Home Novel Cinta I Hate You, Pak Cik!
I Hate You, Pak Cik!
Eija Khadeeja
25/6/2013 16:47:23
5,752
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 1

1

Kring!!!!!

Bergegar jam loceng berfigura Hello Kitty itu saat keringan menjerit. Namun ‘jeritan’ jam loceng itu sedikitpun tidak mampu mencelikkan mata insan yang sedang kelelahan. Tubuh yang terbaring itu langsung tidak berkutik. Lenanya bukan main enak sekali.

Berlari anak Salwah menghampiri bilik tidur adiknya. Segera tombol pintu yang tidak berkunci dipulasnya. Dia menghampiri katil adiknya itu selepas menghentikan jeritan ‘si Hello Kitty’ berwarna merah jambu.

“Adik… ooo… adik. Bangunlah. Dah pukul 12 dah ni.” Tubuh adiknya digoncang perlahan.

“Bangunlah. Dah siang sangat dah ni.” Masih lembut nada suara yang Salwah gunakan untuk menyentak lena adiknya itu. Namun semuanya sia-sia. Adiknya itu langsung tidak bergerak biarpun seinci.

“Hari ni mama masak chiken chop. Sedap giler… rugilah kalau adik tak bangun,” helah Salwah kemudiannya.

Dengkuran masih terus berbunyi, menandakan yang helahnya tidak menjadi. Salwah sudah kelelahan dalam melayani sikap adiknya yang seorang ini. Cara lembut dan penuh diplomasi sudah digunakan, tetapi ternyata semuanya menemui jalan buntu.

“Tak nak bangun sudahlah! Tapi jangan salahkan akak kalau nanti adik tak sempat nak siapkan manuskrip adik tu!” Bersama jeritan, Salwah menepuk kuat pinggul adiknya itu.

“Argh!!! Sakitlah! Apa akak ni?” terkejut Farhanah dan semerta denyutan kuat terasa di kepala saat lenanya disentap tanpa relanya.

Sorry… akak bukan sengaja nak tepuk kuat-kuat. Tapi akak geram dengan adik. Akak kejut elok-elok adik tak nak bangun,” omelan Salwah lebih kepada pembelaan buatnya.

“Adik tak suruh pun akak kejutkan adik. Kan adik dah kunci jam. Nanti jam tu berbunyi, pandailah adik bangun sendiri.” Muka Farhanah masih mencuka.

“Wah… kalau nak berlagak bagilah dekat dia. Masalahnya yang oi… jam awak tu dah gegarkan satu banglo ni tahu tak? Dah! Tak payah nak ngantuk-ngantuk lagi. Pergi basuh muka tu. Mandi lepas tu turun bawah. Kejap lagi daddy balik, kita makan sama-sama.” Tiga arahan diberikan serentak, tetapi Farhanah langsung tidak menghiraukan arahan-arahan itu. Selamba sahaja tubuhnya direbahkan semula ke tilam empuknya.

“Tak senonoh betullah anak dara ni. Pergilah bangun. Mandi dulu. Lepas makan barulah sambung tidur balik.”

“Adik tak laratlah… pening sangat kepala ni,” sayu benar suara Farhanah. Tersentuh Salwah.

Salwah melabuhkan punggungnya di sisi adiknya. Rambut lebat milik adiknya itu diusap penuh kasih. “Malam tadi tidur pukul berapa?” Kali ini begitu lembut dan penuh kasih Salwah bertanya. Dia tahu andai adiknya itu tidak benar-benar keletihan, mustahil adiknya itu akan bersikap seperti itu.

“Lepas subuh baru tidur.”

“Ya Allah… kan mama dengan daddy dah pesan jangan tidur lambat sangat. Lepas subuh pulak tu… adik kena jaga kesihatan. Adik tu muda lagi.”

“Adik bukan sengaja. Tapi adik betul-betul kena stayback malam tadi. Ada manuskrip yang adik nak kena hantar sebelum hujung minggu ni.”

Salwah terdiam. Rasa simpatinya kian meresapi jiwanya dan tangannya masih lembut membelai helaian rambut adiknya.

“Banyak lagi yang belum siap?” soal Salwah kemudiannya.

“Apa dia?”

“Manuskrip adik tulah. Banyak lagi ke yang belum siap?”

“Banyaklah jugak. Pening kepala adik ni dibuatnya.”

“Sabarlah dik. Biasalah tu… dah nama pun kerja. Sabar ya,” pujukan terus-terusan Salwah suakan.

Diam. Mungkin keletihan menyebabkan Farhanah tidak berkata apa tentang nasihat kakaknya itu. Namun tatkala dia teringatkan sesuatu. Cepat sahaja dia melahirkan bicara. “Akak jangan bagitahu mama dengan daddy ya,” pinta Farhanah.

“Pasal adik tidur lepas Subuh?”

“Ha’ah. Adik tak nak mama dengan daddy risau.”

“Yalah akak faham. Tapi adik jangan lambat sangat turun bawah. Takut nanti mama dengan daddy syak pulak.”

“Lagi setengah jam adik bangun.” Kata putus, Farhanah berikan.

“Okeylah. Kalau macam tu, akak keluar dulu. Akak nak bersiap sekejap.”

“Akak nak pergi mana?” soal Farhanah sambil lewa akibat matanya yang kian memberat.

“Akak nak keluar dengan Faadhil.” Bersahaja Salwah menjawab.

“Apa?! Akak nak keluar dengan Abang Faadhil? Nak buat apa?” Pantas mata Farhanah terbuka dan tubuhnya yang terbaring sudah bangkit dan disandarkan ke kepala katil.

Terkejut Salwah dengan tingkah adiknya itu. “Adik ni buat akak terkejut je. Janganlah jerit macam tu.” Salwah mengurut-urut perlahan dadanya.

“Akak tak jawab lagi soalan adik. Nak buat apa akak keluar dengan Abang Faadhil?” Denyutan di kepala dan keletihan di tubuh, Farhanah abaikan. Hati yang penuh dengan persoalan berkisarkan kakaknya dengan Abang Faadhil harus di dahulukan.

“Akak nak temankan Abang Faadhil beli baju je. Esokkan ke dia nak start kerja dengan syarikat daddy,” jujur Salwah.

Farhanah merenung kakaknya. Tidak selesa Salwah dengan renungan adiknya itu. “Kenapa pandang akak sampai macam tu sekali?”

“Betul ke akak nak temankan Abang Faadhil beli baju? Ke… akak nak keluar dating dengan dia?” Farhanah mengabaikan persoalan yang disuakan kepadanya, tetapi persoalan yang sedang disuakan harus diperolehi jawapannya!

“Mana ada keluar dating. Akak dengan dia kawan jelah.” Entah mengapa terasa sakit dada Salwah saat penipuan dihulurkan kepada adiknya itu.

“Okey, kalau macam tu tak salahkan kalau adik nak ikut sekali. Akak dengan Abang Faadhil bukannya ada apa-apa hubungan,” segera Farhanah bangkit dan mencapai tuala sebelum berlalu ke bilik air.

“Tapikan tadi adik kata yang adik ngantuk, penat!” jerit Salwah saat daun pintu bilik air adiknya hendak tertutup.

“Adik tak ngantuk dah! Adik dah segar!” laung Farhanah dari dalam bilik air dan semerta terdengar jirusan air.

Farhanah tertunduk. Dadanya berdebar perlahan dan cepat sahaja dia menyesali keterlanjuran bicaranya sebentar tadi. ‘Macam mana aku boleh terlepas cakap pulak ni? Apa reaksi Faadhil nanti bila dia dapat tahu yang Farhanah ikut sekali?’

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.