Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,908
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAb 11

MINGGU bersilih ganti dengan cepat. Hari yang ditunggu-tunggu untuk meraikan kejayaan anak lelaki tunggal Mak Diah menyambung pengajian ke luar negara telah tiba. Orang kampung yang sebelum ini jarang sekali menyinggah ke teratak usang keluarga Mak Diah, hari ini datang dengan rombongan serentak. Kebanyakannya jemaah dari masjid yang terus ke situ usai solat isyak.

Dua khemah sudah terpacak di halaman rumah Mak Diah. Fahim lebih selesa begitu. Senang untuk mengemas, malah masakan untuk kenduri pula siap ditempah dengan katering sebaik sahaja Mak Diah menyuarakan hajat untuk membuat majlis kenduri doa selamat. Ditegahnya Mak Diah daripada bersusah payah untuk menyediakan makanan secara gotong-royong.

Fahim sudah terlalu masak dengan ragam orang kampung itu. Dia sudah terlalu muak untuk mendengar kritikan pedas terhadap keluarganya. Lagipun, jika kenduri itu dilakukan secara bergotong-royong, emaknya pasti letih. Letih menjawab dan melayan kerenah orang kampung.

Dari balik tirai tingkap di ruang tamu rumah papan itu, Emili hanya menjadi pemerhati sepanjang majlis tahlil berlangsung. Alunan ayat-ayat suci yang bergema terasa tenang dan mendamaikan. Sama tenang seperti setiap kali dia mendengar CD ayat-ayat suci berserta tafsir al-Quran yang dihadiahkan oleh Maira minggu lepas.

“Rasa sesuatu?” tegur Maira yang muncul dari dapur.

“Tenang.”

Maira senyum. Rasa lapang dadanya. “CD tu dah dengar sampai habis ke? 30 juzuk tu...”

Emili mengangguk laju. Wajahnya berseri-seri. “Dah!”

Maira pula yang terkejut. Dalam hatinya terselit rasa kagum dengan kesungguhan Emili. Dia sendiri pun mengambil masa yang lama untuk menghabiskan 30 juzuk hanya dengan mendengar. Kalau membaca... lagilah lambat kecuali bulan Ramadan.

“Apa yang kau jumpa?”

“Surah Ar-Rahman. Maka nikmat TUHAN kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Lancar sahaja Emili menuturkan sepotong maksud ayat dari surah itu hingga Maira terpempan.

“Alhamdulillah. Jadi kau dah bersedia untukstepseterusnya?”

Tiba-tiba wajah Emili yang ceria tadi bertukar mendung. Ada sesuatu yang bermain di lubuk hatinya. “Misi mencari hidayah tu... hampir selesai. Satu lagistep, aku pun jadi sebahagian daripada kau... tapi... misi besar yang kedua tu... aku tiba-tiba jadi takut. Sampai hari ni, abang kau tak balas e-mel aku...” adu Emili.

Maira senyum. Bahu Emili ditepuk perlahan. “Kan dia dah balik tu... kau tak pergi tegur dia ke? Borak-borak ke... buat macam biasa ajelah. Kau kan muka tembok jugak kadang-kadang.” Sempat Maira menyakat di hujung-hujungnya.

Emili menggeleng. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu mengapa hingga ke hari ini Fahim menyepi. Tiada kiriman e-mel baru untuknya. Malah, lelaki itu kelihatan selamba saja sejak tiba petang tadi. Dari tingkap nako yang terbuka sedikit, mata Emili mencari susuk tubuh tinggi lampai Fahim.

‘Kacaknya... kena dengan baju Melayu warna biru muda tu,’ bisik hati kecil Emili. Hatinya tiba-tiba disapa rindu. Lelaki itu, hanya mampu dipandang dari jauh. Bila dekat mereka bagaikan terasing.

“Sabarlah... nanti aku cari jalan untuk temukan kau orang empat mata, okey?” Maira yang seakan faham pandangan redup Emili, memberikan cadangan.

Wajah Emili masih keruh. Tidak ceria. Fahim seolah-olah mengelak daripadanya. Sejak pagi tadi, dia menunggu ketibaan lelaki itu. Malangnya, sebaik saja Fahim sampai ke rumah itu, wajahnya langsung tidak dipandang. Sesekali dia sengaja menayang muka untuk membuatkan Fahim menegurnya, tapi hampa. Lelaki itu hanya senyum hambar.

“Tadi, kan... dia senyum kat aku pun dalam sekupang dua aje. Dekat anak Kak Tipah yang pakai baju lip lap lip lap tu bukan main lagi dia sengih sampai lima ringgit!” rungut Emili masih tidak puas hati.

Maira tarik muka pelik. ‘Sejak bila pulak senyum kena ada harga?’

“Cuba kau tunjuk kat aku senyum sekupang tu macam mana, senyum lima ringgit tu macam mana?”

Emili pantas menoleh tepat ke arah Maira. “Senyum sekupang macam ni...” Bibirnya disengih tanpa menayangkan gigi. Rasanya tidak sampai dua saat sengihan tanpa gula itu.

“Okey. Memang hodoh. Senyuman lima ringgit pulak?”

Emili terus tersengih sampai ke telinga. Kali ini giginya yang putih bersih dan cantik tersusun jelas kelihatan. Matanya pula dikedip-kedip hingga bulu mata palsu di kelopak mata kirinya luruh. Cepat-cepat Emili membetulkan bulu mata itu di kedudukan asal.

“O... key... lah... macam terlebih Ajinomoto dan Maggie cukup rasa pun ada eh? Patutlah mahal sampai lima ringgit.” komen Maira. Kedua-dua tangannya diangkat ke bahu dan matanya dijulingkan ke atas. Poyo!

“Jadi, apa pendapat kau? Adil ke tak untuk aku selaku makwe dia dapat senyuman sekupang dan anak Kak Tipah lip lap lip lap tu dapat senyuman lima ringgit?” Riak wajah tidak puas hati Emili mengundang rasa lucu di hati Maira. Bibirnya diketap kuat. Takut untuk ketawa. Perutnya ditekan-tekan. Dia bimbang kelakuan terlampaunya mengundang umpatan tetamu yang sedang menjamu selera di luar pula.

“Yang kau gelak ni, kenapa? Eh! Sikit pun tak lawak okey?! Aku tengah bengang ni!” Merah padam muka Emili menahan geram. Langsircotton corak bunga matahari itu digenggam hingga berkedut.

“Dahlah tu, Mili... senak perut aku.” Bahu Maira masih terhinggut-hinggut menahan ketawa. Wajah Emili yang merah padam dibakar api cemburu dipandang sekilas. Seketika dia beristighfar hingga ketawanya hilang.

“Okey... kau sabar sikit ya? Nanti aku siasat kes ni. Jom, pergi dapur! Aku laparlah...”

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.