Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
207,685
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 20

20

TERKEJUT Mustafa mendengar cerita yang disampaikan oleh sahabatnya itu. Tidak disangkanya segila itu model yang telah pun mengukir nama itu.

“Betul ke apa yang kau cakapkan ni?” soal Mustafa kepada insan di hadapannya itu.

“Betullah. Takkanlah aku nak reka-reka cerita pula tentang hal ni,” tutur Asyraf.

“Gila! Gila betul si Mel tu,” komen Mustafa.

“Bukan setakat gila... entah apa lagilah aku nak namakan perempuan kejam tu!” Kemarahan masih menguasai emosi Asyraf.

“Habis tu, kenapa kau tak buat laporan polis je?” soal Mustafa kemudiannya.

Asyraf tidak terus menjawab. Dia menghelakan nafas berat.

“Apa kes pula ni? Yang kau bantai mengeluh ni kenapa?” Pelik Mustafa dengan sikap sahabat yang satu itu.

“Bukannya aku tak nak buat laporan polis. Tapi...” Terhenti kata-kata Asyraf.

“Tapi apa?” soal Mustafa laju.

“Juliana... dia tak nak aku perbesar-besarkan perkara ni. Dia kata yang dia tak nak jadi ‘glamour’ kalau wartawan dekat luar sana tahu tentang kes ni. Kau tahu jelah... kadang-kadang wartawan-wartawan tu sanggup pusing cerita 360 darjah untuk lakukan news dia orang. Karang tak pasal-pasal, si Juliana pula yang dilabelkan sebagai perampas. Aku tak nak nama baik Juliana tercalar.” Asyraf kian menepatkan pandangannya ke wajah Mustafa.

“Sayang juga kau ya pada kekasih olok-olok kau tu,” tawa terdengar di hujung usikan.

“Gila kau tak sayang.” Serius Asyraf menjawab.

Tawa Mustafa terhenti. Wajah sahabatnya itu ditatapi penuh erti.

“Apa hal kau pandang aku sampai macam tu sekali?” soal Asyraf, gelisah.

“Aku rasa yang kau ni...” Sengaja Mustafa tidak menghabiskan bicaranya. Idea untuk menyelongkar isi hati sahabatnya itu berlegar-legar di minda.

“Kau rasa apa pula ni?” Perlahan, Asyraf bersuara.

“Aku rasa yang kau ni dah terjatuh cintalah pada kekasih olok-olok kau tu!” Yakin Mustafa menyatakan telahan hatinya.

Asyraf terdiam. Di dalam diam hadir pula degupan rasa indah di dadanya.

“Betulkan? Kau sukakan Juliana, kan?” Mustafa mahukan kepastian.

“Tak... mana ada.” Asyraf menafikan kenyataan hatinya. Dia kemudiannya menyandarkan tubuhnya di kerusi.

Mustafa tersenyum mengejek. Dia tahu apa yang diperkatakan oleh bibir sahabatnya itu tidak sama dengan apa yang berdetik di hatinya.

“Baguslah kalau kau tak terjatuh cinta dengan Juliana. Bukan apa... sebenarnya aku pun dah lama tersuka dekat setiausaha kau tu.” Selamba sahaja reaksi wajah Mustafa tika ini.

Sepantas kilat, tubuh yang tadinya tersandar kini didudukkannya tegak, “Apa ni bro... takkanlah tak ada perempuan lain dalam ofis ni yang kau boleh tergila-gilakan. Tu... minah kepohci, Mira tukan ada. Tak pun kalau kau nak yang ada standard sikit, kau ambillah Nazira. Bagus minah tu. Dahlah berpelajaran, baik pula tu budi bahasanya.”

Mustafa ketawa tebahak-bahak. Tak pernah sepanjang sepengenalannya, Asyraf segelabah itu. Siap mengenen-ngenenkannya dengan perempuan lain lagi. Kini tahulah dia siapakah wanita bertuah yang sudah bertapak namanya di hati sahabatnya itu.

“Tahu pun takut. Ha... tulah. Aku tanya baik-baik, kau nafikan. Sekarang siapa yang sudah terkena,” tawa Mus bersambung semula. Gembira benar hatinya dapat mengenakan sahabatnya itu.

“Kurang asam betullah kau ni. Sempat lagi kau kenakan aku!” Asyraf berpura-pura marah untuk menutupi rasa malu di hatinya.

“Kiranya... kau betul-betul dah terjatuh hati pada kekasih olok-olok kau tulah, ya?” soal Mustafa setelah tawanya reda.

Asyraf tidak terus menjawab. Hanya senyuman terukir di bibirnya.

“Orang kata... diam tu tandanya setuju. Dalam hal kau ni... maknanya kau setujulah dengan kata-kata aku, kan? Kau betul-betul dah tangkap cintan ke dengan Juliana tu?” Mustafa masih enggan berputus asa. Dia mahu Asyraf meluahkan isi hatinya.

“Entahlah... susah aku nak mengiyakan atau menidakkan kata-kata kau tu,” tutur Asyraf.

“Kenapa pula? Kalau dah susah nak gunakan mulut. Gunakan je kepala kau tu. Kau cuma perlu angguk atau geleng. Kan, senang.” Mood hendak mengusik masih kuat bertapak di dalam diri Mustafa.

Asyraf merapatkan kerusinya ke meja. Dia menongkatkan wajahnya dengan tangan kirinya dan tangan kanannya pula bermain-main dengan pen yang berada di atas meja.

“Asyraf... kau ni dah kenapa? Kau ada masalah lain pula ke?” Setelah seketika, barulah Mustafa bertanyakan soalan itu.

Jari jemari tangan kanan Asyraf menghentikan kelincahannya dan tangan kiri yang menongkat wajahnya juga sudah menamatkan ‘perkhidmatannya’. Asyraf kini memandang tepat ke arah Mustafa, “Kau tahukan pasal kes papa aku tu?”

“Kes mana pula ni?” Berkerut dahi Mustafa. Sungguh! Otaknya gagal untuk mengingati perkara yang ditanyai kepadanya itu.

“Alah... pasal anak kawan papa aku tulah...” Asyraf cuba memberikan hint.

“Anak kawan papa kau... Ooo... yang papa kau nak jodohkan dengan kau tu?” Mustafa cuba meneka dan Asyraf mengangguk laju.

“Bukan ke kes tu dah ‘tutup’? Kau dah tolak mentah-mentahkan usul papa kau tu?” soal Mustafa lagi.

“Memanglah aku dah tolak. Tapi papa aku tu langsung tak kenal erti berputus asa. Ada je peluang pasti perkara tu diungkitnya,” keluhan kedengaran di hujung bicara Asyraf. Tampak benar yang dirinya tertekan dengan isu tersebut.

Mustafa mendiamkan mulutnya. Mood mengusik ‘dimatikan’. Dia tidak mahu sahabatnya itu kian tertekan dengan usikan yang entah apa-apa daripadanya nanti.

“Kau rasa papa aku akan terus paksa aku ke?” Perlahan, Asyraf bersuara.

“Entahlah... susah aku nak cakap. Kau tahu jelah senekad mana papa kau tu,” komen Mustafa.

“Itulah sebabnya aku takut untuk mengiyakan perasaan aku pada Juliana. Aku tak nak bagi harapan pada dia. Aku tak nak hati dia terguris seandainya papa aku nekad dengan keputusan dia tu.” Terdengar sayu suara Asyraf.

Mustafa menganggukkan kepalanya sebagai tanda mengerti.

“Lagipun... belum tentu lagi yang Juliana tu mempunyai perasaan yang sama dengan aku.” Asyraf cuba tersenyum. Tujuannya cuma satu! Agar rasa gelisah di hatinya terusir pergi.

“Alah... pasal perasaan Juliana pada kau tu, tak payahlah kau nak risau. Aku yakin kalau dia nampak kebaikan dan keikhlasan yang ada pada diri kau, pasti pintu hati dia akan terbuka buat kau.” Mustafa cuba mengembalikan semula semangat sahabat baiknya itu.

“Kiranya aku ada peluanglah ni?” senyuman yang lebih ikhlas terukir manis di seraut wajah kacak milik Asyraf.

“Mestilah kau ada peluang selagi Juliana tu bukannya tunangan mahupun isteri orang. Tetapi ada dua orang yang perlu kau hadapi sebelum kau nekad dengan perasaan kau pada Juliana!” Wajah Mustafa berubah serius.

“Siapa dia?” Laju Asyraf menyoal.

“Papa kau dan Melisa. Mereka adalah penghalang terhebat buat kau dan Juliana!” Kian serius wajah Mustafa. Nada usikan benar-benar sudah menghilang. Mustafa mahu sahabatnya itu tahu sehebat mana rintangan yang perlu dihadapi seandainya dia nekad dengan perasaan yang kian bercambah di hatinya itu.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.