Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
208,024
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

7

NAZIRA menghampiri Juliana yang sedang leka menghadap skrin komputer di hadapannya. Dia memaniskan wajahnya.

“Dah masuk waktu lunch dah. Apa lagi yang awak sibukkan tu?” soal Nazira.

“Eh! Nazira... tak ada apa-apa pun. Cuma En. Asyraf ada bagi saya kerja sikit. Dia nak saya siapkan kerja ni sebelum habis waktu pejabat.” Juliana turut mengukirkan senyuman.

“Lah... hari pertama mula bekerja dah kena buli dah dengan buah hati,” senyuman Nazira kian meleret.

Juliana tidak membalas apa. Namun senyumannya masih dimekarkan. Tidak mahu rakan sekerjanya itu terasa hati.

“Juliana... berhentilah dulu buat kerja tu. Jomlah kita keluar lunch dulu. Nanti lepas makan barulah awak bertenaga nak siapkan kerja tu,” cadang Nazira.

“Emm... saya... saya...” Juliana cuba memberikan alasan. Bukan dia tidak mahu keluar bersama dengan wanita berkurung tanpa bertudung di sisinya itu. Tetapi dia sedar akan keadaan ekonominya. Bagaimana sekiranya rakan sekerjanya itu hendak menikmati makan tengah hari di restoran mewah? Mampukah dirinya?

“Alah... jomlah. Lepas makan awak sambunglah balik kerja awak tu.” Nazira semakin mendesak.

“Ehem...” Terdengar dehem. Juliana dan Nazira serentak menoleh ke belakang.

“En. Asyraf. Saya ingatkan siapa tadi,” tutur Nazira.

“Sayalah. Siapa lagi. Sayang... jom kita keluar lunch.” Asyraf menghampiri Juliana.

Dia mengenyitkan mata dan sengaja dia menggunakan perkataan ‘sayang’ saat dilihatnya Mira menghampiri mereka. Dia tahu gadis kepohci itu akan menyampaikan apa sahaja kepada Melisa. Maka kemesraan yang tampak asli perlu dipertontonkan kepada penyambut tetamu syarikatnya itu.

“Takkan keluar berdua je dengan buah hati. Ajaklah kami sekali,” tutur Mira.

“Ops... hari ni tak boleh. Hari ni saya nak lunch berdua je dengan bakal isteri saya ni. Cepatlah sayang... abang dah lapar sangat dah ni.” Kian romantik suara Asyraf.

Juliana tidak keruan. Apakah yang harus dilakukannya? Dan mengapa sedrastik itu perubahan Asyraf? Sayang? Mengapa Asyraf memanggilnya sayang? Dan mengapa pula dia membahasakan dirinya sebagai abang?

“Cepatlah... ambil handbag tu.” Asyraf semakin mendesak.

“Ha... o... okey. Kejap ya.” Juliana mencapai handbagnya sebelum bangkit dari kerusinya.

“Nazira, lain kali ya kita keluar lunch bersama.” Lembut Juliana berbahasa.

“Tak apa. Saya faham.” Nazira mengukirkan senyuman dan Juliana membalasnya.

Juliana pantas mengikuti langkah kekasih olok-oloknya. Mereka beriringan melangkah keluar dari Syarikat SCA Sdn. Bhd.

“Mengada-ngada!” cemuh Mira saat dilihatnya pasangan ‘terlebih’ mesra itu sudah hilang dari pandangan matanya.

“Siapa yang mengada-ngada?” soal Nazira tidak mengerti.

“Siapa lagi! Betina gatal tulah!” bentak Mira.

Nazira mengerutkan dahinya. Masih tidak memahami maksud rakan sekerjanya itu.

“Kau ni lembaplah! Tu... makwe bos kita tu, Juliana!” terjongket-jongket bibir Mira saat menambahkan saham dosanya.

Nazira menggeleng-gelengkan kepalanya, “Kau tu yang cemburu.”

Hello! tak ada maknanya aku nak cemburu dengan minah yang berlagak bagus tu. Aku ni cuma kesiankan idola aku tu je. Tak pasal-pasal bos kita tu tinggalkan Cik Melisa semata-mata kerana minah yang entah dari mana munculnya tu!” Mira masih melahirkan ketidaksenangannya terhadap Juliana.

“Kau ni... kalau kau tak tahu apa-apa lebih baik kau diam. Kalau En. Mustafa dengar makian kau ni macam mana? Fikir sikit. Kau tu cuma penyambut tetamu! Bukannya agen untuk menjodohkan orang! Lagi satu... betul ke yang bos kita tu pernah menjalinkan hubungan dengan model gedik kau tu? Setahu akulah... idola kau tu je yang bertepuk sebelah tangan,” sinis kata-kata Nazira sebelum dia melangkah meninggalkan rakan sekerjanya itu.

“Tak guna!” geram Mira dengan kata-kata sindiriran insan yang sudah melangkah jauh ke hadapan.

“Tak pe... sekarang ni kau hina aku. Tapi... bila aku dah berjaya menjadi model dan terkenal! Masa tulah baru kau tahu langit ni tinggi ke rendah!” Nekad di bibir bersatu dengan perbuatan. Mira mengambil handphonenya dan satu nombor didail. Tidak perlu menunggu lama, talian terus bersambut. Mira tersenyum dan aturan kata-kata yang membentuk laporan terus disampaikan kepada insan di hujung talian. Puas hatinya dapat menjadi wartawan bergerak kepada insan yang amat disanjunginya.

RESTORAN MARI RASA menjadi pilihan Asyraf. Nasi campur bersama teh tarik menjadi menu makan tengah harinya, begitu juga dengan Juliana.

“Sikitnya lauk yang awak ambil. Ambillah lebih sikit. Awak jangan risau... hari ni saya belanja awak,” tutur Asyraf.

Tethenti kunyahan makanan di mulut Juliana. Sesal hadir bertandang di hatinya, ‘Apa sallah kau tak cakap awal-awal yang kau nak belanja aku! Kalau aku tahu... penuh pinggan ni aku isi dengan lauk-pauk!’

“Juliana... awak dengar tak saya cakap ni? Pergilah ambil lagi lauk tu. Sikit sangat tu,” arah Asyraf kemudiannya.

“Emm... tak apalah Asyraf. Saya memang tak makan banyak pun.” Mulut memberikan alasan dan hati menghadirkan cemuhan, ‘Yalah tu tak makan banyak. Pada hal duit tak dak.’

“Tak payahlah awak nak kontrol makan. Awak tu bukannya gemuk pun. Kalau awak malu nak pergi ambil lauk, biar saya tolong ambilkan lauk untuk awak ya.” Lembut, Asyraf bersuara.

“Eh, tak payah! Betul. Dah cukup dah lauk ni. Ni pun dah kira banyak sangat dah ni,” larang Juliana.

“Betul ni?” soal Asyraf untuk mendapatkan kepastian buat kali terakhir.

Laju Juliana menganggukkan kepalanya. Selepas itu tiada lagi perbualan yang berlangsung sehinggalah makanan di dalam pinggan mereka habis dimakan.

“Juliana...” Asyraf memanggil insan di hadapannya yang sedang mengelamun entah ke mana.

Juliana tersentak dan segera dihapuskan lamunannya. Dia cuba mengukirkan senyuman untuk menyembunyikan emosi diri.

“Awak termenungkan apa tu? Ingatkan pakwe ke?” seloroh Asyraf.

“Eh... tak adalah. Saya tak ada pakwe,” jujur Juliana.

“Habis tu? Awak teringatkan siapa tadi?” Laju, Asyraf menyoal kembali.

Juliana menundukkan wajahnya, ‘Perlukah aku meluahkan kerinduanku terhadap papa yang entah apa khabarnya di sana? Ya… Sungguh! Aku merindui papaku!’

“Maaflah. Kalau saya ni menyibuk,” tutur Asyraf tiba-tiba setelah kebisuan mengunci bicara kekasih olok-oloknya itu.

Juliana mengangkat semula wajahnya dan pandangannya bersatu dengan insan di hadapannya, “Tak adalah. Saya cuma rindukan papa saya je. Entahlah... tiba-tiba saya teringatkan papa saya di kampung,” sayu intonasi Juliana saat kerinduannya terhadap ayah kandungnya diluahkan.

“Ooo... saya ingatkan apa tadi. Kalau awak nak ambil cuti dan balik ke kampung pada petang ni, saya boleh izinkan. Sekurang-kurangnya terlepas juga rindu awak pada papa awak tu.” Asyraf bersuara semula.

‘Balik ke pangkuan papaku? Tak! Tak mungkin aku melakukan itu setelah apa yang papa lakukan terhadapku!”

“Tak apalah. Nanti ada masa saya calllah papa saya,” tipu Juliana sedangkan dia sendiri telah menukar nombor telefonnya semata-mata kerana dia hendak memutuskan terus perhubungan dangan papanya itu buat sementara waktu. Sekurang-kurangnya sehingga hatinya terubat sedikit dengan khilaf yang telah dilakukan oleh ayah kandungnya itu.

“Kalau macam tu, tak apalah. Tapi kalau awak nak balik kampung dan bertemu dengan papa awak. Awak just beritahu saya ya.” Asyraf mengukirkan senyuman.

Juliana menganggukkan kepalanya dan senyuman hambar diukirkan, “Terima kasih ya, Asyraf.”

“Sama-sama. Emm... Juliana... sebenarnya ada satu perkara lagi yang saya nak bincangkan dengan awak,” senyuman Asyraf termati.

“Tentang apa tu?” soal Juliana.

Asyraf tidak terus menjawab. Keluahan terpacul di bibirnya.

“Asyraf... awak dah banyak tolong saya. Kalau ada apa-apa yang awak nak minta tolong daripada saya, just beritahu je. Kalau saya boleh tolong. Saya akan tolong.” Lembut suara Juliana.

Pandangan penuh bermakna ‘dilahiriahkan’ oleh sepasang mata milik Asyraf, “Tolong... tolong sentiasa berada di sisi saya.”

Juliana cuba mentafsir akan erti pandangan itu. Tetapi dia gagal, “Apa maksud awak?”

“Juliana... mulai saat ini ke mana pun awak hendak pergi... saya mahu menemani awak.” Tidak lancar permintaan Asyraf.

“Tapi kenapa?” Laju Juliana menyoal. Mustahil lelaki di hadapannya itu betul-betul sudah jatuh cinta dengannya! Mana mungkin pertemuan yang tanpa disengajakan semalam boleh menjemput rasa cinta di hati lelaki itu terhadapnya.

“Ini semua demi kepentingan awak. Saya tak nak Melisa mengapa-apakan awak,” jawab Asyraf, perlahan.

“Perempuan tu lagi? Saya ingat masalah model yang tergila-gilakan awak tu akan settle bila saya bersetuju untuk menjadi kekasih olok-olok awak.” Juliana mengeluh. Terasa kebebasannya hilang.

“Tak semudah tu. Perempuan tu licik. Dia akan gunakan apa sahaja cara untuk memenuhi hasrat hatinya dan... apa yang paling saya takuti adalah... dia akan mencederakan awak atau mungkin dia akan mengupah orang untuk mengugut awak.” Kerisauan jelas terukir di atas figura Asyraf.

Juliana terdiam. Segala kata-kata Asyraf itu benar belaka dan seandainya senekad itu Melisa, apakah yang harus dilakukannya? Haruskah dia mengikuti sahaja cadangan lelaki di hadapannya itu? Tetapi seandainya cadangan itu dipersetujui tidakkah kebebasannya akan lenyap sekelip mata?

‘Ah! Bukankah kebebasan kau sudah lenyap di saat papa kau memutuskan ‘perkara’ itu buat diri kau?’ desis hati Juliana.

“Macam mana Juliana?” soal Asyraf saat dilihatnya wanita di hadapannya itu masih terdiam membisu.

Lambat, barulah Juliana menganggukkan kepalanya lemah dan semerta syukur datang menjamah di hati Asyraf , ‘Alhamdulillah...”


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.