Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,144
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

2

OLD TOWN WHITE COFFEE menjadi pilihan Asyraf. Secawan white coffee menjadi dambaan tekaknya. Juliana turut membuat pesanan yang sama.

“Terima kasih,” ucap Asyraf kepada pelayan yang berbangsa asing itu.

Juliana turut menuturkan ucapan yang sama saat secawan white coffee dihidangkan kepadanya.

“Terima kasih kerana selamatkan saya tadi.” Lembut Asyraf memulakan perbualan setelah pelayan tersebut berlalu pergi.

Juliana hanya menganggukkan kepalanya. Dia meneguk sedikit minuman di hadapannya.

“Saya tahu yang saya bersalah kerana melibatkan awak dalam permasalahan peribadi saya. Saya... saya tak sangka yang Mel akan terus mengganggu saya sampai ke tempat awam macam ni,” tutur Asyraf lagi.

Bisu masih mengunci mulut Juliana. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu untuk mencelah bagaimana.

“Juliana... awak masih marahkan saya lagi ke?” soal Asyraf cuba untuk memecahkan kebisuan insan di hadapannya.

“Emm... saya... saya memang masih terasa dengan penipuan yang awak lakonkan tadi. Tapi... saya faham akan situasi awak. Lagipun, kan awak dah bantu saya. Kalau awak tak ada tadi, ‘masak’ juga saya dibuatnya. Manalah saya nak cekau duit sebanyak tu untuk membayar ganti rugi pada tauke yang tak berhati perut tu!” terukir riak kemarahan di wajah Juliana saat mindanya mengimbau kembali peristiwa malang yang telah menimpa dirinya di kedai kristal itu.

Tertawa kecil Asyraf melihatkan sikap polos dan jujur wanita yang baru ditemuinya itu.

“Kenapa awak gelak? Tak ada apa yang kelakarnya?! Sakit tau hati saya dengan juru jual dan bos dia tu! Boleh pula dia orang berpakat nak kenakan saya. Mentang-mentanglah saya tengah sengkek, tak ada duit... kalau saya ada duit dah lama dah saya campak duit depan muka dia orang. Sakit hati saya!” Berombak dada Juliana meluahkan isi hatinya.

Tawa Asyraf terhenti dan terus diperhatikan wajah putih bersih di hadapannya itu. Wajah itu tidak terlihat keaslian sebagai wanita Melayu. Kacukankah dirinya?

“Memang betullah kata arwah mama saya... kalau ikut kepercayaan orang Cina, nombor empat tu nombor pembawa malang tau. Tapi sebagai orang Islam, kita tak boleh nak mempercayai perkara-perkara khurafat tu, kan?” Juliana membalas pandangan Asyraf.

Asyraf menganggukkan kepalanya. Segaris senyuman terukir sebelum sebuah pertanyaan terlahir, “Arwah mama awak orang Cina ke?”

“Ha’ah. Arwah mama saya orang Cina. Tapi sebelum mama berkahwin dengan papa... mama memang dah lama dah memeluk agama Islam. Arwah atuk dengan nenek sebelah mama turut memeluk agama Islam setelah arwah mama tunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada mereka sebagai seorang pengganut agama Islam.” Terdengar sayu di hujung bicara Juliana. Kerinduannya terhadap arwah mamanya itulah puncanya.

“Patutlah...” Laju perkataan sepatah itu meluncur di bibir Asyraf.

Sepatah kata itu mengundang persoalan di bibir Juliana, “Patutlah apa?”

“Patutlah muka awak tak macam orang Melayu sepenuhnya. Ada nampak macam wajah kacukan. Rupa-rupanya arwah mama awak berbangsa Cina,” jawab Asyraf.

Juliana tersenyum. Bukan berbangga dengan pujian itu, sekadar bersyukur dengan pemberian daripadaNYA.

Sunyi membungkam sebentar suasana. Juliana meneguk sekali-sekala minuman panas itu. Asyraf turut melakukan perkara yang sama. Namun mata lelaki miliknya tidak habis-habis ‘memuji’ kecantikan wajah wanita bertinggi lampai di hadapannya itu.

“Awak biasa ke datang ke Klang Parade ni?” soal Asyraf tiba-tiba.

“Tak. Saya jarang ke sini. Saya ke sini sebab...” Juliana pantas mengetip bibirnya. Wajahnya juga sudah berubah muram. Permasalahan yang sedang digalas masih belum ringan bebanannya.

“Sebab apa?” soal Asyraf lagi.

“Tak... sebenarnya saya datang ke sini sebab saya nak cari kerja.” Perlahan, suara Juliana.

“Cari kerja? Maksud awak, awak baru tiba dari kampunglah ni?” Persoalan masih meniti di bibir Asyraf.

Laju Juliana menganggukkan kepalanya. Suram terus menguasai wajahnya. Simpati pula meluruh di hati Asyraf.

“Awak dah dapat kerja dah?” Lembut Asyraf bertanya.

Juliana menggelengkan kepalanya.

“Tempat tinggal? Awak dah dapat tempat tinggal dah?” soal Asyraf lagi.

Juliana menggelengkan kepalanya lagi. Kali ini lemah benar gelengannya.

“Habis tu... awak nak tidur mana malam ni?” Asyraf kian menetapkan pandangannya di wajah putih bersih milik Juliana.

“Tak tau... entahlah... saya carilah motel-motel yang murah dekat sekitar sini.” Juliana semakin buntu.

“Tak! Jangan... awak tu perempuan. Macam mana kalau sesuatu perkara buruk berlaku pada awak nanti... saya tak rasa itu idea yang baik.” Laju Asyraf membantah.

“Habis tu, apa lagi pilihan yang saya ada?” Juliana memandang tepat insan di hadapannya.

Simpati terus-terusan mengalir di jiwa Asyraf saat dia melihatkan pandangan sayu Juliana itu.

“Emm... macam nilah. Apa kata kalau awak bekerja di syarikat saya?” tawar Asyaf.

Hatinya benar-benar memberontak untuk membantu wanita malang itu. Dia yakin yang Juliana jujur dalam menuturkan permasalahannya. Sebuah beg besar milik Juliana yang diletakkan di lantai itulah buktinya. Dia pasti beg itu disumbatkan dengan pakaian dan pelbagai lagi dokumen penting di dalamnya.

“Syarikat awak? Syarikat apa?” soal Juliana.

Asyraf menyeluk kocek seluarnya dan dompetnya diambil. Asyraf menghulurkan name card miliknya kepada Juliana, “Nah.”

Cepat sahaja Juliana menyambut huluran Asyraf.

“SCA Sdn. Bhd...” Perlahan Juliana menyembut nama syarikat milik lelaki di hadapannya itu.

“Semarak Cinta Abadi Sdn. Bhd... Makna sebenar untuk singkatan SCA Sdn. Bhd.” terang Asyraf tanpa dipinta.

“Wah... macam nama butik pengantin je. Awak ni pak andam ke?” senyuman terukir di bibir Juliana.

Terbayang di mindanya, seandainya lelaki tegap seperti Asyraf itu benar-benar seorang pak andam. Semerta senyumannya kian melebar.

Asyraf bagaikan mengerti apakah yang sedang berlegar-legar di minda Juliana. Pantas penjelasan diberikan, “Awak jangan salah faham. Saya bukan pak andam dan syarikat SCA Sdn. Bhd. langsung tak ada kaitan dengan perkhidmatan andaman.”

“Habis tu?” Juliana terus menoleh ke arah Asyraf.

“Cuba awak baca ayat di bawah nama syarikat saya tu,” arah Asyraf.

Juliana mengikuti arahan itu, “Agen Mencari Jodoh!” Terkejut menguasai jiwa Juliana saat kepastian sudah diperolehi.

“Betul. Syarikat kami merupakan agen mencari jodoh. Tapi awak jangan salah tafsir pula... kami hanya menawarkan perkhidmatan yang legal dari segi undang-undang sahaja.” Serius wajah Asyraf.

Juliana yang pada mulanya hendak memuntahkan tawanya, terus terbantut niatnya. Dia harus menjaga hati lelaki di hadapannya. Apatah lagi lelaki itu merupakan penyelamatnya.

“Macam mana? Awak berminat tak?” Masih serius wajah Asyraf.

“Emm... saya memang berminat. Tapi alamat yang tertera dekat sini... Petaling Jaya. Jauh sangatlah tempat tu,” jujur Juliana.

“Pasal tu, awak tak payah nak risau,” senyuman kembali mengacakkan lagi wajah milik Asyraf.

“Apa maksud awak?” Laju Juliana menyoal.

“Macam ni... kalau awak setuju, saya akan aturkan tempat tinggal buat awak. Saya ada sebuah kondominium sekitar kawasan tu. Kondominium tu pun dah lama kosong. Kalau awak sudi, awak boleh duduk di situ selama awak bekerja dengan syarikat saya,” tawar Asyraf lagi.

Juliana terus menatapi figura milik penyelamatnya itu. Cuba dicari garisan-garisan penipuan. Namun langsung tidak ditemuinya.

“Awak jangan risaulah... saya ni bukannya agen menjual orang.” Bagaikan mengerti perasaan apakah yang bergolak di jiwa Juliana, lantas keyakinan cuba disuakan kepada wanita itu.

“Emm... saya... saya...” Masih tergagap Juliana dalam membuat keputusan.

“Kalau awak tak sudi tak apa. Saya doakan semoga awak dapat mencari tempat berteduh untuk malam ini dan akan ada yang sudi berikan awak pekerjaan.” Asyraf melambaikan tangannya kepada seorang pelayan.

“Berikan saya bil ya,” tutur Asyraf setelah pelayan lelaki itu tiba di mejanya.

“Baik encik,” jawab pelayan itu sebelum berlalu ke kaunter.

Dada Juliana diamuk kegelisahan. Jiwanya tertekan untuk membuat keputusan, ‘Apa yang perlu aku putuskan ni?!’

Pelayan tadi kembali membawa bil. Segera Asyraf melunaskan bayaran. Dia bangkit setelah pelayan itu berlalu pergi.

Melihatkan keadaan itu, Juliana kian ‘dipaksa’ untuk membuat satu keputusan!

“Nanti dulu!” Sedikit terjerit Juliana.

Asyraf menghentikan langkahnya. Dia berpatah semula mendapatkan wanita kacukan itu. Dia duduk semula di tempatnya.

“Dah buat keputusan dah?” soal Asyraf, lembut.

“Dah.” Sepatah jawapan Juliana.

“Apa keputusan awak?” soal Asyraf lagi.

“Saya... saya sudi untuk menerima tawaran-tawaran awak tu.” Perlahan Juliana menuturkan keputusannya.

Senyuman memekar terukir di bibir Asyraf. Entah mengapa kegembiraannya benar-benar nyata membahagiakan jiwanya.

“Tapi... boleh saya tahu... apa jawatan yang bakal saya sandang?” Juliana memandang tepat ke sepasang mata milik Asyraf.

Persoalan itu memang sudah lama dinanti-nantikan Asyraf. Bersama pandangan penuh ‘makna’, bibirnya melahirkan jawapan, “Awak akan bekerja sebagai... setiausaha saya aka... kekasih olok-olok saya!”

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.