Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
29,268
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

2

KERETA Waja berwarna gold itu terus meluncur di atas jalan raya. Si pemandu sedikit tertekan emosinya lantaran rumah yang dicari-cari masih belum ditemui. Dia menoleh sekali lagi ke arah kanan jalan raya. Terlihat bangunan besar yang gah memonopoli pandangannya.

“Bangunan Tenaga Nasional Berhad.” Diva membaca apa yang tertera di dada bangunan yang sedang diperhatikannya itu.

“Betullah... Betullah ni kawasan Bukit Badak. Tapi mana pulak simpangnya? Adui... susahlah macam ni. Nak dekat lima kali dah aku pusing-pusing dekat sini,” bebelan bersama keluhan terpacul di bibir Diva.

Namun saat dia terlihatkan satu simpang kecil yang terlindung sedikit dengan lalang liar, bibirnya menguntumkan senyum, “Akhirnya! Dapat jugak aku cari simpang ‘keramat’ ni.”

Diva terus memberikan signal sebelum membelokkan keretanya ke kiri jalan. Namun saat keretanya hendak memasuki simpang itu, sebuah kereta Honda City berwarna putih nyaris-nyaris ‘mencium’ kereta Waja miliknya. Diva pantas menekan brek kaki. Mujur tindakannya tangkas, andai tidak pasti sebuah kemalangan akan berlaku.

Diva menekan perlahan dadanya. Terasa kuat degupan jantungnya tika ini. Dia cuba menstabilkan pernafasannya. Tercungap-cungap dirinya tika ini.

Tuk... tuk... tuk..

Terdengar bunyi ketukan di cermin sisi pemandu. Diva menoleh ke sisi. Terlihat seorang lelaki berkemeja putih sedang memberikan signal agar dia membuka pintu keretanya. Wajah lelaki itu dipenuhi dengan kuruman kerisauan.

“Cik tak apa-apa ke? Cik tercedera ke?” Laju lelaki berkaca mata itu bertanyakan soalan saat Diva memboloskan dirinya keluar dari keretanya.

“Tak... saya tak apa-apa. Maaflah... salah saya tadi. Saya sepatutnya lebih berhati-hati,” tutur Diva.

“Tak. Ini bukannya salah cik. Tapi salah saya. Saya pandu laju sangat tadi. Maafkan saya ya.” Lembut lelaki itu menyuakan kata maaf setelah dia meletakkan kesalahan itu di bahunya.

Diva menjadi kagum dengan sikap gentleman lelaki kacak di hadapannya itu. Tanpa sedar dia mengukirkan segaris senyuman. Lelaki kacak itu turut sama membalas senyuman Diva.

“Nampaknya cik betul-betul tak apa-apa. Lega hati saya. Baiklah, kalau macam tu saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum.” Salam, lelaki itu hulurkan sebelum dia mendapatkan kereta Honda City miliknya dan sekejap sahaja kelibat kereta itu menghilang dari pandangan Diva.

Diva mendapatkan semula keretanya dan pemanduan diteruskan. Dia harus segera sampai ke destinasi sementelah sudah terlalu banyak masa dibazirkan sewaktu dia mencari lorong kecil ini. Namun di dalam kesungguhannya mencari rumah banglo dua tingkat milik pelanggannya itu, hatinya berdetik sayu, ‘Dapatkah aku bertemu dengan lelaki kacak itu lagi?’

“Alhamdulillah...” Kata syukur terlahir di bibir Diva saat keretanya diparkirkan di bawah pohonan merendang.

Diva melangkah keluar dari keretanya bersama lima helai jubah moden di tangannya. Dia memandang ke hadapan. Tepat ke arah sebuah rumah banglo dua tingkat berwarna putih. Dia begitu yakin, itulah rumah milik Datin Salmah.

Loceng ditekan. Tidak sampai seminit meluru seorang wanita yang sudah berusia ke arah pintu pagar.

“Assalamualaikum. Cik nak cari siapa?” soal wanita yang hanya berserkup itu.

“Waalaikumussalam. Saya nak cari Datin Salmah. Ini rumah Datin Salmah, kan?” soal Diva sopan kepada wanita tua di hadapannya.

Anggukan, wanita tua itu berikan dan senyuman dimekarkan, “Ya. Inilah rumah Datin Salmah. Cik ni cik Diva ya?”

“Ya saya. Saya Diva. Datin Salmah minta saya hantarkan jubuah-jubah ni. Boleh mak cik serahkan kepada Datin?” Diva turut sama melebarkan senyumannya.

“Eh... apa pulak mak cik yang nak kena serahkan. Cik Divalah serahkan sendiri ya. Lagipun Datin dah pesan supaya jemput Cik Diva masuk kalau Cik Diva dah sampai. Jomlah masuk dulu.” Wanita tua itu membukakan pintu pagar buat Diva.

Mahu tidak mahu terpaksa jua Diva melangkah masuk ke dalam rumah besar itu. Diva dibawa ke ruang tamu. Minuman sejuk juga segera dihidangkan kepadanya. Setelah hampir 15 minit menunggu barulah Datin Salmah turun bertemu dengannya.

“Maaflah aunty solat tadi. Tu yang Diva kena tunggu lama sikit tu.” Datin Salmah tersenyum manis. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Diva.

“Tak apa... saya yang patut minta maaf sebab lambat sampai. Maafkan saya ya Datin,” tutur Diva.

“Ish! Dah berapa kali aunty pesan, jangan panggil Datin tapi panggil aunty. Datin... datin... tak mesralah.” Datin Salmah mengambil jubah-jubah yang terletak elok di atas meja di hadapannya.

Diva tersenyum lagi. Gembira kerana dirinya ‘diterima’ oleh orang kenamaan seperti Datin Salmah itu.

“Cantiknya sulaman manik di jubah ni,” puji Datin Salmah saat matanya ‘menilai’ kehalusan sulaman manik pada jubah berwarna hijau lumut yang sedang dipegangnya.

“Siapa yang jahit sulaman manik ni?” Datin Salmah mengalihkan pandangannya ke arah wanita muda di sisinya.

“Saya sendiri yang jahit Da..tak maksud saya aunty. Saya yang jahit aunty.” Diva membetulkan sasul di mulutnya.

Tertawa kecil Datin Salmah melihatkan sikap polos wanita jelita itu, “Patutlah cantik sangat sulaman manik ni, orang yang menyulamnya pun cantik menawan.”

Diva tertunduk. Sikap suka memuji Datin Salmah itu sering sahaja menghadirkan malu pada dirinya.

“Dik Salmah... hidangan, akak dah hidangkan dekat atas meja tu.” Wanita yang menyambut kedatangan Diva tadi hadir semula di hadapan Datin Salmah.

“Dah siap dah? Jom Diva. Temankan aunty makan tengah hari. Aunty belum makan lagi. Sibuk sangat hari ni. Dah pukul tiga baru nak makan.” Datin Salmah sudah bangkit.

Diva masih berkira-kira. Andai diikutkan perut yang sedang ‘memberontak’ mahu sahaja dia menerima pelawaan itu.

“Jomlah temankan aunty,” pelawa Datin Salmah lagi. Terlihat kian ikhlas pelawaan itu.

Akhirnya Diva mengukirkan senyuman sebelum bangkit dan beriringan dengan Datin Salmah ke meja makan.

“Kak Kemah tak makan sekali ke?” soal Datin Salmah kepada pembantu rumah yang sedang menyendukkan makanan ke dalam pinggannya.

“Dik Salmah makanlah dulu. Akak kenyang lagilah,” tutur Mak Kemah bersama segaris senyuman sebelum dia berlalu ke dapur.

‘Ooo... Mak Kemah nama pembantu rumah Aunty Salmah ni. Beruntunglah dia dapat majikan yang humblemacam Aunty Salmah ni. Kalau orang lain, tak adanya nak panggil akak bagai.’ Komen hati Diva.

“Diva... apa tunggu lagi. Jemputlah makan.” Datin Salmah memandang insan di sisinya.

Diva tersentak. Perlahan dia menganggukkan kepalanya sebelum bismillah dibaca dan makanan disuapkan ke mulutnya.

‘Aduyai... sedapnya ayam masak lemak cili api ni,’ puji hati kecil milik Diva.

“Sedap Diva?” soal Datin Salmah sekadar untuk memecahkan kesunyian di antara mereka.

“Sedap. Pandai Mak Kemah masak.” Jujur Diva.

“Kalau sedap. Tambahlah lagi.” Laju Datin Salmah menyendukkan nasi dan lauk pauk ke dalam pinggan Diva yang sudah hampir kosong itu.

“Datin... banyak sangat ni,” tutur Diva.

“Tak apa. Makan perlahan-lahan. Lagi lama Diva dekat rumah ni lagilah aunty suka. Bukan apa, aunty bosanlah asyik duduk seorang-seorang je. Suami dengan anak aunty tu asyik kerja je. Mana ada banyak masa untuk temankan aunty. Nasib baiklah Mak Kemah tu ada. Kalau tak lagi sunyilah aunty.” Ringan mulut Datin Salmah berceloteh. Entah mengapa dia senang dengan kehadiran wanita di sisinya itu.

Diva hanya mengukirkan senyuman. Cuba memahami hati dan perasaan Datin Salmah.

“Susah ke Diva nak cari rumah aunty ni?” Datin Salmah masih hendak meneruskan perbualan.

“Bolehlah. Susah jugak. Sebab Diva tak pernah lalu pun sekitar kawasan Bukit Badak ni.” Jujur Diva.

“Bukan setakat Diva. Kawan-kawan aunty yang first time datang ke rumah aunty ni pun cakap macam tu jugak. Dia orang suruh aunty beli banglo lain. Katanya kawasan rumah aunty ni macam tempat jin bertendang. Jauh ke dalam. Tapi tak adanya aunty nak ikutkan kerenah dia orang tu. Sebab kalau Diva nak tahu... deretan banglo ni... arwah papa yang hadiahkan pada aunty adik-beradik. Papa nak kami semua berkumpul satu tempat. Yalah... aunty bukannya ramai pun adik-beradik.” Datin Salmah kian mesra dengan wanita jelita di sisinya.

“Maksud aunty... banglo-banglo dekat sebelah banglo aunty ni, adik-beradik aunty yang punya?” soal Diva.

Datin Salmah anggukkan kepalanya, “Sebelah banglo aunty ni, milik Aunty Siti. Dia adik kedua aunty dan yang hujung tu milik adik bongsu aunty, Uncle Salman. Tapi Uncle Salman sekeluarga masih lagi menetap di Rusia. Mungkin lagi dua, tiga tahun baru balik ke Malaysia.”

Diva menganggukkan kepalanya sebagai tanda mengerti sambil meneruskan kunyahan makanannya.

“Ish... aunty ni membebel pulak. Dah... lebih baik Diva habiskan makanan tu. Kalau Diva layan mulut becok aunty ni memang sampai ke sudahlah tak ke mana.” Datin Salmah senyum lagi.

Diva membalas senyuman manis Datin Salmah dan mereka sama-sama menghabiskan makanan di dalam pinggan masing-masing. Sunyinya suasana di meja makan tetap jua melahirkan rasa senang di hati Diva kerana dirinya dilayani mesra oleh wanita yang berkedudukan tinggi itu.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.