Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 13
BAB 13

Irfan memandu Audi TT-RS Roadsternya menyusuri jalan raya dicelah-celah bangunan ibu kota yang tinggi melangit. Cuaca sangat baik hari ini. Redup dan tidak panas. Hari ini merupakan hari bahagia Irfan disebabkan dia menang di dalam perbicaraan kes di mahkamah tadi. Kes yang dibicarakan sebentar tadi begitu rumit. Berbulan-bulan naik turun mahkammah. Alhamdulillah, orang yang salah telah mendapat hukuman yang sepatutnya dan yang menjadi mangsa terbela juga nasibnya. Insya-Allah dengan kebolehan yang ada pada dirinya, dia akan berkhidmat dengan jujur, amanah dan berperikemanusian.

Pada masa yang sama juga Lisa telah tamat berkursus. Lisa menapak seorang diri keluar dari Hotel Pakma Merah.

Lisa melihat jam besar di dinding luar hotel. Jarum jam tepat menunjukkan pukul 11.30 pagi.

“Nampaknya kursus tamat 2 jam lebih awal!” kata Lisa teruja. Matanya sudah agak mengantuk. Dalam tempoh 2 minggu tersebut memang dia dan rakan-rakan yang lain dibasuh dan digilap sebersihnya agar menjadi jururawat yang berdaya saing. Pada malam harinya pun mereka masih digilap. Kini, ada semangat baru yang disuntik ke dalam jiwa Lisa.

Beg rodanya diseret menuju ke perhentian bas berdekatan. Agak banyak baju yang dibawanya kali ini. Ialah, masa ini sahajalah dia nak melaram. Selalunya hanya beruniform. Jadi, beg pun agak berat. Harapnya teksi senang didapati. Keretanya pula sengaja ditinggalkan dirumah dan hari itu pun Huda yang tolong hantarkan. Lisa kurang berkeyakinan untuk meninggalkan keretanya diluar hotel. Nasib baiklah rumahnya tidaklah jauh sangat dari hotel tersebut.

“Boleh saya tolong? Berat ni,” sapa seorang pemuda.

“Eh, tak apa.... Terima kasih… Dah dekat dengan perhentian ni,” kata Lisa kurang senang dengan kehadiran lelaki tersebut. Penampilannya seperti budak nakal.

“Sombong,” bisik lelaki tersebut.

Lisa terus melangkah laju menuju ke perhentian bas. Kelihatan beberapa orang anak muda turut berada di situ. Lisa hanya bersangka baik. Mungkin mereka juga seperti dia yang mahu menggunakan pengakutan awam. Lisa mula mengambil tempat di suatu sudut.

Sangkaan Lisa meleset sebaik sahaja melihat lelaki yang menyapanya tadi menuju kearah kumpulan tersebut. Remaja lelaki tersebut bertepuk tampar ketika berjumpa. Kemudian, lelaki tadi kelihatan membisikkan sesuatu pada rakan-rakannya. Sesekali asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulut mereka. Lisa merasa kurang senang apabila mereka asyik memandang Lisa. Lisa sudah berkira-kira untuk berlalu dari perhentian tersebut.

Tanpa disedari, mereka telah mendekati Lisa.

“Kau ada duit?” tanya salah seorang daripada mereka.

Lisa berlagak seperti tidak mendengar pertanyaan tersebut. Matanya sibuk memerhatikan jalan raya. Bimbang terlepas teksi.

“Hei, kau dengar tak aku tanya ni?!!” jerkah lelaki tersebut sambil menepuk dinding perhentian bas membuatkan ia mengeluarkan bunyi yang bingit dan ia sangat mengejutkan Lisa. Sesekali lelaki tersebut menggosok-gosok hidungnya yang berair dan kemerahan. Matanya juga cekung dan merah.

Hati Lisa sudah kecut. Dia hanya seorang dan mereka berlima. Kalau dia melawan, agak mustahil untuk dia menang. Lisa bimbang jika mereka bertindak lebih ganas. Pakaian mereka pun sudah seperti pakaian di dalam cerita-cerita gangster di kaca televisyen. Jalan pula agak lengang. Mungkin masih di dalam waktu bekerja dan orang masih sibuk berada di tempat kerja masing-masing.

“Kenapa ni?” tanya Lisa pura-pura berani.

“Alahhhh!! Minah ni buat-buat tanya pulakk!”

Mereka bergerak semakin hampir dengan Lisa. Dalam beberapa saat kiri dan kanan Lisa sudah dikelilingi mereka. Salah seorang dari mereka sudah menyelongkar salah satu beg yang dibawa Lisa. Lisa sudah berkira-kira untuk mengeluarkan teknik taekwandonya. Satu ketukan dilayangkan tepat pada kepala lelaki yang sibuk menyelongkar begnya dengan fail yang dipegang Lisa.

Belum sempat mereka membalas serangan Lisa, tiba-tiba sekumpulan gadis telah menghampiri perhentian tersebut. Apa yang lebih menarik, mereka adalah rakan sekerja Lisa yang berkursus di hotel tersebut dan sama-sama belajar ilmu taekwando.

“Wehhh, korangg! Tolong!” jerit Lisa.

“Kenapa?”

“Budak-budak ni nak pau duit aku! Lepas tu main gertak-gertak pula...”

Remaja-remaja tersebut sudah berkira-kira mahu meninggalkan tempat tersebut. Belum sempat mereka lari, rakan-rakan Lisa sempat menampar remaja-remaja tersebut. Mungkin mereka ini masih belasan tahun. Seguni nasihat disumbatkan ke dalam telinga anak muda tersebut. Nasib baiklah mereka tidak melawan. Geli hati Lisa melihat wajah mereka tekun mendengar bebelan rakan-rakan Lisa. Tadi bukan main lagi nak tunjuk samseng. Sekali kena ceramah, diam tak terkata. Hanya mengangguk seperti burung belatuk.

“Dua orang daripada mereka tu, anak jiran aku tu, Tasya,” beritahu Fathia sambil memandang pemergian mereka.

“Patutlah dia takut dekat engkau Fathia… Hahahaha… Habis tu macam mana? Nak beritahu mak bapak dia ke?”

“Rasanya tak kut. Sebab mak dia tu, garang… Nanti tak pasal-pasal aku dituduh memburukkan anaknya. Cukuplah sekadar nasihat dan ugutan yang aku akan memberitahu maknya tentang perilakunya,” jawab Fathia.

“Harap mereka berubahlah… Nasib baik kamu semua datang cepat. Kalau tak dah lebam budak-budak tu... Atau aku yang melopong barang kena kebas...”

“Hahahaha… Nasib baik… Tapi masa inilah kau nak praktiskan ilmu taekwando kau tu Tasya!” kata Farhana.

Lisa hanya tergelak kecil. Teringat dia sudah beberapa kali mempraktiskan ilmunya itu. Tapi bukan pada tempat yang sepatutnya.

“Lisa, ikan emas dah datanglah,” beritahu Fatima.

“Ikan emas?? Mana?” tanya Lisa sambil memanjangkan kepalanya.

“Tuuu...,” kata Fatima sambil memuncungkan mulutnya.

Lisa memang tidak suka dengan Maria a.k.a ikan emas. Kuat membebel, sombong dan suka menunjuk-nunjuk terutamanya tentang teman lelakinya. Bajet hot! Gelaran ikan emas itu diberikan disebabkan mulutnya seperti ikan emas. Selalu muncung dan terbuka macam ikan emas. Maria juga sentiasa menyindir dan mengutuknya disebabkan masih belum mempunyai teman istimewa.

“Eh, you all pun ada dekat sini? Naik bas ke? Sesuailah dengan you all ni,” kata Maria sambil menggedik.

“Habis tu yang engkau datang sini tu kenapa? Naik bas juga ke?” perli Fathia.

“Aku naik bas?” kata Maria sambil menunding jari ke wajahnya.

Maria hanya tergelak mendengar pertanyaan Fathia. Lisa sudah meluat melihat perangai ikan emas di hadapannya. Campak dalam air longkang baru kau senyap agaknya! Lisa mengalihkan pandangannya ke jalan. Teksi atau bas masih belum memunculkan diri. Lambatnya…

“Mestilah aku balik dengan teman lelaki kacak aku tu… Takkan naik bas kut,” jawab Maria sambil mengerling kearah Fathia.

“Kau Tasya naik bas ke? Sesuailah dengan kau tu… Tak ada siapa yang nak kan…”

Lisa hanya tersenyum kelat. Malas nak melayan perempuan ni. Biarlah dia meroyan seorang diri. Entah apa yang dibebelkan Maria. Lisa hanya memekakan telinga. Yang si Fathia dengan Farhana ni rajin pula melayan ikan emas ni.

Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti dihadapan mereka. Semua mata tertumpu kearah kereta tersebut.

Boyfriend aku tukar kereta ke? Takkanlah kut… Baru minggu lepas dia tukar,” kata Maria sambil mengintai cermin hitam kereta tersebut dari bangku duduknya.

Lisa sudah menundukkan mukanya. Alamak, Irfan! Baru teringat di otak pemikirannya bahawa lelaki tersebut mahu berjumpa dengannya.

Farhana, Fatima, Fathia dan Maria masih tertanya-tanya siapakah gerangan di dalam kereta tersebut dan kenapa dia berhenti di hadapan mereka. Cermin kereta diturunkan. Memang sah, Irfan! Lisa berpura-pura melihat handphonenya.

Irfan geram dengan tindakan Lisa seolah-olah Lisa tidak menyedari kehadirannya. Irfan mencapai handphonenya lalu menalefon Lisa. Tersentap Lisa apabila perkataan IRFAN tertera di skrin handphonenya. Lisa segera menjawab panggilan tersebut.

“Awak nak apa ni?”

“Nak jumpa kaulah! Dua minggu menyepi…”

“Kan dah jumpa ni!” kata Lisa dengan kuat sambil memandang Irfan.

“Laaa… Ingatkan kau tak nampak aku ada depan kau ni,” kata Irfan sambil keluar dari keretanya dan terus mematikan panggilan.

Rakan-rakan Lisa hanya memandang jejaka dihadapan mereka. Kacak! Apakah semua ini? Jejaka ini kawan Lisa ke? Atau teman lelaki? Maria cemburu!

“Siapa ni, Tasya?” tanya Farhana setelah melihat Irfan mula menyandar di tepi kereta dan matanya tidak lepas memandang Lisa.

“Musuh!” jawab Lisa ringkas.

Irfan mendengar kata-kata Lisa. Tak sangka Lisa menganggapnya musuh.

“Engkau tu musuh aku! Siap kau,” kata Irfan di dalam hati.

“Sayang, cepatlahh... Kita dah lewat ni.... I nak masuk pejabat pula nanti.” Sengaja mengenakan Lisa.

“Apa? Sayang?” Terasa cair tahi telinga Lisa mendengar ungkapan tersebut.

Lisa memandang kawan-kawannya. Mereka hanya tersenyum. Cuma Maria sahaja yang mencuka wajahnya.

“Eh Lisa, masa inilah kau nak kenakan ikan emas tu! Berani dia kutuk kau tak ada teman lelaki. Dah si Mamat berlagak tu dah tawarkan diri… Kau pergilah ambil bahagian lakonan kau tu.” Satu bisikan jahat meracuni fikiran Lisa. Lisa hanya tersenyum dengan penuh muslihat. Dia mahu mengikuti kata-kata bisikan tersebut.

“You angkatlah beg I ni,” kata Lisa mengada-ngada. Sengaja dibuat-buat.

“Huh, apa kena dengan minah ni?” kata Irfan di dalam hati. Apa pun dia harus berhati-hati. Takut terkena sebarang tendangan atau tumbukan. Pada masa yang sama, hatinya melonjat kegembiraan. Ini kerana, buruannya sudah berjaya dijinakkan. Ini adalah satu bonus padanya! Selama dua minggu Irfan menalefon Lisa, namun panggilan tidak berjawab. Lagipun dalam sekitar dua minggu yang lepas Irfan agak sibuk menyelesaikan tugasan kerja. Jadi, dia tidak bersungguh-sungguh untuk memburu Lisa. Ini pun secara kebetulan…

Dalam pada masa yang sama juga, hati Lisa berbelah bahagi. Sanggupkah dia menaiki kereta tersebut bersama Irfan? Ini maknanya dia akan berhadapan dengan jejaka tersebut sepanjang perjalanan.

“Alahhh… Kau suruhlah dia berhentikan kereta jauh dari perhentian ni sikit. Masa ni sahajalah kau nak tutup mulut ikan emas tu… Nanti tak adalah dia menyindir kau tu tak ada orang nak…” Satu bisikan lagi meracuni fikiran Lisa.

Lisa hanya memandang kelibat Irfan yang sedang mengangkat begnya untuk dimuatkan ke dalam kereta. Hati Lisa sedikit kecut! Lisa menelan air liurnya.

“Dia ni orang jahat atau orang baik? Tak pasal-pasal keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.”

“Cepatlah, sayang,” panggil Irfan.

“Mamat ni kurang tabiat ke? Ada ke patut panggil aku sayang? Aku hempuk kan!” marah Lisa di dalam hati.

Lisa melangkah perlahan-lahan menuju ke kereta.

“Aku pergi dulu tau! Jumpa lusa ya,” kata Lisa kepada kawan-kawannya.

Irfan membuka pintu kereta bagi mempelawa Lisa menaiki keretanya. Senyuman sentiasa terukir di bibir menampakkan keterampilan dirinya yang sempurna. Pintu terus ditutup sebaik sahaja Lisa memasuki kereta. Irfan berpuas hati kerana berjaya mendapatkan Lisa.

“Kami pergi dulu,” kata Irfan sambil mengangkat tangan pada kawan-kawan Lisa.

“Jaga baik-baik kawan kami tu,” kata Farhana.

Irfan hanya tersenyum dan terus memboloskan diri ke dalam kereta. Saat ini hati Lisa sudah tidak keruan. Tidak pernah dia menaiki kereta dengan lelaki berdua-duan begini. Minyak wangi yang dipakai jejaka tersebut sedikit sebanyak menggetarkan jiwa Lisa.

Irfan merenung tepat ke dalam anak mata Lisa. Sengaja megusik.

“Berani kau naik kereta aku,” kata Irfan sambil membuka siaran radio.

Lisa hanya berdiam diri dan memandang keluar tingkap. Diluar, kelihatan Maria bersama seorang jejaka. Kekasihnya sudah sampai agaknya. Lisa sibuk membetulkan posisinya untuk melihat kekasih Maria dengan lebih jelas.

“Duduk diam sikit boleh tak?”

“Maaf, saya nak tengok siapa kekasih ikan emas,” kata Lisa berterus-terang.

“Ikan emas?” Irfan juga turut serta melihat apa yang mahu dilihat Lisa.

“Patutlah heboh satu hospital dia bercerita perihal kekasih dia… Memang handsomeorangnya!” kata Lisa. Kening tebal lelaki tersebut seperti biasa dilihatnya. Seperti ada iras dengan seseorang.

Handsome saya lagilah!”

Lisa memandang Irfan. Pandangan mata mereka secara serentak bertembung. Lisa cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Tatapan tersebut seperti menembus hatinya. Rasa mahu sahaja dia membatalkan niatnya untuk menaiki kereta Irfan saat ini memandangkan Maria juga sudah mahu berlalu pergi. Belum sempat Lisa mengeluarkan kata, Irfan sudah menggerakkan keretanya. Satu hon dibunyikan kepada mereka yang berada diluar.

Kini, kereta yang dinaiki Lisa berselisih dengan kereta Hyundai Veloster merah kepunyaan kekasih Maria. Di dalam posisi ini, Lisa dapat melihat wajah jejaka tersebut dengan lebih jelas. Ya, keningnya begitu mirip dengan seseorang yang begitu disayanginya.

Perjalanan mereka berjalan dengan lancar. Hati Lisa sudah berdebar-debar apabila teringatkan tatapan mata Irfan sebentar tadi. Lisa sudah berkira-kira untuk meminta Irfan menurunkannya di bahu jalan. Namun, tempatnya tidak sesuai. Jika Lisa meminta diturunkan segera, bagaimana dia mahu mengangkut beg-begnya? Bagaimana dia mahu mendapatkan teksi atau bas? Kenapa tak terfikir dari tadi? Ini semua sebab kaulah ikan emas!!

Mereka berdua hanya berdiam diri mendengar celoteh-celoteh DJ Radio. Tidak lama kemudian, lagu Tatapan Cinta oleh Syahrini diputarkan dicorong radio. Lisa melayan lirik lagu tersebut. Seperti kena dengan dirinya. Jujur dikatakan hatinya sedikit terusik dengan tatapan mata Irfan sebentar tadi.

segala keindahan turun ke bumi

di saat ku menatap matamu

menatapmu seakan menembus hati

sepertinya kau lihat hatiku

ku merasakan dirimu ku miliki

namun kenyataannya tak mungkin

mengapa harus kau orang yang terindah

yang tak bisa aku gantikan

reff:

cinta mengapa kau siksa aku

saat hidupku baik-baik saja

ku hanya inginkan satu cinta

hindarkanlah aku

cinta matanya begitu indah

tak ada tatapan seperti dirinya

aku lemah bila di dekatnya

hindarkanlah aku

seandainya ku pun bisa menghindari

ku tak bisa melupakanmu

sekali lagi bila kau menatapku

kau tahu apa yang kan terjadi

hindarkan aku…

Irfan hanya tersenyum melihat gelagat Lisa yang terangguk-angguk mengikut rentak lagu sambil matanya memandang ke luar tingkap.

“Eh, aku nak bawa minah ni pergi mana yer?” fikir Irfan.

“Aku nak buat dia mengaku juga dialah yang menumbuk aku dan dia wajib minta maaf!” Irfan sudah dapat memikirkan tempat mana dia harus membawa Lisa pergi.

“Sedap ke lagu tu?” tanya Irfan yang juga sedikit terusik dengan lirik lagu tersebut.

Lisa terkejut mendengar pertanyaan Irfan.

“Err… Sedap! Saya suka,” jawab Lisa sambil memandang Irfan.

“Sebab apa kau suka?” tanya Irfan sekadar menduga Lisa.

Soalan tersebut seakan menjentik tangkai hati Lisa. Berdebar-debar dia ingin menjawab soalan tersebut. Ternyata hatinya sedikit terusik dengan tatapan mata Irfan sebentar tadi.

“Owhh… Inikan lagu tema cerita Coklat Strawberi… Saya suka drama tu tau. Sebab tu saya suka lagu ni…” Nasib baik terlintas idea ini difikirannya.

Irfan hanya mengangguk. Irfan terus membelokkan keretanya ke persimpangan jalan menuju ke Tasik Perdana. Tempat dimana mereka pertama kali bertemu.

Lisa mula kaget. Cepatnya dah nak sampai! Rasanya dia telah terbuai melihat permandangan diluar dengan kereta mewah seperti ini. Selesa sekali. Tidak terlintas di fikiran Lisa untuk meminta Irfan menghentikannya di bahu jalan.

“Dia tahu ke rumah aku?” fikir Lisa setelah dia melihat Irfan membelok ke arah jalan yang menuju ke rumahnya. Rumah Lisa memang berhadapan dengan Tasik Perdana.

“Awak tahu ke rumah saya?” tanya Lisa.

“Tak tahu pun.... Kenapa?”

Lisa mulai hairan. Kenapa Irfan boleh membelok ke jalan yang sama dengan rumahnya. Jangan-jangan rumah dia pun dekat-dekat sini dan dia nak bawa aku balik ke rumah dia! Hari tu kereta BMW 5 series, sekarang Audi TT-RS Roadster… Semuanya kereta mewah! Dia ni bapak ayam ke?

“Berhentikan saya disini!” kata Lisa dengan lantang.

“Tak boleh! Kau mesti ikut aku! Sekarang kau dalam kereta aku dan aku akan bawa kau ke tempat yang aku nak bawa kau!” kata Irfan selepas melihat Lisa sudah cuba untuk membuka pintu keretanya. Sengaja mengusik ala-ala penculik.

“Apa kena dengan minah ni? Tadi ok je… Sekarang dah meroyan!”

Irfan memberhentikan keretanya di tempat dimana mereka mula-mula bertemu. Lisa memerhati kesekeliling. Terasa lega hatinya kerana diberhentikan di tempat awam. Irfan keluar dari kereta dan diikuti oleh Lisa.

Irfan melemparkan pandanganya jauh ke tengah tasik. Harapannya cuma satu. Dia mahu Lisa mengaku dan memohon maaf.

“Saya nak ambil beg saya,” kata Lisa dari belakang sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.

“Kau ingat tak tempat ni?” tanya Irfan sambil memusingkan badannya ke arah Lisa.

Lisa memandang kesekeliling.

“Ingat. Tempat yang saya selalu beriadah. Kenapa?”

“Bukan yang tu… Tempat yang kau tumbuk aku? Ingat tak?”

“Tumbuk?” Lisa sengaja membuat muka hairan.

“Saya tumbuk awak? Bila?”

Irfan mula sakit hati melihat lakonan Lisa. Hebat kau berlakon yer… Irfan berjalan menuju ke keretanya. Kamera digital dicapai. Gambar Lisa bersama kucing dicari.

“Nah, ini bukan kau ke?” tanya Irfan sambil menunjukkan gambar tersebut kepada Lisa.

Kamera bertukar tangan. Lisa memerhatikan gambar tersebut. Ya, itu memang dia!

“Kalau memang saya dalam gambar ni, apa awak nak buat?!” Lisa merenung tajam ke mata Irfan. Sengaja memberanikan diri.

“Tak ada apa-apa… Aku hanya nak dengar kau minta maaf di atas perbuatan kau tu! Itu sahaja,” kata Irfan sambil mengangkat kedua belah keningnya.

Lisa mula memikirkan permintaan Irfan. Kalau aku mengaku, dia nak teruskan ke dendamnya. Teringat kata-kata Irfan pada dirinya.

“Nak tau ke? Pertama, kucing ni telah calarkan kereta aku! Kedua, kamu perempuan gila, wanita pertama yang memberi penumbuk kepada aku. Disini, aku istiharkan aku akan membalas dendam untuk semua ini.”

Lisa teragak-agak untuk mengaku. Bila difikirkan balik, Irfan hanya nak dia meminta maaf.

“Oklah… Minta maaf sahajalah! Selagi tak mengaku selagi itulah dia kacau hidup aku!”

Lisa cuba mencari kekuatan untuk berbicara. Badannya sedikit menggigil untuk membuat pengakuan. Kamera ditangannya dipegang kemas. Bimbang terjatuh.

Lisa memandang Irfan yang sedang bersedia untuk mendengar pengakuannya. Irfan bersandar pada bahagian hadapan kereta sambil tangannya disilangkan seperti lagak seorang cikgu yang ingin mendengar penjelasan anak muridnya yang membuat kesalahan .

“Oklah. Saya mengaku, sayalah perempuan dalam gambar ni dan sayalah yang menumbuk awak tu,” kata Lisa dengan jelas.

Irfan tersenyum puas mendengar pengakuan tersebut.

“Akhirnya, mengaku juga perempuan degil ni,” bisik hati Irfan.

“Tapi itu memang salah awak!” kata Lisa perlahan sambil menundukkan kepalanya. Lisa masih mahu membela diri walaupun perlahan sahaja katanya. Kata-kata itu masih dapat didengari Irfan.

“Jadi, apa jalan penyelesaiannya??” tanya Irfan yang mengharapkan permohonan maaf daripada Lisa.

Lisa mengangkat kepalanya memandang Irfan. Belum sempat dia ingin memulakan bicara, handphone Irfan berbunyi. Irfan segera menjawab panggilan tersebut sambil melangkah menjauhkan diri daripada Lisa.

Dari jauh, Lisa dapat melihat Irfan bercakap dengan penuh cemas. Air mukanya risau dan tidak keruan. Tidak sampai lima minit Irfan melangkah laju menuju ke arah Lisa.

“Masuk kereta sekarang!” jerkah Irfan cemas.

“Kenapa??”

“Aku kata masuk, masuklah!”

“Rumah saya dekat-dekat sini saja… Keluarkan sahajalah beg-beg saya...”

Irfan sudah malas mendengar percakapan Lisa. Tubuh gadis tersebut ditolak masuk ke dalam kereta. Lisa terkejut dengan tindakan keras tersebut. Lisa bercadang untuk keluar dari kenderaan tersebut dan terus melarikan diri.

“Mungkinkah jejaka ini bapa ayam! Dan sekarang dia diburu polis. Sebab itu dia cemas dan memaksa aku mengikutnya melarikan diri!”fikir Lisa.

Irfan sudah berada di tempat pemanduan. Lisa cuba untuk membuka pintu kereta tetapi ia dah dikunci.

“Lambat sangat kau bertindak Lisa!” bisik hatinya.

“Lepaskan saya! Saya tak nak terlibat dengan masalah awak!”

“Kenapa dengan kau ni?” kata Irfan sambil mengelak kepalanya daripada dihempuk fail yang dipegang Lisa.

Irfan terus bertindak memegang pergelangan tangan Lisa bagi mengelakkan tangan tersebut terus melibas-libas fail kearahnya. Namun, satu gigitan yang sangat menyakitkan dihadiahkan pada lengan tangannya.

“Kau boleh tak jangan buat hal!” kata Irfan sambil menolak kepala Lisa. Tangannya dilap dan digosok dengan tisu. Dahlah sakit, dicalit pula dengan bekas air liur. Pengotor perempuan ni!

“Dasar bapak ayam!!!” Satu hempukan fail dihempuk pada bahu Irfan.

Irfan tidak bercadang untuk memulakan pemanduan dengan keadaan perempuan disebelahnya menggila seperti ini. Muka saja nampak lembut, tapi Ya Allahh… Perangai macam singa!

“Ok, sekarang aku tak ada masa nak layan kau! Tapi kau mesti ikut aku… Mama aku pengsan dirumah… So, aku risau… Kau kan nurse… Nanti bolehlah kau buat apa yang patut… Faham? Duduk diam-diam! Nanti tak pasal-pasal kita pula yang masuk hospital.”

Ternganga mulut Lisa mendengar penjelasan tersebut. Terdiam tidak berkata apa-apa. Hanya mampu menundukkan wajah.

“Malunya…. Tapi boleh percaya ke?” matanya mengerling ke arah Irfan.

Lisa hanya membisukan diri. Dia membiarkan sahaja kereta tersebut meluncur laju di jalan raya yang lengang. Gerun Lisa melihat cara pemanduan Irfan.

“Boleh tak awak perlahankan sikit kereta tu… Rasa macam nak tercabut nyawa.... Ini jalan raya, bukan litar Sepang awak…” rayu Lisa.

“Mama aku tak sedarkan diri… Kau faham tak? Aku risau ni… Aku jamin, kita akan sampai dengan selamat. Insya-Allah.”

Terkumat-kamit mulut Lisa membaca ayat-ayat suci Al-quran. Sesekali dia mengucap shahadah. Bimbang jika berlaku apa-apa dia tidak sempat mengucap.

Sesekali Irfan menoleh ke arah Lisa. Geli hatinya melihat Lisa berkelakuan seperti itu. Pucat mukanya. Tadi bukan main marah, sekarang takut. Comellah…

Sesekali kereta Irfan memotong kenderaan yang berada dihadapannya. Matanya diberikan sepenuh tumpuan pada pemanduan. Dia juga harus berhati-hati.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.