Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
29,275
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

1

-Tahun 2014-

DIVA menuruni anak tangga. Dia memegang kemas mangkuk tingkat yang berisi makanan. Sesampainya di tingkat paling bawah, dia melajukan langkahnya dan menghampiri butik miliknya.

“Ha! Sampai pun kau. Aku dah lapar dah ni. Cepatlah sikit!” sergah Fiza yang merupakan sahabat baik merangkap pembantu Butik Diva Izara.

“Amboi... ni dah lebihlah ni! Siapa bos sekarang ni? Kau ke, aku?” sinis Diva sambil menghampiri Fiza. Dia meletakkan mangkuk tingkat di atas meja kecil berhadapan sofa L- shape yang berada di ruangan tengah butik itu.

“Alah kau ni... aku gurau pun tak boleh. Sentaplah pulak. Aku bukan apa... geram dengan ‘pekerja terbaik’ kau tu. Daripada pukul 12 sampai sekarang tak balik-balik lagi. Dia ingat butik ni bapak dia yang punya! Suka-suka hati nak rehat berjam-jam macam tu. Adui... sakit betul hati aku!” Fiza memuntahkan amarahnya sambil melabuhkan punggung di sisi Diva.

Diva hanya membisukan mulutnya sahaja. Kepala yang sedang sarat kian memberat mendengarkan bebelan itu.

“Diva... kenapa kau diam je ni? Kau okey ke?” Fiza memandang tepat ke wajah Diva.

Diva mengeluh. Berat keluhannya.

“Kenapa ni? Siap mengeluh lagi. Macam berat je masalah kau tu.” Resah hati Fiza dengan sikap sahabat baiknya itu.

“Tadi... masa aku tengah masak, tuan rumah call.” Perlahan suara Diva. Wajahnya masih muram.

“Apa lagi yang orang tua tu nak?” Sudah berubah intonasi suara Fiza. Sungguh! Dia tidak menyukai andai tuan rumah mereka itu menghubunginya mahupun Diva.

“Dia... dia nak naikkan lagi sewa rumah.” Keluhan terpacul sekali lagi. Diva menundukkan wajahnya.

“Apa?! Gila ke apa? Bukan ke baru enam bulan yang lepas dia dah naikkan sewa rumah. Melampau betullah orang tua tu! Apa dia ingat yang kita ni kaya sangat ke!” bentak Fiza. Sakit hatinya dengan rakan sekerjanya yang satu itu belum pun reda. Kini kesakitan itu kian bermaharajalela.

Diva masih menundukkan wajahnya. Tidak mahu dilayani kemarahan Fiza. Dia tidak seharusnya terikut sama dengan emosi sahabatnya itu.

“Habis tu kau cakap apa?” soal Fiza kemudiannya. Suaranya sudah sedikit merendah.

“Apa lagi yang aku boleh cakap. Kalau aku merayu sekali pun, keputusan Pak Arshad tetap sama. Dia tetap nak naikkan sewa rumah.” Diva mengangkat wajahnya. Dia memandang tepat ke arah mangkuk tingkat yang berada di hadapannya.

“Susah-susah sangat kita cari jelah rumah sewa yang lain. Bukannya tak ada rumah sewa dekat Shah Alam ni. Berlambak!” Balas Fiza.

“Tapi masalahnya aku tak jumpa lagi rumah kedai yang macam ni. Kalaulah tak di sebabkan yang butik aku ni betul-betul berada di bawah rumah sewa kita, tak inginnya aku layan permintaan orang tua tu.” Diva memandang tepat ke wajah Fiza.

Fiza membalas pandangan Diva, “Aku bukannya apa... aku segan dekat kau. Dahlah sepanjang tiga tahun aku kerja dengan kau, barang dapur, rumah sewa... semuanya kau yang support. Apa kata... lepas ni aku ‘hulur’ sikit duit aku untuk bayar duit sewa rumah.”

“Tak payah nak mengada-ngada. Gaji kau tu bukannya besar sangat. Nak hantar duit dekat kampung lagi. Mana cukup.” Segera Diva menghalang niat baik Fiza.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi. Dahlah, kita tutup cerita pasal Pak Arshad. Perut aku ni pun dah berkeroncong sakan ni. Lebih baik kita makan dulu. Karang kalau ada pelanggan tak ke haru jadinya.” Diva membuka mangkuk tingkat yang berada di atas meja.

Bau harum asam pedas pari dan tempe goreng berlada segera menusuk ke hidung Fiza. Dia menelan liur, “Aduyai... sedapnya Diva. Kau nikan, kalau bab memasak memang nombor satu.”

“Hai... tak rasa lagi, dah tahu sedap. Ni memang betul-betul lapar ni,” usik Diva. Namun usikannya terhenti saat terdengarkan bunyi loceng. Petanda ada insan yang sedang melangkah masuk ke dalam butiknya.

“Dah sudah. Siapa pulak yang datang time-time macam ni. Potong stim betullah,” omel Fiza sambil bangkit untuk menghampiri pintu butik.

“Ha... balik pun Kak Burkiah, ingatkan tak jumpa jalan ke butik ni tadi,” sindir Fiza saat dilihatnya rakan sekerjanya itu melangkah masuk ke dalam butik.

“Perli nampak. Akak bukannya sengaja masuk lambat. Akak ada hal sikit tadi.” Selamba sahaja riak wajah Kak Burkiah.

‘Tak ada rasa bersalah langsung minah ni!’ Marah hati Fiza.

“Takkanlah hari-hari ada hal kot. Kak... kita ni kalau bekerja dengan orang, buat-buatlah cara bekerja dengan orang. Janganlah anggap butik ni, kita yang punya.” Kian mendalam makna sindiran Fiza.

“Hei... kau ni dah kenapa ha Fiza? Hari-hari kau nak perli akukan. Cik Diva pun tak ada kepoh macam kau. Kau pulak yang lebih-lebih. Kau tu pun macam aku jugak. Kuli!” Tajam kata-kata Kak Burkiah.

Diva yang melihatkan pergaduhan itu lantas bangkit dari sofa dan mendapatkan kedua-dua orang pekerjanya. Terkejut Kak Burkiah saat terlihatkan majikannya berdiri betul-betul di hadapannya. Disangkanya yang majikannya itu tiada di butik.

“Eh... Cik Diva dah masuk dah.” Gelabah Kak Burkiah.

“Kenapa? Akak ingat yang Cik Diva ni macam akak. Suka-suka hati je nak rehat lama-lama. Suka-suka MC...”

“Fiza! Cukup.” Sedikit tegas suara Diva menegur Fiza.

Fiza menghentikan sindirannya. Namun pandangannya masih tajam memanah seraut wajah yang sudah sedikit memucat di hadapannya itu. Andailah dia yang menjadi bos besar di butik ini, memang sudah lama ditamatkannya perkhidmatan wanita itu.

Diva mengalihkan pandangannya ke wajah Kak Burkiah. Wajahnya serius, “Akak... kenapa sejak dari mula-mula akak bekerja sampailah sekarang, akak langsung tak nak berubah? Bukan sekali tapi dah berkali-kali saya bagi amaran dekat akak supaya jaga disiplin akak. Tapi nampaknya... akak langsung tak endahkan amaran saya. Sekarang ni saya rasa dah tiba masanya saya putuskan sesuatu.”

Diva kian menepatkan pandangannya ke sepasang mata milik Kak Burkiah. Terlihat kesayuan memenuhi pandangan wanita itu.

“Akak dah boleh start cari kerja lain.” Tegas suara Diva.

Terkejut Fiza mendengarkan keputusan yang telah diputuskan oleh Diva. Setahun sahabatnya itu bersabar dengan sikap buruk Kak Burkiah. Mungkinkah kesabaran sahabatnya itu sudah menghilang?

“Cik Diva... janganlah buang akak bekerja. Cik Diva kan tahu yang akak ni ibu tunggal. Akak ada tiga orang anak yang perlu diberi makan. Bekas laki akak langsung tak endahkan anak-anak dia. Cik Diva... tolonglah... tolonglah kesiankan akak. Kalau pun Cik Diva tak kesaiankan akak, kesiankanlah anak-anak akak. Kalau akak tak bekerja macam mana akak nak besarkan anak-anak akak. Tolonglah Cik Diva.” Kak Burkiah terus merayu dan mengalirkan air mata.

‘Ni yang aku tak boleh tahan ni. Menangis bagai.’ Lemah Diva melihatkan tangisan beria-ia Kak Burkiah.

“Cik Diva... tolonglah akak. Akak janji yang akak takkan buat lagi. Tolonglah bagi peluang dekat akak,” rayu Kak Burkiah lagi.

Kebisuan Diva memberikan sedikit harapan kepadanya untuk terus memujuk hati majikannya itu. Dia tahu seandainya tiada ‘orang’ yang ‘mencucuk’ wanita berhati lembut itu, pasti perihal disiplinnya tidak akan dibangkitkan. Mengenangkan itu, sempat lagi dia mencaci Fiza di dalam hatinya, ‘Tak guna. Ni mesti si mulut murai ni yang jadi dalangnya!’

“Alah... dulu pun Kak Burkiah pernah berjanji jugak. Tapi mana pernah Kak Burkiah kotakan janji-janji Kak Burkiah tu.” Fiza terus-terusan menjadi batu api.

Terbakar hati Kak Burkiah. Dia menjeling ke arah Fiza. Pantas sahaja Fiza mencebik sebagai petanda yang dia tidak takutkan jelingan tajam itu.

“Fiza... Saya tak nak awak masuk campur dalam hal ni! Kak Burkiah...” panggil Diva selepas amaran sekali lagi diberikan kepada Fiza. Dia harus mengadili perihal ini dengan adil. Hasutan daripada sahabatnya itu tidak boleh diambil kira, tetapi itu tidak bermakna yang dia akan memaafkan Kak Burkiah begitu sahaja.

“Ya, Cik Diva.” Perlahan Kak Burkiah menjawab panggilan majikannya itu.

“Saya nak tanya Kak Burkiah satu perkara,” tutur Diva.

“Apa dia Cik Diva?” Laju Kak Burkiah membalas kata-kata Diva.

Diva mengembalikan pandangannya tepat ke wajah Kak Burkiah, “Betul ke Kak Burkiah masih hendak bekerja di sini?”

Laju Kak Burkiah menganggukkan kepalanya, “Betul! Kak Burkiah masih hendak bekerja di sini. Kak Burkiah tak boleh kehilangan kerja ni. Tolonglah Cik Diva.”

“Baiklah. Kalau macam tu, saya akan terima Kak Burkiah untuk terus bekerja di sini. Tapi... saya akan memotong transport allowance Kak Burkiah selagi Kak Burkiah tak mendisiplinkan diri.” Keputusan telah ‘diperbetulkan’ semula. Bersyarat Diva memberikan peluang kepada wanita di hadapannya itu.

“Potong transport allowance? Tapi...”

“Nak ke tak nak?” Segera Fiza memotong percakapan Kak Burkiah. Dia harus bertindak sebegitu kerana dia tahu seandainya dia membiarkan rakan sekerjanya itu terus-terusan merayu di hadapan Diva, pasti sahabatnya itu akan akur dengan rayuan wanita itu.

Malas sudah Diva hendak menegur sikap Fiza. Apa yang penting sekarang, masalah pekerjanya yang seorang ini harus diselesaikan segera, “Macam mana? Kak Burkiah setuju dengan syarat yang saya tetapkan?”

Perlahan, Kak Burkiah anggukkan kepalanya. Patah sudah kata-kata rayuan yang hendak dititipkan ke bibirnya.

“Bagus. Kalau macam tu saya akan pantau prestasi kerja Kak Burkiah dalam tempoh sebulan ni. Kalau masih sama, saya terpaksa buang Kak Burkiah. Kak Burkiah jelas, kan?” soal Diva lagi.

Sekali lagi hanya anggukan lemah sahaja yang mampu Kak Burkiah berikan, “Kalau tak ada apa-apa lagi, akak masuk ke dalam dululah. Masih ada kain yang akak nak potong.”

Kali ini Diva pula yang menggunakan bahasa tubuh. Anggukan diberikan dan cepat sahaja Kak Burkiah menghilangkan dirinya ke dalam.

“Bagus! Aku tabik springlah dekat kau. Macam nilah bos aku!” Fiza memeluk bahu Diva. Dia tersenyum lebar.

Diva hanya menggeleng kecil melihatkan sikap sahabat baiknya itu. Dia tahu yang sedari dulu lagi, Fiza tidak pernah sukakan Kak Burkiah. Sikap malas Kak Burkiah itulah punca utamanya.

“Jom kita makan,” tutur Fiza lagi saat dilihatnya sahabatnya itu tidak ‘termakan’ dengan kata-kata pujiannya sebentar tadi.

Diva hanya mengikuti langkah Fiza untuk menghampiri sofa. Namun belum pun sempat dia melabuhkan punggung, telefon berdering. Dia menghampiri kaunter pembayaran untuk menjawab panggilan tersebut, “Selamat petang. Diva Izara Butik, boleh saya bantu.”

“Assalamualaikum... Diva ke?” Salam dihulur bersama soalan ditanyai oleh insan di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ya, saya. Siapa ni?” Soalan berbalas dengan soalan.

“Ni, Datin Salmah.” Insan di hujung talian memperkenalkan diri.

“Ooo... Datin. Ada apa ya Datin?” Diva sudah tersenyum saat diketahuinya pelanggan tetap butiknya yang sedang berurusan dengannya.

“Macam ni... Emm... Aunty nak mintak tolong sesiapa hantarkan jubah-jubah aunty yang dah siap tu ke rumah boleh tak? Bukannya apa, aunty tak sempatlah nak datang ke butik hari ni. Tak ada sesiapa yang boleh ambilkan,” terang Datin Salmah.

Tanpa berfikir panjang, Diva terus memberikan keputusan, “Boleh. Nanti sekejap lagi saya sendiri yang akan keluar untuk hantarkan jubah-jubah Datin tu. Boleh Datin berikan alamat Datin?”

Datin Salmah terus memberikan alamat tempat tinggalnya kepada Diva. Selepas panggilan ditamatkan, Diva pantas mendapatkan tas tangannya sebelum mencapai lima helai jubah moden.

“Kau tak nak makan dulu ke?” soal Fiza kepada sahabat baiknya yang sedang tergopoh-gapah.

“Tak sempat. Kau makan jelah dulu,” balas Diva dan melangkah keluar.

Fiza hanya mampu menggelengkan kepala. Dia sudah arif benar dengan fiil insan yang dikenalinya 21 tahun itu. Bagi Diva kerjayanya adalah kebanggaannya. Mengenangkan itu, Fiza pantas mengeluh sambil menyambungi makan tengah harinya.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.