Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,842
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12

12

BAIZURA memerhatikan sahaja tingkah Melisa yang masih berbaju tidur itu biarpun waktu tengah hari sudah beransur pergi. Wanita seksi itu membuka peti ais dan sebotol brendi selamba sahaja dikeluarkan. Dia menuang air kencing syaitan itu ke dalam gelas.

“Nak?” sua Melisa ke arah PAnya itu.

“Kau tahukan yang aku tak sentuh benda-benda haram ni!” Tegas Baizura.

“Ooo... aku lupa pula yang kau ni ‘ustazah’. Ustazah manalah nak sentuh benda-benda vogue macam ni.” Melisa tertawa sinis. Senang hatinya dapat menyakiti hati insan yang sudah mengambil tempat di salah sebuah kerusi di meja makannya itu.

“Bukannya vogue! Tapi minuman air kencing syaitan itulah tiket kau untuk masuk ke neraka nanti. Tak payahlah nak bangga-bangga dengan benda bodoh macam tu. Sayangkan... ALLAH tutup aib hambaNYA. Tapi ‘orang’ yang membuat dosa bangga pula mengaibkan diri sendiri.” Tiada niat Baizura untuk memperli tetapi lebih kepada menasihati.

Berdesing telinga Melisa mendengarkan kata-kata itu, “Aku suruh kau datang ke rumah aku ni, bukannya nak suruh kau perli aku bagai!”

“Habis tu kenapa kau suruh aku datang ke sini? Nak tayang dekat aku tentang keaiban diri kau? Keaiban yang boleh merosakkan diri kau! Macam tu?” Baizura sedang cuba mengawal emosinya.

Berombak dada Melisa. Nampaknya sahabatnya itu kian lancang mulutnya.

“Nah!” sua Melisa setelah dia mendapatkan sehelai cek daripada poket baju tidurnya.

“Cek apa ni?” Laju, Baizura menyoal.

“Cek untuk paparazzi tulah.” Melisa sudah mengambil tempat di sisi Baizura.

Baizura mengerutkan dahinya, tanda tidak mengerti.

“Untuk paparazzi bangang yang dapat tangkap gambar aku dengan Dato Ezman dekat hotel tempoh hari!” jelas Melisa. Nada amarahnya kembali semula.

“Ooo... cepat kau dapat ‘sapu’ si tua tu. Untunglah ‘orang’ tu sebab menjadi perempuan simpanan tersayang Dato Ezman.” Sempat lagi Baizura menyindir. Senyuman menghina terukir di bibirnya.

“Kau ni, kalau tak hina aku tak boleh ke? Kau kena ingat sikit, siapa yang bayar gaji kau tu! Orang yang kau perli-perli nilah yang keluarkan duit untuk makan minum kau!!!” Tinggi benar suara Melisa setinggi kebongkakannya tika ini.

Baizura terdiam. Bukannya dia takut menghadapi kekalahan seandainya perbalahan diteruskan, tetapi bau hancing yang keluar dari mulut Melisa itu sudah cukup meloyakan tekaknya.

“Tahu pun takut.” Perlahan Melisa menuturkan kata-kata itu.

“Bukannya takut. Aku cuma malas nak layan orang yang dah tak siuman macam kau ni,” balas Baizura.

“Kau!!!... Ah! Sudahlah, aku dah tak ada urusan lagi dengan kau. Aku nak keluar.” Melisa sudah bangkit.

“Kau nak pergi mana?” Baizura memandang tepat ke arah Melisa.

“Kau tu cuma PA aku je. Bukannya mak bapak aku! So, tak payah nak menyibuk pasal aku!” Melisa sudah memulakan langkahnya.

“Melisa nanti dulu.” Baizura turut bangkit dan menghalang langkah model itu.

“Apa lagi yang kau nak?” Melisa membalas pandangan Baizura.

“Aku... aku ada hal sikit nak cakap dengan kau,” tutur Baizura.

“Hal apa?” soal Melisa.

Baizura terdiam.

“Yang kau tiba-tiba jadi bisu ni dah kenapa? Aku tanya dekat kau, hal apa?” Melisa sudah kembali kebengangan dengan sikap insan di hadapannya itu.

“Mak kau... dia...” tergagap-gagap Baizura dalam melahirkan kata-kata.

“Dia apa?” Melisa sudah menunjukkah riak bosan saat perihal ibu kandungnya itu hendak dibangkitkan oleh sahabatnya itu.

“Mak kau callaku.” Baizura memaklumkan.

“Dia nak apa?” Sambil lewa, Melisa bertanya.

“Dia nak jumpa kau,” tutur Baizura.

“Aku tak ada masa.” Melisa melangkah setapak ke hadapan. Namun Baizura pantas menarik lengannya kasar.

“Sakitlah!” bentak Melisa.

“Sakit lagi hati mak kandung kau tu! Kau tahu tak yang mak kau sangat rindukan kau. Apa salahnya kalau kau jawab call dia.” Baizura masih mencengkam lengan Melisa.

“Suka hati akulah nak jawab call dia ke tidak! Kau tu cuma PA aku! Sedar sikit diri kau tu!” Melisa menarik kuat lengannya dari cengkaman Baizura.

“Memang! Memang aku cuma PA kau. Tapi... aku juga merupakan orang yang paling rapat dengan kau. Orang yang memperkenalkan kau dengan dunia modeling ni! Aku tak kisah kalau kau dah lupakan jasa aku. Tapi... tolong jangan lupakan pengorbanan mak kau. Insan yang mengandungkan dan melahirkan kau ke muka dunia ni!” Berombak dada Baizura. Sakit benar hatinya dengan sikap angkuh dan bongkak insan di hadapannya itu.

“Aku tak lupakan orang tua tu. Tiap-tiap bulan aku kirim duit. Apa lagi yang dia nak? Atau... dia nak aku tambahkan lagi jumlah wang tu?” sinis Melisa.

“Kau ingat mak kau hadap sangat dengan duit kau? Hei! Kau dengar sini! Mak kau tu boleh hidup senang lenang tanpa menggunakan sesen pun duit kau. Apa yang mak kau nak hanyalah ihsan kasih sayang daripada kau. Kau tahu tak yang mak kau sering jatuh sakit sekarang ni. Mak aku cakap tiap-tiap hari mak kau sebut nama kau. Takkan sikit pun simpati kau tak ada buat mak kau!” Masih tinggi nada suara Baizura.

‘Mak sakit? Betul ke yang mak aku sakit?’ Hati Melisa meragui kenyataan sahabatnya itu.

“Kenapa kau diam? Kau fikir aku tipu? Terpulanglah... Tapi ingat Melisa... kalau satu hari nanti kau betul-betul dah kehilangan mak kau. Kau jangan nak terjerit terlolong macam orang gila. Tak ada gunanya kita merintih pada insan yang sudah tiada.” Habis menuturkan kata-kata itu, Baizura melangkah keluar dari penthouse milik insan yang kian bongkak dan takbur sikapnya!
Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.