Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 16
BAB 16

Irfan meletakkan keretanya dihadapan Butik Pengantin Elis. Loceng pintu berbunyi sebaik sahaja Irfan melangkah masuk ke dalam butik tersebut. Gambar model menggayakan busana pengantin butik itu jelas kelihatan apabila melangkah masuk ke dalam dek kerana ia dipaparkan secara besar-besaran di ruang legar butik.

Pekerja wanita yang berkerja di Butik Pengantin Elis tersenyum mesra sebaik sahaja melihat kehadiran Irfan. Salam diberikan kepada Irfan tanda hormat. Keayuan mereka terselah di dalam pakaian rasmi butik yang bertemakan baju kurung moden dari rona hijau lumut.

Irfan melabuhkan punggungnya di sofa putih di ruang menunggu sebelum naik ke tingkat atas. Dari situ, Irfan dapat melihat beberapa orang pelanggan sedang mencuba busana pengantin yang berkenan dihati mereka. 10 tirai persalinan semuanya penuh! Dan masih ada lagi pelanggan yang masih menunggu giliran untuk mencuba busana pilihan hati.

“Alhamdulillah… Mereka memilih butik mama,” ucap Irfan tanda bersyukur di atas rezeki yang diperolehi.

“Air En. Irfan,” kata seorang pekerja yang bertugas sambil menghulurkan satu gelas berisi air anggur sejuk.

“Oh, terima kasih… Macam tahu-tahu tekak saya tengah haus… Macam mana hari ni? Sibuk?”

“Sibuk juga En. Irfan… Maklumlah dah dekat musim orang kahwin…”

Irfan mendengar setiap kata-kata pekerja mamanya sambil meneguk air yang diberikan tadi.

“Itulah, saya tengok dekat butik depan sana pun ramai orang…”

“Haa… En. Irfan bila pula nak mencuba baju pengantin? Tak nak mencuba ke,” tanya pekerja mamanya dengan ramah.

“Kan saya dah cuba banyak kali baju-baju pengantin ni? Nak cuba macam mana lagi…” Irfan menunjukkan gambar-gambar yang terpampang di dinding butik.

“Itu tak kiralah En. Irfan… Jadi model, tak sama dengan pakai baju untuk tujuan yang betul-betul…”

Irfan tertawa kecil. Lesung pipit dalam jelas terukir di pipi.

“Eh, kawan awak panggil tu.... Saya pun dah nak naik ke atas ni...”

“Ok, saya pergi dulu En. Irfan… Saya ambil gelas ni…”

“Sila-sila… Terima kasih untuk air ni…”

“Sama-sama.”

Irfan melangkah menaiki tangga ke tingkat atas untuk menuju ke pejabat Puan Elinna. Pintu diketuk.

“Masuk…”

“Assalamualaikum, ma,” kata Irfan sambil bersalaman dengan Puan Elinna.

“Waalaikumussalam....”

“Irfan, cantik tak busana baru ni?”tanya Puan Elinna sambil membuka kaca mata. Sampel gambar baju-baju pengantin yang baru disiapkan ditunjukkan kepada Irfan.

“Design terbaru kita ke, ma?” tanya Irfan untuk kepastian.

“Aaah.... Design terbaru kita...”

Irfan membelek satu persatu gambar-gambar tersebut. Matanya meneliti setiap sampel tersebut dengan penuh minat.

“Perfect! Bajunya dah disiapkan ke ma? Model macam mana?”

“Semuanya dalam proses. Dalam 40% dah siap… Model? Haa yang ni macam biasalah… Irfanlah model mama… Tak payah mama bayarkan… Free sahaja kan? Jimat…”

“Ok ma… Anything for you....” Irfan tersenyum.

“Anything for me?”tanya Puan Elinna untuk kepastian daripada anak terunanya.

“Yup!” Irfan membulatkan mata melihat Puan Elinna.

“Kalau macam tu mama nak tukar model perempuan kita tu. Kali ni mama nak Irfan carikan.”

“Kenapa nak tukar model kita tu, ma… Kan dah ok...”

“Tak apalah… Sengaja tukar angin. Lagipun model kita tu dah ditawarkan untuk belajar di Paris. Dalam minggu depan katanya. Sekarang ni baju masih belum siap dan dijangka mungkin dalam bulan depan baru dapat disiapkan. Jalan terbaik kita cari model lain. Irfan carikan ya?”

“Ermmm… Irfan bukannya ada kawan yang jadi model pun ma… Macam mana nak cari...”

“Bukan model pun tak apa... Asalkan perempuan!” kata Puan Elinna beria-ria. Sengaja dia meminta untuk Irfan carikan model untuk pasangan baju pengantinnya. Mudah-mudahan Irfan bertemu jodoh.

“Ok… Irfan cuba. Tapi nanti mama setuju sahajalah dengan pilihan Irfan tu....”

Irfan mengetuk-ngetuk jari telunjuknya di meja tanda berfikir.

“Kalau Irfan pilih Iffa macam mana? Cantik juga Iffa. Lagipun dia anak mama. Tak payah bayar. Hahaha… Cop! Muktamad!”

“Muktamadlah sangat.... Dibantah!” kata Puan Elinna dengan nada bergurau.

“Kenapa pula ma… Oklah tu…”

“Mama dah tanyakan Iffa tadi. Tapi dia tak nak… Tambahan lagi Irfan model lelaki… Lagilah dia tak nak. Katanya tak handsome!”

“Mengada-ngadalah Iffa tu ma.... Abang dia yang paling handsome dia kata tak handsome.”

“Irfan carikan ya? Kalau boleh, carikan calon menantu untuk mama sekali ya… Model pengantin mama merangkap sebagai menantu mama,” kata Puan Elinna sambil memegang erat tangan anak terunanya. Mata ditenung tepat ke dalam anak mata Irfan. Disitu dilahirkan segala harapan yang terbuku dihati.

“Insya-Allah, ma... Tapi calon menantu tu Irfan tak jamin.”

“Ok, mama tunggu calon menantu mama.... Pilih yang baik-baik tau.”

“Mama ni… Nak model ke nak menantu ni? Insya-Allah kalau ada jodoh,” kata Irfan sambil membalas genggaman tangan mamanya.

Irfan berdiri diluar balkoni sambil melihat kolam air pancut dihalaman rumahnya dari tingkat atas. Api neon yang mewarnai air pancut tersebut kelihatan begitu mengasyikkan. Angin malam menguis-nguis nakal rambutnya. Suasana malam begitu tenang.

“Siapa yang sesuai jadi pasangan model aku ni?” ngomel Irfan seorang diri sambil matanya terus merenung air pancut dihalaman rumahnya.

Tiada ilham yang hadir dalam pemikiran Irfan. Model yang dicari sudah tentulah model islamik. Butik mamanya memperagakan baju pengantin untuk wanita-wanita yang mementingkan penjagaan aurat. Sambil berfikir, Irfan kembali ke dalam bilik dan terus mencapai telefon pintarnya. Kemudian, Irfan keluar semula ke balkoni tetapi kali ini dia duduk diatas kerusi buaian yang sengaja diletakkan diluar. Buaian digerakan sedikit demi sedikit sehingga ia mencapai tahap ayunan yang diinginkan Irfan. Senarai kenalan di dalam telefon dilihat satu persatu tetapi tiada kenalan yang sesuai untuk menjadi model sehinggalah Irfan terlihat nama Singa Betina.

“Singa betina? Siapa ni ya?” laju otak Irfan berfikir.

“Oh, ya!” Irfan terus berlari ke dalam bilik. Laci meja kecilnya dibuka. Kertas hijau pucuk pisang dikeluarkan. Irfan membaca isi kertas tersebut.

“Perkara yang diingini. Menjadi model....” Irfan membaca isi kertas kepunyaan Lisa yang diambilnya dari fail Lisa berulang kali. Irfan tersenyum nakal. Dia mengibas-ngibaskan kertas tersebut ke mukanya.

“Yeaahhh!” Irfan melompat kegembiraan. Akhirnya berbaloi juga otaknya diperah selama tiga hari ini. Akhirnya kertas ni menjadi penyelesaiannya!

Perkataan SINGA BETINA di telefon pintarnya dilihat Irfan. Irfan berfikir dua kali.

“Singa betina… Singa betina… Singa betina… Nak call ke tak ni? Singa betina…” Irfan berjalan ulang-alik di dalam bilik tidurnya memikirkan haruskah dia menalefon Lisa saat ini.

“Takutlah!” kata Irfan lalu mencampakkan telefonya diatas tilam. Tidak lama selepas itu badannya juga dihempaskan di atas katil.

“Seram sejuk je nak call singa betina ni… Dia shiff apa hari ni? Dah pukul berapa ni?” Irfan melihat jam di dinding.

“Alahai... Dah pukul 11.30 malam… Esok sahajalah call. Buatnya dia kerja malam, takkan dilayannya telefon berbunyi kalau bukan orang penting,”fikir Irfan apabila teringatkan perbualannya ketika awal perkenalan mereka bahawa Lisa tidak akan melayan telefon sewaktu bekerja.

Jam telah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Perut yang lapar sedikit sebanyak telah mengganggu tumpuan Lisa untuk bekerja. Segala urusan yang perlu diselesaikan telah dilakukan.

“Masa inilah kalau nak makan pun.... Nanti ada kerja lain pula yang dibuat,” kata Lisa sejurus memastikan semua tugasan telah diselesaikan.

“Faisal tolong tengokkan kubikel saya ya? Saya nak pergi makan sekejap. Boleh tak?” tanya Lisa kepada rakan setugasnya.

“Boleh, tak ada masalah. 10 orang pesakit je kan?”

“Ya… 10 orang. 2 orang lagi tu dah nak discaj. Ada nak pesan apa-apa? Nak pergi kafe ni....”

“Engkau bungkuskan jelah apa-apa Natasya. Ini duitnya.” Faisal menghulurkan duit RM5 kepada Lisa.

“Ok, ditanggung beres!” Lisa mengambil duit yang dihulurkan Faisal.

Tanpa membuang masa, Lisa bergerak pantas keluar dari wad. Sebelum memasuki lif, sempat lagi Lisa menoleh ke arah cermin yang biasa dilihatnya. Tudungnya diperbetulkan. Senyuman manis dilemparkan pada cemin tersebut.

Senyuman tersebut telah membuatkan orang dibelakang cermin tersebut terpukau! Terhenti seketika penulisan yang sedang ditulis.

“Nak kemana Lisa ni?” kata Dr.Haikal sambil melihat jam dipergelangan tangannya.

Dr.Haikal cuba mengagak.

“Mesti nak pergi makan ni… Tengok muka dah tau dah. Ikutlah sekali!” Dr.Haikal segera menutup fail yang sedang ditulis.

Belum sempat tombol pintu dibuka, telefon di atas meja berdering. Panggilan dari rakan setugasnya dijawab dengan segera. Dr.Haikal hanya memandang pemergian Lisa memasuki lif seorang diri dengan ekor matanya. Hatinya sedikit kecewa. Sejurus panggilan ditamatkan, Dr.Haikal segera menyarungkan kot putihnya dan stetoskop yang diletakkan diatas meja dicapainya. Dia harus cepat! Seorang pesakit memerlukan bantuannya.

Sementara menunggu makanan dibungkus, Lisa membuka telefon pintar. Tertera panggilan tidak dijawab sebanyak 5 kali.

“Siapa ni? Tak pernah nampak pun nombor ni? Urgent ke ni?”

Tanpa berlengah lagi Lisa menalefon kembali nombor tersebut.

“Eh, tak angkat… Biarlah… Nanti dia call baliklah tu,”fikir Lisa.

Lisa mengambil makanan yang telah siap dibungkus lalu membayar sejumlah wang. Nasib baiklah kafeteria dekat dengan wadnya. Jadi tidaklah membazir masa untuk dia berjalan semata-mata untuk membeli makanan.

Hari ini keadaan wad tidaklah terlalu sibuk. Kebiasaannya, tidak sempat Lisa hendak menjamah makanan atau rehat jika wad sibuk sehinggakan tidak cukup tangan untuk menangani pesakit. Lenguh kaki, hanya tuhan sahaja yang tahu. Macam-macam ragam yang ada. Kalau pesakit tak meragam, saudara pesakit yang meragam. Itu tak kena, ini tak kena. Walaupun macam-macam ragam, hati Lisa perlu ikhlas dan sentiasa tersenyum. Barulah kerja menjadi seronok!

“Faisal, nah ini makanan awak. Letak dalam pantri ya. Saya makan dulu tau, nanti saya tolong jagakan kubikel awak pula. ”

“Eh, sekejapnya! Dah naik? Ok.... Ikut giliran rehat. Jangan lama-lama tau.”

“Ok,”kata Lisa sambil memboloskan diri kedalam pantri.

Previous: Bab 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.