Bab 2
Hari ni aku kerja sorang je. Kawan aku dan juga merangkap share partner kedai kami ni iaitu Kak Fiza tak masuk kedai, nak uruskan hal keluarga katanya. Aku okey je. Bisa diatur. Kedai kek ni taklah macam kedai kek yang cun-cun tu. Kedai biasa je. Kami lebih fokus untuk jualan pasar dan ambil tempahan. Tokey sebenar Kak Fiza, dia uruskan bahagian kewangan dan aku uruskan yang lain seperti  pembuatan, jualan dan pasaran.

Alkisahnya.. Macam mana aku boleh terjebak dalam dunia kek ni. Meh aku nak cerita sikit.

Lepas aku dipulangkan oleh Taufik ke kampung kelahiranku ni, aku betul-betul rasa down. Gila tak down. Dahlah duduk merantau, hidup umpama sebatang kara hanya dengan anak je. Iyelah.. Dah Taufik buat kami macam tak wujud. Selama merantau, nama je hidup suami isteri, duduk sebumbung tapi hakikatnya aku hanya dengan anak-anak je. Taufik mana? Tak ada. Rumah tu cuma untuk tidur dan tukar pakaian je. Macam rumah persinggahan. Sampai anak sulungku, Syaira sendiri cakap.

" Papa asyik tak ada aje. Ira dan Aqil macam tak ada papa."Sedih gila dengar.  Selamatlah aku ni seorang mama yang baik, hahaha! Perasan. Positifkan anak-anak jelah. Taknak mereka fikir negatif dekat papanya. Tapi.. bukannya mereka tak nampak dan tak merasai semua tu. Mereka boleh faham kejadian, dan faham situasi ni. Anak-anak lebih memahami.

Dijadikan cerita, satu malam tu. Macam biasalah, aku setia menanti kepulangan Taufik lewat malam. Dia balik dari mana pun aku tak tahulah, mungkin jumpa kekasih gelapnya. Balik je terus duduk. Aku pun macam biasa, buat biasa sambil melipat kain. Aku nampak dia resah. Gaduh kut dengan " My Dear" dia tu. Tekaku.

" Abang dah belikan awak dan anak-anak tiket balik Semenanjung. Lusa flight." Katanya. Terkejut beruk, terkejut tapir semua ada. Bagai nak gugur jantung aku. Tiba-tiba belikan tiket balik??

" Ha? Ya Allah..! Abang tak bincang apa-apa pun dengan saya. Sampainya hati abang.." Airmata aku terus mengalir. Aku pandang tepat wajahnya. Hmm.. memang tak ada perasaan pun.

" Maafkan abang. Abang tak mampu nak tanggung awak dan anak-anak dekat sini. Gaji abang tak cukup. Macam mana nak bagi korang makan minum, nak sekolahkan Ira lagi. Hutang abang banyak. Tak cukup nak bayar rumah, kereta, barang dapur semua. Awak langsung tak membantu. Awak jual kain, jual online tapi sikit pun tak tolong abang. Abang minta tolong bayar api atau air pun awak tak bagi.." Hanya Allah je yang tahu hati perasaan aku ni. Aku tak membantu?

" Mudahnya abang cakap. Saya tak pernah minta duit abang sesen pun untuk perbelanjaan saya sendiri. Saya beli bedak, beli baju luar dalam, beli tudung semua pakai duit saya sendiri. Saya faham keadaan kita. Cuma sejak balik dari kampung hari tu, saya minta abang belikan spaghetti Pizaa Hut sebab teringin sangat nak makan. Itu je tapi itu pun abang marah saya. Abang cakap, minta makan mahal-mahal, kalau tak habiskan ni, siap!! Abang tahu tak, saya ke dapur. Konon nak ambil sudu tapi saya nangis sebab sedih apa yang abang cakapkan. Sampai hati abang..!" Dia senyap je. Terus layan handphone. Aku cakap macam cakap dengan meja je.

" Awak balik Semenanjung, awak cari kerja. Sukahati awaklah nak kerja apa. Abang izinkan. Tu je cara awak nak tolong abang. Nah.. Ni je yang abang ada. Ni pun duit last.." Dia hulurkan wang kertas bernilai Rm100. Aku terpaksa ambil dengan airmata.

" Sampai hati abang. Sampai hati.." hanya kata-kata itu je yang mampu aku luahkan.

" Abang minta maaf. Abang terpaksa." jawabnya mudah.

" Saya tahu, abang nak saya balik Semenanjung supaya abang dapat dengan perempuan tu. Biar saya tak tanya, tak bising. Abang taknak diganggu, abang nak bebas dengan perempuan tu. Jangan ingat saya tak tahu. Abang tak balik rumah dan abang balik lewat macam ni. Abang pergi rumah perempuan tu. Abang tidur rumah perempuan tu. Saya tahu semuanya.." Kataku.

 Iya.. memang aku tahu semuanya tanpa dia sedar. Semua family perempuan tu pun aku tahu. Aku tak bodoh dan iya sebenarnya aku bodoh. Bodoh dengan rela terus membiarkan Taufik melakukan begini padaku. 



" Tak payah nak memandai buat cerita.." Aku senyum sinis.

"Allah tu Maha Mengetahui segalanya. Saya tahu bukan dari mulut orang yang bercakap tapi dari Allah yang beri petunjuk. Dari naluri seorang isteri yang tak pernah salah. Saya baca semua dari handphone abang. Abang memang suami yang bijak, pandai sorokkan segalanya dan mencari salah isteri. Tapi abang tak boleh sorokkan dari Allah.." Aku masih membebel. Luah rasa sakit hati.

Tapi dia buat selamba je. Langsung tak rasa bersalah, memang tak ada hati perasaan. Memanglah tak ada sebab hati perasaannya dah dekat "My Dear"je. Bukan dekat aku dan bukan anak-anak lagi dah. Tak guna sebenarnya aku cakap. Masuk telinga pun langsung tak. Aku je bengong duk membebel sorang-sorang.

" Abang beli tiket korang ni pun pinjam duit kawan.." Nampak tak? Memang apa yang aku cakap sia-sia je.

" Sejak umur Ira setahun lagi, abang buat saya macam ni. Bila abang taknak saya, abang hantar saya balik Semenanjung, bila abang rasa nak saya, abang ambil lagi dan abang janji macam-macam. Abang ambil saya tak lama, setahun je dan kadang-kadang tak sampai setahun pun. Alasan abang tetap sama. Tak mampu tanggung saya dan anak-anak. Sampainya hati. Sanggup abang buat saya macam ni." Aku terus luah dan meluah.

"Dah memang betul, abang tak mampu. Kalau taknak balik, duduk jelah sini. Biar mati kelaparan masing-masing. Nak?!" Keras suaranya. Sentap.

"Tak apalah abang. Saya tahu niat abang sebenarnya. Tak apa, saya balik kerana arahan abang. Kerana kehendak abang kerana permintaan abang bukan kehendak saya dan permintaan saya. Saya turutkan. Ini dah kali ke  tiga abang suruh saya balik dan ini juga adalah kali terakhir. Saya takkan balik sini lagi. Cukuplah. Abang buang saya, abang tak perlukan saya lagi. Saya harap, abang tak salahkan saya suatu hari nanti kenapa saya tak balik sini lagi. Terima kasih abang. Terima kasih atas segala-galanya. Halalkan makan minum, pakaian, tempat tinggal dan nafkah selama abang tanggung saya disini. Terima kasih..!!" Kataku tegas. Tiada lagi airmata menitis. Hati memang dah hancur berkecai.

Dia bangun dan duduk dihadapan aku. Merenung wajahku. Pegang tangan aku. Buat muka sedih konon. Hmm.. Aku pandang bawah. Tak pandang muka dia lagi dah.

" Maafkan abang. Apapun terjadi, abang tetap sayang awak. Awak adalah yang pertama dan terakhir.." Katanya lembut.

"Tak payah cakap sayang. Sayang abang bukan untuk saya lagi. Saya dah sangat kecewa, sangat hancur hati. Dah bertahun abang buat saya macam ni. Abang tipu saya, abang sakiti hati saya, macam-macam abang buat tapi sikit pun abang tak pernah mengaku. Abang menangkan Monica tu, abang menyebelahi dia dari isteri abang sendiri. Dia hina saya, cakap saya macam-macam tapi abang biarkan je. Abang sanggup dengar orang hina isteri abang sendiri. Saya terima semua penghinaan itu sebab saya sendiri dah rasa amat terhina disisi abang.." sambungku.

" Awak isteri yang baik. Abang yang jahat. Awak dah banyak bersabar dengan abang. Abang tahu isteri abang macam mana. Abang tahu awak tetap sayang abang.." Sudahlah. Ayat poyo.

" Sayang akan hilang jika sering disakiti. Kalau abang dah tak mampu nak tanggung saya dan anak-anak, dah tak mampu nak jujur dan setia, tak mampu beri kasih sayang dan dah taknak saya lagi. Pulangkanlah saya pada wali saya semula. Macam mana abang ambil dengan cara baik kembalikanlah dengan cara baik juga. Janganlah buang saya macam saya tak ada maruah. Kalau abang tak mampu nak bagi kebahagiaan janganlah beri penderitaan pada saya lagi. Janganlah seksa zahir batin saya. Saya rela berundur dan mengalah demi kebahagiaan abang.."Airmata deras mengalir lagi. Airmatanya juga menitis. Tak tahulah airmata sedih dengan kata-kata aku atau airmata gembira.

" Abang sayang awak. Apapun terjadi, abang tak akan lepaskan awak sampai bila-bila. Awak isteri yang terbaik untuk abang. Abang takkan lepaskan.."

" Abang takkan dapat kedua-duanya. Hati saya dah hancur. Dah teramat kecewa. Ingat ni. Melangkah je kaki saya dari tanah Sarawak ini, saya takkan kembali lagi. Segala yang ada disini saya akan tinggalkan disini. Saya takkan bawa sikit pun balik ke Semenanjung. Saya taknak bawa balik segala kepahitan. Disini biarkan disini dan sampai disini je. Bila saya dah melangkah, saya akan tanamkan satu nekad. Bina hidup baru bersama anak-anak. Biar susah senang hidup saya, saya akan sendiri tanpa abang. Saya akan buktikan. Isteri yang abang buang ini akan kembali bangkit setelah jatuh kerana suami. Saya akan buktikan. Saya boleh hidup tanpa insan bernama lelaki. Terima kasih abang." Kataku nekad. Tegas dan serius. Kali ini memang aku betul-betul nekad.


Aku taknak lagi menangis, aku taknak lagi harap padanya. Harapan tinggal harapan. Janji tinggal janji. Janji lelaki tak boleh pakai. Cukuplah. Sejak dari itu, aku jadi sakit hati pada lelaki. Menyampah dengan lelaki. Aku pandang lelaki pun besar kecil besar kecil je. Arhh!! Lelaki semua sama. Tak guna. Hampeh..!!

Sooo.. Dengan perasaan bercampur baur. Aku pun kembalilah ke tanah Semenanjung bersama anak-anak aku. Jadilah aku anak kampung semula bukan lagi anak perantau. Hahaha..

Tapi tulah, baliknya aku ke kampung. Aku memang betul-betul down. Nangis je bila sendirian. Tapi depan family aku, aku gelak dan gelak. Family aku tanya, saudara mara tanya. Kenapa balik kampung tak duduk Sarawak. Aku jawab mudah je. Sebab nak sekolahkan anak kat sini, kat sana sekolah jauh dan blah.. blah.. blah.. Macam-macam alasan aku bagi. Takkan nak cerita masalah rumahtangga kut kan. Jangan.. bahaya! Dan sampai sekarang ni pun, family aku langsung tak tahu yang sebenarnya aku dan Taufik ada masalah. Family pun tak banyak tanya, mereka tahu aku ni macam mana. Relax je tapi dalam hati, tanggung segalanya. Menangis dalam hati tak siapa tahu. Biarlah tak tahu. Biarlah rahsia.

Yang mereka tahu, aku memang nak sekolahkan ank aku. Dan mereka pun faham keadaan ekonomi sana dan kehidupan sana. Aku tahu, sebenarnya mereka pun dapat syak aku ada masalah. Lagi-lagi parents aku, nenek aku dan makcik dan pakcik yang rapat dengan aku. Tapi mereka taknak tanya sebab mereka tahu aku takkan jawab apa-apa pun. Aku ni suka gelak jadi kalau mereka tanya serius aku akan hahahaahaaa.. Gelak dan gelak.

Aku balik kampung ni pun parents akulah paling suka. Boleh main dengan cucunya. Ada kawan mereka. Aku tak ramai adik beradik pun, tiga orang je. Sorang lelaki bujang dan sorang perempuan dah kahwin. Ikut duduk dengan suaminya. Jadi rumah tu, memang sunyilah. Jadi.. anak-anak aku ada memang riuhlah. Menceriakan rumah.

Nak mulakan hidup baru memang payah beb. Nak mula cari kerja, nak mulakan cari semangat baru, cari kekuatan baru. Ambil masa jugalah. Tapi aku yakin aku boleh. Aku kan wanita kuat. Takkan mengalah kalau kalah pun. Akan terus bangkit walaupun lemah. Arhh!! Lemah tak lemah aku kena juga kuatkan semangat dan cekalkan hati untuk meneruskan kehidupan tanpa sang suami. Iya.. aku boleh.

 Untuk beberapa bulan aku jauh dari Taufik. Okeylah dia bagi duit perbelanjaan tapi masuk bulan ketiga dan seterusnya, pandai-pandai akulah. Dah tak ada bagi dah. Kalau bagi pun memang tak cukup pun untuk perbelanjaan aku dan dua orang anak. Aku pun tak harapkan pun, nak harap pun buat apa. Buat sakit hati je. Pandailah dia tanggung diakhirat kelak. Yang satu hal lagi, langsung tak hubungi kami. Tanya khabar aku tak, tanya anak-anak pun tak. Macam lepas tangan je. Biarkan.

 Tapi yang pelik tu, Monica tu pula yang sibuk call aku tanya itu ini pasal Taufik. Pelik bin ajaib. Dia marah aku, hina aku. Siap bagi warning lagi kat aku. Tak faham sungguh. Aku dah okey dah. Dah boleh terima semua yang Taufik dah buat kat aku. Nangis pun dah tak ada dah. Malas nak fikir. Aku pun tak pernah call dia. Jarang, kalau ada pun hal penting je. Itu pun memang payah dia nak jawab. Kalau hantar whatsapp tu, tunggulah tiga empat hari baru dia reply. Biasalah orang banyak handphone. Orang busy dengan kekasih gelap. Aku pun. Hmm.. sukahati dialah. Aku serah pada Allah je. Biarlah Allah yang balas.

Sejak aku duduk kampung, aku rasa tenang. Macam-macam kerja aku buat. Kerja kampung je. Aku ikut orang tanam sayur, jadi petani.


Aku ikut orang niaga nasi lemak tepi jalan, niaga kat pasar. Macam-macam kerja aku buat tapi kerja sambilan jelah. Pernah juga aku tak dapat kerja, nak kerja kat bandar. Masalah transport tak ada. Nak naik bas, duit tambang tak ada. Kereta ayah aku rosak, motor pun tak ada. Memang patah kakilah. Anak sulung aku pun dah sekolah perlukan duit belanja tiap hari. Taufik memang tak bagi duit langsung dah. Aku jadi buntu. Tekanan jangan cakaplah.

Aku buat keputusan, buat kuih dan hantar kat makcik jual nasi lemak. Pagi-pagi sebelum gerai buka dia ambil kuih aku. Mujur dia baik hati nak ambil kuih aku. Setiap hati aku bangun jam 2.00 pagi mula buat kuih. Kuih donat coklat dan tambah kuih lain juga. Buat pun tak banyak, sehari 40 biji je. Sebiji makcik tu ambil 30sen. Kalau habis dapatlah Rm12. Kadang tak habis. Pernah sehari terjual 10biji je. Jadilah, lepaskan duit sekolah anak aku. Bakinya aku simpan untuk modal beli bahan kuih esoknya. Itulah waktu paling susah dalam hidup aku. Tapi aku bersyukur sangat. Dengan jual kuih sehari dalam rm10 tu dan kadang lebih kadang kurang. Aku boleh bagi anak aku duit belanja sekolah, aku boleh bayar upah orang hantar dan ambil anak aku sekolah dan duit belanja sikit. Kalau ada tempahan kuih tu, kira bonuslah. Kadang terfikir, tak sangka aku dapat uruskan kewangan yang tak banyak tu dan cukup untuk perbelanjaan kami. Adalah berbulan-bulan juga aku hidup macam tu.

Orang kata, rezeki yang berkat. Seikhlas hati kita mencari rezeki dan niat kita baik. Allah permudahkan semuanya. Sampailah satu hari tu, aku teringin sangat nak pergi pasar tani yang tak jauh dari rumah. Saja nak tengok-tengok. Rupanya, Allah nak temukan aku dengan Kak Fiza. Kawan aku yang dah lama tak jumpa dan pernah kami kerja sama-sama masa di Johor Bahru dulu waktu bujang. Dia niaga kek slice dipasar. Memang seronok tengok dia niaga. Kami pun bertukar-tukar nombor telefon.

Cerita punya cerita, Kak Fiza offer aku kerja dengan dia niaga kek di pasar. Aku pun apa lagi, dahlah memang tak ada kerja, di offer kerja pula tu. Tanpa fikir panjang, aku pun on jelah. Seronoknya dapat kerja. Tak payah pening nak fikir mana nak cari duit untuk perbelanjaan aku dan anak-anak. Aku memang sangat bersyukur. Kerja kat pasar taklah tiap hari. Tapi bolehlah untuk tanggung dan menampung hidup. Alhamdulilah. Bermula dari hari itulah aku jadi Si Penjual Kek.

Dan, bila dah kerja kat pasar, angkat kanopi, meja, susun kek, jual semua. Kak Fiza percaya dekat aku dan nak aku kerja jadi pembantu kedai kek dia. Sebelum ni dia hanya buat kek dekat rumah je, tapi alhamdulilah dia baru buka kedai kek waktu tu. Baru dalam dua tiga bulan, dan aku pun punyalah seronok. On jelah. Dalam bekerja cari ilmu. Dari aku tak tahu apa-apa pasal kek sampai pro pasal kek sekarang ni. Cewah!! Pro lah saaangat. Hahahaa..

Itulah alkisahku macam mana boleh terjebak dalam bidang mengekek ni sampai sekarang.

Dan tak sangka, hampir tiga tahun dah aku dalam bidang kek ni. Dan dah empat tahun juga aku berjauhan dari Taufik. Sejak itu jugalah aku digantung tak bertali. Taufik masih di bumi kenyalang dan aku di kampungku. Berjauhan. Anak sulung aku, Syaira pun dah 10 tahun. Dan Aqil dah tujuh tahun. Tapi sampai sekarang ni, aku tetap macam ni. Masih tak tahu lagi apa status aku sebenarnya. Usia perkahwinanku pun dah 11 tahun. Sampai bilalah Taufik nak buat aku macam ni. Seksa zahir batin aku. Tetap tak mahu lepaskan aku.

 Entahlah.. Dah.. dah.. malas nak fikir. Nanti aku cerita lagi pasal alkisah aku ya. Hehe.. Aku brsyukur sangat dengan kehidupan aku sekarang. Dan aku berterima kasih sangat pada Allah kerana beri dugaan ini. Inilah hikmah disebalik dugaan. Aku kembali gembira, aku dah boleh terima semua. Dan yang best tu. Aku sekarang adalah  Aina Si Penjual Kek. Hahahahaaa... Nampak kek slice je mesti customer ingat muka aku, nampak aku je mesti customer ingat kek slice aku. Hahahaa..

Okey..!! Aku nak sambung kerja. Kek pun dah sejuk, nak keluarkan dari loyang, nak potong dan nak balut dia cun-cun. Lalalaaaa... Sambung nyanyilah.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.