Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,127
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 28

28

MASAKAN kampung yang terhidang di atas meja itu benar-benar menaikkan selera Baizura.

“Wau... banyaknya lauk. Keli bakar, sotong masak lemak cilik padi, udang masak sambal petai pun ada. Siap ada kuah asam lagi. Alamatnya gemuklah Baizura bila balik KL nanti.” Baizura terus mengambil tempat di meja makan.

“Apa tunggu lagi mak? Jomlah makan.” Baizura benar-benar sudah terliur.

“Tunggulah adik kamu sekejap.” Rasidah turut mengambil tempat di sisi anak sulungnya itu.

“Elena pergi mana mak?” Baizura memandang emaknya.

“Dia pergi hantar makanan pada Mak Muliana kamu.” Rasidah memaklumkan.

“Lah... kenapa tak ajak Mak Muliana makan sekali dengan kita?” Hairan Baizura.

“Dia tak nak.” Laju, Rasidah menjawab.

“Kenapa pula?” Laju juga Baizura menyoal kembali.

Rasidah tidak terus menjawab persoalan anaknya itu. Keluhan tanpa sempat ditahan terhambur keluar, “Hati orang tua ni... susah kita nak pujuk.”

“Maksud mak?” Baizura kian menepatkan pandangannya ke wajah mak kandungnya itu.

“Kamu ingat Mak Muliana kamu tu bodoh ke bila kamu cakap yang si Mel tu terlalu sibuk sampai tak dapat nak balik sekejap pun jenguk dia? Baizura... kamu tahu tak yang selama ni Mak Muliana kamu tu asyik makan hati je dengan perangai anak tunggal dia tu. Dahlah tak balik, bila Mak Muliana callpun... langsung dia tak nak angkat! Bongkak sangat. Baru jadi model dah lupa daratan!” Meninggi sedikit suara Rasidah.

Baizura diam. Dia tahu yang mak kandungnya itu sedang menahan baran.

“Mak betul-betul tak sangka sejauh itu Mel boleh berubah. Dulu... dia budak yang baik. Susah nak dengar dia membentak, melawan cakap mak dia. Tapi tulah baru sedikit kekayaan yang ALLAH berikan, terus dia lupa diri. Lupa asal usul,” sesal Rasidah dengan sikap anak kawan baiknya itu.

“Sabarlah mak... Insya-ALLAH... satu hari nanti Mel akan sedar tentang kesilapan yang telah dia lakukan ni.” Perlahan, Baizura bersuara.

“Mak takut bila dia dah sedar nanti segalanya telah terlambat. Kamu tengoklah keadaan Mak Muliana kamu tu... asyik-asyik sakit, asyik-asyik sakit. Entahlah... susah mak nak cakap. Mak cuma berdoa dan berharap semoga Mel tu terbuka pintu hatinya untuk balik menjenguk mak dia tu. Kamu tu pun tolong-tolonglah nasihatkan dia sikit.” Rasidah membalas pandangan anak sulungnya itu.

“Dah berbuih dah mak, mulut Baizura ni nasihatkan dia. Tapi langsung tak dihiraukannya. Baizura balik yang dimaki hamunnya,” adu Baizura.

Mendengarkan kata-kata anaknya itu, sekali lagi keluhan terpacul keluar dari bibir tua Rasidah.

“Assalamualaikum.” Terdengar salam diberikan dari arah luar rumah.

“Waalaikumussalam... ha, tu... adik kamu dah balik tu. Bolehlah kita makan sama-sama,” tutur Rasidah.

Beberapa saat kemudian terpacul wajah Elina di ruang dapur itu. Dia menatang sepinggan nasi yang masih banyak lagi baki hidangannya.

“Sikitnya Mak Muliana makan. Kamu tak suapkan Mak Muliana makan ke, Elina?” soal Rasidah kepada anak bongsunya itu.

“Dah. Elina dah suapkan. Tapi Mak Muliana kata yang dia tak ada selera. Itu pun Elina yang paksa Mak Muliana makan. Kalau tak, langsung dia tak nak jamah makanan tu.” Elina mengambil tempat berhadapan dengan mak dan kakak kandungnya.

“Ya ALLAH... macam mana lagi mak nak buat ni? Dahlah semalam pun dia makan sikit je. Macam manalah, nak baik,” risau hati tua Rasidah.

“Alah mak... Mak Muliana tu bukannya apa. Dia rindu sangat dengan Kak Mel tu. Mak Muliana asyik sebut-sebut nama Kak Mel je. Kesian betullah adik tengok Mak Muliana tu,” adu Elina.

“Dah nasib dia dapat anak yang tak kenang budi tu, nak buat macam mana... Ha, kamu ada bagi Mak Muliana makan ubat tak?” soal Rasidah di hujung bicaranya.

Elina menganggukkan kepalanya sambil menyenduk nasi ke pinggannya, “Mak kita makan dululah mak. Elina dah lapar sangat dah ni. Akak pun mesti belum makan lagikan?”

“Mana ada akak makan. Akak driveterus dari KL ke sini. Langsung tak singgah mana-mana kedai makan. Saja nak simpan ‘kelaparan’ ni untuk menjamah lauk pauk yang dimasak istimewa oleh chef terkenal kita ni.” Baizura cuba mengusir jauh kesedihan yang merantai suasana. Namun ternyata usahanya itu sia-sia.

“Mak kenapa ni? Kenapa mak menangis pula ni?” risau Baizura dengan tingkah insan di sisi.

“Mak bukan apa... mak kesiankan Mak Muliana. Dahlah tinggal seorang diri dekat rumah tu. Kalau apa-apa terjadi dekat dia, macam mana?” Air mata kian membasahi wajah Rasidah.

“Baiklah, kalau macam tu apa kata kita ajak je Mak Muliana tinggal dengan kita. Lagipun rumah ni bukannya ada orang lelaki pun,” pujuk Baizura.

“Mak dah ajak dah. Tapi Mak Muliana tu degil. Dia kata dia tak nak susahkan mak. Baizura... cubalah kamu callsi Mel tu, suruhlah dia balik. Kesian dekat Mak Muliana kamu tu....” Rasidah menyeka air matanya.

“Bukannya Baizura tak nak call... tapi Baizura yakin yang dia takkan jawab panggilan Baizura,” tutur Baizura.

“Cubalah. Cubalah kamu call dia. Sekalipun jadilah. Kalau dia tak nak angkat juga, kamu SMSlah dia. Suruhlah dia jenguk mak dia yang tengah sakit tu. Sekejap pun jadilah.” Berharap benar Rasidah kali ini.

Biarpun merasakan yang tindakannya menghubungi Melisa hanyalah sia-sia, namun Baizura mengikuti jua kemahuan mak kandungnya itu. Handphone yang diletakkan di dalam kocek seluar, diambil. Nombor sahabat baik merangkap majikannya itu didail. Deringan bertalu-talu kedengaran, tetapi insan yang cuba dihubungi itu masih enggan menjawab panggilannya. Baizura mencuba sekali lagi. Tetapi kehampaan yang menyapa.

“Dahlah tu... kalau dia tak nak jawab. Kamu SMS jelah dia. Suruh dia balik, jenguk mak dia yang tengah sakit tu,” sayu benar nada suara Rasidah tika ini. Kehampaan di jiwalah puncanya.

Baizura mengikuti sekali lagi arahan maknya. Satu SMS dihantar buat sahabat yang sudah bergelar anak derhaka itu. Tetapi persoalannya mahukah hati yang sudah gelap dek kerana noda dan dosa itu boleh ‘terpanggil’ untuk pulang melawat si ibu yang sedang menderita kesakitan?

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.