Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 35
BAB 35

Huda mundar-mandir di ruang tamu rumah sambil cuba menalefon Lisa berkali-kali. Namun tidak berjaya.

“Ke mana Lisa ni? Bukan nak telefon aku pun? Dah siap ke pengambaran tu?” Bertubi-tubi soalan menerjah ke dalam fikirannya. Huda termenung panjang sambil matanya menatap kaca televisyen yang sedang menyiarkan berita.

Tidak lama kemudian, telefon Huda berbunyi.

“Eh, Lisa!” Huda segera menjawab panggilan tersebut.

“Ini kenapa susah sangat nak angkat call ni? Sekejap dapat, sekejap tak dapat!!” tanya Huda geram.

“Amboi, cik kak… Assalamualaikum!”kata Lisa.

“Waalaikumussalammm…”

“Haa... Macam itulah... Sakit telinga tau tak dengar Huda menjerit macam ni... Lisa ada di tengah-tengah Tasik Kenyir ni… Itu yang line tak berapa elok ni,” kata Lisa gembira sambil memandang kepekatan malam ditengah tasik. Bunyi simfoni semula jadi daripada ungas hutan yang menyulami kepekatan malam menjadi peneman setia bagi penghuni bot ini.

“Tasik Kenyir?? Kau buat apa dekat situ?”

“Ini haa... Adik aku... Sibuk dia nak memancing…”

“Ya ke? Habis tu dia buat apa sekarang?”

“Tengah makan... Kami semua tunggu ikan dia pancing... Tapi, satu ekor pun tak dapat... Bukan main cakap besar. Lisa dan Irfan pergi beli ikan dekat pasar pagi tadi bukan main dia ketawakan... Katanya, Tasik Kenyir tu, banyak ikan! Tak payah bawa ikan pergi sana… Nasib baik kami bawa ikan-ikan tu. Kalau tak kebulurlah perut kami ni...”

“Hahahaha... Nanti dapatlah tu ikan... Dekat sana dengar cerita ikan besar-besar... Ikan Naga pun ada tau!”

“Eh, engkau ni… Janganlah cakap macam tu... Dahlah sekarang ni, aku duduk ditengah-tengah tasik ni…”

“Tak ada orang lain ke dekat situ?”

“Ada juga... Bot rumah macam kami... Tapi jauhlah...”

“Tadi kau ada cakap kau pergi pasar dengan Irfan kan?”

“Haa... Kenapa?”

“Irfan tidur kampung kau?”

“Yes!”jawab Lisa.

“Habislah engkau...”

“Kenapa?” Lisa hairan.

“Mesti emak dan ayah kau sukakan dia!” Huda mengusik.

Lisa memandang ke arah Irfan. Bukan main mesra lagi berbual dengan emak dan ayahnya.

“Aku pun rasa macam tu...” Lisa sudah mulai curiga tentang layanan yang diberikan oleh emak dan ayahnya kepada Irfan.

“Eh, tak ada nyamuk ke dekat situ?”

“Aahh... Kau tanya ni baru aku perasan! Tak ada nyamuklah...” Lisa melihat disekelilingnya.

“Eh, Huda call ni kenapa?” setelah agak lama berbual, Lisa bertanyakan tentang tujuan Huda menalefonnya.

“Tak ada apalah... Kau bukannya nak callaku pun...”

“Hahaha... Maaflah...”

“Aku ada benda nak cakap dengan engkau ni... Pasal Ustaz Saiful.” Bibir Huda mula menguntum senyuman.

“Haa... Apa dia?”

“Ustaz Saiful, ajak Huda kahwin!”

“Haaa… Apa dia??” Lisa seakan tidak percaya.

“Ustaz Saiful ajak Huda kahwin!”

“Alhamdulillah… Tahniah aku ucapkan…”

“Janganlah ucap tahniah dulu… Dia baru nak hantar rombongan merisik je pun...”

Kegembiraan yang bersarang dihati Huda, diluahkan kepada Lisa. Lisa tumpang gembira untuk Huda. Nampaknya dirinya sahaja yang masih berteka-teki. Apakah perasaan Dr.Haikal terhadap dirinya? Jejaka itu sudah menyepi sejak meninggalkan tanah air.

******************************************************************

“Macam mana? Selesa tak meja ni Ain?” tanya Maria sambil duduk disisi adiknya yang sedang tekun mengulangkaji pelajaran.

“Selesa! Meja doktor kan?” Ain tersenyum.

“Ya... Meja doktor...” Maria meneliti meja kepunyaan Dr.Haikal yang kini sudah menjadi milik adiknya Ain. Kebetulan siang tadi, doktor baru yang menghuni bilik Dr.Haikal tidak mahukan meja ini disebabkan doktor tersebut mempunyai citarasa tersendiri. Lagipun meja ini sudah sampai masanya untuk ditukar baru. Kebetulan, adiknya memerlukan meja. Jadi, atas kebenaran daripada ketua jururawat, Maria berjaya membawa meja ini pulang ke rumah atas bantuan seorang rakan. Kalau tidak, meja ini akan dilupuskan begitu sahaja.

“Bolehlah Ain ambil berkat...”

“Hahahaha… Macam-macam Ain ni... Belajar sungguh-sungguh tau... Nanti lepas habis belajar nanti bolehlah kerja bagus-bagus...”

“Insya-Allah... Kak Maria doakan tau... Lagipun, Ain nak buat emak dan Kak Maria bangga dengan Ain!”

Maria tersenyum mendengar semangat yang diutarakan adiknya.

“Kak Maria, laci meja ni tak boleh buka ke?”

“Tak boleh buka... Kak Maria dah cari kunci tu tadi, tapi tak jumpa…”

“Kak Maria, nanti kalau Kak Maria ada masa, Kak Maria tolonglah usahakan buka laci meja ni ya... Tadi Ain dah cuba, tapi tak boleh…”

“Ok, tak ada masalah… Sekarang ni Ain baca buku dulu tau... Kak Maria nak tidur... Letih sangat… Kaki ni rasanya macam dah tak boleh nak bergerak... Esok Kak Maria kerja pagi... Kena bangun awal... Good night...

Good night...Kasihan Kak Maria... Baru balik, esok pagi-pagi lagi dah kena pergi kerja...”

“Nak buat macam mana Ain... Dah tugas Kak Maria macam ni...” Maria tersenyum kelat.

Maria terus merebahkan badannya di katil. Lampu bilik dibiarkan terpasang bagi memudahkan adiknya mengulangkaji pelajaran. Maria memperbetulkan kakinya yang diletakkan di atas bantal yang sedikit ditinggikan bagi merehatkan kaki yang keletihan. Tidak sampai lima minit, Maria lena di dalam kepenatan.

Ain memandang kaki Kak Maria. Simpati pada kakaknya mula bersarang di lubuk hati. Urat-urat biru jelas kelihatan pada kaki Kak Maria menandakan banyak berdiri sewaktu bekerja. Sejak Kak Maria menjadi jururawat, berat badannya secara mendadak menurun. Waktu makannya tidak menentu. Kadang-kadang bila pulang kerja pada waktu malam, Kak maria tidak sempat pun menjamah makanan. Selepas mandi, pasti Kak Maria akan terus tertidur kerana keletihan. Tugas jururawat bukanlah tugas yang ringan. Sesiapa yang kuat mental dan fizikal sahaja yang mampu bertahan dengan kerjaya ini. Itulah, masyarakat tidak pandai menghargainya. Bila nampak jururawat duduk dikaunter dikatakan jururawat duduk membesarkan lemak. Padahal, jururawat itu baru sahaja duduk. Manalah tahu kalau ada laporan yang nak ditulis. Bila memikirkan hal itu, Ain naik geram.

Ain kembali menyambung mengulangkaji pelajaran. Lampu bilik ditutup dan Ain hanya menyalakan lampu meja agar tidak menganggu lena kakaknya.

********************************************************************

Puan Elinna meneliti satu persatu gambar di skrin komputer riba di bilik pejabatnya. Gambar yang ditatap kelihatan sangat sempurna dengan berlatarkan keindahan pulau. Busana pengantin yang digayakan Irfan dan Lisa nampak begitu menyerlah dan sangat eksklusif dalam gambar ini.

“Wanda, saya nak gambar-gambar ini dijadikan poster secepat yang mungkin... Cantik kan?”

“Cantik, puan... Saya pasti ramai yang akan tergilakan dengan rekaan baju terbaru ini...”

“Tak sia-sia kita pilih Lisa sebagai model butik kita... Tak sangka dia dapat membawa watak baju ini dengan begitu berkesan!” Puan Elinna menatap wajah Lisa yang disukainya.

“Macam mana Lisa dan Irfan di sana?”

“Maksud puan, macam mana?”

“Maksud saya, mereka berkawan rapat tak?”

“Puan, terus terang saya cakap mereka ni suka sangat bergaduh! Tiap-tiap kali sesi pengambaran, ada sahaja topik yang nak digaduhkan!” jelas Wanda tanpa berahsia lagi.

“Bergaduh?” Puan Elinna mengerutkan wajahnya. Hairan kenapa Irfan dan Lisa bergaduh. Selama ini elok sahaja dihadapannya.

“Entahlah... Saya pun tak faham apa masalah mereka. Tapi, bila kita tengok gambar ni, macam tak ada apa-apa kan? Tapi, belakang tabir macam nak runtuh set pengambaran!” Wanda berani melontarkan kata-kata.

“Irfan ada dirumah Lisa kan?” tanya Puan Elinna untuk kepastian.

“Ya, puan... Saya memang betul-betul tak faham dengan Encik Irfan. Bergaduh, tapi masih berpura-pura demam semata-mata mahu bertandang ke rumah Lisa…”

“Berpura-pura demam?” Puan Elinna bertambah hairan.

Segala peristiwa yang berlaku diceritakan Wanda sepenuhnya. Puan Elinna mendengar dengan penuh perhatian. Sekali-sekala bibirnya mengukirkan senyuman. Tak sangka anaknya berbakat untuk menipu. Nama sahaja belajar undang-undang tapi masih lagi menipu. Ini namanya ilmu yang tidak diamalkan!

“Daripada gaya cerita awak ni kan Wanda... Saya rasa anak lelaki saya tu sukakan Si Lisa tu!” Puan Elinna membuat andaian.

“Mungkin juga puan... Tak kan dia sanggup berpura-pura demam semata-mata nak mendapatkan simpati Lisa... Tapi, saya mushkillah puan... Kenapa mereka ni selalu bergaduh?”

Puan Elinna tersenyum penuh rahsia. Dia tahu sangat perangai anaknya. Kalau bab-bab memikat perempuan anaknya bukan pakar. Tetapi, kalau dalam bab-bab menyakitkan hati perempuan, anaknya adalah juara. Kadang-kala Puan Elinna akui Irfan sengaja mencetuskan hal demikian semata-mata mahu melihat bagaimana reaksi gadis yang mahu dipikatnya. Kalau reaksi gadis tersebut, tergedik-gedik, menangis, merajuk pasti Irfan tidak akan berusaha mendapatkan gadis tersebut. Mungkin perwatakan Lisa berbeza. Sebab itulah Irfan masih mengekori gadis ini sampai ke kampung halamannya.

“Kita doakan baik-baik sahaja untuk mereka... Lagipun saya ini dah tak sabar nak bermenantu! Nak harapkan Alongnya? Sampai tualah saya tak bermenantu...”

Darah merah tiba-tiba sahaja menyerbu ke muka Wanda. Wanda faham, nama Along yang disebutkan Puan Elinna adalah Hairul Ikhwan iaitu jejaka yang telah lama membawa diri bekerja di Australia. Kalaulah, Puan Elinna tahu Wanda adalah kekasih anaknya. Apa agaknya reaksi beliau? Wanda tidak berani membayangkannya. Biarlah ia menjadi hubungan rahsia buat masa ini. Wanda selesa begini.

*********************************************************************

Syafiq Rayyan tidak sabar menunggu kedatangan Maria di perkarangan rumahnya. Syafiq Rayyan menunggu dengan penuh debar. Begitu juga dengan Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah. Wajah mereka kelihatan begitu gelisah. Perasaan geram dan perasaan ingin tahu mula bersilih ganti menguasai diri mereka. Apakah berita penting yang mahu disampaikan Maria? Mereka masih tertanya-tanya disebabkan Maria tidak mahu bercerita melalui telefon.

“Haa... Itu pun Maria!” kata Datin Faridah sambil kakinya melulu ke arah pintu utama setelah lampu kereta Maria mula muncul di perkarangan rumah. Kereta Myvi ungu Maria diletakkan betul-betul di hadapan pintu utama.

“Assalamualaikum, mama...” Maria bersalaman dengan Datin Faridah sambil sebelah tangannya lagi memegang sampul surat besar.

“Waalaikumussalam, Maria... Jom masuk, sayang,” kata Datin Faridah mesra. Maria adalah anak kepada bekas orang gaji yang disayanginya kerana ibu Maria begitu patuh dan sangat memegang rahsia. Datin Faridah tidak kisah jika Maria menjadi pilihan Syafiq Rayyan kerana dia juga amat menyukai gadis ini. Perwatakan gadis ini dikira sebulu dengannya. Mulut yang tak ada insyuran, suka bergaya, suka membeli-belah dan yang ketara sekali adalah sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Maria melangkah masuk kedalam mahligai Datuk Abdul Hamid sambil bibir merahnya menguntum senyuman. Maria pasti berita yang ingin disampaikannya ini akan membuatkan ahli keluarga ini bertambah sayang kepadanya.

Maria duduk disebelah Syafiq Rayyan. Sampul surat coklat diletakkan di atas meja dihadapannya.

“Apa berita penting yang Maria ingin katakan tu?” tanya Datuk Abdul Hamid untuk kepastian.

“Begini papa... Hari tu, Maria ada mengambil meja doktor yang bertugas di hospital Maria... Maria buat balik ke rumah untuk Ain. Tapi, ada satu laci tu tak boleh dibuka. Macam-macam cara Maria usahakan untuk buka laci tu disebabkan doktor tu tak tinggalkan kunci laci ni... Maria geram, bila tak dapat buka laci tu dan hati Maria tetap bertekad untuk mengetahui apa yang ada di dalam laci tersebut. Entah kenapa... Setelah laci tu berjaya dibuka, rupa-rupanya ada rahsia yang amat kita perlukan! Patutlah Maria teringin sangat nak buka laci tu...”

“Apa rahsia tu?” Adam Mukhlis mula bersuara yang sejak dari tadi memasang telinga mendengar cerita Maria. Dia pasti, ini tentu cerita tentang Kak Fatin.

“Ini...” Maria menolak sampul surat coklat yang berada diatas meja ke arah Datuk Abdul Hamid.

Datuk Abdul Hamid memandang Maria dengan penuh tanda tanya.

“Apa ni?”

“Wajah bekas suami Fatin Natasya...” Maria menutur perlahan.

“Wajah bekas suami Fatin?” Datin Faridah terkejut.

“Bukalah papa,” kata Maria setelah melihat Datuk Abdul Hamid masih tidak melakukan tindakan sewajarnya.

Adam Mukhlis yang telah sedia maklum tentang wajah suami Kak Fatin tidak begitu ambil kisah dengan gambar yang ingin ditunjukkan Maria. Matanya tidak lepas daripada menatap ipad yang berada ditangannya. Nampaknya rahsia Kak Fatin sudah semakin parah tahap kebocorannya.

“Siapa ni?” tanya Syafiq Rayyan setelah melihat foto perkahwinan kakaknya di Kota London.

“Muhd Farish Haikal... Dr.Haikal...”

“Doktor? Maknanya ayah kepada cucu mama adalah seorang doktor?”

Maria mengangguk perlahan.

“Muhd Farish Haikal… Fatia Alisya binti Muhd Farish Haikal, Farid Danial bin Muhd Farish Haikal...” Syafiq Rayyan menutur pelahan sambil otaknya mengingati nama anak saudaranya yang diketahui melalui telefon. Itu pun setelah dipaksa, barulah kakaknya bersetuju memberitahu nama penuh anaknya.

“Ya, memang sama! Mana lelaki ni?!” tanya Syafiq Rayyan tegas.

“Buat masa sekarang, Dr.Haikal tidak ada di Malaysia. Dia keluar negara untuk program penyelidikannya di London. Mungkin mengambil masa yang agak lama. Maria tidak pasti...”

“Dr.Haikal ke London?” Adam Mukhlis bertanya untuk kepastian.

“Aaah... Dia dah ada di sana sekarang,” kata Maria serius.

“Kena beritahu Kak Fatin ni... Manalah tahu Dr.Haikal akan mencari kelibat kakaknya di sana nanti,” bisik hati Adam Mukhlis.

“Maria ada maklumat peribadi tentang doktor ni?”

“Tak ada, mama...”

“Nanti Maria tolong siasatkan boleh?” tanya Datin Faridah.

“Ermm... Mungkin susah sikit... Sebabnya data pekerja amat dirahsiakan... Nantilah Maria cuba...”

“Tolong ya Maria,” rayu Datuk Abdul Hamid.

“Insya-Allah, Maria cuba... Tapi, Maria tak janji. Oklah papa, mama... Maria balik dululah... Lagipun dah dekat pukul 11 malam ni...”

“Yalah... Hati-hati bawa kereta tu... Itulah datang lambat sangat... Kalau tak boleh makan malam sekali tadi,” kata Datuk Abdul Hamid kepada bakal menantunya.

“Tadi Ain ada hal... Maria temankan dia pergi kedai buku... Itu yang lambat datang tu,”jelas Maria.

Maria bersalaman dengan bakal mentuanya sebelum pulang. Maria gembira kerana dapat membantu. Dia sendiri pun tak sangka Dr.Haikal yang begitu kacak orangnya pernah dimiliki oleh seseorang dan apa yang orang lain tidak tahu Dr.Haikal berstatus duda.

Previous: BAB 34
Next: BAB 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.