Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
29,130
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6

LAMA lelaki itu menahan nafasnya di dalam air. Enggan ditampilkan dirinya di permukaan air kolam renang itu. Hukuman dijatuhkan kepada dirinya sendiri lantaran kegagalannya menentangi seorang wanita ‘senget’ yang telah mengaibkan dirinya di stesen minyak siang tadi.

“Irfan! Keluar dari kolam renang tu!!!” Menjerit Dato Idham. Setelah dimaklumkan oleh pembantu rumahnya mengenai ‘kegilaan’ anaknya itu, pantas sahaja dia berlari ke roof top. Kolam renang di hadapannya dihampiri.

“Irfan! Ayah kata keluar dari kolam renang tu! Keluar!!!” Dato Idham masih menjerit. Kedegilan anaknya itulah puncanya.

Setelah hampir 10 minit barulah Irfan mengikuti kehendak ayahnya itu. Dia melonjak ke atas permukaan air. Wajahnya bersahaja saat dia berenang mendapatkan ayah kandungnya itu.

“Kamu dah gila ke Irfan? Kalau apa-apa terjadi dekat kamu macam mana?” Laju Dato Idham menyoal saat anaknya itu keluar dari kolam renang.

Dato Idham mengikuti langkah Irfan. Kerusi malas menjadi labuhan insan yang masih membisukan mulutnya itu. Dia turut mengambil tempat di sisi anaknya itu.

“Irfan...” Kali ini lembut Dato Idham memanggil insan di sisinya.

Irfan menoleh ke arah Dato Idham. Namun kata-kata tidak dibaitkan sebagai bicara.

“Apa lagi masalah kamu kali ni?” Dato Idham memandang tepat ke wajah Irfan. Terlalu sukar untuk hati tuanya menelah permasalahan apakah pula kali ini yang sedang memberontak di jiwa muda anaknya itu.

“Tak ada apa-apa.” Seraya kata-kata itu, Irfan mengalihkan semula pandangannya ke hadapan. Kolam renang yang hampir-hampir menjadi ‘tempat persemadiannya’ dipandang penuh kebencian.

“Siapa yang buat kamu sakit hati kali ni?” Dato Idham masih hendak menelah.

“Tak ada sesiapa.” Penipuan masih Irfan pertahankan.

“Irfan... kamu tu anak ayah. Sekilas riak wajah kamu tu... ayah tahu yang kamu sedang menahan amarah dan kebencian. Siapa? Siapa yang telah menyakitkan hati kamu?” soal Dato Idham lagi.

Irfan mendengus. “Boleh tak kalau ayah tak masuk campur hal Irfan? Irfan tak suka disoal itu dan ini.”

Dato Idham mengeluh. Hati tuanya langsung tidak terasa dengan kata-kata itu. Insan yang dijagai sedari kecil bukanlah sebegitu sikap dan tingkah lakunya. Tetapi ada ‘sesuatu’ yang telah mengubah perwatakan anaknya itu. ‘Sesuatu’ yang masih dipendam oleh insan di sisinya.

“Irfan minta maaf kalau ayah terasa dengan kata-kata Irfan.” Perlahan Irfan bersuara.

“Tak. Sikit pun ayah tak terasa. Ayah tahu siapa anak ayah ni. Irfan... boleh ayah minta sesuatu?” Kian lembut suara Dato Idham.

“Apa dia?” Lambat Irfan menyoal.

“Boleh... boleh kamu lepaskan... ‘insan’ itu?” Dato Idham memegang lembut bahu anaknya.

Membulat mata Irfan. Tidak disangkanya yang ayah kandungnya itu akan membuat permintaan seperti itu. Permintaan yang terlalu kejam buat dirinya!

“Ayah! Sampai hati ayah... Irfan tak sangka yang ayah minta agar Irfan melupakan ‘dia’. Ayah dah lupa ke siapa ‘dia’ pada kita? Siapa ‘dia’ pada Irfan? Pada ayah? Pada mak? Ayah dah lupa ke?!” Irfan menepis jari-jemari Dato Idham yang masih memegang lembut bahunya. Dia bangkit dan memandang tajam ke wajah tua milik ayah kandungnya itu.

Dato Idham turut bangkit. Dia cuba untuk menstabilkan semula emosi anaknya itu. “Irfan... ayah tak pernah lupakan ‘dia’. Tapi... Irfan tahukan yang kita takkan mungkin dapat bertemu dengannya kembali. ‘Dia’ sudah terlalu ‘jauh’ dengan kehidupan kita. Ayah tahu yang selama ini Irfan menghukumi diri Irfan sendiri. Irfan jatuhkan ‘hukum’ tanpa memikirkan bahawa ini semua adalah suratan-NYA.”

Irfan menakup kedua belah telinganya. “Irfan tak nak dengar apa-apa lagi! Bagi Irfan, ‘dia’ masih wujud dan Irfan akan terus mencari sehinggalah Irfan bertemu dengan ‘dia’. Kalau ayah nak berputus harap, terpulanglah! Tapi jangan pernah menghalang Irfan untuk mencari ‘kebenaran’!”

Habis menuturkan kata-kata itu, Irfan memusingkan tubuhnya dan terus mengorak langkah meninggalkan ayah kandungnya itu. Hati yang sakit terhadap wanita yang ditemuinya siang tadi sudah pudar ‘rasanya’. Apa yang tinggal tika dan saat ini adalah kepedihan dan kesedihan. Sedih kerana ayah kandung yang disangkanya akan terus menyokong dirinya sudah ‘mengundurkan’ diri lantaran tidak mempercayai lagi akan kewujudan ‘insan’ itu. ‘Insan’ yang telah lama ‘bersatu’ dengan dirinya. Dia dan ‘insan’ itu adalah satu!

 

TERBATUK-BATUK Diva. Segera dia mencapai air kosong di hadapannya. Fiza yang berada di sisi pantas menepuk-nepuk perlahan belakang sahabatnya itu.

“Makan tu perlahan-lahanlah. Janganlah gelojoh sangat,” omel Fiza.

“Mana ada aku makan gelojoh. Kau ingat, aku macam kau.” Tempelak Diva.

Fiza tersenyum mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Jujur yang dirinya memang sedikit gelojoh saat menjamah makanan. Sudah berulang kali insan di sisinya itu menegur, tetapi habit yang satu itu memang terlalu sukar untuk dihapuskannya.

“Diva, entah-entah mamat ‘mental’ kau tu ada sebut-sebut pasal kau kot. Tu yang kau terbatuk-batuk.” Sakat Fiza.

“Banyaklah kau. Tak ada maknanya dia nak sebut-sebut pasal akulah hai, buang ‘karen’ dia je nak maki hamun aku. Bukannya dia dapat balas dendam dekat aku pun.” Yakin benar Diva dengan kata-katanya itu.

“Kau jangan riak sangat Diva. Bumi ni bulat tahu. Tup, tup esok lusa kau bertembung lagi dengan dia. Ha! Masa tu barulah kau tahu yang mamat tu dapat balas dendam ke tak dengan kau.” Fiza memandang tepat ke wajah Diva. Terlihat wajah sahabatnya itu sudah sedikit memucat.

‘Ha! Takutlah tu,’ desis hati Fiza. Dia tersenyum.

“Mulut kau nikan memang cabullah! Dahlah, janganlah kau nak cakap pasal mamat tu lagi. Lagipun daripada aku dok fikirkan mamat ‘mental’ tu lebih baik aku fikirkan jejaka idaman aku.” Sudah menghilang pucat di wajah Diva. Kini ukiran bahagia pula mencantikkan wajahnya.

“Jejaka idaman? Siapa?” Berkerut dahi Fiza. Terhenti suapan makanannya.

“Entah... aku tak sempat nak tanya nama dia siang tadi.” Sayu pula suara Diva tika ini. Emosinya mudah benar bertukar ‘rupa’ saat membicarakan tentang dua orang jejaka. Seorang amat dibencinya dan seorang lagi menjadi dambaan jiwanya.

“Siang tadi? Takkanlah mamat ‘mental’ tu jejaka idaman kau?” Kian berkerut dahi Fiza. Hatinya sudah memberontak untuk mengetahui tentang jejaka idaman sahabatnya itu.

“Simpang 44 malaikat. Tak ada maknanya aku nak mengidamkan mamat ‘mental’ tulah. Kalau bagi free pun aku campak longkang je!” gerutu Diva. Riak sekali lagi ‘mewarnai’ intonasi suaranya.

“Habis tu kalau bukan mamat ‘mental’ tu, siapa?” Fiza meneguk air kosong di hadapannya setelah makanan di dalam pinggan dilicinkannya.

“Kan, aku dah kata yang aku tak sempat nak tanya nama dia. Tapi yang pasti dia sangat gentleman. Ah... beruntungnya aku kalau dapat memiliki lelaki kacak tu.” Diva memejamkan matanya. Imbauan tentang seraut wajah berkemeja putih itu terus-terusan ‘mewarnai’ gelap pandangannya.

“Lagi kacak daripada mamat ‘mental’ tu?” Spontan soalan itu meluncur dari bibir Fiza.

“Mestilah jejaka idaman aku ni lebih kacak daripada mamat ‘mental’ tu!” Kata-kata dilahirkan tanpa pertimbangan akal terlebih dahulu. Musibahnya semput menyesakkan dadanya. Diva pantas membuka matanya sebelum dia bangkit untuk mendapatkan  inhaler yang diletakkan di hadapan kaca TV di ruangan tamu rumahnya itu.

Setelah gas disedut barulah ‘nyawa’ bagaikan bersatu semula dengan dirinya. Stabil sahaja keadaannya, Diva melangkah ke meja makan. Dia menjeling tajam ke arah rakan yang sedang mentertawakan dirinya.

“Amboi! Bukan main suka lagi kau ketawakan aku,” marah Diva.

Sorrylah... tapi siapa suruh kau tipu. Kan, dah semput.” Kian terbahak tawa Fiza dan kian mencuka wajah Diva.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.