Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,986
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 22

22

TELEKUNG ditanggalkan dari tubuh dan kain suci itu dilipat sebelum diletakkan di tempatnya. Juliana melangkah perlahan ke katilnya dan merebahkan tubuh yang sedikit kelesuan. Lesu kerana kepenatan bertungkus-lumus mengemas kondominum yang didiaminya itu.

“Ah... selesanya,” omel Juliana saat tubuhnya sudah dibaringkan dengan sempurna.

Dia mengerling handphone yang diletakkan di meja sisi katilnya dan semerta imbauan sebentar tadi menjelma. Imbauan mengenai perbualannya dengan Asyraf. Mujur jua doa di hujung solat isyaknya sudah diaminkan. Andai tidak, pasti dibiarkan sahaja panggilan daripada majikan yang merangkap kekasih olok-oloknya itu.

“Rajin juga mamat tu call aku semenjak kebelakangan ni.” Juliana bermonolog sendirian.

“Ah! Dahlah... malaslah aku nak fikirkan pasal mamat tu. Aku tahu yang dia ambil berat dekat aku pun sebab dia berasa sangat bersalah dekat aku.” Yakin Juliana sambil mengerengkan tubuhnya. Matanya pula ditutup serapat-rapatnya dengan harapan agar lena dapat menghimpit kepenatannya.

Namun apa yang dipinta tidak menjadi nyata. Apa yang dilarang pula berlumba-lumpa memenuhi fikirannya. Wajah Asyraf yang sedang tersenyum silih berganti menampilkan diri.

“Arghhh!!! Apa kena dengan aku ni?! Kena santau ke apa, tak pasal-pasal pula muka mamat tu yang melayang-layang dalam kepala otak aku ni,” bebel Juliana sambil bangkit dan menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.

“Juliana... stop! Jangan fikir lagi pasal kekasih olok-olok kau tu!” Peringatan Juliana tegaskan kepada dirinya.

Tetapi ibarat menyiram air pada daun keladi. Segala ketegasannya langsung tidak memberikan kesan apa. Senyuman lahir tiba-tiba saat mindanya sudah berterbangan mengingati kebaikan dan keikhlasan Asyraf terhadap dirinya.

“Tak... tak, aku tak boleh angau macam ni. Aku tahu yang Asyraf bukannya sukakan aku. Dia cuma kesian je dekat aku.” Juliana menampar-nampar perlahan pipi gebu miliknya.

“Baiklah. Aku kena settingbalik minda aku.” Tubuh yang tersandar di kepala katil ditegakkan. Dia kini duduk bersila betul-betul di tengah-tengah dada katil. Dia menarik nafasnya dalam dan dihembuskannya perlahan. Matanya juga sudah dirapatkan. Persis beryoga tampaknya.

“Juliana... cuba kau ingat kembali kenapa kau mendiami kondominium ini?” soal Juliana pada dirinya sendiri dan semerta jawapan terukir di ruangan mindanya. Puas dengan jawapan itu, Juliana meneruskan terapinya.

‘Kau tahukan kenapa kau sanggup menerima tawaran Asyraf untuk menjadi kekasih olok-oloknya?’ Soalan yang dilahirkan oleh hati jua segera diberikan jawapannya oleh minda.

‘Kau masih ingat lagi saat pertemuan pertama kau dengan Asyraf?’ Soalan secara bisikan dijawab oleh lisan, “Ya. Aku masih ingat. Di kedai kristal di Klang Parade… Demi untuk membayar ganti rugi terhadap patung kristal yang pecah itu... aku sanggup mengakui bahawa Asyraf adalah kekasih aku sewaktu di hadapan Melisa.”

‘Bagus! Kau harus sedar bahawa hubungan yang terjalin di antara kau dengan Asyraf hanyalah sekadar kekasih olok-olok! Dan bukannya berlandaskan rasa cinta yang nyata. Jadi, hentikan apa jua rasa yang sedang menjalar di jiwa kau! Asyraf bukannya mencintai kau. Dia hanya sekadar melahirkan rasa bersalahnya terhadap apa yang telah dilakukan oleh Melisa terhadap kau! Ingat tu! Asyraf tidak menyintai kau!’ Tegas terlahir di akhir bisikan.

Terbuka sepasang mata yang tadinya tertutup rapat. Terlihat berkaca mata sayu itu, mungkinkah kerana kata-kata akhir bisikan itu penyebabnya?

“Betul! Asyraf tidak menyintai aku. Dia sekadar melahirkan rasa bersalahnya melalui sikap ambil beratnya dan... dia hanyalah kekasih olok-olok aku! Tidak mungkin rasa yang bercambah di jiwaku ini akan mendapat semaian kasih dan cintanya.” Biarpun perit untuk melahirkan kata-kata itu, namun dipaksa jua bibirnya menuturkan kenyataan itu. Kenyataan yang harus dibenamkan di minda agar dapat menghalang rasa bahagia yang kian berkembang di jiwa.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.