Bab 5
Hari-hari ku lalui sebagai Si Penjual Kek memang sangat seronok. Walaupun aku buat kek sorang, kerja sorang, kadang tak sempat nak rehat dan terkejar-kejar masa tapi sebenarnya ia satu kepuasan. Aku rasa amat bertuah sekali, dan sangat bersyukur menceburi bidang ini. Dari langsung tak tahu apa-apa pun pasal kek dan kini dah boleh buat kek, boleh buat resepi sendiri dan semua bab kek aku dah tahu. Memang sangat seronok. Hasil airtangan sendiri dan bila orang pun suka makan, memang tak dapat digambarkan keseronokan itu.

Tapi taklah aku cakap, aku ni hebat pun cuma dari sehari ke sehari pencapaian aku dalam bidang ni semakin meningkat, kata Kak Fiza. Dan Kak Fiza pun bangga dengan aku, dia sangat kagum dengan semangat aku. Walaupun aku dah tahu pasal kek, kurang dan lebihnya sesuatu kek tu tapi aku tetap akan belajar dan belajar lagi untuk mencari idea dan untuk mencari resepi baru. Aku suka join kursus pembuatan kek. Apa saja yang melibatkan kek, aku tak akan lepaskan peluang. Bagi aku mencari ilmu itu penting dan memberi manfaat pada orang itu amat bagus. Sebab aku fikir, aku nak dalami bidang pembuatan kek ni dan aku nak ajar orang buat kek dan ajar pembantu aku buat kek. Sekurang-kurangnya ilmu aku taklah diam-diam je. Biarkan ilmu berlari mencari orang yang selayaknya.

Dari sehari ke sehari, orang semakin kenal kedai kek Dellicious Choc Cakes. Nama kedai kek aku dan Kak Fiza. Dan, banyak juga dapat tempahan kek kahwin tiap hujung minggu. Aku hanya promote kek di laman sosial facebook dan intagram aku je. Kebanyakkan customer adalah dari pasar-pasar yang pernah makan kek kami. Disebabkan tempahan kek majlis kahwin pun semakin meningkat, jadi aku dan Kak Fiza mengambil dua orang pembantu. Tak larat kami nak buat berdua. Kak Fiza fokus pada kek jualan pasar dan aku pula fokus pada kek tempahan iaitu kek birthday dan kek kahwin. Sebab kata Kak Fiza, aku kreatif bab deko-deko kek.

Aku banyak belajar dari internet juga. Tapi kadang-kadang, deko ala-ala je, deko campak-campak. Yang campak-campak tulah yang lebih menarik dan berseni. Itu bagi akulah, tapi bagi orang lain tu aku pun tak tahulah. Masing-masing punya pendapat. Setiap orang ada skill dan teknik masing-masing. Skill dan teknik seseorang tak sama.

Aku tenung kek kahwin dua tingkat ni. Aku pusing-pusingkan turntable cake mencari kedudukan yang sesuai untuk letak hiasan. Fresh flowers Rose Pink menjadi pilihan warna hiasan kek kahwin ini. Request dari customer mahu decoration yang simple tapi elegan. Berkerut-kerut dahi aku, sambil menyanyi.

Satu persatu tangkai Rose aku ambil dan potong batangnya kemudian cucuk di kek. Layan punya layan, okey siap!! Aku senyum sendiri. Puashati dengan hasil kreativiti sendiri. Apalagi, ambil handphone, buka camera dan tangkap gambar. Kek kahwin tak boleh upload terus, selepas hantar kek ni ke pengantin dan tangkap gambar disana, berlatar belakangkan pelamin dan pengantin. Baru cun dan baru boleh upload di facebook.

Aku mengangkat kek itu dan masukkan ke dalam chiller. Fuhh!! Berat tu. Kek bahagian bawah adalah kek Chocolate moist dan tingkat atas adalah kek Red Velvet.

"Cantiklah kek ni kak. Simple tapi menarik.." Puji Zaidah apabila melihat kek pengantin. Salah seorang pembantu aku.

"Okey tak atau nak kena tambah flowers lagi ke?!" Aku minta pendapat Zaidah.

"Dah okey sangat ni kak. Memang lawa, yang kek satu lagi tu akak buat deko apa. Macam ni juga ke?!" Tanya Zaidah lagi.

" Taklah. Yang tu leceh sikit nak buat. Deko bunga buttercream. Nak kena buat bunga dulu. Lepas tu baru letak kat kek.." Zaidah mengangguk masih tercegat depan chiller memandang kek.

" Oo iyeke?! Tapi tak apa, akak buat kejab je." sambungnya lagi.

"Ikut mood. Kalau mood okey, cepatlah siap. Kalau mood kelaut, memang lambatlah. Tapi nak tak nak memang kena siapkan juga. Kalau tak siap, masak akak oiii.." Kataku. Gelak Zaidah.

"Pelamin anganku musnahlah jawabnya. Hahahaa.." sampuk Kak Hasnah pula. Kami gelak bersama.

" Kan..! Esok Zaidah ikut akak ya hantar kek ni.." kataku.

" Okey boss!" Jawabnya. 


Kami sambung buat kerja masing-masing. Aku berehat sekejab, minum air dan makan dua keping biskut Chipsmore.

Tut.. tuttt...!! Tiba-tiba handphone berbunyi. Aku tengok nombor yang tertera di skrin. Mak mertua aku call. Aku bangun dan keluar dari kedai, duduk di kerusi. Dan jawab panggilan.

" Lama Aina tak telefon mak. Aina dan budak-budak sihat ke?!" Tanya mak mertua aku.

"Maaf mak. Aina busy buat masa ni. Tak sempat nak call. Budak-budak sihat, alhamdulilah. Mak ayah dan semua sihat tak?!" Jawabku lembut.

"Iya.. Kami pun sihat juga. Ada Taufik telefon Aina?" Aku tarik nafas panjang, lepaskan kuat.

"Tak ada.."

"Dah berapa lama dia tak telefon?"

" Lama dah mak, Aina pun tak ingat dah. Cuma whatsapp je, pun jarang.." jawabku jujur.

" Ada dia bagi budak-budak duit belanja?" Tanya mak mertuaku lagi. Aduhai.. Ini yang tak sanggup nak jawab ni. Nak cakap jujur ke nak cakap tak berapa jujur ek. Hmm..

" Ada.." Terpaksalah jawab tak berapa nak jujur. Maaf mak, bukan nak menipu mak tapi tak apalah.

" Okeylah tu. Janji dia ada bagi duit belanja. Mak tengok Aina kerja pun dah okey kan. Bolehlah tolong Taufik. Kasihan juga Taufik tu, tak cukup duit katanya. Nak makan pun tak ada duit. Ada juga dia minta mak duit baru-baru ni.." Aku senyum sinis sendiri.

Aku senyapkan je. Tak boleh nak cakap lebih-lebih. Iyekan ajelah. Tak naklah cerita hal sebenar, lagipun kalau cakap perkara sebenar pada mak Taufik atau pada family Taufik. Belum tentu mereka boleh terima dan percaya cakap aku ni. Mereka lebih percaya cakap Taufik sebab dalam family, Taufik ni disayangi. Jadi, apa je yang Taufik cakap atau buat walaupun negatif memang sukar mereka mahu percaya. Aku tersepit, terselit, tersekat dan segala terrr lah.

" Okeylah mak. Aina banyak kerja ni. Mak jaga kesihatan baik-baik ya. Kirim salam dekat semua ya. Assalammualaikum..!"

Aku menamatkan perbualan. Aku tak nak borak panjang, bukan tak nak layan mak mertua tapi takut terlepas cakap pula. Aku kena jaga betul-betul problem aku dan Taufik ni. Tak nak sampai terbongkar pada family Taufik. Buruk padahnya nanti. Memang family dia tak tahu langsung problem kami termasuk family aku. Diam-diam sudah. Tapi aku tahu, lama-lama nanti mereka akan tahu juga. Tak apa, biar mereka tahu jika bukti kukuh ada depan mata. Boleh aku tunjuk semua bukti. Kalau sekadar cakap je, memang pastinya aku yang akan kena balik. Mana mungkin mereka nak percaya. Taufik ni bijak, depan family dia pijak semut pun tak mati. Hmm.. Nasiblah Aina. Bertabah jelah.

Aku duduk termenung. Menyandarkan badan pada kerusi kayu. Memikirkan sesuatu.

Sampai bilalah aku harus begini? Dibiarkan dan diabaikan tanpa belas kasihan. Kalau dah tak sanggup nak bela aku ni, cakap jelah. Lepaskan jelah tapi kenapa seksa zahir batin aku. Kenapa perlu seksa jiwa, hati dan perasaan aku? Apa salah aku diperlakukan seteruk ini? Dibiarkan menanggung semua ini?

Kadang aku jelous tengok rumahtangga orang lain. Mereka bersama anak-anak dan suami. Gembira dan bahagia je kehidupan mereka. Suami yang menjaga isteri, melindungi isteri, mempertahankan isteri. Bapa yang melayan karenah anak-anak. Bermain bersama, gelak tawa bersama. Semua bersama. Bahagianya mereka. Tapi aku.. Tak apalah Aina. Jangan sedih, jangan mengeluh. Semua ni pasti ada hikmahnya.

"Huh!! Aina oh Aina.. Nasib kaulah. Bertabahlah. Bersabarlah wahai hati.. " Kataku sendiri.

Baru je nak bangun dan nak melangkah masuk ke dalam kedai. Aku dapat satu whatsapp dari siapa pula ni.

"Assalammualaikum..
Saya nak order kek, boleh?"

Aku berkerut dan reply jelah.

"Waalaikumsalam. Boleh, insha Allah.
Nak kek apa ye? Bila nak?"

"Hujung bulan ni.."

" Boleh saya tahu berapa haribulan? Senang nak adjust time.."

" Nanti saya inform. Saya nak kek Blueberry Cheese, make sure cheese lebih, kurang manis and decoration, it's up to you. Dan yang penting, sedap!! "

Amboi... Amboi.. Amboi..!! Macam-macam pula request dia. Ingat ni kedai mamak ke? Ni customer cerewet ni. Banyak songeh. Kataku dalam hati.

" Insha Allah, pasti sedap! Boleh saya tahu, nama awak?"

Balasku yakin. 


"Tak perlu tahu siapa saya. Saya nak order kek je. "

Amboii.. Berlagaknya.

"Iya saya tahu awak nak order kek, dan saya pun kena tahu siapa awak. Sebab kalau saya panggil awak Sis tapi awak Bro, macam pelik pula kan.."

"Panggil saya Mr.."

Balasnya ringkas.

" Okey Mr.. Kek ni Mr. nak pick up or nak saya hantar?"

" Nanti saya akan inform semula"

" Baiklah Mr.  Patik menurut perintah. So, kek nak tulis apa?"

Aku saja bergurau. Macam berlagak je dia ni. Berkerut sendiri.

" No need. Saya cuma nak makan je. Tolong buat yang paling sedap untuk saya."

" Insha Allah.."

" Berapa harga kek tu? Perlukan deposit? Nak bayar macam mana, bank in?"

"Blueberry Cheese Cake Rm80. Tak payah deposit. Cash on delivery."

" Rm80 je?! Ingat mahal sangat.
 Rm300 pun saya boleh bayar kalau kek awak sedap."

Fuh!! Berlagaknya mamat ni. Hmm.. Tak apa, layankan jelah. Aku suka layan orang berlagak macam ni.

"Iya Mr., memang kek saya tak mahal mana pun. Kek kampung-kampung je. Kek pun taklah sesedap kek chef hebat kat Malaysia ni. Kek biasa-biasa je" Aku merendah diri.

" Kek kampung ke, kek bandar or kek oversea ke itu bukan masalahnya. Yang penting kek sedap. Saya memang cerewet bab kek sebab saya sangat suka kek. Kalau saya kata kek tu sedap jadi memang sedap. Tapi kalau tak sedap ditekak saya, jadi itulah pertama dan terakhir saya makan. Dan, untuk pengetahuan awak. Mana-mana saya pergi, saya belum dapat kek yang betul-betul kena dengan tekak saya. Saya belum dapat apa yang saya nak. Especially, Blueberry Cheese cake. My favorite cake. So, saya nak try kek awak."

Katanya panjang lebar. Gerun pula aku dengar. Dia ni mesti orang high class ni. Tekaku.

" Wow!! Kalau kek saya tak berapa nak sedap macam mana?!"

Aku saja tanya. Padahal dia dah cakap tadi kalau tak sedap pertama dan terakhirlah dia makan.

" Blacklist. Saya tak akan beli lagi kek awak sampai bila-bila.." Fuhh!! Dasyatnya mamat ni.

" Ish.. Mana boleh macam tu Mr.. Saya kan banyak buat kek lain. Kalau contoh kek Blueberry Cheese saya tak kena dengan tekak Mr.. Kek lain kan ada. Mr.. kena rasa semua kek saya tau. Baru tahu mana yang sedap mana yang tak berapa nak sedap.."

" Sekarang ni saya cuma nak Blueberry Cheese je. Faham?! Ke nak saya cakap bahasa lain?"

Kikikiii... Aku gelak. Sengaja buat dia bengang. Nak bagi pendapat pun tak boleh. Ceh! Berlagak.

"Iyelah.. Iyelah. Saya faham. Nak bergurau pun tak boleh. Poyo!! Okeylah, saya buatkan Blueberry Cheese cake untuk Mr. Blueberry Cheese ya.."

" Mr. Blueberry Cheese awak panggil saya?"

" Ha lah. Dah Mr. Blueberry Cheese kedekut nama. Saya bagilah nama yang sesuai untuk awak.."

Balasku.

"Sukahati awaklah. Ingat..!! Cheese lebih, kurang manis dan SEDAP!!"

" Tak nak ikat tepi ke?!"

Saja aku perli. Hihihii...

" Saya serius!!"

"Hahahahahahahaaa... Sorry..!
Baiklah Mr. Blueberry Cheese. Saya akan buatkan kek tu semampu saya. Terima kasih sebab order dengan saya."

"Alright! Kalau ada apa-apa perubahan, saya akan info awak.."

" Baik! Mr. Blueberry Cheese pernah rasa kek saya tak sebelum ni?"

Aku saja bertanya ingin tahu.

" Saya busy sekarang. Ok bye! "

Ceh!! Aku tanya bukan nak jawab. Berlagak lebih. Disebabkan dia suka Blueberry Cheese cake, aku pun save nama dia sebagai " Mr. Blueberry Cheese". Macam mana orangnya ek? Berlagak semacam je. Aku nak sangat tahu. Syok pula borak dengan dia. Hahahaa..  Tak apa, nanti time dia ambil kek, aku akan tahu juga.

Aku senyum sendiri. Macam-macam customer aku jumpa. Yang sporting, yang gila-gila, yang berlagak macam Mr. Blueberry Cheese ni pun dah biasa aku jumpa. Tapi dia punya berlagak poyo tu lebih sikit, dahlah tak jawab soalan aku. Sebab aku akan tanya setiap customer yang order kek dengan aku. Pernah tak makan kek sebelum ni? Aku kan jual kek potong kat pasar, jadi customer aku majoriti banyak dari pasar. So aku cuma nak tahulah dia ni customer dari pasar atau tak. Sebab kalau mereka dah rasa kek sedap, tu yang mereka order lagi. Tu je yang aku nak tahu dan sengaja memperamahkan diri. 


Okeylah aku nak sambung menghadap kek pula. Sebelum tu, aku ambil buku nota aku, mencatat order kek baru. Ada masa empat hari lagi nak buat kek Mr. Blueberry Cheese ni tapi pun tak confirm pula berapa haribulan. Maknanya minggu depan. Tapi tak apalah, tak banyak order dah minggu depan cuma ada kek birthday  dua biji je. Bolehlah buatkan kek dia dengan penuh kasih sayang. Mudah je ni.

" " Ingat..!! Cheese lebih, kurang manis dan SEDAP!!"

Aku ingat text dia tadi dan gelak sendiri. Okeylah aku ingat. Aku letak pen dan letak buku nota ditepi meja. Mulakan tugas hari ini.

Kek oh kek..!!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.