Home Novel Cinta SHIA
Bab 15


Kau takde kawan lain ke Adam? Asyik ikut ku je dari dulu. Dah 11 tahun tau!"

Adam tak menyahut. Orkestra serangga hutan semakin rancak mengiringi mereka.

"Aku serba salah betul. Kadang-kadang nak tegur, nak bersembang dengan kau tengah-tengah orang ramai pun tak berani. Dah lah rupa aku buruk, nanti orang ingat aku sewel pula bercakap sorang-sorang."

"Shia! Janganlah halau aku."

Shia tayang sengih apabila melihat muncung mulut Adam dah sejengkal panjangnya. Ruang pandangannya masih sempit seperti dahulu biarpun tubuhnya telah menginjak dara. Kalau orang dulu-dulu agaknya dah beranak tiga di usia ini.

"Aku tak pernah ada niat macam tu. Menjemput pun tidak. Kau suka, kawan je la. Dah boring nak tinggalkan aku, pergi je la. Aku tak kisah sangat. Walaupun...

'Eh! Tepat pula pandangan Adam ke sini. Dah lah makin handsome. Pandai je Adam ubah rupa ikut membesar macam aku.' Hati kecil Shia menyampuk elok-elok dia nak menyambung ayat.

"Walaupun aku mesti rindukan kau nanti."


Mendengar kata-kata Shia, Adam ketawa mengekek. Ngilai Adam terlalu kuat sehingga melayang semua daun kering dan sampah hutan ke arah Shia. 

Shia lindungi wajah dengan kain tudung. Pujian tadi bertukar jengkelan. Aish! Dia ni laa... tak sedar dunia kalau dapat ketawa. Tu belum dia ketawa sepenuh hati. Satu hutan bergema dengan hilai Adam. Tak senonoh betul.


"Adam, dah nak maghrib ni. Aku kena balik rumah. Nanti Abi dengan Ummi bimbang."

Mulut Adam muncung lagi. Wajah dia memang mencuka setiap kali Shia mahu pulang.

"La, janganlah sedih. Nanti kita jumpalah lagi."

"Shia..."

"Hurm..."

"Kau datanglah sini awal sikit. Kau kan dah tak ke sekolah."


Tangan yang berlenggang terus bersilang. Tiba-tiba sahaja terasa panas di cuping telinga Shia.

"Kau ingat aku makan tidur, makan tidur je kat rumah tu. Banyak kerjalah nak dibuat. Ummi tengah sarat. Aku kasihan betul tengok dia. Buat kerja sikit je dah penat. Sebab tu aku selalu tunggu kedai. Bagi Ummi peluang berehat."

"Ye lah. Ye lah. Aku tunggu je kat sini sampai kau datang."


Rajuk Adam bak gula kapas. Sedap sahaja di pendengaran Shia. Mudah benar cair, tak sempat masuk dalam hati.


Hampir separuh hari menghabiskan masa di hutan, Shia pulang ke rumah dengan fikiran yang lapang dan hati riang. Si kecil Aish menyambutnya di halaman. Kereta mainan ditolak begitu laju dengan kaki halusnya.

"Ummi mana?"

"Dalam Umah

Senyuman manis anak kecil yang sentiasa menjadi penawar hati Shia dibalas. Terdengar suara Rahimah yang kini bagaikan ibunya dari dalam rumah.

"Dah balik Shia. Boleh tolong Ummi jaga kedai sekejap."

Shia menyahut laungan. "Baik Ummi."


Rafei membuka kedai runcit di bangunan kayu yang dibina berkembar dengan rumahnya. Di situlah Shia sering menghabiskan masa sambil membuat kerja-kerja sekolah. Bergilir-gilir dia menjaga kedai dengan Ummi dan Abi. Kedai runcit itu tak sebesar mana. Akan tetapi barang yang dijual mencukupi untuk membekalkan keperluan harian orang-orang kampung.


"Hoi! Mana kau letak tepung pulut? Dah tiga kali aku pusing satu kedai ni tapi tak jumpa. Senang-senang je kau tinggalkan kedai tak berjaga. Kena curi nanti baru padan muka."

Sapaan kasar mengalu-alu langkah kaki memasuki kedai. Shia hanya tersenyum mendengar suara garang lelaki itu.

"100 kali kau pusing pun tak jumpa. Dah habis atas rak. Nanti aku ambil dalam stor."


Shia kembali ke ruang utama dengan sebuah kotak.

"Haah! Ambik banyak mana kau nak. Tapi jangan lupa bayar." Ketawa halus bertamu di bibir Shia. 


Lelaki itu mencebik sambil mengeluarkan tiga bungkus tepung. Selonggok barang-barang yang hendak dibeli diletakkan atas kaunter. Bulat terjojol mata Walid sambil meninggi suara.

"Dah! Tak payah nak renung aku lama-lama. Dari dulu aku tak pernah terpikat dengan kau. Kau juara Kuiz Pintar peringkat negeri ke, kau menang rancangan Who Want to be a Millionaire ke, sikitpun aku tak tergugat. Kira barang-barang ni cepat! Mak aku dah kecoh kat rumah. Dia nak masak untuk jamuan sambut DO baru malam ni. Tak larat dah aku nak menjawab di handphone."


Macam bunyi tembakan mesin gun, Walid membebel. Shia sengih sahaja. Ayat-ayat kasar macam tu dah lali di cuping telinga. Bukan setahun dua mereka satu kelas. Dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah. Semua feèl Walid dia dah hafal termasuklah angin puting beliungnya.

"Kedekut betul kau ni. Nak pandang pun tak bagi. Aku minat je. Bukannya suruh kau balas perasaan aku pun."

"Hiish cepatlah. Malas dah aku nak layan kau. Buang masa aku je."


Shia lajukan ketukan di mesin pengira. Lekas-lekas lelaki itu mengeluarkan wang, membayar harga seperti yang tertera di skrin mesin.

"Kirim salam dekat mak kau. Hati-hati naik motor. Dekat pokok buluh depan tu maghrib-maghrib ni banyak hantu."


Terkesan juga Walid dengan usikan Shia. Riak ketakutan sedikit terbias di wajah kacaknya. Shia ketawa kuat. 


Waktu makan malam biasanya adalah masa bagi Rafei dan Rabimah bertanya akan hal Shia. Adakalanya seharian mereka tak bersua muka, sibuk dengan hal masing-masing. 


"Macamana Shia? Dah putuskan nak ke mana lepas dapat keputusan STPM nanti?"

Shia tambah sepinggan nasi lagi. Tumis asam pedas keladi kemahang Ummi memang sedap. Sambil tu dia jawab apa yang ditanyai Rafei.

"Belum lagi Abi. Masih mencari maklumat. Risau juga kalau tak sesuai dengan minat nanti." 

Rafei sua pinggannya yang juga telah kosong kepada Rahimah. Selera dia dan Shia sama naik. Selain daripada air tangan isterinya, air asam Shia juga memenuhi seleranya. 


"Tak apa Shia. Banyak masa lagi. Jangan terburu-buru. Buat pilihan yang terbaik. Selebihnya serahkan pada Allah. Ada rezeki, adalah peluang untuk Shia nanti."


Shia mengangguk. Hatinya masih berkira-kira nak bertanya atau tidak. Wajah Abi dan Ummi disapa sekali lalu sebelum menyuap nasi.

"Abi dan Ummi rasa... dengan rupa Shia ni... ada masalah tak nanti?"

Tangan yang mahu menyuap terus sahaja terhenti. Begitu jua dengan isterinya. Rafei jatuhkan pandangan pada Shia.


"Masalah tu tetap ada, Shia. Pada semua manusia, di mana-mana dan di dalam bentuk yang berbeza. Paling tepat lagi masalah itu adalah ujian Tuhan sebenarnya. Abi percaya penyelesaiannya ada pada hati kita. Kalau dah berazam nak kerjakan sesuatu, hati kena cekal. Apa juga masalah yang datang, kita akan hadap. Kita akan tetap tabah. Satu lagi Shia mesti ingat, Allah tak akan membebankan hambanya lebih daripada apa yang dia upaya pikul."


Rahimah yang memang kurang berselera menjamah makanan semenjak kandungan memasuki semester ke tiga bangun dulu. Dia dan Rafei berbalas pandangan sayu. "Ima nak jenguk Aish kat dalam bilik sekejap." 


Sebelum beredar, tangannya sempat melilit dada Shia. Sejurus ciuman juga dilepaskan di kepala gadis itu.

"Jangan fikir sangat tentang masalah tu. Bila ia datang nanti, baru kita sama-sama fikir macamana nak selesaikannya. Ummi dan Abi akan senantiasa ada di belakang Shia."

Lengan Rahimah diusap lembut. Shia mengangguk perlahan.

"Sayang jika Shia lepaskan peluang ini lagi."


Rafei memahami ketakutan Shia. Peluang yang sama telah dilepaskan selepas kuputusan cemerlang di SPM dua tahun lalu. Jika boleh, dia tak mahu Shia melepaskan peluang yang kedua. Suapan bersambung semula. Doanya senantiasa ada untuk gadis itu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.