Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 12
BAB 12

Senang hati Irfan apabila melihat Puan Elinna kembali ceria. Selama ini mamanya sentiasa runsing ketika papanya berada di hospital. Irfan bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang bahagia. Mama dan papa begitu menyayangi antara satu sama lain. Seingat Irfan, jodoh mereka ditentukan oleh kedua orang tua mereka. Alhamdulillah… Kekal dan bahagia sehingga kini. Jarang sekali mereka bergaduh. Papanya pula seorang yang romantik. Ada sahaja hadiah kejutan untuk Puan Elinna. Melihat kebahagiaan mereka, hati Irfan teruja untuk mencari siapalah Hawa yang sudah ditentukan untuknya.

Dahulu kehidupan mereka sekeluarga bukanlah senang seperti ini. Masih ingat difikiran Irfan, mereka sekeluarga hanya makan nasi putih bersama telur goreng dan kicap selama seminggu. Itupun telur ayam kampung yang di bela di reban. Makan mereka tidaklah mewah seperti sekarang. Berkat peninggalan tanah pusaka orang tua Puan Elinna dan Tuan Iskandar, kehidupan mereka berubah. Papa berani mengambil risiko untuk meminjam wang dengan bank untuk mengusahakan tanah pusaka tersebut. Pelbagai jenis sayuran ditanam. Semakin hari ia semakin maju dan papa berjaya membeli beberapa bidang tanah lagi. Kata orang pertanian juga sebuah perniagaan. Kalau kena caranya, ia menguntungkan!

Irfan memandang rumah dan kereta-keretanya dari sudut meja taman. Dia sangat bersyukur kerana Allah merahmati dan murahkan rezeki mereka sekeluarga. Irfan memandang ke langit. Kelihatan mentari senja sudah merangkak untuk beradu. Cahaya keperangan memenuhi ruang langit. Burung-burung juga sudah beterbangan pulang ke sarang. Tidak lama lagi Azan Mahgrib akan berkumandang. Irfan bangun dari duduknya . Hari ini Irfan bercadang untuk solat berjemaah di surau berdekatan.

Lisa memandang lampu kristal yang diletakkan bersebelahan katilnya. Daun-daun kristal memancarkan kerdipan cahaya yang memukau. Lisa tersenyum sendiri melihat cahaya yang disimbah keluar melalui kaca kristal. Lampu yang berbentuk pokok bonsai itu begitu menawan hati.

Sebelum ini, Lisa memang bercadang untuk meletakkan sebuah lampu tidur bersebelahan katilnya. Tak sangka ada juga orang hadiahkan lampu yang begitu cantik ini kepadanya. Macam tahu-tahu sahaja apa yang dihajati. Lisa berbaring di katil dan matanya mula merenung ke arah lampu kristal.

Memori pertemuan dengan jejaka tersebut diimbau kembali. Terasa sakit hati pun ada. Tetapi apabila terpandangkan lampu kristal bersebelahannya, hati Lisa menjadi tenang kembali. Kepala Tuah dibelai lembut. Kucing ini semakin membesar dan aktif.

“Kalau tak kerana kamu Tuah, aku takkan jumpa dengan mamat berlagak bagus tu,” kata Lisa sambil menjentik telinga Tuah.

Tuah hanya mendiamkan diri. Tahu agaknya tuannya marahkannya.

“Kasihan kamu Tuah… Sakit ya? Tapi apa nama dia yer? Iylias? Irqram? Lupalah… Rasanya ada pernah dengar nama mamat ni,” kata Lisa sambil menggosok-gosok telinga Tuah.

Lisa bangun dari pembaringan. Beg kertas bekas hadiah tadi diambilnya untuk disimpan di dalam laci. Tanpa disedari sepucuk surat terjatuh dari beg tersebut. Lisa kembali berbaring dikatil. Hajatnya mahu melelapkan matanya. Esok, dia dan beberapa rakan setugas yang lain akan berkhursus di luar hospital selama 2 minggu.

“Mana Tuah ni?”kata Lisa sambil mencari kelibat Tuah. Sejak Tuah berada dirumahnya, Tuah selalu tidur bersama Lisa.

“Eh, kamu main kertas apa ni Tuah?” kata Lisa apabila melihat Tuah menikus dengan kertas dilantai.

Lisa segera mencapai kertas tersebut dan ternyata ia adalah sepucuk surat yang lengkap bersampul.

“Kad jemputan kahwin ke?” tanya Lisa sambil membelek-belek permukaan luar surat.

Lisa cepat-cepat membuka sampul surat tersebut. Tekaan Lisa meleset. Surat tersebut bukanlah kad jemputan kahwin yang Lisa letakkan di dalam kotak kecil bersebelahan katilnya.

Lipatan kertas dibuka perlahan-lahan oleh Lisa. Tulisan tangan itu sepertinya pernah dilihat. Cantik dan tersusun kemas. Mata Lisa meneliti bait-bait kata yang dilayangkan di atas kertas putih tersebut.

Assalamualaikum,

Khas untuk Lisa Amira Natasya…

Perkenalkan saya, Tuan Muhammad Harith Irfan .... Dah kenalkan hari tu? Ok, untuk menjimatkan masa, terus-terang aku katakan aku memang tidak berpuas hati dengan perempuan yang memberi penumbuk pada perut aku beberapa hari yang lepas. Aku akan cari dia sampai ke lubang cacing!

Tapi aku syak kaulah perempuan tu! Ya tak? Bukan syak, tapi aku dah yakin! Cuma aku nak tunggu pengakuan tu keluar sendiri dari mulut kau… Dan aku nak kau mohon maaf dengan aku. Tapi, aku tak akan maafkan kau dengan mudah!

Sila hubungi aku ditalian yang tertera pada kad nama aku pada pukul 11.00 malam ni. Kalau kau tak hubungi nombor ni (berdiam diri), aku akan anggap kau memang perempuan tersebut. Jika bukan kau perempuan tu, kau kena hubungi aku untuk memperjelaskan hal sebenar. Faham?

Harap maklum.

Yang benar,

Mangsa penumbuk

“Surat ugutan ke apa ni?” kata Lisa risau. Cepat-cepat Lisa mencari kad nama yang di maksudkan. Beg kertas yang disimpan tadi diselongkar. Kad nama yang dimaksudkan ditemui.

Telefon pintarnya segera dicapai. Tidak senang duduk Lisa ketika ini. Surat ditangannya dibaca berulang-kali.

Di rumah, Irfan duduk di meja kerjanya. Gambar-gambar yang diambil dari handphoneLisa siang tadi telah dimasukkan ke dalam laptop. Satu persatu gambar-gambar tersebut dipaparkan diskrin laptopnya.

Irfan menggosok-gosok kumis di pipi. Senyuman bersulamkan lesung pipit itu sedikit mengusik kedamaian hati lelakinya. Tahi lalat kecil jelas kelihatan dihujung mata gadis di depannya.

“Cantik...,” kata Irfan perlahan.

Tiba-tiba, Irfan teringatkan hadiah yang diberikan kepada Lisa. Kali ini Irfan sudah tidak mampu untuk menahan gelaknya. Rasa geli hatinya dihamburkan keluar begitu sahaja. Tidak dapat dibayangkan muka gadis tersebut apabila terkejut.

“Maaflah… Aku dah cari yang plastik… Tapi tak ada.... Dah banyak kedai akucari... Nampaknya kau tak ada rezeki nak dapatkan yang plastik. So,akubagi kauyang original. Harap kautak kisah!” kata Irfan sambil ketawa terkekek-kekek.

Mata Irfan mula melirik ke arah jam di skrin laptopnya. Jam kini menunjukkan pukul 11.00 malam. Irfan mencapai handphonenya. Bersedia untuk menjawab sebarang panggilan. Jari Irfan mula mengetuk meja mengikut rentak lagu yang dipasang sambil matanya menatap wajah Lisa di skrin laptop yang dipasang.

15 minit telah pun berlalu…

“Yeahh… Nampaknya dia dah mengaku dialah perempuan tu! Senang kerja aku!” kata Irfan sambil menutup skrin laptopnya.

Meja dikemaskan. Irfan sudah bercadang untuk melelapkan mata. Ketika kakinya baru hendak melangkah ke dalam bilik air, handphonenya berbunyi. Dengan sepantas kilat Irfan berlari mengambil handphonenya di atas meja. Tertera di skrin, SINGA BETINA.

Irfan tersenyum sinis. Minah ni masih tak nak mengaku…...

“Assalamualaikum,” kata Irfan.

“Waalaikumussalam…”Sayup-sayup kedengaran suara.

“Siapa ni?” Irfan pura-pura bertanya.

Lisa sudah menggeletar untuk menjawab pertanyaan jejaka tersebut. Suara lelakinya terasa melekat di lubang telinganya. Huh! Panggilan dimatikan Lisa.

“Kenapa dengan aku ni? Terasa menggeletar semacam! Macam pesakit Parkinson!” kata Lisa sambil menekup mukanya dengan bantal.

Irfan tidak berpuas hati. Lisa dihubungi kembali.

Lisa memandang handphonenya yang sedang berbunyi. Tanpa berlengah, tangannya menekan punat untuk menjawab panggilan tersebut.

“Oh, maaf.... Talian terputus tadi.... Mungkin linetak elok,” bohong Lisa.

“Siapa ni?” tanya Irfan lagi. Geli hatinya. Dia tahu Lisa agak kalut untuk menjawab pertanyaannya tadi. Sebab itulah talian diputuskan. Gaya percakapan orang berbohong diketahui Irfan. Maklumlah, diakan peguam…

“Saya, Lisa.”

“Lisa mana ya?”

“Err… StaffnurseNatasya…”

“Oh, yang bergambar dengan kereta aku tu kan?”

Lisa hanya mendiamkan diri. Rasanya mahu sahaja dia menendang-nendang lelaki yang sedang bercakap dengannya. Sengaja nak malukan aku!

“Macam inilah encik… Saya nak berterus-terang…”

“Wahh... Berita seronok ni… Dia nak mengaku ke? Dia tak faham ke isi surat aku tu? Kan dah ditulis jika dia perempuan penumbuk tu, dia hanya perlu mendiamkan diri…” kata Irfan didalam hati.

Kali ini Irfan hanya mendiamkan diri. Sabar menanti ayat-ayat yang bakal keluar dari gadis tersebut.

“Sebenarnya…. Err…. Sebenarnya saya bukan perempuan yang encik cari tu! Saya tak pernah menumbuk siapa-siapa!” bohong Lisa. Kononnya mahu berselindung daripada kesalahan yang dilakukannya. Bimbang jika jejaka tersebut akan mengenakannya lagi.

“Hmmm… Masih tak nak mengaku… Keras kepala juga perempuan ni yer!” kata Irfan di dalam hati.

“Bukan ke surat tu ditulis mesti call pada pukul 11.00 malam? Ini dah lewat 20 minit?”

“Jam saya baru pukul 11.05 minit,” bohong Lisa lagi.

Kali ini Irfan mengalah. Mungkin jamnya silap. Teringat peristiwa dia diketawakan setiausahanya disebabkan tersalah melihat jam.

“Ok, kalau macam tu aku nak jumpa dengan kau!” kata Irfan.

Lisa bagaikan terkena renjatan elektrik sebaik sahaja mendengar permintaan Irfan. Tidak sanggup lagi dia mahu berhadapan dengan jejaka tersebut. Malunya tentang peristiwa siang tadi masih lagi berbaki. Jika mereka bertemu, bimbang jika dia terpaksa mengaku kesalahannya dan menjadikan dirinya dalam bahaya dengan dendam lelaki tersebut.

“Maaf encik… Saya sibuk dan tiada masa… Assalamualaikum...,” kata Lisa dan terus mematikan penggilan.

“Hello? Hello?” kata Irfan.

“Tak apa, kita pasti bertemu lagi.” Irfan menggenggam telefon pintarnya.

“Alamak!! Macam mana ni… Dia nak jumpa!!” kata Lisa sambil menggigit kuku jarinya.

“Alahhh… Tak payahlah jumpa… Kalau dia nak jumpa, tak payahlah pergi… Itu pun susah?” kata Lisa seorang diri.

Lisa hanya tersenyum kelat. Sedikit gusar bertandang dihatinya. Bimbang jika lelaki tersebut akan mengotakan janjinya untuk membalas dendam. Almaklumlah dia kan perempuan. Kalau jadi apa-apakan susah… Kawan lelaki pun tak ada, apatah lagi teman lelaki untuk menolong. Semoga Allah melindunginya kali ini.

Dalam kesamaran cahaya di dalam bilik, Lisa menarik selimut menutupi badannya. Mata dipejam dalam kesukaran. Apa pun dia harus tidur kerana seawal 7 pagi esok dia harus berada di tempat berkursus iaitu di Hotel Pakma Merah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.