Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 37

BAB 37

Lisa mengatur langkah dengan begitu tertib menuju ke arah Puan Elinna yang baru sahaja habis berbual dengan sekumpulan tetamu majlis. Majlis yang dihadiri oleh beberapa orang wartawan majalah nampak begitu santai dengan alunan piano yang memenuhi segenap ruang butik yang besar. Sebahagian tetamu yang hadir, meneliti setiap perincian yang ada pada rekaan busana pengantin yang tersarung kemas pada model patung dan sebahagian lagi duduk menjamu selera selepas majlis pelancaran dirasmikan.

“Tahniah puan… Perasmian baju rekaan butik puan berjalan dengan lancar,” ucap Lisa sambil bibir menguntum senyuman.

“Terima kasih, Lisa… Saya pun nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Lisa… Gambar Irfan bersama Lisa sangat-sangat cantik. Pandai Lisa menggayakan ekspresi wajah untuk rekaan ini… Kalau teman lelaki Lisa tengok gambar Lisa bersama Irfan macam ini, tentu dia sangat-sangat cemburu... Ekspresi wajah tu sangat semulajadi.”

“Teman lelaki? Saya tak ada teman lelaki Puan,” jawab Lisa malu-malu.

“Jangan panggil saya puan... Panggil saya mak cik sahaja… Puan tu sangat formal...,” jelas Puan Elinna.

“Baiklah mak cik...

“Betul ke Lisa tak ada teman lelaki? Anak dara cantik macam ni tak kan tak ada?” tanya Puan Elinna sambil meneliti penampilan Lisa yang anggun berkebaya biru gelap bersama dengan fesyen tudung terkini. Sengaja dia bertanyakan soalan sebegini. Ini namanya merisik secara tidak rasmi.

“Betul, puan... Tak ada,” jawab Lisa sambil ketawa kecil.

“Baguslah,” kata Puan Elinna perlahan.

“Bagus??” Lisa bertanya kembali. Hairan dengan kata-kata Puan Elinna. Sepertinya menyindirkan dirinya yang masih tidak berteman lelaki sama seperti kata-kata Maria.

“Eh, jangan salah faham sayang... Errr... Maksud mak cik, baguslah kalau masih tiada kekasih hati… Macam kita tahu, couplekan haram dalam Islam. Ia boleh menjerumuskan diri ke dalam kemaksiatan,” jelas Puan Elinna dengan berhati-hati. Pada hakikatnya, perkataan bagus yang dikeluarkan daripada mulutnya tadi bertujuan menyatakan bahawa baguslah kalau Lisa masih belum berpunya. Senanglah sikit kerja meminang nanti.

“Hai, Lisa..,” sapa Irfan yang segak memakai tuxedo hitam bersama tali leher putih.

“Haa... Ini pun Irfan... Jom temankan Lisa makan… Mama masih nak berbual dengan tetamu yang hadir… Temankan tau... Kasihan Lisa makan tiada teman,” kata Puan Elinna sengaja memberi ruang kepada anaknya.

“Ok ma... Mama tak nak makan dulu ke?” tanya Irfan.

“Nanti mama makan… Irfan makan dulu dengan Lisa... Haa, lagi satu Irfan ada nampak tak papa... Dari tadi mama cari papa kamu tu, tapi tak jumpa-jumpa...”

“Ada jumpa tadi... Papa ada dekat luar… Makan rasanya...”

“Kalau macam tu tak apalah... Eh, pergilah makan...”

“Jom Lisa,” ajak Irfan.

Lisa melangkah beriringan dengan Irfan menuju pintu keluar namun kakinya terhenti seketika. Badannya berpaling semula ke arah dalam butik.

“Kenapa ni?” tanya Irfan.

“Cuba awak tengok gambar kita tu... Saya rasa macam tak percaya!” mata Lisa bersinar-sinar melihat gambar poster yang ditampalkan secara besar-besaran di dalam butik yang mempunyai keluasan yang amat luas.

“Kenapa kau tak percaya?” Irfan berdiri disebelah Lisa dan matanya turut memandang ke arah poster-poster yang dimaksudkan oleh Lisa. Tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Gah berdiri.

Lisa menatap wajah Irfan yang tidak berkumis. Lisa menatap tepat ke dalam mata Irfan.

“Saya dah berjaya menjadi model!!” Lisa sedikit menjerit namun masih dapat mengawal nada suaranya agar tidak mengganggu para tetamu. Kegembiraan hati Lisa sukar diungkapkan. Lisa ketawa bahagia. Apa yang pasti, impiannya sudah tertunai.

Irfan terpegun dengan wajah ceria Lisa. Sangat cantik dan begitu semulajadi. Kecerian Lisa pada malam ini menyentuh lembut hatinya yang mula telah jatuh cinta pada Lisa.

“Tak lama lagi, gambar ini akan menjadi realiti buat kita,” ucap Irfan perlahan sambil merenung tepat ke dalam mata Lisa.

“Akan menjadi realiti buat kita?” Lisa tidak faham dengan apa yang diucapkan oleh Irfan.

“Suatu hari nanti kau pasti akan faham...” Irfan tersenyum penuh makna.

Kata-kata tersebut mematikan senyuman Lisa. Tiba-tiba sahaja ayat Irfan itu seperti menyeramkan buat dirinya.

“Eh, jomlah kita makan,” ajak Irfan sambil menarik lengan baju Lisa.

Dari belakang Lisa tersenyum. Nampaknya Irfan masih menghormatinya agar tidak sewenang-wenangnya memegang tangannya. Perasaan dilindungi wujud apabila dia bersama Irfan.

“Banyak juga pilihan makanan ni... Kau nak makan apa?” Irfan melihat susun atur makanan yang memanjang.

“Apa-apa sahajalah...” Lisa mula mengambil pinggan untuk dirinya dan satu lagi dihulurkan kepada Irfan.

“Malam esok kita keluar celebrate nak?” tanya Irfan.

Celebrate? Celebrateuntuk apa tu?”

“Kau kan dah berjaya jadi model... Kita celebratepasal itulah...”

“Wah, macam seronok! Kebetulan saya kerja pagi esok... Bolehlah kita keluar malam tu,” kata Lisa mengembalikan semula keceriaan di wajahnya.

“Ok, esok aku ambil kau dekat rumah...”

“Boleh!” Lisa ketawa riang.

Irfan senang melihat keceriaan di wajah wanita yang mula menambat tangkai hatinnya. Irfan turut tersenyum bahagia.

Handsomelah awak malam ni,” puji Lisa malu-malu sambil tangannya memilih makanan yang terhidang.

“Apa? Saya tak dengarlah... Boleh ulang sekali lagi?” Irfan cuba mengusik Lisa. Pada hakikatnya telinganya sudah menangkap apa yang dikatakan Lisa.

“Saya kata awak handsome malam ni... Puas hati?” Lisa menunjukkan sedikit kegarangan di situ.

“Oh ya ke... Terima kasih… Kau terpikat tak?”

“Sikitlah… Oppss!” Lisa menutup mulutnya yang terlepas cakap. Mulutnya begitu lancar menuturkan isi hati yang dibungkus kemas di dalam hati. Lisa malu sendiri.

Irfan senang hati mendengar kata-kata Lisa.

“Kau apa kurangnya malam ni... Cantik! Aku cemburu tau tengok jejaka-jejaka ni pandang engkau!” Irfan meluahkan apa yang telah bersarang dihatinya sejak dari permulaan majlis tadi.

“Biasalah tu... Sayakan baru nak glamourni...”

“Encik Irfan, boleh tak saya bergambar dengan encik?” sapa sekumpulan gadis cantik dari belakang dan secara tidak langsung terus mematikan perbualan antara Lisa dan Irfan.

Irfan memandang Lisa. Bimbang jika gadis ini cemburu.

“Dah habis pilih makanan?” Lisa melihat wajah Irfan yang sedikit kelat.

“Dah.” Irfan sedikit terkejut dengan pertanyaan Lisa.

“Kalau macam itu saya bawa ke meja dahululah... Awak bergambarlah dulu... Senyummm...” Lisa mengambil pinggan di tangan Irfan.

Dari meja yang diduduki Lisa, Lisa nampak jelas kelibat Irfan. Entah kenapa, hatinya turut cemburu dengan situasi tersebut.

“Eh, fokus Lisa... Dr.Haikal engkau nak letak dekat mana nanti...” Hati Lisa berkata-kata. Perlahan-lahan Lisa melepaskan perasaan cemburu yang cuba menular ke dalam lubuk hatinya.

“Belum tidur lagi Huda?” tanya Lisa sebaik sahaja menjenguk ke dalam bilik Huda yang terbuka pintunya.

“Belum lagi… Macam mana majlis?”

“Alhamdulillah... Berjalan dengan lancar...”

“Untunglah dapat bekerja dengan butik terkenal tu... Butik Huda pula masih merangkak nak mengenal dunia...”

“Tak apa, nanti kalau ada masa Lisa bawa Huda pergi jumpa Puan Elinna... Manalah tahu boleh jadi share partner...

“Betul ke ni? Bagus juga idea tu...”

“Eh, mestilah… Nah, ini buah tangan untuk kau...”

“Apa ni?” Huda membuka beg kertas yang dihulurkan Lisa.

“Buku panduan memilih busana pengantin! Wow macam menarik ni...”

“Bolehlah kau buat rujukan untuk rekaan baju pengantin kau tu... Dan lagi satu Huda kan dah nak kahwin… Bolehlah gunakan tip-tip yang ada dekat dalam buku ni...”

Thanks,Lisa... Kau dah nak tidur ke?”

“Belum lagi... Nak seterikakan baju uniform aku tu dulu...”

“Tak payah... Aku dah tolong seterikakan... Meh, duduk sini sekejap,” ajak Huda.

“Eh, ya ke... Terima kasih Huda… Macam tahu-tahu aku dah penat kan,” kata Lisa sambil menghampiri Huda yang duduk di atas tilam empuk.

“Sama-sama... Ini haa aku peninglah nak pilih tema apa untuk majlis pertunangan aku tu...” Huda menunjukkan gambar yang tersusun rapi didalam album yang dipinjam dari butiknya sendiri.

Lisa turut meneliti gambar-gambar di dalam album tersebut. Tiba-tiba sahaja hatinya terasa begitu seronok.

“Eh, macam aku pula yang nak bertunang ni... Seronok semacam! Bilalah aku dapat rasa perasaan ini kan... Untung Ustaz Saiful dah melamar kau Huda... Nanti aku kena cari rumah barulah…” Lisa buat-buat muka merajuk.

“Alahh... Engkau pun aku rasa dah tak lama tu... Cuba kau buka sikit hati kau tu untuk menerima Irfan. Aku jamin mesti selepas ni kau yang kahwin dulu daripada aku,” kata Huda yakin dengan jodoh sahabatnya.

“Huda tahu kan? Lisa sukakan Dr.Haikal...”

“Dr.Haikal? Dr.Haikal memanglah baik… Aku pun suka kalau kau bersama Dr.Haikal... Tapi, aku lebih suka kalau kau bersama Irfan...” Huda tersenyum menatap wajah sahabatnya.

“Eh, kau ni... Irfan??Eeee…”

“Tak payah nak buat muka geli sangatlah… Poyo! Eh, tak ada ke gambar majlis tadi?”

“Ada...” Lisa membuka simpanan gambar di dalam telefon pintarnya.

“Nah...”

Satu persatu gambar ditatap Huda. Kemeriahan majlis tadi bagaikan dapat dirasakan apabila menatap gambar yang diambil oleh Lisa.

“Ya Allah… Handsomenya Irfan!! Kau tak terpikat ke Lisa?” Huda terpegun dengan penampilan Irfan.

Lisa hanya tersenyum sementara matanya terus meneliti warna-warna pelamin dan juga baju pengantin di dalam album. Entah kenapa hatinya berbunga-bunga apabila Huda memuji kekacakan Irfan. Tidak semena-mena terselit juga perasaan rindu untuk menatap wajah itu.

Previous: BAB 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.