Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,159
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6

6

GEMENTAR kian menguasai jiwa Juliana saat ketujuh-tujuh pasang mata di hadapannya itu memanah ke arahnya. Ada pandangan yang ‘menyapa’ dirinya dengan kelembutan. Ada juga mata-mata yang memandang dirinya dengan sejuta persoalan.

“Ehem...” Asyraf berdehem untuk mengalihkan perhatian para pekerjanya dari terus-terusan memandang ke arah insan di sisinya.

“Assalamualaikum dan selamat pagi.” Asyraf kini berada di dalam bilik mesyuarat semata-mata kerana ingin memperkenalkan insan ‘istimewa’ di sisinya itu kepada para pekerjanya.

Terdengar ucapan salamnya dibalas sebelum suasana kembali menyepi.

“Emm... tujuan saya panggil kamu semua berkumpul pada pagi ini sebab... saya ingin memperkenalkan seorang lagi ‘ahli keluarga’ baru kita.” Asyraf menoleh ke arah insan di sisinya.

Juliana cuba mengukirkan senyuman dan pandangannya ditebarkan kepada bakal rakan-rakan sekerjanya. Ada yang membalas dan ada juga yang tidak memberikan reaksi apa.

“Juliana... Dia akan menjadi setiausaha saya,” terang Asyraf kepada para pekerjanya.

“Bila masa pula En. Asyraf kita ni reti nak pakai setiausaha ni?’ seloroh Mustafa yang merupakan salah seorang agen yang mengendalikan client-client syarikat aka sahabat akrab Asyraf.

Terdengar tawa kecil yang bersambungan. Asyraf sudah lali dengan ‘kenakalan’ para pekerjanya itu.

“Cukup... tak payah nak gembira sangat. Nanti ada juga yang tak dapat bonus pada hujung tahun ni,” ugut Asyraf.

“Alah En. Asyraf... kami gurau-gurau je. Takkan tak boleh kot.” Segera Mira yang merupakan penyambut tetamu di syarikat itu bersuara. Takut seandainya apa yang diperkatakan oleh majikannya itu menjadi nyata.

“Ha’ah. Kami main-main je...” sambut Roslan pula yang merupakan orang penting di dalam syarikat itu. Tanpa kehadiran lelaki itu akan tunggang terbaliklah akaun syarikat.

“Tahu pun takut. Lain kali sebelum nak kenakan saya... fikir-fikirlah dulu ya.” Asyraf tersenyum lebar. Gembira hatinya kerana kuasa vetonya masih ditakuti oleh para pekerjanya itu.

“Saya nak kamu semua memberikan kerjasama yang baik pada Juliana dan ada sesuatu lagi yang ingin saya umumkan.” Asyraf pantas menoleh kembali ke arah Juliana.

Pandangan Asyraf teramat dimengertikan akan maksudnya. Semerta dada Juliana kembali berdebar. Terasa berat bahunya untuk memikul bebanan itu. Bebanan yang menjerumuskan dirinya ke alam penipuan.

“Juliana bukan sahaja merupakan setiausaha saya. Tapi... dia juga merupakan insan yang teramat istimewa di dalam hidup saya...” Asyraf menghentikan kata-katanya. Dia menarik nafasnya dalam. Gementar di dada cuba diredakan.

“Juliana adalah... bakal isteri saya.” Asyraf kembali meneruskan kata-katanya.

“Apa?!!!” terjerit beberapa orang kaki tangan syarikat itu.

Masing-masing bagaikan tidak mempercayai akan kenyataan itu. Bukankah bos mereka dikatakan mempunyai hubungan teristimewa dengan model terkenal tanah air, Melisa! Kini, mengapa pula wanita berkebaya merah jambu itu pula yang tampil sebagai buah hati bos mereka?

“Habis tu Cik Melisa macam mana?” terpacul persoalan itu dari bibir Mira. Merasakan yang dia sudah terlanjur kata, lantas bibirnya diketip lama.

“Kenapa pula dengan ‘kawan’ awak tu?” Asyraf tahu yang selama ini Miralah yang menjadi wartawan bergerak untuk memaklumkan itu dan ini kepada Melisa.

Diam. Mira tidak berkata apa. Wajahnya pula sudah ditundukkan.

“Saya tahu yang awak ‘teramat’ mesra dengan idola awak tu. So... tolong maklumkan kepada Mel yang saya sudah mempunyai teman istimewa. Katakan juga kepada dia supaya berhenti menganggu hidup saya!” Asyraf memandang tepat ke arah Mira yang masih menundukkan kepalanya itu.

Berdesing telinga Mira diperli sebegitu oleh majikannya.

“Baiklah. Ada apa-apa ke yang kamu semua nak tanyakan kepada Juliana sebelum dia secara rasminya menjadi pekerja di syarikat ini?” Asyraf sudah mengalihkan pandangannya dari terus-terusan memandang Mira.

Semua menggelengkan kepala.

“Kalau macam tu... semua boleh balik ke tempat masing-masing. Nazira...” panggil Asyraf kepada salah seorang pekerjanya.

“Ya. Bos,” sahut Nazira selaku HR & Admin Manager.

“Saya nak awak bawa Juliana ke mejanya dan uruskan prosedur kemasukannya ke syarikat kita dengan segera,” arah Asyraf.

“Baik, bos. Silakan Cik Juliana.” Nazira memaniskan wajahnya.

Rakan sekerjanya yang seorang ini harus diberikan perhatian yang ‘lebih’ sementelah dirinya merupakan insan yang teramat istimewa di hati majikannya itu. Juliana turut memaniskan wajahnya sebelum mengekori insan yang bernama Nazira itu.

Hampir kesemua pekerja sudah mengikuti arahan majikannya. Hanya seorang sahaja lagi yang masih berada di dalam bilik mesyuarat itu. Dia memandang tepat ke arah bosnya yang merangkap sahabat baiknya itu.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” soal Asyraf.

“Aku rasa kau tahu akan maksud pandangan aku ni, kan? Siapa Juliana tu?” soal Mustafa sambil bangkit dan menghampiri Asyraf. Dia duduk betul-betul di sisi sahabat baiknya itu.

“Panjang ceritanya.” Perlahan, Asyraf bersuara.

“Aku banyak masa hari ni. Pagi ni aku langsung tak ada appointment dengan mana-mana client. Kau boleh ambil masa aku sebanyak manapun. Aku yakin yang ‘bos’ aku tu tak kisah.” Sempat lagi Mustafa berseloroh. Tersenyum Asyraf mendengar usikan sahabatnya itu.

So... apa story kau dengan minah putih melepak tu?” Mustafa memasakkan pandangannya ke arah Asyraf.

“Sebenarnya aku....” kata-kata awalan itu bersambung dengan kata-kata lainnya bagi menyempurnakan sebuah cerita. Cerita yang mengisahkan tentang pertemuannya dengan wanita yang bernama Juliana. Pertemuan yang tanpa disangka itu akhirnya telah menjerumuskan wanita kacukan itu ke dalam permasalahan hidupnya.

“Maksud kau, Juliana telah bersetuju untuk menjadi kekasih olok-olok kau?!” terkejut Mustafa mendengarkan cerita sahabat baiknya itu.

Asyraf menganggukkan kepalanya. Mustafa pula sudah mengeluh. Sejujurnya dia tidak mempersetujui akan cadangan gila sahabatnya itu. Apakah agaknya yang akan terjadi kepada Juliana seandainya ‘sawan’ gila Melisa itu kembali semula? Mungkinkah wanita yang tampak polos itu akan dicederakan oleh model gedik itu?

“Macam mana kalau perempuan gila tu cuba mengugut atau mengapa-apakan Juliana?” risau Mustafa.

“Aku takkan biarkan perkara macam tu berlaku!” tegas Asyraf.

“Kau yakin yang kau dapat melindungi Juliana?” soal Mustafa lagi.

“Aku yakin!” Sekali lagi ketegasan kedengaran.

Mustafa diam. Cuba menyerap keyakinan ke dalam hatinya. Dia berharap benar agar Asyraf dapat mengotakan kata-katanya itu.

“Aku tahu yang kau risaukan tentang keselamatan Juliana. Tapi... kau pun tahukan yang tahap keselamatan di kondominium aku tu ketat?” Asyraf cuba meyakinkan Mustafa.

“Itu aku tahu... tapi macam mana pula bila Juliana berada di luar? Kalaulah ‘sawan’ gila model terlebih bagus tu datang dan dia menyerang Juliana macam mana? Kau boleh jamin itu semua takkan berlaku? Mel tu banyak duit. Dia boleh upah orang untuk cederakan Juliana.” Jelas, yang Mustafa masih belum mampu untuk mencambahkan keyakinan di hatinya.

Asyraf terdiam. Kegelisahan dan ketakutannya hadir semula.

“Macam nilah... aku ada cadangan. Apa kata untuk waktu sekarang ni kau sentiasa berada di samping Juliana. Maksud aku... kalau boleh kau jemput dia bila dia nak ke mana-mana dan kau hantar dia pulang. Secara tak langsung tindakan kau tu dapat menyekat ‘kegilaan’ Melisa. Kalau dia nak buat ‘macam-macam’ dekat Juliana pun, dia akan fikir dua, tiga kali. Amacam?” cadang Mustafa tiba-tiba.

“Betul juga cakap kau tu. Tapi nak ke Juliana ikut cadangan tu? Tak ke nanti dia fikir yang aku ni nak kongkong hidup dia pula?” runsing Asyraf.

“Itu kau kena pastikanlah. Nak tak nak kau kena buat sampai dia bersetuju dengan cadangan tu!” Mustafa pantas menepuk-nepuk perlahan bahu sahabatnya itu sebelum dia mengangkat punggung dan berlalu keluar.

Kini Asyraf bersendirian di dalam bilik mesyuarat itu. Dia bangkit dan berjalan ke arah jendela kaca di belakangnya. Fikiran yang sedang berserabut cuba ‘diuraikan’ simpulannya. Dia menimbang balik perbualannya dengan sahabat baiknya itu dan di saat mindanya sudah kepenatan memikirkan keputusan apakah yang harus dilakukannya, kata-kata akhir sahabat baiknya itu pantas bergema semula di hatinya, ‘Itu kau kena pastikanlah. Nak tak nak kau kena buat sampai dia bersetuju dengan cadangan tu!’

Asyraf menarik nafasnya dalam dan semerta sebuah nekad meniti di bibirnya, “Betul! Aku kena buat Juliana bersetuju dengan cadangan Mus!”

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.