Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 4
BAB 4

Irfan memandu dengan berhati-hati keluar dari perkarangan masjid. Alhamdulillah, Solat Fardu Zohor telah selesai ditunaikan. Kelihatan jalanraya diluar tidak terlalu sesak dengan kenderaan. Irfan menarik nafas lega. Dia kurang gemar memandu ketika jalanraya sesak kerana ia agak merimaskan. Sinar mentari juga sudah kembali menyinar garang.

Sesekali Irfan menukar siaran radio di dalam kereta manakala Puan Elinna sibuk membalas mesej daripada rakan-rakannya. Ketika terleka membalas mesej, tiba-tiba telefon yang dipegang memberi amaran tentang kekurangan bateri.

“Irfan, mama nak pinjam handphonesekejap boleh? Mama nak call kawan mama sekejap.”

“Boleh, ma,” kata Irfan sambil menghulur telefon pintarnya.

Radio di dalam kereta diperlahankan.

Puan Elinna terus mendail nombor rakannya itu. Setelah panggilan berjawab, Puan Elinna mula rancak berbual. Pelbagai topik mereka bualkan. Dari topik kesihatan Tuan Iskandar sehinggalah kepada topik bunga-bungaan. Mereka berkongsi pengalaman tentang pelbagai jenis pokok bunga.

Irfan tersenyum sendiri mendengar topik perbualan mamanya. Selepas itu, Irfan berada didalam dunianya sendiri. Mata diberi tumpuan kepada pemanduan tetapi sesekali dia terfikirkan gadis yang menumbuknya pagi tadi. Lahir perasaan benci dan dendam terhadap gadis tersebut. Senyuman sinis di ukir dibibir. Pelbagai rancangan jahat bermain di dalam fikirannya kini untuk membalas dendam.

“Irfan, boleh tak Irfan hantar mama ke Norriyah Harmony Nursery? Kawan mama ni, dia cakap ada stok pokok bunga baru.... Namanya Bromeliad! Mama teruja la Irfan!” kata Puan Elinna dengan muka teruja.

“Irfan?”

“Irfan?”

Puan Elinna segera mencuit anaknya itu.

“Ya, ma.... Kenapa?”

“Irfan dengar tak apa mama cakap tadi?”

“Laa… Irfan ingatkan mama masih berbual dengan rakan mama....”

“Mengelamunlah tu.”

“Oh ya, mama cakap apa tadi?”

“Boleh tak Irfan hantar mama ke Norriyah Harmony Nursery? Kawan mama ni, dia cakap ada stok pokok bunga baru.... Namanya Bromeliad!”

Nursery yang kita pergi minggu lepas tu ke ma?”

“Aah, nurserytu la.”

“Boleh je mama... Lagipun Irfan tak ada kerja lain.”

Irfan faham sangat dengan perangai mamanya itu. Puan Elinna memang terlalu taksub dengan pelbagai jenis pokok bunga. Sudah berbagai jenis pokok bunga ditanam di halaman rumah. Kata Puan Elinna, pokok mampu memberikan aura positif kepada pemiliknya apabila kita mendekati atau melihat pokok-pokok berkenaan. Pokok-pokok ini mampu menceriakan halaman rumah dan secara tidak langsung, pokok-pokok bunga ini juga memberikan makanan pada serangga-serangga lain seperti lebah dan rama-rama. Hati pun turut gembira apabila kita tutut berkongsi anugerah yang diciptakan oleh Allah ini untuk setiap makhluk ciptaanNya.

Kereta membuat pusingan U untuk ke nursery yang ingin dituju. Kereta dipandu perlahan agar tidak terlajak kerana nursery tersebut agak terlindung jalannya. Terdapat beberapa buah kereta berada di pakir. Puan Elinna segera keluar dari kereta sebaik sahaja kereta berhenti. Hatinya sudah tidak sabar untuk melihat pokok yang dimaksudkan.

“Cepatlah Irfan. Mama dah tak sabar ni. Nanti habis pula pokok tu.”

“Ok,ma....” Irfan hanya tersenyum melihat gelagat ratu hatinya.

Nama Norriyah Harmony Nurserydiukir indah di pintu gerbang masuk. Kunjungan tetamu ke nursery tersebut disambut dengan deretan pokok bunga matahari yang berkembang mekar dan indah. Alunan muzik lembut diperdengarkan di setiap sudut nurserytersebut. Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan menjadikan deretan pokok bunga matahari bergerak seperti mengikuti alunan muzik yang diperdendangkan sambil dihiasi pula dengan rama-rama yang beterbangan. Sungguh indah! Rimbunan pokok besar memberi naungan kepada pokok-pokok kecil yang berada dibawahnya dan secara tidak langsung menjadikan nurserytersebut redup dan nyaman. Irfan kagum melihat keindahan nursery ini.

Tanpa berlengah lagi, Puan Elinna segera mencari sahabatnya itu. Di suatu sudut, kelihatan para pekerja sibuk melayani pelanggan yang berkunjung ke nursery tersebut. Pelbagai tip penjagaan pokok dijelaskan kepada pelanggan dan mereka begitu ramah melayani setiap pertanyaan pelanggannya.

“Assalamualaikum, Nor.”

“Waalaikumussalam.... Eh,Elinna!” Puan Nor bersalaman dengan Puan Elinna.

“Nor, mananya pokok Bromeliad tu? Tak sabar la nak tengok.”

“Amboi, baru call tadi terus sampai,”usik Puan Nor.

“Alaa, macam tak tahu kan… Ini Elinna la, pantang ada pokok baru mestilah kena tengok....”

“Saya tahu sangat perangai kamu ni. Jom ikut saya. Pokok-pokok tu masih dalam tempat simpanan. Baru semalam stok sampai. Belum sempat lagi nak dileletakkan dekat depan tu. Kamulah pelanggan pertama yang akan melihatnya.”

“Irfan, jom ke belakang,” ajak Puan Nor mesra.

Mereka berjalan menuju ke tempat simpanan pokok Bromeliad.

“Irfan, bolehlah pilih mana-mana pokok yang berkenan. Nanti boleh dihadiahkan kepada buah hati,” usik Puan Nor.

“Nor, anak saya ni tak laku. Tak ada siapa pun yang nak…” Puan Elinna berterus-terang.

“Alah engkau ni Elinna, anak punyakacakbergaya, tegap dan bijak tak kan tak ada yang nak kan?”

“Betul tu mak cik… Tak ada siapa pun yang nak dekat saya ni.” Irfan mengaku secara jujur.

“Tak apa. Nanti dah sampai masanya ketemu jugalah tu. Nanti, kalau dah ada calonnya, boleh la ke nurserymak cik untuk beli bunganya… Diskaun 30% untuk Irfan.”

“Ok, kalau macam tu, nanti saya beli bunganya disinilah mak cik. Saya ingat tu, diskaun 30%.... ”

“Ok, Irfan,” kata Puan Nor sambil menepuk bahu Irfan.

“Haa, Elinna… Inilah pokoknya…” Puan Nor mengangkat pasu yang berisi pokok Bromeliad.

“Wah, cantiknya! Banyak pilihan warna. Merah, kuning, merah jambu! Warna pokok ni uniklah Nor... Macam bercahaya! Berapa harga sepokok ni?”

“Yang ni antara RM35-45 sepokok. Bergantung pada saiznya.”

“Mahalnya Nor...”

“Alah, untuk sahabat yang disayangi saya bagi RM 35 sepokok percuma pokok keladi merah ni. Pokok keladi merah ni Nor jual RM 12 sepasu tau.”

“Kalau saya beli 2 pokok maknaya saya dapat 2 pasu pokok keladi ni lah ya?”

“Amboi, kalau percuma laju je kan? Hahaha… Ya, percuma Elinna oi.... Apa-apa saja untuk engkau,” kata Puan Nor sambil tersenyum mesra.

Irfan tersenyum melihat gelagat dua sahabat karib tersebut. Eloklah tu, seorang penjual pokok bunga hiasan, seorang lagi peminat dan pembeli pokok bunga hiasan.

“Kalau mama datang selalu, habisla.... Semuanya mahu percuma!” bisik hati Irfan.

Setelah urusan pembelian selesai, pokok-pokok yang dibeli dan dihadiahkan itu dimasukkan kedalam kereta untuk diangkut pulang. Puan Elinna mengucapkan terima kasih pada sahabatnya itu dan sempat memesan agar memberitahunya jika ada pokok jenis baru yang sampai. Maka akan bertambah lagilah koleksi pokok hiasan Puan Elinna di rumah.

“Mama ni kan, kalau jumpa pokok bunga, langsung tak teringatkan papa ya?” kata Irfan sambil membelokkan keretanya ke simpang kanan jalan.

“Yelah… Mama nak call papa sekejaplah. Pinjam handphone Irfan.”

Irfan menghulurkan telefon yang diminta.

Puan Elinna segera menalefon suaminya itu.

“Meski ku rapuh dalam langkah

Kadang tak setia kepadaMu

Namun cinta dalam jiwa

Hanyalah padaMu…” Deringan telefon berbunyi.

“Eh, handphone papa kamulah Irfan! Mama terambil!”

“Laa, macam mana boleh jadi macam tu, ma?”

“Ini mesti mama terkejut masa nursedatang bagi warning dekat papa tadi, tu terus handphone dimasukkan ke dalam beg mama ni. Tak perasan pula tu handphonepapa kamu...”

“Kalau macam tu, Irfan hantar malam ni…”

“Eloklah tu. Kamu temankan papa malam ni ya?”

“Tapi papa suruh jaga mama kan?”

“Mama ni tak apa. Masih sihat.... Mak Jah dengan Kak Kiah kan ada Irfan. Tak payah risau lah....”

“Oklah, ma. Irfan tak ada hal. Lagipun Irfan masih cuti,” kata Irfan sambil tersenyum pada mamanya itu.

“Itulah papa kamu tu, mama nak tunggu dan jaga dia di hospital tak dibenarkannya.”

“Ma, jangan-jangan papa ada skandal lain kut! Biar Irfan siasat malam ni,” usik Irfan.

“Eh,kamu ni… Tak baik kata macam tu tau. Kalau papa kamu berani buat macam tu, mama merajuk 3 bulan!” marah Puan Elinna.

“Wah, kalau Irfan jadi papa, isteri merajuk sampai 3 bulan, baik cari yang baru! Hahaha....”

“Kamu ni ada-ada saja! Minta dijauhkanlah semua benda tu,” kata Puan Elinna. Tak dapat dibayangkan apa akan terjadi kepada perasaannya jika dia dimadukan. Nauzubillah…

Jam sudah menunjukan pukul 4.00 petang. Irfan menggeliat malas di atas katil empuk sambil matanya merenung ke luar jendela.

“Hurmmm… Patutlah sedap sahaja tidur… Hujan rupanya. Dah pukul berapa ni ya?”

Irfan menoleh ke arah jam di dinding.

“Apa? Pukul 8?” Matanya diperluaskan.

Jam ditenung lagi. Patutlah sudah pukul 8. Rupa-rupanya jam sudah kehabisan bateri. Irfan lupa untuk menggantikannya dengan bateri baru.

“Mana handphoneni?” Telefon pintar dicari di atas tilam. Kebiasaannya telefon tersebut ada sahaja terselit di bawah bantal. Kali ini entah kenapa tidak ada pula.

“Laa… Dekat bawah rupanya.... Patutlah cari tak jumpa.”

Irfan melihat skrin telefon yang sudah berada di tangan.

“Oh, dah pukul 4.20 petang rupanya… Dah Asar belum ni?” Irfan menggaru kepalanya. Rasa malas untuk bangun merajai segenap ruang tubuhnya kini. Alangkah nikmatnya kalau dapat sambung tidur hujan-hujan sebegini.

Irfan terus meloncat dari katil dan terus ke kamar mandi untuk membasuh muka. Selepas itu Irfan turun ke bawah mencari Puan Elinna.

Dari jauh Irfan dapat melihat Puan Elinna termenung panjang melihat titisan-titisan hujan yang membasahi bumi sambil menikmati Teh O panas di ruang balkoni.

“Ma, amboi… Termenung panjang nampak.”

“Oh, Irfan… Dah bangun dah… Ingatkan nak tidur sampai malam,”sindir Puan Elinna.

“Ikutkan macam itulah ma... Malas nak bangun. Tambahan lagi, hujan macam ni memang nyenyaklah tidur. Tapi disebabkan nak temankan papa malam ini, maka tidur tu terpaksa dikorbankan.” Irfan menarik kerusi untuk duduk.

“Apa anak mama ni! Petang-petang orang dah tak tidur tau... Tak elok untuk otak tu....”

“Irfan tahu... Ma, dah masuk waktur Asar belum ni?”

“Belum Asar lagi. Sekejap lagilah tu.... Irfan nak bubur tak? Mama ambilkan.”

“Bubur? Bubur apa mama masak?”

“Bubur jagung.”

“Sedapnya.... Tak apa ma. Irfan ambil sendiri.”

“Iyalah.”

Irfan mula mengatur langkah menuju ke dapur. Tudung periuk yang berisi bubur jagung dibuka. Aroma harum daripada masakan tersebut terus menusuk ke rongga hidung menyebabkan perutnya serta-merta terasa lapar. Dengan perasaan yang tidar sabar, Irfan terus menyenduk bubur masuk ke dalam mangkuk. Sebiji cawan kosong dicapai lalu dibawa bersama menuju ke balkoni.

Irfan mula menikmati minum petangnya bersama Puan Elinna. Rasa bubur jagung buatan air tangan Puan Elinna sungguh sedap. Rasa lemak manisnya sungguh sempurna. Irfan menikmati bubur tersebut dengan penuh rasa nikmat.

“Irfan, kamu jadi ke nak tunggu papa malam ni?”

“Jadi, ma.... Kenapa?”

“Kalau macam tu mama isikan bubur jagung untuk papa kamu.”

“Ooo.... Bagus juga tu. Papa mesti dah lapar. Lepas solat Asar nanti, Irfan bertolak ke sana. Takut nanti kalau pergi lewat, waktu melawat dah habis. Maka, tak dapatlah Irfan nak temankan papa malam ni.”

“Ya tak ya jugakan. Baik Irfan bertolak cepat. Takutnya nanti, jalan sesak pula. Maklumlah waktu hujung minggu begini.”

Ketika menikmati bubur, Azan Asar telah berkumandang. Irfan cepat-cepat menghabiskan saki-baki buburnya manakala Puan Elinna segera ke dapur untuk meletakkan bubur ke dalam bekas.

Setelah memunaikan Solat Asar 4 rakaat, Irfan segera mengemas beberapa pakaian yang diperlukan untuk menemani papanya. Sehelai tuala, sehelai baju, sehelai kain pelikat dan kupiah diisi di dalam beg sandang. Kemudian, Irfan segera bergegas menuruni anak tangga.

“Alamak! Ada satu barang lagi tertinggal… Aduh, malasnya nak naik lagi.”

Irfan segera menaiki anak tangga untuk berpatah balik ke biliknya. Pintu bilik di buka dan dia terus menerpa ke dalam bilik air. Berus gigi dan ubat gigi terus dicapai dan dimasukkan ke dalam beg sandang.

“Sabun? Nak ambil ke tak? Ambil sabun papa sahajalah! Macam nak pergi tidur hotel pula aku ni,” gelak Irfan dalam hati.

“Irfannn! Ooo… Irfan dah siap belum?” jerit Puan Elinna dari tingkat bawah.

Irfan berlari anak menuruni anak tangga setelah mendengar jeritan mamanya.

“Ha Irfan. Dah siap pun. Selimut dah bawa?”

“Err… Selimut? Tak kan nak bawa juga ma?”

“Mestilah.... Dalam bilik papa kamu tu aircond. Mesti sejuk.”

“Oh, tak apalah ma. Malas dah nak naik. Lagi pun beg Irfan ni kecil je. Tak muat la,” jawab Irfan tersengih-sengih.

“Oklah kalau kamu dah kata macam tu… Ini buburnya.”

“Kenapa banyak sangat ni ma? Sampai 3 bekas?”

“Satu untuk papa, satu untuk Irfan dan satu lagi ni, yang bekas besar ni untuk jururawat yang bertugas. Kasihan mereka penat bekerja. Mama sengaja masak lebih....”

“Ok, ma. Irfan pergi dulu ya.” Irfan melangkah ke pintu utama.

Di luar sana, hujan beransur reda. Sinar mentari senja sedikit menunjukkan wajah. Sinarannya memberikan pesona yang cukup indah dengan percikan cahaya jingga di kaki langit. Pokok-pokok ditaman kelihatan segar dan menghijau sehingga mampu melahirlah suasana yang sungguh nyaman. Burung-burung pula berkicauan sepertinya bergembira dengan pemergian hujan.

Irfan menuju ke arah tempat letak kereta. Sebelum memulakan pemanduan dia melangkah ke bahagian belakang untuk melihat keadaan belakang kereta kesayangan Tuan Iskandar. Dia menarik nafas lega apabila sisa mee goreng tidak lagi melekat pada bahagian belakang kereta. Sengaja dia meletakkan kereta diluar garaj kerana dia melihat awan berarak mendung ketika dia pulang dari nursery bunga tadi. Irfan tersenyum puas.

Pintu kereta dibuka lalu bekalan buburnya diletakan disebelah tempat memandu di bahagian bawah manakala beg sandangnya di letakkan di bahagian tempat duduk belakang. Irfan mula mengundurkan kereta untuk berlalu keluar. Hon kereta dibunyikan bagi menandakan pemergiannya kepada Puan Elinna. Lambaian Puan Elinna berakhir sebaik sahaja kereta dipandu Irfan berlalu keluar daripada pintu pagar kediaman mereka.

Perjalanan Irfan berjalan dengan lancar pada mulanya. Lama kelamaan, jalanraya sedikit sesak apabila Irfan memasuki persimpangan berhampiran pasaraya. Biasalah waktu hujung minggu begini, ramai orang keluar membeli-belah. Jalanraya tetap bergerak walaupun pergerakannya seperti ulat gonggok. Panjang aturan kenderaannya. Sesekali beberapa buah motosikal mencelah-celah diantara kenderaan yang tersusun panjang. Walaupun kecil dan tak berbumbung ia tetap gah di tengah-tengah deretan kenderaan yang tak bergerak menunggu arahan daripada lampu isyarat.

Hujan yang masih renyai-renyai itu menjadikan suasana di jalan nampak redup dan suram. Bagi mengelakkan sesuatu yang buruk terjadi, Irfan memasang siaran radio kegemarannya bagi menghindarkan rasa mengantuk dan menjadikan matanya segar dan terang seperti lampu sportlight ketika memandu. Irfan, kalau dia mengantuk, matanya akan tertutup begitu sahaja tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Pernah suatu ketika, semasa dia berusia 16 tahun, dia pernah tertidur di dalam tandas. Waktu itu dia menyertai kem motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan semua pelajar dikehendaki menetap di kem tersebut dan tidak dibenarkan pulang. Jadi, biasalah namanya pun kem motivasi, mestilah pelajar-pelajar dikehendaki bangun seawal jam 5 pagi untuk solat sunat. Selepas solat Subuh, Irfan ke tandas untuk mencuci mukanya manakala semua pelajar lain bergegas untuk ke dewan makan dan seterusnya ke slot ceramah. Namun, sesuatu terjadi kepada Irfan. Pada bayangan mata Irfan, lantai bilik air itu seperti tilam empuk. Tanpa berlengah lagi, dia terus menyandar pada dinding bilik air itu dan terus tertidur. Berita ketidakhadiran dia ke slot ceramah mendapat perhatian guru yang bertugas. Irfan dicari di merata tempat dan akhirnya dia dijumpai sedang nyenyak tidur di suatu tempat yang tak pernah difikirkan orang untuk dijadikan tempat melelapkan mata. Apabila tersedar, kelihatan ramai orang sedang mengerumuninya.

Selama 2 jam dia tertidur disitu. Itupun sesudah dia terdengar suara-suara yang mengganggu lena tidurya barulah dia terjaga dari lena yang sungguh indah. Kalau tidak, sampai Zohorlah dia disitu. Sebagai denda, Irfan dikehendaki berikrar dihadapan kawan-kawanya setiap kali slot ceramah bermula. Ikrar yang perlu dilafazkan ialah:

“Assalamualaikum. Saya Tuan Muhammad Harith Irfan b. Tuan Iskandar pelajar 4 Arif berjanji tidak akan tidur lagi didalam tandas sesuka hati saya. Selain itu, saya menasihati kawan-kawan saya atau sesiapa yang mendengar agar tidak mecontohi kelakuan saya yang tidak memberi apa-apa manfaaf kepada diri kita sendiri… Sekian, terima kasih.”

Itulah bait-bait kata yang masih diingatinya sehingga ke hari ini. Sepanjang berlangsungnya kem tersebut, kawan-kawan selalu sahaja memperlinya dan Irfan terpaksa menahan telinga mendengar ejekan kawan-kawan sebaya.

Setelah 30 minit kereta merangkak di jalanraya, akhirnya sampai juga Irfan di hospital. Tanpa membuang masa Irfan bergegas ke wad dimana papanya ditempatkan.

“Assalamualaikum,” ucap Irfan kepada staffnursedi kaunter.

“Waalaikummussalam,”

Staffnurse, kalau boleh malam ini saya nak temankan papa saya. Boleh saya dapatkan kad menunggu?”

“Boleh, encik. Tidak ada masalah. Siapa nama papa encik dan boleh encik bagi kad pengenalan? Saya ingin tuliskan nama pada kad.”

“Boleh,” kata Irfan sambil mengambil dompetnya di dalam poket seluar jeans yang dipakai.

“Ini I/C saya. Nama papa saya Tuan Iskandar bin Tuan Abdul Malik.”

“Ok… Kalau macam tu encik bagi saya masa 5 minit untuk saya uruskan hal ini.”

“Ok, kalau macam tu saya ke bilik papa saya dululah,” kata Irfan sambil melemparkan senyuman.

“Boleh… Tiada masalah.”

Irfan melangkah laju menuju ke bilik Mawar 25. Rasa rindu bertamu dihati. Tidak sabar rasanya untuk melihat wajah papa yang dikasihi. Pintu bilik dibuka. Kelihatan Tuan Iskandar sedang menunaikan solat Asar. Lega hati Irfan kerana papanya masih berkemampuan untuk menunaikan kewajiban sebagai seorang hamba di bumi Allah ini.

“Ya Allah Engkau berikanlah kesembuhan kepada papaku ini. Berikanlah kesihatan yang baik untuk papa dan panjangkanlah umurnya Ya Allah,” doa Irfan di dalam hati.

Irfan meletakkan bekalan bubur di atas meja. Punggungnya segera dihempaskan diatas sofa empuk. Irfan sudah berkira-kira untuk menyambung lenanya kembali. Mata sudah mulai kabur ditambah pula suhu yang sejuk di dalam bilik. Suhu sejuk sebegini seolah-olah menyelubungi seluruh tubuhnya agar lena dibuai mimpi di waktu senja begini.

Tuan Iskandar masih lagi berdiri teguh di atas sejadah yang dibentangkan di atas permaidani, sesekali terdengar Tuan Iskandar batuk.

Ketika menunggu papanya selesai solat, Irfan kalah dengan matanya sendiri. Sudah sedaya upaya dia menghalang matanya dari terlelap tetapi dia kecundang akhirnya dan apa yang pasti Irfan telah memasuki alam lena yang sungguh indah.

“Irfann… Irfannn...,” panggil Tuan Iskandar sambil menepuk bahu anak terunanya itu.

“Urmmm… Kenapa?” Bangun Irfan dengan mata yang terkebil-kebil.

“Laa… Kenapa tidur petang-petang macam ni? Ini kamu mengigau ke datang ke hospital ni? Lepas tu, boleh pula tertidur dengan ternganga mulut tu.”

“Saya tertidurlah pa… Tak sengaja. Mengantuk sangat ni.”

Tangan papanya dicium lalu Irfan bergegas ke bilik air untuk membasuh mukanya.

“Ini kenapa datang petang-petang macam ni?” tanya Tuan Iskandar sambil menjenguk ke dalam bilik air yang tidak ditutup oleh Irfan.

“Malam ni, Irfan nak temankan papa,” jawab Irfan sambil mengesat mukanya dengan tisu.

“Apa? Temankan papa? Betul ke ni?” tanya Tuan Iskandar seperti tidak percaya.

Dia tahu Irfan memang tidak sukakan suasana hospital. Jadi adalah agak mustahil dengan rela hati Irfan mahu tidur di hospital.

“Betul papa. Masa inilah anak papa ni dapat jaga papa,” jawab Irfan sambil duduk diatas sofa berhadapan dengan Tuan Iskandar. Ini mama ada buatkan bubur jagung untuk papa.”

“Eh, banyaknya! Siapa nak habiskan ni?”

“Alahai, terlupa… Yang bekas lagi satu ni untuk staffnurse.

“Haaa… Kalau macam tu cepatlah bagi.”

“Yalah...” Irfan bangun dari tempat duduknya dan mencapai bekas yang berisi bubur jagung.

“Tok tok tok.” kedengaran pintu diketuk.

Tidak lama kemudian, kelibat seorang jururawat muncul disebalik pintu.

“Assalamualaikum, maaf mengganggu. Ini saya nak serahkan kad menunggu Encik Irfan yang dah ditulis oleh kawan setugas saya.”

“Waalaikumussalam. Tidak mengganggu pun,” jawab Tuan Iskandar.

“Ini kad menunggu dan ini I/C encik,” kata staffnurseNatasya.

Irfan menyambut pemberian yang dihulurkan. Tidak berkelip mata Irfan melihat orang yang sedang berhadapan dengannya. Begitu juga dengan Jururawat Natasya. Dia seakan mahu segera berlari meninggalkan bilik tersebut. Tetapi dia masih lagi perlu bersikap professional.

“Awak ni, macam saya pernah lihatlah,” kata Irfan.

“Errr… Ya ke? Pelanduk dua serupa kut.” Jururawat Natasya cuba berdolak-dalik. Hati mula berdebar. Tiba-tiba sahaja terbayang peristiwa pagi tadi.

“Takkk… Awak ni, memang saya pernah jumpalah…” Irfan mengecilkan matanya.

Jururawat Natasya sudah mulai cuak. Terasa seakan darahnya sudah tidak mengalir.

“Dah, sudahlah tu.... Jururawat tu banyak kerja lagi nak buat.” Tuan Iskandar mencelah.

Irfan memandang wajah Jururawat Natasya dengan mimik muka tidak puas hati. Dia memang pasti, inilah perempuan yang telah menumbuknya pagi tadi.

“Betul ni, kita tak pernah berjumpa?”

“Betul, saya tak pernah jumpa orang berwajah seperti encik dan rasanya kita tak pernah berjumpa pun,” bohong Jururawat Natasya.

“Oh, oklah kalau macam tu,” jawab Irfan dengan nada sedikit sangsi.

“Nah, ini bubur yang Puan Elinna kirimkan untuk staffnurse. Sengaja dia masakkan lebih. Tambahan lagi hujan-hujan macam ni, mesti laparkan?” kata Irfan sambil menghulurkan bekas yang berisi bubur.

“Err, susah-susah saja… Segan kami nak menerimanya...”

“Eh, ambillah... Tak mengapa, kami ikhlas,” jawab Tuan Iskandar bersungguh-sungguh.

“Nah, ambil,” pelawa Irfan sambil menghulurkan bekas tupperware merah yang berbentuk hati.

Jururawat Natasya perlahan-lahan menyambut tupperwareyang dipegang Irfan.

“Cantik bekasnya...” tiba-tiba terpacul ayat ini dimulutnya.

“Cantik lagi orang yang memegang tupperwareni,” usik Irfan.

“Err... Terima kasihh… Terima kasih untuk bubur ni.” Jururawat Natasya cepat-cepat memperbetulkan maksud ayat yang disampaikan.

“Sama-sama,” jawab Irfan sambil tersenyum.

“Kalau macam tu, saya keluar dahululah. Kalau ada apa-apa, boleh ke kaunter ya,” kata Jururawat Natasya sambil melemparkan senyuman yang bersulamkan lesung pipit dipipinya.

Irfan terpana dengan senyuman tersebut. Manisnya senyuman itu.

Pintu bilik dibuka dan kelibat Jururawat Natasya hilang disebalik pintu.

“Papa, jom makan bubur. Mari Irfan tolong letakkan dalam mangkuk.” Irfan segera menyembunyikan perasaan yang baru sahaja menjengah dihati.

Ketika sedang menikmati bubur, Irfan teringat untuk mengembalikan handphone papanya yang secara tidak sengaja diambil oleh Puan Elinna.

“Oh ya papa, ini mama terambil handphone papa.” Irfan mengeluarkan handphone dari beg sandang.

Tuan Iskandar menyambut handphoneyang dihulurkan oleh Irfan dengan tangan kanannya. Nasib baiklah tangan kanannya tidak cedera. Jika tangan dominannya itu yang cedera tentu sukar untuk dia melakukan pergerakan.

Tuan Iskandar mengerutkan dahi. Dia hairan, macam mana handphonenya boleh berada dengan isterinya. Dia pun tidak perasan, handphone tidak berada bersamanya.

“Aik, macam mana mama boleh terambil ni?”

“Entahlah pa… Mama kata, dia terkejut semasa nursetegur papa nak minum limau ais tengahari tadi… Terus mama termasukkan handphone papa dalam handbag.

“Oh, macam tu ke… Bahaya mama kamu ni… Silap-silap suatu hari nanti, dia pegang satu-satu barang, dia termasukkan dalam beg dia pula… Tup tup tak pasal-pasal dituduh mencuri…. Padahal tak sedar pun tangan yang masukkannn… Hahahaha….”

“Hahahaha… Macam-macam papa ni… Papa nak ke jadi macam tu?”

“Eh, janganlah… Nanti orang tanya, isteri siapa tuuu?? Haaahh! Sudahhhh… Papa juga yang kena… Hahahaha…”

“Hahahahaha….”

Sambil-sambil ketawa, Tuan Iskandar memasukkan handphonenya kedalam poket baju yang dipakai. Dia menyambung kembali suapan bubur yang terhidang. Dia mengerling pada Irfan, bukan main laju lagi anak terunanya makan. Mereka berdua memang sukakan bubur jagung buatan air tangan Puan Elinna. Memang sedap!

“Pa, muka nurseyang tegur papa tu, garang ke pa? Sampai mama terkejut macam tu… Hahahaha…”

“Eh, taklah… Cantik orangnya… Nurseyang hulurkan kad menunggu tadilah… Cantikkan?” sengaja Tuan Iskandar memancing anak terunanya.

“Uurmmm yang tu ke? Bolehhhhlaaaa…. Taklah hodoh sangat sampai mama terkejut.... Hahaha....” Irfan sengaja menyembunyikan perasaannya. Hatinya memang mengakui kecantikan nursetadi dan buktinya, dia telah terpana dengan hentaman senyuman yang dilemparkan kepadanya.

“Elehhh… Ya lah tu… Kamu sukakan nursetadikan?”

“Papa tambah lagi buburnya.... Banyak lagi ni.” Sengaja dia mengubah topik perbualan. Irfan mula merasakan pipi dan telinganya panas dek kerana menahan malu. Entah kenapa? Diusik papanya dia menjadi seperti itu. Selama ini, tidak pernah pun terjadi seperti ini.

Irfan bertegas di dalam hati, dia mesti menyiasat siapa jururawat tadi.

“Kalau betullah engkau perempuan yang hadiahkan penumbuk pagi tadi, nahaslah kamu…” Tiba-tiba sahaja bara api kian menyala di dalam hati.

Lisa atau Jururawat Natasya membawa bubur yang dihadiahkan oleh keluarga pesakit ke pantri Wad Mawar. Dia mempelawa rakan-rakan setugasnya untuk makan bersama. Sejurus diberi tahu, mereka bergilir-gilir untuk ke pantri bagi menjamah bubur yang dihadiahkan keluarga pesakit.

Lisa hanya menjamah sesuap bubur disebabkan hatinya mula resah memikirkan jejaka tadi. Dia memang cam, itulah lelaki yang dihadiahkan penumbuk olehnya pagi tadi. Lisa mengerling jam di dinding. Jam sudah menunjukkan 6.40 petang. Masa 10 minit sudah berlalu. Sudah menjadi kebiasaan Lisa untuk mengambil masa 10 minit bagi merehatkan diri seketika.

Solat Asar sudah ditunaikan awal-awal lagi memandangkan hari ini wad tidak sibuk seperti semalam. Hari ini ramai pesakit telah discaj. Lagi 2 jam 20 minit masa untuk Lisa menamatkan shiff petang ini.

Sebelum angka jam menunjukkan 9 malam, Lisa akan segera menyelesaikan tugasannya di wad dan segala laporan perawatan pesakit akan ditulis dengan kemas di dalam fail laporan pesakit.

“Macam mana ni… Harap-harap, dia tak perasannnn...,” kata Lisa sambil mengetap bibir.

Lisa mula membasuh bekas tupperware dan mengelapnya sehingga kering. Tupperware itu diletakkan di atas meja makan buat sementara waktu. Lisa melangkah keluar dari pantri bagi menyambung kembali tugasnya dan bekas itu akan dipulangkan sebentar nanti sejurus Lisa selesai melakukan tugas.

“Syira, tak makan bubur ke? Bubur masih ada dekat pantri tu. Saya dah letakkan bawah tudung saji… Nanti kalau ada masa, bolehlah pergi makan,” tanya Lisa sambil memegang bahu rakan setugasnya yang sedang kusyuk menulis laporan pesakit.

“Oh, saya nak habiskan laporan ini dulu… Tinggal satu saja lagi... Nanti saya pergi makan… Baik betul hati isteri pesakit tu kan Tasya?”

“Itulah Syira… Saya sebenarnya segan nak mengambil bubur tu tadi… Tapi pesakit tu bersungguh-sungguh memberinya… Kalau saya menolak, takut kecil hati pula pesakit tu,” jelas Lisa sambil menyusun fail-fail pesakit.

“Betul juga tu.... Tak apalah kita anggap sebagai rezeki kita… Mudah-mudahhan pesakit tu cepat sembuh.”

“Aminnn....” Lisa mengaminkan kata-kata kawannya itu.

Sudah menjadi kebiasaan bagi Lisa untuk membahasakan dirinya sebagai Natasya. Bukannya apa, di dalam wad berkenaan sudah dua orang rakan setugasnya bernama Lisa. Jadi, dia mengambil langkah mudah untuk senang orang mengingati namanya dan tidak tertukar dengan Lisa yang lain terutamanya ketika mencop apa-apa laporan. Dia akan mencop laporannya dengan nama Jururawat Natasya. Jika tiga orang menggunakan cop yang bernama Lisa, maka akan banyak terjadi kekeliruan tentang Lisa yang mana satu.

Jam sudah menunjukkan jam 8.30 malam. Lagi setengah jam, masa bertugas hendak tamat untuk hari tersebut. Lisa sudah menyelesaikan segala kewajipan yang perlu dilakukannya. Cuma dia perlu menunggu kehadiran rakan setugasnya yang bertugas pada shiff malam bagi melaporkan laporan perawatan pesakit untuk perawatan selanjutnya.

Lisa mula teringatkan tupperware yang diletakkan di atas meja pantri tadi. Memandangkan segala tugas sudah selesai, Lisa segera bergegas ke pantri untuk mengambil tupperwareuntuk dipulangkan kepada pemiliknya.

“Assalamualaikum,” ucap Lisa ketika berada dimuka pintu bilik pesakit.

“Waalaikumussalam,” jawab Irfan sambil bangun dari tempat duduknya di kerusi.

“Ini saya nak pulangkan bekas tupperware tadi… Terima kasih… Sedap buburnya,” puji Lisa sambil menghulurkan bekas kepada Irfan.

“Sama-sama....”

“Eh, kamu ini dari pukul 2 tadikan? Tak pulang ke rumah lagi ke? Sudah malam macam ni masih belum pulang?” tanya Tuan Iskandar kepada Lisa.

“Belum pulang. Pukul 9 malam baru habis waktu bertugas saya,” beritahu Lisa sambil mengerling kepada transfusi Normal Saline yang dialirkan pada Tuan Iskandar. Titisan transfusi berjalan dengan lancar tanpa sekatan.

“Oh, macam tu… Mesti penatkan?” tanya Tuan Iskandar.

“Alhamdulillah… Setakat ini, tak adalah penat sangat,” jawab Lisa dengan mesra walaupun penatnya hanya tuhan yang tahu.

Irfan segera mencari helah bagi menyelidiki gadis tersebut. Lisa mula mahu mengatur langkah untuk mengundur diri kerana dia mengandaikan kawan setugasnya yang bekerja pada shiff malam sudah tiba.

“Maafkan saya staffnurse… Macam mana ya saya nak hilangkan lebam pada perut saya ni?” tanya Irfan sambil menyelak bajunya ke atas bagi menampakkan kesan lebam pada perutnya.

Lisa memandang pada perut Irfan.

“Alamak, macam mana ni? Lebam pula perutnya… Tak sangka aku tumbuk sampai jadi macam tu… Kira powerjugalah tangan aku ni,” kata Lisa di dalam hati sambil melihat buku lima tangannya.

“Err…” Lisa cepat-cepat menyembunyikan tangannya. Lisa mengetap bibir dan rasa bersalah mula menjalar di dalam hati.

“Eh, Irfan.... Kenapa dengan perut tu?” tanya Tuan Iskandar.

“Entahla pa… Tiba-tiba sahaja ada kesan lebam macam ni,” jawab Irfan sambil mengerling ke arah Lisa.

Lisa membuat muka selamba. Dia berlagak seperti tidak tahu menahu dalam hal ini. Dia dapat merasakan Irfan masih tidak mengecaminya dan ini adalah salah satu taktik Irfan untuk memerangkapnya.

“Encik rasa sakit tak pada bahagian lebam tu?”

“Gila tak sakit!! Mestilah sakit! Terutamanya semasa nak rukuk solat... Sakitttt!!” jawab Irfan sedikit menggertak pada Lisa.

“Oh, kalau macam tu, encik boleh buat demahan sejuklah. Demahan sejuk ini boleh melegakan kesakitan dan mengurangkan lebam… Encik boleh letakkan ais dalam tuala, dan lepas itu boleh terus buat demahan,” terang Lisa dengan serius.

“Mana pula saya nak cari ais malam-malam ni. Cafébuka lagi ke?” tanya Irfan.

“Saya boleh buatkan kalau encik nak.”

Really?”

“Yup!” jawab Lisa sambil mengukir senyuman.

Aduh! Irfan terpana lagi dengan senyuman tersebut.

“Kalau macam tu, saya sediakan demahan itu dululah.”

“Ialah… Terima kasih…”

Lisa hanya mengangguk dan dia terus mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut. Lisa segera pergi ke procedure room untuk menyediakan tuaman yang dikatakan tadi. Dia harus cepat kerana ketika baru melangkah ke dalam procedure room, dia melihat rakan setugasnya yang bertugas pada shiff malam baru sahaja tiba. Dia perlu melaporkan laporan sebelum pukul 9 agar perawatan pada pesakit dapat dijalankan tepat pada waktu yang telah ditetapkan.

Setelah siap menyediakan tuaman, rakan setugas Lisa mengajak untuk melaporkan laporan untuk tugasan pada shiffmalam. Lisa meletakkan dahulu tuaman tersebut di dalam kidney dish dan diletakkan di dalam peti ais agar pack ice tidak cair.

Lisa melangkah ke kaunter jururawat sambil menarik troli fail pesakit. Satu persatu fail diselak dan dibacakan laporan untuk perawatan selanjutnya bagi pesakit Wad Mawar.

Di dalam bilik Mawar 25, Irfan gelisah. Sesekali dia menjenguk ke luar pintu untuk mengintai Lisa.

“Eh, tadi dia kata nak buatkan aku demahan… Ini kenapa pula dia boleh duduk melepak dekat kaunter dengan nurse-nurselain?? Dia ni dah permainkan aku ke?” Irfan sedikit gusar.

Irfan memandang kepada Tuan Iskandar yang sudah melelapkan mata di katil. Irfan menjenguk ke luar pintu sekali lagi. Dia melihat jam di dinding dan jarum jam hampir menunjukkan pukul 9 malam. Irfan mula mengandaikan Lisa sengaja mengelakkan diri daripadanya.

Irfan melangkah malas menuju ke arah sofa. Badannya dihempas di atas sofa empuk tersebut sambil matanya memandang kearah televisyen yang sejak dari tadi terpasang. Setelah beberapa minit, Irfan mendapati tiada siaran yang menarik untuk ditonton sebaik sahaja siaran ditukar. Suis televisyen terus dimatikan. Irfan mula melangkah meninggalkan tempat duduknya. Langsir tingkap di selak. Diluar sana, kelihatan permandangan indah terbentang didepan mata dengan kerdipan lampu neon di jalan raya. Menara KLCC dan Menara Kuala Lumpur tersergam indah dengan limpahan cahaya lampu yang mewarnainya. Deretan kenderaan masih lagi menyusuri jalan raya. Permandangan tersebut membuatkan Irfan terleka. Sesekali Irfan menggosok perutnya yang terasa senak.

“Encik....” Kedengaran suara lembut memanggilnya dari arah belakang.

Irfan berpaling ke belakang dan ternyata jururawat tadi tidak mempermainkannya. Irfan tersenyum ke arah Lisa menyerlahkan lagi ketampanan wajahnya.

“Ingatkan staffnurse sudah lupa. Lagi pun jam dah lebih dari pukul 9 kan? Belum pulang lagi?”

“Mana boleh lupa…. Ini demahannya,” hulur Lisa kepada Irfan.

Irfan menyambut huluran Lisa.

“Ini macam mana nak guna ni?”

“Ambil demahan ni, kemudian encik tuamkan pada tempat lebam tu. Ulang antara 5 sehingga 20 minit. Jangan diletakkan terus menerus dekat bahagian lebam tu. Nanti tak pasal-pasal membeku pula perut encik,” jelas Lisa sambil tersenyum.

“Ok.... Tak payah berenciklah dengan saya… Just call me Irfan.”

Lisa hanya tersenyum. Bagi Lisa, lebih baik jika dia menggunakan panggilan formal. Jika orang itu berpangkat haruslah memanggil orang tersebut dengan pangkat tersebut. Jika tiada pangkat haruslah menggunakan perkataan Puan, Cik atau Encik. Ia nampak lebih professional. Bukan perkataan pak cik, mak cik, adik atau abang. Inikan hospital. Pesakit yang bertandang adalah klien yang perlu dihormati.

“Boleh saya tahu kenapa perut encik boleh lebam sampai macam tu sekali?” Lisa cuba untuk menyelidiki kehebatan tumbukan tangannya.

Irfan memandang ke arah papanya. Irfan mengajak Lisa untuk bercakap di luar bilik kerana dia bimbang perbualan mereka akan didengari oleh Tuan Iskandar. Mereka melangkah ke luar pintu bilik.

“Sebenarnya, saya dah ditumbuk oleh seorang perempuan pagi tadi. Staffnurse kenal tak orang tu?” tanya Irfan separuh berbisik cuba untuk memerangkap Lisa.

“Manalah saya kenal encik!” jawab Lisa seperti memang tidak tahu menahu tentang hal ini.

Terdetik perasaan geram di hati Irfan dengan gadis didepan matanya ini. Boleh dia buat muka selamba. Mungkinkah bukan dia orangnya? Irfan tidak berapa cam tetapi pasti dia akan cam setelah melihat sekali lagi gambar gadis yang telah diambil pagi tadi.

“Agak-agak staffnurse rosak tak buah pinggang saya?” Irfan cuba lagi untuk menakuti gadis didepannya untuk melihat reaksi yang bakal dipamerkan.

“Saya tak pasti pasal itu. Kalau encik nak kepastian encik boleh buat medical check-up.”Sedikit perasaan gusar menyelubungi hati Lisa. Bimbang jika pertanyaan Irfan itu betul-betul menjadi kenyataan.

“Hurmm... Oklah kalau macam tu… Jam dah pukul 9.20 malam. Staffnursetak nak pulang lagi?”

“Kalau encik dah tak ada apa-apa, saya minta diri dahululah,” kata Lisa sambil melihat jam di dinding.

“Ialah. Terima kasih Staffnurseee....,”ucap Irfan sambil mengintai tag nama Lisa.

StaffnurseNatasya...” Lisa segera menyambung ayat tergantung Irfan.

StaffnurseNatasya... Cantik nama tu. Terima kasih ya untuk tuaman ni,” ucap Irfan sambil menunjukkan pack iceyang dipegang.

“Sama-sama. Kalau macam tu saya minta diri dahulu.”

Lisa melangkah dengan perasaan bersalah. Rosakkah buah pinggang dia?

Irfan memandang pemergian Lisa dengan senyuman yang semakin melebar di wajah. Setelah Lisa hilang daripada pandangan, Irfan melangkah masuk ke ruangan bilik papanya. Dia segera melakukan tuaman pada kesan lebam sebelum aisnya mula mencair. Terasa selesa sekali dengan tuaman tersebut. Sesekali Irfan memandang kepada papanya. Tuan Iskandar telah pun nyenyak tidur dengan diselimuti selimut yang selesa. Irfan mula merasai kedinginan bilik tersebut. Alamak, dia tidak membawa selimut!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.