Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
29,271
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

4

DIVA berlari laju. Segera dia memboloskan dirinya ke dalam butik miliknya. Termengah-mengah dirinya tika ini. Cuba diaturkan nafasnya sebaik yang mungkin agar mengah dapat diusir.

Fiza yang melihatkan keadaan Diva pantas mendapatkan sahabat baiknya yang sudahpun melabuhkan punggungnya di atas sofa, “Diva... kau okey ke?”

Diva tidak terus menjawab. Dadanya masih berombak akibat kepenatan.

“Diva, kau ni dah kenapa? Kena kejar dengan hantu ke?” Fiza tidak mempedulikan mengah yang terkesan di wajah Diva. Dia harus mendapatkan jawapan segera. Mengapa sebegitu sekali tingkah laku sahabat baiknya itu.

“Ini... bukan setakat kena kejar dengan hantu dah... ni dah kes naya dah ni.” Terputus-putus suara Diva.

“Naya? Siapa yang naya kau?” Laju Fiza menyoal.

Diva terdiam. Dia menoleh ke arah Fiza. Riak serba salah segera terukir di wajahnya.

“Nanti dulu... muka kau ni, macam muka orang buat salah je. Takkan... kau yang aniaya orang!” telah Fiza.

Diva anggukkan kepalanya perlahan, “Tapi... aku tak sengaja nak naya mamat ‘mental’ tu. Mamat tu yang cari pasal dulu dengan aku!”

“Siapa?” Sepatah soalan Fiza.

Diva kerutkan dahinya, “Siapa apa?”

“Lah... kau ni! Siapa mamat ‘mental’ yang kau cakap tu? Siapa dia?” Fiza kian menepatkan pandangannya ke wajah Diva.

Diva jungkitkan bahunya, “Entah. Aku tak tahu siapa nama dia.”

“Habis tu kalau kau tak kenal mamat tu macam mana kes naya menganiaya ni boleh berlaku? Diva... cuba kau cerita betul-betul dekat aku apa sebenarnya yang telah berlaku?” Fiza memegang lembaut bahu Diva.

Diva mengeluh. Berat keluhannya, “Sebenarnya... masa dekat rumah Datin Salmah... Datin ajak aku makan tengah hari dengan dia. So, aku ‘hentamlah’ ayam masak lemak cili api yang pembantu rumah Datin sediakan. Bila dalam perjalanan pulang, mulalah perut aku ni meragam. Aku pun singgahlah stesen minyak. Masa aku nak guna tandas dekat stesen minyak tulah aku ‘berkenalan’ dengan mamat ‘mental’ tu.”

Fiza tidak menyampuk apa. Dia tahu yang sahabatnya itu masih hendak menyambung penceritaannya.

“Kau tahu tak yang mamat tu memang kurang ajar! Boleh pulak dia nak gunakan tandas perempuan. Dahlah waktu tu aku memang dah tak tahan. Rasa macam nak melepaskan ‘hajat’ time tu jugak. Bila aku sound dia, dia membentak. Katanya tandas lelaki dah rosak. So... tak salah kalau dia nak gunakan tandas tu. Aku pun apa lagi, naiklah ‘sheikhlah’! Dan panda waktu tulah aku... aku... aku...”

“Aku apa?!” sergah Fiza. Geram pula dirinya dengan kegagapan Diva itu.

“Aku tuduh dia nak cabul aku!” Lancar kata-kata itu meluncur di bibir Diva akibat terkejut dengan sergahan Fiza.

“Apa?! Diva... betul ke yang kau fitnah mamat tu sampai macam tu sekali?” Membulat mata Fiza. Tidak disangkanya yang sahabatnya itu mampu melahirkan fitnah sebegitu.

Diva tertunduk. Dia mengatip bibir bawahnya. Penyesalan jelas terukir di wajahnya, “Aku tak sengaja. Aku... aku... tak ada niat nak naya mamat ‘mental’ tu.”

“Habis tu apa yang terjadi pada mamat tu?” Seketika soalan itu yang terlahir di bibir Fiza.

“Lepas aku fitnah mamat tu... dia ditangkap oleh pekerja-pekerja stesen minyak.” Kembali perlahan suara Diva.

“Maksudnya kes kau ni dah melibatkan pihak berkuasalah?” Fiza mendongakkan wajah Diva.

“Tak! Maksud aku lepas je aku keluar dari tandas tu, aku terus drive balik ke butik. Aku tak ada bagi apa-apa keterangan pada pekerja-pekerja stesen minyak tu. So... aku yakin yang mamat tu akan dilepaskankan tanpa apa-apa dakwaan.” Yakin Diva.

“Kau yakin yang mamat ‘tak bernama’ tu akan selamat?” Keraguan disuakan oleh Fiza.

Keyakinan yang tadinya menggunung kini menjadi rata akibat kata-kata Fiza itu, “Kau ni Fiza... janganlah takutkan aku. Insya-ALLAH mamat tu takkan apa-apalah.”

Fiza menghembuskan nafasnya panjang, “Harap-harap macam tulah.”

Diva membisukan mulutnya sekali lagi. Cuba menyuntik kembali keyakinan di hatinya.

“Mamat tu handsome tak?” Tiba-tiba Fiza bertanyakan soalan itu. Matanya tepat memandang sepasang mata milik Diva.

Diva melarikan sedikit pandangan matanya. Semerta imbauan mengenai seraut wajah berkemeja hitam itu terlayar di ruang matanya.

“Diva! Aku tanya ni mamat tu handsome tak?” soal Fiza sekali lagi.

“Tak! Tak handsome langsung. Handsome lagi muka bapak aku!” Habis sahaja menuturkan kata-kata itu, dada Diva terasa sempit. Nafasnya terasa sesak. Dia menekan-nekan dadanya. Bunyi ‘wheezing’ turut kedengaran dari ruang kerongkongnya. Semput telah hadir ‘menghukumi’ penipuannya!

“Kak Burkiah! Cik Diva semput! Cepat ambil inhaler dia!!!” terjerit Fiza memanggil Kak Burkiah yang sedang menjahit di bilik belakang butik itu.

Berlari Kak Burkiah mendapatkan bosnya yang sedang semput. Tercungap-cungap Diva saat dia menyedut gas yang keluar dari inhaler berwarna biru muda itu.

“Cik Diva okey ke?” soal Kak Burkiah. Kerisauan jelas terukir di raung matanya.

Diva anggukkan kepalanya.

“Cik Diva nak air ke?” soal Kak Burkiah lagi.

Diva gelengkan pula kepalanya. Saat dan tika ini hanya bahasa tubuh yang boleh digunakannya.

“Betul ke kau okey ni?” Kali ini Fiza pula yang menyoal.

“Be... betul aku okey. Kau janganlah risau. Terima kasih Kak Burkiah. Tapi saya betul-betul dah okey sekarang. Akak pergilah sambung menjahit ya.” Agak lambat Diva bersuara.

Kak Burkiah anggukkan kepalanya sebelum berlalu.

Melihatkan bayangan Kak Burkiah sudah menghilang, Fiza tersenyum sinis. Dia memandang tepat ke wajah insan di sisinya itu.

“Dah kenapa kau pandang aku macam tu?” Diva melarikan pandangannya. Dia tahu yang sahabatnya itu hendak ‘mengenakannya’.

“Tipu lagi. Ha... kan dah semput!” Pantas tawa tercetus di bibir Fiza. Merah wajahnya menahan bahak.

“Ketawalah! Ketawalah puas-puas. Malaslah aku nak layan kau!” Diva sudah bangkit. Berura-ura untuk berlalu.

Melihatkan tingkah Diva, cepat sahaja Fiza menarik tangan sahabatnya itu. Terduduk kembali Diva.

“Mesti mamat tu handsome kan... tapi... aku peliklah...” Fiza kembali ‘memaut’ wajah Diva.

Berkerut dahi Diva. Dia membalas pandangan sahabatnya itu, “Apa yang kau pelikkan?”

“Kalau kau tipu, kau semput. Tapi kenapa masa kau tipu mengenai kes cabul tu kau tak semput?” Tanda tanya memenuhi ruang wajah Fiza tika ini.

Diva terpempan. Baru dia terperasankan suatu keanehan. Kenapa sewaktu dia berhadapan dengan mamat ‘mental’ tu dan penipuan disuakan, semput tidak ‘menghukumi’ dirinya?

‘Kenapa aku tak semput bila aku berhadapan dengan mamat ‘mental’ tu?’ Semerta hadir persoalan di jiwa Diva. Persoalan yang tidak mungkin dapat dirungkaikan dalam jangka masa seketika.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.