Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
97,944
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 14

“MILI...”

Emili yang duduk sambil menekur lantai segera mendongak. Fahim. Di sisinya Maira yang tersengih sambil mengenyitkan sebelah matanya. Maira terus berlalu meninggalkan mereka berdua. Langkah Maira laju diayunkan ke Restoran KFC yang terletak bertentangan dengan bangku yang diduduki oleh Emili.

“Awak...” Serentak mereka berdua bersuara.

“Awak dulu...” masih sama.

“Saya...”

Akhirnya, ketawa mereka pecah berderai. Bibit-bibit sedih tadi bertukar lucu bila mereka asyik bercakap dengan nada sekata. Sehati. Suasana bertukar sepi. Emili pandang wajah tampan Fahim dari sisi. Wajah yang bakal dirindui.

“Awak...” panggil Emili perlahan.

Fahim menoleh.

“Lama awak menyepi... Awak dah lupakan saya?”

Fahim geleng.

“Awak sibuk sangat ke? Sampai langsung tak ada masa nak balas e-mel saya?”

Fahim angguk.

“Awak baca e-mel saya tak?”

Angguk lagi.

“Masih sayang saya?”

Fahim angguk sekejap dan tubuhnya terus kaku. Tegak. Dia sudah terjerat dengan permainan Emili! Tiada lagi bahasa tubuh selepas itu. Hanya kebisuan semata-mata.

Emili terasa hati. “Saya masih setia... dan akan terus setia menanti awak di sini. Pergilah kejar cita-cita awak. Andai jodoh kita panjang, bersatulah kita. Jika tak... ini semua ketentuan yang telah ditetapkan.” Tenang bicara Emili. Skrip itu sudah dihafal. Skrip yang diajar oleh Maira tentang jodoh dan pertemuan dalam Islam. Tentang qadak dan qadar.

“Awak masih sayang saya?” soal Fahim pula, serius.

Emili angguk laju. “Mestilah sayang! Awak ingat saya main-main ke?!” Geram pulak hati kecilnya. Perasaannya bagaikan diperlekehkan bila ditanya begitu.

Keluhan berat terbit di bibir Fahim. Wajahnya diraup. Tubuhnya disandarkan rapat ke bangku. Wajah Emili dipandang tepat.

“Mili...”

Emili balas pandangan Fahim. Hatinya bertaman-taman dalam degup jantung yang tidak sekata. Gemersik suara Fahim kedengaran romantik memanggil namanya. ‘Mili... Mili... Mili...’ Bagaikan bergema suara Fahim di layar minda dan cuping telinganya. Kalau hati dah cinta...

Riak wajah Fahim nampak serba salah. Matanya kejap-kejap mencuri pandang mata Emili yang tepat merenung wajahnya. Sinar mata gadis itu terpancar riak keikhlasan.

“Saya tak tahu awak ingat, tahu atau berpura-pura tak tahu tentang salasilah keluarga saya...”

“Hah?”

“Saya anak orang gila, Mili. Dulu... semua orang ejek-ejek saya. Awak pun tahu kisah keluarga saya. Takkan awak lupa. Awak membesar di depan saya. Bersama Maira. Walaupun saya tak pernah cuba dekat dengan awak, tapi saya tahu perkembangan diri awak sekeluarga. Jurang kita jauh. Walaupun kami tergolong dalam golongan cerdik pandai, tapi orang kampung tetap pandang serong pada kami. Takut badi gila terkena pada anak cucu mereka. Awak pulak... tak takut ke nanti orang ejek awak? Awak ajak saya kahwin Mili... Kahwin tau tak? Pertama, melibatkan soal agama. Kedua, melibatkan soal genetik. Orang lain takut nak bermenantukan saya. Awak tak takut ke?”

Emili terkedu. ‘Inikah puncanya dia menyepi? Membisu seribu bahasa bila aku ajak kahwin?’ Hatinya seakan mahu pecah. Ingin menjerit memarahi Fahim yang seakan ‘buta’ untuk menilai perasaannya.

“Saya bukan manusia normal macam awak, Mili. Luaran saya... orang nampak saya normal. Tapi, sejarah keluarga saya itu yang menjadi kekurangan dalam diri saya. Anak orang gila. Keturunan gila. Dua perkataan itu bagaikan mimpi ngeri dalam hidup saya, Mili. Saya jadi rendah diri nak berkawan dengan sesiapa. Saya lebih suka menyendiri daripada terus dicemuh...”

Sejenak, Fahim tarik nafas dalam-dalam. “Jika sepanjang pemergian saya, awak bertemu jodoh dengan orang lain... lepaskan saya dari hati awak.You’re still young, Mili. Do not waste time waiting for something that is not certain. You deserve someone better than me... Someone that could...”

“Saya tak faham bahasa orang putih tu...” pintas Emili laju. Bibirnya diketap kuat. Geram. Sama saja mereka tiga beradik. Mulut tidak pernah lepas dengan bahasa asing itu.

Fahim tepuk dahi. Tergeleng-geleng kepalanya. Tika itu, dia tak tahu mana satu nak didahulukan. Nak gelak atau nak teruskanmood ‘tangkap leleh’? Emili... dia memang pakar bab-bab nakspoil perasaan orang yang tengah sedih. Dulu Maira pernah komen hal yang sama. Dia tak percaya. Fahim akhirnya mengukir senyuman. Tergelak kecil pulak melihat wajah itu mula cemberut.

“Lepas ni, saya nak awak pergi ambil kelas bahasa Inggeri di Pusat Bahasa. Kat Simpang Kuala tu pun ada satu pusat bahasa yang bertauliah dari Universiti of Cambridge. Belajar! Awak muda lagi! Kata nak jadi usahawan muda berjaya. Kenalah pandai kuasai bahasa antarabangsa. Barulah awak boleh kembangkan bisnes awak!”

Emili mencebik. “Apa yang seronok sangat cakap denganslang berhabuk tu? Saya pencinta bahasa Melayu! SPM saya pun dapat A1 tau. Hidup Bahasa Melayu! Awak patut bangga bila anak Cina macam saya fasih bertutur bahasa Melayu!”

“BM dahexcellent. Congratulation. English? Dapat apa?”

“D... untuk dodol.” Bibir Emili dimuncungkan semaksima yang boleh semata-mata nak sebut perkataan dodol.

Fahim geleng kepala. “Sampai bila awak nak macam ni? Awak muda lagi, Mili. Pelajaran tu penting. Ya, saya akui bisnes MLM awak tengah kencang. Tapi, ilmu akan membawa awak pergi lebih jauh tau. Bila awak dah capai apa yang awak nak, awak tak perlu belajar untuk dapatkan gred. Awak kejarlah ilmu untuk dijadikan sebagai penyuluh dalam hidup awak...”

Emili senyum nipis. “Lalalalala...” Emili pura-pura membuat suara latar. Bebelan Fahim diibaratkan seperti Anuar Zain yang sedang menyanyi.

‘Saya dah jumpa apa yang saya nak. Suatu hari nanti, saya akan buat kejutan pada awak, Fahim,’ desis hati kecilnya bila Fahim terdiam. Wajah pujaan hatinya itu bertukar serius. Marah mungkin bila nasihat yang sudah acap kali didengarinya tidak diendahkan.

“Dalam tiga tahun ni... awak akan setia pada cinta rahsia kita atau awak akan cari lain?” Ayat cinta rahsia itu ditekan sedikit supaya Fahim sedar.

Fahim kembali terkedu. ‘Nak jawab apa, eh? Salah cakap buruk padahnya...’ Hatinya mula berperang.

“Jawablah, Fahim... saya perlu tahu isi hati awak yang sebenar... awak dah tahu isi hati saya, Fahim. Saya sayangkan awak. Saya masih setia pada cinta yang awak sulam dengan kasih sayang selama dua tahun ini. Jadi, saya perlu tahu... untuk tempoh tiga tahun lagi, adakah awak akan terus setia? Saya benar-benar nak tahu sebab ini melibatkan masa depan saya juga. Saya tak mahu kisah bab keturunan tu sebab saya sedia maklum hal itu. Yang saya kisahkan sekarang, hati awak...”

Tiba-tiba pengumuman pintu perlepasan untuk destinasi ke Dubai diumumkan. Fahim bingkas bangun. Matanya melirik pada jam tangan. Sudah tiba masa untuk berlepas. Penerbangan pertamanya akan transit di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke Heathrow, London. Pengumuman itu menyelamatkan Fahim daripada terus diasak dengan soalan hati dan perasaan oleh Emili.

“Jom! Saya dah nak berlepas...”

“Saya tunggu dia orang kat sini aje,” balas Emili dalam nada rajuk.

Fahim kaget.

“Dan saya akan tetap tunggu awak di sini...”

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.