Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 42
BAB 42

Lisa menanti panggilannya dijawab dengan penuh sabar. Sudah empat kali dia membuat panggilan tetapi masih tidak berjawab.

“Emak dan ayah ke mana ni... Adam tak ada dekat rumah juga ke? Telefon tangan tak berjawab, telefon rumah pun tak berjawab... Kemana mereka ni?” berkerut dahi Lisa menanti panggilannya dijawab.

“Ermm... Sekejap lagilah call...” Lisa mengambil keputusan untuk menalefon kembali sebentar lagi. Matanya memandang keluar rumah. Pokok yang di tanam diluar rumah kelihatan sedikit layu.

“Dah berapa lama aku tak tengok pokok-pokok aku ni? Rasanya dah empat hari ni,” fikir Lisa.

“Eh, ini tak boleh jadi ni!” Lisa lekas bangun dari duduknya. Jam menunjukkan 5.30 petang. Dirinya bersiap-siap untuk berkebun. Kali ini Lisa akan merawat pokok-pokok diluar sebaik yang mungkin kerana dia akan bercuti di kampung selama seminggu tidak lama lagi.

Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar, mata Lisa tertaup kepada tiga kuntum Mawar merah yang sedang mekar dengan cantiknya.

“Dah kembang!!” Lisa berlari anak menuju ke arah pasu letaknya pohon Mawar hadiah pemberian Dr.Haikal. Teruja sungguh hatinya. Mawar itu segera dihidu dengan penuh penghayatan. Terasa sungguh menyegarkan minda.

“Wanginya…” Lisa masih tidak puas menghidu Mawar tersebut. Beberapa keping gambar ditangkap dengan telefon pintarnya sebagai bukti Mawarnya telah berbunga. Tentu Huda tidak percaya Mawar yang sekian lama begitu degil untuk berbunga telah berbunga saat ini.

“Pasu dah nampak kecil ni,” fikir Lisa. Matanya mula memandang ke sekeliling taman. Mujurlah ada satu pasu besar yang kosong. Bolehlah Lisa mengalihkan Pokok Mawar pemberian Dr.Haikal ini ke dalam pasu yang lebih besar.

“Ok, mulakan kerja sekarang!” kata Lisa bersemangat. Perlahan-lahan pasu besar diangkat menuju berhampiran Pokok Mawar. Segala alatan untuk berkebun dan tanah yang telah dibeli daripada pasaraya juga dikeluarkan daripada tempat simpanan.

“Ok. Mulakan operasi,” kata Lisa dengan senyuman menguntum di bibir. Dia masih ingat pesanan Dr.Haikal. Jaga pokok ini sebaiknya kerana pada bunga ini ada rahsianya. Saat pokok ini membesar awak akan tahu apa rahsianya. Kalau pokok ini telah berbunga, tukarlah kepada pasu yang lebih besar. Nanti Lisa akan tahu apa rahsianya...

“Rahsia??” terpacul ayat itu dari mulut Lisa.

“Apa rahsianya?” Lisa merenung pokok dihadapannya.

“Main-main Dr.Haikal ni... Ini mesti dia ingat aku tak jaga pokok ni baik-baik... Sebab tu dia kata ada rahsia... Kononnya aku akan jaga sebaiknyalah kalau nak tahu apa rahsianya…” Lisa tersengih seorang diri. Dirasakan Dr.Haikal cuba membuat lawak.

Pelahan-lahan Lisa mengeluarkan Pokok Mawar dari pasu kecil untuk dipindahkan ke dalam pasu baru. Semasa mengalihkan tanah, Lisa merasakan sesuatu yang ganjil ditanganya. Sebaik sahaja mengangkat tanah Pohon Mawar sedikit ke atas, Lisa dapat melihat satu bungkusan plastik yang sebahagiannya telah disaluti dengan akar Pokok Mawar yang berselirat.

“Bungkusan apa ni?” Lisa meletakkan Pohon Mawar kembali kebawah lalu menyedengkan sedikit tanah Pohon Mawar. Jari telunjuknya perlahan-lahan mengorek tanah untuk mencungkil plastik merah keluar.

“Haa... Dapat pun keluar,” kata Lisa sedikit teruja. Bungkusan plastik itu diketepikan dahulu bagi meneruskan kerja menukar pasu baru. Setelah beberapa langkah dilakukan, Pokok Mawar yang sedang galak berbunga ini nampak begitu anggun sekali di dalam pasu baru. Lisa bahagia melihat keindahan Mawar dihadapannya. Setelah siap menyalin pasu, Lisa menyimpan kembali alatan yang digunakan agar tidak bersepah dilaman sehingga terlupa untuk memerhatikan bungkusan yang dikeluarkan dari dalam pasu sebentar tadi. Kerja-kerja menyiram dilakukan selepas itu.

“Eh, plastik apa ni... Ada ke patut Dr.Haikal tanam pokok dengan plastik... Patutlah pokok ni susah benar nak membesar... Terbantut tumbesaran!” tegur Lisa sebaik sahaja tersiramkan plastik tersebut dengan air. Lisa mencapai plastik ditanah lalu mencari tong sampah untuk dibuang. Pancuran air ditutup terlebih dahulu agar tidak membazir.

“Kenapa Dr.Haikal selalu berpesan supaya menukar pasu?” Tiba-tiba sahaja persoalan ini tercetus di mindanya.

“Rahsia?” Lisa melihat kembali bungkusan plastik ditangannya.

“Jangan-jangan ini rahsianya,” fikir Lisa.

Lisa duduk dibangku sementara tangannya rakus membuka bungkusan plastik yang dibungkus kemas.

“Surat??” terbeliak mata Lisa melihat sekeping surat yang dilipat kecil yang turut dibalut dengan plastik. Mungkin untuk mengelakkan surat ini basah terkena air siraman.

Lipatan kertas itu dibuka.

Assalamualaikum Lisa...

Apa khabar? Pasti Pokok Mawar yang saya hadiahkan dah berbungakan? Sebab itu awak mampu baca surat ini... Sebenarnya inilah rahsia yang saya nak sampaikan... Bunga Mawar merah yang sedang mekar itu adalah sebagai lambang cinta saya kepada awak. Saya tak nak cari bunga dekat kedai untuk diberikan kepada awak. Tapi saya hadiahkan Pohon Mawar kepada awak agar pohon ini mampu meluahkan perasaan saya yang telah sekian lama terbuku di dalam hati. Saya mahu awak tengok sendiri bagaimana Pohon Mawar ini membesar sehinggalah saat-saat ia berbunga dan saya umpamakan begitulah cinta saya mekar untuk awak. Saya mahu orang yang saya cintai memberikan kasih-sayang, penjagaan dan membajanya dengan sebaiknya kepada cinta saya sehinggalah orang yang saya cintai mampu melihat sendiri mekarnya cinta saya ini. Cinta saya adalah Pohon Mawar ini. Terima kasih Lisa kerana menjaga cinta saya...

Hati Lisa berdegup kencang. Ada rasa debar yang hebat sedang menggoncang jantungnya. Lisa melihat ada sekeping lagi surat yang masih belum dibuka. Lipatan kertas yang dilipat kecil itu dibuka dengan tangan yang menggigil. Matanya terus membaca apa yang tertulis.

Lisa Amira Natasya binti Abdul Hamid,

Saya disini meluahkan rasa hati saya. Dari hati yang terdalam. Sejak saya terpandangkan awak disebalik cermin hati saya telah mula jatuh cinta kepada awak. Maaf, saya tidak berterus terang kepada awak. Bukan saya sengaja untuk bertindak begitu, tetapi saya berserah kepada Allah. Saya kirimkan Pohon Mawar ini sebagai lambang cinta saya kepada awak. Jika Allah takdirkan pokok ini berbunga, maka dapatlah awak membaca surat ini dan dapatlah juga awak mengetahui niat dan hajat saya. Saya Muhd Farish Haikal b. Ramli dengan berbesar hati ingin melamar awak. Lisa, sudikah awak menjadi isteri saya?

Saya akan dapatkan jawapan ini sebaik sahaja saya pulang dari London nanti. Sudilah terima cincin pinangan saya ini... Sayalah orang yang paling bahagia jika awak menerima pinangan saya... Insan berharap- Muhd Farish Haikal b. Ramli.

“Dr.Haikal!! Apa ni??” Dada Lisa terasa sakit sekali. Sakit yang sangat melemaskan. Air matanya berjuraian jatuh ke tanah. Bungkusan yang masih didalam balutan plastik dibuka perlahan-lahan. Kotak yang dibaluti dengan baldu merah kini berada ditangan Lisa. Perlahan-lahan kotak tersebut dibuka.

“Ya Allah, Dr.Haikal…” Lisa sebak. Sebentuk cincin bertatahkan berlian kini terpampang di mata Lisa. Ternyata Dr.Haikal juga mencintainya sebagaimana Lisa mencintai Dr.Haikal.

“Ya Allah, apakah maksud semuanya ini... Siapa sebenarnya jodohku Ya Allah? Mawar ini mekar sebelum aku melangsungkan perkahwinan dengan Irfan... Apakah ini petandaMu Ya Allah? Petanda bahawa aku harus menerima hajat Dr.Haikal? Dr.Haikal berserah padaMu Ya Allah agar Pokok Mawar ini mekar agar aku mampu membaca suratnya dan Engkau mekarkan Mawar ini sebelum aku diijabkabulkan bersama Irfan... Apa yang aku harus lakukan Ya Allah...” Lisa menyeka airmatanya. Kali ini dia tersepit antara Dr.Haikal dan Irfan.

Dr.Haikal adalah cintanya, Irfan adalah tunangannya yang mula dicintai Lisa. Namun, cintanya pada Dr.Haikal mampu untuk memadamkan perasaan cintanya terhadap Irfan. Lisa pasti. Selama ini rupa-rupanya cintanya tidak bertepuk sebelah tangan.

Deruan kereta Huda memasuki ruang letak kereta mengejutkan Lisa. Cepat-cepat Lisa menyeka air matanya.

“Lisaaaa!! Tadaaaa... Aku dah bawa balik baju pengantin kau ni!!” jerit Huda sambil menayangkan baju pengantin Lisa. Senyuman bahagia terukir di wajah Huda.

“Aku tak nak kahwin!! Batalkan semua ini!” Lisa bangun dari duduknya menuju ke arah Huda.

“Apa?? Tak nak kahwin? Kau jangan buat lawak Lisa...Hahaha..,” ketawa Huda.

“Aku serius! Aku tak nak kahwin!” Lisa meninggalkan surat bersama cincin pemberian Dr.Haikal kepada Huda lalu berlari masuk ke dalam rumah. Bantal di atas sofa dipeluk Lisa. Air matanya tumpah semahu-mahunya.

Huda diluar tergamam dengan tindakan Lisa. Surat ditangannya terus dibaca. Dadanya turut berdebar. Apakah sanggup Lisa menghancurkan harapan Irfan dan keluarga semata-mata untuk menerima Dr.Haikal? Huda berharap perkara ini tidak akan terjadi. Lagi seminggu lebih majlis akan berlangsung. Segala persiapan sudah banyak dibuat. Tidak mungkin Lisa sanggup menghancurkannya. Huda melihat Pohon Mawar yang dimaksudkan. Ya, Mawar ini sedang berbunga dengan cantiknya setelah segala usaha dan penjagaan rapi oleh Lisa. Ya, itulah cinta Dr.Haikal, cinta yang disemai lalu dibajai Lisa untuk memekarkan cinta mereka berdua.

Huda melangkah masuk ke dalam rumah lalu kertas dan cincin yang diberikan Dr.Haikal diletakkan diatas meja. Kemudian, Huda keluar kembali. Baju pengantin Lisa dibawa masuk ke dalam lalu disangkut ditepi tangga.

“Lisa, kau jangan macam ni… Seminggu lebih sahaja lagi ni majlis kau nak berlangsung,” pujuk Huda yang duduk disebelah Lisa.

“Aku tak nak kahwin dengan Irfan... Kau tahukan macam mana aku cintakan Dr.Haikal? Sekarang sudah terbukti Dr.Haikal pun cintakan aku... Dr.Haikal terlebih dahulu melamar aku berbanding Irfan... Cuma aku sahaja yang tak tahu... Kalau aku tahu, dah lama aku korek tanah tu keluarkan surat ni...”

“Korek tanah?” Huda pelik.

“Ya, korek tanah... Kau tahu punyalah nak berahsia Dr.Haikal ni, dia sorotkan surat dengan cincin ni dalam tanah Pokok Mawar yang dia hadiahkan pada aku tu... Itu nasib baik pokok tu berbunga... Kalau tak sampai bila pun aku tak tukar pasu dan aku tak akan tahu semua ini...”

Terdiam Huda menerima penjelasan Lisa.

“Kalau diikutkan memang Dr.Haikal yang terlebih dahulu melamar kau, tetapi kau tak tahu… Irfan lamar kau, kau tahukan? Jadi Lamaran Dr.Haikal kiranya tak sahlah sebab kau tak tahu...”

“Banyaklah kau... Aku tetap tak nak kahwin dengan Irfan...” Air mata Lisa masih tidak berhenti mengalir.

Ketika serius membincangkan hal ini, tiba-tiba sahaja telefon Lisa berbunyi. Cepat-cepat air mata diseka dan Lisa membetulkan suaranya.

“Hello... Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam, akak...”

“Haa Adam... Kenapa Kak Lisa call semua tak berjawab ni?”

“Emak masuk hospital kak...”

“Emak masuk hospital?? Kenapa??” terkejut Lisa mendengar perkhabaran itu.

“Tak ada apa pun kak... Darah tinggi mak tulah... Tinggi sangat... Itu yang kena tahan dekat wad ni... Mak kerja kuat sangat anak perempuannya nak kahwin... Hehe...”

“Kak Lisa nak cakap dengan mak...”

“Sekarang ni, mak ada dekat bilik air... Malam nantilah ya Kak Lisa call... Tak pun nanti Adam suruh mak call Kak Lisa… Adam dah kena balik ni... Waktu melawat dah nak habis ni...”

“Baiklah kirim salam dekat mak tau...”

“Insya-Allah... Oklah Kak Lisa, assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam...”

“Kenapa?” tanya Huda.

“Mak aku masuk hospital sebab tekanan darah tinggi...”

“Mesti mak kau kerja kuat sebab kau nak kahwinkan? Tak kan kau sanggup nak batalkan perkahwinan ni?”

“Mak aku masuk hospital pula... Kalau aku beritahu yang aku nak batalkan perkahwinan ni tentu bertambah parah kesihatannya,” kata Lisa.

“Kaukan jururawat. Aku rasa kau tahu apa yang sebaiknya... Oklah aku belum Solat Asar ni... Dah lewat ni... Aku naik dulu… Baju pengantin kau ni, kau buat naiklah nanti ya...”

Lisa hanya mengerling baju pengantin yang dimaksudkan. Ah, dia buntu!

********************************************************************

Irfan masih lagi fokus melihat pakej-pakej fotografi yang disediakan syarikat kawannya. Senarai pakej ini dipinjam Irfan untuk dibawa pulang ke butik mamanya bagi ditunjukkan kepada Lisa. Pakej fotografi ini akan digunakan untuk majlis perkahwinan mereka nanti.

“Lisa, kau rasa yang mana ok? ”

Lisa hanya diam membisu.

“Kenapa ni... Demam ke? Dari tadi diam je...”

“Awak, saya ada hal nak cakap dengan awak... Penting sangat ni...”

“Ok, apa dia...” Irfan menutup album yang ditatapnya. Matanya dihadapkan ke muka Lisa.

“Saya nak kita batalkan perkahwinan ni...” Lisa berterus-terang setelah memerhatikan tiada sesiapa disekeliling mereka.

“Main-mainlah kau ni... Cepatlah kita pilih pakej mana yang sesuai...”

“Betul ni... Saya serius... Saya tak nak berkahwin dengan awak...”

Tercengang Irfan mendengar ayat yang keluar dari mulut Lisa.

“Dia ni betul ke tidak? Tapi muka serius,” fikir Irfan.

Lisa bangun dari duduk dan melangkah menghadap ke jendela. Panas terik diluar sedikit menganggu pandangannya diluar. Lisa berpeluk tubuh. Dirasakan dia tidak cukup kuat untuk berterus-terang dengan Irfan. Irfan menapak menghampiri Lisa dengan wajah yang serius.

“Betul ke apa yang kau katakan tadi?”

Lisa mengangguk perlahan. Ada linangan air mata di hujung matanya.

“Kenapa? Kan dah tak lama kita nak kahwin ni... Seminggu lebih sahaja lagi...”

“Maaf, saya tak cintakan awak. Saya cintakan Dr.Haikal...”

“Dr.Haikal??” berderau rasanya darah naik ke kepala.

Lisa mengeluarkan surat dari tas tangannya. Diceritakan semuanya bagaimana surat ini ditemukan.

“Sekarang kau nak aku buat apa? Nak beritahu semua orang majlis kita batal? Macam tu?”

Lisa mengangguk perlahan. Wajahnya ditundukkan kebawah. Tidak berani dia menatap wajah Irfan buat masa ini.

“Aku rasa aku tak mampu buat... Maaf!” Irfan mengangkat tangan.

“Tapi...” Lisa berharap.

“Lisa, aku cintakan kau... Kau adalah tunang aku... Kau tak sepatutnya curang kepada orang lain... Ikatan janji telah diikat, takkan kau nak putuskan macam tu sahaja... Kau fikir tak apa perasaan emak dan ayah kita?”

“Ya, saya tahu saya salah... Tapi perasaan saya tak boleh terima... Awak faham tak... Saya akui saya pun cintakan awak... Tapi, cinta saya tak sehebat cinta saya pada Dr.Haikal... Dr.Haikal adalah cinta pertama saya...”

“Cinta pertama?? Aku tak percaya! Kau tipu!”

“Saya tak tipu...”

“Zaman sekolah kau tak ada cinta?”

“Zaman sekolah? Itu cinta monyet, bukan cinta pertama,” kata Lisa. Entah kenapa kisah zaman sekolah diperkatakan Irfan ketika ini.

“Ok, fine... Kalau itu yang kau kata...” ternyata Lisa tidak mengingati dirinya ketika zaman kecil. Ternyata Lisa telah lupa cintanya ketika di bangku sekolah. Mungkin betul apa yang Lisa katakan itu hanyalah cinta monyet.

“Kau yang tak nak kahwin dengan aku, kau jelaskan sendiri kepada papa dan mama aku... Emak dan ayah kau di kampung dah tahu?”

Lisa mengeleng laju.

“Kalau macam tu, kau jelaskan pada mereka sendiri... Aku tak nak masuk campur...” Irfan menutup album gambar dengan kasar. Sakit sungguh hatinya. Tak sangka Lisa sanggup membatalkan perkahwinan mereka disaat-saat akhir.

“Awak, tunggu!!” jerit Lisa sebaik sahaja melihat Irfan cuba memutarkan tombol pintu untuk keluar.

“Apa lagi...” Irfan berpaling dan berharap ini hanyalah gurauan Lisa semata-mata. Irfan cuba untuk senyum.

“Awak temankan saya jumpa papa dan mama awak ya untuk beritahu semua ini?”

Senyuman Irfan mati di situ.Ya Allah, pedihnya hati Irfan saat ini. Lisa serius dalam melaksanakan apa yang diperkatakan sebentar tadi.

“Kalau macam tu datanglah ke rumah... Aku balik ke rumah sekarang...” Irfan terus meninggalkan Lisa.

Lisa memandang pemergian Irfan. Marahkah Irfan? Kecewakah dia?

Irfan menunggu kedatangan Lisa di ruang tamu rumah dengan hati yang gelisah. Hati lelakinya bagaikan tidak sanggup melihat seorang wanita menghancurkan impian papa dan mamanya. Biarlah hatinya sahaja yang terluka, tapi janganlah hancurkan harapan papa dan mamanya. Senyuman Puan Elinna yang tekun mempersiapkan barang-barang hantaran di ruang tamu rumah begitu menggusarkan hati Irfan. Bimbang jika senyuman ini akan hilang setibanya kunjungan Lisa ke rumah nanti.

“Irfan, tadi Lisa ada call... Katanya nak datang ke rumah...”

Terkejut Irfan mendengar kata-kata Puan Elinna. Nampaknya Lisa memang serius untuk membatalkan perkahwinan mereka.

“Lisa call? Bila? ”

“Tadi, sebelum Irfan sampai ke rumah,” kata Puan Elinna sambil mencucuk beberapa kuntum bunga pada gubahan hantaran.

“Ada Lisa cakap apa-apa tak?”

“Cakap apa? Cakap yang dia nak datang ke rumah sahajalah... Lepas tu dia dah letak talefon...”

“Eh, pakej fotografi tu dah pilih ke?” tanya Puan Elinna.

“Belum lagi, ma...” Irfan memikirkan sesuatu. Dia harus elakkan Lisa berjumpa dengan mamanya.

“Ma, Irfan rasa...”

“Assalamualaikum...” Kedengaran orang memberi salam diluar.

“Err...” Salam itu mematikan kata-kata yang ingin diucapkan Irfan sebentar tadi.

“Waalaikumussalam...” Puan Elinna bangun dari duduknya dan terus menerpa ke arah pintu utama.

“Oh, Lisa... Masuklah...”

Lisa bersalaman dengan Puan Elinna. Senyuman cuba diukirkan diwajahnya yang dirasakan sedikit ketat. Dirasakan lututnya menggigil untuk melangkah masuk ke dalam rumah ini. Gelodak hatinya untuk berterus terang untuk membatalkan perkahwinan mereka mati begitu sahaja sebaik sahaja melihat gubahan-gubahan yang cuba di siapkan Puan Elinna di ruang tamu rumah.

“Mama dah siapkan separuh gubahan ni... Lisa rasa cantik tak?” senyuman teruja terukir di wajah Puan Elinna.

Lisa memandang Irfan yang duduk di sofa. Renungan tajam mata Irfan sungguh menakutkan dan dirasakan mampu merentap tangkai hatinya yang sedang berdegup kencang ketika ini.

“Cantik, ma... Cantik sangat-sangat...” Lisa duduk bersimpuh bersebelahan dengan Puan Elinna sambil tangannya menyentuh beberapa kuntum bunga yang menjadi hiasan hantaran.

“Haa... Lisa belum pilih pakej fotografi lagi kan?”

“Belum, ma...”

“Elok sangatlah tu… Sekarang Lisa dan Irfan pilihlah pakej-pakej yang berkenan di hati... Mama ke dapur buatkan air...”

“Eh, ma... Tak payahlah susah-susah...”

“Tak susah pun... Lepas ni, menantu mama pula yang buatkan air untuk mama nanti...” Puan Elinna tersenyum lagi sambil menyentuh dagu Lisa.

Senyuman yang diukirkan ini mampu mempamerkan harapan yang ada di lubuk hati Puan Elinna.

“Mama buatkan air dulu ya... Lisa duduklah dulu...”

Lisa hanya tersenyum manja.

“Kau sanggup nak hancurkan harapan mama aku?” Irfan bertanya sebaik sahaja Puan Elinna hilang disebalik dinding.

“Awak tolonglah saya berterus-terang,” rayu Lisa.

“Tak nak... Kau yang tak nak berkahwin dengan aku, kaulah yang berterus terang... Apa yang pasti aku nak berkahwin dengan kau... Aku tak kan menyerah diri macam tu sahaja...” Irfan merenung tepat ke dalam mata Lisa. Irfan yakin, Lisa tidak akan sampai hati menghancurkan harapan orang tuanya. Irfan tahu, Lisa baik orangnya.

Hati Lisa mula goyah. Lisa akui dia tidak punyai kekuatan untuk berterus terang di hadapan Puan Elinna. Wanita ini sangat baik padanya. Gubahan-gubahan yang sedang disiapkan ini sedikit sebanyak membuatkan Lisa rasa bersalah.

“Sekarang, jom kita pilih pakej fotografi ni... Tak usah dilayan sangat dugaan-dugaan yang cuba merosakkan niat baik kita berdua... Kita teruskan sahaja seperti yang dirancangkan... Boleh?”

“Awak pilihlah yang mana awak suka... Saya ikut sahaja... Tapi, saya tak janji saya akan berkahwin dengan awak tau... Kalau saya tak mampu berterus terang masa ini, saya akan lari saat hari akad nikah kita nanti,” kata Lisa mengugut.

“Kalau kau lari, aku saman kau! Kau ingat negara kita ini tak ada undang-undang? Kita dah bertunang, jadi kau tak boleh mengelak daripada mengotakan janji yang telah dipersetujui keluarga kita...” Irfan memberi amaran.

Terkedu Lisa mendengar kata-kata Irfan. Lisa hampir terlupa tunangannya ini seorang peguam. Pasti bab saman menyaman ini, Irfan begitu arif tentangnya. Kalau disaman, sudah tentu Irfan yang menang. Mana nak dicari duit buat bayar saman!

“Amboi bakal pengantin ni… Seriusnya berbincang... Bincang apa sampai serius macam ni?” sapa Puan Elinna sambil membawa dulang yang berisi air limau.

“Hahaha... Tak ada apa-apalah ma... Abang Irfan ni, Lisa nak pakej A, dia pula nak pakej C... Itu yang bergaduh ni...”

“Abang Irfan... Abang?” berpinar rasanya mata Irfan mendengar perkataan yang muncul dari mulut Lisa. Tak pernah pun selama ini Lisa memanggilnya abang.

“Mana, bagi mama tengok yang mana sesuai...”

“Awak, bagilah mama album tu...” tegur Lisa sebaik sahaja Irfan masih lagi tidak menghulurkan album gambar pada mamanya.

“Awak!” Lisa menepuk lutut Irfan.

“Ya, apa dia??”

“Album gambar… Mama nak tengok... Awak ni...” Lisa menjeling Irfan yang tersengih seorang diri.

Irfan menghulurkan album gambar yang dipegangnya kepada Puan Elinna. Irfan hanya tersengih-sengih menutup malu.

“Kau panggil aku abang?” bisik Irfan.

“Bila?” Lisa berpura-pura lupa. Dia akui, mulutnya tersasul melepaskan perkataan itu.

“Tadi...”

“Tersilaplah tu,”jawab Lisa acuh tidak acuh.

“Apalah kamu berdua ni... Panggillah sayang ke... Honeyke... Darling... Kan manis didengar...Ini, aku, kau, awak, saya... Kan dah nak kahwin ni... Bolehlah berlatih panggil,” usik Puan Elinna.

“Itu lepas kahwin nantilah ma,” kata Irfan sambil matanya dikenyitkan pada Lisa. Lisa hanya menjuihkan bibirnya. Meluat dengan kelakuan Irfan.

Perbualan mereka hari itu mematikan niat Lisa untuk berterus-terang tentang niat asalnya untuk membatalkan perkahwinan mereka berdua. Hati Lisa tidak kuat untuk menghancurkan harapan orang yang dihormatinya. Namun begitu, Lisa akan fikirkan cara yang terbaik untuk tidak berkahwin dengan Irfan. Lagi sembilan hari majlis akan berlangsung. Esok, Lisa akan pulang ke kampung. Mujurlah Puan Raudah telah pun keluar dari wad. Lega rasa hatinya. Dengan keadaan Puan Raudah yang baru keluar dari wad, Lisa rasa dia mungkin tidak akan berjaya untuk berterus terang sebagaimana dia tidak mampu untuk berterus terang dihadapan Puan Elinna. Lisa berserah kepada ketentuanNya, tapi, Lisa tidak akan berhenti berusaha untuk membatalkan perkahwinan ini. Itu janji Lisa pada dirinya.

Previous: BAB 41
Next: BAB 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.