Home Novel Komedi/Romantik Komedi Miss Diva Semput
Miss Diva Semput
Eija Khadeeja
3/1/2015 15:55:51
29,272
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
PROLOG

PROLOG

-Tahun 1993-

TERCUNGAP-CUNGAP Fiza berlari mendapatkan Mak Timah yang sedang menyapu di halaman rumahnya.

“Mak Timah! Mak Timah! Tolong Diva, Mak Timah!” Fiza menjerit untuk mendapatkan perhatian Mak Timah.

Terhenti kelincahan tangan Mak Timah. Kepalanya dipusingkan dan matanya tepat memandang kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

“Kenapa dengan Diva?” soal Mak Timah saat Fiza berdiri betul-betul di hadapannya. Risau pantas menguasai emosinya.

“Diva… Dia… Dia…” Fiza tidak mampu melanjutkan kata-kata. Mengahlah penyebabnya.

“Diva apa? Kenapa dengan anak mak cik tu?” desak Mak Timah.

“Diva… Diva semput!” Akhirnya keadaan sahabat baiknya itu dapat dikhabarkan kepada wanita berusia di hadapannya itu.

“Diva semput? Diva dekat mana sekarang?” Laju Mak Timah menyoal.

“Dekat padang,” jawab Fiza.

Mendengarkan itu, berlari Mak Timah ke padang berumput hijau yang berkedudukan tidak jauh daripada rumahnya. Fiza turut sama mengekorinya.

“Ya ALLAH… anak aku.” Mak Timah terus memeluk Diva yang sedang tercungap-cungap nafasnya. Semput masih lagi bermaharajalela.

Mak Timah segera mengeluarkan inhaler dari kocek baju kurung kedahnya dan muncung alat bantuan pernafasan itu dimasukkan ke dalam mulut anak tunggalnya itu.

“Sedut gas yang keluar tu,” arah Mak Timah kepada Diva.

Diva mengikuti arahan emaknya. Gas yang terasa pahit itu terpaksa disedut dalam sehingga melepasi kerongkongnya.

“Ada rasa lega sikit?” soal Mak Timah kepada insan di dalam pelukannya.

Diva anggukkan kepalanya lemah. Perlahan, Mak Timah menegakkan posisi tubuh Diva.

“Diva tahukan kenapa Diva semput?” Lembut Mak Timah menyoal insan yang duduk di hadapannya itu.

Diva anggukkan kepalanya sekali lagi.

“Kenapa Diva semput?” Mak Timah mahukan jawapan mulut daripada Diva.

Diva tundukkan sedikit wajahnya. Rasa takut dan malu menyelinap masuk, “Diva… Diva tipu… Diva tipu, Diva semput.”

Mak Timah tersenyum kecil. Bukannya bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Diva. Tetapi dia bersyukur kerana anaknya tetap sahaja ingin mengakui kesilapan diri. Apa yang lebih penting dia yakin insan yang sedang tertunduk itu mempunyai kesulitannya yang tersendiri sehingga memaksa dirinya untuk melakukan penipuan itu.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.