhtar sandarkan tangan di belakang tubuh. Sengaja kaki dibiar terjuntai ditubir mercu tanda kota itu. Dari kedudukan yang tinggi ini, hampir keseluruhan bandar Alor Setar terhidang di depan mata. Di bawah sedar, minda mula membuat perbandingan. Walaupun tanah pamah masih banyak berbanding bangunan tinggi, Akhtar rindukan kehijauan yang suatu ketika dahulu pernah merajai kawasan itu. 


Kali pertama dia jejakkan kaki ke negeri itu, cahaya bulan sama bersemangat seperti ini. Cuma dia kesal, purnama mengambang penuh yang seharusnya menjadi pelengkap kepada keindahan malam itu terpaksa menyaksikan sebuah lagi episod duka umat manusia. Tanah Katahanagara sekali lagi bermandi darah. Jika sebelum ini istana itu dibasahi darah rakyat jelata yang tidak bersalah demi memuaskan selera pemerintahnya, kini bangunan agam itu dilimpahi dengan tumpahan darah rakyat yang berjuang demi melindungi nyawa insan yang mereka kasihi.


Akhtar hanya merenung tajam jasad yang masih ampuh di atas peterana yang kemilau keemasan di seberang sana balai. Lelaki itu bagaikan tak terkesan dengan gegak gempita yang sudah bermaharajalela di seluruh ruang istana. Mungkin kumpulan pendekar yang bertubuh sasa di sekelilingnya membuat lelaki itu berasa aman. Atau mungkin dia menyangka kesaktian itu adalah miliknya yang abadi.


"Pengawal! Bersedia!" arah Sang Panglima. Dari kedudukan rawak, seratus pendekar membentuk sebuah barisan pertahanan. Lima puluh orang berdiri di hadapan. Sepuluh di belakang. Selebihnya membentuk barisan pengganti di belakang kumpulan pertahanan utama. Mereka menjadikan tubuh sebagai perisai. Melindungi sosok yang selesa bersemayam di singgahsana. Lelaki itu hanya melaung dari jauh.


"Siapakah gerangan kalian? Lagak bagaikan Sang Dewa. Apakah kalian dari kayangan? Turun ke sini semata-mata mahu menjengukku?"


Akhtar mengangkat tinggi tangan kanannya. Isyarat itu difahami lima kesatria merangkap rakan setia di belakangnya termasuk Ratna. Kesemuanya berundur beberapa langkah. Dengan tangan kosong, Akhtar memberi amaran terakhir.


"Kami ini hanyalah pesuruh Duli yang Mulia. Titah baginda, "pulangkan apa bukan milikmu"." 


Suara ketawa yang terbahak-bahak bergema di Balairong. Sinis kata-kata yang dilontarkan. 


" Ia sudah sebati dengan tubuhku. Bagaimana mungkin aku bisa mencuci setiap titis darah ini?"


"Dek kerana itulah kami ke mari membawa penawar bagi kegilaanmu itu." 


Sebuah balang kaca kecil yang terkandung cecair hijau dipamer di atas tapak tangan.


Waris dari susur galur Maharaja Merong Mahawangsa itu berdiri megah. Sebuah mahkota indah bertengger di kepalanya.


"Kegilaan ini ada penyebabnya. Mereka di luar sana! Mereka yang terbongkok-bongkok menyembah lalu merayu agar nyawa keluarga dan harta benda dapat diselamatkan dari ancaman musuh. Sedangkan mereka tahu jasad yang disembah itu juga sama lemahnya seperti mereka. Lantas, apakah beta bersalah sekiranya sanggup berkorban demi mereka yang dipanggil rakyat jelata ini? Apakah beta masih dipersalahkan jika pengorbanan ini menuntut darah rakyat beta sendiri yang telah berikrar untuk taat dan setia?"


Akhtar menggelengkan kepala.


"Tuanku memang sudah hilang siuman! Apa jua alasanmu, tiada manusia yang tegar menghirup darah saudaranya. Makhluk sebegitu hanya layak bergelar binatang."


"Terpulang apa menurut pandanganmu. Beta hanya menyuarakan kebenaran."


Tanpa teragak-agak Akhtar maju ke hadapan. Mantel hitamnya beralun mengikut gerak tubuh. Mata para pendekar hanya terarah kepada Akhtar. Begitu juga dengan hujung senjata tajam mereka. 


"Kebenarannya, kau sendiri telah hilang kewajaran akal. Perasaan tamak dan nafsu untuk melihat semua bangsa di sekitarmu tunduk kepada tanah garuda ini telah menguasai diri. Kau sendiri dapat merasakan kuasa dalaman itu semakin kemuncak dengan setiap titis darah manusia yang melepasi kerongkong."


Sejenak, Akhtar menoleh ke arah kesatrianya yang paling kanan. Wajah pemuda itu masih sarat terkandung kekecewaan. Peluang untuk merealisasikan impiannya telah terkubur buat selama-lamanya.


"Ketahuilah, bahawa darah sakti yang dikorbankan itu bukan dipersembahkan buatmu. Demi mengembalikan keseimbangan alam yang telah tercemar, aku dan mereka di belakangku ini terpaksa turun ke bumi ini. Seruanku yang terakhir. Sudikah kau mengambil penawar ini atau...."


"Atau apa?" Pekikan itu amat nyaring. Luas bukaan mulut Sang Raja mempamerkan siong tajamnya yang semakin panjang.


"Atau selamanya kau akan berada di dalam kesesalan."

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.